PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Rabu, September 30

Dapur : Sup Ayam Kasbara'

Jarang sekali ‘dapur’ di laman blog penulis berasap. Alhamdulillah, baru tadi penulis menimba satu lagi ilmu masakan daripada seorang sahabat, beliau juga ahlul bait penulis yang berasal dari Surabaya, Indonesia. Resepi ini dinamakan: Sup Ayam Kasbara’

Resepi ini tidaklah terlalu rumit, hanya campak mencampak dan biarkan air (kuah) mendidih. Boleh sahaja sesambil tunggu air mendidih, buat kerja rumah seperti menyapu, mengemas dan sebagainya. Jangan pula tidur, lain pula jadinya.

Memandang kami masih lagi dalam cuti semester, ramai juga teman-teman yang datang ke rumah, menziarahi kami bersempena sambutan hari Raya Aidilfitri, sungguh meriah walaupun tidak bertemankan ulikan melodi lagu ‘Dendang Perantau’. Kami tidak menang tangan melayan kehadiran para sahabat dari seluruh pelusuk bumi gersang ini.

Resepi ini agak mudah berbanding resepi yang pernah kita cubakan dahulu. Bahan utama yang perlu disediakan seperti biasa, seekor ayam segar (anggaran berat 1kg, berharga LE23.75), dan daun sup (korups).

DOKUMENTASI MASAKAN

Bahan-bahan:

1kg ayam segar- lebih baik yang baru disembelih, dan dipotong kecil.

Air- disukat mengikut kesesuaian kapasiti ayam.

Daun sup dan daun bawang- dihiris (kalau tiada tidak mengapa)

4 biji bawang merah- dikisar

3 ulas bawang putih- dikisar

Rempah:

2cm kulit kayu manis.

Bunga cengkih- secukupnya.

3 sudu besar serbuk ketumbar.

2 sudu serbuk lada hitam.

Cara memasak:

Rebuskan ayam dengan air hingga mendidih, dan biarkan ayam direndam selama hampir 30 minit. Manakala dapur di sebelahnya pula siapkan bahan kedua yang akan dimasukkan ke dalam menu utama nanti, iaitu tumiskan bawang merah dan bawang putih yang telah dikisar halus itu tadi di dalam kuali yang dipanaskan minyak.

Kemudian masukkan serbuk ketumbar bersama dengan serbuk lada hitam ke dalam bahan yang ditumiskan tadi, kacau hingga serata dan sebati. Bila sudah sebati, masukkan pula sedikit air rebusan ayam tadi (untuk naikkan lemak, dan membangkit selera makan). Kacau hingga naik minyak dan wangi.

Seterusnya, tuangkan saki baki air rebusan ayam tadi, dan kacau sekali sekala hingga mendidih. Perlahankan api, dan masukkan ayam yang telah direbus tadi. Biarkan hingga mendidih, sesambil masukkan bunga cengkih dan kulit kayu manis.

Selepas itu, campakkan daun bawang, dan daun sup. Jangan lupa masukkan garam dan gula secukup rasa.

Terakhir, sebagai hiasan taburkan bawang goreng dan cili hidup yang dipotong cantik di atas menu kita ini. Kemudian siap untuk dihidangkan.


Sup Ayam Kasbara'



Masakannya ringkas, tapi sedap. Cubalah!




Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, September 29

Nota Hati Seorang Isteri




Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah orang yang paling berbuat baik untuk keluargaku! (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Berbuat baiklah kepada setiap insan, sesama manusia, tidak kira siapa kita dan ianya melatih diri bermula dari peringkat institusi keluarga lagi. Dalam segala kualiti yang boleh diukur pada jati diri seorang muslim, manusia yang dianggap terbaik oleh seorang Nabi, utusan Allah, adalah manusia mukmin yang berlaku baik kepada keluarganya.

Kebaikan adalah lawan setiap kejahatan, keburukan, atau kekurangan. Baik dalam erti kata sabar, ikhlas dan redha dalam menangani segala masalah, dugaan yang mendatang dalam melayari kehidupan yang fana ini.

Setiap sesuatu yang terjadi di dalam kehidupan ini adalah atas ketentuan-Nya bagi menguji kesabaran dan keikhlasan kita kepada tujuan hidup utama sebelum mati. Mati bererti berhenti, henti dari menikmati dan mengecapi kehidupan sebagai hamba-Nya yang sentiasa diuji.

Manusia yang sekeras batu pun hatinya, pasti akan lentur lembut dengan kebaikan. Batu yang mengalir padanya air walaupun setitis demi setitis akan terhakis sedikit demi sedikit sifat kerasnya. Jangan batu dibalas batu, nanti berkecai jadinya, harus ada sifat sabar.

Isteri dan anak adalah amanah yang mesti dipelihara dengan baik. Kesilapan dan kekurangan mereka hendaklah dipantau. Hubungan yang kukuh di antara imam dan makmum, membolehkan proses membetulkan itu dilakukan dengan baik oleh imam.

Begitulah perihalnya dengan bapa atau suami dengan isteri dan anaknya. Mulakan kewajipan membetul itu dengan membina hubungan terlebih dahulu. Sebagaimana jemaah menolak untuk dipimpin oleh imam yang dibenci, begitu jugalah isteri dan anak akan menolak nasihat dari seorang lelaki ‘asing’ bernama suami dan ayah.




PERANAN SUAMI DAN ISTERI

Tugas mendidik, mengurus rumahtangga, dan menyiapkan rohani anak-anak bukan sahaja terletak pada bahu si isteri sahaja, tapi suami yang lebih daya kekuatan berbanding perempuan. Ramai lelaki terlepas pandang perkara ini kerana alas an sibuk.

Bila kita tengok zaman sebelum 70-an atau 80-an, memang kebanyakan wanita adalah suri rumah sepenuh masa. Kaum lelaki merupakan satu-satunya sumber kewangan keluarga. Masa itu mungkin susah benar kita hendak dengar suami tolong buat kerja rumah apatah lagi turun ke dapur.

Namun keadaan telah berubah di atas faktor pendidikan, sosio-ekonomi dan politik, wanita telah terjun ke bidang pekerjaan masing-masing. Malah ada di antara mereka yang menerajui sumber kewangan keluarga. Namun begitu, wanita tetap setia dengan kerja rumah dan dapur. Para suami masih lagi ditermakan sebagai membantu isteri di rumah dan bukannya isteri yang membantu suami.

Adakah memang fitrah wanita itu dijadikan untuk menguruskan rumah, memasak, menyidai kain dan sebagainya? Manakala lelaki pula hanya diciptakan untuk bekerja atau cari nafkah keluarga semata-mata?

Dari zaman Nabawiyah lagi wanita sudah menjadi usahawan yang berjaya, berperang bersama lelaki di medan perang dan menjadi ahli ilmu dan periwayat hadith. Oleh itu, tidak tepat untuk mengatakan kaum Hawa telah berevolusi untuk mampu melakukan apa yang tidak mampu dilakukan sebelum ini. Soal kemampuan dan pencapaian wanita dalam mana-mana masyarakat harus dilihat dan dibincangkan berdasarkan latar masa dan sejarah masyarakat ketika itu.

Dalam konteks Malaysia, bukankah dari dulu lagi lelaki dan wanita sudah bekerja bersama-sama di sawah-sawah padi dan bendang. Ibu-ibu juga menjadi pendidik dengan mengajar anak-anak agama dan mengaji. Semua ini sesuai dengan keadaan sosio-ekonomi masyarakat waktu dahulu berdasarkan pertanian dan unit-unit sosial yang tertumpu di kampung dan luar bandar.

Tidak timbul polemik pada zaman itu tentang wanita yang merasakan hidup mereka ditekan dan peluang untuk mengembangkan potensi diri mereka disekat. Struktur sosial yang sedia ada cukup mencapai tujuan sosial dan permintaan ekonomi waktu itu.

Zaman telah berubah, dan wanita hari ini memainkan peranan yang berbeza dalam sebuah negara yang demokratik dan mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Seharusnya tidak timbul masalah tentang penyertaan wanita dalam kemajuan masyarakat kerana hak-hak mereka dalam pendidikan, pemilikan harta dan hak di sisi undang-undang semuanya dijamin dan dipertahankan oleh Islam.

Masalah dan polemik yang timbul selalunya berkisar tentang sejauh mana penyertaan wanita dalam ekonomi memberi kesan kepada keluarga dan anak-anak, bagaimana wanita membahagikan masa antara kerjaya dan anak-anak di rumah, dan sebagainya. Terpulang kepada wanita itu untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini.

Pandangan pembaca bagaimana pula?

p/s: sambil menulis artikel ini, penulis menyiapkan penyusunan buku kedua di sini, pastikan mendapat buah tangan kedua penulis nanti.



Teruskan Pembacaan>>>

Melakar Cinta Di Syurga



Berkata Umar Ibn al-Khattab: Hendaklah jangan kamu menilai lelaki yang soleh itu hanya dengan melihatnya di masjid sahaja, namun hendaklah kamu melihat bagaimana muamalah dia ketika berurusan dengan orang lain

Meraba-raba dalam kegelapan, tidak tahu mana halal dan haram, tidak akan menjanjikan suatu jaminan cinta itu betul-betul suci. Kononnya bercinta untuk meraih redha Ilahi. Dua pasangan kekasih bercengkerama di bawah bulan purnama, mengisi tahajud dengan bunga-bunga cinta berapi, telinga ditusuk dengan panahan syair-syair indah menggetis keasyikan dua pasangan yang hangat bercinta dalam dosa. Kebusukan tingkah laku mengelaburi mata dan nafsu yang mengelocak tinggi. Mudah sahaja mereka membayar harga sekuntum cinta, mekar merona di tubir sukma, si dia menabur janji dan mula dibuai mimpi, mereka khayal kerana hanya tercium haruman wangian bait kata-kata sang kekasih.

Kalau dicurahkan air panas di sebelah tangan kanan, manakala tangan kiri asyik sahaja membelai dan mengusap rambut kekasih hati, kelembutan belaian tangan itu telah melenyapkan sifat panas yang ada pada air itu. Rasa syahwat itu diangkat tinggi melebihi rasa sakit. Inilah dikatakan cinta sakti, penangannya pernah dirasai sendiri oleh Siti Zulaikha yang tertarik dengan ketampanan Nabi Allah Yusuf as, hingga menarik dirinya untuk melakukan maksiat, hingga tangan-tangan wanita luka terhiris pisau sendiri terpesona melihat dzat wajah Nabi Yusuf as.

Jangan kita sempitkan istilah ‘bijak’. Semua orang fikir salah satu faktor kejayaan manusia dalam lapangan peperiksaan di sekolah, Institusi Pengajian Tinggi (IPT), dan penjawat awam kerana dia bijak. Anda betul, dan tiada siapa yang bisa menafikan. Namun jika jawapan anda mengatakan seseorang itu pandai menggunakan ‘bijak’ dalam kehidupan seharian, itu lebih tepat. Orang bijak sahaja tidak cukup, andai tiada usaha ke arah mencapai kejayaan, kerana mereka yang tidak ada ‘bijak’ pada diri tetapi bijak mengurus tadbir diri, tidak mustahil lebih cemerlang daripada mereka yang punya ‘bijak’ pada diri. Bila tidak cukup bijak itu, yang akan memakan diri, segala impian dan harapan akan musnah dek termakan hasutan syaitan dalam memenuhi tuntutan hawa nafsu.

Terasa pelik juga kerana tidak pernah kenal dan bersua, tetapi bermain dengan kata-kata indah, berbalas khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mail, dan sebagainya, dengan mudah boleh jatuh cinta. Bila nafsu diletakkan di hadapan semua yang salah, nampak betul sahaja. Manakala bagi mereka yang sedikit mengaji, faham tentang halal dan haram, namun kerana tewas juga pada nafsu, matlamat cuba untuk menghalalkan cara:

“Rasa kurang best kalau tak kenal dengan lebih rapat, at least kita kenal latar belakang keluarga dia”

Pada mulanya nampak baik, tetapi bila terlalu kerap berhubung dan bertemu masa program, maka akhirnya mereka mengambil jalan pintas untuk melayan perasaan.

Namun bila konsep yang sama diterjemahkan ketika bercinta dengan Allah Taala tidak pula kesampaian, sedangkan setiap umat Islam tahu akan peranan solat yang dikerjakan lima waktu setiap hari. Interaksi kita bersama Tuhan, adalah setiap kali kita mengangkat takbir dan sebelum salam, sepatutnya telah menjanjikan sebuah cinta yang lebih berapi. Masakan tidak, setiap hari kita berkomunikasi dengan Allah Taala, lebih hebat dari sekadar menghantar khidmat SMS, tidak perlu habiskan duit untuk menampung kos kredit yang digunakan, tidak perlu banyak habiskan suara mengungkap bicara indah, secuma tenang dan teguh selama lima minit, cukup rukunnya, dan dihujungnya dipanjatkan doa. Mudahkan, tapi apabila diluar solat lain pula yang terjadi.

Peoples often do mistakes on ‘cinta’ because of the way they define cinta itself. Cinta is coupling. Cinta is sharing everything. Cinta is going out together. Cinta is holding hand, etc.

Ego instead of throwing tantrums over them, the initiative on helping them to define cinta in right ways are of the greatest concern actually.

Taburlah bunga-bunga cinta kepada insan yang halal…

Suluhan pada menyempurnakan separuh agama bermula dengan mencari pasangan untuk dijadikan bakal suami dan isteri, merisik, melamar, dan seterusnya mengikat janji setia hidup bersama secara sah. Tiada siapa yang dapat menghalang sang mempelai melayari bahtera pertama mereka di malam hari. Inilah petanda mereka halal di sisi syara’. Memegang, memimpin tangan, mengusap, mengucup dan memeluk, tiada siapa yang berhak menghalang. Gelodakan hawa nafsu yang ditahan sekian lama, dibayar tanpa bersyarat pada sentuhan halal itu. Islam tidak pernah menyisih umatnya dalam soal sosial hidup (muamalat), bahkan dari semudah sentuhan tersebut, sungguh senang untuk menghasilkan pahala ibadah.

Tidak perlu timbul keraguan perihal pasangan masing-masing yang telah dipatri:

Apakah betul pilihan aku ini? Apakah cinta aku benar-benar kerana takwa kepada Allah Taala, atau hanya pandangan nafsu semata-mata?

selepas usai lafaz ‘aku terimah nikahnya’, maka dua pasangan tadi telah dibebani dengan suatu tanggungjawab yang luar biasa. Tiada lagi timbul keraguan dalam soal memberi cinta kepada sang kekasih yang telah sah menjadi pungguk dan bulan.

Semua yang telah terjadi adalah takdir yang perlu disyukuri bukan mengeluh pada pasangan. Kesempurnaan pada nilaian kaca mata disyukuri, manakala kekurangan yang ada diredhai. Anda tahu, mungkin mustahil seseorang itu memiliki pasangan seperti apa yang diharapkan di atas tikar sejadah, pada sebuah doa seperti ini dan itu. Tapi itulah takdir anda, terima seadanya, tidak perlu lagi pening memikirkannya, lantas mengurangi moral pada tanggungjawab yang semakin bertambah. Fikirlah bagaimana pula ingin melahirkan bintang-bintang bersinar dari benih diri, menghiasi malam-malam indah.

Kita pernah melihat dengan mata kepala bagaimana banyak hubungan suami isteri berada pada ambang penceraian. Tertanya-tanya di manakah punca, di manakah pula penawar? Kadangkala kita serabut cuba mencari di manakah puncanya, hingga lupa untuk mencari penawar. Sebenarnya persoalan kembali kepada perkara yang paling akar, tetapi itu juga seringkali terlepas pandang, tentang cinta yang bersulamkan takwa.

Benar kita ada institusi keluarga yang perlu dipertahankan, tetapi jangan juga terlupa kini semakin banyak institusi keluarga dan cinta yang menanti rebah, semuanya perlukan dos-dos ubatan. Pembentukan keluarga Islam yang bertakwa penting dalam proses menguatkan masyarakat Islam. Keluarga-keluarga kecil yang bertakwa ini bila dikumpul dapat membentuk masyarakat Islam yang pastinya bertakwa.

Mengayam cinta bertatarkan Iman…

Cinta perkataan yang indah dan suci, sekiranya takwa menjadi benang dalam menyulam cinta. Falsafah cinta yang harus dipegang dalam perkahwinan:

Kita adalah tidak sempurna tetapi perkahwinan akan menyempurnakan kita

syaratnya ialah masing-masing perlulah ikhlas kerana ikatan perkahwinan dimulakan dengan perjanjian yang menggunakan nama-nama Allah, satu perjanjian yang sangat besar.

Bercinta hingga ke syurga amat mudah dijadikan bahan tuturan, bait-bait puisi, tapi bagaimana pelaksanaannya? Jika perahu kecil teroleng-oleng di tengah lautan bergelora dan pendayung tidak cekap berfikir, dan tidak berkemampuan berbuat sesuatu demi keselamatan dan kebajikan para penumpang. bagaimana halnya dengan penumpang ini?

Anda sudah punya jawapan pada apa yang telah dijelaskan di atas. Tepuk dada Tanya Iman.




MELAKAR CINTA DI SYURGA

Dalam kaedah medical; menyelesaikan presenting problem itu hanya seperti mengubat symptom. Selsema akan berhenti, tetapi tiada janji selsema itu tidak akan datang kembali.

Menyelesaikan real problem itu seperti mengubat penyakit sebenar atau dalam bahasa mudah punca akar segala penyakit. Ibarat selsema, ia kerana kurang daya tahan tubuh. Jadi rawatlah kurang daya tahan tubuh itu, Insh-Allah dengan sendiri selsema dan simpton-simpton lain akan hilang.

Begitu juga halnya dalam bab rumahtangga. Keperluan menilai dan menampung kekurangan yang ada, adalah soal bersama. Petanda-petanda awal pada keretakan sebuah rumahtangga dapat diberi rawatan dengan segera. Isteri tidak pernah mengambil hati dengan perbuatan dan tingkah laku si suami, manakala si suami tidak pernah mengurangi pada kelemahan yang ada pada si isteri. Semak-semak yang mula ingin tumbuh tinggi , harus diracuni cepat-cepat sebelum menutup bumi.

Membincangkan hal hubungan suami isteri semestinya tidak lari dari memperkatakan tentang matlamat sebuah rumahtanga itu dibina. Setiap suami dan isteri wajib tahu tugas dan peranan masing-masing bila sahaja bergelar suami atau isteri. Benar, atas nama cinta si suami akan berusaha sedaya upaya melengkapkan rumahtangga dari semua aspek fizikal, emosi dan rohani . Dengan cara ini tiada ruang lagi buat si isteri meragui cinta si suami dan ia juga akan menjadi pemangkin kepada si isteri untuk juga melengkapkan rumahtangga menjadi sebuah rumahtangga yang cemerlang, Insha-Allah.

Tanggunjawab tanpa cinta adalah beban dan derita.

Dalam rumahtangga memang memerlukan dua pihak memainkan peranan untuk menjayakannya. Namun, tidak perlunya cinta sebelum akad kerana sesuatu yang suci jangan dicemari dengan sesuatu yang menyimpang dari jalan-Nya.

Setiap manusia ada kelemahan. Kasih sayang ni pun ada pasang surutnya, sama seperti Iman kita. Jadi tidak salah kalau kita tegur menegur dengan cara berhikmah untuk mendamaikan dan membahagiakan rumahtangga, kena selalu muhasabah. Bersyukurlah apabila kita mempunyai jodoh di dunia dan dikurniakan zuriat. Ramai lagi di luar sana yang masih tercari-cari jodoh sedangkan usia sudah menginjak tua. Hargai pasangan, bersyukur dan bersabarlah.

Tidak usah timbul soal si isteri tidak puas hati dengan sang suami kerana jarang memuji kecantikan, dan keprihatinan anda kepadanya. Anda telah pun mendapat bonus di sisi Allah Taala kerana menjayakan keperluan dan kehendak suami, menjujung perintah suami tanpa syarat.

Anda kena faham tatkala suami tidak pernah mengurangi diri kalian dengan kata-kata yang menyinggung perasaan, sehingga menjejaskan sebuah bahtera yang telah siap dibina.

Sayang, cuba check berapa kali saya tegur awak tidak cantik. Tiada bukan?

Walaupun tidak pernah menutur ‘cantik’ pada sri wajah, namun jauh di sudut hati, si suami tidak pernah mempersoalkan kelemahan yang ada pada sang kekasihnya. Itulah sebuah kasih dan sayang dalam jaga, dari selalu menabur kata-kata manis dan cinta, namun sampai satu masa keburukan isteri dipersoalkan, seolah-seoalah kata-kata hanya manis di bibir, bukan sampai menerjah ke hati.

Pasangan suami isteri perlu bijak menghiasi rumahtangga agar sentiasa kelihatan fresh dan tidak terasa hambar serta puas dek ditelan masa. Kita sering bermadah perjalanan sebuah rumahtangga seperti perjalanan sebuah bahtera menongkah lautan luas.

Kita kena faham bahtera yag sudah lama berkelana di lautan, akan kelihatan usang juga bila sudah lama berkhidmat untuk tuannya, namun bagi mereka yang bijak, mereka akan sahaja mencari jalan untuk mengindahkan bahtera usang tadi untuk kelihatan baru dan cantik. Jika ada papan yang bocor, maka akan digantikan papan yang baru. Jika bahtera nampak kusam kerana pudar sri warna, maka dicat dan dihiasi dengan pelbagai warna yang indah.

Jangan menganggap kegagalan perkahwinan adalah pengakhiran pada sebuah hubungan. Mempercayai sebuah kehidupan manusia tidak pernah sirna dari musibah, atau rasa kurang senang antara pasangan. Tingkatkan imunasi hubungan suami isteri, serta keluarga seluruhnya. Bila kita mempunyai minda sedemikian, perkahwinan yang sudah lama terbina masih tetap terasa baru.

Terlebih malang, jangan jadikan perkahwinan tersebut pemusnah sebuah jambatan penghubung cinta si suami, isteri, dan keluarga keseluruhannya untuk terus:

Melakar Cinta Di Syurga.


Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal