PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Rabu, Jun 30

Usahlah Berpersepsi Dalam Soal Cinta Sahaja







MASALAH terbesar saya sejak berstatus sebagai blogger dua tahun lalu ialah kurang menerima maklum-balas (respon) daripada para pembaca untuk setiap artikel saya hasilkan. Saya mula berargumentasi, apakah artikel saya kurang menarik, kurang menambat hati-hati para pembaca, atau mungkin para pembaca di kalangan remaja yang lebih suka menyentuh satu-satu bab sahaja untuk berpandangan. Apa saya lihat hanya label cinta-cintun yang lebih digemari dan disukai.

Ketahuilah, penulis yang baik bukan sekadar bergantung pada idea dan bakat seni yang tersedia ada tapi pada kritikan dan pandangan para pembaca kerana dia penulis adalah manusia biasa, pasti tidak lekang daripada melakukan kesilapan. Para pembaca yang lebih suka mengambil jalan membisu daripada berpersepsi, berpandangan, mereka ini lebih cenderung untuk berdiam diri daripada bersosial (sihat) dan bergaul dengan masyarakat. Tidak semua saya maksudkan, tapi kebanyakan memang seperti itu.

Apabila saya berani mengatakan hal sedemikian, sudah pasti datang daripada pengalaman sendiri. Pernah saya mengendalikan kem kecemerlangan pelajar peringkat sekolah menengah, dan rata-rata yang hadir boleh dikatakan sudah melepasi had aqil baligh, tapi apa saya dapati mereka kurang bertindak-balas dalam sesuatu slot. Bagaimana pula andai saya bayangkan, mereka itu di kalangan mahasiswa yang bakal menerajui negara nanti?

Kita kena sedar, dan cepat-cepat kikis perasaan segan dan ‘takut’ untuk berkehadapan. Penyakit ini bukan sahaja boleh meruntuhkan sebuah keyakinan kita dalam apa jua keadaan hatta keseorangan, malah akan mengurangkan kemahiran komunikasi apabila berkumpulan. Maka kalian akan menjadi seperti pahat hanya menunggu masa untuk diketuk baru mula bertindak, ditanya sepatah akan dijawab sepatah. Biarpun Pak Pandir seorang lurus bendul di kaca mata masyarakat, tapi sekurang-kurangnya dia tahu bila mana masa segan, dan malu.

Antara segan dan malu pula kalian jangan salah anggap. Seseorang yang segan adakala dia juga seorang pemalu atau tidak, tapi seseorang yang malu tidak selama-lama dia seorang penyegan. Kadang-kadang kita silap mendefinisikan antara malu dan segan hingga kita juga salah seorang penyegan, kurang pemalu.

Perempuan yang ada perasaan malu akan menutup aurat, berbudi bahasa dan bersopan santun, tetapi berani tampil ke hadapan, bertutur kata, memberikan pandangan dan berperanan. Perempuan yang penyegan, mungkin menutup aurat atau tidak, tetapi yang pastinya, dia tidak berani menonjolkan diri.

Begitu juga skop bagi seorang lelaki.

CINTA-CINTUN

Mengapa cinta?

Tidak hairanlah traffic ke laman puteraazhari tiba-tiba sesak bila sahaja status judul keluarga bahagia, dan duhai remaja terpapar di laman sosial facebook, di yahoo messenger, di laman blog para sahabat yang berpautan laman blog saya. Maka ada yang berani mengatakan pendirian, meluahkan ini dan itu. Alhamdulillah, saya bersikap terbuka kerana lebih baik daripada mereka yang langsung tidak menonjolkan ilmu untuk dikongsi.

Sama ada kalian mempunyai ilmu tentangnya, tapi sahaja tidak mahu meninggalkan bekas atau memang kalian tiada ilmu tapi segan untuk tahu dengan mengemukakan masalah atau sebarang pertanyaan. Maka golongan kedua ini lebih malang, kerana kalian terus menerus tunduk dan kalah bertanding pada diri sendiri. Tapi terlebih malang kalian boleh berpandangan, melontarkan idea tapi segan untuk menegur kesilapan, atau lebih sopan takut berkongsi pengetahuan ber-ILMU.

Mungkin antara sebab picisan saya lebih cenderung menghasilkan artikel cinta-cintun islami, kekeluargaan, rumahtangga, nikah kahwin ialah ingin mengajak kalian ber-‘bicara’ di alam maya. Faham? Mungkin kalian ingin tahu tips hubungan intim pasangan suami isteri, batasan pergaulan sebelum kahwin tapi kalian dibuai rasa segan amat tinggi. Kalau tanya nanti apa pula persepsi orang lain yang mendengar, atau membaca. Mesti ada cakap-cakap tidak enak terhambur, atau mungkin perasaan kita sahaja yang berpandangan sedemikian. Takut pada bayang-bayang sendiri.

Tidak semua saya maksudkan. Siapa makan cili dia terasa pedas.





BERPERSI DAN BERKEHADAPAN

Memupuk mukmin yang ber-taqwa dan beriman bermula daripada sikap dia mampu menonjolkan diri di hadapan khalayak ramai. Kita mesti mulakan dalam diri kita. Pecahkan dinding-dinding yang menghalang kalian daripada berkehadapan. Bukan tidak semua orang yang ber-taqwa dan beriman suka menonjolkan diri, tapi kita bicarakan di sini mereka akan ada satu sikap pemalu bukan penyegan. Lihatlah sahaja para ulama’, cendikiawan, dan ilmuwan Islam baik daripada kalangan lelaki mahupun perempuan tiada masalah untuk berdampingan dengan masyarakat kerana itulah tarbiyah selama mana mereka mendalami ilmu, ianya berkaitan tanggungjawab.

Usaha pertama kita ialah bertanding dengan diri sendiri. Punca datangnya sikap (paradigma) pesimis dan unreactive kerana kita melihat sesuatu di bawah tahap kemampuan kita, tapi sebenarnya kita mampu dan boleh lakukan. Kita akan bertindak melalui apa kita lihat, hasil daripada lihat kita mungkin berpersepsi sinis dan terkebelakang atau mungkin terkehadapan.

Kita akan selama-lamanya kalah sebelum sempat berjuang.

Usah bandingkan anda dan teman-teman yang lain. Kerana ianya kelak akan menjauhkan kalian dari potensi sebenar. Anda mampu, tetapi apabila suka membandingkan antara satu sama lain, sedikit demi sedikit kalian akan menjauh daripada melihat potensi sendiri, kerana wujud rendah diri tidak bertempat.

“Biarlah ustaz, saya memang tidak boleh berada di hadapan ramai berbanding si Ahmad, dia memang berbakat... saya apa ada”

Mahupun kita atau si Ahmad ialah manusia biasa. Biasanya kita dan dia telah pun dijadikan tidak sama baik fizikal dan mental. Tapi kalian kena bersyukur kerana Allah Taala tidak pernah mengurangi kalian di sisi-Nya sebagai seorang hamba. Potensi boleh dicari, digilap asalkan ada niat dan perlaksanaan pada niat tadi. Tapi malangnya, kita awal-awal lagi tunduk menyerah pada ketentuan yang dirasakan sebuah takdir, walhal itu adalah pilihan kita sendiri yang mentakdirkan.

Kita kena yakin kita adalah hamba, dia juga hamba. Membedakan kita di sisi Tuhan ialah iman dan taqwa kepada-Nya. Apabila kalian berpegang pada kata-kata ini, nescaya kita akan lebih mengerti pada hakikatnya kejadian kita adalah hamba, iaitu kita adalah sama. Maka kalian juga berhak untuk berpotensi dan berkehadapan.

TIPS MUDAH

Baiklah saya ingin berkongsi beberapa tips bagi memulihkan potensi, dan mendekatkan lagi kalian pada potensi tersebut.

Melatih diri supaya sentiasa berada di barisan hadapan terutama dalam majlis ilmu, di hadapan dalam majlis rasmi, berada di hadapan di dataran perhimpunan. Benar, jangan takut untuk meletakkan diri kalian terlebih di hadapan sebelum lahirnya potensi berkehadapan. Berapa kerat sahaja yang berani? Lihat sahaja di dewan-dewan kuliah, majlis-majlis ilmu di masjid.. ramai yang lebih suka berada di tiang-tiang masjid, dan di bangku paling belakang. Jika kalian sudah hilang kepercayaan untuk meletakkan diri di hadapan, tidak mustahil potensi untuk berkehadapan makin jauh.

Apabila bercakap dengan orang hebat, berjawatan tinggi, atau public figure, kita digalakkan supaya melihat wajahnya ketika berbicara. Jangan tunduk kononya zuhud, kerana sudah pasti kalian tidak yakin untuk menyampaikan dan berkomunikasi baik dengan mereka. Selain itu juga, suara kalian mesti jelas dan dapat didengari oleh si pendengar. Mulakan dari teman-teman luar biasa (bukan teman biasa), para guru, pensyarah, dan para pemimpin tempatan.

Boleh bukan?

Mungkin kalian boleh ber-tadabbur dengan satu ayat al-Quran ini, tatkala Nabi Ismail a.s menanam satu sikap luar biasa kepada ayahandanya tercinta, Nabi Ibrahim a.s membenarkan wahyu daripada Allah Taala;

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai ayah-ku, jalankanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu, ayah akan dapati daku di kalangan orang-orang yang sabar” as-Soffat (37:102)

Bertanyalah kepada diri sendiri, bertandinglah dengan diri. Kalian mampu merubahnya.


p/s: mudah-mudahan bermula pada artikel ini, lebih ramai yang sudi meninggalkan komentar buat penilaian sisi baik kepada saya.
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Jun 29

Baraah Teladan Yang Dipinggirkan






ENGKAU kilauan Islam, nur suluhan silam. Engkau dilahirkan dalam sebuah kepayahan sebelum takdir membenarkan kebahagian dalam dangkapan mutiara Kalam Ilahi. Ibumu berperang membesarkan amanah tunggal sesekali diri jua diusik penyakit ketumbuhan pada bahagian perut tahap kritikal, namun si ibu redha dan cekal kerana amanah ini tidak akan dibiarkan musnah dan punah ditelan mainan dunia.

Baraah dibesarkan dalam keluarga yang penyayang. Dia sempat melihat dan mengenal kedua ibu bapanya dicintai.

Wahai teman, ada sesuatu ingin saya sampaikan dalam artikel kali ini, ianya hanya sebuah kisah teladan. Kisah benar ini saya perolehi daripada seorang teman serumah, ahlul bayt; Ustaz Tridiwiyanto ketika kami sama-sama menikmati hidangan makan malam. Sambil mulut menatap lauk-pauk menu dari Jawa Timur, telinga pula menangkap kemas setiap bait kalam seorang anak kecil datang dari corong speaker komputer. Di saat itu juga, hati saya jatuh cinta pada kelunakan suara kanak kecil itu, air mata bah di birai mata.

Ustaz Tri yang perasan air muka saya, cepat-cepat mematikan lamunan kecil. Beliau memberi tahu serba sedikit latarbelakang Baraah si anak kecil.

Baraah merupakan anak kelahiran tempatan, Mesir yang berusia 10 tahun. Keistimewaan anak ini ialah dikurniakan daya ingatan kuat kerana dalam masa 3 tahun sahaja beliau mampu menghafal dan mengingati 30 juzu’, satu al-Quran. Baris ke baris, ayat ke ayat, surah ke surah dihadam satu persatu dan tajwid tiada cacat cela. Ibu dan bapanya merupakan tulang belakang bakat ini digilap dan digunakan sebaik mungkin.

Bayangkan, bagaimana pula keadaan anak-anak seusia Baraah ketika ini. Bagaimana peranan yang telah dimainkan oleh para ibu bapa. Mungkin ramai yang menghabiskan masa menonton rancangan televisyen kegemaran seperti Spongbob, Bugs bunny, dan Power Rangers. Mungkin ramai kanak-kanak seusianya lebih suka bermain PSP, mengumpul koleksi permainan. Dalam hal ini anak-anak tidak salah kerana mereka memang macam itu, mudah terikut-ikut... tapi malangnya kerana si ibu bapa anak-anak ini kurang peka, tanggungjawab diserahkan kepada orang gaji, akhirnya anak-anak memilih jalannya sendiri tanpa perhatian oleh ibu dan bapanya.

Namun sedikit berbeza apa yang dilalui oleh Baraah. Dia sejak dari kecil lagi disogok oleh kedua ibu bapanya dengan Kalam Wahyu, setiap inci detik masa dihabiskan untuk menelaah dan membedah isi kandungan al-Quran. Walaupun hidup mereka tidaklah terlalu kaya, tapi mereka lebih selesa hidup bersederhana seperti jiran-jirannya yang lain.

Pada suatu petang ibu Baraah sempat berpesan kepada puterinya yang satu ini tatkala dirinya merasakan sudah sampai masa kehidupan beliau di dunia akan berakhir, bersiap-siap untuk perjalanan panjang sesudahnya. Ibunya berkata;

“Duhai anakku Baraah, sudah sampai waktunya aku meninggalkan kamu pergi buat sementara waktu cuma. Harapanku agar kamu benar-benar menjadi anak solehah. Solehahnya kamu kerana kelebihanmu memahami Kalam Allah, dan diulang setiap masa hingga kamu sanggup jadikannya sebagai makanan harianmu, teman di sisimu, dan kekasih yang kamu rindui. Kerana aku pasti Dia maha adil untuk pertemukan kita di alam abadi nanti”

Disebabkan kondisi ibunya makin parah. Ibunya terpaksa berpisah tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada Baraah dan isteri kepada suaminya kerana terpaksa ditahan di hospital atas sebab penyakitnya di tahap kronik. Hampir setiap hari, selepas pulang dari madrasah ad-diniyah, Baraah akan menjenguk ibunya di hospital, dan perkara sama yang dibuat oleh Baraah ialah memperdengar bacaan suci al-Quran di hadapan ibunya dan di setiap kali itu jua air mata ibunya menitis, tanda syukur dan puas di atas kurnian permata seperti si Baraah.

Suatu hari pihak hospital menghubungi bapanya supaya datang ke hospital kerana isterinya sudah tidak sedarkan diri. Dalam serba kekalutan, ayahnya bergegas mengambil Baraah di madrasah untuk sama-sama menuju ke hospital, tapi tidak pula si ayah memberitahu perkara sebenarnya bimbang Baraah merasa kesedihan di atas kondisi kritikal ibunya. Namun apa yang diberitahu, kemungkinan ibunya sudah sampai masa untuk pulang beristirehat di rumah. Baraah sedikit tenang.

“Baraah anakku.. kamu tinggal di dalam kereta sahaja, biar ayah sahaja menjemput ibumu” suara ayahnya tersekat-sekat, air mukanya nampak resah.

Ketika dalam keadaan kekalutan, ayahnya cepat-cepat keluar dari kereta dan menuju ke pintu utama hospital. Tidak sempat dia berjaya melintasi jalan di hadapan hospital, tiba-tiba kereta yang laju datang dari arah sisi. Ayahnya dilanggar dan tidak sedarkan diri. Mata Baraah terpina-pina melihat detik mencemaskan itu betul-betul berlaku di hadapannya. Kemudian pihak hospital mengesahkan kematian ayahnya. Ketika itu, apalah sangat perasaan si anak kecil seperti Baraah melainkan menangis teresak-esak sedih di pangkuan jenazah ayahnya.

Tidak sampai satu jam pula, si Baraah menerima berita hiba yang kedua bahawa ibunya pula mengikut jejak langkah ayahnya bertemu Allah Taala. Bertambahlah kesedihan Baraah, tiada lagi insan yang sudi menemaninya di kala sunyi, tiada lagi mereka yang selama ini banyak memberi sumber kekuatan.

Kemudian, tidak berapa lama beliau dijaga oleh saudara arwah ibu dan bapanya. Baraah pula dikesan penyakit yang sama seperti dialami oleh arwah ibunya, ketumbuhan di bahagian perut. Tiada kerisauan yang terpancar di rauk wajahnya, sentiasa tenang saat dikhabarkan berita sedih ini. Inilah jawapan Baraah selepas diajukan khabar oleh saudara-saudara arwah ibu dan bapanya perihal natijah pemeriksaan kesihatan ke atasnya;

Alhamdulillah.. saya bersyukur kerana ini merupakan ‘hadiah’ Tuhan tidak terhingga kepada saya untuk bertemu kedua ibu bapa saya di Syurga. Saya tidak sabar untuk ketemui mereka” beliau tersenyum, kata-katanya telah mengejutkan para hadirin yang berjaya mendengar luahan isi hatinya.

Kesimpulan...

Kita boleh bandingkan kanak-kanak di sekeliling kita dengan sikap matang yang sudah tertanam dalam diri Baraah, kanak-kanak yang baru ingin mengenal dunia. Salahnya tingkah-laku dan perangai kanak-kanak bukan di atas kehendaknya, tapi ketidak-matangan ibu bapa yang membesarkan, menyuap ‘makanan’ untuk tumbesaran rohaninya. Kita tidak mahu keadaan tragis menimpa seperti dialami oleh arwah Safiyah Humairah di atas sifat ‘kebinatangan’ penjaganya, sikap mandul ibunya. Dunia lebih melihat sikap si ibu bapa, berbanding kelakuan buruk si anak kerana sudah pasti puncanya hadir daripada sebelah ibu dan bapa.

Kita mahukan lahirnya anak-anak lebih daripada dua, tiga bahkan puluhan anak-anak seperti Baraah. Kalian, kitalah yang menggalas pertanggungjawaban berat ini. Tunggulah saat ketibaannya, ianya pasti memahatkan nama-nama insani soleh mahupun solehah di atas amanah suci ini di tiang-tiang teguh di dalam Syurga.

ameen


p/s: ikuti video klip satu rancangan tadarrus al-Quran di sebuah saluran televisyen timur tengah yang menyaksikan salah seorang pemanggilnya ialah Baraah (sila klik)
Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Jun 28

Motivasi: Mewarnai Kehidupan Insani







KEHIDUPAN
insani memang sentiasa diwarnai, warna-warna ini membentuk laskar pelangi yang pelbagai. Warna kehitaman sinonimnya adalah sifat antagonis yang berlawanan dengan sifat utama, dipalit warna kehitaman di setiap langkah mengukir warna-warna hidup ini sedikit mengundang keresahan di hati bagi setiap manusia yang bertuhan. Dibiarkan usah sesekali, kelak ianya tidak lagi warna yang indah kerana hitam tadi menutup seri warna, tidak mustahil memudarkan hingga hilang asli warna asal.

Kita mempunyai pilihan untuk menjadi orang yang bahagia kerana kita yang mencorak warna tadi. Andai kita memilih untuk menerima kemaafan dan melupakan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain, itu petanda kita tidak mahu ianya berlarutan, tergantung hingga hilang rasa bahagia... atau mungkin kita bisa memilih untuk lari daripada masalah tadi dengan cara berdiam diri dan masih tidak melupakannya, maka kita sengaja memilih jalan cerca.

Bagi orang mukmin, dia perlu tahu tidak semua perkara bisa dilakukan tanpa had, persempadanan tindakan kita telah ditentukan oleh syariat (cara hidup islami). Sedarnya kita ialah kita hanya seorang hamba, Dia ialah Penguasa sekalian hamba. Justeru itu, kita sentiasa ingat kepada siapa kita pertontonkan amal dan kebaikan, walaupun sedikit dihargai oleh manusia kerana dia juga seorang hamba tapi kita ingin mencapai anugerah tiada tandingan daripada Pencipta sekalian hamba.

Bermula dengan hidup sederhana, kita diajak mendidik hati supaya tunduk pada kekuasaan Dia yang serba kuat, dan tidak kalah oleh segala kelemahan. Kaya kita bukan susah untuk bersederhana kerana apabila kita menzahirkan kesederhanaan itu sudah pasti mematikan sikap egois. Kelemahan hadir tidak mengira apa jua status anak adam itu... miskin jika tidak ditangani dengan baik supaya adanya kaya budi dan kaya hikmah, sudah pasti jurang untuk jatuh ke lembah kelemahan tunggu saat dikuburkan. Kaya pula apabila egois tadi dibiarkan menguasai diri, mudah sahaja kekayaan tadi melapah sebuah budi, zuhud, pekerti kerana sudah lemah... lemah daripada deria sifat mahmudah.

Konsep penjagaan diri ini meliputi luaran dan dalaman manusiawi. Kita akan lihat, sifir paling mudah sikap luaran akan mengambarkan sikap dalaman seseorang kerana tidak mustahil perihal dalaman yang amat sulit dikerjakan akan berlarutan hasil didikan luaran.

Kita pasti risau, apabila melihat lelaki yang tidak mengambil kisah kebersihan kolar baju dan kolar lengan, begitu juga teramat risau apabila seorang perempuan acuh tidak acuh akan kebersihan tudung yang dipakai. Orang-orang seperti ini lebih berpotensi untuk meninggalkan amalan sunat dalam ibadat... hilang tama’ninah dalam solat, gosok gigi sebelum solat subuh, dan merata air ke seluruh badan ketika mandi wajib. Golongan ini lebih berisiko dijadikan pasangan hidup berbanding mat rempit yang bertahajud di atas jalan, dan minah senget di hulu kampung.

Bunyinya nampak aneh sahaja, bukan? Tapi itulah realiti.

Mungkin sahaja golongan cerewet tentang kebersihan lebih berisiko, kerana mereka bukan sahaja tahu akan tuntutan kebersihan, tapi sinis untuk melaksanakan. Mereka ini lebih liat untuk mendengar nasihat kerana sikap tahu tapi tidak buat tadi menumbuhkan egois di hati... sedangkan golongan kedua, mat rempit dan minah senget yang tidak tahu apa-apa akan mudah mendengar kata apabila menerima teguran baik-baik secara baik.

Contoh paling mudah; kita lihat dan dapati siapa paling liat untuk datang berusrah? Di kalangan ahli yang serba-serbi tahu kononnya, atau mereka yang sedang tercari-cari nur hidayah? Jentik hati tanya iman.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan kepadanya jalan keluar, dan mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tiada dia sangka-sangkakan” at-Talaq (65:2-3)

Maka kita telah kalah pada satu sikap mazmumah, iaitu ego. Sikap ini akan terus menebal jika tiada racun mematikan akar bahagian punca tumbuh sifat buruk ini. Kita boleh didik diri kita jadi seperti apa kita lihat, baik dan buruk terserah kepada tangan kita memilih dan kaki kita melangkah. Tapi kita harus sentiasa sedar mush-musuh Allah Taala tidak pernah tidur, nafsu dan syaitan akan terus menusuk jarumnya di setiap kelalaian kita. Mereka lebih cepat merebut peluang di setiap ruang yang terhidang.

Bermula daripada sikap sederhana tadi, maka akan lahir sifat zuhud, budi pekerti mulia. Kita akan terus memandu kehidupan, akan terus mencorak warna-warna indah sebelum kita dijemput untuk menuntut hasil keindahan tadi di hadapan Allah Azza Wajalla.

Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Jun 27

Bingkisan Ringkas Buat Wanita






BETAPA sedih, kelat dan pahit ulu hati setiap kali menyatap hidangan berita di dada akhbar-akhbar tempatan. Melibatkan wanita dalam jenayah dan salah-laku sosial tidak sihat memperlihatkan antara ciri-ciri sifat kewanitaan padanya mula terhakis sedikit demi sedikit. Mereka tidak terasa status gender wanita sebagai satu pemberian tiada tandingan, ianya bukan lagi satu kebanggaan kerana baik lelaki mahupun wanita berpegang melakukan perkara mungkar bukan lagi melihat jantina namun adalah pilihan nafsu. Sinonim wanita dikaitkan sifat malu yang amat tinggi, mungkin title ini tidak lagi sesuai pada era serba canggih, serba-serbi ada.

Maafkan saya kerana membicarakan soal wanita, izinkan saya berkongsi bingkisan ini buat para wanita, perempuan, dan para ibu di luar sana.

Di era 50-an hingga lanjutan pada tahun awal 90-an, wanita cukup dihormati di atas kehormatannya sangat tinggi daripada terlibat mana-mana jenayah yang memalukan diri sendiri dan keluarga. Para ibu bapa pasti gembira memiliki anak perempuan yang solehah, bukan sahaja solehah di pandangan mata luaran malah mata hati. Wanita ini diibaratkan sebuah permata yang berharga kerana seri pada nilainya belum lagi disentuh, dijamah oleh mana-mana tangan kotor, atau mencampak diri sendiri ke lembah yang mengotorkan.

Menyoroti sejarah silam, Islam muncul di tengah-tengah kaum jahiliyah membenci golongan ini. Resam jahiliyah berat sebelah diangkat menjulang tinggi, kerana takut pada bayang-bayang sendiri... anak-anak perempuan di tanam hidup-hidup sebelum sempat mereka mengenal dunia-antara destinasi anak adam-mereka terus dihantar ke destinasi berikutnya, alam kubur. Para malaikat ‘tersentap’ kerana belum sempat roh berfungsi, ajalnya pula tanpa segan silu datang bertandang. Manusia hidup tanpa panduan akal waras dan agama benar membataskan adat daripada mengatasi ibadat cukup mudah diperbodohkan oleh resam yang telah lama dipalit kehinaan.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Dan apabila seseorang daripada mereka diberi khabar dengan kelahiran anak perempuan, hitam dan merah padam mukanya, dan dia tersangat marah” an-Nahl (16:58)

Kaum jahiliyah telah menghina golongan wanita, dengan penghinaan secara terang-terangan. Namun, syariat Allah Taala telah menyelamatkan gender lemah lembut ini dari terus dinodai. Maka turunlah wahyu Allah Taala yang menyeru supaya memuliakan wanita.

Indah taman-taman kerana seri bunga menyedapkan mata-mata memandang, dan baunya mewangi ke seluruh alam. Cantiknya rumah kerana hiasan menggamit setiap manusia melihatnya. Mulianya seorang wanita kerana malunya. Malu yang melahirkan akhlak mulia, tidak menerobos batas-batas kewanitaan.

Bagaimana kita melihat wanita di era millenium ini? Menuntut hak saksama seperti lelaki. Mendabik dada boleh memimpin para lelaki ‘lemah’ kerana jawatan sementara, hingga menggelamkan ciri kewanitaan yang disandang sekian lama. Suatu masa dahulu, wanita bersyakhsiah dan berpekerti mulia. Namun tidak lagi di zaman sekarang, kemulian kalian dalam menjaga maruah diri di samping tidak menghalang kalian bersosial seperti orang lain ialah senantiasa menjaga maruah diri, tahu batas-batas yang perlu dibataskan.

Andai setiap kali kalian ditarik, diajak untuk melakukan maksiat walaupun sekecil-kecil maksiat, maka malulah kepada insan bernama Khadijah Binti Khuwallid, Aesyah Binti Abu bakar, dan Fatimah Binti Rasulullah kerana kesederhanaan mereka bukan penghalang bagi mereka meraih ketinggian darjat di sisi Tuhan Pencipta.


Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Jun 26

Suburkan Cinta Kepada-Nya Sebelum Kepadanya







SAYA kadang-kadang terasa malu apabila bersama teman-teman, sambil bersila mengena Shai (teh arab). Malu bukan kerana apa, sesekali masuk juga bab kahwin. Kalau darah muda berbicara, semua bab mahu disentuh.

Ada yang sinis mengusik antara satu sama lain.

Cinta sahaja tidak cukup. Berkali-kali saya pesan. Setiap tindakan itu perlu di dahului dengan fikiran yang dalam. Semangat membara, cinta yang berkobar-kobar dan suasana yang mendesak sering menyebabkan manusia silap dalam membuat keputusan.

Keghairahan anak muda menjadikan perkahwinan sebagai penyelesaian sebenarnya adalah sesuatu yang sangat menakutkan. Kerana orang muda selalu merasakan mereka sudah bersedia, dan hakikatnya hanya mereka sedari apabila pundak sudah tidak tertanggung lagi dengan amanah yang tersedia ada.

Apabila yang indah-indah tentang perkahwinan sahaja yang menghiasi minda, segala yang pahit itu tidak punya ruang dalam pertimbangan anak muda. Justeru, segala nasihat yang bertentangan dengan kehendak mereka dilihat sebagai pandangan yang tidak memahami atau menentang mereka.

Jangan menyalahkan orang lain dari mempelajari kebodohan diri sendiri.

Bagi mereka yang sudah berumahtangga, kesilapan kalian untuk berkahwin tidak boleh ditarik balik selepas akad. Kesilapan ini berpunca kerana world-view kita rendah, tidak melihat masa depan sebelum berani memutuskan untuk menamatkan zaman bujang. Masa lepas biarlah lepas, depani pula masa mendatang. Ada masalah, tidak tahan dengan karenah pasangan, mertua, jangan cepat putus asa untuk belajar.

Itu tidak bermakna kita harus ‘meninggalkan’ perkahwinan ini, kerana dunia ini medan mengumpul amalan, justeru peranan kita adalah meningkatkan pengetahuan dan kesabaran agar lebih bertanggungjawab dan memastikan perasaan kasih sayang itu terisi dengan sebaiknya. Rasa rendah diri, rasa banyak kekurangan pada diri, maka kewajipan untuk terus belajar sentiasa ada.

Rasa kosong, mendorong kita untuk mengisinya semula. Terasa jauh, kita berusaha untuk mendekat pada-Nya. Begitulah Allah Taala mendidik kita insan berdosa ini. Kita akan terus mencari selagi terasa belum berjumpa. Sukar kita untuk bersabar. Tetapi bergembiralah, rasa susah ini pun sebenarnya satu kurnia besar daripada Allah Taala supaya melihat kesulitan dari sudut pengajaran, tarbiyah.

Teruskan Pembacaan>>>

Ulama' Tempat Maklumat Bukan Matlamat







ULAMA’ baik tempat para umat mengakses maklumat berilmu, aib ulama’ ialah menjadi tempat para keparat mendapat fatwa segera demi kepentingan dan matlamat.

Kesepaduan pemikiran, paradigma dan pandangan hidup golongan ulama’ yang intelektual amat ditagih oleh masyarakat kita yang kehausan ilmu. Namun penjajahan mental golongan ini berterusan dirantai agar tidak melontarkan idea dan pandangan menyekat kegiatan yang jelas haram di sisi Islam, apatah lagi mempersoalkan.

Dua tiga hari ini kita masih panas mendengar tentang isu ulama’ di Malaysia diajak berpolitik dalam kandang ‘kotor’. Isu ulama’ yang menjadi persoalan ketika ini, kesarjanaan mereka yang sebenarnya sebagai cermin masyarakat untuk maslahat awam yang terpelihara dari sebarang kepentingan dan kroni-kroni jahat. Darjat yang diberi sebagai pewaris nabi sememang tidak boleh sewenang-wenangnya dikotori atau digula-gulakan.

Bagaimana seorang ulama’ mendefinasikan dirinya sebagai orang berilmu? Ilmu seseorang bukan hanya pada sebuah cakap dan penyampaian kuliah di masjid, di corong radio, di kaca televisyen tetapi meliputi sebuah tindakan terpimpin oleh ilmunya. Apabila kita labelkan golongan ini ‘keparat’ ianya ibarat kera mati di hutan, kerana tidak lagi ilmunya dihormati tapi peribadi yang disoroti. Dia hanya mampu mengikut telunjuk ahli-ahli keparat yang menunjang kuat di belakang.

Di sinilah jawapan kepada kayu mengukur kriteria ulama’ iaitu pada keupayaannya mematuhi seluruh hukum Tuhan pada syariatullah dan sunnatullah. Seorang alim yang takutkan Allah bukan hanya takut melanggar hukum syariat malah juga hukum sunnatullah. Bukanlah seorang itu dikatakan takutkan Allah apabila dirinya berilmu tinggi tentang halal dan haram, tetapi tidak berasa apa-apa melanggar hukum alam pada pekerjaan dan kehidupannya sedangkan hukum alam itu adalah sunnatullah yang juga merupakan tuntutan Allah ke atas kita.

Bolehkah dikatakan seseorang itu takutkan Allah, dan dia adalah seorang yang alim (ulama’) andai dia bersolat khusyu’, menjaga halal dan haram dalam kehidupan tetapi dalam masa yang sama menentang hukum alam dan Tuhan?

Solat dan puasa mereka yang diteladani oleh ilmu belum cukup melabelkan mereka sebagai ulama’, sebaik-baik hukum (syariatullah) yang diciptakan melalui wahyu ditolak mentah-mentah.


Teruskan Pembacaan>>>

Dakwah Melihat Hikmah Balik Mehnah





SAYA bagaikan baru terhantuk dan mula terngandah, buku-buku self-help dalam pelbagai genre di kedai-kedai buku perlu dibaca dari semasa ke semasa sebagai charger untuk mengembalikan sebuah harapan baru pada tapak semaian yang sama. Kalian tidak perlu berubah, tetapi cara berfikir sahaja perlu hijrah. Biarpun kritikannya betul dengan segerabak hujah yang ilmiah lagi bersarjana, jika kritikan itu tidak disertakan dengan penyelesaian dan harapan, tidak ada guna juga. Orang yang optimis melihat peluang dalam setiap masalah. Orang yang pesimis melihat masalah dalam setiap peluang.

Ianya permulaan pada pemusatan dakwah secara menyeluruh. Kita pasti mementingkan hikmah daripada mehnah yang memungkinkan payah menempuh jalan dakwah ini.

Apabila kita mendengar keburukan orang, kita jangan persoal. Contohnya, kalau orang jahat datang ke masjid kita, jangan pertikai dan persoal dengan memandang keburukannya kerana kita tidak tahu sisi kebaikannya yang tersirat. Maka sisi kebaikannya tersurat, yang sanggup datang ke masjid itu perlu kita rebut dan pergunakan bukan secara signikal mentertawakan keburukan padanya. Sikap yang perlu ada pada pendakwah bersikap neutral dalam semua perkara, lebih-lebih lagi dalam berdakwah kepada sesama muslim.

Di alam dakwah, golongan yang ta'asub (fanatik) mutlak tidak mendatangkan banyak faedah jangka panjang. Mereka mungkin punya tenaga penting untuk melaksanakan suatu agenda, tetapi mereka berbangga dengan keletihan dan pengorbanan diri tanpa bermuhasabah di atas kualiti dan hasilnya. Mereka cepat menganggap bahawa mereka telah memberikan yang terbaik, biarpun kerugian dan kemalangan yang sama datang berulang kali.

Bangga dengan pengorbanan yang sedikit, sedangkan pengorbanan adalah suatu kemestian bagi para da’ie. Sedangkan yang semestinya adalah evolusi terhadap gerak kerja untuk pembaikan pada masa hadapan.

Keputusasaan tidak pantas untuk orang beriman, kerana mereka adalah golongan yang sentiasa optimis dengan rahmat Allah Taala, meyakini setiap ketentuan adalah yang terbaik. Kegagalan dalam tindakan dan ketidaktepatan dalam mengambil solusi mungkin berat dihadapi, tapi ianya adalah mekanisma terbaik untuk belajar. Andai setiap tindakan yang diambil sentiasa tepat, maka tiada pengayaan pengalaman yang diperolehi, bahkan mungkin sahaja diri kurang matang membentuk akal yang sentiasa terkehadapan kerana tiada solusi.

Saya pernah melihat seorang teman yang dilihat sering pesimis terhadap kualiti dan potensi orang lain. Sekali orang itu menolak, selamanya dia akan menganggap orang tu menolak. Malah lebih teruk, menganggap orang tu sebagai musuh dakwah, padahal orang itu mempunyai potensi untuk kebaikan perkembangan Islam. Hati-hati.

Sudah terlalu banyak subjek optimis dan pesimis ini diperkatakan hingga ramai yang cepat mahu berkongsikan quotation masing-masing yang sedap untuk menyokong idea ini. Tetapi saya menulis artikel ini khusus untuk melegakan hati yang telah terluka dengan gelagat sesetengah anak muda yang sangat kaya dengan idea, tetapi sentiasa sinis dalam bahasa mereka ketika mengungkapkan idea tersebut. Membaca dan mendengar kupasan ilmiah, tetapi sentiasa memandang buruk serta menghitung satu demi satu kelemahan gerakan Islam, amat menyedihkan. Biarpun akal kita menyokong idea yang dibawa, tetapi hati tempat jatuh pandangan Allah Taala menolak malah sesekali membencinya.

Jika kita tidak boleh menilai diri sendiri, di mana relevannya perintah Islam agar kita muhasabah diri? Menilai diri sendiri adalah kewajipan. Menghargai kelebihan diri bukan ego, ujub atau takabbur, seandainya kelebihan itu dibalikkan kepada Allah Taala. Perihal ujub ialah apabila kelebihan diri tidak dikaitkan dengan Allah Taala. Lebih teruk jadi ego dan takabbur, apabila kebaikan diri jadi asas untuk merendahkan orang lain pula.

Ada satu kisah, berpuluh-puluh ekor semut berlumba-lumba panjat pokok yang sangat licin. Kesemua binatang yang menonton menjerit-jerit beri galakan. Tapi banyak semut yang jatuh hingga tinggal beberapa ekor sahaja yang terus mencuba. Binatang lain pun terus menjerit tapi mula menyindir:

“Tak payah la nak buat benda yang mustahil tu”

“Mengaku kalah sahajalah” Dan macam-macam lagi.

Akhirnya tinggal seekor sahaja semut yang terus berusaha perlahan-lahan dan binatang lain semua ketawakan dia yang bodoh, dan sombong sebab terus juga hendak panjat pokok tersebut. Tetapi akhirnya dia berjaya, bersorak habis binatang lain dan mereka mula memuji kehebatan semut yang seekor ni. Bila ditemu-ramah akan rahsia kejayaannya, mereka semua terkejut bahawa rupa-rupanya semut yang menang itu pekak.

Moralnya, ada masanya (kadang-kadang) kita kena belajar memekakkan diri untuk berjaya.

Kesukaran dihadapkan kepada kita bukan untuk mematikan langkah perjuangan kita sebaliknya untuk memanggil kejujuran, kebijaksanaan dan keberanian kita untuk berhadapan dengannya.

Itulah konsep betul lagi tepat, yang telah digunapakai oleh Baginda s.a.w Islam mula diterima walaupun selepas hijrah. Kebijaksanaan bukan sahaja pada akal, tetapi juga pada tindakan. Tidak tergopoh-gapah, tidak melulu, dan tidak juga terlalu kolot. Harus ada keseimbangan. Ubahlah daripada sekarang. Jangan cari kesalahan orang lain, tapi jaga. Jaga diri sendiri dan sekeliling kita, sebab bimbang ada kain yang terkoyak nanti tidak pasal-pasal ada yang dapat malu.

Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Jun 25

Percayalah Dia Takdir-Mu Di Syurga








HATI manusia sangat fleksibel, tersentuh, mudah bimbang tatkala takdir tidak sebulu dengan fitrah, tatkala diserang malapetaka di luar dugaan resah bukan kepalang, akal separa waras. Bila keinginan diharapkan menemani, datang pula bebanan menghantui. Kenapa, mengapa, apa berlegar, berputar ligat membunuh daya mampu dan mahu. Mampu, dalam erti kata berpecak silat menentang badai, dan mahu, berubah.

Berkali-kali kita diingatkan, manusia tidak sirna dari dugaan, sering diduga dan menduga. Tabi-‘e alam, memang kita memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa bisa mendabik dada dia boleh hidup tanpa perlu kepada manusia lain, hatta hartawan sendiri masih memerlukan khidmat orang bawahan, mengaji mengurus dan sebagainya. Justeru itu, masalah akan ada di mana-mana tanpa dipinta, cuma kita disarankan agar berhati-hati, sedia, sabar, dan belajar dari masalah tersebut.

Jodoh, adalah hal berkaitan dengan fitrah, mahu tidak mahu setiap daripada kita pasti dipaksa bergelumang meredah mehnah, suka duka, jerih perih sebelum bahagia dalam rumahtangga direalitikan. Manusia tidak selama-lama akan kebal, pasti ada satu saat dia akan tunduk, jatuh. Oleh kerana itu, Islam mengajar agar kita tidak sombong untuk belajar daripada alam, pengalaman, sirah buat pendinding kalis kecewa, sengsara, dan lara. Kita kan kian tenang dalam damai ketika mencari cinta Ilahi nan abadi.

Kita mesti selalu jadi baik, agar yang baik juga Allah Taala jodohkan untuk kita. Cinta yang dicari baik, tetapi cinta yang ditemui lebih baik lagi. Keluarga ibarat sebuah negara, suami ialah seorang pemimpin menerajui sebuah kerajaan besar, tidak boleh dipandang enteng. Berjaya atau tidak seorang suami itu dilihat berjaya atau tidak anak buah di bawah jagaannya.

Perkahwinan yang sempurna bukanlah sentiasa sempurna, melainkan ketidak-sempurnaan yang ditangani dengan kemahuan pada agama, syariat aturan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Tiada apa yang sempurna dalam dunia ini kerana ini hanyalah dunia. Tidak penting di mana kita bermula, tetapi lebih penting di mana kita akan berakhir.

“Kali ini sudah dua kali peluang saya berikan, tapi abang masih tidak mahu berubah...” rintih seorang isteri bila mana tahu si suami main kayu tiga.

Kadangkala kita terlalu mengharap sesuatu yang ideal sehingga kita terlepas pandang dengan segala kebaikan yang ada pada pasangan di depan mata, hingga kita cuba membandingkan dengan insan lain.

Salah kita juga, dulu bercinta bagaikan hilang waras manusia normal, bibir hanya berbicara kebaikan pasangan sahaja, memuji kecantikan pasangan. Bila dah akad, pasti kebaikan juga diharapkan, namun panas tidak selalu sampai ke petang, bila ada step tersilap, maka mulalah persoalkan ini dan itu.

Cabaran hidup berkeluarga tidak seindah yang diimpikan, khabar tidak seindah rupa. Tidak boleh menjadi idealistik. Banyak tanggungjawab harus dipikul, banyak keseronokan masa bujang yang terpaksa dikorbankan, karenah anak-anak yang bisa menggugat kesabaran. Bila dah berumahtangga suami isteri bukan sahaja berkongsi satu bilik, satu katil, satu almari, tapi juga satu rasa, satu tanggungjawab. Bebanan kewangan diatasi, dikoreksi bersama. Kalau suami hanya mampu makan mee goreng, isteri juga mee goreng, kalau suami mampu membiayai bil elektrik dan air, apa salah si isteri pula melunaskan bil telefon.

Di sini, cinta akan mekar berputik, kekurangan ada di sebelah pasangan dilengkapkan pasangan lain. Usia perkahwinan juga akan melalui pra-matang, maka dalam tempoh demikian, terlalu banyak agenda perlu dirangkumkan, apa patut didahulukan, dan mana patut dikemudiankan.

SEBELUM KAHWIN

Berusaha menjadi terbaik untuk mendapat yang terbaik, bukan menilai orang lain baik tapi diri sendiri tiada usaha menjadi baik. Maka segalanya dilakukan dengan usaha dan niat yang ikhlas, niat baik akan dipertemukan dengan takdir-Nya yang baik-baik. Kebaikan kita dinilai oleh masa, kalau umur dah berginjak 20-25 tahun, tapi masih bermain PSP, baca majalah mangga, belek komik bersiri, bukankah teramat jauh untuk jadi baik.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “...perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)” an-Nur (24:26)

Benar kita boleh berlakon, depan orang cerah perut ibu mengandung, tapi sampai bila, tembelang kalian pasti dapat dihidu, bila dah kahwin semua itu sudah tiada lagi, kembali pada perwatakan sebelumnya.

Kalian berhak memasang cita-cita, memiliki isteri mampu menjaga pakaian dan makan minum, mendamba isteri rajin bertadarrus al-Quran dan bertahajjud malam, isteri rajin dalam kerja-kerja dakwah, mengimpikan isteri melahirkan zuriat soleh dan solehah, menginginkan isteri berkongsi suka dan duka, kalian boleh buat demikian, tapi sanggupkah kalian juga menjadi seperti apa seorang isteri harapkan, menemani di kala tahajjud, menyediakan pakaian dan makan minum, menjadi pemimpin baik buat dirinya dan anak-anak yang soleh dan solehah.

Mereka bertadabbur, dan memahami kalam Allah satu ini;

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan...” an-Nisaa’ (4:34)

Menetapkan niat untuk menjadi lelaki yang baik untuk keluarganya serta hasrat untuk melahirkan generasi baru yang membawa ad-Deen merupakan usaha yang murni. Sudah tentu usaha sedemikian memerlukan keteguhan dan kecekalan serta usaha yang berterusan sambil memohon pertolongan Ilahi. Niat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik.

Seorang lelaki menyukai perempuan yang mempunyai sedikit sentuhan maskulin manakala perempuan yang akan menjadi isteri juga menyukai lelaki yang mempunyai sentuhan feminin.

Ringkasnya, suami akan suka isteri yang boleh berdikari menyelesaikan beberapa tugasan atau kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh suami, manakala isteri juga menyukai suaminya sekali sekala buat kerja rumah dan memasak untuk keluarga. Ada kalanya suami memerlukan isteri membantunya dalam menyelesaikan kerja-kerja yang selama ini suami yang lakukan, adakalanya si isteri memerlukan suami untuk ringan tulang dalam hal berkaitan house-chores.

Tiadalah itu satu harapan yang melangit, melainkan rasa ingin merealisasikan sesuatu yang sudah berkurangan dalam kehidupan insan hari ini. Rasulullah s.a.w dalam kesibukannya berdakwah dan menjadi penghulu ummat juga mampu memenuhi hak-hak keluarganya, dan membina satu keluarga Islami yang bahagia, maka kita juga berusaha untuk menjadi seperti baginda.

Saya tidak setuju kalian bercinta sebelum kahwin. Cinta tidak salah, tapi masalah besar adalah orang bercinta, salah meletakkan harga sebuah cinta. Kalau sudah rasa tidak mampu, maka jauhilah maksiat cinta.

Kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantik. Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu. Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar. Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. Dibimbangi, kalian terkejut selepas berkahwin.

Sanggupkah kalian bercinta?

SELEPAS KAHWIN

Kehidupan adalah realiti yang memotretkan pelbagai palitan warna emosi, suka duka sebagai diari dibaca, dicermati pada hari muka, hal baik-baik sudah pasti diulang dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Kehidupan adalah lautan yang dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan, membawa pelbagai cuaca, sudah pasti memberi kesan membekas di hati manusia. Hati manusia ibarat sebuah sampan kecil yang dipaksa berlayar dalam lautan luas. Mahu atau tidak, manusia perlu benar-benar memahami, belajar dari lautan kehidupan sebaik sahaja mereka membuka mata, dan bersedia memulakan pelayaran. Suri teladan para pelayar sudah ada di hadapan kalian, tinggal lagi kalian memilih cara mereka atau membentuk kaedah pelayaran tersendiri berdasarkan pengalaman mereka.

Pelayar terbaik, tidak lain dan bukan adalah baginda s.a.w.

Cinta itu bukan alasan utama untuk dapat bahagia, kerana ramai juga bercerai kerana cinta.

Ramai orang bercinta bagai hilang ingatan, tapi bercerai berai juga. Ramai yang kahwin suka sama suka, tapi rumahtangga kecoh. Ini bukan soal cinta atau suka. Ini soal sejauh mana kebergantungan suami isteri pada Allah Taala dalam setiap urusan, Sejauh mana mereka sepakat dalam mencari berkat dalam rumahtangga. Dengan kehendak Allah sahaja, rumahtangga akan berjaya dan bahagia. Pohonlah kebaikan pada-Nya, serta terus menerus menjadi baik.

Andai ombak kuat melanda bahtera, jangan disangka tiada harapan dapat berlabuh dengan selamat. Ingatlah semakin kita diuji, itu tandanya kasih sayang Allah Taala kepada kita dan Dia tidak akan membebankan hamba-Nya melainkan sesuai dengan apa yang daya kekuatan.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” al-Baqarah (2:286)

Makin banyak kita diuji, makin dekat kita kepada-Nya dan semakin matang dan penuh hikmah kita menyelesaikan sebarang masalah dengan kaedah terbaik, dipersetujui bersama.

Bersabarlah para isteri dengan suami yang kebanyakannya akan diam dalam membatu, dan bersabarlah para suami dengan leteran dan bebelan para isteri yang adakalanya untuk menyedarkan anda. Dialah satu-satunya insan yang terbaik untuk diri kalian, bukan kedua, bukan ketiga. Berusahalah melengkapi kekurangan antara satu sama lain dengan segala kelebihan dan kebaikan pada diri masing-masing. Bukannya untuk meruntuhkan masjid yang dibina dan memisahkan ikatan yang terjalin. Carilah salah sendiri kenapa tidak mencari yang kurang baik tapi bisa diasuh menjadi baik.

Rumahtangga bahagia, bukan bahagia cukup material dan keperluan jasmani bahkan keperluan rohani. Maka bercintalah kalian sepuas-puasnya, kerana kalian adalah halal bagi pasangan. Setiap hembusan cinta kalian, pasti berbuahkan pahala di kebun cinta Ilahi di taman syurga nanti. Bukankah ironinya sangat aneh, bercinta sebelum kahwin lebih hebat berbanding bercinta selepas akad, jelas sekali kalian hipokrit.

Kenapa perlu mengembalikan cinta?

Saya merasakan setiap manusia itu entitled dan deserved untuk hidup dalam tenang dan bahagia. Hidup tanpa cinta ibarat burung yang terbang dalam sangkar. Selagi ada ruang untuk bercinta, maka sirami dan bajailah cinta itu. Cinta selepas Ijab dan Qabul, sesungguhnya mampu untuk diluahkan dan masih ada untuk dihadiahkan bersama.

Selepas kahwin anda tetap sebagai nakhoda. Nakhoda kepada para kelasi di bawah tanggungan anda. Baik buruk kesudahan perjalanan mereka berada di tangan kalian. Prinsip dan paradigma yang utuh sahaja akan selamat mengemudi badai dunia.

Teruskan Pembacaan>>>

Kerana Engkau Juga Teman-Ku






BUAT teman-ku dikasihi,

Bangkitlah... baik buruk perjalanan hidup kita di atas hamparan duri dunia, masih ada lagi yang sudi menghulur tangan, memberi kasih dan sayang, dan turut merasai keperitan diari tersurat, memberi harapan di sebalik tersirat. Tiada hati paling sempit daripada manusia yang alpa mengingati Allah, tiada jiwa paling resah daripada manusia menggantungkan hatinya selain kepada Allah Taala.

Tidak cukup dengan apa yang ada, dan terus haloba dengan apa yang tiada.

Wahai teman... aku mengerti dengan apa yang sedang menimpa dirimu. Aku bisa merasai kesedihan demi kesedihan menimpa dirimu. Jatuh, dan jatuh lagi. Hinggalah kamu bangkit dalam perjuangan hidup yang telah menelan ramai manusia yang kering daripada rahmat Ilahi. Di saat kamu bangkit, tiada siapa yang sudi ambil tahu dan mahu. Kepulangan ibumu tersayang ke rahmatullah menambah lagi liku-liku hidupmu, menambah lagi bebanan yang sedia ada.

Aku tahu, aku mengerti... Saat aku menulis surat ini, mungkin engkau masih meratapi pemergian ibumu tercinta. Namun kamu tidak perlu bersedih, kerana masih ada aku dan teman-teman yang setia di sisi.

Ibumu yang telah meninggalkan kenangan indah bersamamu sebagai anak tunggal yang kehilangan kasih ayah semasa kecilmu. Kenangan yang tidak mungkin kamu dilupakan sepanjang hidupmu. bercindai, tawa, suka, ukiran senyuman dan semua yang ada pada arwah ibumu akan menjadi ubat di saat kamu merindukan belaian lembut arwah.

Maafkan aku teman. Andai di saat aku menikmati keindahan pelangi cinta dan kasih bersama insan tersayang di sisi, tidak pula pada dirimu yang dipaksa menongkah kedingingan dan kepanasan mehnah keseorangan tanpa bumbung menangkis kerakusannya merobek jiwa kecilmu.

Sebenarnya, arwah ibumu jua tidak mahu perpisahan ini berlaku di saat kamu perlu bangkit meredah, membaca suratan dunia yang berpuaka ini. Namun Tuhan berkehendak lain. Bukan kerana Dia benci kepada ibumu, tapi karena Dia menyayangi ibumu dari yang lain. Dia tidak menghendaki ibumu menderita dengan menahan rasa sakit yang berpanjangan. Aku yakin, itulah jalan yang terbaik bagi ibumu. Kerana Dia selalu memberikan yang terbaik bagi Hamba-Nya.

Engkau tidak perlu menyesal dengan semua yang telah berlaku sepanjang pemergian ibumu mengadap Tuhan Esa, kerana aku yakin kalau semua itu akan menjadi keinginan ibumu yang terakhir.

Aku mengerti perasaan itu tidak bisa dibohongi, apatah lagi menyembunyikan kebenarannya. Aku tahu engkau sangat mencintai arwah, demikian juga sebaliknya. Tidak mungkin ibumu sanggup menyembunyikan sakitnya itu demi menghilangkan kerisauan dirimu, dan dirimu tidak pernah sirna dari menyediakan keperluan ibu di saat mudamu ini.

Ingatlah Allah di kala dukamu ini. Tiada Syurga paling indah tika hidup di dunia melainkan ketabahan semasa rebah, kesabaran semasa meredakan baran. Tiap-tiap saat di titisan keringat itu meluaskan lagi hamparan istana di Syurga akhirat-mu nanti. Ingatlah Dia, pasti Dia memandang keperluanmu di kecercaan menakutkan ini. Ujian ini, adalah tanda kasih dan cinta-Nya kepadamu. Dia telah memilih dirimu antara seribu. Hargailah untuk kamu berubah.

Wahai teman... jujurnya, aku sepatutnya berasa dengki dengan keadaanmu. Aku tidak pernah teruji seperti apa diuji kepada dirimu ini. Malam pasti berlalu, bebelengu pasti patah. Dunia ini tidak pernah membiarkan seseorang hidup kekal, dan tidak pula membiarkannya dalam suatu keadaan yang bererti. Kamu mesti keluar dari kepompong ini secepat mungkin, demi janji-janji Ilahi kepada setiap hamba-Nya. Kamu pasti...

Katakanlah kepada kaum Badwi itu, sesungguhnya engkau telah dibebaskan dari perjalanan di malam hari yang kelat, gelap gelita yang pekat dan dari menempuh padang sahara yang jauh, panas lagi meletihkan. Tinggalkan kisah silam yang menjenuhkan itu. Mulakan langkah sekali lagi. Kita pasti bangkit.

Engkau tidak perlu meminta maaf. Sebelum helaan nafas terakhir ibumu, dia sudah memaafkan dirimu. Justeru, mulakan diari hidupmu yang baru, simpanlah diari lama ini agar ianya masih segar diingatan, yang sudi menemanimu, mengagahi langkahmu, dan menjadi tempatmu bermanja senda.

Kini ibumu telah pergi. Terimalah hakikat takdir-Nya. Tentu arwah tidak akan kembali melakar diari baru bersamamu. Engkau adalah engkau. Bangkitlah...

-Peraih Cinta-Nya-

Teruskan Pembacaan>>>

IMAN: Kerana Engkau Hanya Manusia








EH... Kenapa kamu buang sampah di tepi dinding? Tong sampah ada di hadapan tu” tegur saya kepada seorang teman bangsa arab.

“Tak apa, ada yang kutip (merujuk kepada tukang sapu). Dah terbiasa, ramai yang buat” katanya sambil tersenyum.

“Habis tu kamu tidak baca ayat al-Quran dan Hadith yang ada menyentuh tentang kebersihan? Inilah padah bila mata hati buta, jauh daripada penghayatan” suara saya sedikit tinggi sambil menggelengkan kepala.

Di mana puncanya, kalau tangan manusia sendiri yang membinasakan ciptaan warna alam-Nya. Bila sudah jadi budaya orang ramai, susah untuk tunjuk baik, berbuih cakap apatah lagi mengubah sikap. Iman jauh dari hati…

Kalau kita rasa kesedaran dan kebenaran itu ada untuk menjaga alam sekitar, maka mainkan peranan kita di setiap penjuru masing–masing dalam menyelamatkan alam sekitar. Ia bukan hanya soal penjagaan kebersihan dan tidak membuang sampah di merata–rata, tapi soal lain yang merangkumi keseluruhan pengurusan alam sekitar itu sendiri, termasuk langkah pencegahan yang wajar kita lakukan.

Namun konflik alam sekitar ini tidak pernah selesai dari hari ke hari. Acap kali, bahkan setiap hari kita selalu di hadapkan dengan berita-berita kejayaan tangan-tangan manusia yang memusnahkan alam.

Isu penjagaan alam sekitar sebenarnya menentukan sejauh mana maju sesebuah negara tu. Malaysia masih dalam tahap dunia ketiga dari segi ini. Dan bukankah cara utama menyukat sama ada sesebuah negara itu maju atau tidak adalah melalui tabiat dan mentaliti rakyatnya? Selagi rakyat Malaysia tidak terkehadapan dalam isu alam sekitar (dan juga keselamatan jalan raya, kebebasan bermedia, dan sebagainya), selagi itulah tanah air tidak akan mencapai status negara maju.

Antara negara-negara Eropah, negara yang paling tinggi taraf hidup seperti Sweden, Norway, Finland, Switzerland, Jerman, Ireland, Iceland... memang mempunyai tahap alam sekitar kelas pertama.

Benarlah kata Saidina Umar ra; “Iman itu menaikkan taraf hidup manusia”

Jangan lupa, bahawa antara isu penting yang ingin saya ketengahkan di dalam artikel kali ini ialah isu penjagaan alam sekitar... juga adalah isu Islam, sama pentingnya dengan isu-isu yang lain seperti jinayah, riba dan sebagainya.

IMAN SEMPURNAKAN SYARIAT

Tidak dinafikan negara kita memang pesat membangun dari sudut material, dan sudah menyaingi pembangunan negara-negara maju di seluruh dunia. Bangunan-bangunan pengcakar langit pula memenuhi setiap ruang bandar di seluruh negara. Namun yang menyedihkan dan menjadi topik utama bicara saya ini, adalah kesedaran masyarakat kita terhadap penjagaan alam sekitar yang masih di tahap membimbangkan.

Bandar-bandar utama yang menjadi pusat tumpuan pelancong bertaraf dunia masih dibelenggu imej kotor sama ada di persekitaran bandarnya mahupun tabiat segelintir penjaja makanan yang dilihat boleh menjejaskan masa depan sektor pelancongan di negara ini.

Aspek kebersihan di negara ini semakin merosot kerana dicemari dengan persekitaran yang kotor khususnya di kawasan sungai, belakang bangunan dan sistem perparitan. Ini diburukkan lagi dengan tabiat penjaja tepi jalan dan pengusaha restoran yang kurang mengambil berat soal kebersihan... selain bangunan usang terbiar semenjak peninggalan pra-Perang Dunia Kedua.

Dalam menjalani kehidupan seharian, Islam mengambil perhatian yang sangat berat terhadap penjagaan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar kerana ianya berkait rapat dengan kesihatan dan kesejahteraan hidup manusia sejagat khususnya, dan keseluruhan kehidupan lain di muka bumi ini. Penjagaan kebersihan membawa kepada kesempurnaan iman sepertimana yang ditegaskan di dalam hadith baginda s.a.w.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu dapat mengajak manusia kepada iman. Dan iman akan bersama pemiliknya di dalam Syurga” (Hadith Riwayat at-Tabrani)

Di atas dasar itulah tanggungjawab menjaga kebersihan dan kecerian alam persekitaran merupakan satu tuntutan yang tidak dapat dielakkan oleh setiap muslim, sama ada kebersihan tubuh badan, tempat tinggal, makanan, minuman, dan alam sekitar. Kebersihan alam sekitar melambang keperibadian muslim yang cukup tinggi dan merupakan salah satu cabang ibadah yang dititikberatkan dalam al-Quran dan sabdaan baginda s.a.w.

Allah Taala berfiman;

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah Menyukai hamban-Nya yang bertaubat, dan menyukai hamba-Nya yang bersih” al-Baqarah (2:222)

Alam sekitar adalah pemberian Allah Taala yang diamanahkan kepada manusia menjaganya di samping dapat mengambil manfaat daripadanya dari sudut kesihatan dan keindahan pemandangan, yang lainnya mendidik jiwa menjadi tenang. Persekitaran yang indah, selesa dan selamat akan memberi peluang kepada masyarakat menikmati kualiti hidup lebih baik, sihat, produktif, dan berwawasan.

Islam juga mendidik umatnya supaya sentiasa memelihara dan menjaga kebersihan bumi yang kita diami dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan makhluk seluruhnya. Kita dilarang membuat kerosakan sesuka hati kerana khuatir akibat buruk itu akan kembali kepada kita semula.

Ingatkah kita pada satu peristiwa tragedi gempa bumi yang sungguh tragis telah berlaku pada tanggal 29 september lepas? Masih segar diingatan kita bila mana tragedi malang tersebut telah meranapkan ratusan rumah dan bangunan yang megah berdiri sebelumnya dan mengorbankan ratusan nyawa yang tidak berdosa. Apakah ini tiada kaitan dengan keperihatinan kita terhadap alam sekitar?

Apakah tiada rasa tanggungjawab kita untuk muhasabah di atas apa yang ingin disampaikan oleh Tuhan Pencipta melalui tanda-tanda kerosakan ini?

Dua hari lepas hati saya tiba-tiba resah menatap akhbar di semua laman berita, hampir semua berita yang sama dilaporkan. Apakah suatu bala atau peringatan daripada Tuhan? Tidak cukupkah menjadi bebanan pada akal untuk mengesan amarah Allah Taala di sebalik apa yang berlaku itu.

Adakah peristiwa ini bakal menjadi episod yang bermusim? Seperti yang pernah berlaku sebelum ini? Setiap kejadian dan tragedi yang berlaku saban hari, manusia jarang sekali mengambil iktibar. Bersungguh-sungguh mencari ‘salah siapa’, dan ‘apa puncanya’ tidak akan ke mana.

Jangan pula musim ini berakhir menyebabkan kita lalai sehingga bakal berlaku tragedi yang sama. Apapun, itu sebahagian petanda usia bumi makin senja. Tragedi seakan gempa bumi juga berlaku d mana-mana.

Hakikatnya semua yang berlaku mempunya hikmah di sebaliknya. Namun manusia yang kadang-kadang terlupa untuk kembali kepada fitrah semulajadi, lupa untuk berpaling kepada Pencipta. Semua ini adalah inzar daripada Tuhan Maha Esa untuk sama-sama kita kembali merenung dan berfikir.

Jangan bersenang dulu, kalau pasti nyawa kita sentiasa dipantau untuk dimatikan. Ingat walaupun sesaat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Dia (Allah) menundukkan (memudahkan) bagi kamu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi (sebagai kurnia) daripadaNya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir” al-Jaasiah (45:13)

Sebagai orang yang beriman, kita sentiasa dianjurkan supaya memerhatikan keajaiban alam ciptaan Allah Taala dan hikmah di sebalik sesuatu kejadian yang menimpa dengan mata hati.

Apabila berlaku bencana besar pada alam ini, pemusatan fikiran kita bukan hanya kepada banyak mana kemalangan jiwa atau kerugian harta benda yang terlibat, malah pada sebab musabab yang membawa kepada bencana tersebut. Kita mungkin terfikir apakah bencana ini merupakan fenomena alam semulajadi atau ianya suatu bala yang ditimpakan ke atas manusia?

Ilmu manusia tentang rahsia alam amat terbatas. Melalui bantuan peralatan yang canggih mungkin kita mampu mengesan kelajuan angin, pergerakan awan, getaran bumi, ketinggian ombak dan lain-lain fenomena lagi. Namun, manusia tidak mampu menjadi ahli nujum kenapa angin bergerak pada kelajuan tertentu, kenapa bumi bergetar pada skala tertentu atau kenapa ombak bergelombang pada ketinggian tertentu. Persoalan kenapa ini tidak mungkin dapat dijawab kerana ia adalah urusan Allah Taala.

Allah Taala mengutus al-Quran untuk dibaca, diteliti, diambil pengajaran dan dilaksanakan. Kisah-kisah di dalam al-Quran ada menceritakan tentang beberapa kaum atau umat nabi-nabi yang terdahulu ditimpa bencana yang dahsyat sehingga ada yang terus berkubur bersama-sama tamadun yang mereka bina.

Kesan-kesan peninggalan yang wujud sehingga hari ini menjadi bukti kebenaran kisah di dalam al-Quran itu. Kaum Nuh di sekitar Iraq dan Mesir musnah dalam banjir dan ribut taufan. Kaum Luth di Sadum musnah setelah diterbalikkan bumi dan bertukar menjadi Laut Mati. Kaum Tsamud mati di dalam kota-kota yang dipahat di dalam bukit-bukit batu akibat bayu pembunuh yang dikirim oleh Allah Taala kepada mereka.

Bencana itu pula berlaku di hampir semua negara bermula dari China di utara hingga ke Australia di Selatan, di negara yang didiami umat Islam atau negara yang majoritinya bukan Islam.

Allah Taala tidak menyegerakan balasan ke atas kejahatan yang dilakukan oleh umat Muhammad. Balasan itu ditangguh atau diringankan supaya manusia sedar dan bertaubat. Adakalanya bala itu datang dalam bentuk kekurangan rezeki setelah mengalami kemarau, banjir atau penyakit tanaman, rasa takut dan gelisah, malapetaka seperti kebakaran, tanah runtuh, kemalangan jalan raya dan sebagainya.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” at-Taghabun (64:11)

Bumi merupakan suatu planet yang amat kecil dalam alam raya yang dijadikan oleh AllahTaala. Di sana terdapat berjuta-juta bintang, bulan dan planet-planet lain yang sentiasa berputar dan berpusing mengikut putaran dan pusingan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala. Jika disifatkan bumi ini suatu benda yang hidup, sudah pasti setiap yang hidup akan mengalami proses penyesuaian diri dengan persekitaran untuk mewujudkan keseimbangan yang menjadi syarat kelangsungan dan ketahanan.

Setiap pusingan dan putaran itu tentulah memberi kesan kepada kehidupan. Jika pusingan bulan mengelilingi bumi dan peredaran bumi mengelilingi matahari boleh mengakibatkan pasang surut paras laut, gerhana bulan dan bintang dan lain-lain fenomena lagi, maka sudah tentulah peredaran seluruh bintang-bintang itu akan memberi kesan kepada keseimbangan alam ini. Di atas asas ini, maka fenomena yang terjadi kepada bumi ini tentulah mempunyai hubungkait dengan alam di luar bumi, cuma manusia tidak dapat mengesannya.

Semua pergerakan dan proses peyesuaian ini berada di bawah kuasa Allah Taala yang mencipta makhluk dengan fitrahnya sekali, seperti mana makhluk-makhluk yang lain, bumi mempunyai sistem atau sunnah (perjalanan) hidup yang telah ditentukan oleh Allah Taala.

Jika makhluk lain mengalami proses kelahiran, pembesaran, kematangan dan akhirnya kematian, maka bumi juga mengalami proses yang sama dengan caranya yang tersendiri.

Sungguhpun kita lihat secara zahirnya bumi tidak bergerak atau membesar, namun ia mengalami proses hakisan, luluhan, perubahan kepada struktur batu batan terutamanya semasa letusan gunung berapi atau gempa bumi berlaku dan kemendapan. Keadaan-keadaan ini memang telah ditetapkan oleh Allah Taala dan tidak berlaku dengan sendirinya.

Perbuatan manusia-manusia yang rakus dan tidak bertanggungjawab turut menyumbang kepada wujudnya keadaan yang tidak selesa kepada kehidupan masa kini. Pada masa sekarang, kita merasa bahang kepanasan apabila hutan-hutan ditebang, bukit bukau digondol, sumber air dan udara dicemari dan sebagainya.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Telah timbul kebinasaan (kerosakan) di daratan dan di lautan angkara tangan-tangan (kerja-kerja jahat) manusia sebagai suatu balasan terhadap apa yang mereka telah lakukan,supaya mereka kembali pada jalan yang benar” ar-Ruum (30:41)

ISU-ISU DALAM QURAN

Allah Taala menciptakan manusia di atas satu konsep yang cukup penting supaya perjalanan hidup semasa di dunia dipandu oleh satu sistem yang menjamin masa depan mereka agar tidak terus alpa kerana akan tiba suatu saat kelak, mereka pasti dijemput untuk menerima buku amal catatan dan pembalasan di atas apa yang mereka kerjakan.

Konsep menyembah (dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang) dan bertindak sebagai khalifah di muka bumi merupakan dua agenda penting yang harus dipikul oleh manusia sebagai suatu amanah besar dalam kehidupan yang sementara ini, dan bukan untuk berseronok semata-mata. Bahkan manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini sahaja, tetapi mereka dijadikan untuk kehidupan yang kekal abadi, iaitu di akhirat.

Apabila kita memperkatakan tentang Islam sebagai sistem hidup yang lengkap, sistem itu bukan hanya pada undang-undang. Manusia tidak boleh hidup di dunia ini jika mereka hanya dihidangkan dengan undang-undang.

Manusia perlukan air yang bersih, mereka perlukan udara yang bersih. Di sisi pendidikan yang baik dan undang-undang yang menjaga.

Tidakkah di dalam al-Quran dan as-Sunnah itu penuh dengan arahan memelihara alam sekitar? Tidakkah kita perasan betapa kaedah membina rumah pun, diperincikan oleh syariat. Ketinggian bangunan jangan sampai menyekat cahaya matahari dari rumah jiran. Bagaimana saluran air longkang patut dialirkan dalam hal penggunaan tanah jiran dan tanah awam?

Semua itu ada di dalam Islam. Dan ia sebahagian daripada Islam sebagai sistem hidup yang diperjuangkan. Maka perjuangan Islam dan dakwah tidak boleh terhenti setakat leteren terhadap hal-hal yang bersifat konsep dan retorik. Penjagaan alam sekitar mesti diterima sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad di jalan Allah.

Pada saya, pencemaran alam adalah berkala dengan pencemaran Islam. Jika alam di sekeliling kita terus tercemar, air diniagakan hingga mencetuskan kesusahan, rumah terus kotor dan halaman seperti kediaman Yahudi sebagaimana yang diingatkan oleh baginda s.a.w, maka Islam yang dilaungkan hanyalah retorik yang kosong.

TERLETAK PADA IMAN

Saya tidak akan sekali-kali memisahkan kepentingan teori dari kepentingan amal. Beramal tanpa teori dan buku, akan terdedah kepada kesilapan yang dungu dari pembetulan. Teori dan buku tanpa amal akan terdedah kepada kedunguan kerana asyik dengan perbuatan nak membetulkan.

Saya terbaca satu artikel karangan Edward d. Bono di sebuah laman website. Manusia kadang-kadang berpuas hati dengan hanya mengetahui tajuk (hal pokok) sahaja, tanpa mengalami sendiri suasananya. Sebagai contoh hujan, bila ditanya mengapa basah? Maka dijawab seorang lagi kerana hujan. Jarang manusia yang suka bertanya bagaimanakah terjadinya hujan itu kepada orang yang basah? Bolehkah saya jadikannya sebagai analogi? Ada segelintir yang begitu seronok dengan nama-nama ilmu tetapi gagal dari sudut aplikasinya.

Untuk tidak mengulangi kesilapan terdahulu, pembacaan dan penelitian perlu diadakan sebelum perlaksanaannya. Justeru itu, perancangan ini berjalan dengan lancar. Ia ibarat muhasabah kepada diri, orang mukmin sukar jatuh kali kedua ke dalam lubang yang sama. Teori dan praktikalnya juga amat penting. Seimbangkan kedua-duanya, insha-Allah ada sesuatu yang baik daripadnya.

Akhlak luhur membentuk modal insan.

Membinakan seorang insan yang soleh jauh lebih sukar dari membina sebuah bangunan yang hebat. Pembinaan bangunan terjamin lancar dan berjaya jika cukup kepakaran dan dananya. Pembinaan manusia belum pasti berjaya dengan kepakaran paling hebat dan kewangan yang melimpah-ruah, bahkan mungkin memberi kemudharatan. Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi oleh insan bernama ibu dan bapa. Memang ianya sukar dan meletihkan. Kalau tidak kerana limpahan naluri kasih sayang yang Allah semai di hati si ibu dan si bapa, mungkin tiada ibu dan bapa yang sedia menjaga dan mendidik anak, maka cukuplah sekadar melahirkan.. dan dibuang di mana-mana dirasakan perlu, di tepi tong sampah, di atas tangga-tangga masjid, di tepi kaki-kaki lima bangunan. Pilihan mudah di tangan manusia. Tapi bukan mereka mahukan itu, tapi sebuah keredhaan Ilahi selepas mampu menjaga amanah pemberian-Nya.

Jika dilihat senario kehidupan masyarakat kita pada hari ini, sungguh menyedihkan. Keruntuhan akhlak yang amat membimbangkan. Anak-anak muda sekarang sudah luntur adab sopannya, di mana pada masa dahulu kita merupakan bangsa memiliki kesopanan yang tinggi. Hinggakan jika nak bergaduh pun ada pokok pangkalnya kenapa, dan mengapa bergaduh. Kepada siapa hendak dipesalahkan. Samseng jalan raya, sudah melampau-lampau. Jika pergi ke sesetengah kaunter pertanyaan di pejabat kerajaan, layan macam tak layan... jika silap hari bulan kena marah pula. Jika menaiki bas atau komuter, dah tidak tahu memberi pertolongan kepada yang memerlukan. Di sekolah, murid-murid bercakap dengan guru tiada berlapik, main ‘hentam keromo’. Tidak kurang juga dengan guru-guru yang mengajar terjerit-jerit macam tarzan.

Ramai yang bercakap tentang Islam, dan berimej Islam tetapi tidak sama dengan akhlak yang dituntut di dalam Islam. Berkopiah sana sini, bertudung labuh tapi masih memfitnah, memaki hamun, mengumpat, mengeji, menghina, cakap besar, bangga diri, sombong dan macam-macam lagi. Tak semua saya maksudkan, namun ada segelintir daripada kalangan mereka belajar akhlak, tetapi diri tidak berakhlak. Saya cukup kagum dengan masyarakat Barat yang tahu tentang erti etika, sangat menghormati antara satu sama lain... bahkan tetamu (sebagai pelajar) atau pelancong yang datang benar-benar dilayan hingga cair hati kita.

Isu akhlak sering diperkatakan namun jarang dihayati, masyarakat kita kekadang kerap menuding jari apabila isu akhlak Melayu Muslim diperkatakan. Kritikan dan pelbagai tohmahan sering diberikan, tanpa orang yang menuding jari itu cuba untuk membantu, at least menyatakan kaedah atau jalan penyelesaian. Orang kita kerap mengambil langkah berdakwah dengan hati, pendekatan selemah-lemah iman.

Kebanyakan orang-orang kita hari ini, meletakkan nilai dan ruang moral masyarakat kita semakin meruncing. Kita suka mengkritik apa yang kita tak suka dan memuji serta menyanjung apa yang kita lihat suka dan baik di pandangan mata. Kita gagal mengkaji dan memperbaiki nilai yang tidak baik ini, kerana orang Melayu suka mengikut dengan budaya lain, selain menghayati nilai yang ditinggalkan para oleh anbiya’ dan ulama’ kita terdahulu, atas alasan itu semua ketinggalan zaman. Islam, adat dan budaya meninggalkan kita dengan seribu satu kebaikan. Kaya kita sebenarnya, kerana status sebagai Melayu Muslim. Tapi kita miskinkan diri kita dengan sikap kita yang masih lagi kebudak-budakan.

Menghargai kemodenan Barat mencemuh nilai budaya bangsa, perlu juga diperhatikan. Bukan tidak boleh, tapi biarlah ada pengubahsuaian dalam adat-adat ketimuran kita. Jika tidak, hasilnya Melayu Muslim hilang maruah dan identiti... hinggakan bangsa dan agama lain menindas kita sebagai bangsa dan agama yang rendah martabat dan nilainya.

Dalam ibadah kita, sebenarnya terkandung banyak nilai-nilai akhlak yang ditanam secara halus seperti ibadah solat. Kalau kita perhatikan, di sana kita diajar setiap hari lima waktu supaya belajar menepati masa, berterima kasih, tawadhu’, tidak kotor, tenang dan tidak gelabah, fokus, dan menolong orang lain (doa). Maksud saya, sebenarnya jika ibadah yang kita lakukan bukan sekadar ritual, tapi kita memahami setiap gerak-geri kita, maka akan terlatihlah akhlak dalam ibadat, bukan sahaja menunggu ibadat solat sahaja, namun pelbagai lagi dari ibadah biasa-biasa yang boleh menjadi luar biasa.

Justeru itu, orang-orang yang soleh sangat tenang dan akhlaknya dipuji. Perbezaan saya nampak, kita dengan orang Barat ialah mereka dilatih melalui budaya tetapi kita dilatih melalui ibadat. Mana yang lebih baik? Mesti kita, tapi kita terlalu lemah melalui sisi tersirat daripada tersurat.

Ibadat itu proses, tetapi output padanya (akhlak mulia) yang tidak nampak. Segala nilai akhlak yang dinyatakan di atas hanya sekadar menunaikan rukun solat sahaja, tetapi malangnya di luar solat tabiat kita serta-merta berubah. Jadi, itulah yang memerlukan latihan. Di antara fahaman dan amalan juga terdapat perbezaan yang ketara. Kalau bukan untuk lulus peperiksaan, segala hafalan dan bacaan mengenai sifat mahmudah akan dilupakan, dialpakan dari melakukan segala amalan akhlak yang mulia itu.

TANDUS AKHLAK

Kalut melihat majoriti masyarakat kita yang tandus akhlak. Saya pernah berhadapan dengan satu situasi, menumpang kereta rakan yang umurnya dua tahun lebih muda. Sewaktu turun dari kereta, saya telah ucapkan terima kasih. Jawapan yang saya terima,

“Hai, dah terlebih sivik ke? Dah sampai turun aje la”

Hal ini walaupun nampak bersahaja, mungkin bersalut gurauan tetapi terkesan di hati. Bayangkan pula hal-hal yang lebih besar dan lebih rumit. Majoriti masyarakat hari ini akhlaknya tidak selari dengan ilmu yang mereka ada. Kadang-kadang berakhlak di hadapan orang yang tidak berakhlak, ada waktunya memberi tekanan kuat kepada diri saya.

Kesian pula lihat adik-adik kita yang mengikuti Akademi Fantasia. Niat mereka bagus sebab hendak bantu keluarga, belajar muzik. Namun, lebih kesian sebenarnya generasi muda ramai yang tidak memahami Islam dan jauh dari sakhsiah Islamiah, serta menghalalkan pergaulan bebas. Itulah kecelaruan yang berlaku masa kini. Begitu juga dengan artikel Sisters In Islam (SIS) yang mengutamakan pakaian takwa di dalam hati, dari memakai tudung yang menutup aurat. Patutlah kenapa Rasulullah s.a.w ada menyatakan bahawa orang yang paling dekat dengan baginda di Akhirat nanti adalah orang yang paling baik akhlaknya.

Sikap sesetengah masyarakat Barat boleh diteladani, mematuhi segala etika dan undang-undang yang diwartakan demi kemaslahatan umum. Penerimaan mereka cukup baik, tiada masalah walaupun rasa cerewet pada permulaan, namun hasilnya mereka bisa menikmati kesenangan dan kesejahteraan. Mematuhi undang-undang jalan raya menjadi keutamaan, pemandu atau pengguna jalan raya akan menjaga keselamatan masing-masing, hatta mereka ini akan memberi laluan kepada pejalan kaki untuk menggunakan hak jalan raya. Maka kalau mereka memandu, pasti berhenti di lintasan zebra. Pejalan kaki adalah raja, nak melintas cuma pastikan kenderaan tidak terlalu laju sahaja, selepas itu lintas dan pastinya kenderaan pelbagai jenis akan berhenti untuk memberi laluan, tiada pekikan suara hon di sana sini tanda protes.

Di Malaysia agaknya menunggu ke malam sahajalah baru jalan lengang. Maka dibina jejantas berjuta-juta harganya untuk memudahkan golongan ini, kerana apa? Bimbang jika dibiarkan melintas jalan akan ada berlakunya kemalangan sebab kenderaan semuanya laju-laju. Sekadar perbandingan akhlak dan disiplin masyarakat yang jelas terasa. Kita sering mengelak mengajarkan akhlak kerana malu kita sendiri yang membuat silap. Akhirnya semua diserahkan pada common sense masing-masing. Soal akhlak dan disiplin bukan dipelajari dalam buku sahaja, ianya mesti dipratikkan dan bisa terkesan daripada orang di sekeliling.

Teringat masa sekolah rendah dulu-dulu, cikgu kata tidak boleh buang sampah merata-rata. Nanti menyusahkan orang lain. Simpan sampah tu di dalam kocek, jangan buang selagi tidak jumpa tong sampah. Alhamdulillah, bermula dari situ kami cuba amalkan apa yang cikgu pesan. Tapi terkejut dan sedih juga, bila lihat di luar sekolah, ramai sahaja yang tidak dengar pesan cikgu rupanya. Lagi sedih, bila yang tidak dengar cakap cikgu tu, terdiri daripada ibu dan ayah budak.

Bab akhlak disentuh dalam ilmu tasawwuf. Kerana itu, Imam al-Ghazali bersusah payah mengarang kitab-kitab yang berkaitan dalaman manusiawi (hati) agar umat manusia kembali kepada ad-deen yang sebenar. Tapi sayang, kitab Imam al-Ghazali tidak pernah dijadikan sebagai silibus di sekolah-sekolah dan universiti. Paling kurang pakai untuk diri sendiri. Kitab yang mudah dihadam seperti komek, cepat pula dibaca, dihadam.

Bagi yang sudah bergelar seorang ibu dan mempunyai anak yang ramai dan bekerjaya, cabaran untuk memastikan akhlak diri terpelihara dan anak-anak mencontohinya terasa begitu hebat dan perlu menyahut cabaran psikologi (hisiyyah) ini, dan perlu berperang dengan media-media yang berleluasa tanpa ada tonjolan nilai-nilai akhlak terpuji. Mengadakan usrah keluarga dan pembacaan sirah rasul, para sahabat dan para ulama’ silam perlu diberi penekanan daripada ibu bapa.

Kekadang menjadikan anak-anak ini terkejut dan tidak tahu macam manalah in the real world untuk diamalkan, sebab sudah susah hendak jumpa amalan akhlak mulia ni. Kalau ikutkan, patutnya ada revamp dalam pengurusan Kementerian Penerangan pada media di tanah air, skrip drama, siaran radio dan televisyen mahupun iklan. Malah tuturbahasa dan gelak ketawa pengacara perlu ada tapisan oleh badan tertentu sebelum disiarkan, sebab dari semua inilah generasi kita menirunya.

Kiasan ‘Pokok berbuah’ memang kena pada menerangkan ketiga-tiga (iman, amal, dan ehsan) rukun yang membentuk Islam. Memang hasil yang dipelukan ialah buah yang lebat dan berkualiti tinggi. Tidak ada makna kita menanam pokok sekiranya ia tidak mengeluarkan hasil, kalau buah yang diharapkan, maka buahlah yang sepatutnya menjaga hasil dan kalau daun yang diharapkan (seperti sayur) maka kita mengharapkan sayur yang menghijau yang dapat membantu dalam menjaga kesihatan manusia. Tetapi ada juga pokok yang kita tidak harapkan buahnya atau daunnya, tetapi batang kayunya, untuk bermacam kegunaan bahan binaan, tidak kurangnya sebagai kayu api. Ini perlu kepada usaha yang menyeluruh.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah berpesan; “Kami tidak beri ikan untuk kamu makan, tapi kami beri kamu kail untuk kamu cari makan”

MUHASABAH: CERITA HATI

Bening hati melihat kebesaran Allah Taala, melihat ciptaan kejadian makhluk yang teramat unik. Alam terbentang luas tanpa hadir rasa pertelingkahan pada sebuah sunnahtullah, semua akur pada takdir dengan memberi ikrar taat setia. Setiap saat dan detik memperagakan aksi tersendiri, seolah-olah telah lama menekuni sebuah skrip dan dialog drama, tiada rasa kaku dan kekok padanya tika beraksi di hadapan layar dunia, cukup indah.

Alangkah indahnya jika setiap saat dalam hidup kita dapat dilalui dengan perasaan bahawa diri ini, sering diperhatikan. Melindungi diri daripada melakukan kesilapan yang kelak akan dipertanggungjawakan di hadapan Tuhan. Utaian manik luhurnya akhlak menghiasi diri seperti bintang-bintang menghiasi cakerawala. Namun, mesti lebih indah, kalau setiap masa dan ketika kita diperhatikan dan dapat memerhatikan Allah Taala.

Terlalu banyak cabaran dalam hidup ini. Kadang-kadang tanpa kita sedari, kita lupa dan alpa, bahawa Allah Taala juga yang sebenarnya memberikan halangan itu, supaya kita check balik, dan perbaiki kelemahan diri. Kita bersetuju, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Menekuni hikmah, serta bersedia belajar sesuatu selepas itu, kewajaran yang tiada taranya. Kita bersedia untuk berubah dan mengubah keadaan. Tidak akan berlaku buat kali seterusnya.

Babak Pertama

Anda sedang berjual di sebuah gerai di Pasar Tani. Ramai orang melintas gerai anda, menoleh dan terus berlalu tanpa membelek, apatah lagi membeli. Tiba-tiba datang seorang ke gerai anda dan dia berkata;

“saya tak suka barang awak sebab cara awak susun memeningkan saya”

Anda mungkin terkelat-kelat muka, tetapi anda faham komen tersebut, dan boleh mengambilnya sebagai pengajaran dan cabaran untuk meningkat maju.

Tetapi bagaimana kalau ketika anda sibuk melayan pelanggan. Tiba-tiba datang seseorang ke gerai anda dan terus berkata;

“saya tak suka barang-barang awak”

Kemudian dia terus pergi meninggalkan anda terkulat-kulat keseorangan. Apakah yang akan terjadi kepada diri anda ketika itu? Rasa ingin berubah kerana orang tidak suka mungkin tidak kesampaian, kerana diri tidak pernah tahu, dan mengerti di manakah kelemahan yang dimaksudkan tadi.

Walau dalam keadaan apa sekalipun, jangan biasakan diri untuk mematikan idea orang lain tanpa memberi alternatif kepada idea tersebut. Beradabkan lebih baik, dan tidak punya masalah.

Babak Kedua

Bagaimana dengan seorang insan yang bekerja sepanjang hari, hingga hampir tiada kerja yang perlu dilakukan. Oleh kerana tidak suka membuang masa, beliau lebih gemar habiskan masa dengan melayari internet. Hanya menunggu telefon berdering, dan satu dua pekerjaan yang dilakukan setiap hari. Sekiranya ada tugasan pasti akan dibereskan sebaik mungkin.

Setiap kali ada kursus dan sebagainya, beliau tidak pernah claim perjalanan, overtime dan sebagainya. Ini adalah untuk recharge semula dengan apa yang dipakainya semasa di pejabat. Beliau cuba untuk tidak menggunakan telefon pejabat, sebaliknya. Namun hati manusia sering berbolak-balik, sesekali terbabas juga gunakan telefon pejabat untuk menelefon ke pejabat kerajaan atas tujuan peribadi.

Itulah, dalam beringat kita pun kadang-kadang memang terbabas atau membabaskan diri. Ada juga terfikir untuk kerja sendiri supaya hasil yang diperolehi adalah bersih dan lumayan. Terbabas dalam konteks menjaga kepentingan bersama, tidak menjadi suatu masalah, tapi andai untuk menjaga kepentingan peribadi, kena-kena beringat sedikit. Kalau baik tidak mengapa, namun kita sering mengundang hal-hal sebaliknya.

Kesimpulan

Namun ingat, sekali anda terbabas leka melakukan maksiat, CCTV Allah Taala tidak pernah sirna atau leka seperti anda dari terus memerhati gelagat buruk kalian. Matlamat menghalalkan cara, bukan itu caranya.

Indahnya hidup kita bersama Ilahi, namun andai kalian tahu kerana kita hanya manusia.. tiada siapa lagi kita perlu menjaga kalau bukan menyempurnakan hak Allah Taala di atas kurnian penghidupan ini. Ingatlah! Kerana Engkau Hanya Manusia.

Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Jun 24

Menambah Fungsi Laman Puteraazhari





TIGA tahun berada di bumi penuh khazanah ini, banyak saya timba pelajaran berguna. Bermula dari iklin, suasana bangsa, dan keagungan ilmu di kalangan para ulama’ di sini. Ilmu diberi pinjam kepada saya adalah untuk disampaikan dan dikongsikan. Ilmu datang dari pelbagai cabang, antaranya melalui tiga keadaan utama tadi. Kemampuan manusia normal menyusun tutur kata bil-hikmah, mengatur perancangan, dan mencorak masa depan semestinya bermula dari tahu, tahu pula yang kita harapkan bersalut ilmu yang bermanfaat daripada seni peninggalan para ulama’.

Melalui laman puteraazhari ini, saya cuba memuatkan sesuatu berguna... mungkin tidak setanding kelebihan yang ada pada web hosting berbanding weblog. Antara saya cuba mengada Ruangan Diskusi (sila klik), tempat paling ideal buat para pengunjung laman puteraazhari mengemukakan sebarang masalah atau melontarkan pandangan masing-masing tentang apa sahaja. Forum percuma ini, tidak sesulit forum lain yang pernah saya cuba. Kalian hanya perlu nyatakan nama dan tajuk perbincangan, kemudian tulislah apa-apa yang patut bagi mengembangkan tajuk perbincangan tadi.

Masalah terbesar saya sejak dua tahun lepas, tidak dapat memberi tumpuan khusus kepada para pembaca yang menghantar e-mail bertali arus... boleh katakan dalam seminggu tidak kurang sepuluh pertanyaan yang butuhkan jawapan segera. Disebabkan jadual pengajian, kuliah, dan undangan selalu padat, maka saya lebih cenderung menjawab jika perlu dan mempunyai kelapangan masa. Oleh itu, sangat relevan bagi para teman di luar sana yang mempunyai sebarang masalah, atau apa sahaja yang ingin dikongsikan sebagai info tambahan seperti iklan, koleksi artikel bermanfaat agar dimuatkan di ruangan diskusi ini.

Di samping itu juga, saya berusaha untuk memuat-naik video (sila klik), sama ada dari youtube atau rakaman persendirian. Video-video ini mengcakupi siri-siri kuliah para masyaikh al-Azhar dan para ilmuwan lain, hiburan islami mendidik jiwa... melalui kerjasama para sahabat daripada krew islam4peace.net yang bersungguh-sungguh mewujudkan taman ilmu yang segar terus dari bumi anbiya’ ini. Kalian boleh meng-klik my video pada palang yang terletak di bahagian atas. Di sana kalian akan terus dihidangkan koleksi video yang dimuat-naik (upload). Kemungkinan juga akan ada siri video kuliah daripada saya sendiri sebagai penyampai, masih dalam perancangan pihak penerbit islam4peace.

Mudah-mudahan sokongan kalian yang tidak putus-putus kepada saya, akan terus menyuburkan keinginan saya menyebar-luaskan ilmu ke seluruh penjuru dunia, di mana Islam masih mampu dicapai dan sampai. Doakan segala perjalanan perancangan saya di masa hadapan (ameen)



Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Jun 23

Motivasi: Kita Lupa Kuncinya Taqwa








DUA tiga hari ini saya sibuk menjawab beberapa pertanyaan para pembaca yang tertunda sejak tiga minggu lepas gara-gara peperiksaan akhir semester. Sudah pasti peperiksaan menjadi keutamaan saya, kerana soalan ditanya adalah penentu pada nasib saya, masa depan saya. Kalian mengginginkan jawapan jujur dan ikhlas daripada saya, apatah lebih-lebih lagi pensyarah saya memerlukan perkara sama daripada saya juga. Fiqh Aulawiyat membolehkan saya ber-ijtihad mendahulukan keperluan diri sendiri.

Sebagai manusia kita kena yakin, kita tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Kesilapan kita bukan penyebab dan modal untuk salahkan taqdir yang telah tertakdir. Kita cepat sahaja melatah di sana dan di sini, seolah-olah takdir berat sebelah itu mengurangkan keimanannya kepada Tuhan Esa. Dia tidak pernah muhasabah apabila ditimpa musibah. Musibah takdir-Nya adalah kerana kita telah mentakdirkan diri kita sendiri menjadi seperti apa kita mahukan, atau mungkin ketidakperhatian dan peduli kita pada sebuah kehidupan penuh berpuaka ini.

Bagi orang mukmin dia harus beriman dan percaya, bahawa setiap apa yang berlaku adalah ujian di atas ujian bagi meng-update tahap iman kita. Pada satu masa kita begitu yakin beriman dengan Allah kerana kita terima modul iman secara teori. Kita baca kitab ini dan kitab itu, kita berasa aman dan yakin... namun kita tidak terlepas supaya mengimani perkara sama ketika ditimpa kesusahan. Kita masih beriman ketika ditarik hak merasai nikmat kekayaan, iaitu kita redha. Kita terus beriman walaupun diri tidak pernah diuji kepayahan dan kemiskinan, iaitu kita bersyukur. Bagaimana kita bijak menyesuaikan diri antara iman di balik teori dan iman di balik realiti (praktikal)?

Bertanyalah secara jujur..

Kalau kita masih berbelah bahagi antara redha dan pasrah, sebenarnya kita belum lagi beriman dan jauh sekali taqwa. Redha kita tidak pernah bersungut, memaki-hamun di setiap ujian Ilahi. Tapi pasrah belum tentu kita sunyi daripada dendam, ungkit mengungkit hal-hal yang telah berlaku walaupun secara tersembunyi.

Kita enggan dan malas.

Keengganan dan kemalasan manusia untuk mengoptimumkan keupayaan diri sehingga berjumpa kepada titik kelemahan menyebabkan kita tidak sampai kepada rasa wujudnya kuasa yang mengatasi segala-galanya iaitu Allah sebagai Tuhan Pencipta. Oleh itu, apabila kita sedar diri ini ialah hamba kepada satu TUHAN... kita akan merasai satu nikmat cukup besar, bahagia tiada kepalang. Dari sana juga muncul kemahuan hidup berakhlak mulia semahunya dan kasih kepada insan lain atas kepercayaan siapa juga jika mereka dicampakkan iman dalam diri, maka tidak ada yang lebih bahagia melainkan hidup bersama Ilahi.

Susah kita hendak mendidik manusia supaya benar-benar menjadi manusia. Jika mereka jauh dari sifat dan perwatakan manusia, maka sudah baik digelar haiwan. Kita pasti jijik meratapi setiap halaman akhbar tempatan, label jenayah sering kali menjuarai setiap helaian dan inci ruangan akhbar. Kes pembunuhan kejam, rogol dan perkosa, pecah rumah, judi bola sudah biasa, dan terbiasa. Ini semua hasil didikan halus golongan liberal, kristian dan orang barat untuk menghakis akidah secara senyap.

Jika diizinkan saya berfatwa dan bersuara terbuka, saya akan pastikan soal membesarkan anak-anak secara islami di era ini adalah wajib. Ibu bapa janganlah kalian memperbodohkan kelakuan anak-anak kerana bodohnya kita mengatur kehidupan anak-anak. Kalian tidak akan berasa rotan ialah satu jalan relevan lagi apabila anak-anak ‘pandai’ meniru kelakuan buruk kalian. Membesarkan anak-anak di zaman internet, facebook, myspace, PSP, iPod bukan lagi seperti kalian dibesarkan secara keras ketika era 70-an, 80-an dahulu, anda bukan sahaja diajak supaya menyuap makanan ruji ke mulut mereka untuk tumbesaran fizikal normal, malah meyuap juga ilmu dan islam ke dalam otak mereka untuk tumbesaran mental yang seimbang.

Kemajuan material tidak semaju spritual dalaman (iman). Kemajuan yang tidak terurus berjaya menjadikan masyarakat hampir menjadi robot dalam perkerjaan dan ritual dalam peribadatan.

Tidaklah khuatir sangat kerana ramai lebih selesa duduk berhujung minggu di rumah di hadapan internet, depan PSP ataupun depan kaca televisyen menonton filem kegemaran. Namun kesan pelajaran dan pemerhatian yang lahir dari aktiviti tersebut yang sangat merisaukan. Dalam segala aktiviti tersebut, termasuk pemerhatian alam, ramai muslim melihat tapi tak nampak, hanya kerana niatnya menghalalkan cara.

Mulakan daripada diri sendiri, lakukan perubahan dari bawah. Iman perlu disuburkan, bererti ianya perlu disirami, dibajai, dijaga setiap masa tidak kira waktu panas mahupun hujan, waktu senang kita mahupun susah kita. Taqwa ialah kuncinya.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): Bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan” al-Hasy (58:18)

Taqwa adalah kunci kejayaannya yang sebenarnya. Tunduk kepada PENCIPTA kejayaan, itu adalah jalan yang sepatutnya kita ambil. Bukan sahaja berjaya dalam medan duniawi, tetapi kita juga akan berjaya dalam medan ukhrawi. Berjaya di dunia dan akhirat.

Jika kita benar-benar berhajat untuk berjaya dengan kejayaan yang sebenarnya, maka kita perlu bina ketaqawaan kita. Itu sahajalah bekalan yang ada, perisai yang ada, senjata yang ada untuk kita bergerak merentasi kehidupan dengan baik, dalam keadaan kita kekal menjadi HAMBA, dan berjaya dalam semua medan yang kita ceburi di dalamnya.

Maka tunduklah kita kepada Allah Taala. Ikutilah perintah-Nya, dan meninggalkan larangan-Nya. Hayatilah ketaatan kita kepada-Nya, dan perhatikanlah keberkatan yang ada di dalamnya. Lurah didaki, lautan diredahi demi mencipta kasih kepada-Nya.

Paling penting, saya ingin mengingatakan diri dan juga para sahabat sekalian… jagalah hati, jagalah iman, jagalah sifat mazmumah yang menerjah dan melintas di sumur hati. Jangan biarkan dia singgah, jikapun singgah jangan biar ia berlama-lamaan. Bukan mudah mengaplikasikan hati dan diri pada prinsip; KITA HAMBA TUHAN.


Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal