PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Isnin, September 27

Mencari Yang Maha Satu






AIR hujan pada bumbung langit turun menjamah manja tanah gersang. Derapan kaki di dada bumi pula perlu dibesarkan mengimbangi kepantasan air hujan yang terjun mencuram, sebelum pakaian yang melekat di badan basah. Beburung tidak lagi kelihatan bermain di ruangan angkasa. Anak-anak berlari kecil memenuhi setiap ruang di ‘pinggiran’ tembok bangunan usang. Malam pula menyingsing di kala senja mengantikan siang.

Indah sungguh skrip yang terlakar pada hari tu. Hanya Allah Taala sahaja tahu dan mengerti cerita hati yang tersirat di sebalik babak ke babak silih berganti ini. Inilah sunnatullah, perjalanannya sudah ditulis.

Saya tidak pandai membaca tulisan alam, apatah lagi menggarap dalam tulisan manusia unik ini. Permainan ini akan tetap diteruskan sama ada manusia itu sedar atau tidak, berjalan seperti biasa, tidak menunggu pada yang terlambat.

Manusia berjalan tidak sesekali sama dengan manusia berlari, dan jauh pula untuk dibandingkan dengan manusia menderai kuda. Tiada persamaan di antara satu sama lain. Destinasi utama dijadikan idaman. Ada yang lalai dan masih lagi alpa dibuai ulikan dunia. Persiapannya hanya berbekalkan pertualan hidup sia-sia.

Benar siang tidak selama-lamanya, akan sampai jua masanya digantikan malam.

Usaha ke arah kebaikan bukan sahaja bergantung pada ingin dan tahu, malah pada pengalaman yang memandu. Pengetahuan isi luaran, bermain bersama persekitaran, membedah warna-warni isi alam, jatuh bangun bersama semangat ingin membaiki kelemahan. Inilah pengalaman yang berfungsi.

Pengalaman itu sendiri bukanlah guru. Pengalaman akan hanya menjadi guru apabila kita memproses pengalaman itu. Dapat dikenal-pasti hujung pangkalnya, kelebihannya, kelemahannya dan dirumuskan sebagai panduan. Adapun panduan itu tidak optimum kecuali apabila ia didokumentasikan.

Dokumentasi pengalaman yang saya harapkan ialah tepat dan jelas. Tepat sahaja, tapi kalau tidak jelas, abstrak, tidak praktikal akan menghilangkan nilai tepat itu tadi.

Apakah hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini? Pada waktu itu baru kita faham dan akur tentang apa tujuan kita dihidupkan di dunia. Dan di situ jualah baru kita sedar apa yang paling bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam hidup.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya – iaitu hari seseorang melihat apa yang diusahakannya, dan (pada hari itu) orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)” an-Naba’ (78:40)

Keadaan ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah Taala dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Kesedaran seseorang hamba juga terletak pada proses menyampai. Terpulang sama ada ianya datang daripada diri sendiri, atau orang lain.

Kita perlu merasai terlebih dahulu, kita terlebih memakan buah-buah (ilmu, pengalaman, dan buah fikiran) tersebut, bimbang kita memberi kulit buah sahaja kepada orang-orang yang mendambakan.

Biar kita merasai kemanisan dalam beribadat, ketenangan dalam melihat makhluk ciptaan-Nya, kelazatan ketika menyebut nama-Nya, perendahan diri secara mutlak tatkala sujud di hadapan-Nya. Tenggelam dan asyik dalam melihat-Nya. Jangan pula kita tenggelam dalam ego dan kemasyhuran yang menyebabkan kita terdinding dari orang yang diberi akan ilmu hikmah.

Berilah dengan ikhlas, dan terimalah dengan penuh redha.

Hikmah pula lahir dari proses mengeluarkan kesimpulan baik dari mehnah. Tersurat di sebalik tersirat. Ujian dunia didepani dengan bijak, dan disalurkan pada kebun nurani lembut. Bertahan di atas kesulitan.

Berunding lebih senang memahami hikmah, dari terus melulu menunding.

Dilihat secara keperluan modal, nilai harta jasmani (kewangan) yang diperlukan untuk usahawan perundingan adalah antara yang terendah di dalam perniagaan. Ini adalah kerana, perundingan mengambil harta intelek (keilmuan) sebagai bahan untuk dimuamalahkan.

Kalau berniaga dengan Allah Taala sekalipun kita mengharapkan elemen keuntungan, saya kira tidak ketara kalau dikatakan perniagaan sesama manusia juga mengharapkan elemen asas yang sama. Bukan keuntungan itu yang menjadi ukuran kita memulakan perniagaan, tetapi dapat bersama melaksanakan pertukaran bahan itu yang lebih utama.

Kalau perniagaan lama melibatkan pertukaran garam dan gula, tiada salahnya perniagaan kini melibatkan idea dan poket kita. Dalam pengurusan pertukaran tersebut, yang kita rujuk sebagai berniaga, sudah pasti sudah pasti pengurusan segalanya memerlukan sumber, berbentuk tenaga dan apa yang ada di poket kita.

Berapa banyak kita hendak mengautnya untuk kita yang akan menjadi ukuran kepada keikhlasan kita dalam berniaga. Membantu agama suci ini.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” Muhammad (47:7)

Berniagalah kita dengan Allah Taala, dengan memberi dan terus memberi manfaat kepada manusia lain. Ketika proses memberi inilah, memahmudahkan jalan kita mengenali Tuhan yang mencipta, dari tiada kepada ada. Keuntungan perniagaan di saat ini kita perolehi, modalnya pula tiada dipinta.

Perhatikan alam terbentang luas dalam erti kembara mencari TUHAN.

Dialah Allah Taala, Tuhan Maha Besar. Maha segala-galanya.

ameen
Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, September 22

Manusia Di Antara Persimpangan Memilih






USAH bimbang duhai teman, kita hanya manusia biasa menunggu giliran untuk dipanggil bertemu Allah Taala. Pertemuan tersebut sama ada kita datang kepada-Nya sebagai kekasih, atau tersisih. Tersisih? Benar, tersisih dari rahmat Allah Taala untuk bersama para solehin, muttaqin, dan syuhada’ di dalam Syurga Allah. Dulu, kini dan akan datang kita adalah kita, tiada siapa akan ganti atau ambil alih tempat kita. Maka usah risau jika tangan kita asbab kita dihumban ke dalam api neraka, usah bimbang kerana kaki kita tidak pernah peduli melangkah sama ada ke tempat ibadat atau maksiat, yang ada ialah memuaskan hayat.

Namun, apabila sering gagal menjawab pertanyaan Raqib dan ‘Atib, barulah nak berubah, baru nak ingat Tuhan. Tuhan baginya hanya satu-satu masa, bukan setiap masa. Mudah sahaja menyebut istighfar, tasbih apabila terkena musibah tapi kita tetap mudah lupa untuk muhasabah. Bila business merundum, barulah mulut mula menyebut kalimah ‘ALLAH’. Aduh.. hipokrit dan munafiq. Soal ibadat solat merundum, puasa menurun, zakat dah bayar ke belum tidak pula ambil tahu.

Usah bimbang teman, kita akan dibalas dengan apa kita lakukan. Kalau di Syurga destinasi akhir kita, kita patut beristighfar kerana kita masih selamat dari dihumban di dalam Neraka. Kalau Neraka tempat paling layak bagi kita, maka bersyukurlah kerana itu kehendak kita di dunia dulu.

Corak hidup yang telah diciptakan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri telah meletakkan mereka berada pada situasi yang berbeda-beda mengikut kemampuan menggunakan pencerahan ilmu dan akal yang sihat, di samping senantiasa mencari peluang untuk bersaing dengan arus hidup yang kian bergelora. Kejayaan melawan arus tersebut boleh dilihat dengan kehadiran rasa ketenangan, keharmonian, dan pencapaian maksimun dalam hidup, serta jauh sekali mengalami konflik walaupun kesenangan bukan sesuatu yang dikejar, kerana mereka ini percaya kesenangan harta boleh sahaja dicari di mana-mana corok, asalkan halal.

Berbeza pula mereka yang senang harta tetapi sengsara dan miskin jiwa... diri sentiasa bergelumang dengan maksiat. Mereka mampu membina atau membeli sebuah rumah besar, memiliki kereta mencecah jutaan ringgit, saham-saham yang sentiasa naik melambung tinggi, dan membuat pelaburan jangka panjang... tetapi mereka belum tentu bisa membeli sekeping hati, melabur hati pada sumur kebahagian, di mana sentiasa rasa tidak puas untuk berbuat amal, tidak jenuh untuk melakukan ibadat, menjaga pantang larang sebagai seorang pelabur baik di sisi Allah Taala. Inilah kegagalan manusia menilai, mudah sahaja terikut kehendak hawa nafsu yang buas.. tidak cukup dengan apa yang ada, terus haloba dengan apa yang tiada.

“Ustaz, saya mahu enjoy dulu... saya masih muda”

“Kau kena pastikan aku dapat tender projek berjuta-juta di Dubai secepat mungkin. Aku sanggup bayar berapa sahaja engkau mahu”

Pengembaraan saya ke seluruh pelusuk negara ketika di tanah air dahulu mengajar saya erti sebuah kehidupan yang lebih bererti kerana dapat mengenal dunia luar. Sangat berbeza dengan negeri, tempat tumpah darah saya ketika dilahirkan sehinggalah tamat sekolah menengah. Tepat sekali pepatah Melayu yang mengatakan:

“Jauh berjalan luas pemandangan”

Luas pemandangan dalam konteks mempelajari tentang baik buruk lakaran hidup, baik diambil sebagai teladan diri, buruk dijadikan sempadan. Kadang-kadang bila fikir tentang mehnah manusia ini, teramat sukar untuk diterima, ada semacam ingin marah tapi tidak terdaya, sesekali rasa kelakar pun ada. Mungkin ini dikatakan satu ibrah (pengajaran) bagi mereka yang benar-benar mengambil pengajaran dalam setiap pemerhatian pada sebuah eksperimen tidak formal ini... kemudian diterjemahkan dalam kehidupan.

Tahniah, kepada kalian yang sudah memilih jalan hidup. Masih ada masa untuk mengubah haluan, terpulang pada tangan menerpa, dan kaki melangkah.


Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, September 21

Kehidupan Insani Memerlukan Motivasi









MOTIVASI ialah melihat sesuatu jauh kehadapan dan menjenguk sesuatu tinggi melangit. Buah akalnya berupa api semangat, meredah susah untuk senang kemudian, sama ada dia berani atau langsung tidak dia tidak terkesan kerana matlamatnya hanya satu, iaitu mencapai apa yang diimpikan. Muhasabah pula, mencari gali hikmah di sebalik mehnah, mengeluarkan isi tersirat di sebalik tersurat... kebaikannya diteladani dan keburukan ada disempadani. Orang mukmin akan memanfaatkan kedua-dua M ini untuk mencetus sumber inspirasi dan aspirasi dalam hidup.

Motivasi dan muhasabah penting. Jadikan liku-liku hidup sebagai seorang hamba serba kurang untuk keluar daripada kepompong lemah. Ketika ini muhasabah diperlukan... bentuk kesusahan dunia moden bukan lagi seperti peritnya Bilal bin Rabah menanggung sesak dada dihempap batu besar di padang pasir panas terik, motivasinya pada lantunan kalimah “Ahad (Esa).. Ahad!!”. Jerihnya kita pada hari ini bukan lagi seperti disula kepada Sumayyah, bukan juga direbus panas-panas seperti tukang sikat Firaun, Mashitah... motivasi mereka ada pada Kalimah Tauhid, tiada tuhan berhak disembah selain Allah, Muhammad pula utusan Allah.

Mungkin sudah jodoh saya dengan takdir-Nya yang tersirat. Hikmahnya baru saya kecapi saat saya menulis post ini. Cukup halus Allah Taala menusuk jarum tarbiah ke hati, ketika saya benar-benar memerlukan tonik semangat di ambang peperiksaan makin hampir. Minggu lepas usai saya mengajar pelajar tahun satu dari Indonesia dalam madah Tauhid; Madkhal li Dirasati al-‘Aqidah al-Islamiyyah. Di sana diselitkan punca kekuatan Kalimah Tauhid, seperti sifat Allah 20 dan perbahasannya. Rupa-rupanya ada sesuatu mengetuk jiwa saya, bukan sahaja mengajak saya faham maksud Wujud, Qadem, Baqo’ dan beberapa lagi sifat Allah, lain malah sungguh mengajar saya menjadi manusia beriman.

Kita mesti tetap muslim, dan mukmin dalam apa jua keadaan.. senang kita ialah muslim dan mukmin, susah kita mesti muslim dan mukmin. Kita beriman, iman kita pada hukum-hakam, iman kita pada ajaran baginda, iman kita pada dasar-dasar Islam, rukun-rukun tersandung di dalam pengajarannya. Malah kita kena lebih beriman bila berhadapan pilihan antara iman dan kufur (syirik berat atau ringan). Mudah menutur kalimah syahadah syarat sebagai beriman, tapi lebih mudah kita diserang perkara yang bisa membatalkan iman kita. Islam bukan sahaja pada kalimah tapi pada ibadat.

Jangan sesekali masa senang kita, menjadi istidraj hingga kita terus alpa dan lupa kepada Maha Pemberi kesenangan itu. Dia tidak menagih simpati dibalas semula apa kita kecapi, harta-Nya tidak pernah berkurang, Dia tidak rugi apa-apa. Dia mahukan kita dekat pada-Nya, sentiasa menjadi hamba bersyukur. Jangan sesekali pula masa susah kita dihujani masalah kewangan, kesempitan hidup menjadi penyebab kita makin jauh pada Maha Kaya. Kayanya kita tidak berhenti pada nikmat harta, tapi pahala menggunung.

KITA ADA ALLAH

Dah berkali-kali saya ingatkan, manusia lemah bukan diukur berapa kali dia diserang kemiskinan, kepapaan tapi kemalasan dia bangkit dicelah-celah kemiskinan dan kebodohan dia ditipu berkali-kali oleh harta yang banyak. Ujian-Nya ada di mana-mana, tinggal lagi kita bijak mendepaninya atau tidak.

Ada bersikap pesimis, mustahil boleh bangkit di antara kesempitan hidup... menggangap diri betapa realistik, melihat sesuatu terpacak di depan mata. Kononnya iman perkara abstrak, susah hendak mengimiginasi. Mengamalkan Islam di dunia serba canggih, bukan sahaja berperang abstraknya iman, malah idealogi dan serangan minda dari Barat. Seolah-olah Islam tidak lagi relevan diamalkan dalam kehidupan.

Kita tidak memilih strategi ‘hantuk kepala’ yakni berdepan dengan kejahatan secara membabi-buta. Kita memilih untuk ‘biarkan... biarkan’ hingga serami kejahatan terus melekat di hati, kekotoran makin lama makin degil, dia ‘biarkan.. biarkan’ sampai satu masa cahaya nur hidayah Tuhan susah menyelinap masuk, kerana ditutupi oleh dinding malap.

Benarkah mustahil?

Kalau kita berjaya membina aset kekayaan hasil daripada bijak kita mengurus tadbir syarikat, perniagaan di pasaran tempatan mahupun antarabangsa, kenapa tidak pada iman kita? Membangun pasca iman seiring membangunnya kemewahan material. Kenapa kita tidak pernah muhasabah, dan melihat kejayaan orang lain membangunkan hidup, agar bisa lari daripada kesempitan hidup, miskin harta, di samping sedar satu lagi pembangunan penting, ruh (iman). Jalan ini tidak mustahil bagi mereka yang faham dan membangkitkan kesungguhan dalam jiwa mereka, seterusnya sering mengulang-ulang kebenaran ini di dalam percakapan mereka, akhirnya menterjemahkan semua itu dalam tindak tanduk amalan mereka.

Manusia seperti Abu Bakar, Umar, Hanzalah (asadullah), Khalid ibn al-Walid berjaya membuktikan. Peranan sirah juga penting, melihat mereka terdahulu lebih dahsyat cara serangan tapi mereka hanya berTUHANkan satu Tuhan, iaitu Allah. Begitu juga Imam Hassan al-Banna, Imam al-Qutb, Fathi Yakan, Dato' Fadzil Noor yang sempat hidup satu era dengan kita.

Kita hanya tinggal kemasalan dan seribu alasan.

Kita ada Allah untuk serahkan segala amal perbuatan kita. Dia akan menilai baik buruknya, dan akhirnya ke mana kita diletakkan sama ada dialu-alukan atau dipalu-palukan.




IMAN DAN BAHAGIA

Buatlah perbandingan, antara manusia-manusia di hadapan kalian sebagai cermin harga diri bernilai. Sudah tentu cermin yang baik dapat mengesan diri sesudah muhasabah... laskar tindakan diperhalusi selepas tahu dan mahu.

Insan kerdil yang berasa tidak pernah cukup dengan apa yang ada, akan terus menghambakan dirinya kepada Allah Taala dengan sebenar-benarnya. Kebahagian dan kesedihan semuanya berserah kepada Allah Taala. Sesungguhnya manusia ini penuh dengan sifat-sifat kekurangan, cukup dengan apa yang ada.

Insan megah dengan kebahagian, tidak pernah berasa cukup jika hatinya kosong dan jauh dari Allah Taala. Kepalanya sudah di-setting untuk menerima in-put sahaja, out-put dimatikan. Kita sekarang hanya tinggal kemalasan dan alasan untuk berubah, jauh sekali untuk mengubah. Walaupun masih ada segelintir insan yang benar-benar mengamalkan ajaran-Nya dan menjadi hamba-Nya. Namun masih lagi ramai yang tercari-cari, tergapai-gapai, terkapai-kapai di awangan gelap, di manakah destinasi hendak didarati... mengenali Islam dalam erti maksud yang sebenar bila menjadi hamba.

Susahkah berubah?

Payahkah?

Tinggal lagi mahu atau tidak, sedangkan tahu sudah kejap digalas pada sayap sebelum terjumpa daratan Iman, dan takwa. Kita mampu untuk berusaha dengan baik, dan lebih baik lagi dalam menjadi hamba.

Sang hamba perlu pada dua jiwa. Jiwa Sufi, dan jiwa Jundiy (melawan). Jiwa Sufi, supaya dapat sentiasa menikmati, mengoreksi diri agar kembali pada Ilahi dengan utaian zikir dan tasbih. Jiwa Jundiy (melawan) agar mampu berdiri, berlari dan beraksi agar menyentuh hati-hati agar tidak mati dan bisa mengawal duniawi. Letakkan dunia di bawah tapak kaki (kekuasaan) kita bersama roh Islami.

Rasulullah s.a.w ada bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya Allah, bilamana Dia mengasihi sesuatu kaum, maka akan diuji (menilai tahap iman mereka) kaum tersebut” (Hadith Riwayat Ibn Majah)

Untuk membuktikan bahawa dia benar-benar berada di atas kebenaran yang hakiki. Tidaklah ujian itu, sekadar menguji keimanan. Untuk apa? Supaya kita tahu dalam jerih ada kemanisan, dalam perih ada keasyikan. Keluarkan hikmahnya dari kotak ujian, hamburkan kepada diri sendiri sebagai guide-line, panduan, serta pedoman hidup.

Bila bersandar kepada Allah Taala, seolah-olah memperolehi satu kekuatan untuk menempuhinya. Kerana adanya perasaan yakin bahawa Allah Taala sentiasa ada bersama. Dia Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Betapa Allah amat mengasihi hamba-hambaNya ‘memandang’-Nya sebelum Dia lebih-lebih lagi akan terus ‘memandang’ kita.

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, September 20

Melihat Kebaikan Dalam Kebaikan






JIKA lamaran datang secara baik-baik, daripada insan yang baik-baik, bagi pihak perempuan yang baik-baik maka pada kehendak dan pertimbangan sama juga perlu baik-baik pada semua keadaan baik-baik supaya akhirnya natijah sama ada terima atau tolak selepas melihat semua kebaikan pada masa hadapan adalah sesuatu yang baik-baik, dan diterima baik oleh kedua-dua pihak baik lelaki mahupun perempuan.

Kebaikan dibuat tidak pernah memusuhi keinginan untuk melaksanakan rutin harian kerana berbekalkan kemahuan untuk melihat adanya kebaikan pada masa hadapan maka niat tersebut mengarahkan kepada ketaqwaan, melihat kebaikan dalam kebaikan. Manusia lupa bila kebaikan dibuat berdasarkan untuk mendapat kepuasan, kerana di balik kepuasan tadi tersirat keikhlasan dan keredhaan Allah Taala.
Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, September 19

Di Sana Juga Kita Bertamu






DALAM nestapa tiada siapa menduga jalan kepayahan sering mengajar manusia agar sentiasa berhati-hati. Benar, manusia yang baik tidak akan tercampak ke lubang sama sebanyak dua kali. Kali pertama adalah peringatan, isyarat agar mata sentiasa celik dari ‘buta’ memandang ke hadapan. Cerahnya laluan kita adalah kebergantungan kepada amalan dan ilmu baik-baik yang bertindak sebagai perisai diri, natijah juga pada tindakan baik-baik.

Permulaan Islam kita kerana lahirnya iman.

Jadilah orang yang zuhud dengan dunia. Tidak terlampau inginkanya, mengejarnya dan mencintainya. Berusaha di dunia semata-mata mengharapkan keredhaan Allah Taala. Namun bukan cuba meninggalkanya. Kita juga perlu berharap akan kebahagiaan hidup di dunia dan akhirat. Qanaah dan bersyukur dengan apa yang diberi. Hidup pasti bahagia dan buatlah sesuatu hanya kerana ALLAH serta kehendak diri yang mahu berubah.

Cara kita bekerja, berperancangan, dan berpersepsi adalah tidak sama. Kita akan mencapai sesuatu berdasarkan apa yang kita lihat, di penghujungnya kita mengarahkan sebuah motivasi menggerakkan sebuah momentum. Berpaksi kepada sikap ingin berubah dan mengubah, dia dan kita adalah sama kerana mahu menggapai sesuatu yang memberi kesan kepada setiap hati insani dan mencetus disiplin cara hidup teratur dan terarah.

Perjalanan kita adalah sama walaupun laluan sering berbeda kerana pengakhiran jua ada bertamu di persimpangan Ilahi. Kesudahannya antara Sakinah atau Musibah.



Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, September 18

Dia Wanita Idaman Qalbu







JADILAH wanita solehah untuk penghidupan yang entah berapa lama lagi tersisa daripada terus terpalit dosa ketika meniti usia yang sangat singkat ini. Wanita solehah ialah wanita mampu memberi pengabdian tiada tolak bandingan dalam setiap gerak kerja sehariannya.

Biarlah takdir-Nya menjemput ketika kita mampu mengumpul pahala yang beralaskan iman, iaitu husnul khatimah. Pahala syahid pasti bersama seorang yang masih menjadi hamba kepada SATU Tuhan, bukan untuk membahagiakan 'tuhan-tuhan' (manusia) kecil yang juga makhluk kepada Tuhan Esa.... darjat, pangkat dan jawatannya tidak pernah menjamin kita dari terus selamat di pentas dunia, kecuali Iman dan Amal yang sentiasa mengiringi hingga sampai kepada-Nya.

Bila seseorang manusia makin membesar, dan membesar pula dalam serba kewarasan mereka pasti akan melihat dunia dan keadaan sekeliling dalam pelbagai dimensi, soal intergriti akan terpanggil bersama selepas dia tahu manusia itu tidak semuanya bertopengkan manusia, melainkan hati-hati mentadbir agar terurus bukan mengurus dari mengecapi nikmat pahala dari sumber ibadat pelbagai.
Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, September 16

Pulang Dari Desa Permai








BERUPA pengalaman membekas di bikar kenangan. Tiga hari berada di luar kota metropolitan, menelusuri perkampungan Ramadhiyah yang terletak di pusat Pekan Tdomiyah. Debu dan pepesir menjadi peneman setia ketika menjejak kekuatan kota lama kejatuhan Qarun laknatullah dihempap kemewahan membuta. Banyak nostalgia yang diukir, dicatat, diwartakan dalam kotak diari mawar buat persempadanan dan penteladanan hidup membedah sisa isi maya. Redha Allah jua didambakan dalam pengembaraan ini.

Ikuti diari perjalanan saya dan seorang teman bersama rakan satu fakulti akan datang sebagai santapan rohani bertravelog di alam maya, dan menjuah ke alam nyata sebagai ikutan baik.

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, September 13

Membetulkan Persepsi Terhadap Isu Semasa







BANYAK hal yang telah merubah cara berfikir dan berpersepsi saya selepas mengalami tarbiyah islami dan konvensional secara bertapis, berlapik di sebuah sekolah menengah agama di kelantan; Maahad Muhammadi lil-Banin (MML). Kalau dulu saya seorang pendiam, suka menghabiskan masa seorang diri, serasa dunia ini sempit tiada lagi jalan untuk saya berpotensi. Kejayaan yang dikecapi di lapangan peperiksaan, tidak pula suatu kebanggaan kerana semua telah disempitkan.

Oleh itu, saya rasa tiada apa yang bisa dikongsi kerana dari low thinking tadi menyebabkan saya pesimis terhadap keadaan sekeliling. Belajar, makan, berjalan lebih suka melakukan sendiri, tiada berteman hinggalah bersosial pun saya lebih suka memilih untuk berkurung di dalam bilik. Apatah lagi untuk menegur seorang perempuan tidak dikenali, hatta kawan sekelas ataupun menjawab sapaan, lebih malu daripada seorang wanita perawan.

Maka saya dapati diri masih terkurung dengan paradigma lama, tidak boleh berpersepsi dengan baik. Apabila diri sedikit berubah hasil daripada tarbiyah tadi, barulah saya dapat menerima beberapa perkara yang dipinggirkan sebelumnya seperti kemahiran berkomunikasi, berfikir secara kreatif dan kritis, pemikiran tersusun dan terpandu.

Apabila tersedar, rupa-rupanya bila kita tersilap dalam menentukan hala tuju persepsi kita baik melibatkan masalah hukum semasa (Qodhaya Fiqhiyah Muasoroh), sosial, politik, dan isu-isu semasa, maka akan mengundang banyak masalah. Kita tidak mahu timbul istilah baru seperti mana telah dicetuskan oleh Sisters In Islam (SIS), dan beberapa badan NGO yang tidak berpuas hati dengan tafsiran al-Quran yang telah dibuat bertahun-tahun lama oleh para ulama’ yang mu’tabar. Kita juga tidak mahu seorang pemimpin yang memperlekehkan hukum Allah, hingga mengatakan hudud tidak sesuai di era ini.

Begitu juga masalah kritikal seperti isu Palestin yang sudah berlarutan sekian lama. Kesan terbesar daripada masalah ini ialah kepada orang awam yang lebih suka menyuap apa-apa yang dirasakan betul terus ke dalam mulut.

Manusia melihat apa yang dia mahu lihat dan siapa dirinya menentukan bagaimana dia melihat. Benar, ianya sudah pasti berkaitan paradigma dan persepsi kita dalam menilai sesuatu. Mungkin orang berpengaruh akan menggunakan persepsi dangkal untuk kepentingan kantung politik, dan parti masing-masing demi sebuah kuasa... tiada lagi pertimbangan akal sihat dan syariat.

ISU PALESTIN

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan serangan tentera Israel terhadapat kumpulan bantuan kemanusia yang menuju ke GAZA dengan enam buah kapal laut yang sarat muatan makanan, alatan perubatan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin. Malah muatan tersebut dirampas, manakala beberapa sukarelawan asing, terumata dari Turki mati syahid angkara tembakan membuta-tuli. Kita semua merasa sedih.

Tidak kira di mana jua umat Islam berada di seluruh dunia menyatakan bantahan masing-masing. Bendera Israel dibakar, demonstrasi dilakukan di kedutaan Amerika dengan laungan ‘maut’. Barangan buatan Amerika dan Israel dibaikot (walaupun ada sesetengah tidak tahu, bahkan lebih ramai) habis-habisan. Ianya berlaku selepas melihat inilah usaha terbesar selepas jihad al-Qital hampir mustahil berlaku, persepsi kita menentukan tindakan tersebut.

Saya tidak menolak sinis apa yang telah diusahakan, kalian berhak melakukan, tapi hasilnya bagaimana pula? Boikot, bakar bendera tidak merugikan apa-apa bagi melahirkan ketakutan kepada Amerika dan Israel. Ekonomi mereka tetap utuh, kekuatan mereka majin bertambah. Justeru, apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah kita cuba mengubah paradigma dan persepsi dengan melihat isu ini dari kaca mata Islam.

Bagaimana?

Melihat isu Palestin sebagai isu kemanusiaan banyak manfaatnya, namun seperti yang kita dapat lihat ramai pula yang seakan-akan meminggirkannya sebagai isu agama. Hingga kita pula seolah-olah lupa keperluan terpenting dalam mendepani zionis dan kuncu-kuncunya.

Semasa sedang marak kesedaran untuk menunjukkan penentangan kepada musuh-musuh Islam ini, seruan perbaiki taqwa dan melengkapkan diri dengan ciri mukmin jarang disebut, terus terpinggir. Sedang, bagaimana mahu menang jika kita hanya menyiapkan strategi luaran walhal dalaman haru-biru. Benar inilah, Syarat kemenangan pembinaan tamadun Islam yang kita maklum dari berabad kurun menurut sirah salaf. Ringkas, semua aspek perlu berjalan serentak. Keutamaan tidak menafikan peranan.

Tanpa menolak perlunya DEMONSTRASI (beradab), BAKAR BENDERA dan BOIKOT dalam menzahirkan kepedulian kita kepada nasib saudara-saudara kita di Palestin... kembali kepada Islam sebenar tetap merupakan faktor terbesar untuk mengembalikan kemenangan umat Islam sejagat.

Bak mencantas lalang, tidak mencukupi dengan menebas bahagian yang tumbuh di atas tanah sahaja tetapi akarnya juga wajib dan patut dibuang.

Kita hanya menang sorak.

Di saat tentera zionis membantai umat Islam, apakah kita masih berjihad menentang hawa nafsu? Ketahuilah selagi kita masih bernyawa, selagi itulah JIHAD NAFSU tidak akan berakhir, sedangkan JIHAD SENJATA (al-Qital) hanya pada waktu tertentu dan tempat tertentu.

Kelemahan umat Islam ialah strategi yang terlalu konvensional sambil menunggu ketibaan burung Ababil untuk menjatuhkan batu-batu berapi bagi menghancurkan Israel. Kita percayakan kuasa Allah Taala, namun usaha kita biarlah adil pada keadaan. Berdoa tanpa usaha pada perubahan diri, saya lihat ianya hanya sia-sia belaka.

Semua yang skeptik untuk berdemonstrasi dan boikot itu bukan kerana tidak sayangkan agama dan saudara seagama tetapi kerana umat Islam seharusnya boleh melakukan lebih hebat dari itu cuma akal dan minda tertutup oleh emosi dan sentimen.
Bangkitlah wahai jiwa kental, kembalikan iman pada tahap tertinggi.

ISU SOSIAL

Masalah terbesar umat Islam di Malaysia gagal meruntuhkan berhala besar di dalam hati setiap manusia yang bernama Melayu. Gejala sosial tidak sihat tidak lagi dikira satu agenda besar dalam perancangan pembangunan modal insan. Cintakan dunia disuburkan saban masa. Tidak hairanlah setiap hari ada sahaja berita menyesakkan dada dipaparkan.

Lihat sahaja jenayah zina, rogol, buang anak, isu-isu dadah seolah-olah tidak berkesudahan. Saya tergamam seketika mendengar perbualan beberapa remaja belasan tahun ketika di tanah air dahulu, membuatkan saya hilang rasa hairan tentang peningkatan jenayah zina di kalangan pelajar sekolah. Bayi ditanam hidup-hidup telah mengembalikan era jahiliyyah Umar al-Khattab sebelum keislamannya. Isu al-Marhumah adik Safiyah Humairah masih hangat di dada-dada akhbar tempatan.

Pornografi, dadah, hiburan tanpa sempadan merupakan alat mengerakkan boneka-boneka umat ini. Aurat wanita yang terdedah seolah-olah menjadi kelaziman, semakin lama, semakin terdedah, seakan-akan perlumbaan menuju ke neraka, beratur dengan penuh sesak. Bila pandang mereka yang istiqamah berada di sof menuju ke syurga boleh dibilang sahaja.

Bagaimana pula 5-10 tahun akan datang? Tiada lagi rasa malu, hilang status dan gender yang disandang kerana mahupun engkau lelaki atau perempuan, tiada apa yang membedakan kita.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa-apa yang dialami oleh sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka” ar-Ra’d (13:11)

Tidak yang ramai isu dan masalah ini mengikut persepsi betul. Ubah manusia itu juga bukan ubah muka, warna rambut atau ubah warna mata. Ubah manusia itu adalah mengubah unsur utama yang membentuk tindakan manusia iaitu nafsu, akal dan hati manusia. Jelas firman Allah Taala di atas, perubahan hanya akan berlaku apabila kita bertindak mengubah faktor manusia.

MEMAHAMI MAQASED SYARIAH

Baru semalam pihak polis mengesahkan jutawan kosmetik terkenal tanah air; Allahyarhamah Sosilawati Lawiya dan empat orang lagi bersamanya dibunuh dan dibakar secara kejam. Pakar forensik membutirkan laporan lengkap melalui DNA dilakukan ke atas bangkai mayat dan debu di tempat kejadian. Sungguh tragis pengakiran yang perlu di hadapi oleh mereka, dan tiada siapa sangka hatta ahli keluarga terdekat mereka pergi dengan cara sedemikian.

Ramai di kalangan intelektual akan berbincang sesama mereka kaedah dan cara lebih relevan untuk menangani masalah sosial kritikal, solusi demi solusi dicadangkan, dibahaskan.

Sebenarnya kalau kita fahami apa itu maqasid syariah secara umum, kita boleh buat kesimpulan dan kompetensi apabila kita melihat dari sudut pelbagai termasuk politik, kerana hanya satu sahaja kita ingin capai iaitu kemaslahatan dengan tidak meninggalkan nas naqli di samping aqli sebagai penyokong.

Mungkin ramai yang masih keliru soal hudud, pelaksanaan dan relevan dilaksanakan dalam masyarakat majmuk. Mungkin di sana ada pelbagai cadangan, pandangan dan luahan dibuat baik di kalangan agamawan, cendikiawan, para intelek dan arang awam juga turut sama diajak untuk berpandangan.

Biarpun siapa, dan apa cadangan sekalipun, maka sudah tentu di sana setiap orang akan melihat pada maslahat sejagat, bukan hanya pada kepentingan peribadi atau mana-mana parti politik.

Bukan soal hudud dilaksanakan atau tidak bukan isu utama, tapi kaedah dan tindakan yang baik lahir daripada idea yang baik. Polisi bukan fatwa atau qadha’, justeru ia terbuka kepada check and balance yang sama seperti polisi yang lain. Apa yang kita mahu ialah menterjemahkan konsep-konsep yang ada dalam Islam seperti azimah, rukhsah, darurat dan cabang-cabangnya diolah menjadi polisi yang boleh diimplimentasikan secara standard, kena dengan keadaan semasa.

KESIMPULAN

Penyakit umat Islam khususnya muda mudi masa kini makin tenat, telah berada di peringkat lima.. paras kritikal. Tiada lagi rasa bersalah dan tersalah apabila terjebak ke dalam kancah maksiat dan sosial bebas. Hakikat ‘sakitnya’ majoriti umat ini adalah kesan dari apa yang telah Yahudi hidangkan, sediakan sepanjang tempoh yang menyedihkan ini. Sasaran mereka, tentu sekali golongan anak muda. hasil kerja mereka? lihatlah di sekeliling kita. Kajilah sejarah jatuh-bangun islam,nescaya kita akan menyedarinya. Tarbiyah adalah ubat yang mujarab untuk merawat sakit umat ini.

Memandang dunia sebagai ladang, maka dunia adalah masa bekerja. Akhiratlah kampung kerehatan untuk jiwa-jiwa yang percaya kepada-Nya. Inilah yang mampu menggerakkan seorang manusia, menolak dirinya untuk mengisi kehidupannya dengan sesuatu yang bermakna buat dirinya, dan juga orang lain.

Masa yang lapang kalau tidak diisi dengan sesuatu yang menuju cinta Allah lantas akan diisi dengan bisikan syaitan dan syahwat untuk melakukan sesuatu dosa dan lalai serta menjauhkan diri dari Sang Pencipta. Hilanglah sebuah tarbiyah yang dilalui tadi, hilang ditelan kehendak nafsu sendiri. Apa salah ketika ini kita berdemonstrasi meruntuhkan berhala-berhala di dalam diri yang lebih halus dan merbahaya. Mampu membunuh dalam senyap.


Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, September 12

Kepekaan Yang Dibius






MALAYSIA tanah air ku tercinta, setiap masa saban tahun negara mengalami revolusi dari struktur pembangunan dan pentadbiran. Kemampuan negara bersaing dengan negara maju lain dianggap sebaris dan boleh menghasilkan sumber ekonomi sendiri berkelas antarabangsa. Namun di balik kemajuan yang menjadi kebanggaan semua, negara kita juga terpalit dengan isu sosial yang cukup hebat. Tanpa pengawalan dan penerapan nilai murni, kemajuan tadi begitu pesat bersaing dengan keruntuhan moral di kalangan masyarakat, hingga pada suatu masa masyarakat dilihat hilang sensetiviti kepada merebaknya penyakit sosial yang berkudis ini.

Kalau dijadikan bahan perbandingan, penyakit berkudis ini bisa membawa kepada kematian dan lebih parah boleh berjangkit dengan sesiapa sahaja yang kurang anti-biososial ini, berupa iman. Kes berprofil tinggi dilaporkan sejak seminggu dahulu, kehilangan jutawan kosmetik bersama tiga orang lain yang dikaitkan kes pembunuhan semalam. Pedih dan sedih menatap akhbar harian bernama, sungguh memalukan. Tanyalah, siapa sepatutnya dipersalahkan... sedangkan undang-undang telah pun diwartakan namun masih tidak menimbulkan kegerunan di kalangan rakyat, mana puncanya kalau bukan kerana sistem yang ada tidak memenuhi piawaian fitrah manusia.

Oh Malaysia ku, Allah Taala jua tempat mengadu...


Teruskan Pembacaan>>>

Hakikat Iman Dan Amal






PENGEMBARAAN kita ini adalah penentu antara dua; iaitu BERJAYA atau CELAKA. Kembara pula bergantung kepada persiapan kita, persiapan paling ampuh ketika di luar kongkongan persekitaran kerana pentingnya FOKUS. Bersihkan hati, pasang niat tinggi untuk menggapai apa yang diingini bukan bercakap di luar kemampuan yang menggerakkan. MAMPU sahaja belum cukup tanpa keinginan sebagai manusia kerana akhirnya menatijahkan SIA-SIA.

Bukanlah iman itu semata-mata mengetahui ERTI dan HAKIKAT iman, kerana ramai pula yang mengetahui hakikat dan erti iman, padahal mereka tidak beriman. Bagaimana hendak mendidik masyarakat agar tahu al-Quran itu pahala membacanya ada, kalau bukan kelalaian dengan kedunian alamatnya al-Quran akan berdebu sebelum disapu sebaik sahaja di bulan Ramadhan. Hakikatnya IMAN dan AMAL.

SALAM EIDUL-FITRI

Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, September 10

Salam Eidul-Fitri Daripada Saya








GEMERSIKAN suara merdu melantunkan utaian tasbeh, tahmed, dan takbir mengagungkan serta membesarkan Allah Taala. Petanda Syawal sudah melangkah mengambil posisi Ramadhan yang meninggalkan kita sebelum dipertamukan lagi pada masa akan datang... jaraknya yang jauh bukan satu alasan untuk bermalasan dalam mengandakan ibadat di bulan-bulan lain. Ibadat kita perlu diteruskan, amalan sunat perlu ditingkatkan. Apa salahnya, setiap hari kita mampu khatam satu juzu’ (bahagian) daripada al-Quran, kenapa tidak pada bulan lain.

Hari Raya adalah Hari Kemenangan, Hari Kesyukuran dilipatan seni Ilahi. Raikan hari penuh mulia ini dengan kegembiraan, bukan kedukaan. Amalan yang paling dimuliakan, ringan tangan bukan sahaja dalam erti kata bantu membantu sesama muslim, pemurah, malah mampu melenturkan sikap ego dengan bermaaf-maafan.

Nabi s.a.w pernah bersabda: “Apabila dikumpulkan hamba-hamba (manusia) ketika (amalan mereka dihisab). Maka muncullah suara yang menyeru : Bangkit dan dipersilakanlah masuk ke dalam syurga mereka yang mendapat ganjaran daripada Allah Taala... lantas ditanya siapakah mereka itu? Iaitu mereka yang pemaaf (sentiasa memaafkan kesalahan orang lain), maka mereka masuk ke dalam syurga tanpa hisab” (Hadith Riwayat at-Tabrani)

Jadilah hamba kepada satu Tuhan Esa di ketika dan di mana kita berada, bukan kepada ‘tuhan-tuhan’ kecil yang membinasakan akhlak kita kerana tiada lagi sesuatu yang dibiasakan. Ramadhan biarlah datang menurut kefahaman kita bukan kerana sudah dibudayakan, manakala kita tetap sahaja berdaya-saing untuk terus ber-taqwa di luar Ramadhan.

SALAM EIDUL-FITRI MINAL AIDIL WAL FAIZEEN


Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, September 9

Ramadhan Bakal Pergi Syawal Bakal Kunjung






RAMADHAN masih berbaki beberapa JAM lagi. Tarawih sudah pun meninggalkan kita semua semalam, tiada lagi Malam al-Qadar, tiada lagi 1000 kebaikan ganjaran dikurniakan, melainkan hanya Ramadhan yang tinggal dan ianya makin mengecil dan semakin kecil.. itupun tidak lama. Kekasih kita ini akan pergi juga, peluklah semahu mungkin, kalian dan kita semua pasti menangisi pemergianya yang sentiasa menemani kita selama sebulan. Wahai hati, tenang kaki kita akan terus menapak ke hadapan dan Tuhan kita kenal di bulan Ramadhan sama di luar Ramadhan.

Bayangkan wahai teman, bagaimana keadaan kita di saat teman karib atau orang yang kita sayang dipanggil mengadap Tuhannya, meninggalkan kita semua. Kita tidak akan merasakan dzat Muhammad hanya seorang sahabat, kerana kepiluan kita akan mengiringi jasadnya ke kuburan.. melainkan doa kita yang sampai kepadanya hingga di alam kubur dan alam Akhirat. Begitu juga dzat Fatimah yang kita kenali, dia hanya seorang hamba, hayatnya akan diambil semula, maka kita pasti meratapi pemergian dengan rela. Kerelaan ini kelak menjadi baja tersemai di dalam diri kita agar kuat, tabah dan tunduk pada kekuasaan-Nya.

Ramadhan yang pergi pada tahun ini, akan pergi jua sama ada kita bersedia atau tidak.. kita akan ditinggalkan atau meninggalkan. Mahu atau tidak itulah hakikat sunnatullah. Adapun hakikat Eidul-Fitri bukannya tahlil kita persembahkan meratapi pemergian Ramadhan, namun air mata Syawal kita hadirkan meraikan kemenangan.

Dialah Tuhan kita baik pada bulan Ramadhan, di bulan Syawal atau bulan-bulan lain di luar Ramadhan. Ibadat kita bukan menjadi hamba kecil kepada Ramadhan, namun pengabdian utuh pada sebuah ketaatan kepada Dzat Maha Besar, Allah Taala.

Besarkanlah Allah, muliakan Ramadhan... raikan Syawal, hari kemenangan dari penjajahan iblis dan syaitan laknatullah.

SELAMAT MENYAMBUT EIDUL-FITRI



Lagu: Satu Hari Di Hari Raya
Artis: M Nasir



Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, September 8

Muhasabah Ramadhan Di Penghujung





RAMADHAN terhimpun di dalamnya segala penawar untuk manusia, manusia yang hatinya sedang sakit. Alangkah malangnya jika kita gagal mendapat ubat tersebut buat bekalan hidup. Sesungguhnya tepat dan benar peringatan Rasul buat sahabatnya, supaya merebut peluang berada di bulan mulia ini. Persoalan yang patut kita umat bermuhasabah dan sejauh manakah tawaran ubat bagi segala penyakit yang melarat dalam jiwa manusia dipedulikan? Ada siapa yang peduli di kala Ramadhan berada di penghujung. Sedih untuk mengungkapkannya.

Teman, sebenarnya saya malu pada Ramadhan untuk ucapkan selamat menyambut Hari Raya Eidil-fitri kerana saya seolah-olah melupai Ramadhan yang masih kita kecapi sekarang. Kerana saya juga sangat malu, apakah Ramadhan yang saya lalui ini adalah cukup sempurna? Kalau tidak apakah diri-ku berpeluang lagi ketemunya di tahun akan datang. Ampunilah hamba-Mu ini Ya Allah.

Mampukah kita hadirkan rasa cinta beribadat sebulan di bulan Ramadhan, di kesebelas bulan di luar Ramadhan? Ketahuilah ALLAH Taala yang kita kenal di bulan Ramadhan adalah Tuhan yang sama kita berada di kesebelas bulan di luar Ramadhan. Nyahkan sikap itu dalam diri kalian...


Lagu: Muhasabah Ramadhan
Artis: UNIC


Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, September 7

Dia Takdir-mu Di Syurga







HATI manusia sangat fleksibel, tersentuh, mudah bimbang tatkala takdir tidak sebulu dengan fitrah, tatkala diserang malapetaka di luar dugaan resah bukan kepalang, akal separa waras. Bila keinginan diharapkan menemani, datang pula bebanan menghantui. Kenapa, mengapa, apa berlegar, berputar ligat membunuh daya mampu dan mahu. Mampu, dalam erti kata berpecak silat menentang badai, dan mahu, berubah.

Berkali-kali kita diingatkan, manusia tidak sirna dari dugaan, sering diduga dan menduga. Tabi-‘e alam, memang kita memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa bisa mendabik dada dia boleh hidup tanpa perlu kepada manusia lain, hatta hartawan sendiri masih memerlukan khidmat orang bawahan, mengaji mengurus dan sebagainya. Justeru itu, masalah akan ada di mana-mana tanpa dipinta, cuma kita disarankan agar berhati-hati, sedia, sabar, dan belajar dari masalah tersebut.

Jodoh, adalah hal berkaitan dengan fitrah, mahu tidak mahu setiap daripada kita pasti dipaksa bergelumang meredah mehnah, suka duka, jerih perih sebelum bahagia dalam rumahtangga direalitikan. Manusia tidak selama-lama akan kebal, pasti ada satu saat dia akan tunduk, jatuh. Oleh kerana itu, Islam mengajar agar kita tidak sombong untuk belajar daripada alam, pengalaman, sirah buat pendinding kalis kecewa, sengsara, dan lara. Kita kan kian tenang dalam damai ketika mencari cinta Ilahi nan abadi.

Kita mesti selalu jadi baik, agar yang baik juga Allah Taala jodohkan untuk kita. Cinta yang dicari baik, tetapi cinta yang ditemui lebih baik lagi. Keluarga ibarat sebuah negara, suami ialah seorang pemimpin menerajui sebuah kerajaan besar, tidak boleh dipandang enteng. Berjaya atau tidak seorang suami itu dilihat berjaya atau tidak anak buah di bawah jagaannya.

Perkahwinan yang sempurna bukanlah sentiasa sempurna, melainkan ketidak-sempurnaan yang ditangani dengan kemahuan pada agama, syariat aturan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Tiada apa yang sempurna dalam dunia ini kerana ini hanyalah dunia. Tidak penting di mana kita bermula, tetapi lebih penting di mana kita akan berakhir.

“Kali ini sudah dua kali peluang saya berikan, tapi abang masih tidak mahu berubah...” rintih seorang isteri bila mana tahu si suami main kayu tiga.

Kadangkala kita terlalu mengharap sesuatu yang ideal sehingga kita terlepas pandang dengan segala kebaikan yang ada pada pasangan di depan mata, hingga kita cuba membandingkan dengan insan lain.

Salah kita juga, dulu bercinta bagaikan hilang waras manusia normal, bibir hanya berbicara kebaikan pasangan sahaja, memuji kecantikan pasangan. Bila dah akad, pasti kebaikan juga diharapkan, namun panas tidak selalu sampai ke petang, bila ada step tersilap, maka mulalah persoalkan ini dan itu.

Cabaran hidup berkeluarga tidak seindah yang diimpikan, khabar tidak seindah rupa. Tidak boleh menjadi idealistik. Banyak tanggungjawab harus dipikul, banyak keseronokan masa bujang yang terpaksa dikorbankan, karenah anak-anak yang bisa menggugat kesabaran. Bila dah berumahtangga suami isteri bukan sahaja berkongsi satu bilik, satu katil, satu almari, tapi juga satu rasa, satu tanggungjawab. Bebanan kewangan diatasi, dikoreksi bersama. Kalau suami hanya mampu makan mee goreng, isteri juga mee goreng, kalau suami mampu membiayai bil elektrik dan air, apa salah si isteri pula melunaskan bil telefon.

Di sini, cinta akan mekar berputik, kekurangan ada di sebelah pasangan dilengkapkan pasangan lain. Usia perkahwinan juga akan melalui pra-matang, maka dalam tempoh demikian, terlalu banyak agenda perlu dirangkumkan, apa patut didahulukan, dan mana patut dikemudiankan.

SEBELUM KAHWIN

Berusaha menjadi terbaik untuk mendapat yang terbaik, bukan menilai orang lain baik tapi diri sendiri tiada usaha menjadi baik. Maka segalanya dilakukan dengan usaha dan niat yang ikhlas, niat baik akan dipertemukan dengan takdir-Nya yang baik-baik. Kebaikan kita dinilai oleh masa, kalau umur dah berginjak 20-25 tahun, tapi masih bermain PSP, baca majalah mangga, belek komik bersiri, bukankah teramat jauh untuk jadi baik.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “...perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)” an-Nur (24:26)

Benar kita boleh berlakon, depan orang cerah perut ibu mengandung, tapi sampai bila, tembelang kalian pasti dapat dihidu, bila dah kahwin semua itu sudah tiada lagi, kembali pada perwatakan sebelumnya.

Kalian berhak memasang cita-cita, memiliki isteri mampu menjaga pakaian dan makan minum, mendamba isteri rajin bertadarrus al-Quran dan bertahajjud malam, isteri rajin dalam kerja-kerja dakwah, mengimpikan isteri melahirkan zuriat soleh dan solehah, menginginkan isteri berkongsi suka dan duka, kalian boleh buat demikian, tapi sanggupkah kalian juga menjadi seperti apa seorang isteri harapkan, menemani di kala tahajjud, menyediakan pakaian dan makan minum, menjadi pemimpin baik buat dirinya dan anak-anak yang soleh dan solehah.

Mereka bertadabbur, dan memahami kalam Allah satu ini;

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan...” an-Nisaa’ (4:34)

Menetapkan niat untuk menjadi lelaki yang baik untuk keluarganya serta hasrat untuk melahirkan generasi baru yang membawa ad-Deen merupakan usaha yang murni. Sudah tentu usaha sedemikian memerlukan keteguhan dan kecekalan serta usaha yang berterusan sambil memohon pertolongan Ilahi. Niat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik.

Seorang lelaki menyukai perempuan yang mempunyai sedikit sentuhan maskulin manakala perempuan yang akan menjadi isteri juga menyukai lelaki yang mempunyai sentuhan feminin.

Ringkasnya, suami akan suka isteri yang boleh berdikari menyelesaikan beberapa tugasan atau kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh suami, manakala isteri juga menyukai suaminya sekali sekala buat kerja rumah dan memasak untuk keluarga. Ada kalanya suami memerlukan isteri membantunya dalam menyelesaikan kerja-kerja yang selama ini suami yang lakukan, adakalanya si isteri memerlukan suami untuk ringan tulang dalam hal berkaitan house-chores.

Tiadalah itu satu harapan yang melangit, melainkan rasa ingin merealisasikan sesuatu yang sudah berkurangan dalam kehidupan insan hari ini. Rasulullah s.a.w dalam kesibukannya berdakwah dan menjadi penghulu ummat juga mampu memenuhi hak-hak keluarganya, dan membina satu keluarga Islami yang bahagia, maka kita juga berusaha untuk menjadi seperti baginda.

Saya tidak setuju kalian bercinta sebelum kahwin. Cinta tidak salah, tapi masalah besar adalah orang bercinta, salah meletakkan harga sebuah cinta. Kalau sudah rasa tidak mampu, maka jauhilah maksiat cinta.

Kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantik. Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu. Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar. Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. Dibimbangi, kalian terkejut selepas berkahwin.

Sanggupkah kalian bercinta?

SELEPAS KAHWIN

Kehidupan adalah realiti yang memotretkan pelbagai palitan warna emosi, suka duka sebagai diari dibaca, dicermati pada hari muka, hal baik-baik sudah pasti diulang dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Kehidupan adalah lautan yang dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan, membawa pelbagai cuaca, sudah pasti memberi kesan membekas di hati manusia. Hati manusia ibarat sebuah sampan kecil yang dipaksa berlayar dalam lautan luas. Mahu atau tidak, manusia perlu benar-benar memahami, belajar dari lautan kehidupan sebaik sahaja mereka membuka mata, dan bersedia memulakan pelayaran. Suri teladan para pelayar sudah ada di hadapan kalian, tinggal lagi kalian memilih cara mereka atau membentuk kaedah pelayaran tersendiri berdasarkan pengalaman mereka.

Pelayar terbaik, tidak lain dan bukan adalah baginda s.a.w.

Cinta itu bukan alasan utama untuk dapat bahagia, kerana ramai juga bercerai kerana cinta.

Ramai orang bercinta bagai hilang ingatan, tapi bercerai berai juga. Ramai yang kahwin suka sama suka, tapi rumahtangga kecoh. Ini bukan soal cinta atau suka. Ini soal sejauh mana kebergantungan suami isteri pada Allah Taala dalam setiap urusan, Sejauh mana mereka sepakat dalam mencari berkat dalam rumahtangga. Dengan kehendak Allah sahaja, rumahtangga akan berjaya dan bahagia. Pohonlah kebaikan pada-Nya, serta terus menerus menjadi baik.

Andai ombak kuat melanda bahtera, jangan disangka tiada harapan dapat berlabuh dengan selamat. Ingatlah semakin kita diuji, itu tandanya kasih sayang Allah Taala kepada kita dan Dia tidak akan membebankan hamba-Nya melainkan sesuai dengan apa yang daya kekuatan.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” al-Baqarah (2:286)

Makin banyak kita diuji, makin dekat kita kepada-Nya dan semakin matang dan penuh hikmah kita menyelesaikan sebarang masalah dengan kaedah terbaik, dipersetujui bersama.

Bersabarlah para isteri dengan suami yang kebanyakannya akan diam dalam membatu, dan bersabarlah para suami dengan leteran dan bebelan para isteri yang adakalanya untuk menyedarkan anda. Dialah satu-satunya insan yang terbaik untuk diri kalian, bukan kedua, bukan ketiga. Berusahalah melengkapi kekurangan antara satu sama lain dengan segala kelebihan dan kebaikan pada diri masing-masing. Bukannya untuk meruntuhkan masjid yang dibina dan memisahkan ikatan yang terjalin. Carilah salah sendiri kenapa tidak mencari yang kurang baik tapi bisa diasuh menjadi baik.

Rumahtangga bahagia, bukan bahagia cukup material dan keperluan jasmani bahkan keperluan rohani. Maka bercintalah kalian sepuas-puasnya, kerana kalian adalah halal bagi pasangan. Setiap hembusan cinta kalian, pasti berbuahkan pahala di kebun cinta Ilahi di taman syurga nanti. Bukankah ironinya sangat aneh, bercinta sebelum kahwin lebih hebat berbanding bercinta selepas akad, jelas sekali kalian hipokrit.

Kenapa perlu mengembalikan cinta?

Saya merasakan setiap manusia itu entitled dan deserved untuk hidup dalam tenang dan bahagia. Hidup tanpa cinta ibarat burung yang terbang dalam sangkar. Selagi ada ruang untuk bercinta, maka sirami dan bajailah cinta itu. Cinta selepas Ijab dan Qabul, sesungguhnya mampu untuk diluahkan dan masih ada untuk dihadiahkan bersama.

Selepas kahwin anda tetap sebagai nakhoda. Nakhoda kepada para kelasi di bawah tanggungan anda. Baik buruk kesudahan perjalanan mereka berada di tangan kalian. Prinsip dan paradigma yang utuh sahaja akan selamat mengemudi badai dunia.
Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, September 6

Biasalah Apabila Raya Dah Hampir...






NAMPAKNYA bila dah hampir raya ni, suami isteri paling tidak aman.. anak-anak tersempit antara sokongan dan bantahan, manakala orang bujang juga tersengih girang. Saya yakin sepanjang minggu ini sebelum raya isu BALIK KAMPUNG siapa kembali hangat dibincangkan dalam mesyuarat berkelompok, anak-anak jadi pengundi tidak bertauliah.

Dugaan ada di mana-mana, sedih menonton video klip, seorang teman yang tiada siapa sangka takdirnya di bawah perut kereta. Pepatah Melayu ada berpesan berpantang maut sebelum ajal.

Ruh Ramadhan hari ke-27, dan malam ke-28.

Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, September 5

Sebuah Nasihat Yang Disampahkan







HANYA
tinggal beberapa hari lagi sebelum umat Islam di seluruh dunia bakal menyambut ketibaan bulan Syawal, hari kemenangan selepas sebulan berhempas pulas bermujahadah menundukkan hawa nafsu, di samping menahan diri dari lapar dan dahaga.

Umpama kita berlayar di lautan luas, akan ada permulaan dan penamat. Tiada siapa menduga, antara perjalanan yang ditempuhi pelbagai bentuk ujian dan musibah perlu dihadapi. Kejayaan pelayaran tersebut bukan ditentukan pada permulaan seseorang tetapi di garisan penamat. Maka, selepas berjaya sampai sudah tentu ianya digambarkan suatu keindahan, kemanisan kerana walaupun sesulit mana rintangan, akhirnya berjaya melangkah ke destinasi utama.

Begitu juga dengan penghidupan kita sebagai seorang hamba kepada Dzat Pencipta, Allah Taala. Kita bertatih daripada seorang kanak-kanak, seterusnya remaja aqel baligh, kemudian meniti ke usia dewasa, dan tua. Apakah kita yakin tua adalah penamatnya? Berbekalkan pendidikan, dan tarbiyah hidup dan penghidupan, maka kita faham serta mengimaninya bahawa alam kubur dan alam akhirat bakal berkunjung tiba. Justeru, amalan kita akan memilih satu antara dua, sama penamat di Syurga atau ke Neraka.

Muhasabah Ramadhan penting ketika ini...




PULANG KE KAMPUNG

Syarikat pengakutan awam ketika ini paling ceria dan tersenyum lebar, dapat ‘duit raya’ hasil jualan tiket. Manakala penjawat awam yang terikat dengan tugasan di musim raya paling hiba dan sedih, menangis diulik kegemersikan lagu lagu raya.

Musim perayaan biasanya dikaitkan dengan angka kematian. Mati dan raya dah macam isi dan kuku, aur dan tebing.. mesti ada sahaja kes kematian dilaporkan. Walaupun sehebat dan secanggih mana jalan raya berasaskan teknologi, kalau pengguna mandul sikap akan ke parit, terputus dua kereta, remuk dan terbalik 90 darjah.

Iklan dan papan-papan bertulis yang dibangunkan di sisi jalan tidak lagi menjadi seorang guru, sebuah nasihat yang menyelamatkan kerana hilangnya pertimbangan para pengguna, yang ada kepala yang sarat dengan keceriaan meresahkan. Jangan diharap mereka faham dan mengerti, jika akal fkiran mereka dah berada di tempat lain.

Umpama kanak-kanak yang diberi nasihat oleh seorang guru ketika hampir tamat waktu sekolah. Apakah nasihat tersebut akan menjadi satu azimat boleh dipegan atau sebuah kemahuan yang bakal ditinggalkan?

Jangan ajal menghantar mayat kalian ke rumah, bukan lagi keceriaan menghiasi pelita buluh di halaman rumah tapi sebuah kedukaan air mata menghantar jasad kaku ke rumah kecil berkayukan liang lahad.

KESIMPULAN

Perumpamaan semut mati dalam balang gula, sungguh memalukan cara kematian itu, digambarkan sebagai kematian TRAGIS, NGERI dan TIDAK sempat berTAUBAT. Minta dijauhkan ajal sebelum sempat bertaubat, bukan soal cepat atau lambat.. tapi agar kita tahu dan sedar destinasinya tetap satu walaupun keadaan dan jalan ditempuhi berbatu-batu.

Ruh Ramadhan hari ke-26 dan malam ke-27.

Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, September 3

Denai Menuju Cinta Ilahi, Pasti Bertamu Cintanya







KIASAN dan ungkapan cinta sungguh indah, merawat hati insani yang gundah. Berapa ramai mengenal cinta sebelum bercinta daripada mereka tertekan kerana terlalu bercinta. Mudah lidah meluruskan kata-kata puitis, menggetis sebuah sumur hati. Bagaimana orang bercinta bisa menahan dahaga belaian cinta andai sehari tiada pernah ketemui bunga-bunga cinta... pasti dicari walaupun sesaat cuma.

Cinta adalah sesuatu yang tidak dapat didefinisikan dengan kata-kata. Kita akan menyedari cinta bila kita merasainya sendiri.

Rasa tenang, indah, sayu tatkala diberi peluang menikmati gelombang cinta.

Auranya sangat luar biasa.

Bayangkan manusia kuat, akan tunduk bila terlalu cinta. Manusia gagah, akan longlai bila diserang angin cinta. Bahkan manusia lemah akan jadi kuat keutuhan hatinya menindih rasa sukar, gundah, sedih yang bersarang di onar hati apabila disuntik bius cinta.

Bila dua hati bertaut, dia juga memiliki rasa yang sama dengan apa yang kita rasakan. Kita ingin dia melihat kita tersenyum, kita juga ingin melihatnya bahagia. Ini agar dia merasa kita bahagia melihatnya bahagia, walaupun sebenarnya kita tahu ia turut terluka.

Hati mudah tersentuh.

Cinta adalah suatu hal yang kebanyakan manusia akan berlumba-lumba untuk mendapatkannya. Cinta adalah sesuatu yang disenangi oleh jiwa. Mendapatkan cinta kasih dari makhluk adalah menyenangkan, apalagi jika cinta itu datang dari Sang Pencipta.

Rindu dan Cinta Ilahi adalah mahar manusia di dunia.

Meraih cinta-Nya merintis kebahagian di ketandusan hati memilukan. Manusia akan kenal cinta ini bila tersuluh hikmah tersirat di sebalik rebah ketika disedarkan melalui denai memeritkan. Melangkah adalah pasti, kedengusan di kala lara tidak bererti lagi.

Merindui kekasih Allah sudah kemestian. Meraih cinta baginda di lembah Bani Hasyim adalah tanda bakal meraih cinta Ilahi.

Pengubat jiwa sepi.

CINTA ILAHI

Insan dikasihi...

Mencari cinta Ilahi, bukan bermaksud menolak perasaan fitrah manusia saling cinta mencintai, sedangkan Allah sendiri menyuruh kita hidup berpasangan selepas terpatri ikatan syariat. Cinta Ilahi, dalam erti kata ingin mendapatkan keredhaan Allah Taala, sedaya upaya kita cuba mengelakkan daripada melakukan kesilapan yang boleh mengundang kemurkaan-Nya.

Bercinta sebelum bernikah, mungkin tidak akan berlaku tanpa terlebih dahulu membenih cinta palsu, dan hukum mendekati cinta palsu ini telah jelas dalam Mutiara Kalam Ilahi adalah haram kerana pasti mengundang kepada bencana lebih berat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk” al-Isra’ (17:32)

Benih cinta palsu tadi akan menumbuhkan perasaan rindu merindui di tahap maksima, mematikan deria rasa bimbang, takut, dan dosa. Bagi seorang yang normal, tidak mungkin dia mampu mengelak menikmati cinta palsu hingga mendenggus hati apabila bercinta dengan seseorang yang masih belum menjadi pasangannya yang sah.

Oleh itu, biarpun kita kuat untuk cuba membataskan perhubungan percintaan, ia tetap menarik hati menghampiri zina (cinta palsu) andai kita telah memulakan langkah pertama untuk bercinta.

Percintaan yang halal ialah percintaan selepas pernikahan.

Tiada yang lebih indah daripada mendapat keredhaan Ilahi. Seindah manapun sesuatu itu dalam pandangan manusia, selagi ia tidak diredhai-Nya, maka ia langsung tidak berguna.

Rabi-ah Adawiyah adalah insan yang tersendiri, dan sering menyendiri demi bersama Kekasih yang sentiasa hadir dalam setiap tangisan dan hembusan nafasnya. Butir-butir kata Rabi-ah adalah mutiara hikmah dan zikir untuk dirinya sendiri, tetapi manusia membacanya sebagai puisi dan cereka cinta.

Cinta Rabi-ah adalah untuk dirinya sendiri, dengan caranya sendiri. Rabi-ah membuang dunia dari dirinya dahulu, kemudian ia menemukan cinta Ilahi. Manusia kini dibuang oleh dunia dan manusia dahulu, kemudian baru mengemis cinta Ilahi.

Saidina Ali ketika ditanya bagaimana ia membahagikan cintanya antara Allah, Rasul-Nya, isterinya Fatimah dan anak-anaknya, menjawab; “Aku tidak membahagi-bahagikan cintaku, ia adalah satu dan sama; aku mencintai Allah, dan aku mencintai isteriku, anak-anakku kerana Allah”

Antara cinta Rabi-ah dan cinta Ali, kedua-duanya mempunyai keagungan yang tersendiri, mempunyai kekuatan mengukuhkan lagi pendirian cinta mereka kepada Kekasih utama.

Carilah cinta Ilahi...

HISAB DIRI

Cinta-Nya adalah ikhlas dan sabar.

Tidak akan diketahui kecintaan seseorang sehingga tiba saat berpisah. Tidak diketahui kesabaran seseorang sehingga tiba masanya dia patut marah.

Banyak jiwa bertopengkan senyuman. Pandangan sekilas menghasilkan ma’-rifah permukaan. Percaya pada gerak hati, hadkan lidah dalam pergaulan, hatikan tenang. Andai ditakdirkan sahabat bertukar menjadi kawan, terimalah kurnian itu sebagai pengalaman. Tiada siapa sangka Saidina Umar akan menjadi singa Allah, dan tiada siapa sangka Abu Talib hembusan terakhir di dalam kepiluan.

Usaha ke arah kebaikan bukan sahaja bergantung pada ingin dan tahu, malah pada pengalaman yang memandu. Pengetahuan isi luaran, bermain bersama persekitaran, membedah warna-warni isi alam, jatuh bangun bersama semangat ingin membaiki kelemahan. Inilah pengalaman yang berfungsi.

Begitulah kita, walaupun kita tahu yang menguji itu Allah, Tuhan yang Maha Pengasih lagi maha Penyayang, namun sedikit sebayak hati kita memberontak jua. Kita lemah, Allah Maha tahu tentang itu. Tetapi yakinlah walau sakitnya terlalu, nanti kemanisannya juga akan berganda. Terimalah kesusahan yang sedikit demi kebahagiaan yang lebih baik dan abadi.

Cintailah cinta-Nya, pasti bertamu cintanya.

Ruh Ramadhan kesepuluh malam terakhir.
Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, September 2

Apabila Isteri Fail Nafkah Di Mahkamah





BAGAIMANA kebahagian sebuah keluarga apabila temberang sebenar pasangan diketahui? Pening kepala saya memikirkan masalah mereka di tengah-tengah pencarian malam al-Qadr. Mereka tak fikir bulan puasa ni, kecoh-kecoh cari pasal buat apa. Lupa akan keberkatan Ramadhan, puasa pula hanya memenuhi syarat wajib sebagai seorang muslim yang aqil dan baligh. Kadang-kadang isteri berada di sebelah pihak yang benar, suami pula tanpa segan silu menegakkan benang yang basah.

Dulu sebelum kahwin emak ayah dah pesan, siapa pun tiada peduli. Bila dah terkena batang hidung sendiri, mulalah emak ayah tadi dicari.

Kasihan kepada para isteri yang terpaksa FAILKAN KES NAFKAH diri bila mendapat suami yang kedekut mengalahkan Haji Bakhil. Dulu masa kahwin atau sebelum kahwin tidak pula ambil ingat. Para lelaki jangan fikir nak pasang dua tiga sahaja, kalau tidak kalian diminta bercerai dengan NAFSU terlebih dahulu. Wahai Wanita pula... jangan nak mengada-ngada, ayu pada wajah belum jaminan kalian bahagia.

Harap-harap depa (mereka) dapat cari jalan penyelesaian sendiri...
Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, September 1

Melihat Dari Dimensi Luar








SALAH kaedah dan cara bagaimana kita mahu betulkan persepsi berkenaan masalah sinikal, bisa memberi kesan mendalam di sebalik kefahaman yang masih tertutup di bawah tudung saji... jika tersalah mentadbir dalam kehidupan, terutama golongan awam.

Saya antara orang yang menjadi mangsa keadaan. Bila ada yang bertanya serius mesti jawapan diinginkan dalam keadaan terdesak, marah, dan sangat gelisah... ianya antara dua sama ada situasi itu dialami diri sendiri atau kenalan terdekat. Sungguh tidak sopan apabila pertanyaan pula tidak beralaskan peribadi muslim, bukan sahaja tidak dapat jawapan, malah habuan dosa berjalan selagi murka merintih di hati pihak ditanya.

Mahu BERUBAH perlu pada anjakan PARADIGMA dalam diri, bukan pergantungan sepenuhnya pada pola MOOD dan MAMPU mencapainya. Orang yang mengantuk disorongkan bantal, perumpamaan ini lebih sesuai untuk menggambarkan situasi hidup masyarakat sekarang yang sudah disogok dengan kesenangan, maka amat payah sekali menerima kesusahan walaupun sedikit.

ANAK MERDEKA selepas 53 tahun.


Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal