PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Isnin, September 27

Mencari Yang Maha Satu






AIR hujan pada bumbung langit turun menjamah manja tanah gersang. Derapan kaki di dada bumi pula perlu dibesarkan mengimbangi kepantasan air hujan yang terjun mencuram, sebelum pakaian yang melekat di badan basah. Beburung tidak lagi kelihatan bermain di ruangan angkasa. Anak-anak berlari kecil memenuhi setiap ruang di ‘pinggiran’ tembok bangunan usang. Malam pula menyingsing di kala senja mengantikan siang.

Indah sungguh skrip yang terlakar pada hari tu. Hanya Allah Taala sahaja tahu dan mengerti cerita hati yang tersirat di sebalik babak ke babak silih berganti ini. Inilah sunnatullah, perjalanannya sudah ditulis.

Saya tidak pandai membaca tulisan alam, apatah lagi menggarap dalam tulisan manusia unik ini. Permainan ini akan tetap diteruskan sama ada manusia itu sedar atau tidak, berjalan seperti biasa, tidak menunggu pada yang terlambat.

Manusia berjalan tidak sesekali sama dengan manusia berlari, dan jauh pula untuk dibandingkan dengan manusia menderai kuda. Tiada persamaan di antara satu sama lain. Destinasi utama dijadikan idaman. Ada yang lalai dan masih lagi alpa dibuai ulikan dunia. Persiapannya hanya berbekalkan pertualan hidup sia-sia.

Benar siang tidak selama-lamanya, akan sampai jua masanya digantikan malam.

Usaha ke arah kebaikan bukan sahaja bergantung pada ingin dan tahu, malah pada pengalaman yang memandu. Pengetahuan isi luaran, bermain bersama persekitaran, membedah warna-warni isi alam, jatuh bangun bersama semangat ingin membaiki kelemahan. Inilah pengalaman yang berfungsi.

Pengalaman itu sendiri bukanlah guru. Pengalaman akan hanya menjadi guru apabila kita memproses pengalaman itu. Dapat dikenal-pasti hujung pangkalnya, kelebihannya, kelemahannya dan dirumuskan sebagai panduan. Adapun panduan itu tidak optimum kecuali apabila ia didokumentasikan.

Dokumentasi pengalaman yang saya harapkan ialah tepat dan jelas. Tepat sahaja, tapi kalau tidak jelas, abstrak, tidak praktikal akan menghilangkan nilai tepat itu tadi.

Apakah hanya apabila kita berada di dalam kubur, barulah kita akan tersentak (tersedar) dalam memahami apa sebenarnya hakikat hidup ini? Pada waktu itu baru kita faham dan akur tentang apa tujuan kita dihidupkan di dunia. Dan di situ jualah baru kita sedar apa yang paling bernilai dan apa yang tidak bernilai dalam hidup.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya (dengan keterangan yang tersebut), Kami memberi amaran kepada kamu mengenai azab yang dekat masa datangnya – iaitu hari seseorang melihat apa yang diusahakannya, dan (pada hari itu) orang yang kafir akan berkata: “Alangkah baiknya kalau aku menjadi tanah (supaya aku tidak dibangkitkan untuk dihitung amalku dan menerima balasan)” an-Naba’ (78:40)

Keadaan ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah Taala dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Kesedaran seseorang hamba juga terletak pada proses menyampai. Terpulang sama ada ianya datang daripada diri sendiri, atau orang lain.

Kita perlu merasai terlebih dahulu, kita terlebih memakan buah-buah (ilmu, pengalaman, dan buah fikiran) tersebut, bimbang kita memberi kulit buah sahaja kepada orang-orang yang mendambakan.

Biar kita merasai kemanisan dalam beribadat, ketenangan dalam melihat makhluk ciptaan-Nya, kelazatan ketika menyebut nama-Nya, perendahan diri secara mutlak tatkala sujud di hadapan-Nya. Tenggelam dan asyik dalam melihat-Nya. Jangan pula kita tenggelam dalam ego dan kemasyhuran yang menyebabkan kita terdinding dari orang yang diberi akan ilmu hikmah.

Berilah dengan ikhlas, dan terimalah dengan penuh redha.

Hikmah pula lahir dari proses mengeluarkan kesimpulan baik dari mehnah. Tersurat di sebalik tersirat. Ujian dunia didepani dengan bijak, dan disalurkan pada kebun nurani lembut. Bertahan di atas kesulitan.

Berunding lebih senang memahami hikmah, dari terus melulu menunding.

Dilihat secara keperluan modal, nilai harta jasmani (kewangan) yang diperlukan untuk usahawan perundingan adalah antara yang terendah di dalam perniagaan. Ini adalah kerana, perundingan mengambil harta intelek (keilmuan) sebagai bahan untuk dimuamalahkan.

Kalau berniaga dengan Allah Taala sekalipun kita mengharapkan elemen keuntungan, saya kira tidak ketara kalau dikatakan perniagaan sesama manusia juga mengharapkan elemen asas yang sama. Bukan keuntungan itu yang menjadi ukuran kita memulakan perniagaan, tetapi dapat bersama melaksanakan pertukaran bahan itu yang lebih utama.

Kalau perniagaan lama melibatkan pertukaran garam dan gula, tiada salahnya perniagaan kini melibatkan idea dan poket kita. Dalam pengurusan pertukaran tersebut, yang kita rujuk sebagai berniaga, sudah pasti sudah pasti pengurusan segalanya memerlukan sumber, berbentuk tenaga dan apa yang ada di poket kita.

Berapa banyak kita hendak mengautnya untuk kita yang akan menjadi ukuran kepada keikhlasan kita dalam berniaga. Membantu agama suci ini.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu” Muhammad (47:7)

Berniagalah kita dengan Allah Taala, dengan memberi dan terus memberi manfaat kepada manusia lain. Ketika proses memberi inilah, memahmudahkan jalan kita mengenali Tuhan yang mencipta, dari tiada kepada ada. Keuntungan perniagaan di saat ini kita perolehi, modalnya pula tiada dipinta.

Perhatikan alam terbentang luas dalam erti kembara mencari TUHAN.

Dialah Allah Taala, Tuhan Maha Besar. Maha segala-galanya.

ameen

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal