PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Sabtu, Mac 13

BDKC: Kelahiran Buku Terbaru

BENAR sungguh kata orang; penantian itu adalah satu penyeksaan. Bila mengenangkan balik diri ini bertungkus-lumus diketerbatasan masa dan kudrat untuk mengeluarkan idea bernas buat santapan minda, rupa-rupanya bukan mudah, penuh ranjau dan onak. Kesabaran amat diperlukan saat-saat ini. Orang tua selalu pesan, belajar dari pengalaman, belajar dari kegagalan, kerana semua ini merupakan aset kita bila berdepan pelbagai ragam dan suasana sebagai manusia.

Alhamdulillah.. terima kasih Tuhan.

Kini saya mampu tersenyum lebar, rasa syukur, puas tiada kepalang lagi bila penantian selama ini berakhir jua. Buku terbaru saya berjaya diterbitkan; Berteduh Di Kebun Cinta. Bagi seorang penulis, menanti hasil karya tulisan sendiri diterbitkan, bagaikan menanti penuh sabar saat kelahiran anak sulung, tiada apa bisa digambarkan ruh dan perasaan seorang ibu tabah melahirkan, dan seorang bapa sabar mendoakan, tiada terungkap melalui kata-kata melainkan sujud tanda terima kasih.

Perasaan mereka terukir dibalik kemeriahan kenduri ‘aqiqah, diadakan majlis tahnik pada hari ketujuh selepas kelahiran. Haiwan ternakan dikorbankan, dimasak sedap-sedap buat jamuan para hadirin, debaran selama ini sudah ditinggalkan kerana debaran di hadapan lebih perit dalam membesar, mencorak, dan mengatur sebuah denai perjalanan satu jasad suci bersih ini.

Menulis buku terbaru sungguh tercabar, bukan sahaja berdepan idea, solusi, dan tindakan bagi melahirkan satu-satu bab, bahkan perlu mendepani suasana, cuaca, komitmen undangan, dan pengajian, tiada masa mencukupi. Bila tahu sahaja bakal diterbitkan, rasa macam mimpi pun ada. Hanya Allah Taala sahaja tahu apa tersirat di lubuk hati ini.

BERTEDUH DI KEBUN CINTA

Buku BDKC ini masih mengekalkan konsep sama, genre Motivasi Cinta, Kekeluargaan dan Dakwah, lebih segar, lebih matang, banyak solusi diterapkan. Paling penting kenapa kalian harus memiliki buku ini ialah kerana penyampaian tidak berat, lebih santai, ilmiah, terselit Kalamullah dan Hadith baginda s.a.w, serta dihiasi kata-kata hikam.

Buku ini adalah idea asal daripada teman-teman seperjuangan yang banyak memberi sokongan kepada saya agar berani menerbitkan buku berbentuk motivasi cinta, kekeluargaan dan dakwah (islamik), sebagai satu perkongsian, kerana ianya jarang ditulis oleh mana-mana individu di bumi anbiya’ ini.

Satu garapan penulisan santai, dihidangkan bersama gugusan idea mampan, menyentuh kepelbagaian urna konflik cinta di kesemua peringkat, iaitu pelajar (remaja), pertunangan, perkahwinan, dan keluarga.

BDKC ini menyediakan ruang yang luas terhadap pembaca untuk menyaring daya taakulan terhadap konflik-konflik dan kaedah penyelesaian yang dibincangkan, bukan sahaja sebagai pengisian rohani, tapi memberi sendiri peluang kepada pembaca untuk bertindak balas di setiap tajuk.

Berbaloi menggenggamnya dengan harga ditawarkan.

Latarbelakang buku:
Nama buku: Berteduh Di Kebun Cinta
Penulis: Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah @ Rezza Khanafiah
Genre
: Motivasi Cinta, Kekeluargaan, dan Dakwah

Jumlah bab/artikel: 37 artikel
Halaman: 230
Terbitan: Janub Saina’
Harga: LE27 (Mesir), RM30 (kos semasa-Malaysia-termasuk kos penghantaran)

Pelancaran akan diadakan serentak antara tanggal 20-25 Mac 2010, di seluruh Kaherah tertakluk pada budi bicara pihak penerbit serta perbincangan bersama.



Draf Kulit Buku Berteduh Di Kebun Cinta


KOMENTAR


Sedikit ulasan oleh Ustaz Muhammad Najid Abdullah, Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Kelantan Mesir, merupakan seorang penulis berkenaan buku ini:

Saya pasti genre penulisan dakwah sering ditulis di lembaran risalah-risalah, majalah Suara Kampus atau di blog mahasiswa/i Mesir. Ia barangkali terlalu sering sehingga kita terlupa ianya adalah suatu genre yang punyai daya yang kuat untuk menyentuh hati pembaca.

Ketika diminta untuk atur huruf dan pruf karya motivasi dakwah ini, saya terus menghayati setiap rangkap dan butir isi yang mahu disampaikan. Ia seolah sesuatu yang tersimpan lama lantas mahu dibungkus semula dengan penuh kreativiti. Khazanah yang belum ramai dikalangan kita terutama yang masih berada di Mesir untuk serius memperjuangkannya.

Barangkali boleh saya katakan bahawa percubaan penulis muda Rezza Khanafiah menterjemah dan mengangkat karya motivasi Cinta dan Dakwah lantas dibukukan adalah percubaan yang baik dan perlu diberi sokongan. Ia adalah momentum keberanian untuk memulakan sesuatu yang perlu dan tepat pada masanya.

Cinta pula barangkali punyai variasi sudut pandang. Ada yang terlampau obsesif hingga secara pasti akan melekat jika sesuatu karya tertulis perkataan cinta. Sebahagiannya pula sekadar menganggap ia perkara biasa dan mengambil tahu sekadar perlu. Ada juga yang menganggap ianya adalah sesuatu yang tipikal dan sering dimainkan hingga menimbulkan alergik yang secara spiritnya memudaratkan jiwa raga dengan tema cinta.

Pada saya kepelbagaian itu adalah lumrah. Paling penting kita tidak menolak kehadiran fitrah dan jangan sesekali menjadi obsesif yang melampaui had manusia dan agama.

Justeru, “Berteduh Di Kebun Cinta” yang lahir daripada kantung genre motivasi dakwah dengan mengangkat tema cinta ini adalah sesuatu yang segar. Pastinya ia akan membuka mata masyarakat akan kebolehan insan yang namanya ustaz dan ustazah.

Siapa kata kita hanya stereotaip, straight dan kaku dalam mengemudi bahtera dakwah sedang buktinya depan mata yang kita juga mampu melakar dakwah dengan penuh warna. Pastinya ia dipanggil hikmah. Bukankah ianya adalah salah satu wasilah dakwah sebagaimana terjemahan firman:

Serulah manusia menuju Tuhan dengan penuh hikmah dan peringatan yang baik..” (Surah Al-Nahl: ayat 125)

Sekian, syabas dan tahniah.

-Muhammad Najid Abdullah-

MENGAPA CINTA?

Begitu dalam erti cinta bila manusia menginginkan bahagia, tenang, damai di setiap helaian hamparan kehidupan duniawi. Bahagia dicari sudah pasti bermula dari segala hal baik-baik, tenang digali sudah pasti lahir dari permulaan baik-baik, damai disoroti sudah pasti berada di awal segala hal kebaikan. Penentu bahagia, tenang, damai adalah bermula dari langkah pertama, baik langkah pertama, insha-Allah baiklah langkah-langkah kita seterusnya.

Niat, nawaitu...

Cinta anugerah Ilahi. Cinta sejati yang datang dari lubuk hati yang dalam, itu yang dicari. Cinta pada Ilahi adalah tunggak segala-galanya. Apabila ianya kukuh di jiwa, tiada lagi masalah yang melanda. Cinta adalah satu kuasa dalaman, satu kuasa untuk diri mengubah keadaan. Cinta suci lahir dari hati yang kudus, bersih dari segala kekotoran dalaman dan luaran.

Ramai manusia diserang masalah berkaitan hati, cinta diraih sering kali gagal. Kadang-kadang kita juga sering salahkan takdir, sedangkan kita sebenarnya gagal menempatkan hati pada langkah pertama lagi. Mengalami masalah hati dan jiwa setiap hari, tapi tidak jumpa solusi yang pasti, selalu membuat kesimpulan gunakan hati (nafsu), bukan berdasarkan al-Quran dan al-Hadith.

Semua insan di dunia inginkan kesenangan dan kebahagiaan. Justeru, kekadang bila kita melalui hari dengan mudah pada satu-satu hari, rasa bersyukur teramat sangat. Manakan tidak, setiap hari sebelum memulakan hari baru, kita (niat) sentiasa berdoa demi kebaikan sepanjang hari pada hari tersebut, bermula pada langkah pertama.

Kekadang kita terlalu takut jika Allah Taala tidak menyayangi kita, bilamana kita tidak ditimpakan ujian walau sebutir zarah pada hari-hari yang kita hadapi. Ujian ini, bukan untuk menakutkan diri, tapi mencari hikmah tersembunyi.

Berterima kasihlah kepada Allah Taala kerana masih ditarbiah hati ini.

Cinta melulu hanyalah cinta orang yang lemah iman. Itulah yang berlaku dalam kehidupan kita selama ini. Terlalu sayang, sayang sangat-sangat hingga bisu untuk menegur kesalahan, sudah ketara, tapi buat-buat lupa, sudah tahu dan nyata, tetapi pura-pura buat buta. Hinggakan diri sendiri pun terikut-ikut dan sama-sama jadi buta, gelap gelita.

Ya, bila ujian Allah Taala datang mendidik diri, baru sedar, baru terngadah. Tapi syukur Allah Taala datangkan jua rasa redha di hati ini. Mujurlah jua Allah Taala tunjukkan jalan mengajar hati redha, terima hakikat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)” asy-Syam (91:9-10)

Pasti kalian pernah merasai saat genting ini.

Ada yang selepas berumahtangga, pengamalan agama dianggap enteng. Jika dahulu impian ingin membina bait-muslim itu cukup tinggi tetapi apabila ada kelemahan, kekurangan dan kesilapan yang dilakukan, pasangan hanya mengambil langkah berdiam diri hanya kerana cinta, inilah cinta buta tidak nampak akan kesalahan, matlamat pula menghalalkan cara.

Bila cinta Tuhan diketepi, bila kasih sayang makhluk mendasari hati, nafsu menjadi raja dalam diri, kalam Tuhan tidak lagi diikuti. Sesungguhnya manusia apabila mencintai makhluk-Nya dan mendahului mereka dari Allah, maka tunggulah janji-Nya.

Kadang-kadang untuk menyeru kepada kebaikan agak sukar kerana sesetengah orang akan lebih nampak kepada keburukan. Namun begitu, kita boleh terus berusaha dan istiqamah dalam membuat kebaikan. Kebaikan tidak semestinya melalui lisan, tetapi boleh juga melalui perbuatan. Kadang-kadang apa yang kita buat lebih memberi kesan berbanding dengan apa yang kita cakapkan.

Dunia ini adalah madrasah cinta kita cari.

Allah Taala sedang mengajar dan mendidik kita. Suatu ketika dulu saya juga pernah mengalami perkara yang sama. Namun di teruskan juga menadah, meminta pertolongan Allah. Allah Taala akan terus mengajar dan mendidik kita dengan syarat kita mahu belajar sama ada dari pengalaman yang kita lalui, muhasabah diri seterusnya belajar ilmu-ilmu Islami.

Kita akan sedar, semua ini adalah untuk kebaikan kita juga.

Benarlah, cinta suci, bersih lahir pada langkah pertama kita. Baik niat kita, maka baiklah langkah demi langkah kita susuri.

KHATIMAH

Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih terutama buat bonda dan ayahanda tercinta kerana sentiasa doakan perjalanan hidup saya. Begitu juga kepada teman-teman seperjuangan yang banyak menyumbang idea, Ustaz Muaz Shukri, Ustaz Zul’atfi Asha’ari, dan ramai lagi. Dan tentunya buat Ustaz Muhammad Najid Abdullah, Ustaz Muhamad Zulkifli Abdul Ghani dan teman dari Penerbitan Janub Saina’. Moga ukhuwah kita berpanjangan.

Kepada Ustaz Wan Muhammad Hanif Wan Muhammad, cantik design kulit buku, tersirat penuh pengertian.

Saya percaya, membaca buku ini akan menyediakan satu peluang untuk pembaca mengenali diri, mengenali manusiawi, mengenali Ilahi dari konteks cinta yang sebenar-benarnya.

Moga-moga BDKC adalah titik-tolak bagi menetaskan jiwa hamba, tegar membaiki diri, bermujahadah setiap kali tersungkur untuk mengenali Sang Pencipta Cinta, iatu Allah Azza-Wajalla.

Bagi para pembaca, teman-teman berada di Malaysia, boleh dapatkan juga buku saya. Siapa berminat, boleh hubungi al-Fadhil Ustaz Zulkifli Abdul Ghani melalui e-mail beliau; shabab9119[at]yahoo[dot]com, atau SMS ke telefon bimbit; +20110480695, sertakan juga nama penuh, alamat surat menyurat, dan nombor telefon bagi international shipping.

Apa tunggu lagi. Jom dapatkan segera!!!

p/s: Bagi peminat buku di Malaysia, tempahan boleh dibuat sekarang, jaminan akan terus sampai ke dakapan kalian. Pembelian 100 unit buku dan ke atas akan diberi diskaun.

2 komentar:

Rezza Khanafiah on 13 Mac 2010 1:52 PG berkata...

Bila ingat balik sepanjang bulan ini jadual saya terlalu ketat, bagaimana pulalah selepas pelancaran buku ini nanti. Allah Taala memang Maha Hebat, Maha Kuasa ke atas sesuatu. Dia tunjukkan kita jalan kepayahan kerana dihujungnya nanti diberikan nikmat, dan kemanisan iman.

Ya Allah.. tunjukkanlah aku jalan menuju redha-Mu. Tiada apa hendak dibanggakan hidup ini andai tiada cinta dan kasih daripada-Mu. Ampunkanlah dosa-dosa ku, keterlanjuran ku kepada-Mu. Moga aku jadi hamba-Mu yang tahu bersyukur.

ameen

izzati.abdullah on 17 Mac 2010 11:06 PTG berkata...

tahniah atas terbitnya buku!teruskan menulis utk islam.well done ya akhi!

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal