PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Sabtu, Julai 31

Cukuplah Sekadar Luahan Menyatakan







KINI kesibukan makin mengecil. Boleh beri tumpuan pada penulisan, dan rangka isi-isi untuk buku ketiga nanti. Kalau dulu ruang masa diberikan sepenuhnya kepada orang lain hingga diri tidak sempat kendiri, lantas menurangkan sosial bersama teman-teman serumah. Kebiasaan setiap hari kecuali hari Jumaat, hanya mampu menjengah teman serumah tidur di kamar masing-masing. Makan pun dah jarang berempat. Penat saya, moga satu ibadah pada jalan-Nya. Menghabiskan masa, tenaga, dan material belum memadai meraih gelar sebagai hamba taat selagi mana niatnya masih kepada manusia bukan kepada Tuhan Pencipta manusia, maka sia-sia belaka.

Dia tahu apa terbaik buat hamba-Nya. Pada masa sama, hamba-Nya juga perlu tahu perlunya dia dihidupkan.

Jadilah hamba yang menghargai masa, setiap incinya diisi perkara bermanfaat.


p/s: saya masih kosong sepanjang Ramadhan, bagi teman-teman yang ingin mengundang saya mengisi slot tazkirah, atau kuliah Ramadhan masih dibuka.

Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Julai 30

Seni CINTA Dan CITA Seorang Adam





PERJALANAN saya pulang ke rumah dari masjid al-Azhar menurahi tiupan angin mendinginkan. Pesanan dan bait baris ayat tercempul keluar daripada mulut Sheikh Jamal al-Farouq terngiang-ngiang di liang gegendang telinga.

Proses melihat posisi hadapan sedikit kabur tatkala pertukaran musim dingin dua hari lepas, ditambah pula saya pulang pada waktu malam. Hujan pula menyentuh manja bumi barakah ini buat beberapa minit.

Biasanya saya akan pulang berjalan kaki, ini kerana memandangkan jarak antara rumah saya dan pusat pengajian adalah lima belas minit perjalanan menggunakan kaki secara manual.

Mohon Inayah Rabb, agar selamat sampai meredah kesejukan dan keasingan bumi yang dipijak ini.

Saya sedar tanggungjawab sebagai seorang pelajar, da’ie dan hamba yang tiada pendinding jiwa ini, tidak akan kebal dari berbuat dosa.

Iman, akal, dan hati menjadi tonggak pada penyelesain mehnah dan tribulasi di dunia, betul tindakan mendapat bonus ganjaran pahala dan bersedia untuk pertingkatkan dari masa ke semasa, manakala buruk pula mengundang bahana dan menjauhinya adalah sebaik-baik keputusan yang diambil.

Jadikan pengalaman silam sebagai cermin harga diri untuk berubah dan mengubah. Sejarah sama mungkin sukar untuk diulang, namun ciri-ciri persamaan padanya menjadi keutamaan.

Kadang-kadang manusia begitu kaku dan janggal berhadapan sejarah silam. Cara berfikir tiba-tiba menjadi kaku, pemerhatian menjadi kaku, daya-saing terlebih kaku.

Begitulah hidup di dunia ini, kita merasakan cerita sejarah silam itu sesuatu kisah yang kuno, tapi sebenarnya kalau kita hayati, cermati satu persatu, hidup kita tidak ubah seperti mengulangi ‘skrip’ sejarah yang lama.

Beruntunglah orang yang sentiasa berfikir dan mahu mengambil pengajaran darinya.

Sejarah menjadi dominan apabila ada sebuah kajian menyelusurinya. Sebab itu al-Quran memaparkan sejarah di dalamnya untuk kita kaji, dan mendapat ibrah dari peristiwa tersebut. Perwatakan dulu dan kini sama walaupun aktor dan aktres berubah-ubah mengikut zaman.

Sebagai hamba-Nya, Allah Taala sentiasa menguji keikhlasan dan kesabaran kita beribadat kepada-Nya. Payahnya mengejar ikhlas, namun hati yang boleh berbolak-balik ini milik Allah jua, kita sebagai hamba tidak harus putus berdoa dan membaiki kelemahan yang ada.

Dosa boleh mendarah-daging dalam diri andai sentiasa diulangsiar.

Ingatlah, tusukan dosa bukan seperti belati yang membunuh tiba-tiba, tetapi ia umpama api dalam sekam yang membara dalam diam.

Hakikatnya tidak ada sesiapa pun punya kekebalan daripada hasutan syaitan. Malah lebih tinggi iman seseorang, lebih hebat godaan syaitan. Hanya taubat, doa dan zikir selalu sebagai perisai.

Kadang-kadang rasa kecewa mencengkam hati kerana taubat sering dinodai.

Rasa berdosa pada dosa itu tidak lama. Jika dosa yang sama dibuat kali kedua, ketiga dan seterusnya, rasa bersalah itu akan hilang, perlahan demi perlahan. Lalu akhirnya, hati itu telah terbiasa dengan dosa. Rasa bersalah tidak muncul lagi. Ia sirna dimamah oleh dosa demi dosa. Jika dulu ada air mata yang mengalir kerana kekesalan dan penyesalan, tetapi di tahap kedua ini, tiada air mata lagi. Alah bisa tegal biasa. Hati telah tega untuk berdosa.

IBADAH MATLAMAT HIDUP

Ketika saya menginjak usia belasan tahun, saya kurang pasti berapa kali saya mendengar beberapa istilah bahasa-paradigma- yang sering digunapakai oleh seorang tokoh politik berpengaruh ketika itu, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, ketika beliau masih menjawat sebagai menteri penuh dalam kabinet.

Cuma saya begitu tertarik pada penggunaan istilah tersebut, hingga saya berusaha mencari ertinya dalam bahasa lebih mudah difahami. Rupa-rupanya berasal dari bahasa Inggeris, paradigm yang membawa maksud pola, model, dan contoh.

Akhirnya saya kerap kali memakai istilah tersebut dalam setiap butir percakapan, penulisan, dan muamalat lain. Paradigma seharusnya mempunyai anjakan. Beranjak dari sesuatu yang baik kepada lebih baik akan mengubah konatasi kita terhadap cara hidup sebagai hamba, da’ie, dan rakyat kepada sesebuah negara.

Beranjakan dalam ibadah menjadi keutamaan. Ibadah itu pula luas pengertian, bukan hanya tertumpu pada rukun Islam dan iman sahaja, bahkan mengcakupi segala aspek nilai kehidupan.

Bermula dari sesenang ibadah membuang air kecil hinggalah pemusatan kita pada perihal jihad, ini semua dianggap ibadah apabila perbuatan dan tindak tanduk kita kena dengan kehendak Islam.
Tugas khalifah teramat berat bebanan di bahu setiap muslim.

Allah Taala berfirman:

Bermaksud: “Tidaklah Aku ciptakan para jin dan manusia melainkan supaya beribadat kepada-Ku” azd-Dzariyat (51:56)

Ibadah hanya dikira di sisi Allah Taala apabila keikhlasan dan landasan syariat dijaga dan dipatuhi. Inilah tugas utama khalifah. Tambahan pula manusia merupakan wakil Allah Taala di muka bumi ini.

Antara manfaat kita perolehi daripada ibadah adalah menjadikan kita peka pada masa dan ilmu. Kebaikan-kebaikan yang menghasilkan pahala dikira ibadah di sisi Allah Taala. Dalam ilmu sains pula, kebaikan-kebaikan ini diperincikan dengan penemuan-penemuan semasa, menjadi harapan utama agar dapat meningkatkan iman dan amal kepada Maha Pencipta.

Islam dan ajaran-ajarannya diturunkan dalam pelbagai pakej untuk dinikmati dan sebetulnya dikejar oleh setiap muslim bagi menjaga kebaikan manusia itu sendiri. Allah tidak turunkan syariat hanya semata-mata ingin mendatangkan kesulitan kepada para penganut agama suci-Nya ini. Maka raihlah cinta-Nya.

USAH BELAKANGI CINTA-NYA

Kerinduan dan kecintaan yang sedia ada di alam roh itu tidak bersambung, bahkan tercemar. Cinta terputus di tengah jalan. Setiap manusia memiliki hanya satu hati, tidak dua, tidak tiga. Bila cinta Allah Taala dicemari, cinta yang lain datang mengganti. Dua cinta tidak akan berkumpul di dalam satu hati. Hanya satu cinta akan bertakhta di dalam satu jiwa.

Bila cinta Allah terpinggir maka terpinggir jugalah segala kebaikan dan kesuciannya. Maka yang tumbuh selepas itu ialah cinta selain Allah seiring suburnya segala kejahatan dan kekejiannya.

Hati-hati memilih cinta kerana ianya dikira ibadat yang berpanjangan.

Manusia hakikatnya tidak punya apa-apa yang diingini oleh manusia lain. Mereka mungkin mahu memberi, tetapi tidak mampu. Ada pula yang mampu memberi tetapi tidak mahu melakukannya. Mungkin hartawan punya harta, tetapi dia tidak punya sifat pemurah. Mugkin ada si miskin punya hati yang pemurah, tetapi tidak memiliki harta yang dipinta oleh si miskin yang lain.

Tegasnya, manusia tidak sempurna. Hanya Tuhan yang mempunyai segala apa yang diinginkan oleh seluruh manusia.

Buatlah ibadah semampu dan sebaik mungkin. Ianya nilai kita di SANA nanti.

Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Julai 29

Kerana Kasih-Nya Tidak Mengapa Bukan Kasih-nya







KALIAN usah bimbang hanya kerana miskin HARTA, tapi masih kaya KATA-KATA. Di dunia ini hanya dua perrkara sahaja bisa kita minta daripada seseorang, sama ada kalian KAYA meminta pada si MISKIN, mahupun sebaliknya iaitu; minta NASIHAT, dan mohon DOA. Kedua-dua kata kerja tersebut perlu ditambah imbuhan 'di', kerana ada erti KEIKHLASAN.

Pesoalan jodoh amat kerap ditanya sejak akhir-akhir ini. Dua hari lepas daripada seorang perempuan yang sudah sampai peringkat ‘andartu’ tapi masih tidak ketemui pasangan. Menolak bukan, apatah lagi untuk menerima tiada sesiapa pun sudi memberi. Ibarat menunggu si kumbang menghisap madu, tapi kelopak bebunga sudah pun hilang seri dimamah ulat dan panas percikan matahari.

Kenapa perlu khuatir, saya tenangkan dia;

BERKAHWIN itu IBADAH. USAHA untuk berkahwin juga IBADAH. Muktamad di akhir kesimpulan hidup bukanlah status KAHWIN atau BUJANG, tetapi hidup dalam ibadah. Kerana itu tujuan DIA mencipta kita. KAHWIN adalah satu peringkat hidup untuk menambah FUNGSI dalam kehidupan. Tanpa berkahwin, kehidupan masih sebuah kehidupan dan tanggungjawab kita adalah untuk berterusan MENTAATI-NYA di DALAM atau di LUAR perkahwinan

Kadang-kadang manusia LUPA. Tidak kira kalian PEREMPUAN apatah lagi LELAKI masih dikurniakan kudrat. Antara KUDRAT dan MALU jangan disalah-ertikan, MALU dan SEGAN jauh perbezaannya pula. JODOH bukan sahaja MENANTI, tapi lebih pada USAHA BERKUALITI.

USAHA BERKUALITI itu bukan menatijahkan sesuatu PASTI. Mendapatkannya adalah bonus selepas ada USAHA tadi. Namun, lebih keutamaan kita mendapatkan KEPUASAN dalam memberi sesuatu terbaik, dan manisnya sebuah KEJAYAAN.

Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Julai 28

Recharge IMAN Kalian






KITA lebih banyak disogok oleh HAL LUARAN hasil dari proses PANDANG LIHAT. Apa yang kita lihat akan sedikit sebanyak mempengaruhi cara kerja dan tindakan andai tiada kawalan dalaman iaitu IMAN yang bersifat abstrak. Kerana sinergi recharge-nya juga adalah hasil daripada ILMU kita perolehi sama ada secara formal atau sebaliknya.

Kalau kita menyalah keadaan hingga kita turut sama terikut rentak masalah bererti daya ketahanan kita iaitu IMAN berada dalam keadaan rendah, analogi paling mudah seperti sebuah handphone sentiasa digunakan (kerja) tapi kita lupa untuk mengembalikan kekuatan baterinya (IMAN) maka kita hilang keseimbangan antara menampung kehendak luaran dan sub kekuatan pembekal SINERGI dalaman iaitu IMAN.

Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Julai 27

Cinta BERAHI Bukan Lagi Cinta ILAHI







MENURUT
hemah saya lelaki dan perempuan sama-sama cenderung pada SEKS. Hanya sahaja seorang lelaki berstatus bujang mengimpikan sebuah perkahwinan untuk melangsaikan ibadat itu, akan padah bila nafsu bermaharaja di atas pundak hati.. ianya dilihat sebagai ADAT menghalalkan perlakuan SEKS di luar nikah. Tiada sebab seorang perempuan hilang rasa malu kerana bangga sudah lagi tidak virgin, dah perkara biasa di era penjajahan idealogi Barat yang berat sebelah.

Mana mungkin peluang dah terhidang, nafsu dah teransang, masa dah terluang tiada perasaan untuk menggunakan kesempatan kerana ketika ini mana ada orang pandang, cubalah tenang, buatlah perlahan-lahan.

Apa lagi, mulalah syaitan mainkan peranan. Halal dan haram sudah dibuang, tinggal lagi sebuah harapan. Harapan antara kau dan aku, kita sama-sama dekatkan, usah berjauhan, nanti feeling hilang. Maka berlakulah dua perkara yang ditakuti; bersekedudukan hingga hilang kawalan, dan pembuangan zuriat tidak cukup bulan.

Puaskah kalian? Pasti nafsu kata nak lagi, lagi dan lagi. Bolehkah ketika ini kalian salahkan cinta?

Teman, CINTA itu bukan makhluk. Kenapa salahkan cinta, kenapa tidak salahkan mata hati yang buta? Salahnya orang bercinta kerana salah letak harga sebuah cinta. Nabi pun bercinta, para sahabat pun bercinta, para ulama’ pun sama.. tapi mereka tiada masalah pun, kerana mereka tidak bermasalah.

Pesanan buat Hawa;

Wahai wanita solehah mahupun wanita jameelah (ada rupa), kalian usahlah sekali-kali mudah memberi cinta. Bercinta jangan. Tapi berkahwinlah dengan lelaki yang mencintai kamu. Kahwin dengan niat untuk menghadirkan CINTA IBADAT, kerana dia mahupun kalian hanya ada satu cinta PERLU dihargai selepas itu, iaitu cinta ILAHI. Namun, andai kalian kalah oleh CINTA ADAT sebelum sempat kahwin menyekat, maka ada satu cinta AKAN kalian hargai selepas itu, iaitu cinta BERAHI.


Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Julai 26

Kerana Kalian Memilih Jalan Itu







USAH bimbang duhai teman, kita hanya manusia biasa menunggu giliran untuk dipanggil bertemu Allah Taala. Pertemuan tersebut sama ada kita datang kepada-Nya sebagai kekasih, atau tersisih. Tersisih? Benar, tersisih dari rahmat Allah Taala untuk bersama para solehin, muttaqin, dan syuhada’ di dalam Syurga Allah. Dulu, kini dan akan datang kita adalah kita, tiada siapa akan ganti atau ambil alih tempat kita. Maka usah risau jika tangan kita asbab kita dihumban ke dalam api neraka, usah bimbang kerana kaki kita tidak pernah peduli melangkah sama ada ke tempat ibadat atau maksiat, yang ada ialah memuaskan hayat.

Namun, apabila sering gagal menjawab pertanyaan Raqib dan ‘Atib, barulah nak berubah, baru nak ingat Tuhan. Tuhan baginya hanya satu-satu masa, bukan setiap masa. Mudah sahaja menyebut istighfar, tasbih apabila terkena musibah tapi kita tetap mudah lupa untuk muhasabah. Bila business merundum, barulah mulut mula menyebut kalimah ‘ALLAH’. Aduh.. hipokrit dan munafiq. Soal ibadat solat merundum, puasa menurun, zakat dah bayar ke belum tidak pula ambil tahu.

Usah bimbang teman, kita akan dibalas dengan apa kita lakukan. Kalau di Syurga destinasi akhir kita, kita patut beristighfar kerana kita masih selamat dari dihumban di dalam Neraka. Kalau Neraka tempat paling layak bagi kita, maka bersyukurlah kerana itu kehendak kita di dunia dulu.

Corak hidup yang telah diciptakan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri telah meletakkan mereka berada pada situasi yang berbeda-beda mengikut kemampuan menggunakan pencerahan ilmu dan akal yang sihat, di samping senantiasa mencari peluang untuk bersaing dengan arus hidup yang kian bergelora. Kejayaan melawan arus tersebut boleh dilihat dengan kehadiran rasa ketenangan, keharmonian, dan pencapaian maksimun dalam hidup, serta jauh sekali mengalami konflik walaupun kesenangan bukan sesuatu yang dikejar, kerana mereka ini percaya kesenangan harta boleh sahaja dicari di mana-mana corok, asalkan halal.

Berbeza pula mereka yang senang harta tetapi sengsara dan miskin jiwa... diri sentiasa bergelumang dengan maksiat. Mereka mampu membina atau membeli sebuah rumah besar, memiliki kereta mencecah jutaan ringgit, saham-saham yang sentiasa naik melambung tinggi, dan membuat pelaburan jangka panjang... tetapi mereka belum tentu bisa membeli sekeping hati, melabur hati pada sumur kebahagian, di mana sentiasa rasa tidak puas untuk berbuat amal, tidak jenuh untuk melakukan ibadat, menjaga pantang larang sebagai seorang pelabur baik di sisi Allah Taala. Inilah kegagalan manusia menilai, mudah sahaja terikut kehendak hawa nafsu yang buas.. tidak cukup dengan apa yang ada, terus haloba dengan apa yang tiada.

“Ustaz, saya mahu enjoy dulu... saya masih muda”

“Kau kena pastikan aku dapat tender projek berjuta-juta di Dubai secepat mungkin. Aku sanggup bayar berapa sahaja engkau mahu”

Pengembaraan saya ke seluruh pelusuk negara ketika di tanah air dahulu mengajar saya erti sebuah kehidupan yang lebih bererti kerana dapat mengenal dunia luar. Sangat berbeza dengan negeri, tempat tumpah darah saya ketika dilahirkan sehinggalah tamat sekolah menengah. Tepat sekali pepatah Melayu yang mengatakan:

“Jauh berjalan luas pemandangan”

Luas pemandangan dalam konteks mempelajari tentang baik buruk lakaran hidup, baik diambil sebagai teladan diri, buruk dijadikan sempadan. Kadang-kadang bila fikir tentang mehnah manusia ini, teramat sukar untuk diterima, ada semacam ingin marah tapi tidak terdaya, sesekali rasa kelakar pun ada. Mungkin ini dikatakan satu ibrah (pengajaran) bagi mereka yang benar-benar mengambil pengajaran dalam setiap pemerhatian pada sebuah eksperimen tidak formal ini... kemudian diterjemahkan dalam kehidupan.

Tahniah, kepada kalian yang sudah memilih jalan hidup. Masih ada masa untuk mengubah haluan, terpulang pada tangan menerpa, dan kaki melangkah.

Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Julai 25

Pesanan Buat Hawa Menjelang Ramadhan






SESEORANG yang suka memilih masa di bahagian akhir membuat sesuatu kerja mungkin seorang tidak pentingkan KESEMPURNAAN dan terbawa dalam kebanyakan ritual IBADAT seperti SOLAT di hujung waktu, acuh ketika WUDHU', tidak kisah soal KEBERSIHAN, dan mungkin yang kurang MENEPATI MASA. Ketara, perempuan yang diberi masa 11 BULAN untuk melangsaikan HUTANG PUASA, namun lebih suka memilih DENDA kerana SIKAP SUKA TANGGUH tadi.

Saidatina Aesyah pernah berkata;

Bermaksud: "Kewajipan ke atasku untuk puasa (qadha) daripada puasa bulan Ramadhan, tidaklah aku menggantikannya hingga datang bulan Sya'ban" (Hadis Riwayat Muslim)

Di kesempatan masa yang masih tersisa di bulan Sya’ban ini, tunaikan kewajipan kalian sebagai muslim. Hutang kita dengan manusia mungkin sudah menggerunkan kita, apatah lagi hutang kita dengan Pencipta, sampai nyawa berpisah dengan tubuh pun wajib dibayar.

Lelaki juga tidak terkecuali, namun halangan masih tetap banyak di pihak wanita. Pesanan buat wanita sebelum menjelang Ramadhan baru.


Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Julai 24

Mungkin Kalian Ada Terlepas Pandang







KERANA pentingnya PERHATIAN dan PEMERHATIAN terpimpin. Wanita mahupun Lelaki yang mempunyai masalah pelek lidah, tidak boleh terus MENGHUKUM mereka TIDAK SOLEHAH atau TIDAK SOLEH hanya kerana mereka menyebut BETINA, JANTAN (menunjukkan kepada manusia), JEMPUT KEKOH (sila makan). Kerana tiada perhatian dan pemerhatian tadi, kalian akan anggap ianya KASAR walaupun ditutur secara LEMBUT.

Berbalik soal penggunaan BAHASA betul. Walaupun anda merupakan anak JATI kelahiran negeri, jangan sampai menyusahkan orang lain untuk memahami TUTUR KATA kalian. Hanya kerana anda berasal dari KELANTAN, salah menyebut dalam bahasa betul WAD KECEMASAN jadi "Keci-Masam"... kalian mudah diperli dan disindir, malah ditertawakan kerana mana ada WAD KECING MASAM, yang ada wad KECING MANIS. Moral; latih lidah biasakan bertutur bahasa ibunda. Kebiasaannya banyak timbul di kalangan pelajar kampus dan universiti.

Mereka bijak pandai, tapi bila masuk soal kemahiran komunikasi hampir 50% terbawa-bawa bahasa lahjah ibunda masing-masing.


Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Julai 23

QOTD: IBRAH Cinta Saidatina Fatimah Dan Ali





IBRAH daripada kisah Saidatina Fatimah radhiallahu anha, di mana beliau pernah rasa cinta dan 'BERCINTA' dengan seseorang SEBELUM KAHWIN. Bila ditanya dengan siapa dia pernah bercinta. Beliau dengan tenang menjawab; Saidina Ali, yang juga suaminya sekarang. Perasaan itu diluahkan selepas beliau bijak mengawal perasaan cinta KUDUSNYA itu, hinggalah Saidina Ali benar-benar menjadi suaminya yang SAH. Bercintalah selepas Kahwin, kerana ianya pembuktian kalian cinta kepada-Nya, disaluti redha-Nya.

IMAN kunci orang mukmin, ianya terletak pada sebuah keikhlasan.

Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Julai 22

QOTD: Bagai Menendang Bola ke Dinding






KEBOROSAN kerajaan membelanja DUIT RAKYAT untuk membina projek mega tanpa memberi penumpuan kepada soal MODAL INSAN adalah sama seperti seorang pelajar yang malam dan siangnya sibuk memprotes kesalahan orang lain, habiskan masa di hadapan komputer, keluar malam tanpa memberi penumpuan kepada pengajian dan AMANAH sebagai seorang PELAJAR, iaitu BERJAYA. Kerana halnya sama disebabkan kalian telah menghabiskan DUIT BIASISWA dan PINJAMAN PTPTN untuk soal bukan utama... isi TOP UP, tukar HANDPHONE, menonton WAYANG, dan makan FIRST CLASS.


Moral: pokoknya kedua-dua situasi di atas melibatkan DUIT RAKYAT, dan harapan mereka.


Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Julai 21

QOTD: Menetas Minda SUPER







SETIAP MUSLIM perlu diajar sedari kecil untuk melahirkan SIKAP SUPER. Sikap ketika MEMERHATI, sikap ketika MENDENGAR, sikap ketika BERTINDAK. ILMU TERPIMPIN adalah elemen penting MEMBINA sikap tadi. Hasilnya sikap ini mampu menumbuhkan rasa KURANG MEMBANTAH, namun lebih suka berfikir mencari jalan penyelesaian pada apa. siapa benar dan salah, punca masalah dengan menghidupkan 3P iaitu; PEMERHATIAN, PENDENGARAN, dan PENYELIDIKAN.

Kalau kita lihat dalam diri kita sendiri, penciptaan satu mulut dan dua telinga sudah jelas mengajak para manusia yang masih waras, dan berakal mengoreksi diri, muhasabah agar tahu memilih dan menapis.


p/s: Quote of the day (QOTD); peringatan ringkas.

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Julai 19

Dari SAHARA Merentasi Cinta BENUA







TELAH tertakdir dunia ini diciptakan berpasang-pasangan setiap sesuatu. Berpasangan bererti saling menumpahkan cinta, saling meninggalkan jejak kasih, bersama-sama menongkah laluan damai dan badai. Baik rupanya hanya permata yang diperolehi di tepian pantai, namun kerana kuasa besar cinta tadi si dia mampu menggilapnya hingga mampu menyinari hati di kala diperlukan secangkir bakti buat membelai malai cinta yang diberikan. Saban hari sama ada dia atau si dia tidak lekang untuk beradu kasih walaupun buat sementara cuma. Inilah masanya cinta dihalalkan selepas di-ijab oleh mertua dipersembahkan, pahala dituntut, ibadat telah disempurnakan antara dua mempelai. Hati mereka mula berani mengungkap cinta realiti, dipancarkan ke seluruh dunia agar bisa ditontoni oleh mata-mata yang tidak buta... bahawa mereka ialah terbaik, dan mampu memberi contoh lebih baik.

Memang sukar untuk bertemu cinta yang dikatakan sejati. Bagaimana pula para sahabat sekalian bisa menentukan piawaian cinta sejati, dan sehati ini?

Cinta bebas akan pergi tanpa kembali, cinta yang melepaskan impian tanpa tujuan. Cinta disaluti hati qudus akan sentiasa belajar erti sabar. Cinta yang tidak termiliki akan kekal di hati kerana mahu insan yang pernah dicintai menikmati cinta lain yang lebih utama, iaitu cinta DIA. Cinta suci hanya datang sekali, sama ada hadirnya di permulaan antara cinta-cinta atau dipertengahan, tidak juga boleh menolak hadir di penghujung selepas habis sebuah ikhtiar. Mencintai sinonim mengorbankan diri demi orang yang dicintai. Orang yang memberi cinta lebih merasa pedih dari mereka yang menerima, apabila cinta diberi itu tidak tahu pula dihargai. Maka bisa mati ketika asyik mencintai.

Perempuan yang baik itu tidak memandang dan tidak pula dipandang, sedang si Hawa berusaha untuk menjadi bidadari SYURGA. Besarlah harapan agar si Adam bercita-cita perihal yang sama.. agar sama-sama membantu, tundukkanlah pandangan kalian, bimbinglah mereka ke Syurga di sana nun abadi.

Apabila hajat di hati dirungkai oleh satu rasa, si lelaki yang tidak kurang agamanya mula merancang sesuatu di luar kotak fikiran warasnya, kerana dia lupa di antara keinginan tadi ada pula bisikan tajam menghunus bak belati berbisa agar dibenarkan rasa tadi dinodai jua. Mulalah dia menyusun pelbagai strategi dan helah agar si perempuan baik di pandangan matanya itu masuk juga ke dalam perangkap maya dipasangnya. Kemudahan ada digunakan sebaik mungkin, mencari identiti terperinci di laman sosial Facebook, mencuri dua tiga keping gambar yang ditinggalkan... mula berani menghantar khidmat pesanan ringkas (sms) ringan-ringan kononnya hanya sekadar memberi peringatan (tazkirah), berani pula ber-chatting untuk bertanya khabar, dah mula dihargai kerana setiap pertanyaan tidak segan si dia meninggalkan bekas. Dia lupa segala-galanya, dunia realiti terputus selepas tidak lagi peduli apabila berada di alam fantasi, dan dia seorang suka berfantasi.

Dia yang tercampak jauh di Gurun Sahara, membelah debu-debu kering berapi demi segulung ijazah, amanah agama, keluarga dan orang kampung. Adapun si dia juga mempunyai visi yang sama, sama-sama bersaing, sama-sama hebat, dan berstatus intelek minda kelas pertama.. kerana si dia juga sedang menuntut di salah sebuah universiti terunggul di Eropah. Jauh di mata bukannya satu halangan bagi dua jiwa untuk bersatu, dekat di hati agar tahu tiada dua cinta ini, tiada tiga, hanya dia betul-betul idaman qalbu.



bersambung...
Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Julai 18

Pengumuman: Berita Baik Buat Teman





BERITA baik kepada para sahabat baik perubatan mahupun pengajian Islam di seluruh Mesir, kalian bisa memperolehi buku terbaru saya; Melakar Pelangi Cinta (MPC) di Dewan Perwakilan Mahasiswa (DPM) masing-masing. Khabar ini saya perolehi daripada pihak pengurusan pemasaran memberitahu saya tiga hari lepas, dan kini baru sempat saya memaklumkan kepada kalian. Baru-baru ini saya menerima banyak aduan kesukaran para teman yang berada jauh dari Kaherah untuk mendapatkan buku tersebut, memandangkan sekarang musim cuti panjang dan ramai yang akan pulang bercuti, terutama pelajar perubatan maka permintaan untuk mendapatkan bahan bacaan bermanfaat tinggi.. jadi pihak pengurusan amat peka hal ini, di samping masing-masing sibuk dengan pelbagai program yang perlu didahulukan.

Di atas kesulitan sebelum ini amat dikesali. Dan saya bagi pihak pengurusan Janub Saina’ memohon maaf di atas kelewatan ini.

Moga kalian memperolehi manfaat daripada hasil tangan saya ini.

Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Julai 17

Beliau Tahu Hidup Ini Untuk Allah Taala







MEMANG payah hidup seorang manusia. Manusia perlu memilih antara kecintaan kepada dunia atau kecintaan kepada akhirat. Mengimbanginya kadang-kadang manusia akan melebihkan antara dua, tetapi ke arah dunia juga jatuhnya kerana dijanjikan pelbagai kesenangan, pendek kata dunia ini juga bisa dibina syurga sendiri; Syurga Dunia. Syurga di dunia manusia masih lagi dibatasi syariat Allah Taala tidak seperti bebas kita berada di Syurga Akhirat. Kebebasan dunia tanpa perjalanan syariat akan menghumbangkan manusia di penjara Neraka.

Berkali-kali kita disirami perjalanan sirah para anbiya', auwliya’ dan para solefus soleh radhiallahu anhum ajma-‘in agar kita bijak mencari jalan hidup sendiri. Betapa sedih melihat saudara sendiri nanti diheret ke Neraka, kerana amal kita tidak mampu membawanya bersama. Maka dikesempatan masa diberikan ini, berilah sesuatu kebaikan yang bisa ditumpangi oleh mereka. Di dunia hanya dua perkara sahaja kita mampu minta dan tunaikan, sama ada meminta doa atau memberi nasihat. Kedua-dua perbuatan itu dipandang di sisi Allah Taala.

Carilah susah kerana kelak akan menyenangkan perjalanan kalian, daripada mencari susah bila berhadapan kehidupan selepas mati. Ramai yang takut mati, tetapi tidak pernah berhati-hati, kerana diri tidak reti untuk mengerti lantas akhirnya mengurangkan iman di hati.

Tidak ramai yang mampu kaya harta, tapi tidak pula pada sebuah budi. Kerana lebih dimuliakan oleh Allah Taala mereka yang miskin harta tapi mampu kaya budi, terlebih dikasihi dan disayangi Allah Taala mereka yang kaya harta malah mampu kaya budi. Harta bagi mereka adalah sementara, kerana matinya mereka kelak harta material tidak boleh di bawa bersama untuk membeli Syurga Allah Taala yang tiada nilai, tapi hanya kaya budi sahaja akan bersamanya buat selama-lama, kredit kekal sampai bila-bila.

Kita diperlihat pula bagaimana orang yang hidupnya normal, sempurna anggota tapi masih lagi cacat dalam perlaksanaan ibadat. Malang sungguh mereka yang mampu melihat, mampu berjalan, mampu berdiri, mampu mendengar, mampu segala-galanya tapi solat terabai, puasa selalu berhutang, zakat fitrah dan harta pening memikirkannya.

Bagaimana pula kita mengimbangi sebuah kisah biasa, tapi sikap watak utama di dalam kisah ini cukup luar biasa. Beliau ialah Ibrahim Nasser, seorang warga negara Bahrain. Takdir Tuhan beliau dilahirkan dalam serba kekurangan tidak seperti manusia biasa, tidak sempurna sifat. Cuma dia masih ditemani oleh seorang ibu dan bapa yang masih menyempurnakan seri warna kehidupan beliau.

Pada suatu hari beliau menanam cita-cita untuk bertemu seorang ulama’ terkenal Kuwait; Sheikh Nabeel al-Awadi. Saban hari, setiap masa beliau selalu mengikuti perkembangan ulama’ idolanya di kaca televisyen melalui sebuah rancangan talk show Kuwait’s Channel yang dikendalikan oleh Sheikh Nabeel sendiri. Dia juga sering melayari internet untuk mengulangi apa yang didengar melalui mulut al-Fadhil Sheikh Nabeel al-Awadi. Komputer riba menjadi temannya semenjak lima tahun dahulu kerana kecacatan beliau tidak mampu berjalan, berdiri... hanya kaku di atas katil. Mendengar dan melihat aksi Sheikh Nabeel membuatkan hidupnya begitu sempurna kerana konsep dan cara peyampaian al-fadhil sheikh teramat menyentuh hatinya.

Pada suatu hari, beliau bercita-cita untuk bertemu dengan al-fadhil sheikh hingga beliau tidak lagi meminta-minta apa-apa daripada bapanya seorang yang berada melainkan sebuah pertemuan dicintainya. Kasih seorang bapa tidak pernah bertepi, kerana dia tahu anaknya dia ini suatu amanah walaupun beliau sesekali tidak pernah meminta kurnian ‘istimewa’ seperti ini.

Lantas bapa Ibrahim telah meminta kepada Sheikh Nabeel al-Awadi agar sudi menerima pelawaan tersebut. Segala perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh bapanya. Tiada apa yang lebih bernilai daripada melihat anaknya tersenyum, dan dijauhi kedukaan yang bisa meranap hatinya sebagai seorang bapa yang akan dipertanggungjawab pada amanah suci ini.

Tanpa diberitahu akan kedatangan Sheikh Nabeel, bagai sebuah kejutan terbesar. Pintu bilik telah diketuk, seperti biasa beliau mengusul kebenaran agar membuka pintu. Sebaik pintu biliknya dibuka, alangkah ta’ajub beliau melihat siapa yang sedang berdiri di hadapannya. Kegembiraannya dapat digambarkan pada raut wajahnya sehingga sukar baginya untuk berkata-kata pada mulanya. Hanya air mata menceritakan segala-galanya. Gembiranya tidak seperti hari-hari sebelumnya.

Sepanjang hari tersebut, beliau ditemani oleh Sheikh Nabeel al-Wadi. Mereka berkongsi cerita masing-masing. Adapun al-fadhil sheikh menganggap Ibrahim seperti teman-temannya lain, seperti anak-anak beliau juga.

Hingga satu masa Sheikh Nabeel bertanya kepada beliau satu soalan yang terkesan di hatinya. Beliau menangis teresak-esak menahan kesedihan.

“Kiranya Allah Taala mengurniakan kesihatan sempurna seperti manusia lain, nikmat kesihatan hingga bisa berjalan, bisa berdiri, dan bisa berlari... apakah yang akan dilakukan oleh-mu wahai anak ku?”

“Demi Allah jika saya boleh berjalan, diberi nikmat kesihatan dan kesempurnaan anggota maka saya akan menunaikan solat di masjid dengan penuh gembira, menunaikan haji di Makah dan akan menggunakan segala nikmat kesihatan untuk mendapat redha Allah” beliau menjawab sambil menahan air mata mencucuri pipi.

Inilah yang dimaksudkan oleh saya, orang yang telalu biasa bukan seperti orang-rang biasa tapi sikap dan pendirian yang ada padanya cukup luar biasa. Bagaimanakah pula jawapan kita ketika itu?



Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Julai 13

Kerana Kalian Tidak Pandang TADBIR





MELIHAT kejayaan seseorang atau tidak bukan pada sekalung sijil atau ijazah yang diterima atau kegagalannya. Bukan juga pada harta bertimbun-timbun. Tidak juga pada saham melambung tinggi. Namun pada sebuah penghidupan sebagai seorang hamba. Mampukah manusia sekarang berdiri sebaris manusia agung yang pernah dilahirkan dahulu? Mampukah manusia sekarang melalui saat-saat dipenjara oleh dunia demi sebuah kebebasan di akhirat? Keseronokan dunia sudah makin menumbuh, tiap-tiap masa manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada. Bayangkan bagaimana keadaan imam-imam hebat dalam perjuangan Islam terdahulu apabila dilahirkan semula di dunia era serba mencabar? Mereka mungkin ‘mati akal’ melihat gelagat manusia sekarang.

Hanya kepada Allah Taala kita berserah segala apa yang berlaku, kerana kita hanya sebagai seorang manusia biasa yang tidak mempunyai apa-apa, kerana adanya apa-apa pada diri kita disebabkan Kekuasaan ada pada Allah Taala.

Apabila merentasi kehidupan insani, kita memerlukan manusia lain untuk mencapai segala apa kita inginkan. Keperluan kita walaupun datang daripada hajat sendiri, namun orang lain juga perlu kita dahului sebelum sampai pada hajat yang didambakan bermula daripada sekecil-kecil urusan peribadi hinggalah sebesar-besar urusan negara. Panas belum tentu sampai ke petang, kerana adanya ribut, petir sambar menyambar petanda hujan bakal mencelah. Antara manusia-manusia yang berurusan tadi, adakala dalam keadaan seperti mana kita mahukan. Hanya timbul masalah picisan sama ada daripada kita mahupun dia yang juga manusia biasa, maka timbul kecelaruan mood yang tiba-tiba merubah cara bekerja kita.

Mulalah manusia yang lemah iman, tidak panjang akal, dan mudah makan hati menyalahkan orang lain, marah sana marah sini dan paling menyedihkan takdir Tuhan pula dipersoalkan. TAKDIR Tuhan tidak pula menemani di saat dia perlukan, padahal dia tidak pula perasan di saat gembira dan ceria tidak pula berterima kasih pada Tuhan.

Ketahuilah selain TAKDIR yang sering kita lihat, kita ada satu lagi pilihan yang menentukan natijah akhir; iaitu TADBIR. Kaedah kita mengatur kehidupan, atau lebih dikenali life planning akan ‘mempengaruhi’ TAKDIR Tuhan di balik pengetahuan kita yang terbatas. Hingga ada juga manusia yang dilahirkan dalam serba kekuarangan, tanpa ada usaha untuk keluar dari kekurangan tersebut sering-kali bertindak di luar perbatasan syara’.

Dalami Ilmu Rumahtangga TADBIR, Kursus Perkahwinan TADBIR, Rancang Kewangan Keluarga TADBIR, Belajar House Chores TADBIR, Hantar Anak ke Nursery TADBIR, Memberi tidak Menagih TADBIR, Loving and Caring TADBIR. Andai kalian cuai dalam TADBIR diri dan bahtera rumahtangga tadi, usahlah TAKDIR Tuhan dipersoalkan. Nyahkan sikap itu.

Qadha’ dan Qadar adalah ketentuan daripada Maha Esa. Kita merancang, tapi Allah Taala akan menetukan soal jodoh, maut, dan rezeki kita. Berkali-kali saya pesan dulu, tidak penting di mana kita bermula tapi ke mana kita berakhir. Perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi, umpama membawa sebuah kapal yang penuh dengan pengisian barang-barang dagangan untuk dilayari di tengah-tengah lautan. Ingat! Laut pula tidak pernah sunyi dari ombak, pelayaran tetap diteruskan, tinggal lagi kebijaksanaan komunikasi antara nakhoda, dan para kelasi.

Belajar itu TADBIR, Usaha itu TADBIR, Tuisyen itu TADBIR, Latihan Tubi itu TADBIR, Berjaga Malam mengadap buku itu pun TADBIR, dan semua ini akan mempengaruhi TAKDIR kita. Baik, Kita berjalan berbekalkan dua biji mata celik, tapi itu tidak bermakna kita selamat, kecuali kita ada hati-hati.. berhati-hati melihat ke depan, kiri dan kanan ini adalah TADBIR bimbang ada lubang menghalang pasti terseliuh kaki, maka natijah dari hati-hati tadi ada TAKDIR kita.

Seiringkan Tadbir pada sebuah takdir yang menjadi natijah akhir.

Bermula daripada sekarang, mulakan episod baru. Kuatkan iman di hati, pasti hidup kita sentiasa di bawah naungan Ilahi.

Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Julai 10

Demi Agama-Nya Aku Rela









TIGA hari kebelakangan ini saya tidak dapat menumpukan sepenuhnya pada penulisan di laman blog puteraazhari disebabkan komitmen kepada beberapa perkara; antara mencipta lagu dan lirik, kelas talaqqi, persiapan rakaman video klip kuliah bersama saya dan promosi buku terbaru di kalangan para pelajar sekitar Kaherah. Dicelah-celah kesibukan tadi saya juga telah pun menyiapkan rangka, dan kerangka isi penting dan tema untuk buku ketiga saya, yang jangka diterbitkan hujung tahun ini. Dua perkara utama terpaksa saya dahului selepas kejayaan melahirkan buku kedua; Melakar Pelangi Cinta, mencipta lagu dan lirik serta menghadiri kelas talaqqi sebelum cuti sementara bersempena bulan Ramadhan akan datang.

Bulan lepas saya telah menerima permintaan untuk mencipta lagu dan lirik untuk sebuah kumpulan nasyid yang akan mewakili Negeri Kelantan ke Festival Nasyid antara mahasiswa-mahasiswa Mesir pada bulan Ogos nanti. Di saat saya menulis artikel ini, hanya tinggal lirik sahaja belum siap sepenuhnya. Mudah-mudahan tidak mengambil masa agak lama kerana saya perlu bersiap siaga pada bila-bila masa untuk rakaman video klip kuliah saya, di samping menunggu arahan daripada pihak penerbit.

Sudah empat tahun saya meninggalkan dunia seni. Hanya mengikuti perkembangan terkini sahaja hiburan tanah air terutama industri nasyid negara. Kalau dulu di Malaysia saya tidak ketinggalan untuk mendapatkan album terbaru artis nasyid baik berbentuk kaset, CD dan VCD kerana minat kepada irama dan seninya yang menusuk qalbu. Pernah juga masa di bangku sekolah saya mengetuai pasukan nasyid sekolah berentap di peringkat zon dan negeri. Kejayaan paling manis berjaya membawa pasukan sekolah ke peringkat akhir, ketika itu saya sebagai guru suara. Lagu dan lirik dicipta sendiri, saban hari setiap minggu kami berkumpul mengadakan latihan.

Ironi kini terasa kekok dan janggal apabila diminta mencipta lagu dan lirik di bumi asing.

Manakala konsep buku ketiga ini adalah kesinambungan buku pertama dan kedua iaitu mengekalkan genre motivasi dakwah, namun lebih terarah kepada ketuhanan. Judul belum ada lagi. Baru beberapa bab telah saya sempurnakan. Kesempatan cuti panjang ini, moga dapat menyelesaikan semaksimum mungkin penulisan di samping mengharap ilham idea-idea, solusi-solusi bernas dari Tuhan agar isi penyampaian lebih matang berbanding buku pertama dan kedua.

Rupa-rupanya, baru kini saya dapat rasakan kata-kata ulama’ direalitikan; makin banyak ilmu yang dipelajari makin jahil diri ini. Sebagai seorang da’ie tidak cukup hanya pandai cakap, tanpa tindakan seperti juga kita bercakap seorang diri tentang ini dan itu, tapi hampah kerana tiada siapa yang turut dan ikut perkongsian dilontarkan. Ianya disia-siakan sahaja.

Demi agama-Nya aku rela...


Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Julai 6

Pengumuman: Maklumat Terkini Tentang MPC






ALHAMDULILLAH pujian bagi Allah Taala Tuhan sekalian semesta. Proses menerbitkan buku Melakar Pelangi Cinta (MPC) berjalan lancar, tidak sesulit kelahiran sulung Berteduh Di Kebun Cinta (BDKC). Mudah-mudahan inilah titik tolak pada kelancaran jualan memandang sekarang musim para mahasiswa berbelanja sakan terutama kitab dan buku-buku ilmiyah. Penat tiada terasa apabila kepuasan menguasai diri, berbaloi selama ini bertungkus-lumus dan berhempas-pulas menyiapkan penulisan yang mengambil masa hampir setahun. Saya mula menulis buku BDKC pertengahan tahun 2009, begitu juga buku MPC serentak pada bulan berikutnya.

Kini promosi sedang diatur di seluruh Mesir. Moga dipermudahkan segala-galanya.

Pengumuman; Buku MPC telah ditempatkan di BKAN Kelantan sahaja. Manakala di BKAN lain pada hari esok bersama tiga buah buku baru lain di bawah terbitan Janub Saina'. Adapun di DPM akan ditentukan kelak. Maaf di atas kesulitan penghantaran pada tarikh asal yang telah diumumkan sebelum ini.

Bagi peminat buku sekitar Kaherah, kalian boleh bertanya dari semasa ke semasa di BKAN masing-masing untuk mengetahui maklumat semasa keberadaan buku MPC ini. Selamat menjamah hidangan rohani.



MPC dari arah depan



MPC dari arah sisi



Melakar Pelangi Cinta telah menemui anda
Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Julai 5

Hikmah Tersembunyi Untuk Diteladani






HARI ini panas masih lagi setia menemani setiap kaki melangkah, membumbungi kepala sebelum siang melabuhkan sisa perjalanan sunnatullah, malam pula siap mengganti tempat melengkapkan tempo ditakdirkan. Putaran bintang-bintang pada orbit di cakerawala tidak akan berlaku tanpa keizinan daripada-Nya. Begitu juga kehidupan makhluk Allah Taala di dunia... kehidupan di darat, di laut dan di angkasa merupakan ciptaan Allah Taala, berjalan mengikut peraturan sunatullah, dengan izin Allah Taala. Betapa besar nikmat Allah kurniakan antara penghidupan kita sebagai manusia, manusia yang diberi kekuatan tersendiri, mempunyai kelebihan tiada tolok bandingan bukan kepada makhluk lain iaitu akal.

Kebelakangan ini, ramai manusia membelakangi nikmat akal untuk mengakses maklumat yang bermanfaat. Tanpa akal sihat, manusia dilihat makin menyimpang daripada ajaran sebenar, seolah-olah tidak tahu arah dan tujuan sebenar mereka diadakan di muka bumi. Maka manusia seperti ini sentiasa menempah MAUT sebelum AJAL. Maka tunggu sahajalah pembalasan dari Tuhan al-Ahad.

Melalui pengalaman sebagai seorang manusia hidup dalam serba kekurangan, saya melihat tahap pemikiran anak-anak muda khususnya, makin menjauh daripada tujuan hidup sebenar. Kesimpulan awal boleh dibuat, ini mungkin berpunca daripada para ibu bapa kurang memberi, menyuap, atau lebih kasar menyumbat sumber-sumber kerohanian ke dalam jisim akal mereka. Dilahirkan dalam keluarga serba kelebihan melihat sesuatu dengan survival tinggi, maka mereka lebih cenderung untuk melihat persekitaran remeh di sekeliling bukan suatu pengajaran dan pelajaran berguna.

Bukan masalah utama seseorang itu dilahirkan dalam serba mewah, material cukup, penampilan bagus suatu jaminan untuk diletakkan dia pada situasi di atas, tapi pada sebuah SIKAP. Sikap manusia bergantung pada apa dia lihat, dan penerimaan dia untuk mengimbangi keadaan tersebut bersama pengetahuan dan ilmu.

ILMU cukup penting bagi mengawal world-view (sudut pandang persekitaran) seseorang manusia. Pemilihan bahan bacaan juga penting dari sisi pengetahuan ber-ILMU kita mahukan. Membaca ialah salah satu cara seseorang itu menambah pengetahuan. PEMILIHAN bahan bacaan yang tepat, akan menjamin pengetahuan ber-ILMU kerana pengetahuan itu belum tentu ber-ILMU. Pengetahuan ber-ILMU ialah sesuatu yang boleh diambil MANFAAT, ditumpangi dan dapat DIAPLIKASI dalam kehidupan seharian. Membaca Majalah MANGGA, ARENA dan MASTIKA hanya mampu jadi bahan BUALAN kosong di kedai makan, bukan sebuah perbincangan ILMIAH.

Hikmah alam ini sebagai bukti sekolah percuma buat insani yang celik mata hati. Banyak peringatan, pesanan, wasiat berupa wahyu dari Allah Taala tentang keupayaan alam persekitaran memberi kesedaran. Iman kita boleh diukur, atau melihat perubahan pada diri dari sisi baik apabila dia bijak melihat alam dengan pandangan rohani.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan keadaan) langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya; kalau betul kamu orang-orang yang yakin (akan hakikat itu, maka terimalah sahaja apa yang diutuskan kepada kamu). (7) Tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Dia; Dialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan; (Dialah jua) Tuhan kamu dan Tuhan datuk nenek kamu yang telah lalu” ad-Dukhan (44:7-8)

Memahami tersirat di balik kejadian alam mampu menyuguh akal mendalami maksud kesempurnaan Allah Taala, berkuasa ke atas sesuatu. Konsep kehambaan dapat diperhalusi. Usah pergi jauh. Kalian bangun sahaja di waktu tahajjud, di keheningan malam sunyi dari pekikan suara. Kita mendonggak ke langit melihat sinaran bulan purnama, bintang-bintang bergemerlapan, dan pokok-pokok mendayu-dayu berbisikan sesama. Kita pasti dapati suatu perubahan pada sekeping hati, tenang.

Sebuah hikmah dari kejadian alam mengajarkan pada manusia agar hidupnya bahagia. Hikmah adalah ibarat barang yang hilang dari seorang manusia dan wajib baginya untuk mencarinya sehingga dalam proses menjalani hidup penuh makna.

Nabi s.a.w pernah bersabda;

Bermaksud: “Di antara tanah itu pula ada yang tidak menumbuhkan tanaman, ia menakung air. Maka dengannya Allah Taala memberikan manfaat kepada orang ramai, mereka minum, memberi minum dan juga bercucuk tanam” (Hadith Riwayat Bukhari)

Melihat fenomena alam seperti di atas saling memberi manfaat antara satu sama lain. Walaupun sebidang tanah tidak subur dan mampu menyuburkan pokok tumbuhan, tapi dari sisi lain dapat memberi manfaat sebagai penakung air yang baik di lembah-lembah, kolam, dan tasik.

Begitu juga hikmah di balik amalan sunat yang disarankan di dalam kebanyakan hadith soheh dan fadhail amal banyak memberi kesedaran dalam konteks perlaksanaan selain mendapat pahala. Kerana sahaja kita belum menemui natijah akhir dan manfaatnya dek akal kita lebih suka menyaring maklumat yang lebih terbuka, padahal walaupun nampak remeh ianya mampu memberi kesan mendalam.

Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Julai 4

Menemani Cinta Hingga Ke Syurga








MATA saya tajam memerhatikan dengan penuh pengamatan bangunan peninggalan sejarah itu dengan mata berkaca-kaca. Boleh dikatakan setiap hari saya akan mendatangi satu corok laluan berpagi-pagian untuk mencari mutiara-mutiara berharga di persisiran mahligai terunggul di rantau ini.

Semenjak berpindah ke rumah baru, saya tidak perlu lagi bersusah payah memerah keringat menunggu, berhempit-hempit, dan berpanasan di dalam bas, kerana jarak dari rumah ke universiti hanya mengambil masa sepuluh minit perjalanan. Kalau hendak diikutkan mungkin ada sahaja mereka yang pantas memberi alasan:

“Masih jauh tu”

“Alah, naik bas bukannya mahal sangat pun, dengan mata wang Mesir ni”

“Tidak mengapa, anta jalanlah dulu ana ikut dari belakang”

Namun keindahan setiap jalanan di angkasa lukisan arca bagunannya tidak tumpah seperti sebuah kota lama yang masih segar, kaki memancu gagah melangkah ke hadapan, saban hari setiap waktu dan ketika laluan ini, bumi kota lama ini tidak pernah sirna dari derapan bunyian ribuan kaki melangkah, berlari-lari anak, dan hentakkan kuat deruman enjin tua.

Suara-suara dari segala sesuatu meruak-ruak dalam gelombang besar dan tersuling ke liang-liang bisikan setiap yang melaluinya. Kali ini, saya merasakan ada sedikit kelainan yang bermain di jiwa, seakan-akan telah mengajak saya ikut mengukir bait kata-kata sebagai pahatan kenangan di setiap dinding bangunan unik itu.

Saya hampir tertewas pada lamunan kecil iblis bermain hebat di pandangan, seolah-olah berada pada kurun tapak bangunan ini ditegakkan:

“Eerm, mungkin sudah hampir ratusan tahun” bibit hati saya sambil bebola mata cuba mencari kepastian kalau ada catatan usang yang bertarikh pada deretan bangunan ini.

“Kenapa kali ini hati aku tertewas pada polimikan seni bina bangunan?”

“Apakah sebelum ini aku tidak pernah melalui dicelah batu-batu yang berkotak lebih indah dan lebih canggih dari ini?” saya terkesima hebat sambil mata bagaikan melekat kuat pada batu-batu tersusun rapi itu.

Lamunan hati saya mati seketika dek terdengar dari dekat laungan azan muazin berteriak lantang. Hati saya tergerak untuk mencari kebenaran disebalik tilikan tidak bertauliah sebentar tadi, mana tahu mungkin ada sesiapa yang lebih tahu tentang sejarah bangunan dan tembok besar yang masih gah berdiri di luar sana.

Kaki saya bergerak terancang seiring rabaan mata menguyu mencari dari mana arah azan itu berkumandang. Sambil berjalan telinga saya menangkap kemas suara-suara bel dan paduan nada malakut terkadang-kadang mencair jauh.

Saya menyaksikan pertengkaran di sebelah tempat saya mengelamun sendu tadi, dua perempuan saling melayan ke arah masing-masing dan seketika mereka ditarik untuk dilepaskan, pakaian di rumah mereka berterbangan terlepas ke udara seperti bulu-bulu yang sangat besar.

Saya terpesona sekejap dengan adegan-adegan yang tidak berbayar itu, boleh dikatakan sudah menjadi rutin harian orang-orang arab akan berirama keras sesama hanya kerana masalah kecil. Kaki terus memandu tubuh yang semakin mengurus, tiba-tiba mendekat suara serak-serak basah yang muncul dari antah berantah, tapi yang pasti suara itu bukan roh yang tersesat:

“Anak mahu ke mana?” suara seorang tua arab bertongkat bergerak laju sedikit daripada saya.

“Pak cik apa khabar?” wajah saya menjadi rembulan menatap kasih kepadanya.

“Saya mahu mencari arah suara azan tadi berkumandang” jawab saya tersimpul malu.

“Pak cik tahu di mana masjid tu” ujar orang tua arab itu. Saya terasa agak malu sedikit, masakan hal sekecil itu tidak boleh diselesaikan.

“Mari nak pak cik tunjukan”

“Pak cik pun mahu ke sana juga” sambil memegang lembut tangan saya, memimpin ke arah suatu bagunan tersorok kecil dari pandangan.

“Patutlah tak jumpa, di sebalik bangunan rupanya” saya membiarkan tangan terus disuluh oleh orang tua arab itu, sambil tersenyum malu.

Baru saya mengerti bahawa sebuah cinta suci itu, tidak semestinya perlu disaksikan dengan suara yang keluar semata-mata, cinta yang indah tidak perlu mencari sesat, cinta yang bersulam secangkir iman tidak perlu meminta berharap, dan cinta itu tidak perlu dibayar dengan material yang terpancak.

Cinta sebenar hanya perlu sedikit pengorbanan dan pengertian di sebalik tembok kukuh yang pernah dibina oleh Nabi Adam as dan Nabi Yusof as suatu ketika dahulu bersama pasangan masing-masing.

Rasa kagum pada lukisan ukiran bangunan dan keseniannya juga merupakan cabang-cabang cinta yang lahir secara ikhlas sepersis mawar berduri, petanda kasih yang masih belum termiliki.

Inilah kejujuran yang pasti, tanpa perlu mencari, dan meraba-raba senuansa ciptaannya oleh Tuhan Maha Mengerti akan keperluan sekalian hamba-Nya.

SEBUAH POTRAIT CINTA

Perkahwinan adalah suatu tuntutan dalam Islam. Antara perkara penting sebelum melangkah ke alam pernikahan ialah hal yang berkaitan dengan pencarian pasangan hidup kerana di sinilah cinta suci lagi halal akan dibina, untuk sama-sama merasai susah senang, jatuh bangun sebuah kehidupan berumahtangga demi melihat keperkasaan benteng pertahanan Islam terus kukuh dengan lahirnya zuriat-zuriat sebagai pejuang, dan sebagai pengganti pada kesinambungan para mujahid terdahulu.

Rumahtangga tadi sekiranya dibina dengan tapak semaian keimanan, ketakwaan, dan kasih sayang serta dipikul penuh amanah, sudah tentu akan bercambah biak kebahagian dalam melahirkan generasi yang soleh dan solehah, jauh dari pergolakan amukan jiwa memberontak.

Islam telah menyediakan garis panduan yang lengkap kepada bakal-bakal suami dan isteri di dalam memilih pasangan hidup:

Nabi s.a.w pernah bersabda;

Bermaksud; “Dinikahi perempuan itu kerana empat perkara, iaitu kerana hartanya, kerana kecantikannya, kerana keturunannya, dan agamanya. Oleh itu, utamakan wanita beragama nescaya kamu akan beruntung” (Hadith riwayat Muslim)

Apa yang dapat kita fahami dari maksud hadith di atas ialah ciri-ciri yang paling baik dalam memilih calon bakal isteri, iaitu mereka yang mempunyai pengetahuan dan beramal dengan ajaran agama. Mungkin pernah terlintas di benak hati kita untuk memiliki gadis yang memahami perasaan dan bersedia menyelami setiap pahit maun hidup seorang suami yang terpaksa berkerja keras dalam memikul amanah yang cukup banyak. Namun, siapa sebenarnya Insan Bernama Kekasih ini?

Pemilihan pasangan hidup tidak boleh dipandang ringan. Islam amat menekankan isu ini disebabkan kesannya di dalam kehidupan bermasyarakat dan keharmonian dalam negara adalah amat besar, kerana jika isu ini sampai tahap pergaduhan dan penceraian di antara suami dan isteri akan mengakibatkan rumahtangga dan nasib anak-anak bakal terumbang-ambing, tidak menentu. Justeru itu,, bagaimana generasi pelapis negara dapat dilahirkan? Sudah tentu apa yang diharapkan ibarat bermimpi di siang hari semata-mata.

Tanggungjawab membina rumahtangga yang bahagia dan melahirkan generasi cemerlang amatlah berat. Justeru, keteguhan dalam pegangan agama pasangan suami isteri perlu dipertingkatkan agar kita lebih bersedia menghadapi ujian dan cabaran hidup berumahtangga.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Ketahuilah bahawa harta benda dan anak pinak kamu itu adalah ujian, dan sesungguhnya di sisi Allah Taala jualah pahala yang besar” al-Anfal (8:28)

Sehubungan dengan itu sebagai bakal ibu dan bapa kepada bakal anak-anak, kita hendaklah menyemai benih yang ditanam dalam hamparan semaian iman sejak kecil lagi, agar bila mereka besar kelak akan bercambah biak padanya asas pengetahuan agama sekaligus melebar luas pada sakhsiah ruhiah dalaman yang mantap.

Berikan mereka bimbingan dan panduan tepat tentang kehidupan berkeluarga agar anak-anak tahu dan faham tentang adab-adab pergaulan sesama manusia yang berlainan jantina. Mengawal dan mengurus perasaan cinta kepada orang lain yang bukan mahramnya serta batas-batas yang sesuai dengan ajaran agama. Mana mungkin sebuah kehidupan rumahtangga yang bercampur baur di antara ketaatan dan maksiat dapat melahirkan generasi yang hebat lagi cemerlang sebagai penyambung zuriat keturunan.

Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud: “Setiap anak yang dilahirkan adalah dalam keadaan fitrah iaitu suci bersih, kedua ibu bapalah yang akan mencorak (kehidupan) mereka sama ada menjadi Yahudi, Nasrani, atau Majusi” (Hadith Riwayat Muslim)

Padahal cinta yang tulus mulus hendaklah bermula pada Dzat Maha Kuasa yang mencipta perjalanan darah yang unik sehinggakan menghasilkn preksi perasaan cinta dan kasih sayang sebagai salah satu fitrah insani yang perlu dihayati dari hati jatuh ke hati.

Dia tidak pernah mencerca hina para hamba-Nya, walaupun di sana kemurkaan-Nya sangat jelas dan sensitif pada kemaksiatan yang dilakukan oleh sekalian hamba-Nya. Namun kasih sayang Allah Taala Maha segala-galanya, mengatasi kemurkaan-Nya tatkala seorang hamba sudi merangkap, berteleku atas sajadah di keheningan malam yang syahdu mengharapkan keampunan dengan mengakui kesalahan, melahirkan rasa penyesalan di atas kelalaian dalam memilih sebuah perjalanan yang diredhai-Nya.

Allah Taala berfirman, bermaksud; “Hai anak Adam, kamu tidak adil terhadap-Ku. Aku mengasihimu dengan segala kenikmatan tetapi kamu membenci-Ku dengan berbuat maksiat. Kebajikan kuturunkan kepadamu, namun segala kejahatan naik kepada-Ku. Selamanya malaikat yang mulia datang melapor tentang kamu tiap siang dan malam dengan amal-amalmu yang buruk. Tetapi hai anak Adam, jika kamu mendengar perilakumu dari orang lain dan kamu tidak tahu siapa yang disifatkan pasti kamu akan cepat membencinya” (Hadith Qudsi)

MAHAR CINTA

Saya merenung sejenak, selepas usai melaksanakan tuntutan agama di masjid itu, di petang indah sayut menunggu camar berterbangan mencari jalan pulang ke sarang. Jika mengharuskan saya jatuh cinta kepada material terutama perempuan halal dikahwini, maka pengalaman jatuh cinta itu boleh saya gambarkan secara fakta, dan boleh juga saya gambarkan secara fiksi.

Kalau secara fakta, maka saya tentu akan melaporkan berapa tekanan darah, berapa denyutan nadi per-minit, dan bagaimana komposisi hormon serta enzim yang ada di dalam tubuh saya bergerak sepersis tumbuhnya rasa kasih dan cinta itu, seperti catatan di kaki tempat tidur seorang pesakit di hospital, yang setiap pagi dibaca oleh oleh para doktor dengan raut wajah tanpa emosi.

Kalau secara fiksi, maka saya akan menggambarkan begini:

“Terimalah lamaran sang kekasih untuk beradu di kamar hati”

“Jemputlah abang di Lembah Nil yang setia”

“Akan aku utuskan dewa-dewa kasih ke hatimu”

Gambaran yang lebih berbentuk suatu ungkapan puitis untuk dihamburkan ke liang telinga terus menerjah ke hati yang dalam untuk mengimpuls perasaan suci ditafsirkan semulus tindakan yang terzahir di mata.

Kalau seseorang ingin mengetahui atau mengalami bagaimana rasanya jatuh cinta, manakah gambaran yang lebih relevan baginya? Saya merasakan, orang itu tentu akan memilih penggambaran secara fiksi diletakkan di hadapan, manakala fakta adalah penguat pada hati untuk terus teguh pada pendirian yang lahir dari fiksi.

Spiritual atau jatuh cinta kepada Tuhan Maha Agung adalah fakta yang lebih abstrak daripada jatuh cinta kepada seorang perempuan. Kerana itu, menurut hemat saya, agar orang lain bisa mengetahui dan merasakan pengalaman tersebut, maka perasaan itu akan lebih efektif bila digambarkan secara fiksi.

Memang benar, pengalaman itu bisa juga digambarkan secara fakta dalam bentuk teologi atau psikologi. Namun saya merasakan gambaran seperti itu tidak akan secara normal boleh melahirkan rasa cinta berputik dan menggetarkan hati-hati yang merasainya. Tapi tidak mustahil kerana sejarah telah membuktikan pada zaman para sahabat, bagaimana mereka merasakan cinta yang tumbuh mekar di hati hanyalah layak untuk Tuhan yang Esa sahaja.

Allah Taala berfirman;

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah bergetarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayat-Nya bertambahlah Iman mereka (kerananya) dan kepada Tuhan jualah mereka bertawakal” al-Anfal (8:2)

“Membicarakan tentang CINTA ibarat menguras air di lautan dalam yang kaya dengan pelbagai khazanah alam. Tidak akan pernah habis dan kita akan sentiasa menemui berjuta macam benda. Dari sekecil-kecil ikan hingga ikan paus yang terbesar. Dari kerang sampai mutiara malah jika diizinkan Allah, kita mungkin menemui bangkai kapal dan bangkai manusia

Usia CINTA seumur dengan sejarah manusia itu sendiri. Jika di suatu tempat ada 1000 manusia, maka di situ ada 1000 kisah CINTA. Dan jika di muka bumi ini ada lebih lima bilion manusia, maka sejumlah itu pulalah kisah CINTA akan hadir”

Sungguh indah cinta itu, jika ditafsirkan dalam erti maksud yang sebenarnya.

JALAN SUNNAH

Ketahuilah teman, bahawa rumahtangga ini adalah sebahagian dari fasa-fasa perjuangan yang harus kita jayakan bagi mencapai matlamat suci kita. Islam sebagai rahmat bagi seluruh alam. Rumahtangga ini adalah obor bagi masyarakat Islam yang cemerlang.

Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan di atas jalan dakwah, maka ianya juga tidak akan terlepas dari sunnah jalan dakwah ini. Bahawa sunnah jalan dakwah ini dulu, kini dan akan datang bukanlah jalan yang merehatkan. Ia bukan juga jalan yang dihampari oleh permaidani merah dan ditaburi oleh bunga-bunga yang indah. Ia adalah jalan yang penuh ujian dan kesulitan tetapi di hujungnya terdapat kemanisan. Maka tidak seharusnya kita merasa bersedih hati di kemudian hari atau merungut atas kesulitan dan ujian yang akan dihadapi walaupun berbeza kerjaya dan lapangan.

Oleh kerana ia adalah sebahagian dari perjuangan, maka kepentingan perjuanganlah yang akan mencorak rumahtangga ini baik saya mahupun bakal pendamping kelak. Kepentingan perjuangan ialah kepentingan Islam dan masyarakatnya, sudah tentu jua wadah perjuangan yang mendokongnya.

Jika kita fahami apa yang dinyatakan tadi, maka tentulah diri kita terasa terlalu kerdil untuk memikul tugas ini. Hanya dengan bantuan Allah Taala sahaja kita akan berjaya. Namun, sejauh mana Allah Taala akan membantu kita adalah terletak pada sejauh mana kita mampu menepati segala kehendak-Nya. Justeru itu, kemungkaran adalah sesuatu yang asing dan sangat sensitif bagi rumahtangga ini kerana ia adalah penghijab bagi kita dari bantuan Allah Taala dan akan lebih menyukarkan jalan ini.

Bagi seorang mukmin, kecintaannya hanyalah kepada satu, cinta kepada Allah Taala. Kalau ianya harus mencintai yang lain, maka ia adalah cinta kerana Allah Taala. Inilah ikatan yang akan mengikat hati kita, cinta kepada Allah dan bercinta kerana Allah Taala. Semoga dengan ini kita akan digolongkan di kalangan salah seorang daripada tujuh golongan yang mendapat perlindungan Allah Taala di padang mahsyar kelak, lelaki dan wanita yang saling mencintai kerana Allah Taala semata-mata.

Tanpa ikatan perkahwinan ini pun, hati kita pasti diikat dengan rasa ukhuwwah fillah, kesatuan fikrah dan matlamat dari satu wadah perjuangan (menegakkan agama Allah Taala) yang sama. Ikatan-ikatan ini sahaja sudah cukup untuk kita saling mengasihi antara satu sama lain. Begitu kukuh ikatan antara mereka yang mempunyai fikrah dan perjalanan hidup seumpama ini, dalam dambaan cinta-Nya.

“Adam a.s bangkit dari pembaringan, membaiki duduknya. Dia membuka matanya, memperhatikan dengan pandangan tajam. Dia sedar bahawa orang asing di depannya itu bukanlah bayangan selintas pandang, namun benar-benar suatu kenyataan dari wujud insani yang mempunyai bentuk fizikal seperti dirinya. Dia yakin ia tidak salah pandang. Dia tahu, itu manusia seperti dirinya, yang hanya berbeza kelaminnya saja. Dia serta merta dapat membuat kesimpulan bahawa makhluk di depannya adalah perempuan. Dia sedar bahawa itulah dia jenis yang dirindukannya. Hatinya gembira, bersyukur, bertahmid memuji Dzat Maha Pencipta”

CINTA dalam Islam ialah untuk mereka memahami Islam dan tuntutan syariat, serta sentiasa berada dalam tarbiah, di samping tahu akan kehendak tuntutan fitrah suci manusia itu. Bukan sahaja manis di bibir tetapi bersedia untuk mengambil si dia sebagai pemaisuri hati, untuk sama-sama melihat Islam menjadi kuat dan dihormati kawan mahupun lawan, dengan pelbagai cara terutama dalam meramaikan zuriat yang mampu mendokong perjuangan para syuhada' terdahulu.

Kenal dengan cara mendalam (walaupun tidak menyatakan secara terus terang) merupakan kasih sayang yang suci kerana bimbang diri tidak boleh menahan gelocak nafsu yang sentiasa bersedia untuk menyerang. Inilah taaruf atau konsep cinta yang ditaja oleh Islam yang penuh berhati-hati dan menjaga kemaslahatan semasa.

Para hukama' pernah bermadah; “Barang sesiapa yang bercinta (dengan menjaga batasan dalam Islam dan untuk mencari keredhaan Allah Taala semata-mata) dan bilamana mereka mati (semasa cinta masih bertaut), maka matinya itu dikira mati syahid” al-Hikam.

Teruskan Pembacaan>>>

Melakar Pelangi Cinta (MPC) Sudah Terbit

Draf kulit depan buku MPC, design by Ustaz Habib Mustakim Ibrahim.







BUKU
Melakar Pelangi Cinta (MPC) telah pun terbit. Tiada apa yang terungkap di bibir seorang penulis melainkan rasa syukur yang tidak terhingga. Selepas beranakkan ‘anak sulung’ (merujuk pada buku; Berteduh Di Kebun Cinta) tiga bulan lepas, kini lahir pula ‘anak kedua’ penyeri suri hati. Kelahiran ini, akan memberi motivasi kepada saya dan mungkin teman-teman di luar sana untuk terus berkarya... sama ada orang suka atau tidak kita ketepikan, paling penting tanggungjawab dan amanah kita terhadap ilmu untuk diterjemahkan dalam bentuk satu perkongsian mudah, iaitu mudah dihadam oleh orang-orang biasa.

“Maaf ustaz, saya cemburu dengan kebolehan ustaz. Bakat saya ada, cuma kadang-kadang cepat sahaja jemu hingga hilang minat” keluh seorang pembaca blog.

Alhamdulillah ustaz, banyak pencerahan saya dapati dalam buku BDKC” seorang mak cik cuba kongsikan sesuatu bersama saya.

Dulu, saya pernah berkongsi tips menulis mengikut kaedah saya bersama para pembaca laman blog puteraazhari. Tips berbentuk umum, bukan berbentuk points lebih menyentuh urna spiritual sebagai motivasi mengekalkan momentum menulis; Penulisan: Maha Karya. Kerana setiap daripada kita yang mampu membaca, sebenarnya mereka juga mempunyai kebolehan menulis.

Bagi seorang pelajar bakat menulis mereka ada pada keupayaan menulis kertas kerja, bahas untuk dihantarkan sebagai penilaian para guru. Mahasiswa juga sama, mereka selalu terdedah pada tesis, assignment di universiti. Malah orang biasa juga terbiasa menulis surat, membalas e-mail, dan menghantar mesej. Mereka boleh, tapi disebabkan sahaja tiada tugasan seperti disebutkan tadi maka mereka lebih cenderung untuk tidak menulis dan mengembangkan bakat yang ada.

Bakat bukan datang secara kebetulan atau semula jadi.. tapi pada keupayaan mengasas sebuah minat mulai dari bawah.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan beberapa tips mudah menulis menurut cara dan kaedah saya bolehlah dapatkan buku MPC ini di BKAN mulai hari Isnin (05/07) dan DPM masing-masing mulai hari Rabu (07/07). Bagi peminat buku di Malaysia yang ingin mendapatkan buku ini sila hubungi Ustaz Muhammad Zulkifli Bin Abdul Ghani.

Berikut ialah latarbelakang buku terbaru MPC:

Nama buku: Melakar Pelangi Cinta (MPC)
Penulis: Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah @ Rezza Khanafiah
Genre: Motivasi Dakwah (Sinergi Iman)
Jumlah bab/artikel: 24
Halaman: 260
Saiz: 14cm x 21cm
Terbitan: Janub Saina'
Harga: LE27
Terbit: Julai 2010

Tempahan boleh dibuat bersama buku Berteduh Di Kebun Cinta; e-mailkan kepada Ustaz Muhammad Zulkifli Ibn Abdul Ghani: shabab9119 [at] yahoo [dot] com atau boleh hubungi (sms) ke talian: +20110480695.

MELAKAR PELANGI CINTA

Ramai teman-teman yang bertanya; kenapa Melakar Pelangi Cinta, apa maksud tersirat di balik pemilihan judul tersebut? Benar, jujurnya bagi saya amat sukar untuk memilih tajuk yang sesuai dan munasabah dengan pengisian di dalam yang diketengahkan. Boleh saya katakan, judul buku ini mengambil masa beberapa minggu, mengambil kira semua faktor dan selepas istikharah dilakukan saya merasakan Melakar Pelangi Cinta bakal menerbitkan sesuatu sinergi menggugah sebuah kekuatan dalaman, iaitu iman.

Hidup ini memang sentiasa diwarnai oleh kegembiraan dan kedukaan... setiap pengalaman yang kita lalui sentiasa mengajar kita untuk menjadi insan yang lebih matang dan berfikiran terbuka. Jika hidup ini diniatkan semata-mata kerana Allah Taala pasti setiap kedukaan itu bisa ditangani dengan hati yang redha dan ikhlas. Kadangkala ujian yang Allah Taala timpakan itu mempunyai rahsia dan hikmah tersembunyi yang kita sendiri tidak ketahui…. mungkin selepas itu kita merasakan kehidupan ini begitu indah kerana ia sentiasa diwarnai dan perkara yang mencantikkan lakaran kehidupan itu ialah iman, keikhlasan dan hidup kerana Allah Taala.

Justeru itu, buku MPC ini merupakan lakaran hidup saya, realiti kehidupan saya bersama masyarakat di sekeliling yang mana ianya ada kaitan dengan iman... hingga ke saat ini kesan daripada pengolahan hidup melalui pelbagai latarbelakang peristiwa berlaku kepada saya, kini saya mampu berdiri di lautan manusia yang kian meruncing. Masih mengekalkan gaya penulisan santai, berilmu, dan motivasi dakwah untuk mengajak para pembaca membina sendiri kemampuan berdasarkan kreativiti masing-masing.

KATA-KATA MENARIK

Antara kata-kata menarik terkandung di dalam buku ini;

“Kita boleh bawa lembu yang tidak boleh bercakap ke kolam, tetapi kita tidak boleh paksa ia minum, inikan pula manusia yang penuh dengan seribu alasan. Perubahan kepada manusia bukanlah semudah yang diceritakan oleh pensyarah dalam kuliah, atau seperti diajarkan oleh alim ulama’ di surau”

“Teman sejati, ialah teman yang tidak mengenal keburukan kita tapi mengenal kebaikan kita. Dia tidak pernah mengenal senang kita, tapi mengenal susah kita. Sejati sampai mati”

“Insan kerdil yang berasa tidak pernah cukup dengan apa yang ada, akan terus menghambakan dirinya kepada Allah Taala dengan sebenar-benarnya, kebahagian dan kesedihan semuanya diserahkan kepada Allah Taala”

“Pencarian mutiara ilmu tiada penghujung, ianya sentiasa di bawa pulang sebagai simpanan berharga di lubuk hati. Di sana masak-memasak akan berlangsung dan ianya bergantung kepada chef yang memasaknya, sama ada sedap atau sebaliknya akan diketahui bila ianya disemadikan dalam bentuk makanan rohani. Jika baik hidangannya maka baiklah amal perbuatan, jika tidak elok amal perbuatannya maka tidak baiklah hidangannya. Mungkin bahan dan rencah yang digunakan tiada sukatan tertentu”

“Ilmu Tauhid adalah ilmu mengenal Allah Taala. Dengan memahami ilmu sains, kefahaman kita kepada Allah Taala akan menjadi lebih berkesan, sebagaimana contoh orang Purba pun pandai buat rumah, tetapi dengan sains dan teknologi, teknik membuat rumah menjadi lebih berkesan dan menghasilkan rumah yang jauh lebih baik”

Pasti banyak lagi, dan setiap dari baris ke baris akan meninggalkan kesan yang membekas di hati setiap para pembaca.

Dapatkan Segera!!!


Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Julai 3

Melakar Pelangi Cinta II








SAYA dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan, hidup pas-pasan. Dari hari ke hari, kami cuba melawan kekurangan ada bagi memastikan kami tidak akan ‘mati’ dalam serba kelemahan, kurang dan lemah sesuatu yang abstrak, jauh perbezaan maknanya.

Hidup dalam serba kekurangan membuat kami lebih efektif dan berdisiplin mendepani masalah sosial, sudut world-view menjadi terancang, keinginan kami untuk berjaya makin luas dan memuncak. Di samping serba kekurangan, kami cuba sebaik mungkin agar tidak bergelumang dalam serba kelemahan, kelak akan memudarkan sebuah mujahadah hingga terjunam ke dasar low-spirit.

“Ibu tidak pernah kecewakan anak-anak ibu. Ibu akan cuba berikan terbaik buat anak-anak ibu, dan tidak mengurangi keperluan jasmani dan rohani. Usahlah kalian miskin jiwa hanya kerana kita miskin harta” ibu menanam kata-kata semangat dalam ruh jiwa kami.

Bijak ibu dan abah mengurus kehidupan kami, hingga hari ini, selepas hampir satu dekad kami keluar dari pembelengguan serba kekurangan, tetap kami disuap agar usah alpa, usah lupa bahawa kehidupan baik adalah berterusan berada dalam sikap ‘serba kekurangan’, hingga tidak mengurangi desus ruang-ruang untuk berjaya, bukan hanya sekali, dua kali, bahkan berkali-kali. Semua ini ada dalam satu pakej, iaitu sabar, kreatif, dan tekun.

Ya, ilmu... semua ini akan membentuk pencapaian dalam ilmu pada tahap tertinggi, hasilnya juga luar biasa. Ilmu adalah sebekas pengetahuan berjaya memimpin diri menjadi serba baik, bermanfaat, dan melateralkan kaedah thinking di luar kotak, mengjangkau jauh ke hadapan. Tidak pernah kurang dengan kelemahan yang ada.

Nikmat kesenangan, kekayaan tidak semua orang boleh mengecapi, tapi ilmu dan segunung pengetahuan sesiapa sahaja, miskin, sederhana, kaya bisa mengecapi, merasai manis menuntut ilmu... cuma hanya kemampuan sahaja membataskan seseorang itu merasai tahap penguasaan ilmu pelbagai.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana” adz-Dzumar (39:9)

Pasti ada di kalangan para pembaca berdebar-debar menanti bulan Febuari atau Mac setiap tahun. Bila dah tinggal beberapa detik lagi, hati dah mula gelisah, resah. Ketika ini ramai mengambil tindakan berkecuali, tidak banyak cakap, lebih senang dan tenang zip mulut sahaja. Mungkin juga ada di kalangan anak-anak, saudara mara, jiran tetangga, atau ahli keluarga pembaca lain akan menerima slip peperiksaan SPM, dan STAM pada hari ini.

Dia tahu, harapan sudah pun terpikul di bahu, usaha sudah... tapi kali ini benar-benar mengundahkan jiwa, dia cuba memujuk diri, lari dari cengkaman ini. Usahkan calon SPM dan STAM, ibu bapa juga turut terbawa-bawa dengan gelagat sama bila melihat perubahan sikap anak-anak mereka.

Kita dulu bagaimana? Ada sejarah tersendiri dilakarkan bukan?

Kalau kejayaan disebabkan usaha gigih kalian selama ini, linangan air mata kalian terlalu mahal, sangat manis. Namun kegagalan kalian disebabkan malas, dan kebodohan tindak-tanduk kalian dulu, jangankan ibu bapa, diri sendiri dipersalahkan bahkan air mata mendatangkan mudhorat. Jangan pula ada tidak bertegur sapa, tidak mahu ambil tahu dan sebagainya.

Tiada kejayaan tanpa usaha yang gigih, semua orang mempunyai makna kejayaan yang tersendiri, cara merai tersendiri, rasa kepuasan tersendiri. Kadangkala, bila kita puas selesaikan sesuatu perkara, itu pun dikatakan berjaya. Ya.. melalui kepuasan diri sendiri. Memang besar nikmat Allah Taala berikan kepada kita, nikmat akal, sihat dan sebagainya supaya kita dapat memilih yang baik mahupun sebaliknya.

Jangan pula salahkan takdir, andai diri pincang mentadbir.

Belajar itu tadbir, usaha itu tadbir, tuisyen itu tadbir, latihan tubi itu tadbir, berjaga malam mengadap buku itu pun tadbir, dan semua ini akan mempengaruhi takdir kita. Baik, Kita berjalan berbekalkan dua biji mata celik, tapi itu tidak bermakna kita selamat, kecuali kita ada hati-hati, berhati-hati melihat ke depan, kiri kanan ini adalah tadbir, bimbang ada lubang menghalang, pasti terseliuh kaki, natijah dari hati-hati tadi ada takdir kita.

Usaha dahulu, rasa susah jerih dulu, barulah berserah.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan” ash-Sharh (94:5-6)

Redha pula dipenghujung ikhtiar.

Kehidupan itu adalah sekolah kepada diri kita, banyak perkara yang bisa dipelajari dalam hidup ini. kejayaan seseorang itu bukan sekadar terletak pada kesungguhan, tetapi pada kehidupan yang dilalui sehingga menjadikannya seorang yang berjaya.

Kesusahan dan keperitan hidup banyak mendorong seseorang untuk berjaya dalam hidupnya. jika kita kaji balik tentang kejayaan insan-insan hebat di dunia ni, kebanyakan mereka bermula dari keadaan susah menempuh keperitan hidup.

Penting kejayaan kita bukan sebaik-baik kayu pengukur andai kurang berjaya akhlak atau gagal sakhsiah.

Peluang untuk berjaya terbuka kepada sesiapa, tidak kira sesiapa pun kalian. Boleh jadi hanya anak seorang petani, anak nelayan, luaran biasa-biasa, kerana mengukur kejayaan itu perlu pada hati kental, tiada rasa putus asa, kehidupan susah lebih sinonim sebab perjuangan dia bukan sahaja perlu berjaya sebagai pelajar tapi paling penting sebagai manusia, seorang muslim (hamba).

Bila melihat keperitan mereka, apa yang mampu ialah menghulur secebis rasa simpati dan memberi harapan. Jujurnya, mereka sendirilah yang perlu bangkit dan meneruskan perjuangan di kala sisi luaran malap, hidupkan pula obor semangat dalaman.

Segala apa dilakukan manusia mempunyai kesan sampingan yang lebih ketara berbanding kesan yang datang dari makhluk Allah Taala lain. Ini kerana manusia dibekalkan akal untuk berfikir, deria untuk merasa, dan hati untuk mengerti. Baik buruk kelakuan manusia akan tahu juga mana air dan mana api, membedakan antara al-Haq (benar) dan al-Batel (salah). Kedua-duanya tidak akan bercampur. Kepulangan pada fitrah manusia agar jadi baik adalah kemuncak kesempurnaan iman di jiwa. Kita berhak memilih jalan sendiri.

Tiada penafian pada sebujur nafsu yang tidak terasuh molek akan membunuh cara fikir yang lateral. Analoginya mudah; Perhatikan ini, ada orang miskin tidurnya nyaman sekali meskipun beratapkan rumbia atau langit Tuhan. Ada pula orang kaya tidurnya resah sekali meski beratapkan syiling buatan moden dan baik sekali.

Perhatikan ini lagi, ada orang miskin makan kenyang sekali meskipun ikan kering. Ada pula orang kaya makan lauknya banyak sekali tetapi tidak pernah puas hati. Jangan sempitkan istilah, kerana kesannya juga cukup mendalam.

Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian Barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris.

Kalau kita membaca sejarah, maka kita akan melihat bahawa agama, seni, ilmu pengetahuan dan teknologi itu saling berkaitan dan saling mendukung dalam perkembangan sebuah peradaban manusia. Teknologi tidak tumbuh di ruang hampa, ia tumbuh dalam interaksinya dengan ilmu pengetahuan, seni dan agama. Demikian juga halnya dengan ilmu pengetahuan, seni atau agama itu sendiri masing-masing tumbuh dalam interaksinya satu sama lain.

Moral, etika, delusi dan kreativiti manusia juga saling berkaitan dan saling dukung-mendukung dalam perkembangan sebuah peradaban. Kreativiti tidak tumbuh di ruang hampa, ia tumbuh dalam interaksinya dengan moral, etika dan delusi. Demikian juga halnya dengan moral, etika atau delusi masing-masing tumbuh dalam interaksinya satu sama lain.

Intelektual adalah seseorang yang menaruh dan memberi perhatian yang tulus, mendalam dan luas terhadap masalah-masalah sosial budaya masyarakat di mana dia berada. Para sarjana dan ilmuwan belum tentu dinobatkan sebagai ahli intelek andai kepakaran dan ilmunya itu tidak boleh digunapakai atau at least dirasai oleh manusia lain.


Masjid al-Azhar hingga kini menjadi pusat gedung ilmu terunggul di dunia.


RAIKAN ILMU

Setiap cabang ilmu sememangnya ada pintu dan tertib yang harus dilalui untuk sampai ke peringkat tertinggi. Untuk memahami ilmu Islam itu, sememangnya memerlukan pendekatan yang betul. Baru pandai merangkak, jangan pula terus berangan mahu berlari. Pandai untuk bertatih dari bawah, jangan pula memandulkan cita-cita untuk terus maju, cuma perhatikan kelayakan yang ada sebelum terjun masuk.

Apabila saya menyebut kenalah batas dan belajarlah membataskan diri. Saya tidak bermaksud yang ilmu syariah atau apa-apa ilmu di dunia ini hanya layak untuk orang tertentu sahaja. Tetapi ia adalah seperti papan tanda di jalanraya, agar kita memandu mengikut kesesuaian sekitar kita dan jenis kereta yang kita pandu. Jalan memang jalan Islam, tetapi bukan semua lencongan boleh speed sampai 100km/h.

Bukan semua naik Ferrari. Ramai yang hanya memandu Kelisa, maka berusahalah wahai pemandu Kelisa agar sampai ke tahap boleh memandu Ferrari. Caranya bekerja keras di kelas pengajian, bukan memandu Kelisa seperti Ferrari, lalu berangan-angan mencari mati.

Isu sunni dan syi‘ah bukan isu baru. Perbezaan salaf khalaf bukan isu baru. Semuanya dah establish zaman berzaman. Semuanya sudah ada metod sendiri. Maka isu-isu ini tidak boleh dipersalahkan sebagai punca kita jadi keliru.

Tapi isu-isu ini dulu isu orang mengaji, isu orang nak belajar memasak ilmu. Tapi ia telah diturun taraf menjadi isu orang ramai. Macam isu tol dan rasuah pemimpin negara. Produk sistem pendidikan pula semakin melahirkan golongan yang hanya mampu cemerlang dalam silibus sekolah, bukan kepada isu ummah.

Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

Menuntut ilmu pula ada disiplin tersendiri. Janganlah pula kita ingin belajar tentang ilmu permotoran, sibuk nak belajar dengan pakar perpaipan.

Tidakkah salah tu?

Jikalau mahu mendalami ilmu tentang setiap organ manusia (anatomi) untuk seterusnya jadi surgeon perlu kepada satu disiplin yang khusus dan panjang serta tidak mungkin boleh dikuasai dengan hanya melayari internet, takkan lah mahu mendalami segala kata-kata Allah dan Rasul-Nya yang begitu luas maksudnya (jawami’ al-kalim) tidak perlu kepada disiplin yang khusus dan tersusun, dan boleh terus jadi pakar bedah al-Quran dan Hadith dengan hanya melayari internet dan membaca artikel atau belajar secara sambil-sambil.

Bukankah diawal-awal lagi kita dah lakukan kesalahan.


Belajar untuk manfaatkan ilmu, bukan mencari mudharat daripada ilmu


BETULKAN NIAT

Ada antara kita yang bercakap tentang kerisauan terhadap sikap siswa-siswi Pengajian Islam sedia ada terhadap ilmu. Tentang sikap belajar hanya untuk peperiksaan, malas, ponteng, meniru, dan tidak thiqah. Namun terdapat satu faktor yang mungkin nampak remeh tetapi agak menggusarkan, iaitu sikap tidak yakin terhadap kemampuan diri untuk meletakkan diri sebaris dengan ulama’ tersohor.

Keutamaan kita pada ilmu agama yang Allah Taala turunkan dah semakin susut. kita tidak merasai miracle al-Quran sebab banyak sungguh ilmu-ilmu agama yang ditulis oleh pelbagai latarbelakang manusia. Kita makin jauh dari Quran dan kitab-kitab yang muktabar.

Kita tidak meletakkan prioriti pada pendidikan agama, terutamanya dalam membentuk tauhid dalam diri, tiada penekanan dalam fasa pendidikan sekolah rendah, pembelajaran asas Fardhu ‘Ain hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Apa yang terlintas di fikiran lebih pada mengutamakan ilmu untuk mendapat pekerjaan, hilang nilai-nilai moral dan value ilmu. Pelajar-pelajar di universiti pun kebanyakannya belajar untuk lulus peperiksaan, tanpa menguji kualiti ilmu dan menghisab diri, namun terlebih malang gagal untuk memperbaiki kemampuan berfikir.

Saya rasa, memang masanya kita perlu bermuhasabah, berbincang, mengusahakan, dan memohon pihak yang ada authority untuk kembalikan nilai-nilai ini. eloklah kita balik kepada ajaran al-Quran dan kitab-kitab dasar agar miracle dan rahsia (ruh) al-Quran itu dapat kita rasai semula dalam semua bidang. Jangan jadi seperti semut mati dalam balang gula.

Suatu metafora yang amat tepat dalam merumuskan situasi ini, bahawa umat binasa bukan sahaja kerana kekurangan ilmu, bahkan mati dalam lambakan ilmu. Sungguh menggerunkan.

Bila sudah terjawab semuanya, masing-masing sudah memegang slip peperiksaan, maka bermulalah lembaran baru, iaitu menentukan halatuju seterusnya. Pasti ramai sedang berpusu-pusu ke bank untuk dapatkan borang UPU, permohonan dibuat secara online, lebih cepat, mudah dan selamat.

Kalau result setakat cukup-cukup makan, pening juga nak hitamkan bidang paling sesuai, jurusan mana lebih secocok. Kalau result hebat-hebat, tiada masalah sebab mereka lebih cenderung untuk bersaing dalam bidang kritikal kerana sudah terbukti mampu. Maka jadilah ada di antara kalian lebih suka memilih apa yang dipilih oleh teman karib, alasan mudah nak studi, senang ambil berat, tak mahu berpisah. Mereka ini akan cepat mengalami sindrom down di bidang bukan medan sebenar dia.

Bila kita berada di persimpangan antara pilihan sendiri dan pilihan paksa, jauh lebih menggerunkan bila dipaksa.

Kita tidak selama-lama akan bergantung kepada manusia lain, tidak bererti kita langsung menepis bantuan mereka. Kaki kita melangkah, kita putuskan ke mana, tangan kita pegang, kita tentukan mana satu. Kita hanya dibekalkan pengalaman, kata-kata orang lebih tahu mengenal kehidupan sebelum kita mampu celik, mampu pegang, mampu melangkah.

Masa depan anak-anak tidak seharusnya ditentukan oleh keluarga. Peranan keluarga hanya menunjukkan jalan-jalan yang seharusnya dilalui oleh anak-anak. Melalui kaedah ini mungkin anak-anak mempunyai gambaran tentang minat dirinya. Menentukan karier anak akan menjadikan mereka pada suatu hari nanti buntu bila menghadapi kemelut dalam karier mereka.
Tidak dapat meneruskan halatuju dengan jitu dalam kariernya kerana jiwanya tidak penuh dengan apa yang dilakukan.

Maka jika dia seorang ahli ekonomi, ilmunya tidak dimanfaatkan dalam bidang ekonomi kerana jiwanya bukan jiwa ekonomi. Kalau dia seorang doktor, rawatannya hanya sekadar memberi rawatan, memberi ubat, dan dapat gaji besar. Jika dia imam masjid, maka dia hanya menjadi imam di kala solat sahaja, tidak lebih daripada itu. Mereka akan jadi jumud ketika berhadapan sistem nilai kehidupan.

Jika mereka mempunyai panduan dan bimbingan, mereka akan menjadikan minat dalam diri mereka sebagai option. Kalau mereka seorang pelajar perubatan, tanam sikap supaya benar-benar menjadi seorang doktor, berjiwa dan bernaluri doktor yang merawat bukan sekadar memberi deskripsi ubat. Mereka akan menjadikan minat mereka sebagai aktiviti kedua mereka.

Buatlah pilihan terbaik berdasarkan minat, bukan ikut-ikut teman kelak kalian akan penat. Mudah lesu dalam bidang itu.

Untuk kejayaan menyeluruh, penekanan perlu kepada penserasian atau pengimbangan pada kedua-dua hujung dengan memastikan bukan sahaja pengurusan masa, menghadiri kelas tambahan, latihan tubi, bersengkang mata baca buku tapi keupayaan kita berhubung dengan Maha Pemberi Kejayaan.

HISAB DIRI

Banyak isu yang mencelarukan minda dengan masalah ummah masa kini. Tenggelam punca, dan tidak dapat pastikan di manakah kedudukan kita sekarang. Saya sedikit tertekan kerana tidak tahu bagaimana hendak menyumbang buah fikiran dan tenaga untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.

Mungkin atas semangat dan dasar untuk melihat Islam itu kembali ke persada kegemilangan juga menjadikan Islam bukannya untuk orang agama sahaja. Mereka mempelajari Islam dan memberi pandangan berdasarkan Hadith dan al-Quran tanpa terlebih dahulu mengetahui disiplin-disiplin dan metadologi di sebalik miracle al-Quran dan terbitnya Hadith tersebut. Maka bila kita fahami betul-betul, di sinilah kita akan merasakan kekurangan dan kelemahan yang ada berbanding ilmu-ilmu yang diciptakan oleh Allah Taala. Allah Taala tidak pernah gagal memandang kita, melainkan apa yang kita telah sia-sia daripada memandang-Nya.

Pengajian Islam juga perlu direlevankan dengan kehendak semasa. Selain mempunyai asas yang kukuh, pelajar pengajian Islam perlu kemahiran nilai tambah (value added skills) untuk memastikan ilmu yang dipelajari relevan dengan tuntutan massa. Mungkin juga perlu kajian semula (re-evaluation) terhadap isi kandungan (content) dan cara (approach) pengajian Islam.

Saya juga memerhatikan bahawa terdapat penuntut ilmu (tholib al-‘ilm) yang kadang-kala tergesa-gesa dan over-reactive berbanding para guru mereka yang seterusnya menyumbang kepada cacar merba, dan syok sendiri.

Usaha dan tumpuan kita hanya untuk mencari kemenangan di pihak kita tetapi sepatutnya usaha kita untuk mencari keredhaan Allah Taala. Malanglah kita usia yang sedikit apatah lagi di akhir zaman ini masa yang ada berlalu dengan pantas sekali, kita sibuk dengan perkara yang bukan matlamat kita.

Biarkan si luncai dengan labu-labunya, kita sebagai at-tholib, da’ie, intelek (ulul albab) dan khalifah di muka bumi tetap sahaja berjalan menuju keredhaan-Nya. Barulah ekspresi menang dan menang akan bersama kita.

MULA DARI REBUNG

Bila kita berbicara tentang sebuah pokok bunga segar, tidak layu, pasti kita tahu kenapa terjadi keadaan sedemikian rupa. Sudah pasti cukup pengairan pada akar, tidak terlindung dari mendapat cahaya, tiada serangga perosak. Maka kita mula sedar, bahawa mendapat hasil seumpama ini bukan jalan mudah, perlu pada perhatian dan pemerhatian. Kita boleh samakan pokok bunga itu tadi adalah anak-anak yang perlu dididik, disuap ilmu, sebagai makanan rohani.

Penjaga baik ialah seorang ibu bapa prihatin, melihat kehadapan, masa depan tumbesaran anak-anak mengjangkau jauh ke ufuk timur, mendasar jauh ke bawah perut bumi Ilahi, melambung jauh hingga ke angkasa.

Wahai ibu bapa ketahuilah, kelahiran anak-anak di dunia ini adalah pelajaran baru bagi kalian, ianya satu amanah perlu dipikul. Menjadi ibu dan bapa yang tidak mengherdik anak-anak dengan kata-kata kesat, tidak mendoakan yang bukan-bukan kepada anak. Kata-kata herdikan, akan menjadi doa yang akhirnya membinasakan anak-anak secara tidak sengaja.

Kesian kepada ibu bapa kebal menahan penat bekerja siang malam berpanasan, bersejukan tapi kurang kebal dalam mendidik anak-anak. Ujian barangkali kita nampak di luar sahaja, sebenarnya ujian daripada anak-anak lebih berat ditanggung, masyarakat tidak pernah kering air mulut mempersoalkan keburukan tangan kita daripada kebaikan.

Sumpah seranah terlekat di birai bibir mereka, ngeri pula bila terkenangkan begitu.

Belajar untuk berkata cukup pada apa yang ada, semua itu bukan penghalang untuk mencari kebahagiaan dan keredhaan di sisi Allah Taala. Rahmat Allah Taala jua penentu segala-galanya, jadikan kekurangan ada untuk kita membina kekuatan. Kurang tidak bererti kita lemah, lemahnya kita sebab kita kurang bersedia mencanang hidup ruh islami dalam dunia serba mati ini.

Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal