saujana mata hati

puteraazhari.blogspot.com

Jumaat, 2009 Disember 04

Tekanan : Salah Cinta Atau Bercinta



Idea lestari baik bukan sahaja lahir dari ilmu menggunung, tapi pada sebuah sumur hati dan minda yang bersih. Ilmu banyak belum tentu menjamin masa depan cerah dari sisi manfaat, andai tiada terlorong keikhlasan dalam memberi.

Kerahkan idea, singkirkan pandangan jumud.

Hati yang bersih bermula daripada kebaikan kita lakukan. Tiada jemu untuk menjamu ‘selera’ orang lain walaupun kadang kala diri tersisih. Tiada pernah merintih dengan apa yang tiada, rasa cukup dan syukur dengan apa yang ada.

Permulaan yang sangat baik untuk kita adalah menjadi manusia yang percaya. Bagaimanapun setelah benih percaya itu bercambah, ia mesti dibaja dengan pembuktian melalui proses pemikiran kritikal dan bersedia menjadi Ulil Albab selaras saranan al-Quran.

Mereka terdidik dengan keyakinan diri. Tidak segan untuk menyebut kebaikan diri. Dan tidaklah mereka itu jadi sombong kerana mereka juga menyokong kebaikan orang lain.

Idea saya banyak tapi tidak pandai mengembangkan isi. Pandangan ustaz?

Menulis adalah salah satu proses memberi di kala harta berpada-pada untuk diri.

Ilmu diolah mengikut kreativiti.

Andai mahu bercakap, cakapkan apa yang terbaik dari fikiran. Kemudian bukakan ruang perbahasan, dan terima dengan terbuka, jika ada pihak yang berjaya menyuluh kekurangan pada pendapat. Idea perlu dikritik dengan idea, rasional perlu dibahas secara rasional.

Peyampaian baik akan menyerlahkan ilmu seseorang.

Inilah jalan dakwah kita.

Bayangkan di padang masyar ketika kita sedang seronok menuju ke syurga dengan pelbagai amalan tiba-tiba ditahan oleh satu hamba Allah meraih simpati daripada kita kerana tidak pernah pedulikannya ketika hidup di dunia. Tidakkah pernah terdetik rasa simpati dan menangisi nasib dia dan mendoakan keselamatan serta keampunan untuknya.

Doa yang tidak pernah terucap tanda persaudaraan, tiba-tiba belum sempat melewati pintu syurga, kita pula dihumbankan ke dalam api neraka.

Bagaimana hendaknya perasaan kita ketika itu?

SAHABAT DENGAN TEKANAN

Kita jangan sesekali ‘lari’ dari masalah, masalah di tempat kerja, belajar di kampus dan sebagainya. Kerana kelak tidak kuat untuk kita terus berlari. Bijaklah tangani, kalau tidak buruk akibatnya. Idea juga tidak akan lahir dari minda bermasalah.

Biasanya masalah seperti ini, banyak dikaitkan dengan tekanan.

Berkawanlah dengan tekanan, jangan sampai kita diperhambakan.

Orang yang ada masa hanyalah orang yang sibuk.

Makin optimum masa sekiranya bekerja dalam tekanan, tiada tekanan tiada ilham dan lebih banyak mengelamun.

Tekanan yang wujud ni, sebenarnya elok untuk menyedarkan kita tentang masa. Namun ini tidak bermakna buat kerja dalam tekanan bagus, terutama dari segi kualiti. Budaya yang patut dimuhasabah. Apa salahnya, sesekali sibukkan diri dengan kerja-kerja yang berfaedah atau kalau tak banyak kerja, lakukan kerja tambahan terhadap tugasan.

Kata as-Syahid al-Imam Hassan al-Banna:

kerja yang kita ada lebih banyak dari masa yang ada

Kalau kita tidak pandai mengawal dan menguruskan tekanan, akhirnya kita akan hanyut dengan masalah.

Saya antara orang yang cuba berjinak-jinak dengan tekanan. Saya tidak mencari tekanan, tetapi saya cuba menghadapinya. Alam kerjaya adalah alam penuh tekanan, lain pula di alam pengajian (kampus), di samping itu ada juga kegembiraan bagi mereka yang pandang positif.

Apa pun, semoga berjaya dunia dan akhirat.

SALAH CINTA ATAU BERCINTA

Mahu memiliki, dan mahu dimiliki.

Memiliki pasangan secara tidak sah di kalangan muda mudi amat merisaukan.

Hanya berdasarkan panduan hati yang masih buta dan cetek ilmu tentang perhubungan berlawanan jantina, tindakan telah banyak merosakkan jiwa sebelum berjaya mencapai maksud sebuah bahagia, gara-gara terpesona dengan kecantikan sekadar perhambaan moden menyeronokkan.

Kecenderungan antara lelaki dan wanita merupakan sesuatu yang tabi’i dalam diri manusia. Tetapi kecenderungan itu tidak dikawal akan membawa kepada kerosakan akhlak dan tatasusila.

Usah kalah pada paras rupa. Pilihlah budi dan pekertinya.

Bukan apa ustaz, pilih wanita ada seri wajah keibuan

Buat lelaki, isteri walau sekadar cantik tapi setiap hari makan di luar, anak-anak dibesarkan oleh pembantu rumah, rumah yang berterabur, isteri yang pemalas mungkin akan menjadi igauan paling ngeri dalam hidup anda.

Bukan semua wanita cantik tiada wajah keibuan.

Pesanan, wanita-wanita yang bakal bekerjaya agar mempersiapkan diri dengan ilmu keibuan yang tidak diajar di kampus. Mungkin anda tiada wajah keibuan, tapi ilmu untuk menjadi seorang ibu yang baik bisa dipelajari dan ditekuni, bahkan anda mungkin menjadi ibu yang terbaik daripada mereka yang hanya ada ibu pada wajahnya.

Utamakan kepentingan rumahtangga, di samping kerjaya sebagai penyambung hidup.

Pengabaian sepenuhnya tanggungjawab terhadap kecenderungan ini sehingga berlakunya zina dan bersedudukan tanpa ada ikatan, adalah jelas bertentangan dengan syari-‘at dan tabiat semulajadi manusia. Maka hendaklah para mujahid Islam mengetuai keinginanannya dengan cara berhikmah, dan tindakakan susulan setelah ditabalkan sebagai raja sehari.

Perkahwinan bukan untuk satu tempoh yang telah ditentukan atau mengikut perjanjian kontrak, bahkan menjangkau masa satu tempoh masa di alam yang kekal abadi.

Ingatlah janji Allah. Kesungguhan menjadi suami mahupun isteri terbaik kepada pasangan akan bertamu dipersimpangan kasih Ilahi, idaman setiap makhluk yang bercinta dan mencintai antara satu sama lain.

Berilah apa yang ada, usah ditagih apa yang tiada.

ameen


Rabu, 2009 Disember 02

Surat Cinta Dari Penjara



Duhai teman...

Disaat aku menulis surat ini, ianya betul-betul menerjah di pundak hati kecilku. Hayatilah apa yang ingin aku sampaikan, buat renungan hati-hati mahu mentaati.

Betapa pilu menatapi sebuah kehidupan di kesenjaan malam keseorangan tanpa cucuran hujan wahyu dari langit cinta Ilahi. Betapa tega menyelami masin lautan duniawi bersendirian tanpa benih kasih hakiki tertanam di tanah subur. Menanti penuh berhati-hati, bimbang tertusuk belati meracuni.

Indah menderap kaki di pentas membulu ini.

Melambung tinggi ombak menghempas dada longlai di arus kegilaan. Hiasan cantik mengelabui mata di sebalik tembok sempadan al-Haq. Menanti kunjung maut sendu malang di persimpangan membebalkan. Cinta dunia adalah keutamaan, tiada lagi nilai tangisan taubat meratapi pemergian jasad dikasih.

Hanya berbekal kenikmatan sementara, merintis bahagia di kepuraan.

Hakikat ini semacam sudah tradisi dalam perjalanan hidup para pencari kesenangan fana, mengadai mampu dan kudrat hingga melupai tujuan asal sebelum dimatikan dari salah satu perjalanan manusia bergelar, al-Insan.

Ingatlah teman, dunia sentiasa ‘kenyang’ memakan manusia malang.

Kita sudah lupa agaknya, pendakwah yang datang berdagang, bukan sahaja membawa dagangan jasmani tetapi juga dagangan rohani. Diperhalusi keadaan ketika berkembangnya agama di Nusantara, budaya bercerita turut dibawa bersama. Kita mesti memberikan ilmu, pimpinan, panduan, kemahiran kepada orang di sekeliling kita.

Jangan bakhil menabur kebaikan.

Dengan perkembangan minda manusia, pembukusan berlebihan ini dirasakan tidak diperlukan lagi sekarang, kerana penyampai dan penerima telah mencapai tahap pemikiran yang bersedia membuat pindahan dengan cara yang lebih berkesan. Bagaimanapun, sebagai warisan ia adalah sesuatu yang tidak patut dipinggirkan.

Di kala itu, inilah salah satu cara terbaik berdakwah santai, menerapkan cerita-cerita cereka dengan natijah khusus yang bermakna, untuk menjadi ingatan dan pedoman kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya. Berkembanglah hikayat cerita lama yang berkesan menerjah ke arah minda, yang hanya memerlukan suasana biasa.

Usahlah mengenang kembali kisah Pak Pandir, kalah minda melakonkan.

Mereka terus dibuai dengan kepercayaan bahawa apa yang ada pada mereka adalah itulah yang sebenarnya, tanpa mahu menjalankan ujian kepada kepercayaan yang mereka pegang, atau bergerak mencari pembuktian kepada kepercayaan yang mereka anuti.

Mereka inilah yang akan rugi, kerana yang datang secara terus akan memantul dan yang datang secara sipi akan terus menyepi kesunyian.

Dunia menang, namun air mata manusia makin bergelinang.

Mereka rasa bukan untuk mereka.

Percayalah, memberi kepada orang lain samalah seperti memberi kepada diri sendiri. Kita menghargai walaupun tiada nilai di pandangan manusiawi. Penangannya, sama seperti menyarung kalungan bunga mawar di kepala, pesona baunya tetap utuh biarpun bunganya luput di pandangan mata.

Aduh…

Terasa diri amat kurang memberi. Pemberian Allah Taala teramat banyak, tidak terhitung. Namun diri ini terlalu kurang memberi, mungkin kerana mendahulukan kehendak yang tidak pernah puas. Dunia makin tua, usia makin berkurangan, makin pendek tapi memberi makin kurang.

يَوۡمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ۬ وَلَا بَنُونَ إِلَّا مَنۡ أَتَى ٱللَّهَ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ۬,

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)as-Syu-‘ara’ (26:88-89)

Ini semunya adalah bekisar tentang kaedah, dan cara penyampaian berhikmah.

Manusia tetap manusia, andai tiada disaluti kain keimanan. Membias dari kebiasaan. Ironinya, cinta diberi pada pusara yang digali makin membesar. Pasrah di kala senja membaringkan badan, menutupi sebuah impian. Impian sudah mulai kabur, cinta tidak lagi laku. Memberi tiada pula sudi menerima.

Irama syahdu mengiringi jasad ke pusara. Tiada lagi berteman, hanya saham di dunia pada kebaikan akan menjadi perisai dan pedinding kalis hentaman kuat Raqib wa ‘Atib. Dan hakikat itu, pastinya tidak dapat kita singkap dengan akal kita yang sejengkal berbanding dengan ilmu Allah Taala Maha luas.

Dia sedar bahawa kelebihan yang diberikan kepadanya untuk menungani cinta ‘pahala’, hakikatnya, adalah satu amanah daripada Allah Taala yang mempunyai maksud tertentu untuk difahami dan dilaksanakannya. Dia telah gagal memikul amanah ini, mengkhianati pemberian ikhlas-Nya ini.

Tiada siapa lagi mempercayai kelebihan dimilikinya, kerana dia sudah terpenjara oleh kenikmatan cinta dunia sementara. Rasa belum cukup puas dengan apa yang ada dan terus haloba dengan apa yang tiada. Mencari dan terus mencari.

Oleh itu, berhati-hatilah melayarkan bahtera hati, agar tidak karam di tengah lautan samudera duniawi.

Bacalah surat cinta ini, dan dalami seadanya.

ameen

Isnin, 2009 November 30

Kesedaran Menerima Dan Memberi



Kata kunci ‘mahu’ dan ‘memberi’ adalah sinonim dengan golongan da’ie. Mahu, hanya kerana tidak jenuh menggali ilmu pengetahuan sebagai panduan diri dan mad’u. Manakala memberi adalah proses normal selepas memiliki secara ‘pinjam’ ini.

Acap-kali saya berpencak keseorangan tanpa ada ‘kawan’ menemani jalan berduri ini. Menyampai, memberi, memanfaat sudah tiada kepedulian lagi.

Membuat dua hal dalam satu masa disalah-ertikan, bahkan akan menimbulkan fitnah andai tersilap langkah. Kejayaan mengendalikannya adalah kemuncak pada satu kepercayaan abadi.

Kelompok ini disegani, diikuti.

Contoh:

Mahasiswa yang bergerak aktif dalam persatuan, sudah pasti berdepan ranjau sedikit berbeza berbanding latarbelakang hanya sebagai penuntut ilmu. ‘Memaksa’ diri menguji dua hal dalam satu-satu masa. Andai gagal adalah jalan akhir, maka tidak mustahil fitnah juga mengiringi.

Maka keseimbangan perlu diperkemaskan.

Isu saya dua tiga hari ini seputar masa depan. Memilih antara menuntut ilmu dan menulis.

Ustaz, saya kurang yakin untuk menulis. Bimbang tidak sempat belajar

Ini satu kesilapan.

Menuntut ilmu dan menulis adalah dari proses yang sama. Kita menulis bukan hanya dari idea kosong, sudah pasti daripada ilmu diperolehi. Tinggal lagi kesempatan kita mengolah ilmu itu sesuai dengan fenomena semasa, dan bijak membahagikan masa.

Masa juga penting. Ruangan kosong kena dimanfaatkan.

Menulis dapat menajamkan cara kita berfikir secara matang untuk memperolehi idea bernas.

MAHU, MEMBERI

Kemahuan berkongsi sesuatu ilmu mengatasi rasa jemu pada menekuni bahan ilmu.

Memberi tanpa timbul karenah birokrasi ‘malas’.

Kemampuan memberi adalah proses ilmunisasi belajar berpanjangan, dan terhindar dari sikap berpuas hati dengan apa yang ada. Berpegang pada falsafah hidup memberi agar dapat dirasa sudah memadai.

Menulis, membaca sebahagian daripadanya.

Membaca dengan ‘perasaan’ berbeza dari membaca dengan ‘akal’. Menungani perasaan akan menghalakan ‘harap’ pada apa yang kita suka atau mahu, sementara sebaliknya dengan akal akan menyediakan diri untuk tahu.

Tidak hairanlah hasil membaca dengan perasaan selalunya menghasil pemilihan bahan yang dibaca lebih kerap dari membaca dengan akal rational. Timbul kecenderungan suka dan tidak suka, kerana asasnya kemahuan kita banyak dipengaruhi nafsu.

Membaca untuk tahu, tidak terjejas dengan perasaan semata-mata. Keperluan untuk tahu mangatasi mahu, dan keterbukaan menerima sesuatu yang baru, yang belum dipersepsikan oleh pemikiran kita, lebih besar kerana ketiadaan unsur mahukan yang kita mahu.

Apa yang kita tidak suka hari ni tidak semestinya kita tidak suka juga pada hari esoknya. Dan apa yang kita suka hari ini tidak semestinya kita akan suka juga hari kemudian. Inilah lumrah dan fitrah kita sebagai manusia, ada nafsu dan naluri.

Akan timbul juga kesedaran dalam diri, segala masalah dimasak berdasarkan ilmu dan pengalaman diperolehi. Pandangan juga akan berbeza sebelum dan selepas terpalit dari kesedaran tersebut.

Pengalaman dan ilmu melahirkan kesedaran.

Dedahkan minda berketrampilan dan beretika.

Apabila menulis untuk memberi dengan apa yang kita mampu melalui apa yang kita lalui, selalunya akan menghadapi cabaran begini.

Contoh:

seorang suami, kita menulis untuk memberi dari sudut pandangan kita, dan sebagai isteri, mungkin kita turut memberi melalui sudut pandangan kita. Hanya mereka yang menerima dengan mata hati serta menyelami realiti di sebalik setiap perkongsian itu akan mengerti.

Ini berkait rapat soal pandangan (worldview) terpimpin.

UJIAN MANTAPKAN IMAN

Saya padankan semua ini, adalah sekelumit daripada ujian-Nya yang menguji.

Pandangan sisi kebaikan, saya maksimakan sebaik mungkin.

Kalau kita imbau semula sirah nabi, kisah kehidupan rumahtangga baginda diabadikan semata-mata untuk dijadikan teladan kita. Kaedah penyelesaian berdasarkan ilmu dan petunjuk wahyu, tidak bermakna Nabi s.a.w membuka pekung di dada.

Jangan persoalkan andai kebaikan kita dapat.

Redha (Iman) menerima, tidak pula pasrah (kosong).

Ujian merupakan sunnatullah yang telah ditetapkan kepada hamba-hamba yang mengaku beriman. Iman tidak dibuktikan dengan hanya kata-kata atau tulisan yang berbaur agama mahupun jihad luaran. Iman dibuktikan kesabaran di atas ujian yang menimpa. Oleh itu, barulah diketahui sama ada seseorang itu ikhlas atau hanya dalam kepura-puraan.

Bagi mewujudkan satu perasaan memberi yang ikhlas, perlu hapuskan perasaan memiliki. Apa yang kita dapat di dunia ini bukannya bertukar hak milik daripada Allah Taala kepada kita, tetapi hanya diamanahkan kepada kita untuk ditadbir dengan baik.

Andai manusia tiada jiwa sebagai seorang hamba, akan wujud satu jiwa memiliki. Dari sudut norma manusia, memang kebiasaan seseorang itu ada perasaan memiliki. Pengajarannya sebenar hidup ini, ialah membentuk diri untuk menghilangkan jiwa memiliki itu dengan jiwa hamba.

Berserah diri kepada Tuhan.

Setiap ujian yang datang, disambut dengan positif dan kita menjadi lebih baik, maka itu tandanya ujian itu adalah kasih dan sayang Allah Taala kepada kita. Tetapi jika kita didatangi ‘ujian’ yang sama berulang-ulang kali dan tiada peningkatan diri yang berlaku, itu mungkin bukan kasih dan sayang Allah, tetapi kebodohan kita yang ‘disengat’ di tempat yang sama berkali-kali.

Terlintas juga, kenapa orang-orang yang sentiasa berusaha ke arah kebaikan serta dipandang beriman seringkali berdepan dengan pelbagai risiko, kesusahan dan halangan. Rupa-rupanya Allah Taala hendak menjatuhkan rasa ketuanan dalam diri supaya kita sedar hanya seorang hamba, tidak memiliki apa-apa pun.

Bicara Allah Taala juga datang dalam bentuk ujian.

Betapa besarnya kezaliman yang dilakukan ke atas diri sendiri seandainya pemberian hanya mendambakan suatu ganjaran. Mungkin timbul rasa ‘penat’ dalam diri. Namun rasa ingin mengecapi ganjaran atau dibalas dengan sesuatu yang baik datang dengan sendirinya.

Mungkin dari pengaruh kehidupan yang dilalui.


Jumaat, 2009 November 27

Menyingkap Hikmah Pengorbanan



Pencapaian terbaik muslim ketika menyambut hari kebesaran Islam, adalah pada penghayatan sebuah ‘pengorbanan’ seperti sambutan Aidil-Adha di seluruh dunia. Hanya melepaskan batuk di tangga.

Umat Islam seluruh dunia bagaikan berpesta meraikan perayaan ini.

Roh Aidil-Adha kekadang berpisah dengan semangat merayakannya.

Kadang-kadang lebih-lebih pula.

Tiada makna dengan mengenakan pakaian serba baru, makanan serba mewah dan mahal, mengambil bahagian dalam penyembelihan haiwan korban, dan sebagainya andai tiada penghayatan ini. Kalaulah manusia faham kehendak agama tanpa keliru antara adat dan ibadat, sudah tentu masing-masing merebut peluang (pahala) ini daripada terbuang.

Mengurangkan kos tenaga pada sia-sia, namun hasil pendapatan lumayan. Ianya ada pada slogan:

Kami dengar, kami taat

Allah Taala mencipta akan setiap sesuatu itu ada manfaat dan kena pada keadaan. Kesemuanya saling memerlukan antara satu sama lain. Kaitannya juga unik dan manusia beriman mudah tersentuh mengamatinya.

Maka lihat sahaja alam terbentang ini.

Kerbau besar dan gagah, tetapi sering kegatalan kerana badannya berkutu. Burung gembala kerbau pula tidak pandai memburu makanan, sebaliknya dijadikan Allah gemar pada bersarapan, makan tengah hari dan makan malam dengan hidangan kutu kerbau. Mereka bersinergi untuk saling memberikan keselesaan hidup dan manfaat kepada manusia yang menggunakan kerbau dalam kehidupan.

Malah burung yang kecil itu, dinamakan sebagai gembala kerbau, kerana mungkin peranan sinerginya telah mengekalkan ketenteraman kerbau dari terus gelisah dan turun minyak akibat kegatalan kutu.

Burung itulah gembalanya. Semua orang tahu, apa kesannya jika kerbau itu turun minyak.

Seluruh alam memerlukan antara satu sama lain.

Dalam konteks manusia juga, tiada yang bisa hidup sendiri. Orang kaya sekali pun akan berkehendakan orang bawahan, agar dapat melaksanakan projek dan kerja-kerja yang diusahakannya. Hingga hidup fitrah insani juga, memerlukan tuhan untuk disembah dan ditaati. Kerana di sinilah pergantungan harap mereka di kala berkhalwat atau ditimpa musibah.



Hikmah suatu hal yang subjektif dan perlu ditekuni. Hikmah tidak terletak hanya pada kelembutan. Pasti kebijaksanaan dan pengalaman mampu membantu proses pelaksanaan hikmah dalam apa jua aktiviti.

Hikmah meninggalkan gejala tidak sihat dalam erti pengorbanan, ada juga asas panduan dan cara mengali-manfaatkannya.

Ada pada rawatan.

Dalam usaha untuk meninggalkan gejala yang tidak sihat tersebut, maka mencegahnya terlebih dahulu adalah cara terbaik dari menerima rawatan kemudiannya.

Kesan kotoran degil pada hati belum tentu akan bersih keseluruhannya tanpa kesungguhan mantap lahir dalam diri untuk terus meluturkan kesannya secara kolektif dan berterusan.

Kaedah dan cara mencegah anasir-anasir buruk tersebut dari terus meruncing berleluasa, maka penerapan nilai-nilai murni dalam agama perlu ditanam dan disemadikan ke dasar hati manusia.

Pendidikan dan pentarbiahan di kalangan anak-anak muda perlu digiatkan dari saat ke saat, kerana sudah pasti lenturan pada hatinya cukup mudah dibentuk dan masih dianggap fleksibel.

Peranan dan tanggungjawab generasi muda yang terdidik dengan ilmu pengetahuan amat mustahak di era yang penuh mehnah dan tribulasi dunia yang sukar diduga, dan ianya merupakan pra-syarat ke arah mencapai sebuah keluarga, masyarakat dan negara harmoni.

Ilmu memerlukan elemen akal, alat paling canggih diberikan Allah Taala untuk manusia menjadi khalifah yang berjaya di dunia. Tiada tunduk pada nafsu dan hasutan syaitan.

Mulakanlah dengan didikan Islam sebenar.

Islam telah menyimpulkan dalam akidah bahawa Iman itu adalah keyakinan dalam hati yang terpancar dalam seluruh aspek perbuatan. Apabila perbuatan dan cara berbuat sesuatu tidak diketahui, besar kemungkinan akan lesap daripada jalan syari-‘at Allah Taala. Bagaimana mungkin untuk mengetahui jalan syari-‘at Allah itu jika tidak mengetahui tsaqafah dan pemikiran Islam.

Perlu pada pengorbanan tinggi.

Pengorbanan melawan nafsu.

Pengorbanan meninggalkan maksiat.

Pengorbanan melahirkan Iman.

Tanpa pengorbanan, usaha hanya satu usaha. Mungkin ianya satu tindakan sia-sia bila hasilnya tidak seberapa. Namun bila ‘pengorbanan’ tadi disandarkan dalam gerak usaha tadi, pasti ianya dipandang dari sudut hikmah. Hikmah berlaku, dan cara menangani selepasnya.

Perkahwinan sangat indah tetapi perlu dibina dengan pengertian yang mendalam tentang tanggungjawab dan pengorbanan supaya ia tidak akan menjadi sia-sia. Cinta sahaja tidak cukup.

Hayatilah, fahamilah, dan berkorbanlah.

Moga-moga hikmah haji ini membentuk muslim berjaya dalam urusan dunia dan akhirat yang tiada bertepi.

وَإِنَّ مِن شِيعَتِهِۦ لَإِبۡرَٲهِيمَ إِذۡ جَآءَ رَبَّهُ ۥ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera al-Saafaat (37:83-84)

Ibunda dan ayahanda, doakan anakda ini di perantaun. Maaf dipinta, berkahi anakda dalam menuntut ilmu. Berkorban mencari ilmu ketika umat manusia makin jahil menungani dunia. Maha suci Allah Tuhan Maha Pengampun dan Memberi Ilmu.

ameen

Selasa, 2009 November 24

Bahagiakan Hatimu Dengan Iman



Ketika berusaha untuk mendapat ketenangan hati dengan merancang perjalanan dalam kanvas hidup, tiba-tiba diri diuji dengan tanggapan orang yang mengatakan tindakan ini pelik. Bahkan hanya berbekalkan usaha dari sudut pemikiran untuk mendapat ketenangan hati, tiada siapa yang sudi menemani jalan ini.

Hanya Dia dan kita, bersama kewaspadaan meredah karenah dunia membulu.

Tangannya mungkin tidak banyak menggenggam, tetapi itu bukan syarat untuk menjadi bahagia di kelana sementara ini. Segalanya ditentukan oleh hati. Hati yang beroleh limpahan rahmat, atau sebaliknya.

Hati yang diruntun rasa damba kasih di hamparan perdu penuh kehinaan, mengakui kebesaran-Nya.

Terkadang ramai yang bercakap benar tetapi tidak tepat. Apa yang dikatakannya memang benar, tetapi tidak melihat kesan di sebalik perkataannya itu. Utaian kalimah yang terkeluar dari mulut seorang hamba, tiada penapis yang menghadkan penggunaanya.

Maka pilihlah antara pahala dan dosa.

Ramai tahu hidup di dunia hanya persinggahan, sebagai tempat bercucuk tanam, namun perbuatan jauh tersasar dari pengetahuan tadi, sekadar melepaskan batuk di tangga. Mulut membenarkan, tapi hati jauh tersasar.

Ramai orang asyik memikirkan untuk membesarkan rumah, membeli kereta besar, melabur di bursa saham, ke kelab-kelab malam, dan sebagainya. Namun lupa dan lalai untuk membesarkan kuburnya nanti. Mungkin dunia ‘ana’ yang punya.

Manusia paling bahagia ialah manusia yang paling redha dengan ketentuan yang ditetapkan oleh Pencipta-Nya dan mengingati mati. Kekadang kitat terlupa bahawa, banyak perkara yang tidak boleh dikawal berbanding perkara yang boleh dikawal. Waspada perlu ketika ini.

Berhati-hati pada sekeping hati.

Memang benar hati yang menentukan kita bahagia atau tidak, tetapi bagaimana untuk mendidik hati supaya dapat menerima ketentuan Allah Taala.

Payah dan susah untuk mendidik hati supaya mensyukuri apa yang ada di depan mata. Redha amat mudah untuk diungkapkan tetapi menerimanya tidak semudah yang disangkakan. Mungkinkah Iman yang terlalu tipis menjadikan ia sebegitu rupa.

Anda mengetahui jalan penyelsaian, selepas ditunjuki jalan menuju-Nya. Tiada siapa mampu memberi hidayah. Pemberian hidayah-Nya selepas kita berusaha untuk berubah. Inilah janji-Nya yang pasti.

Hendak seribu daya.

إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡ‌ۗ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiriar-Ra’d (13:11)

Hayatilah isi kandungan teks-Nya.

Hati pasti akan tenang dan damai menerokai dunia-Nya ini.

Teks adalah teks. Kita tidak boleh membuangnya begitu sahaja. Ia diperlukan kerana kita yakin ia datang dari Allah Taala.

Namun dalam masa yang sama, teks tersebut mempunyai konteksnya yang tersendiri. Marilah melihat teks bersama dengan konteksnya dan bila hendak melakukan penerapan, memuhasabah, atau mengadaptasi dalam kehidupan seharian, maka sesuaikanlah dengan konteks semasa.

Kita perlu bezakan teks dengan kefahaman terhadap teks. Ini kerana, apabila kita memetik sesuatu teks untuk menyokong pendapat kita, kita sebenarnya sedang memberikan kefahaman kita terhadap teks. Kefahaman kita boleh sahaja dipengaruhi oleh emosi dan kebiasaan masyarakat.

Kita perlu berhati-hati dengan situasi ini.

Kalau Islam itu hanya diletakkan pada nama sahaja tapi tidak dibawa dengan benar dan kefahaman yang betul, walau apapun dalil yang menyokongnya, tetap bukan Islam yang sebenar dibawa. Kita bukan bergerak pada nama. Islam tidak tertegak dengan kata-kata berdegar-degar.

Biarlah parti yang dinamakan itu adalah parti cap ayam sekalipun, tetapi kalau yang dibawanya dengan kefahaman yang benar pada Islam pada hakikat kesedaran Islamnya, maka permasalahan integriti dan sikap tidak akan berlaku. Kerana dia memahami bahawa dia membawakan Islam, dan dia memahami bahawa dalam dia bersikap juga harus dengan sikap Islam.


video

Raihan; Haji Menuju Allah


Hayatilah Islam dan ajarannya. Bukan sekerat-sekerat.

Moga kesempatan menunaikan haji di tanah haram membuahkan hati yang bersih, bermula dengan episod baru, hati yang tidak pernah mati, melangkah damai dengan penghayatan Islam sebenarnya.

ameen


MESIN PENCARIAN PUTERAAZHARI

Memuatkan ...
  • PEDOMAN HIDUP

    • Baca Al-Quran & Tafsir On-Line Disini

  • BIODATA PENULIS

    Foto Saya
    Rezza Khanafiah
    Menuntut Di Fakulti Syariah dan Perundangan Kaherah. Hubungi penulis di alamat e-mail/YM: putra_sufie@yahoo.com +2011 789 4979 (untuk sebarang undangan)
    Lihat profil lengkap saya
    Share on Facebook

    TAKWIN HIJRAH DAN MASEHI

    SERUAN SOLAT KAHERAH

    SERUAN SOLAT KUALA LUMPUR

    SHOUT BOX


    ShoutMix chat widget

    ANDA MUSYKIL? TANYA USTAZ

    ANDA MUSYKIL? TANYA USTAZ
    BOLEH DITANYA TERUS DI RUANGAN YAHOO MESSENGER (YM) ATAU MENGHANTAR KE E-MAIL PENULIS...

    PEMBACA SETIA

    Saya rancang untuk mengadakan siri kuliah online melalui 'conference' di yahoo messenger secara berkala pada awal tahun hadapan. Pandangan anda?

    Bagaimana anda mengetahui laman blog puteraazhari ini?

    ARKIB KARYA

    RECENT COMMENTS

    SIARAN RADIO DAN TV ONLINE

    LAMAN WACANA MINDA

    LAMAN BERITA PILIHAN

     Berita Harian
     Utusan Online
     Harian Metro
     Harakah Daily
     Malaysia Kini
    Al-Jazeera
     New Straits Times Online
     The Star Online

    PERTUKARAN NILAI MATA WANG

    PAPARAN PENGUNJUNG

    PENGUNJUNG

    LALU LINTAS SEMASA


    free counter