PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Sabtu, Julai 3

Melakar Pelangi Cinta II








SAYA dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan, hidup pas-pasan. Dari hari ke hari, kami cuba melawan kekurangan ada bagi memastikan kami tidak akan ‘mati’ dalam serba kelemahan, kurang dan lemah sesuatu yang abstrak, jauh perbezaan maknanya.

Hidup dalam serba kekurangan membuat kami lebih efektif dan berdisiplin mendepani masalah sosial, sudut world-view menjadi terancang, keinginan kami untuk berjaya makin luas dan memuncak. Di samping serba kekurangan, kami cuba sebaik mungkin agar tidak bergelumang dalam serba kelemahan, kelak akan memudarkan sebuah mujahadah hingga terjunam ke dasar low-spirit.

“Ibu tidak pernah kecewakan anak-anak ibu. Ibu akan cuba berikan terbaik buat anak-anak ibu, dan tidak mengurangi keperluan jasmani dan rohani. Usahlah kalian miskin jiwa hanya kerana kita miskin harta” ibu menanam kata-kata semangat dalam ruh jiwa kami.

Bijak ibu dan abah mengurus kehidupan kami, hingga hari ini, selepas hampir satu dekad kami keluar dari pembelengguan serba kekurangan, tetap kami disuap agar usah alpa, usah lupa bahawa kehidupan baik adalah berterusan berada dalam sikap ‘serba kekurangan’, hingga tidak mengurangi desus ruang-ruang untuk berjaya, bukan hanya sekali, dua kali, bahkan berkali-kali. Semua ini ada dalam satu pakej, iaitu sabar, kreatif, dan tekun.

Ya, ilmu... semua ini akan membentuk pencapaian dalam ilmu pada tahap tertinggi, hasilnya juga luar biasa. Ilmu adalah sebekas pengetahuan berjaya memimpin diri menjadi serba baik, bermanfaat, dan melateralkan kaedah thinking di luar kotak, mengjangkau jauh ke hadapan. Tidak pernah kurang dengan kelemahan yang ada.

Nikmat kesenangan, kekayaan tidak semua orang boleh mengecapi, tapi ilmu dan segunung pengetahuan sesiapa sahaja, miskin, sederhana, kaya bisa mengecapi, merasai manis menuntut ilmu... cuma hanya kemampuan sahaja membataskan seseorang itu merasai tahap penguasaan ilmu pelbagai.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana” adz-Dzumar (39:9)

Pasti ada di kalangan para pembaca berdebar-debar menanti bulan Febuari atau Mac setiap tahun. Bila dah tinggal beberapa detik lagi, hati dah mula gelisah, resah. Ketika ini ramai mengambil tindakan berkecuali, tidak banyak cakap, lebih senang dan tenang zip mulut sahaja. Mungkin juga ada di kalangan anak-anak, saudara mara, jiran tetangga, atau ahli keluarga pembaca lain akan menerima slip peperiksaan SPM, dan STAM pada hari ini.

Dia tahu, harapan sudah pun terpikul di bahu, usaha sudah... tapi kali ini benar-benar mengundahkan jiwa, dia cuba memujuk diri, lari dari cengkaman ini. Usahkan calon SPM dan STAM, ibu bapa juga turut terbawa-bawa dengan gelagat sama bila melihat perubahan sikap anak-anak mereka.

Kita dulu bagaimana? Ada sejarah tersendiri dilakarkan bukan?

Kalau kejayaan disebabkan usaha gigih kalian selama ini, linangan air mata kalian terlalu mahal, sangat manis. Namun kegagalan kalian disebabkan malas, dan kebodohan tindak-tanduk kalian dulu, jangankan ibu bapa, diri sendiri dipersalahkan bahkan air mata mendatangkan mudhorat. Jangan pula ada tidak bertegur sapa, tidak mahu ambil tahu dan sebagainya.

Tiada kejayaan tanpa usaha yang gigih, semua orang mempunyai makna kejayaan yang tersendiri, cara merai tersendiri, rasa kepuasan tersendiri. Kadangkala, bila kita puas selesaikan sesuatu perkara, itu pun dikatakan berjaya. Ya.. melalui kepuasan diri sendiri. Memang besar nikmat Allah Taala berikan kepada kita, nikmat akal, sihat dan sebagainya supaya kita dapat memilih yang baik mahupun sebaliknya.

Jangan pula salahkan takdir, andai diri pincang mentadbir.

Belajar itu tadbir, usaha itu tadbir, tuisyen itu tadbir, latihan tubi itu tadbir, berjaga malam mengadap buku itu pun tadbir, dan semua ini akan mempengaruhi takdir kita. Baik, Kita berjalan berbekalkan dua biji mata celik, tapi itu tidak bermakna kita selamat, kecuali kita ada hati-hati, berhati-hati melihat ke depan, kiri kanan ini adalah tadbir, bimbang ada lubang menghalang, pasti terseliuh kaki, natijah dari hati-hati tadi ada takdir kita.

Usaha dahulu, rasa susah jerih dulu, barulah berserah.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan” ash-Sharh (94:5-6)

Redha pula dipenghujung ikhtiar.

Kehidupan itu adalah sekolah kepada diri kita, banyak perkara yang bisa dipelajari dalam hidup ini. kejayaan seseorang itu bukan sekadar terletak pada kesungguhan, tetapi pada kehidupan yang dilalui sehingga menjadikannya seorang yang berjaya.

Kesusahan dan keperitan hidup banyak mendorong seseorang untuk berjaya dalam hidupnya. jika kita kaji balik tentang kejayaan insan-insan hebat di dunia ni, kebanyakan mereka bermula dari keadaan susah menempuh keperitan hidup.

Penting kejayaan kita bukan sebaik-baik kayu pengukur andai kurang berjaya akhlak atau gagal sakhsiah.

Peluang untuk berjaya terbuka kepada sesiapa, tidak kira sesiapa pun kalian. Boleh jadi hanya anak seorang petani, anak nelayan, luaran biasa-biasa, kerana mengukur kejayaan itu perlu pada hati kental, tiada rasa putus asa, kehidupan susah lebih sinonim sebab perjuangan dia bukan sahaja perlu berjaya sebagai pelajar tapi paling penting sebagai manusia, seorang muslim (hamba).

Bila melihat keperitan mereka, apa yang mampu ialah menghulur secebis rasa simpati dan memberi harapan. Jujurnya, mereka sendirilah yang perlu bangkit dan meneruskan perjuangan di kala sisi luaran malap, hidupkan pula obor semangat dalaman.

Segala apa dilakukan manusia mempunyai kesan sampingan yang lebih ketara berbanding kesan yang datang dari makhluk Allah Taala lain. Ini kerana manusia dibekalkan akal untuk berfikir, deria untuk merasa, dan hati untuk mengerti. Baik buruk kelakuan manusia akan tahu juga mana air dan mana api, membedakan antara al-Haq (benar) dan al-Batel (salah). Kedua-duanya tidak akan bercampur. Kepulangan pada fitrah manusia agar jadi baik adalah kemuncak kesempurnaan iman di jiwa. Kita berhak memilih jalan sendiri.

Tiada penafian pada sebujur nafsu yang tidak terasuh molek akan membunuh cara fikir yang lateral. Analoginya mudah; Perhatikan ini, ada orang miskin tidurnya nyaman sekali meskipun beratapkan rumbia atau langit Tuhan. Ada pula orang kaya tidurnya resah sekali meski beratapkan syiling buatan moden dan baik sekali.

Perhatikan ini lagi, ada orang miskin makan kenyang sekali meskipun ikan kering. Ada pula orang kaya makan lauknya banyak sekali tetapi tidak pernah puas hati. Jangan sempitkan istilah, kerana kesannya juga cukup mendalam.

Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian Barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris.

Kalau kita membaca sejarah, maka kita akan melihat bahawa agama, seni, ilmu pengetahuan dan teknologi itu saling berkaitan dan saling mendukung dalam perkembangan sebuah peradaban manusia. Teknologi tidak tumbuh di ruang hampa, ia tumbuh dalam interaksinya dengan ilmu pengetahuan, seni dan agama. Demikian juga halnya dengan ilmu pengetahuan, seni atau agama itu sendiri masing-masing tumbuh dalam interaksinya satu sama lain.

Moral, etika, delusi dan kreativiti manusia juga saling berkaitan dan saling dukung-mendukung dalam perkembangan sebuah peradaban. Kreativiti tidak tumbuh di ruang hampa, ia tumbuh dalam interaksinya dengan moral, etika dan delusi. Demikian juga halnya dengan moral, etika atau delusi masing-masing tumbuh dalam interaksinya satu sama lain.

Intelektual adalah seseorang yang menaruh dan memberi perhatian yang tulus, mendalam dan luas terhadap masalah-masalah sosial budaya masyarakat di mana dia berada. Para sarjana dan ilmuwan belum tentu dinobatkan sebagai ahli intelek andai kepakaran dan ilmunya itu tidak boleh digunapakai atau at least dirasai oleh manusia lain.


Masjid al-Azhar hingga kini menjadi pusat gedung ilmu terunggul di dunia.


RAIKAN ILMU

Setiap cabang ilmu sememangnya ada pintu dan tertib yang harus dilalui untuk sampai ke peringkat tertinggi. Untuk memahami ilmu Islam itu, sememangnya memerlukan pendekatan yang betul. Baru pandai merangkak, jangan pula terus berangan mahu berlari. Pandai untuk bertatih dari bawah, jangan pula memandulkan cita-cita untuk terus maju, cuma perhatikan kelayakan yang ada sebelum terjun masuk.

Apabila saya menyebut kenalah batas dan belajarlah membataskan diri. Saya tidak bermaksud yang ilmu syariah atau apa-apa ilmu di dunia ini hanya layak untuk orang tertentu sahaja. Tetapi ia adalah seperti papan tanda di jalanraya, agar kita memandu mengikut kesesuaian sekitar kita dan jenis kereta yang kita pandu. Jalan memang jalan Islam, tetapi bukan semua lencongan boleh speed sampai 100km/h.

Bukan semua naik Ferrari. Ramai yang hanya memandu Kelisa, maka berusahalah wahai pemandu Kelisa agar sampai ke tahap boleh memandu Ferrari. Caranya bekerja keras di kelas pengajian, bukan memandu Kelisa seperti Ferrari, lalu berangan-angan mencari mati.

Isu sunni dan syi‘ah bukan isu baru. Perbezaan salaf khalaf bukan isu baru. Semuanya dah establish zaman berzaman. Semuanya sudah ada metod sendiri. Maka isu-isu ini tidak boleh dipersalahkan sebagai punca kita jadi keliru.

Tapi isu-isu ini dulu isu orang mengaji, isu orang nak belajar memasak ilmu. Tapi ia telah diturun taraf menjadi isu orang ramai. Macam isu tol dan rasuah pemimpin negara. Produk sistem pendidikan pula semakin melahirkan golongan yang hanya mampu cemerlang dalam silibus sekolah, bukan kepada isu ummah.

Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syariah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

Menuntut ilmu pula ada disiplin tersendiri. Janganlah pula kita ingin belajar tentang ilmu permotoran, sibuk nak belajar dengan pakar perpaipan.

Tidakkah salah tu?

Jikalau mahu mendalami ilmu tentang setiap organ manusia (anatomi) untuk seterusnya jadi surgeon perlu kepada satu disiplin yang khusus dan panjang serta tidak mungkin boleh dikuasai dengan hanya melayari internet, takkan lah mahu mendalami segala kata-kata Allah dan Rasul-Nya yang begitu luas maksudnya (jawami’ al-kalim) tidak perlu kepada disiplin yang khusus dan tersusun, dan boleh terus jadi pakar bedah al-Quran dan Hadith dengan hanya melayari internet dan membaca artikel atau belajar secara sambil-sambil.

Bukankah diawal-awal lagi kita dah lakukan kesalahan.


Belajar untuk manfaatkan ilmu, bukan mencari mudharat daripada ilmu


BETULKAN NIAT

Ada antara kita yang bercakap tentang kerisauan terhadap sikap siswa-siswi Pengajian Islam sedia ada terhadap ilmu. Tentang sikap belajar hanya untuk peperiksaan, malas, ponteng, meniru, dan tidak thiqah. Namun terdapat satu faktor yang mungkin nampak remeh tetapi agak menggusarkan, iaitu sikap tidak yakin terhadap kemampuan diri untuk meletakkan diri sebaris dengan ulama’ tersohor.

Keutamaan kita pada ilmu agama yang Allah Taala turunkan dah semakin susut. kita tidak merasai miracle al-Quran sebab banyak sungguh ilmu-ilmu agama yang ditulis oleh pelbagai latarbelakang manusia. Kita makin jauh dari Quran dan kitab-kitab yang muktabar.

Kita tidak meletakkan prioriti pada pendidikan agama, terutamanya dalam membentuk tauhid dalam diri, tiada penekanan dalam fasa pendidikan sekolah rendah, pembelajaran asas Fardhu ‘Ain hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Apa yang terlintas di fikiran lebih pada mengutamakan ilmu untuk mendapat pekerjaan, hilang nilai-nilai moral dan value ilmu. Pelajar-pelajar di universiti pun kebanyakannya belajar untuk lulus peperiksaan, tanpa menguji kualiti ilmu dan menghisab diri, namun terlebih malang gagal untuk memperbaiki kemampuan berfikir.

Saya rasa, memang masanya kita perlu bermuhasabah, berbincang, mengusahakan, dan memohon pihak yang ada authority untuk kembalikan nilai-nilai ini. eloklah kita balik kepada ajaran al-Quran dan kitab-kitab dasar agar miracle dan rahsia (ruh) al-Quran itu dapat kita rasai semula dalam semua bidang. Jangan jadi seperti semut mati dalam balang gula.

Suatu metafora yang amat tepat dalam merumuskan situasi ini, bahawa umat binasa bukan sahaja kerana kekurangan ilmu, bahkan mati dalam lambakan ilmu. Sungguh menggerunkan.

Bila sudah terjawab semuanya, masing-masing sudah memegang slip peperiksaan, maka bermulalah lembaran baru, iaitu menentukan halatuju seterusnya. Pasti ramai sedang berpusu-pusu ke bank untuk dapatkan borang UPU, permohonan dibuat secara online, lebih cepat, mudah dan selamat.

Kalau result setakat cukup-cukup makan, pening juga nak hitamkan bidang paling sesuai, jurusan mana lebih secocok. Kalau result hebat-hebat, tiada masalah sebab mereka lebih cenderung untuk bersaing dalam bidang kritikal kerana sudah terbukti mampu. Maka jadilah ada di antara kalian lebih suka memilih apa yang dipilih oleh teman karib, alasan mudah nak studi, senang ambil berat, tak mahu berpisah. Mereka ini akan cepat mengalami sindrom down di bidang bukan medan sebenar dia.

Bila kita berada di persimpangan antara pilihan sendiri dan pilihan paksa, jauh lebih menggerunkan bila dipaksa.

Kita tidak selama-lama akan bergantung kepada manusia lain, tidak bererti kita langsung menepis bantuan mereka. Kaki kita melangkah, kita putuskan ke mana, tangan kita pegang, kita tentukan mana satu. Kita hanya dibekalkan pengalaman, kata-kata orang lebih tahu mengenal kehidupan sebelum kita mampu celik, mampu pegang, mampu melangkah.

Masa depan anak-anak tidak seharusnya ditentukan oleh keluarga. Peranan keluarga hanya menunjukkan jalan-jalan yang seharusnya dilalui oleh anak-anak. Melalui kaedah ini mungkin anak-anak mempunyai gambaran tentang minat dirinya. Menentukan karier anak akan menjadikan mereka pada suatu hari nanti buntu bila menghadapi kemelut dalam karier mereka.
Tidak dapat meneruskan halatuju dengan jitu dalam kariernya kerana jiwanya tidak penuh dengan apa yang dilakukan.

Maka jika dia seorang ahli ekonomi, ilmunya tidak dimanfaatkan dalam bidang ekonomi kerana jiwanya bukan jiwa ekonomi. Kalau dia seorang doktor, rawatannya hanya sekadar memberi rawatan, memberi ubat, dan dapat gaji besar. Jika dia imam masjid, maka dia hanya menjadi imam di kala solat sahaja, tidak lebih daripada itu. Mereka akan jadi jumud ketika berhadapan sistem nilai kehidupan.

Jika mereka mempunyai panduan dan bimbingan, mereka akan menjadikan minat dalam diri mereka sebagai option. Kalau mereka seorang pelajar perubatan, tanam sikap supaya benar-benar menjadi seorang doktor, berjiwa dan bernaluri doktor yang merawat bukan sekadar memberi deskripsi ubat. Mereka akan menjadikan minat mereka sebagai aktiviti kedua mereka.

Buatlah pilihan terbaik berdasarkan minat, bukan ikut-ikut teman kelak kalian akan penat. Mudah lesu dalam bidang itu.

Untuk kejayaan menyeluruh, penekanan perlu kepada penserasian atau pengimbangan pada kedua-dua hujung dengan memastikan bukan sahaja pengurusan masa, menghadiri kelas tambahan, latihan tubi, bersengkang mata baca buku tapi keupayaan kita berhubung dengan Maha Pemberi Kejayaan.

HISAB DIRI

Banyak isu yang mencelarukan minda dengan masalah ummah masa kini. Tenggelam punca, dan tidak dapat pastikan di manakah kedudukan kita sekarang. Saya sedikit tertekan kerana tidak tahu bagaimana hendak menyumbang buah fikiran dan tenaga untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.

Mungkin atas semangat dan dasar untuk melihat Islam itu kembali ke persada kegemilangan juga menjadikan Islam bukannya untuk orang agama sahaja. Mereka mempelajari Islam dan memberi pandangan berdasarkan Hadith dan al-Quran tanpa terlebih dahulu mengetahui disiplin-disiplin dan metadologi di sebalik miracle al-Quran dan terbitnya Hadith tersebut. Maka bila kita fahami betul-betul, di sinilah kita akan merasakan kekurangan dan kelemahan yang ada berbanding ilmu-ilmu yang diciptakan oleh Allah Taala. Allah Taala tidak pernah gagal memandang kita, melainkan apa yang kita telah sia-sia daripada memandang-Nya.

Pengajian Islam juga perlu direlevankan dengan kehendak semasa. Selain mempunyai asas yang kukuh, pelajar pengajian Islam perlu kemahiran nilai tambah (value added skills) untuk memastikan ilmu yang dipelajari relevan dengan tuntutan massa. Mungkin juga perlu kajian semula (re-evaluation) terhadap isi kandungan (content) dan cara (approach) pengajian Islam.

Saya juga memerhatikan bahawa terdapat penuntut ilmu (tholib al-‘ilm) yang kadang-kala tergesa-gesa dan over-reactive berbanding para guru mereka yang seterusnya menyumbang kepada cacar merba, dan syok sendiri.

Usaha dan tumpuan kita hanya untuk mencari kemenangan di pihak kita tetapi sepatutnya usaha kita untuk mencari keredhaan Allah Taala. Malanglah kita usia yang sedikit apatah lagi di akhir zaman ini masa yang ada berlalu dengan pantas sekali, kita sibuk dengan perkara yang bukan matlamat kita.

Biarkan si luncai dengan labu-labunya, kita sebagai at-tholib, da’ie, intelek (ulul albab) dan khalifah di muka bumi tetap sahaja berjalan menuju keredhaan-Nya. Barulah ekspresi menang dan menang akan bersama kita.

MULA DARI REBUNG

Bila kita berbicara tentang sebuah pokok bunga segar, tidak layu, pasti kita tahu kenapa terjadi keadaan sedemikian rupa. Sudah pasti cukup pengairan pada akar, tidak terlindung dari mendapat cahaya, tiada serangga perosak. Maka kita mula sedar, bahawa mendapat hasil seumpama ini bukan jalan mudah, perlu pada perhatian dan pemerhatian. Kita boleh samakan pokok bunga itu tadi adalah anak-anak yang perlu dididik, disuap ilmu, sebagai makanan rohani.

Penjaga baik ialah seorang ibu bapa prihatin, melihat kehadapan, masa depan tumbesaran anak-anak mengjangkau jauh ke ufuk timur, mendasar jauh ke bawah perut bumi Ilahi, melambung jauh hingga ke angkasa.

Wahai ibu bapa ketahuilah, kelahiran anak-anak di dunia ini adalah pelajaran baru bagi kalian, ianya satu amanah perlu dipikul. Menjadi ibu dan bapa yang tidak mengherdik anak-anak dengan kata-kata kesat, tidak mendoakan yang bukan-bukan kepada anak. Kata-kata herdikan, akan menjadi doa yang akhirnya membinasakan anak-anak secara tidak sengaja.

Kesian kepada ibu bapa kebal menahan penat bekerja siang malam berpanasan, bersejukan tapi kurang kebal dalam mendidik anak-anak. Ujian barangkali kita nampak di luar sahaja, sebenarnya ujian daripada anak-anak lebih berat ditanggung, masyarakat tidak pernah kering air mulut mempersoalkan keburukan tangan kita daripada kebaikan.

Sumpah seranah terlekat di birai bibir mereka, ngeri pula bila terkenangkan begitu.

Belajar untuk berkata cukup pada apa yang ada, semua itu bukan penghalang untuk mencari kebahagiaan dan keredhaan di sisi Allah Taala. Rahmat Allah Taala jua penentu segala-galanya, jadikan kekurangan ada untuk kita membina kekuatan. Kurang tidak bererti kita lemah, lemahnya kita sebab kita kurang bersedia mencanang hidup ruh islami dalam dunia serba mati ini.

2 komentar:

khadamgerakanislam.blogspot.com on 3 Julai 2010 pada 9:32 PG berkata...

Salam.. Ustaz, hari ini ramai yang suka menuntut ilmu tetapi dalam perjuangan, dia menjadi jahil.. Apabila berbicara tentang politik, beliau menolak..
Ada jemaah, mengkader ahli-ahli baru semata-mata untuk jemaahnya. Tidak pernah menggunakan mereka untuk Keizzahan Islam di kampus mereka..
Bagaimana hendak menanganinya??

Rezza Khanafiah on 3 Julai 2010 pada 3:06 PTG berkata...

Salam. Mengajar manusia normal, aqil baligh bukan mudah seperti kita mengajar monyet panjat pokok kelapa. Makin berilmu seseorang-andai tidak dipandu oleh iman-SIKAP EGOIS makin menjadi-jadi. Maka kefahaman yang jelas pada ilmu-ilmu perlu dihadam oleh setiap manusia. Jangan kata lemah berpolitik, berfikiran sempit, kalau tidak ditangani dengan baik ilmu juga boleh memberi kemudharatan kepada orang ramai. Ada ilmu, tapi diguna pada jalan salah dan berkepentingan peribadi.

Moralnya; kembali kepada SIKAP islami, dan memahami ajaran terkandung di dalamnya, dan jangan ambil sekerat-sekerat.

Jzakallahu khairan al-Jaza'

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal