PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Realiti Kehidupan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Realiti Kehidupan. Papar semua catatan

Sabtu, Jun 9

Ingatlah ! Janji Syaitan Kepada Tuhan Mereka






BENARLAH kata-kata para hukama’ dalam kitab hikam bahawa anak adam sentiasa lalai, alpa sedangkan musuh anak adam sentiasa jaga. Keburukan syaitan dan iblis telah dimaklumi sejak kewujudan Nabi Adam as dan isterinya Hawa di Syurga lagi. Keangkuhan mereka menuruti perintah Allah Taala supaya sujud kepada Nabi Adam as selepas penciptaan baginda. Kesombong mereka pula terselah pada janji yang terpatri pada Kalam Ilahi menerobos pembatasan kewujudan asal mereka. Menjadi di kalangan hamba Allah Taala yang bersumpah taat setia tidak berbelah bahagi.


Allah Taala berfirman; bermaksud: “Iblis berkata: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat)”

“(Allah Taala membalas:) “Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberikan tempoh masa (ke suatu masa yang tertentu)”

“(Iblis berkata:) “Oleh kerana Engkau (wahai Tuhan) menyebabkan daku tersesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus. Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur” al-A’raf (7:13-17)








Kesombongan tadi telah mencampakkan mereka dari Syurga Allah Taala yang mulia. Tiada siapa sangka kerana ianya di dalam kekuasaan Allah Taala. Menurut beberapa riwayat bahawa syaitan dan iblis adalah antara hamba Allah Taala yang paling taat menyembah Allah Taala sebelum kewujudan Adam as. Namun semuanya berubah, sifat angkuh telah memberi tamparan hebat antara ketaatan dan kemahuan.

Allah Taala berfirman; bermaksud: “Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta terusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi Neraka Jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya” al-A’raf (7:18)

Ketahuilah, syaitan tidak akan selama-lamanya tidur seperti anak adam terlena. Kerjanya hanya satu, memberi peluang kepada setiap anak adam untuk turut sama menempah jalan ke Neraka. Golongan paling disukai untuk didekati, mungkin juga paling mudah ialah wanita.

 
Ibn Abbas berkata; “Tidak ada dalam kalangan orang terdahulu yang menjadi kafir kecuali gara-gara wanita, dan orang terkemudian kafir gara-gara wanita”

Said Ibn al-Musayyab berkata; “Setiap kali syaitan berputus asa menggangu, maka dia (syaitan) akan melancarkan gangguanya melalui wanita”

Para wanita tidak digelar lemah kerana sahaja mereka berjantina sebagai nisa’ (perempuan) sebab mahupun rijal (lelaki) juga ialah hamba kepada Tuhan yang sama. Kelemahan tersembunyi (dalaman) lebih digeruni kerana lemahnya luaran masih lagi terurus dek akal yang kuat. Tapi andai lemahnya dalaman disebabkan akal kuat tidak pandai mengairi iman, kelak akan menumpah kepalsuan dalam memberi ketaatan. Tinggal lagi kemahuan mengangkat lemah menjadi kuat pada tuntutan bernafsu.



Nota: Jom add saya di akaun (acc) pemuka facebook baru; Rezza Khanafiah II
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Julai 27

Cinta BERAHI Bukan Lagi Cinta ILAHI







MENURUT
hemah saya lelaki dan perempuan sama-sama cenderung pada SEKS. Hanya sahaja seorang lelaki berstatus bujang mengimpikan sebuah perkahwinan untuk melangsaikan ibadat itu, akan padah bila nafsu bermaharaja di atas pundak hati.. ianya dilihat sebagai ADAT menghalalkan perlakuan SEKS di luar nikah. Tiada sebab seorang perempuan hilang rasa malu kerana bangga sudah lagi tidak virgin, dah perkara biasa di era penjajahan idealogi Barat yang berat sebelah.

Mana mungkin peluang dah terhidang, nafsu dah teransang, masa dah terluang tiada perasaan untuk menggunakan kesempatan kerana ketika ini mana ada orang pandang, cubalah tenang, buatlah perlahan-lahan.

Apa lagi, mulalah syaitan mainkan peranan. Halal dan haram sudah dibuang, tinggal lagi sebuah harapan. Harapan antara kau dan aku, kita sama-sama dekatkan, usah berjauhan, nanti feeling hilang. Maka berlakulah dua perkara yang ditakuti; bersekedudukan hingga hilang kawalan, dan pembuangan zuriat tidak cukup bulan.

Puaskah kalian? Pasti nafsu kata nak lagi, lagi dan lagi. Bolehkah ketika ini kalian salahkan cinta?

Teman, CINTA itu bukan makhluk. Kenapa salahkan cinta, kenapa tidak salahkan mata hati yang buta? Salahnya orang bercinta kerana salah letak harga sebuah cinta. Nabi pun bercinta, para sahabat pun bercinta, para ulama’ pun sama.. tapi mereka tiada masalah pun, kerana mereka tidak bermasalah.

Pesanan buat Hawa;

Wahai wanita solehah mahupun wanita jameelah (ada rupa), kalian usahlah sekali-kali mudah memberi cinta. Bercinta jangan. Tapi berkahwinlah dengan lelaki yang mencintai kamu. Kahwin dengan niat untuk menghadirkan CINTA IBADAT, kerana dia mahupun kalian hanya ada satu cinta PERLU dihargai selepas itu, iaitu cinta ILAHI. Namun, andai kalian kalah oleh CINTA ADAT sebelum sempat kahwin menyekat, maka ada satu cinta AKAN kalian hargai selepas itu, iaitu cinta BERAHI.


Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Mei 15

Cabul : Musibah Teguran Allah









HUJAN emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri. Mungkin ungkapan peribahasa yang biasa digunakan ini sesuai ditujukan kepada anak rantau baik yang berstatus seorang pelajar, atau pekerja di luar negara. Kita mungkin berbangga akan kehebatan negera luar disebabkan kecanggihan teknologinya, infrastruktur, pengakutan, pembangunan dan sebagainya yang menggamit mata... namun ianya tidak selama-lamanya kekal dan sama dengan negara asal tumpah darah kita, tempat kita dibesarkan, disuapkan dengan pelbagai makan rohani dan jasmani sebelum melihat kita seperti apa pada hari ini.

Tapi tidak pula negara Mesir, negara bekas jajahan Perancis. Hujan emas? Mungkin saya boleh cocokkan kekayaan Mesir dengan khazanah ilmu yang cukup meluas tapi bukan pada prasarana luaran negara ini. Pembangunan jauh ketinggalan berbanding negara-negara arab di sebelah timur. Kos sara hidup yang rendah menyebabkan rakyatnya terpaksa menggunakan segala macam kudrat untuk terus menyambung hidup.

Saya lebih cenderung untuk bersetuju, bait kata; “lebih baik negara sendiri”.. walaupun kita boleh berbangga dengan kehebatan negara orang tadi, tapi tidak kepada kita secara menyeluruh. Mungkin kita tidak dapat perolehi layanan baik seperti warga tempatan, kedudukan kelas pertama seperti penduduknya. Bagaimana pula dalam konteks jenayah, bila tertimpa sesuatu musibah, kecekapan pihak berkuasanya mengambil tindakan. Itulah hakikatnya yang perlu ditelan.

Baru petang tadi saya menerima berita kes kecurian, berlaku pecah rumah. Allahu Rabbi.. pada hari Jumaat, apa jenis orang arab yang tergamak buat kerja terkutuk ni ketika umat Islam yang lain sedang menunaikan solat Jumaat. Sebenarnya saya jarang menulis berita-berita jenayah yang berlaku di Mesir, meskipun banyak menerima aduan dan rungutan daripada mahasiswa di sini. Kalau nak diikutkan sudah hampir lima kes jenayah yang berlaku sepanjang bulan ini, membabitkan pelajar Malaysia sama ada pengajian Islam mahupun perubatan.

Tiada perasaan yang bisa digambarkan ditengah-tengah deman sedang meningkat pulih melainkan terkejut, tiba-tiba dengutan jantung kian laju, muka berubah pucat. Kalau orang lain mungkin saya bersahaja, atau paling kurang satu muhasabah buat diri, tapi kali ini memang lain pada yang lain. Salah seorang yang menjadi mangsa kecurian itu ialah bekas ahlul bayt saya ketika mula-mula menjejak kaki di bumi kinanah.

Satu rumah menanggung kerugian beribu-ribu ringgit. Pencuri tersebut berhasil melarikan 3 buah komputer riba (anggaran RM6000), 7 buah telefon tangan (anggaran RM 2500), externel hardisk (RM 200), dan duit. Saya difahamkan pintu rumah mereka dipecahkan berdasarkan kesan hentakan tapak kasut pada pintu rumah, dan penyelak pintu yang pecah.

Satu minggu sebelumnya pula kes pelajar perempuan, pengajian perubatan cawangan muhafazah telah dicabul di dalam teksi, sungguh mengaibkan. Bayangkan seorang perempuan yang baru nak kenal bumi asing yang dipijaknya, ditambah pula masih lemah menguasai bahasa arab ammi (pasar) Mesir, berapa kerat sangat kudrat dia ada nak dibanding orang arab, tubuh sasa. Akhirnya hanya sekadar melawan-lawan katak, ditemani air mata duka meratapi nasib diri yang jauh beribu dan berbapa. Diserahkan tanpa rela.

Bila mana melihat statistik yang dikeluarkan oleh unit Hisbah PMRAM, berhubung kes jenayah yang berlaku sepanjang sesi tahun 2009/10 membabitkan pelajar kita di sini amat membimbangkan. Peratusannya meningkat dari tahun-tahun sebelumnya. Apakah ini sesuatu yang masih tidak memanaskan kerusi empuk pihak berwajib yang berada di sini khususnya pihak Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah (JPMK)? Jujurnya saya tidak salahkan tuan, tapi ‘sikap’ tuan yang selama ini acuh tak acuh, dan hanya mampu melepaskan batuk di tangga.

Janganlah pula semut di seberang nampak, bahkan ‘terang lagi bersuluh’... tapi gajah di sebelah pula ‘buat-buat’ tidak nampak, bahkah menjadi gelap gulita di siang hari.

Justeru itu, saya menasihatkan semua mahasiswa yang berada di bumi anbiya’ ini, kalian tiada jalan lain selain meningkatkan kualiti keselamatan. Muhasabah semula apa yang patut diperbaiki dari semasa ke semasa apabila telah melihat pada beberapa kemaslahatan yang bisa membantu. Kita percaya pada takdir-Nya, namun takdir-Nya jua terletak pada usaha kita, ikhtiar kita. Diri tidak akan tertimpa hujan, kalau dari awal lagi kita telah bersedia dengan apa kemungkinan berlaku.

Allah Taala tidak akan memberikan keburukan kepada sekalian hamba-Nya, melainkan kita sendiri yang menjemput keburukan (tidak berhati-hati atau kurang berhati-hati) itu. Lihatlah betapa pengasihnya Allah Taala menghantar rasul-rasul pada umat yang tidak mengetahui supaya tahu apa yang perlu diketahui (awlawiyat). Allah tidak akan mengazab sesuatu kaum melainkan telah disampaikan rasul kepada mereka.

Perlu diingatkan, antara lain kenapa kalian ditimpa musibah adalah untuk kembali kepada sifat asal kita sebagai seorang hamba. Ingat kepada siapa yang harus diadukan masalah ini, agar kita sentiasa syukur dan syukur di atas pemberian nikmat kurnianya. Di samping menegur kalian supaya lebih berhati-hati lagi pada masa hadapan.

Allah Taala berfirman;

bermaksud: “Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa); dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu” asy-Syuraa (42:30)

Maafkan saya, mungkin saya boleh bercakap ini dan itu tanpa perlu menanggung keperitan yang tertimpa ke atas kalian. Tapi ni jualah peringatan bersama selepas saya sendiri pernah mengalami perkara sama suatu kita dahulu, ianya benar-benar teguran keras Allah Taala di atas kelalaian kita.

Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Mei 14

Boleh Ke Perigi Cari Timba?









MERUBAH persepsi manusia bukan mudah, lebih-lebih lagi mereka yang dah lama berpegang pada sesuatu adat hingga terlalu sulit melihatnya dari sudut ibadat, iaitu syariat. Mengajar manusia normal tidak semudah kita membawa seekor lembut untuk meragut rumput di kawasan tanah lapang, tidak dapat tidak segala kefahaman betul mengenai perjalanan syariat islam harus ditanam sedari kecil lagi. Apabila kita ingin perbetulkan kesalahan tadi, maka akan berlakulah kejanggalan yang tidak bertempat, malu-malu kucing kerana katanya tidak pernah dibuat orang, ada juga yang terkejut dan disusuli ketawa sinis.


“Biar betul ustaz, tak kan perempuan yang datang melamar lelaki”


“Ehh.. malulah macam ni ustaz”


“Boleh ke buat seperti tu. Nanti apa kata orang”


Saya tidak risau bagi mereka yang ada rupa, digilai oleh ramai lelaki, tapi bagaimana pula mereka yang sekadar cukup-cukup makan, atau bujang terlajak (andartu).. tidakkah dianggap ‘sial’ atau aib oleh masyarakat. Sudah pasti aib itu bukan sahaja disandang oleh perempuan dara tua sebagai individu, tapi tempiasnya juga terkena kepada keluarganya. Inilah penghalang utama dan satu-satunya 'musibah' bagi perempuan yang hendak melamar lelaki.


Saya pernah menerima banyak persoalan soal jodoh terutama golongan terlajak ini. Kadang-kadang saya melihat salah satu masalah kita ialah sikap, walhal melihat pada kemampuan, kedudukan, pendapatan boleh sahaja memiliki atau lebih senang bisa ‘memancing’ lelaki tapi masih sukar untuk mendapat pasangan. Sikap kita pada suatu ketika dahulu yang mungkin agak memilih, mahu cari yang sepadan atau lebih daripada diri. Mana ada kelas seorang doktor kahwin dengan ustaz, mana padan seorang business women berjaya nikah dengan tukang kebun. Maka kalian telah membawa fitnah kepada agama.


Tidak kurang juga di kalangan ahli gerakan, mencari pasangan antara ahli gerakan, tidak boleh berbeza fikrah atau bukan daripada satu jamaah yang sama. Maka menunggulah dengan penuh hiba si perempuan dalam gerakan tadi jejaka idaman satu jamaah datang menyunting. Kalau ahli gerakan tu berjuta-juta mungkin tiada masalah, tapi kalau sekerat jangan bermimpi di siang hari. Maafkan saya, mungkin sedikit agresif (panas!), cuma saya ingin ubah sedikit persepsi kita kerana syarat sah kahwin dan rukunnya tidak pernah menyebut perkara yang dirumitkan tadi.


Ya.. PERSEPSI


Mengapa untuk sebuah kebaikan dan kemaslahatan hidup dapat dikalahkan oleh persepsi yang kolot ini? Persoalannya kembali kepada sikap individu tersebut, apakah dia lebih mengutamakan persepsi atau kebahagiaan hidup yang sejati? Kita meraih syurga cinta Allah melalui pasangan bukan kerana fikrah kita sama atau sebagainya... sebuah kebahagian, amanah kepada rukun rumahtangga.


Apakah kita terasa jijik bila mana tahu Saidatina Khadijah yang datang melamar baginda yang hanya seorang anak yatim piatu, tiada siapa dan apa-apa di sisi. Kita pula tahu kedudukan Khadijah di sisi masyarakat... seorang yang berkedudukan, hartawan, ahli perniagaan berjaya, dan dihormati oleh kaum Quraisy. Beliau menepis persepsi tidak sihat demi mempersunting lelaki yang di matanya terdapat tanda-tanda kemuliaan dan kematangan peribadi. Nafisah binti Munabih menjadi saksi bukti cinta Khadijah kepada insan al-Amin ini. Siapa kita kalau hendak dibandingkan dengan Khadijah?


“Saya teramat sedih ustaz. Kami dah bertunang, memang dah nak kahwin tiba-tiba putus di tengah jalan” rintih seorang wanita mengenang nasib malangnya.


Malah lebih parah lagi masalah bertunang dan kemudian terputus sebelum diijab-qabulkan ini berlaku berulang kali dan kesannya menimbulkan ketakutan kepada mereka untuk terus bertunang lagi. Ianya lebih ngeri melihat luka sendiri di tangan, luka mungkin hingga pada suatu masa akan sembuh... tapi soal hati dan perasaan boleh bawa mati, silap-silap boleh jadi tidak waras.


IKHTIAR, USAHA


Para ulama’ bersetuju bahawa jodoh ialah salah satu qada’ ketentuan Allah Taala seperti rezeki, ajal seseorang hamba. Semuanya itu termaktub sejak azali lagi. Namun kita tidak boleh berserah bulat-bulat hingga terkulat, apabila sampai satu masa kita telah berputus asa dan mengatakan ini adalah takdir Ilahi. Apakah kita tahu itu ialah takdir Ilahi? Maka sebab kita tidak tahulah kita masih mempunyai satu lagi talian hayat, iaitu ikhtiar.


Benar, sebuah ikhtiar.


Manusia diberi hak seluas-luasnya untuk berusaha dan terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa. Kita teringin mahu makan sesuatu yang enak, tapi bolehkah ianya hadir tanpa kita berusaha seperti gigih bekerja, mencari duit yang halal sebelum memiliki makanan yang enak tadi. Maka usaha itulah yang akan menjadi penentu pada ketentuan takdir Ilahi. Kalau tidak, kalian tidak ubah seperti Mat Jenin di era moden.


Tidak menjadi kesalahan apabila melihat pada kemaslahatan perempuan memulakan dahulu, soal jodoh selagi mana ianya tidak menyalahi syara’ maka dihalalkan dalam Islam, bahkan amat digalakkan. Hendaklah difahami jelas-jelas, Islam tidak pernah meletakkan bebanan ke atas bahu lelaki sahaja untuk memulakan terlebih dahulu dalam soal mencari jodoh. Buang jauh-jauh persepsi dangkal terhadap peribahasa Melayu; “Perigi mencari timba” atau “Langkah bendul”, dalam Islam ianya masih terjaga dan tidak mengaibkan.


Berusaha mencari kebaikan dan redha Allah.


Pernah suatu ketika, telah datang kepada Rasulullah s.a.w seorang wanita arab menyatakan hasrat secara terus terang tanpa perantaraan untuk bersuamikan Rasulullah s.a.w. Tapi baginda s.a.w menolak dengan cara baik, di samping di atas simpati baginda s.a.w sendiri yang tolong mencarikan suami buat wanita itu. Dengan kesungguhannya untuk membantu wanita itu Rasulullah telah mencarikan beliau seorang suami dari kalangan para sahabatnya dan mereka kemudian hidup dalam kerukunan rumahtangga yang bahagia.


Bagaimanapun haruslah diingatkan, bahawa wanita yang ingin menggunakan kaedah ini untuk mendekatkan jodohnya kena menyedari hakikat sopan santun dan tidak melampaui batas hukum syara’ yang menjadi benteng terpelihara.


Mereka perlu berwaspada agar tindakan itu tidak menjejaskan maruah dan harga diri di mata masyarakat kita yang berpegang kepada nilai-nilai agama dan adat. Tujuannya mesti jujur dan hendaklah mendekati lelaki dengan niat yang benar-benar untuk dibuat suami. Tidak perlulah bercinta dulu, atau mahu mengenal hati budi masing-masing.. apabila dah serasi, aturlah masjlis perkahwinan secepat mungkin.


BERDOA


Jangan lupa juga untuk bekalkan doa bagi menguatkan usaha kita tadi. Doa adalah senjata ampuh orang mukmin. Mendekatkan jodoh dengan doa adalah amalan para solifus soleh.


Nabi s.a.w pernah bersabda, bermaksud: “Allah tidak akan mengubah qada’ seseorang hamba melainkan kerana doa” (al-Hadith)


Biarlah malu kita tadi bersalut iman, dan bertempat. Perempuan mudah mendapat fitnah ketika bujangnya berbanding apabila telah berumahtangga, mencari sesuatu kebaikan amat dianjurkan di dalam Islam. Jangan salahkan takdir andai kita sendiri silap membuat perhitungan.


Pilihlah. Jika kita mahu ke arah kebaikan dengan usaha yang gigih, maka kalian akan merasai kesan sampingannya yang sementara seperti penat dan hampir berputus asa, tapi kemudiannya kalian akan mendapat kesan kebaikan tadi yang abadi. Jika kalian mahu pada kebaikan tanpa ada usaha mendahuluinya, maka kalian akan merasai kesan sampingannya yang sementara seperti berangan-angan kosong, tapi kemudiannya mendapat kesannya yang dasyat seperti menanggung fitnah dan cakap-cakap orang dari belakang dalam bentuk abadi.


Kata kuncinya ialah BERUSAHA sebelum TAWAKKAL.


Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, April 17

Kebiasaan Mengundang Keresahan

SUDAH hampir seminggu saya memikul tanggungjawab sebagai imam muda di Masjid al-Aman, sebuah masjid yang terpencil terletak di kawasan pusat bandar Kota Bharu. Boleh dikatakan kawasan tersebut majoriti kaum Cina, tapi masih ramai juga bangsa Melayu yang sekitar kawasan masjid. Tidak pasti kesibukan apakah yang membuatkan mereka begitu berat untuk membesarkan langkah ke masjid, tempat paling selamat dan suci. Ada juga ringankan tulang untuk datang namun berapa kerat sahaja, boleh dibilang dengan jari.

Alhamdulillah... di hadapan masjid terdapat seorang kakak yang berasal dari Kemboja. Telah bersuami dan mempunyai empat orang anak. Saya dan suaminya juga rapat, dan salah seorang jamaah tetap masjid. Kami selalu bersembang setiap petang, itupun kalau beliau tidak keluar berniaga. Banyak buah tangan saya perolehi. Teringat saya, satu cerita kakak tu sekadar perkongsian.

Mengikut sejarah daripada ayahanda kakak tu, mereka (arwah mak, dua abang dan dua kakak beliau) datang ke sini atas saranan arwah datuknya, yang amat menitiberatkan pendidikan dan pembangunan nilai Islam dalam mendidik anak-anak. Masa itu kira-kira hampir 30 tahun dulu, negara Kemboja dikuasai komunis yang memang tidak menyenangi Islam.

Di awalnya, keluarga kakak tersebut memamg tidak diterima masyarakat setempat, particularly orang Melayu. Tapi orang Cina melayan keluarganya dengan sangat baik. Up to secondary school pun, ada cikgu yang nasionalismanya tinggi tidak sekadar memandang malah melayan mereka adik beradik di situ sebagai orang luar yang tidak pernah diundang.

Tambah kakak lagi. Masa kecil-kecil dulu, dia marah juga kerana rasa tak patut orang Islam layan macam ni. Tapi dari sudut positifnya, dia sangat bersungguh-bersungguh belajar kerana nak tunjuk kat diorang yang mereka mampu survive. Akhirnya, mereka semua mampu bertahan dan sangat menghargai apa yang terjadi sekarang.

Moralnya, walaupun mereka bukanlah berasal dari warga tempatan, tapi mereka begitu tinggi iman dalam menempa kejayaan di bumi asing. Bukan senang membina sebuah tapak pada tanah yang cukup asing dengan darah daging. Semangat waja mereka perlu ditauladani, bukan merempat di kandang sendiri, dan rasa terhina dek kerana tangan-tangan yang membusutkan jiwa sendiri dalam kelalaian.

Dari segi sosial, awal-awal dulu memang saya rasakan susah untuk bergaul dengan penduduk setempat yang lain, kerana mereka kurang tahu gaya hidup (syariat) Islam. Tidak turut sama berjoging dengan mereka pada hari Jumaat dan ada sedikit rasa prejudis terhadap saya. Tetapi, saya cuba untuk bersosial dengan cara yang lain, contohnya keluar shopping bersama-sama atau ke restauran dan ambil peluang ini untuk menjelaskan kepada mereka situasi saya yang sebenar dan serba sedikit tentang roh Islam. Hamdalah, selepas saat itu, hubungan kami semakin baik.

Pandangan saya kalau suasana memerlukan supaya penghayatan Islam tu wujud, tidak kisah lelaki atau perempuan yang mulakan dahulu. Jangan pedulikan suara-suara sumbang kalau niat kita nak hidupkan Islam. Mungkin pada masa yang sama, kena sama gesa lelaki yang mungkin ada tapi tidak nampak untuk sama-sama turut serta dalam penghayatan penting ini.

Kebimbangan saya ialah cabaran yang ditempuh oleh umat Islam dan negara ini semakin banyak, beragam dan kompleks. Tetapi kenapa pembangunan modal insan yang digembar-gemburkan selama ini hanya sedap di mulut sahaja tanpa ada pelaksanaan yang berperingkat, dan tindakan susulan selepasnya?. Gagal melahirkan barisan da’ie, aktivis, pemimpin, penulis, penceramah dan pemikir yang setanding dengan cabaran kontemporari umat Islam dan dunia keilmuan sejagat.

Nabi pernah bersabda, bermaksud: “Kamu tidak akan masuk syurga hingga beriman, dan tidaklah kamu beriman hingga saling mencintai (kerana Allah). Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan pada satu perkara jika kamu kerjakan perkara itu, maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam antara kamu” (Hadith Riwayat Muslim)

Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, April 10

Rindu Insan Merindui

“IBU, engkaulah ratu hatiku...”

Bait terakhir sebuah lagu popular suatu ketika dahulu cukup menggambarkan betapa insan yang mengandung, melahir, menyusu, dan membesarkan ini dicintai oleh setiap insan bernyawa... jangan kata manusia yang ada akal hatta haiwan pun tahu berduka bila meratapi perginya ibu buat selama-lamanya.

Bagaimana pula kasih seorang ibu kepada anak, pasti berlipat kali ganda lagi. Kasih insan ini kepada anak tidak perlu terungkap melalui kata-kata, bukan pada harapan budi dibalas budi, tapi pada sebuah perhatian, tanggungjawab, dan amanah yang berjaya dipikul hingga si anak mampu mengenal huruf, kenal alam, kenal ragam manusia, dan kenal Pencipta Alam.

Dia syurga kita di dunia lagi..

Kalian masih mampu mendengar suara ibu hingga kini, masih bisa bergurau senda, masih boleh meluah rasa.. begitu juga hati nurani saya, kerana dia adalah mutiara diciptakan untuk melahirkan permata bukan kaca yang penuh kepalsuan. Nilainya ada pada perhatian, tanggungjawab, dan amanah tadi.

Inilah cinta tanpa syarat seorang ibu.

Berapa ramai hari ini ingat ibu, ingat jasa ibu, ingat pemberian ibu. Berapa kerat sangat fikir semua ini, kita mampu membilang dengan jari... tapi kita mungkin jenuh menghitung terlalu ramai orang tua di pusat penjagaan Rumah Orang Tua. Rumah orang tua dah bertukar jadi nursery era moden kerana minda moden seorang anak. Aduh... menitis air mata orang tua, apatah lagi seorang ibu yang berjiwa bersih mengenang kembali saat dia pernah berjaga malam demi keselesaan anak tidur, waima nyamuk tetap sinonim sebagai musuh utamanya di kala malam melabuh senda.

Benarlah juga kata-kata para hukama’; “SEORANG ibu bisa menjaga sepuluh orang anak, namum belum tentu SEPULUH orang anak tadi mampu menjaga seorang ibu”

Mungkin ada di kalangan sahabat di luar sana mengalami situasi berbeda-beda;

“Ustaz.. mak saya seorang panas baran”

“Risau saya melihat anak-anak menjadi mangsa dera si ibu, kalau ikutkan mahu saya buat laporan polis” luah seorang kakak berjiwa ‘ibu’ geram melihat gelagat sesetengah wanita berstatus ibu.

Benar.. saya tidak dapat menidakkan, tapi kita juga kena tahu seburuk mana kelakuan seorang ibu dia tetap kasih kepada anaknya, kerana susah ‘bangat’ dia melahirkan hingga bertarung nyawa agar kita selamat hadir ke dunia, destinasi wajib setiap muslim. Buruk kelakuan mereka tidak bererti mereka jahat.. buruk dan jahat, dua istilah jauh pengertian maknawi.

Namun ramai mana daripada kita dapat bertahan… lebih-lebih lagi sekiranya usia ibu mula melewati usia emas. Sudah pasti kitaran hidup kembali kepada mula… apabila ibu mulai tua, urat mula sengal, anggota mulai kebas, maka perasaannya juga terjejas. Disebabkan perasaan itulah maka si ibu mula bergantung-harap kepada anak-anak, memerlukan perhatian, tanggungjawab, dan kasih sayang seorang anak seperti mana mereka dahulu lakukan.

Bolehkah kita terus bersabar bila ada kekadang si ibu acap kali bertanya benda yang sama, buat-buat tak dengar, minta dibelai, diurut-urut dan picit-picit, bermanja nak ini dan itu? Tahukah kalian kenapa, sebab ibu inginkan perhatian kita dari terus leka dengan kerja berlambak di pejabat, agar kita tahu dia amat memerlukan kita. Jangan tinggal jejak buruk di nota hati kanak-kanak, tidak mustahil anak sendiri akan memperbodohkan kelakuan sama bila tiba usia tua kita.

Dia masih ibu kalian, kita.

DIA IBU-KU

Bila anak bersembang dengan ibu, biasalah si anak tidak pernah menang cakap. Teringat pula saya setiap kali berbuah bersama ibu on-air;

“Ibu teringin sangat nak makan lauk masakan abang.. tolong ibu ke pasar minggu.. menderai kereta bersama ke tempat kuliah pengajian, BBQ di pantai seperti tiga tahu dulu sebelum abang berangkat ke Mesir” suara ibu sedikit sebak, kata-katanya tersekat-sekat.

Setiap kali terlintas di minda kecil, saya pula bermonolog ringkas;

“Apakah patut aku lunaskan ‘harapan’ ibu-ku itu, walaupun dia tidak pernah mengukit paksa”

Sudah 23 tahun saya kenal hati budi seorang insan bernama ibu. Sudah 23 tahun juga, dia masih membelai, memberi, dan menyuap kasih sayang tanpa paksa. Kasih beliau kepada kami bukan material terpacak di depan mata, bukan jua kerana dia juga pernah menjadi seorang anak dan warisan turun menurun, tapi kerana Allah Taala, bersalut sebuah amanah dan tanggungjawab.

Bukti?

Tanggungjawab pula tadi ialah berupa tarbiyyah berpanjangan tanpa kenal erti penat, jauh sekali untuk mengeluh. Sudi menyediakan kami pakaian yang elok-elok, makan makanan yang seimbang dan sedap.. ibu dapat tahan dengan perangai kami yang terlampau nakal hingga sekarang sentiasa memberi nasihat dengan lemah lembut agar kami jadi seperti apa dia mahukan, iaitu anak soleh dan solehah.

Ibu seorang lemah lembut, tidak meninggikan suara walaupun dia patut lakukan. Dia tahu marah bukan jalan penyelesaian, marah kepada anak kecil pasti akan membantut tumbesaran minda. Dia tidak pernah lupa untuk mengajikan kami di rumah bilal, Ustaz Abdul Latif supaya kenal alif, ba’, ta’ selepas saya menginjak usia lima tahun... saya tahu ibu tabah membesarkan kami, di balik mata ibu menceritakan segala-galanya kepada kami, ibu tetap sahaja tersenyum melayan kerenah kami... cuba tersenyum tapi kelopak mata ibu menghuraikan semuanya.

Kuat ibu membanting tulang empat kerat mencari sesuap nasi buat kami. Dulu abah terpaksa berada berjauhan daripada kami, jauh merantau mencari sumber rezeki... maka di saat ini, ibu begitu pantas memujuk kami agar tidak kesunyian, dialah ibu dan bapa memenuhi keperluan dan kehendak kami.

Terima kasih Tuhan di atas kurnian nikmat-Mu ini.

KASIH TERSIMPAN

Ibu mambawa kita sembilan bulan ke sana sini. Kita menendang, melompat, kita minta macam-macam takut kempunan. Apakah setelah sembilan tahun dibelai sehingga baligh, cukup dengan sejambak dan sebait kata-kata apa sahaja?

Pengorbanan seorang wanita yang bergelar ibu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit atau harta benda. segala kesusahan sewaktu hamil dan penderitaan serta kesakitan yang dialami disaat melahirkan anak adalah sesuatu yang sukar digambarkan, tetapi dengan tiba-tiba boleh bertukar dengan kegembiraan apabila mendengar tangisan pertama anaknya sebaik sahaja dilahirkan ke dunia ini.

Maka apakah memadai jasa dan pengorbanan seorang ibu itu dihayati dan dikenang tatkala menyambut hari ibu?

Sudah tentu tidak, kerana sikap seumpama ini tidak mengambarkan kasih sayang sepanjang hayat, ia hanya sebagai budaya sekali setahun. Walau bagaimanapun hari ibu yang disambut pada 10hb. Mei setiap tahun, tidaklah bermakna ia harus dibiarkan berlalu tanpa pengisian yang bermakna.

Hari-hari, adalah hari untuk ibu. Dialah ibuku, dia juga ibu kalian.

Kini rinduku kepada insan merindui. Moga dipanjangkan usia agar bisa bertentangan mata kasih di birai mahligai rindu yang terpedam lama sudah.

ameen



Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Mac 20

Bi-ah Berperanan Besar

RUH manusia dan persekitaran ada kaitan antara satu sama lain, dalam erti kata proses merubah keadaan seseorang, mempengaruhi keperibadian. Bi-ah di sekitar memainkan peranan cukup dominan dalam putaran mood dan emosi manusia dalam satu-satu masa, seterusnya boleh mengesani tindakan manusia, perubahan, mahupun respon pada sesuatu dilihat atau dirasai melalui deria pada ketika itu.

Bi-ah terbesar adalah mungkin faktor bentuk muka bumi (geografi), kalau dilihat di sebelah Timur Selatan, dan Tenggara, suasana manusia lebih lembut berbanding sebelah Timur Tengah, antara lain adalah sosial-ekonomi lebih baik dan tersusun sama ada secara langsung atau tidak, sudah pasti bermula dari kandungan ibu lagi. Sinonim sebuah masyarakat dibentuk bila wujud kelompok keluarga terdiri daripada ibu, bapa, dan anak-anak, peranan sama terjadi pada jiran-jiran, dan komuniti bangsa keseluruhan.

Bi-ah baik akan membentuk manusia serupa padanya, namun bi-ah buruk sangat digeruni kerana tiada siapa selamat untuk jadi lebih baik. Bermula daripada teman-teman digauli serta masyarakat menganggotai.

Kita akan terlebih risau bila orang kita kasihi berubah secara mendadak, tiada siapa boleh beri jaminan akan selamat walaupun mempunyai keperibadian mulia, bila bercampur dengan cat, maka warna cat tersebut akan melekat, bila terjun ke lumpur, maka tempias dan sifat ada pada lumpur akan terkena sama baik bau mahupun warna, kecuali mereka kuat mujahadah, pandai jaga febrik pakaian daripada luntur dan terkesan sama.

Saya tekankan di sini dari sudut dalaman, sakhsiah.

“Ustaz... risau akak lihat anak-anak dah tak macam dulu. Sekarang solat pun kena suruh”

“Aduh... penat sungguh ikut rentak bangsa arab ni, mereka lebih aggresif. Tak tahu beradab langsung”

Pernah saya beritahu, anak-anak lebih terdedah pada suasana pada apa dilalui oleh mereka di masa dan tempat itu juga. Mereka tidak pernah pincang meniru sikap dari mendengar cakap. Contoh paling mudah, kalau di hari-hari dilalui mereka sering mengalami revolusi kerana sikap teman-teman mereka sering melakukan perkara sama, seperti berbohong kerana mahu rasa selamat dari menjadi mangsa keadaan, tidak mustahil mereka juga ingin mencuba hal yang sama.

Sebahagian besar anak-anak terpanggil untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Ramai teman-teman berbohong, memberi pelbagai alasan bila kerja sekolah tidak siap walaupun berpunca dari sikap kemalasan. Dari situ keadaan itu telah mendidik mereka untuk menerima satu proses pengajian baru dalam kotak minda mereka, iaitu berbohong untuk selamat.

Perasaan takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong. Takut dimarahi ibu atau takut kebebasan yang diberikan akan dirampas. Ketakutan yang rasional atau tidak juga boleh memberi kesan pembohongan serupa. Sebab apa yang diimpikan oleh anak-anak hanyalah perlindungan sementara daripada hukuman, jika tiada tindakan susulah pasti akan menjadi kebiasaan diterima.

Dilema yang dihadapi oleh ibu bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong?

Faktor keluarga. Selepas kelahiran bayi, keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan yang lain adalah faktor lebih penting daripada yang disebutkan. Kajian psikologi kanak-kanak memperlihatkan betapa besarnya kesan keluarga. Sifat suka meniru pada kanak-kanak adalah jalan awal yang terpenting dalam proses pembelajaran pada peringkat kanak-kanak.

Jika jalan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh keluarga dalam mendidik dan membentuk akhlak kanak-kanak, sudah pasti akan memberikan hasil yang amat berkesan, malah pembentukan pada peringkat ini akan terukir pada jiwa yang kesannya akan dirasai ketika dewasa kelak.

Dari keluarga, kanak-kanak akan mempelajari hubungan masyarakat paling awal, seperti menghormati dan mematuhi kepada yang lebih tua, menyayangi lebih kecil, menghargai pendapat orang lain dan membantu yang lemah. Bermula dari keluarga juga kanak-kanak mempelajari adat resam yang baik dan asas agamanya, bahkan mempelajari perkara yang betul lagi bermanfaat dan meninggalkan yang salah.

Bi-ah adalah teknikal yang boleh diubah, ditarbiah. Maka di sana terpulang kepada pihak penjaga, berwajib mengubah suasana atau mengikat kemas mutiara-mutiara dijaga, dipelihara daripada dikotori oleh tangan-tangan berbau najis, walaupun tidak nampak tapi baunya juga tetap melekat. Bekas hitam sudah tentu membekas hitam, tinggal lagi diri mempunyai anti-hitam sebagai pencuci dari terus dipalit kehitaman.

Nabi s.a.w pernah bersabda;

Bermaksud: “Setiap anak itu dilahirkan atas fitrah, maka kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” (Hadith riwayat Bukhari)

Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Februari 20

Redup Cahaya Memancar






MALAM berunggaskan suara-suara senda bangsa arab. Sudah jadi rutin, di balik celahan bangunan, di setiap inci langkah pasti ada suara kecil anak-anak berlari-lari, muda-mudi bertepuk tampar bercanda sesama, sesekali di selang-seli hilau tawa dari anjung rumah. Sungguh indah juga, setiap kali terkenang suasana kampung di tanah air, jiran-jiran sangat peramah, terubat sedikit kerinduan pada halaman.

Inilah sunnah anak rantau.

Bukan sebab, bila berjauhan dari orang tua, saudara mara, maka tiada keinginan untuk membahagiakan sekeping hati, hadirkanlah ceria dalam setiap kepiluan, ukirlah senyum dalam setiap kedukaan, waima hatimu berbicara ‘tidak’, pujuklah dengan nada bersalut iman, katakanlah dunia ini sangat singkat usianya, telah tertakdir usia manusia berpas-pasan, turutilah kemahuan bujukan iman, bertindak melalui kemahuan hati sebagai teman, usahlah diikuti kehendak nafsu, kelak diri menjadi lesu.

Tanpa disedari, saya sudah hampir dua tahun tinggal jauh dari pendudukan pelajar Melayu. Medan jaisyun telah mengajar saya hidup sebagai manusia, berhempas bersama segala macam lautan tingkah laku bangsa arab, hal-hal gembira terlalu banyak bisa dikenang, tidak kurang juga hal-hal duka. Semua ini, saya bancuh dalam satu uncang, digaul dalam satu bekas, ramuan sabar, jujur, amanah, ikhlas ditabur agar hasil dapat dimaksimakan.

Setiap derapan kaki, sudah pasti meninggalkan kesan membekas di dada bumi, setiap baik buruk perilaku manusia, muslim pasti berbekas berupa pahala mahupun dosa. Kita pasti melihat kedua-dua balasan tersebut dalam dua sisi berbeda-beda. Bagi orang beriman, perihal baik diambil pengajaran dan berusaha melakukannya berkali-kali, bahkan meningkatkan lagi dari semasa ke semasa, perihal buruk pula dimuhasabah dan berusaha meninggalkannya setiap kali, hinggalah merundum keinginan.

Bagi seseorang muslim, tapi dibutakan mata hati, perihal baik pasti mahu disanjung, dijulang, dikenang di setiap bibir, melakukannya mungkin secara paksa atau kerana nama, perihal buruk pula diulang-ulang hingga mendarah-daging, kerana dia sudah lemas dalam kenikmatan sementara. Tidak cukup dengan apa yang ada, dan terus haloba dengan apa yang tiada.

Ingatlah mati, senang di dunia belum cukup pasti.

IMAN YANG AMAN

“Alhamdulillah... selasai juga menonton ar-Risalah” hela Ustaz Tri perlahan-lahan.

“Tidak sia-sia juga saya tumpang melihat tadi, sangat terkesan” tersenyum saya melihat tubuh kecil teman dari Jawa Timur itu menggeliat.

Kami menonton selama dua jam setengah filem ar-Risalah selepas usai solat isya’, sepenuhnya dalam bahasa al-Quran. Merasai sendiri sejarah kehidupan baginda s.a.w dan para sahabat mengembangkan Islam di serata pelusuk negara arab, dan sekitar. Jalan cerita persis buku-buku sirah di kedai-kedai buku, seperti sering kita dengar melalui mulut ustaz, namun merasai sendiri melalui deria mata sutradara di skrin, aksi, setiap babak pasti meninggalkan kesan.

Susah benar ingin mengubah manusia sudah terdidik dengan kumbahan najis jahiliyyah, mengada-adakan sesuatu yang membelakangi hukum Allah, syi-‘ar mereka berlatar Latta dan Uzza, mengemis bantuan dari berhala tiada mampu berkata-kata, melihat, apatah lagi memberi. Ketaksuban pada warisan moyang telah sebati, walhal mereka tahu adanya utusan membawa risalah, adanya Nabi Ibrahim mengajak ayahanda dan kaumnya pulang ke jalan al-Haq, adanya Nabi Nuh berkalut selama 900 tahun hingga isteri dan anak-anaknya lemas dalam kekufuran, begitu juga Nabi Isa hingga jasad di salib, semua para rasul ini membawa kebenaran.

Mengeluarkan umat dari pembelengguan gulita kegelapan jahiliyyah kepada cahaya terang syari-‘atullah (aturan al-Quran dan as-Sunnah), dan mendalami sunnahtullah (belajar dari alam).

Tiada banyak beza dengan manusia era mellanium ini, bahkan lebih dahsyat pemulauan hati, jasad mereka menghambakan diri pada makhluk, syirik pada ‘tuhan-tuhan’ kecil. Tiada lagi kepiluan menatap wajah anak muda berpeleseran di melata, bergomol dalam maksiat berduri. Jatuhnya manusia bersama jatuhnya harga diri, kerana meninggalkan agama jauh di belakang.

Persoalannya, pada hari ini, adakah umat Islam telah memainkan peranan dan tanggungjawab mereka sesuai dengan ajaran Islam yang diterangkan dalam al-Quran itu?

Apakah ada yang peduli semua ini?

وَإِذۡ قَالَ رَبُّكَ لِلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةِ إِنِّى جَاعِلٌ۬ فِى ٱلۡأَرۡضِ خَلِيفَةً۬‌ۖ

Allah Taala berfirman, bermaksud: “Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi” al-Baqarah (2:30)

Dalam al-Quran, manusia diberitahu bahawa mereka (manusia) diciptakan untuk dua tujuan utama iaitu sebagai hamba untuk mengabdi hanya kepada Allah Taala semata-mata, dan juga sebagai khalifah (da’ie) untuk mentadbir di muka bumi dan mengurus kehidupan masyarakat. Kedua-dua elemen ini jelas dalam kewujudan hukum fardhu ‘ain dan fardhu kifayah.

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ

Allah Taala berfirman, bermaksud: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku” adz-Dzariyat (51:56)

Oleh kerana umat Islam adalah masyarakat yang mempercayai dan meyakini al-Quran, maka sewajarnya mereka sebagai khalifah wajib melihat muka bumi (global) sebagai satu dunia yang perlu ditadbir dan masyarakat di seluruh muka bumi (manusia keseluruhannya) sebagai satu komuniti yang perlu diuruskan.

Kebejatan perlakuan anak-anak adalah usaha kita membetulkan, kebebalan perlakuan jiran adalah tanggungjawab bersama, liat anak-anak menunaikan solat adalah kuasa kita mendidik agar patuh pada suruhan agama.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا

Allah Taala berfirman, bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jagalah diri-diri kamu dan keluarga-keluarga kamu dari api neraka” at-Tahrim (66:6)

Kalau si bapa dari awal-awal lagi liat menunaikan solat, tidak mustahil si anak akan bosan menunaikan solat, kalau di awal-awal lagi si bapa merokok, tidak mustahil si anak boleh berjinak-jinak dengan najis dadah, kalau awal-awal lagi si bapa menyokong artis-artis Barat tebelah sini terdedah sana, tidak mustahil anak juga memperbodohkan sama perlakuan si bapa.

Usaha dakwah, mengajak ke arah kebaikan, dan sedaya-upaya mencegah kemungkaran adalah usaha bersama, ahli keluarga, si bapa, si ibu, anak-anak, jiran, masyarakat, mahupun pemerintah.

USAHA BANGKIT

Saya gemar membaca buku-buku bercorak self-help, santai tapi ilmiah.

Jujurnya, buku seperti itu banyak mengubah pendirian saya dalam mengabung-jalin antara ilmu islami dan kotemporari dari konteks penyampaian santai. Fikiran yang bermotivasi itu sebenarnya berperanan penting membina peribadi yang lebih bagus. Belajar erti kehidupan pelbagai ragam, budaya, etnik, mempunyai sentuhan tersendiri.

Bagaikan tertusuk duri sembilu.

Jika kita tidak boleh menilai diri sendiri, di mana relevannya perintah Islam agar kita muhasabah diri. Menilai diri sendiri adalah kewajipan. Menghargai kelebihan diri bukan ego, ujub atau takabbur, seandainya kelebihan itu dibalikkan kepada Allah Taala. Perihal ujub ialah apabila kelebihan diri tak dikaitkan dengan Allah Taala. Lebih teruk jadi ego dan takabbur, apabila kebaikan diri jadi asas untuk merendahkan orang lain pula.

Berapa kali kita jatuh itu tidak penting, yang penting adalah berapa kali kita bangun semula, kita hendaklah sentisa berusaha dan terus berusaha dengan iman yang kukuh dan kepercayaan yang teguh pada yang maha pencipta kita pasti akan berjaya, hanya Dia yang maha mengetahui apa yang terbaik untuk hamba-Nya.

Inilah sunnah jalan perjuangan kita, berusaha ke arah kebaikan adalah jihad, mengajak orang lain berubah dengan usaha dakwah kita adalah jihad, menyumbang idea-idea membangunkan modal insan adalah jihad, tarbiyyah adalah jihad kerana semua ini hanya orang mempunyai mujahadah tinggi bisa melakukan anjakan ini. Berilah sesuatu untuk kebaikan islam.

Terlebih jihad, susah adalah macam mana kita nak istiqamah (konsisten) dalam suasana soleh yang kita ikuti, disebabkan sistem jahiliyyah yang berpusu-pusu menyerang kita di sekeliling.

Usaha, bangkit itu juga adalah jihad.

Mudah-mudahan kita jadi ikan yang tidak masin dengan kemasinan laut. Bukan seperti kata pepatah Melayu; masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang lembu mengembuk. Kita jadi seperti ikan, jangan jadi kambing ataupun lembu. Walau berubah era, zaman tapi syari-‘at Islam tetap utuh direalisasikan.

p/s; sempena maulid-rasul pada bulan Rabi-‘ul awal ini, sama-sama kita hayati sunnah yang ditinggalkan baginda s.a.w kepada sekalian umat, agar selamat perjalanan di persinggahan sementara ini.


Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal