PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Selasa, Januari 26

Berteduh Di Kebun Cinta



Melakonkan watak manusia pelbagai, bagai menyediakan sebuah kebun kehidupan. Di sana proses membatas, menanam, mengairi, dan membaja telah menjadi rutin harian kepada si petani (pelakon), sudah tentu kegiatan itu dilakukan setiap hari, saban waktu dan ketika.

Bukan mudah untuk menuai hasilnya dalam erti kata sebenar. Kita harus benar-benar memerhati, menjaga dan menghabiskan sebahagian sisa hidup pada kebun demi memungut hasil lumayan pada tahap maksima.

Tidak kurang pula ada yang sanggup keluar tika dini hari meredah kedinginan sukma alam, dan pulang di kesenjaan petang, tatkala siang mula merebahkan badan silih berganti malam. Keletihan tiada tara tidak pernah terasa kerana terlindung kepuasan di lubuk hati mendalam.

Permulaan langkah tercipta pada satu kebaikan perlu dikitar berkali-kali, tidak pula terhenti dipertengahan.

Jangan terperangkap dalam ilusi kesempurnaan sebelum hasil dituai. Berilah dan teruslah memberi. Insha-Allah, akan terpinggir juga akhirnya rasa benci, jemu, dan letih oleh karenah, kekurangan atau keburukan hasil tangan. Telah menjadi lumrah manusiawi, tiada yang sempurna.

Ingatlah selalu, terlalu banyak sebab untuk menyintai, berbanding sebab untuk membenci.

Bila erti kepuasan sebenar ditauladani dan ditekuni dari masa ke semasa, maka lahirlah rasa cinta berputik mekar di sanubari. Menjadi idaman setiap makhluk untuk menakluki perasaan tersebut, di hamparan sebuah kedamaian, ketenangan. Hati teruja menikmati keindahannya. Inilah sebuah kebun cinta duniawi.

Inilah rahsia kesuburan kebun cinta.

Bahangnya turut dirasai makhluk lain. Dapat berteduh di bawah rimbun daun-daunnya dan akan dapat pula merasakan keenakan buah-buahnya. Orang yang penuh dengan rasa cinta umpama bunga yang harum. Ia sentiasa menyebarkan keharumannya.

Susulilah Iman dengan perbuatan yang baik. Inilah racun yang membunuh serangga perosak. Penyubur bagi kebun-kebun idaman.

Raihlah dari segala kebaikan seri pada-Nya.

RAIHLAH CINTA-NYA UTAMA

Perjuangan itu pahit, kerana Syurga itu manis.

Kecintaan kepada Allah Taala terlalu mahal. Bayangkan untuk mendapat cinta seorang wanita yang rupawan, jejaka yang hartawan, putera yang bangsawan, itupun sudah terlalu sukar, maka apatah lagi untuk mendapat cinta Allah Dzat yang Maha Agung dan Maha Sempurna ini.

Hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah kita akan memperolehi kekuatan. Hanya dengan mengaku miskin di hadapan Allah kita akan dikayakan-Nya.

Tegasnya, hanya dengan merasai segala sifat kehambaan barulah kita akan mendapat kekuatan, kemuliaan dan kelebihan dalam mengharungi hidup yang penuh onak dan cabaran ini.

Tiada kesukaran, tiada ganjaran. Cuma perlu pada kesabaran dan kebijaksanaan.

Batu permata, intan, emas, dan berlian di sisi manusia teramat bernilai harganya. Memilikinya umpama raja yang menguasai. Tiada siapa berani menolak andai ditawar. Namun semua ini perlu pada usaha yang berpanjangan. Tiada kenal erti penah dan lelah.

Begitulah jua dengan cinta Allah yang hakikatnya jauh lebih tinggi nilainya daripada intan atau permata. Justeru, pasti ada ‘harga’ atau mahar yang mahal terpaksa dibayar untuk mendapatkannya.

Cinta Allah Taala yang begitu agung dan suci, pasti ada tagihannya.

Jalan mencintai Allah Taala tidak semudah yang disangkakan. Sudah adat resam, setiap yang mahal itu, teramat sukar mendapatkannya. Perlu pada usaha mendapatkannya dan mujahadah mempertahankannya.

Mereka sesungguhnya merasa bahagia dalam mengharungi penderitaan, merasa mulia dengan mengorbankan nyawa. Ini semua mudah buat mereka kerana Allah telah melembutkan hati-hati mereka.

Untuk mendapat cinta Allah kita perlu berkorban. Cinta dan pengorbanan sudah sinonim dan tidak sekali-kali dapat dipisahkan. Kita perlu membayar harga cinta itu dengan segala yang ada pada kita. Ianya terletak pada pundak kesetian hati di sebalik pengorbanan sepersis ikrar yang pernah terhambur ketika di alam roh dulu.

وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡ‌ۖ قَالُواْ بَلَىٰ‌ۛ شَهِدۡنَآ‌ۛ...

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi…al-‘Araf (7:172)

Menangislah, selagi air mata tidak kering dari kelompak mata memohon keampunan di atas setiap perlakuan, raihlah cinta-Nya yang hakiki. Jangan jadikan air mata sebagai bukti penyesalan di hari tiada maknanya lagi.

Terimalah cinta hambamu ini Ya Allah…!

HARGA CINTA MANUSIA

Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Orang yang sudah mempunyai tujuan, umpama air yang sedang mengalir, tidak payah ditunjukkan ke arah mana hendak mengalir, segala terarah seperti dicerna.

Cinta dengan adanya tujuan, adalah pelengkap kesempurnaan cinta manusia.

Cinta manusia tanpa arah panduan dan tujuan walau bagaimana setia sekalipun, kekadang mengecewakan diri.

Untuk tenang menghadapi keadaan itu, jangan rasa dimiliki dan memiliki kalau bukan pada hak. Cinta suami kepada isteri, cinta ibu bapa kepada anak-anak dan sebaliknya, dan cinta hamba kepada Penciptanya.

Andai timbul juga cinta manusia di taman larangan, cuba atasi secara lembut. Jangan pula cuba untuk bercinta walau mempunyai ‘perasaan’ cinta.

Beritahu secara ikhlas. Jika segala-galanya wajar dan sesuai, usahakan ikatan yang sah secepatnya. Jika tidak mampu melawan arus, bermujahadahlah, berpuasa dan terus berdoa.

Insha-Allah, wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jadi membajai cinta sebelum perkahwinan, ialah dengan berdoa dan berusaha menjadi isteri atau suami yang baik.

Apa persediaannya?

Tentulah ilmu, tarbiah dan kematangan serta keperluan fizikal dan material di tahap yang sederhana.

Cintailah cita-cita. Itu yang paling ideal. Tetapi jika cinta sudah bertandang, dan perkahwinan tidak dapat dielakkan, seiringkanlah cinta itu dengan cita-cita. Insha-Allah, kalau tepat dan kena pada pencaturannya akan datang kuasa luar biasa cinta yang tiada tandingannya.

Cita-cita akan dapat diraih dengan kekuatan luar biasa cinta.

Inilah tanda pengabdian seorang hamba. Pengabdian adalah umpama ‘hadiah’ yang kita ingin berikan kepada Allah Taala sebagai bukti cinta kita. Di saat ini jua cinta Allah akan berkunjung tiba.

Moga inilah ‘hadiah’ ternilai kita kepada-Nya walaupun papa di pandangan lahiriah.

ameen

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Januari 18

Pejam Dalam Buta



Kira dari mula, siapa kuat lagi tabah dia berhak menang.

Cuaca tidak juga berubah dari sehari ke sehari, manusia yang hidupnya ditaklifkan masih menanggung keterikan panasnya siang. Membujur keletihan menompang tenaga yang dikeluarkan, bersetia dengan kesanggupan tinggi menghasilkan keutuhan cekal dalam benteng jurnal hamba.

Jarum jam berputar tanpa ada rasa penat, memberitahu pada yang tidak tahu, menyergah mereka yang belum terngandah, memuntahkan sisa hidup manusia yang mengira makin kurang pada hampirnya ajal, bersiaplah mereka sebelum lenyap dan ternyah dari pandangan.

Keterbukaan pada bunyian yang riuh rendah dan hiruk pikuk petang itu menghambat kepulangan mereka dari menggali sebunjut rezeki tadahan anak bini di teratak usang.

Sungguh pilu hati yang mengandang, tiada keupayaan yang terganti.

Beburung pula menghilangkan sayap tanda sunyi dari terbang ke kuala, hanya setia bersama yang hak padanya, makan telah dikumpulkan sebelum lapar terlebih dahulu mengundang datang hingga memudarkan cinta lama kasih ditinggalkan berpetang-petang itu.

Derapan kaki kemulian dan berkudis bercampur-campur kasta antaranya melangkah cepat menuju ke destinasi yang terancang. Bebola mata liar memerhati kuak-kuak tubuh yang memancu, sesekali terlepas pada niat dosa yang mengoda, semua itu diputarkan dan disimpan sesudahnya.

Kaku hati macam hendak mati, kelu mata petanda hendak buta, gugup kepala bukti kosongnya pahala. Tiada lagi keindahan di setiap sujud yang menunduk ke bumi melainkan panahan di setiap gelocakan mahu yang diimpi.

Puas rasa dia puas...

Tiada yang lagi memohon untuk bangun kecuali diam dan ingat pada tujuan datang petang itu. Saya masih menguatkan antibody yang berperang tubuh yang sedikit panas. Rasa mahu tewas pada minat ilmu, namun dibuang jauh-jauh tatkala kelas masih berbaki separuh masa.

Bab Manfaat Sosial Ilmu Akidah dalam syarah Hasyiah Sowi disepadukan dalam satu nada ke satu nada berikutnya, helaan menjadi mapan menusuk faham yang diterjah ke hati.

Fadilatul Sheikh al-Faqih al-Alim Jamal al-Farouq memusingkan badan dan kepala serentak ke kanan dan ke kiri, sambil mulut berpadu dengan suara yang sarat ilmu. Beliau dikerumuni ramai bukan terkenal dia dengan perjudian manusia, tetapi penuh di dadanya khazanah ilmu untuk diberi manfaat.

Saya teruja untuk habiskan bab ini, di samping saya pula Sheikh Ahmad menguji ilmunya dengan rakan seperguruannya itu, sambil tersenyum sempat lagi bertanya saya dalam bahasa mudah, tatkala mata-mata lain ligat menelaah pengajian.

Bagaimana tadi, anta dapat dhabitd (tanda) semua isi-isi penting? Tanya seorang teman bangsa Arab.

Boleh tahan, cukup bagi kefahaman aku kelak Balas pendek, tangan pula mencapai selipar di tiang masjid yang tersusun tinggi.

Boleh aku pinjam kitab kamu? Tanya lagi, sambil keluarkan kitab dan pen.

Silakan, tapi cepat sikit dah nak maghrib ni saya meneruskan langkah keluar dari anjung pintu masuk ke babul Ilmu, sambil menanti maghrib dikumandangkan.






Malam itu dibiarkan berlalu dengan seribu peristiwa membulu hari ini, bagi sebuah kesimpulan hidup pada hari keseterusnya. Perlu siapkan diri dengan kelangsung kepada-Nya, tanpa juga meninggalkan Al Ahzab buat ibrah seorang hamba.

Bahagian terakhir perlu dibereskan sebelum dihantar kepada pihak penerbit dan pencetakan. Nampaknya sedikit lega selepas tiga hari bersekang mata dalam penat demam panas, selsema, batuk basah dan hidung tersumbat, semua ini dibayar nanti pada suatu hari kelak.

Alhamdulillah, puas rasanya...

Tirai dilabuhkan, dan akan disingsing kemudian. Moga tidak terlompong dosa dari ketimbusan pahala yang dihasilkan dari saat ke saat.

ameen


Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Januari 14

Istikharah : Kisah Cinta Pertama




USTAZ saya mahu berbicara mengenai Solat Istikharah. Apakah kiranya ustaz punya kelapangan sekarang?

Tiba-tiba saya dikejutkan dengan kehadiran mesej seorang teman di Malaysia.

Kalau boleh saya mahu bangat berbicara dengan ustaz melalui yahoo messenger dalam ruang waktu sebentar sahajaSaya biarkan keinginan teman itu dipenuhi, walaupun penat masih menyelubungi saya, namun saya mengagahkan diri membuka laptop yang berada di sebelah.

Ustaz apa khabar hari ini? Khabarnya ustaz sudah selesai peperiksaan semalam Teman membuka bicara sebaik sahaja melihat status saya di udara.

Alhamdulillah, semuanya baik

Bagaimana dengan keadaan saudara Naim? Mesti tengah cuti lagi ni… Saya cuba meneka situasi teman tersebut dengan sedikit pengetahuan apa sedang berlaku di tanah air, yang masih meriah menyambut Tahun Baru Cina di kalangan masyarakat Budha.

Alhamdulillah, samalah kita…

Begini ustaz, saya ada seorang teman di universiti. Dia ada beritahu saya berkenaan bagaimana seseorang itu akan merasakan jodohnya dengan siapa setelah mana mengerjakan solat Istikharah, tapi dia cakap kita akan bermimpi dan di sana gambaran akan terpapar di hadapan kita. Betul ke ustaz? Teman cuba berusaha meyakinkan saya dengan susunan ayat yang rapi.

Saya tersenyum sendirian sambil mencapai segelas air yang dibawa oleh seorang teman serumah. Hari ini seakan-akan mengamit hati saya untuk sedikit belajar berkenaan ilmu mengayat, dan menarik para pembaca budiman dengan kata-kata puitis. Menyelami maksud di sebalik perkataan Istikharah itu sendiri, dan sedikit cerita tentang kisah cinta seorang teman Indonesia, yang juga kawan rapat saya di universiti. Peristiwa ini berlaku semasa beliau masih di bangku sekolah menengah di Pasentren Gontor.

Dalam rencah kehidupan ini, akan wujud di sana perbezaan acuan dan cara pembawakan dalam merealisasikan sebuah wadah ketrampilan manusiawi pada suatu tahap membanggakan diri di kaca mata umum, sesiapa sahaja! Namun persoalan yang timbul, adakah di sana terdapat hamparan kasih sayang di perdu mega Qada’ ketentuan Tuhan Pencipta, tatkala diri meraba-raba mencari denai pulang kepangkuan redhaan-Nya?

POTRAIT ABADI

Angan-angan, cita-cita dan dendam kesumat di masa kanak-kanak, di era masih kehingusan dan setahun jagung memang selalu menarik untuk dikenangkan, diputarkan semula, dan diabadikan di dalam diari lipatan sejarah dalam proses untuk membesar matang seperti dilihat pada hari ini.

Seorang teman saya dari Jawa Barat pernah berkata:

Salah satu angan-angan saya dulu adalah mampu untuk membeli anggur kelas satu berbotol-botol dan Tape Recorder Sony untuk memutar lagu Holan Sada Do Na Ringkot (Hanya Satu Yang Bererti Bagiku Di Dalam Hidup Ini)Ujarnya.

Bila mengenang tentang makan, pernah dahulu kala ketika saya berada di bangku sekolah, darjah dua atau tiga (ingat tak ingat) di sebuah sekolah rendah di Kelantan, belum pernah saya mengecapi makan kismis di kala mata terbuka luas dan bisa mengenal huruf. Kata ibu, dulu pernah saya makan kismis, tapi ketika Tuan Imam menyuap ke mulut di hari ke tujuh kelahiran. Saya tidak tahu apa penyebabnya. Boleh jadi saya lebih gemar memikirkan kerja rumah, duit sekolah, buku, peperiksaan dan sebagainya sehinggakan tidak kisah pasal makan, asalkan tidak kebulur, sudahlah.

Ketika itu memang belum berkembang seperti sekarang. Mungkin barang-barang import (termasuk kismis) masih sangat terpecil dan mahal harganya. Boleh jadi juga kerana ekonomi keluarga pada masa itu, atau boleh jadi juga, seperti kata orang Jawa:

Mardomu ma i sude… (Semua itu campur baur, macam-macam ada)

Saya pernah tertelan air liur sesekali dibuatnya, bila melihat seorang teman sekelas yang tengah menikmati kismis sekotak kecil.

Bagilah sedikit Kata saya bernada lembut kepada teman itu.

Teman saya memang baik. Diberinya beberapa butir kepada saya. Dengan penuh takzim, butiran itu saya masukkan ke mulut, dan mula mengunyah perlahan-lahan sambil biji mata memerhati penuh hati-hati teman sekelas itu.

Tapi tidak semua dari butiran kismis yang diberikan oleh teman itu saya makan. Dalam diam-diam beberapa butir kismis yang masih tersisa di genggaman, saya masukkan ke dalam kantong. Saya tahu bahawa kismis adalah buah anggur yang dikeringkan. Dan waktu itu buah anggur pun belum pernah saya makan. Kerana itu saya berteori dan bermonolog dalam diri:

Kalau kismis ini aku bawa pulang ke rumah dan aku rendam di dalam gelas, tentu ianya akan kembali menjadi buah anggur

Tapi ternyata eksperimen pantas itu saya dapati gagal. Kismis itu tetap sahaja liut dan lisut walaupun telah direndam selama berhari-hari. Selepas peristiwa itu, saya mengagahkan diri untuk tidak terus berputus asa dari terus mencuba, namun bukan pada tindakan dan pekerjaan yang tidak masuk akal tadi.

Suatu waktu dulu juga, setelah sedikit remaja kelas pertengahan. Ketika berkunjung ke Puchong, Selangor di rumah ibu saudara. Saya di bawa masuk di sebuah supermarket, saya melihat susunan kotak kismis dipanjangkan di atas rak. Harga kismis ternyata jauh lebih murah dari harga sebungkus rokok dan cakera vcd cetak rompak di kaki lima Pasar Malam. Didorong oleh dendam kesumat yang tak terpuas ketika masih kanak-kanak dulu, saya langsung membeli kismis satu kotak besar sekaligus.

Hal yang membuat saya berbangga ialah bahawa kismis yang saya beli adalah yang berwarna kuning, dan itu adalah kismis yang jauh lebih manis daripada yang hitam pernah dimakan di saat pertama kali menikmatinya di sekolah rendah, dan tidak pula mempunyai biji. Sambil berjalan perlahan-lahan di bawah gedung-gedung pencakar langit yang memenuhi Bandar Puchong dan berhenti seketika, tatakala diri tidak kenal erti penat dalam lamunan lazat, saya mengunyah kismis kuning langsat itu. Sesekali saya mendongak wajah ke langit dan berkata dalam hati:

Tuhan, aku makan kismis…

Obsesi saya akan kismis telah menjadi bahan bualan dan sindiran di tengah-tengah kecerian raut muka ahli keluarga. Kalau adik-adik saya berbelanja di pasar raya, atau di pasar-pasar mini, kalau hati mereka sedang senang, mereka selalu membelikan saya ole-ole kismis langsat berjenama Sun Maid yang kotaknya berwarna merah, serta terpapar gambar perempuan sedang mengangkat sekeranjang anggur itu.

“Ni, untuk abang saya tersayang yang masa kecilnya kurang bahagia, saya belikan kismis. Makan deh sampai puas…,” Begitulah selalu kata adik lelaki di bawah saya sambil bergurau senda.

Itu kisah dahulu, sekarang dah berubah…

KISAH CINTA PERTAMA

Mengenang semula cerita seorang teman sekuliah di universiti yang berasal dari Indonesia. Ketika itu saya berehat seketika setelah berhempas pulas memahami pelajaran Tarikh Tasyri’ (Sejarah Pensyariatan Dalam Islam) yang agak sulit saya kira berbanding mata pelajaran lain di tahun pertama pengajian saya di Universiti al-Azhar ini.

Tanpa segan silu, teman saya itu memulakan cerita sebagai perkongsian dengan saya sambil santai. Saya cuba mengamati setiap bait bicarawara teman tersebut yang masih berusaha menyusun kata-kata dalam bahasa surat Indonesia, supaya saya sedikit faham dan jelas. Katanya:

Saya rasa, cinta pertama saya, atau rasa tertarik dan senang yang luar biasa terhadap perempuan, saya alami ketika saya berumur antara empat atau lima tahun. Usia ini saya ingat benar kerana waktu itu adik saya yang nombor dua (anak nombor tiga dalam keluarga) belum lahir.

Cinta pertama saya adalah kepada seorang ibu, tetangga sebelah rumah ketika kami tinggal di sebuah rumah sewa di Medan. Ibu itu memiliki dua anak yang sebaya dengan saya dan adik saya. Suaminya seorang tukang kayu. Hal ini saya ingat benar, kerana suatu hari, ketika anaknya bermain-main di rumah kami, anak itu memecahkan tombol (knob) laci mesin jahit ibu, lalu bapanya terus membaiki keadaan tombol itu pada tempat asalnya sehingga utuh kembali dan tidak meninggalkan bekas pernah pecah sama sekali.

Saya tidak tahu bagaimana persisnya saya jatuh cinta kepada ibu itu. Tapi ada suatu peristiwa di mana ketika saya masih kecil, ibu itu kelihatan begitu indah di mata saya. Potret dari kenangan itu tidak pernah bisa hilang dan luput dari kotak ingatan kepala saya, sampai saya berumur lebih dari 20 tahun seperti sekarang ini, ceritanya begini:

Suatu pagi subuh, ketika saya terbangun dan duduk di anjung pintu dapur menunggu ibu yang ingin keluar bekerja, saya melihat ibu tetangga itu berjalan meninggalkan rumahnya, menjunjung sebuah keranjang besar dan hilang ditelan jalan yang bersimpang siur.

Ibu itu setiap hari bekerja menjual sayur di Pasar Sentral Medan. Kerana pekerjaannya itu, dan juga kerana harus mengurus anak-anaknya setelah pulang dari berjualan, maka tidak setiap hari saya bisa melihat ibu itu. Kerana itu setiap kali saya bisa melihatnya, hati saya selalu diliputi rasa senang, dan saya berusaha untuk menatapnya untuk tempoh masa agak lama. Saya ingat bahawa ibu itu memiliki sebuah tahi lalat di atas bibirnya.

Suatu hari, entah disebabkan oleh satu kejadian, saya mendapat tiga pukulan penyapu lidi di kaki daripada ayah saya. Hukuman itu saya terima di halaman rumah. Saya ingat, ketika saya sedang menerima hukuman tersebut, ibu itu juga sedang berada di halaman rumahnya. Saya merasa malu sekali kepada diri saya dan tidak suka kepada tindakan ayah saya ketika itu.

Di kemudian hari, kami berpindah dari rumah sewa itu ke sebuah rumah sewa lain, namun masih di kawasan Medan. Dengan perpindahan itu tentu saja kisah cinta saya kepada ibu tetangga itu pun mula pudar dan terhakis.

Tapi pada suatu petang ketika sedang bermain-main di kaki jalan, dekat rumah yang baru itu, secara tidak sengaja saya bertemu kembali dengan ibu tetangga yang selalu membuat hati saya berbunga-bunga. Rupa-rupanya ibu itu telah selesai berjual di pasar dan kini sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya.

Hei, di mana rumah kalian sekarang?

Apa khabar? Suara ibu itu terkeluar menegur saya yang masih lagi terkesima melihat wajahnya.

Dengan serta-merta saya langsung menunjuk ke satu arah. Seingat saya hanya itulah yang saya lakukan. Saya tidak bisa berkata-kata. Tapi sementara menunjuk ke arah rumah, saya berharap ibu itu akan mengikuti saya untuk menyusul dan bertemu dengan ibu saya. Tetapi ibu itu tidak berhenti. Dia terus berjalan. Tentu sahaja saya merasa kecewa ketika itu.

Setelah peristiwa itu, untuk waktu yang cukup lama dan hampir setiap hari, kalau sudah sekitar jam sebelas sebelah petang saya sengaja bermain-main di kaki jalan tempat yang sama dekat rumah, dengan harapan bisa kembali bertemu dengan ibu itu. Tapi saya tidak pernah lagi ketemu dengan ibu yang di atas bibirnya ada tahi lalat itu.

Beberapa waktu yang lalu saya bercerita dengan ibu saya tentang kehidupan di masa lalu. Entah mengapa perasaan di masa kanak-kanak yang pernah saya miliki dan kecapi terhadap ibu tetangga itu, saya ceritakan juga untuk pertama kalinya kepada ibu saya.

Ibu tertawa terbahak-bahak. Lalu berkata:

Penilaianmu tidak salah. Ibu itu memang manis dan lembut

Dan di atas bibirnya memang ada sebuah tahi lalat Tambah ibu lagi membenarkan cerita saya tadi.

Ketika saya becerita dengan Ibu, kami sama-sama tidak tahu apakah ibu tetangga yang saya maksudkan dan yang pernah membuat hati saya berdebar-debar itu, masih hidup atau tidak. Tapi bulan Mei yang lalu, ketika saya pulang bercuti ke Medan, Indonesia saya bercerita dengan seorang teman karib saya. Dia pun tidak pernah nampak kelibat ibu tetangga itu sejak sedekad yang lalu.

Kepada teman karib saya itu, saya tidak menceritakan perasaan yang pernah saya miliki kepada perempuan (ibu tetangga) itu. Saya hanya diam-diam sahaja. Tapi di dalam hati saya tentu sahaja masih ada juga sekelumit keinginan, kalaulah saya boleh melihat ibu itu kembali. Itulah cinta pandang pertama saya

Teman itu meleraikan ceritanya kepada saya, dan ketika itu jua pasti menjadi suatu kenangan indah dan modal untuk membuktikan penilaian kasih sayang yang lahir kerana kesedaran dari hati.

KETENTUAN JODOH

Dalam hidup ini, manusia sering berhadapan dengan perkara untuk dinilai dan dipilih, maka di sana kita dituntut untuk mencari pilihan terbaik bagi memenuhi tuntutan fitrah, namun pilihanraya ini hendaklah terpimpin dengan akal dan petunjuk daripada-Nya berdasarkan ilmu serta keyakinan, agar apa yang dipilih tidak tersasar dari jalan benar atau menempah kebinasaan kelak.

Begitu juga dalam masalah mencari jodoh, atau pasangan hidup, dan apa sahaja sekalipun Nabi S.A.W ada menyarankan kita (tidak secara spesifik pada jodoh sahaja) agar melaksanakan solat dua rakaat, dan berdoa memohon kepada Allah Taala agar disuluh penentuan antara dua atau lebih keadaan yang hendak dipilih. Maka dalam soal ini, kita tidak semestinya bergantung pada mimpi semata-mata, kerana soal dapat, tepat, dan cepat adalah datang daripada Allah Taala, kita hanya mampu berikhtiar sahaja, dan hasilnya adalah dalam penguasaan dan pengetahuan-Nya. Kerana di sana bimbang bilamana kita terlalu bergantung pada mimpi akan menyebabkan kita taksub, dan ini secara tidak langsung akan menyebabkan kita kemungkinan besar termasuk dalam perbuatan syirik khafi.

Jadi langkah yang paling baik dan bijak ialah, pastikan kita ikhtiar mencari terlebih dahulu pasangan yang ingin hidup bersama, atau sesiapa sahaja kenalan, selepas itu pastikan ciri utama yang perlu diletakkan di hadapan seperti elok agama dan seterusnya. Selepas itu, lakukan solat Istikharah dua rakaat setiap hari, lakukan berulang-ulang kali sehinggalah kita begitu yakin dengan gerak hati, dan semestinya gerak hati tersebut yang terbaik selepas menilainya secara ampuh dari setiap sudut. Namun ada juga mengikut pandangan ahli sufi, antara lain kita akan mengetahui siapa pasangan kita setelah mengerjakan solat istikharah dan juga bentuk usaha yang lain, ialah apabila kita melihat kenalan atau pasangan yang dipilih akan terasa debaran yang memuncak atau dengutan jantung tidak berada pada paras normal.

Untuk menentukan petunjuk itu datang dari gerak hati bersulam Iman atau sebaliknya adalah kita berasa yakin, bahawa kemanisan Iman itu mengatasi gelocakan hawa nafsu. Ini berkaitan psikologi manusia, maka di sana kita kena merasainya dahulu baru dapat bezakan antara nafsu dan Iman dalam konteks menentukan pasangan jodoh yang betul-betul ideal. Iman akan terasa lembut pada rasanya, dan tidak dinodai perasaan buruk seperti kecamukan marah, sedih, dan sebagainya, bahkan ianya akan merubat kedukaan, atau menukar sesuatu perasaan yang buruk kepada perasaan baik.

Pada penghujung ikhtiar kita ialah menerima ketentuan-Nya dengan berlapang dada dan dengan hati terbuka walaupun kita mengharapkan sesuatu yang baik, tetapi lain pula datang dan jadinya. Kita perlu faham dan ingat bahawa kemungkinan kita menyukai sesuatu dan berusaha untuk memilikinya, tetapi ianya belum tentu baik di sisi Allah Taala, dan begitu juga sebaliknya.

Percaya dan yakinlah, janji Allah Taala pada hamba-hamba bertakwa yang mana tidak pernah sirna dengan ganjaran pahala, dan mungkin terdapat hikmah di sebalik kejadian yang berlaku. Tapi yang pasti segala usaha yang dicurahkan, akan diterjemahkan oleh Allah Taala di akhirat kelak sebagai saham tambahan pada amalan-amalan yang dikerjakan semasa hidup di atas dunia yang fana ini.

Moga pilihan terbaik di tangan kita.

Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal