PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Isnin, September 13

Membetulkan Persepsi Terhadap Isu Semasa







BANYAK hal yang telah merubah cara berfikir dan berpersepsi saya selepas mengalami tarbiyah islami dan konvensional secara bertapis, berlapik di sebuah sekolah menengah agama di kelantan; Maahad Muhammadi lil-Banin (MML). Kalau dulu saya seorang pendiam, suka menghabiskan masa seorang diri, serasa dunia ini sempit tiada lagi jalan untuk saya berpotensi. Kejayaan yang dikecapi di lapangan peperiksaan, tidak pula suatu kebanggaan kerana semua telah disempitkan.

Oleh itu, saya rasa tiada apa yang bisa dikongsi kerana dari low thinking tadi menyebabkan saya pesimis terhadap keadaan sekeliling. Belajar, makan, berjalan lebih suka melakukan sendiri, tiada berteman hinggalah bersosial pun saya lebih suka memilih untuk berkurung di dalam bilik. Apatah lagi untuk menegur seorang perempuan tidak dikenali, hatta kawan sekelas ataupun menjawab sapaan, lebih malu daripada seorang wanita perawan.

Maka saya dapati diri masih terkurung dengan paradigma lama, tidak boleh berpersepsi dengan baik. Apabila diri sedikit berubah hasil daripada tarbiyah tadi, barulah saya dapat menerima beberapa perkara yang dipinggirkan sebelumnya seperti kemahiran berkomunikasi, berfikir secara kreatif dan kritis, pemikiran tersusun dan terpandu.

Apabila tersedar, rupa-rupanya bila kita tersilap dalam menentukan hala tuju persepsi kita baik melibatkan masalah hukum semasa (Qodhaya Fiqhiyah Muasoroh), sosial, politik, dan isu-isu semasa, maka akan mengundang banyak masalah. Kita tidak mahu timbul istilah baru seperti mana telah dicetuskan oleh Sisters In Islam (SIS), dan beberapa badan NGO yang tidak berpuas hati dengan tafsiran al-Quran yang telah dibuat bertahun-tahun lama oleh para ulama’ yang mu’tabar. Kita juga tidak mahu seorang pemimpin yang memperlekehkan hukum Allah, hingga mengatakan hudud tidak sesuai di era ini.

Begitu juga masalah kritikal seperti isu Palestin yang sudah berlarutan sekian lama. Kesan terbesar daripada masalah ini ialah kepada orang awam yang lebih suka menyuap apa-apa yang dirasakan betul terus ke dalam mulut.

Manusia melihat apa yang dia mahu lihat dan siapa dirinya menentukan bagaimana dia melihat. Benar, ianya sudah pasti berkaitan paradigma dan persepsi kita dalam menilai sesuatu. Mungkin orang berpengaruh akan menggunakan persepsi dangkal untuk kepentingan kantung politik, dan parti masing-masing demi sebuah kuasa... tiada lagi pertimbangan akal sihat dan syariat.

ISU PALESTIN

Baru-baru ini kita telah dikejutkan dengan serangan tentera Israel terhadapat kumpulan bantuan kemanusia yang menuju ke GAZA dengan enam buah kapal laut yang sarat muatan makanan, alatan perubatan untuk disalurkan kepada rakyat Palestin. Malah muatan tersebut dirampas, manakala beberapa sukarelawan asing, terumata dari Turki mati syahid angkara tembakan membuta-tuli. Kita semua merasa sedih.

Tidak kira di mana jua umat Islam berada di seluruh dunia menyatakan bantahan masing-masing. Bendera Israel dibakar, demonstrasi dilakukan di kedutaan Amerika dengan laungan ‘maut’. Barangan buatan Amerika dan Israel dibaikot (walaupun ada sesetengah tidak tahu, bahkan lebih ramai) habis-habisan. Ianya berlaku selepas melihat inilah usaha terbesar selepas jihad al-Qital hampir mustahil berlaku, persepsi kita menentukan tindakan tersebut.

Saya tidak menolak sinis apa yang telah diusahakan, kalian berhak melakukan, tapi hasilnya bagaimana pula? Boikot, bakar bendera tidak merugikan apa-apa bagi melahirkan ketakutan kepada Amerika dan Israel. Ekonomi mereka tetap utuh, kekuatan mereka majin bertambah. Justeru, apa yang ingin saya sampaikan di sini ialah kita cuba mengubah paradigma dan persepsi dengan melihat isu ini dari kaca mata Islam.

Bagaimana?

Melihat isu Palestin sebagai isu kemanusiaan banyak manfaatnya, namun seperti yang kita dapat lihat ramai pula yang seakan-akan meminggirkannya sebagai isu agama. Hingga kita pula seolah-olah lupa keperluan terpenting dalam mendepani zionis dan kuncu-kuncunya.

Semasa sedang marak kesedaran untuk menunjukkan penentangan kepada musuh-musuh Islam ini, seruan perbaiki taqwa dan melengkapkan diri dengan ciri mukmin jarang disebut, terus terpinggir. Sedang, bagaimana mahu menang jika kita hanya menyiapkan strategi luaran walhal dalaman haru-biru. Benar inilah, Syarat kemenangan pembinaan tamadun Islam yang kita maklum dari berabad kurun menurut sirah salaf. Ringkas, semua aspek perlu berjalan serentak. Keutamaan tidak menafikan peranan.

Tanpa menolak perlunya DEMONSTRASI (beradab), BAKAR BENDERA dan BOIKOT dalam menzahirkan kepedulian kita kepada nasib saudara-saudara kita di Palestin... kembali kepada Islam sebenar tetap merupakan faktor terbesar untuk mengembalikan kemenangan umat Islam sejagat.

Bak mencantas lalang, tidak mencukupi dengan menebas bahagian yang tumbuh di atas tanah sahaja tetapi akarnya juga wajib dan patut dibuang.

Kita hanya menang sorak.

Di saat tentera zionis membantai umat Islam, apakah kita masih berjihad menentang hawa nafsu? Ketahuilah selagi kita masih bernyawa, selagi itulah JIHAD NAFSU tidak akan berakhir, sedangkan JIHAD SENJATA (al-Qital) hanya pada waktu tertentu dan tempat tertentu.

Kelemahan umat Islam ialah strategi yang terlalu konvensional sambil menunggu ketibaan burung Ababil untuk menjatuhkan batu-batu berapi bagi menghancurkan Israel. Kita percayakan kuasa Allah Taala, namun usaha kita biarlah adil pada keadaan. Berdoa tanpa usaha pada perubahan diri, saya lihat ianya hanya sia-sia belaka.

Semua yang skeptik untuk berdemonstrasi dan boikot itu bukan kerana tidak sayangkan agama dan saudara seagama tetapi kerana umat Islam seharusnya boleh melakukan lebih hebat dari itu cuma akal dan minda tertutup oleh emosi dan sentimen.
Bangkitlah wahai jiwa kental, kembalikan iman pada tahap tertinggi.

ISU SOSIAL

Masalah terbesar umat Islam di Malaysia gagal meruntuhkan berhala besar di dalam hati setiap manusia yang bernama Melayu. Gejala sosial tidak sihat tidak lagi dikira satu agenda besar dalam perancangan pembangunan modal insan. Cintakan dunia disuburkan saban masa. Tidak hairanlah setiap hari ada sahaja berita menyesakkan dada dipaparkan.

Lihat sahaja jenayah zina, rogol, buang anak, isu-isu dadah seolah-olah tidak berkesudahan. Saya tergamam seketika mendengar perbualan beberapa remaja belasan tahun ketika di tanah air dahulu, membuatkan saya hilang rasa hairan tentang peningkatan jenayah zina di kalangan pelajar sekolah. Bayi ditanam hidup-hidup telah mengembalikan era jahiliyyah Umar al-Khattab sebelum keislamannya. Isu al-Marhumah adik Safiyah Humairah masih hangat di dada-dada akhbar tempatan.

Pornografi, dadah, hiburan tanpa sempadan merupakan alat mengerakkan boneka-boneka umat ini. Aurat wanita yang terdedah seolah-olah menjadi kelaziman, semakin lama, semakin terdedah, seakan-akan perlumbaan menuju ke neraka, beratur dengan penuh sesak. Bila pandang mereka yang istiqamah berada di sof menuju ke syurga boleh dibilang sahaja.

Bagaimana pula 5-10 tahun akan datang? Tiada lagi rasa malu, hilang status dan gender yang disandang kerana mahupun engkau lelaki atau perempuan, tiada apa yang membedakan kita.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa-apa yang dialami oleh sesuatu kaum sehinggalah mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka” ar-Ra’d (13:11)

Tidak yang ramai isu dan masalah ini mengikut persepsi betul. Ubah manusia itu juga bukan ubah muka, warna rambut atau ubah warna mata. Ubah manusia itu adalah mengubah unsur utama yang membentuk tindakan manusia iaitu nafsu, akal dan hati manusia. Jelas firman Allah Taala di atas, perubahan hanya akan berlaku apabila kita bertindak mengubah faktor manusia.

MEMAHAMI MAQASED SYARIAH

Baru semalam pihak polis mengesahkan jutawan kosmetik terkenal tanah air; Allahyarhamah Sosilawati Lawiya dan empat orang lagi bersamanya dibunuh dan dibakar secara kejam. Pakar forensik membutirkan laporan lengkap melalui DNA dilakukan ke atas bangkai mayat dan debu di tempat kejadian. Sungguh tragis pengakiran yang perlu di hadapi oleh mereka, dan tiada siapa sangka hatta ahli keluarga terdekat mereka pergi dengan cara sedemikian.

Ramai di kalangan intelektual akan berbincang sesama mereka kaedah dan cara lebih relevan untuk menangani masalah sosial kritikal, solusi demi solusi dicadangkan, dibahaskan.

Sebenarnya kalau kita fahami apa itu maqasid syariah secara umum, kita boleh buat kesimpulan dan kompetensi apabila kita melihat dari sudut pelbagai termasuk politik, kerana hanya satu sahaja kita ingin capai iaitu kemaslahatan dengan tidak meninggalkan nas naqli di samping aqli sebagai penyokong.

Mungkin ramai yang masih keliru soal hudud, pelaksanaan dan relevan dilaksanakan dalam masyarakat majmuk. Mungkin di sana ada pelbagai cadangan, pandangan dan luahan dibuat baik di kalangan agamawan, cendikiawan, para intelek dan arang awam juga turut sama diajak untuk berpandangan.

Biarpun siapa, dan apa cadangan sekalipun, maka sudah tentu di sana setiap orang akan melihat pada maslahat sejagat, bukan hanya pada kepentingan peribadi atau mana-mana parti politik.

Bukan soal hudud dilaksanakan atau tidak bukan isu utama, tapi kaedah dan tindakan yang baik lahir daripada idea yang baik. Polisi bukan fatwa atau qadha’, justeru ia terbuka kepada check and balance yang sama seperti polisi yang lain. Apa yang kita mahu ialah menterjemahkan konsep-konsep yang ada dalam Islam seperti azimah, rukhsah, darurat dan cabang-cabangnya diolah menjadi polisi yang boleh diimplimentasikan secara standard, kena dengan keadaan semasa.

KESIMPULAN

Penyakit umat Islam khususnya muda mudi masa kini makin tenat, telah berada di peringkat lima.. paras kritikal. Tiada lagi rasa bersalah dan tersalah apabila terjebak ke dalam kancah maksiat dan sosial bebas. Hakikat ‘sakitnya’ majoriti umat ini adalah kesan dari apa yang telah Yahudi hidangkan, sediakan sepanjang tempoh yang menyedihkan ini. Sasaran mereka, tentu sekali golongan anak muda. hasil kerja mereka? lihatlah di sekeliling kita. Kajilah sejarah jatuh-bangun islam,nescaya kita akan menyedarinya. Tarbiyah adalah ubat yang mujarab untuk merawat sakit umat ini.

Memandang dunia sebagai ladang, maka dunia adalah masa bekerja. Akhiratlah kampung kerehatan untuk jiwa-jiwa yang percaya kepada-Nya. Inilah yang mampu menggerakkan seorang manusia, menolak dirinya untuk mengisi kehidupannya dengan sesuatu yang bermakna buat dirinya, dan juga orang lain.

Masa yang lapang kalau tidak diisi dengan sesuatu yang menuju cinta Allah lantas akan diisi dengan bisikan syaitan dan syahwat untuk melakukan sesuatu dosa dan lalai serta menjauhkan diri dari Sang Pencipta. Hilanglah sebuah tarbiyah yang dilalui tadi, hilang ditelan kehendak nafsu sendiri. Apa salah ketika ini kita berdemonstrasi meruntuhkan berhala-berhala di dalam diri yang lebih halus dan merbahaya. Mampu membunuh dalam senyap.


0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal