USAH bimbang duhai teman, kita hanya manusia biasa menunggu giliran untuk dipanggil bertemu Allah Taala. Pertemuan tersebut sama ada kita datang kepada-Nya sebagai kekasih, atau tersisih. Tersisih? Benar, tersisih dari rahmat Allah Taala untuk bersama para solehin, muttaqin, dan syuhada’ di dalam Syurga Allah. Dulu, kini dan akan datang kita adalah kita, tiada siapa akan ganti atau ambil alih tempat kita. Maka usah risau jika tangan kita asbab kita dihumban ke dalam api neraka, usah bimbang kerana kaki kita tidak pernah peduli melangkah sama ada ke tempat ibadat atau maksiat, yang ada ialah memuaskan hayat.
Namun, apabila sering gagal menjawab pertanyaan Raqib dan ‘Atib, barulah nak berubah, baru nak ingat Tuhan. Tuhan baginya hanya satu-satu masa, bukan setiap masa. Mudah sahaja menyebut istighfar, tasbih apabila terkena musibah tapi kita tetap mudah lupa untuk muhasabah. Bila business merundum, barulah mulut mula menyebut kalimah ‘ALLAH’. Aduh.. hipokrit dan munafiq. Soal ibadat solat merundum, puasa menurun, zakat dah bayar ke belum tidak pula ambil tahu.
Usah bimbang teman, kita akan dibalas dengan apa kita lakukan. Kalau di Syurga destinasi akhir kita, kita patut beristighfar kerana kita masih selamat dari dihumban di dalam Neraka. Kalau Neraka tempat paling layak bagi kita, maka bersyukurlah kerana itu kehendak kita di dunia dulu.
Corak hidup yang telah diciptakan oleh tangan-tangan manusia itu sendiri telah meletakkan mereka berada pada situasi yang berbeda-beda mengikut kemampuan menggunakan pencerahan ilmu dan akal yang sihat, di samping senantiasa mencari peluang untuk bersaing dengan arus hidup yang kian bergelora. Kejayaan melawan arus tersebut boleh dilihat dengan kehadiran rasa ketenangan, keharmonian, dan pencapaian maksimun dalam hidup, serta jauh sekali mengalami konflik walaupun kesenangan bukan sesuatu yang dikejar, kerana mereka ini percaya kesenangan harta boleh sahaja dicari di mana-mana corok, asalkan halal.
Berbeza pula mereka yang senang harta tetapi sengsara dan miskin jiwa... diri sentiasa bergelumang dengan maksiat. Mereka mampu membina atau membeli sebuah rumah besar, memiliki kereta mencecah jutaan ringgit, saham-saham yang sentiasa naik melambung tinggi, dan membuat pelaburan jangka panjang... tetapi mereka belum tentu bisa membeli sekeping hati, melabur hati pada sumur kebahagian, di mana sentiasa rasa tidak puas untuk berbuat amal, tidak jenuh untuk melakukan ibadat, menjaga pantang larang sebagai seorang pelabur baik di sisi Allah Taala. Inilah kegagalan manusia menilai, mudah sahaja terikut kehendak hawa nafsu yang buas.. tidak cukup dengan apa yang ada, terus haloba dengan apa yang tiada.
“Ustaz, saya mahu enjoy dulu... saya masih muda”
“Kau kena pastikan aku dapat tender projek berjuta-juta di Dubai secepat mungkin. Aku sanggup bayar berapa sahaja engkau mahu”
Pengembaraan saya ke seluruh pelusuk negara ketika di tanah air dahulu mengajar saya erti sebuah kehidupan yang lebih bererti kerana dapat mengenal dunia luar. Sangat berbeza dengan negeri, tempat tumpah darah saya ketika dilahirkan sehinggalah tamat sekolah menengah. Tepat sekali pepatah Melayu yang mengatakan:
“Jauh berjalan luas pemandangan”
Luas pemandangan dalam konteks mempelajari tentang baik buruk lakaran hidup, baik diambil sebagai teladan diri, buruk dijadikan sempadan. Kadang-kadang bila fikir tentang mehnah manusia ini, teramat sukar untuk diterima, ada semacam ingin marah tapi tidak terdaya, sesekali rasa kelakar pun ada. Mungkin ini dikatakan satu ibrah (pengajaran) bagi mereka yang benar-benar mengambil pengajaran dalam setiap pemerhatian pada sebuah eksperimen tidak formal ini... kemudian diterjemahkan dalam kehidupan.
Tahniah, kepada kalian yang sudah memilih jalan hidup. Masih ada masa untuk mengubah haluan, terpulang pada tangan menerpa, dan kaki melangkah.
0 komentar:
Catat Ulasan