“EH... Kenapa kamu buang sampah di tepi dinding? Tong sampah ada di hadapan tu” tegur saya kepada seorang teman bangsa arab.
“Tak apa, ada yang kutip (merujuk kepada tukang sapu). Dah terbiasa, ramai yang buat” katanya sambil tersenyum.
“Habis tu kamu tidak baca ayat al-Quran dan Hadith yang ada menyentuh tentang kebersihan? Inilah padah bila mata hati buta, jauh daripada penghayatan” suara saya sedikit tinggi sambil menggelengkan kepala.
Di mana puncanya, kalau tangan manusia sendiri yang membinasakan ciptaan warna alam-Nya. Bila sudah jadi budaya orang ramai, susah untuk tunjuk baik, berbuih cakap apatah lagi mengubah sikap. Iman jauh dari hati…
Kalau kita rasa kesedaran dan kebenaran itu ada untuk menjaga alam sekitar, maka mainkan peranan kita di setiap penjuru masing–masing dalam menyelamatkan alam sekitar. Ia bukan hanya soal penjagaan kebersihan dan tidak membuang sampah di merata–rata, tapi soal lain yang merangkumi keseluruhan pengurusan alam sekitar itu sendiri, termasuk langkah pencegahan yang wajar kita lakukan.
Namun konflik alam sekitar ini tidak pernah selesai dari hari ke hari. Acap kali, bahkan setiap hari kita selalu di hadapkan dengan berita-berita kejayaan tangan-tangan manusia yang memusnahkan alam.
Isu penjagaan alam sekitar sebenarnya menentukan sejauh mana maju sesebuah negara tu. Malaysia masih dalam tahap dunia ketiga dari segi ini. Dan bukankah cara utama menyukat sama ada sesebuah negara itu maju atau tidak adalah melalui tabiat dan mentaliti rakyatnya? Selagi rakyat Malaysia tidak terkehadapan dalam isu alam sekitar (dan juga keselamatan jalan raya, kebebasan bermedia, dan sebagainya), selagi itulah tanah air tidak akan mencapai status negara maju.
Antara negara-negara Eropah, negara yang paling tinggi taraf hidup seperti Sweden, Norway, Finland, Switzerland, Jerman, Ireland, Iceland... memang mempunyai tahap alam sekitar kelas pertama.
Benarlah kata Saidina Umar ra; “Iman itu menaikkan taraf hidup manusia”
Jangan lupa, bahawa antara isu penting yang ingin saya ketengahkan di dalam artikel kali ini ialah isu penjagaan alam sekitar... juga adalah isu Islam, sama pentingnya dengan isu-isu yang lain seperti jinayah, riba dan sebagainya.
IMAN SEMPURNAKAN SYARIAT
Tidak dinafikan negara kita memang pesat membangun dari sudut material, dan sudah menyaingi pembangunan negara-negara maju di seluruh dunia. Bangunan-bangunan pengcakar langit pula memenuhi setiap ruang bandar di seluruh negara. Namun yang menyedihkan dan menjadi topik utama bicara saya ini, adalah kesedaran masyarakat kita terhadap penjagaan alam sekitar yang masih di tahap membimbangkan.
Bandar-bandar utama yang menjadi pusat tumpuan pelancong bertaraf dunia masih dibelenggu imej kotor sama ada di persekitaran bandarnya mahupun tabiat segelintir penjaja makanan yang dilihat boleh menjejaskan masa depan sektor pelancongan di negara ini.
Aspek kebersihan di negara ini semakin merosot kerana dicemari dengan persekitaran yang kotor khususnya di kawasan sungai, belakang bangunan dan sistem perparitan. Ini diburukkan lagi dengan tabiat penjaja tepi jalan dan pengusaha restoran yang kurang mengambil berat soal kebersihan... selain bangunan usang terbiar semenjak peninggalan pra-Perang Dunia Kedua.
Dalam menjalani kehidupan seharian, Islam mengambil perhatian yang sangat berat terhadap penjagaan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar kerana ianya berkait rapat dengan kesihatan dan kesejahteraan hidup manusia sejagat khususnya, dan keseluruhan kehidupan lain di muka bumi ini. Penjagaan kebersihan membawa kepada kesempurnaan iman sepertimana yang ditegaskan di dalam hadith baginda s.a.w.
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu dapat mengajak manusia kepada iman. Dan iman akan bersama pemiliknya di dalam Syurga” (Hadith Riwayat at-Tabrani)
Di atas dasar itulah tanggungjawab menjaga kebersihan dan kecerian alam persekitaran merupakan satu tuntutan yang tidak dapat dielakkan oleh setiap muslim, sama ada kebersihan tubuh badan, tempat tinggal, makanan, minuman, dan alam sekitar. Kebersihan alam sekitar melambang keperibadian muslim yang cukup tinggi dan merupakan salah satu cabang ibadah yang dititikberatkan dalam al-Quran dan sabdaan baginda s.a.w.
Allah Taala berfiman;
Bermaksud: “Sesungguhnya Allah Menyukai hamban-Nya yang bertaubat, dan menyukai hamba-Nya yang bersih” al-Baqarah (2:222)
Alam sekitar adalah pemberian Allah Taala yang diamanahkan kepada manusia menjaganya di samping dapat mengambil manfaat daripadanya dari sudut kesihatan dan keindahan pemandangan, yang lainnya mendidik jiwa menjadi tenang. Persekitaran yang indah, selesa dan selamat akan memberi peluang kepada masyarakat menikmati kualiti hidup lebih baik, sihat, produktif, dan berwawasan.
Islam juga mendidik umatnya supaya sentiasa memelihara dan menjaga kebersihan bumi yang kita diami dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan makhluk seluruhnya. Kita dilarang membuat kerosakan sesuka hati kerana khuatir akibat buruk itu akan kembali kepada kita semula.
Ingatkah kita pada satu peristiwa tragedi gempa bumi yang sungguh tragis telah berlaku pada tanggal 29 september lepas? Masih segar diingatan kita bila mana tragedi malang tersebut telah meranapkan ratusan rumah dan bangunan yang megah berdiri sebelumnya dan mengorbankan ratusan nyawa yang tidak berdosa. Apakah ini tiada kaitan dengan keperihatinan kita terhadap alam sekitar?
Apakah tiada rasa tanggungjawab kita untuk muhasabah di atas apa yang ingin disampaikan oleh Tuhan Pencipta melalui tanda-tanda kerosakan ini?
Dua hari lepas hati saya tiba-tiba resah menatap akhbar di semua laman berita, hampir semua berita yang sama dilaporkan. Apakah suatu bala atau peringatan daripada Tuhan? Tidak cukupkah menjadi bebanan pada akal untuk mengesan amarah Allah Taala di sebalik apa yang berlaku itu.
Adakah peristiwa ini bakal menjadi episod yang bermusim? Seperti yang pernah berlaku sebelum ini? Setiap kejadian dan tragedi yang berlaku saban hari, manusia jarang sekali mengambil iktibar. Bersungguh-sungguh mencari ‘salah siapa’, dan ‘apa puncanya’ tidak akan ke mana.
Jangan pula musim ini berakhir menyebabkan kita lalai sehingga bakal berlaku tragedi yang sama. Apapun, itu sebahagian petanda usia bumi makin senja. Tragedi seakan gempa bumi juga berlaku d mana-mana.
Hakikatnya semua yang berlaku mempunya hikmah di sebaliknya. Namun manusia yang kadang-kadang terlupa untuk kembali kepada fitrah semulajadi, lupa untuk berpaling kepada Pencipta. Semua ini adalah inzar daripada Tuhan Maha Esa untuk sama-sama kita kembali merenung dan berfikir.
Jangan bersenang dulu, kalau pasti nyawa kita sentiasa dipantau untuk dimatikan. Ingat walaupun sesaat.
Allah Taala berfirman;
Bermaksud: “Dia (Allah) menundukkan (memudahkan) bagi kamu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi (sebagai kurnia) daripadaNya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir” al-Jaasiah (45:13)
Sebagai orang yang beriman, kita sentiasa dianjurkan supaya memerhatikan keajaiban alam ciptaan Allah Taala dan hikmah di sebalik sesuatu kejadian yang menimpa dengan mata hati.
Apabila berlaku bencana besar pada alam ini, pemusatan fikiran kita bukan hanya kepada banyak mana kemalangan jiwa atau kerugian harta benda yang terlibat, malah pada sebab musabab yang membawa kepada bencana tersebut. Kita mungkin terfikir apakah bencana ini merupakan fenomena alam semulajadi atau ianya suatu bala yang ditimpakan ke atas manusia?
Ilmu manusia tentang rahsia alam amat terbatas. Melalui bantuan peralatan yang canggih mungkin kita mampu mengesan kelajuan angin, pergerakan awan, getaran bumi, ketinggian ombak dan lain-lain fenomena lagi. Namun, manusia tidak mampu menjadi ahli nujum kenapa angin bergerak pada kelajuan tertentu, kenapa bumi bergetar pada skala tertentu atau kenapa ombak bergelombang pada ketinggian tertentu. Persoalan kenapa ini tidak mungkin dapat dijawab kerana ia adalah urusan Allah Taala.
Allah Taala mengutus al-Quran untuk dibaca, diteliti, diambil pengajaran dan dilaksanakan. Kisah-kisah di dalam al-Quran ada menceritakan tentang beberapa kaum atau umat nabi-nabi yang terdahulu ditimpa bencana yang dahsyat sehingga ada yang terus berkubur bersama-sama tamadun yang mereka bina.
Kesan-kesan peninggalan yang wujud sehingga hari ini menjadi bukti kebenaran kisah di dalam al-Quran itu. Kaum Nuh di sekitar Iraq dan Mesir musnah dalam banjir dan ribut taufan. Kaum Luth di Sadum musnah setelah diterbalikkan bumi dan bertukar menjadi Laut Mati. Kaum Tsamud mati di dalam kota-kota yang dipahat di dalam bukit-bukit batu akibat bayu pembunuh yang dikirim oleh Allah Taala kepada mereka.
Bencana itu pula berlaku di hampir semua negara bermula dari China di utara hingga ke Australia di Selatan, di negara yang didiami umat Islam atau negara yang majoritinya bukan Islam.
Allah Taala tidak menyegerakan balasan ke atas kejahatan yang dilakukan oleh umat Muhammad. Balasan itu ditangguh atau diringankan supaya manusia sedar dan bertaubat. Adakalanya bala itu datang dalam bentuk kekurangan rezeki setelah mengalami kemarau, banjir atau penyakit tanaman, rasa takut dan gelisah, malapetaka seperti kebakaran, tanah runtuh, kemalangan jalan raya dan sebagainya.
Allah Taala berfirman;
Bermaksud: “Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu” at-Taghabun (64:11)
Bumi merupakan suatu planet yang amat kecil dalam alam raya yang dijadikan oleh AllahTaala. Di sana terdapat berjuta-juta bintang, bulan dan planet-planet lain yang sentiasa berputar dan berpusing mengikut putaran dan pusingan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala. Jika disifatkan bumi ini suatu benda yang hidup, sudah pasti setiap yang hidup akan mengalami proses penyesuaian diri dengan persekitaran untuk mewujudkan keseimbangan yang menjadi syarat kelangsungan dan ketahanan.
Setiap pusingan dan putaran itu tentulah memberi kesan kepada kehidupan. Jika pusingan bulan mengelilingi bumi dan peredaran bumi mengelilingi matahari boleh mengakibatkan pasang surut paras laut, gerhana bulan dan bintang dan lain-lain fenomena lagi, maka sudah tentulah peredaran seluruh bintang-bintang itu akan memberi kesan kepada keseimbangan alam ini. Di atas asas ini, maka fenomena yang terjadi kepada bumi ini tentulah mempunyai hubungkait dengan alam di luar bumi, cuma manusia tidak dapat mengesannya.
Semua pergerakan dan proses peyesuaian ini berada di bawah kuasa Allah Taala yang mencipta makhluk dengan fitrahnya sekali, seperti mana makhluk-makhluk yang lain, bumi mempunyai sistem atau sunnah (perjalanan) hidup yang telah ditentukan oleh Allah Taala.
Jika makhluk lain mengalami proses kelahiran, pembesaran, kematangan dan akhirnya kematian, maka bumi juga mengalami proses yang sama dengan caranya yang tersendiri.
Sungguhpun kita lihat secara zahirnya bumi tidak bergerak atau membesar, namun ia mengalami proses hakisan, luluhan, perubahan kepada struktur batu batan terutamanya semasa letusan gunung berapi atau gempa bumi berlaku dan kemendapan. Keadaan-keadaan ini memang telah ditetapkan oleh Allah Taala dan tidak berlaku dengan sendirinya.
Perbuatan manusia-manusia yang rakus dan tidak bertanggungjawab turut menyumbang kepada wujudnya keadaan yang tidak selesa kepada kehidupan masa kini. Pada masa sekarang, kita merasa bahang kepanasan apabila hutan-hutan ditebang, bukit bukau digondol, sumber air dan udara dicemari dan sebagainya.
Allah Taala berfirman;
Bermaksud: “Telah timbul kebinasaan (kerosakan) di daratan dan di lautan angkara tangan-tangan (kerja-kerja jahat) manusia sebagai suatu balasan terhadap apa yang mereka telah lakukan,supaya mereka kembali pada jalan yang benar” ar-Ruum (30:41)
ISU-ISU DALAM QURAN
Allah Taala menciptakan manusia di atas satu konsep yang cukup penting supaya perjalanan hidup semasa di dunia dipandu oleh satu sistem yang menjamin masa depan mereka agar tidak terus alpa kerana akan tiba suatu saat kelak, mereka pasti dijemput untuk menerima buku amal catatan dan pembalasan di atas apa yang mereka kerjakan.
Konsep menyembah (dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang) dan bertindak sebagai khalifah di muka bumi merupakan dua agenda penting yang harus dipikul oleh manusia sebagai suatu amanah besar dalam kehidupan yang sementara ini, dan bukan untuk berseronok semata-mata. Bahkan manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini sahaja, tetapi mereka dijadikan untuk kehidupan yang kekal abadi, iaitu di akhirat.
Apabila kita memperkatakan tentang Islam sebagai sistem hidup yang lengkap, sistem itu bukan hanya pada undang-undang. Manusia tidak boleh hidup di dunia ini jika mereka hanya dihidangkan dengan undang-undang.
Manusia perlukan air yang bersih, mereka perlukan udara yang bersih. Di sisi pendidikan yang baik dan undang-undang yang menjaga.
Tidakkah di dalam al-Quran dan as-Sunnah itu penuh dengan arahan memelihara alam sekitar? Tidakkah kita perasan betapa kaedah membina rumah pun, diperincikan oleh syariat. Ketinggian bangunan jangan sampai menyekat cahaya matahari dari rumah jiran. Bagaimana saluran air longkang patut dialirkan dalam hal penggunaan tanah jiran dan tanah awam?
Semua itu ada di dalam Islam. Dan ia sebahagian daripada Islam sebagai sistem hidup yang diperjuangkan. Maka perjuangan Islam dan dakwah tidak boleh terhenti setakat leteren terhadap hal-hal yang bersifat konsep dan retorik. Penjagaan alam sekitar mesti diterima sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad di jalan Allah.
Pada saya, pencemaran alam adalah berkala dengan pencemaran Islam. Jika alam di sekeliling kita terus tercemar, air diniagakan hingga mencetuskan kesusahan, rumah terus kotor dan halaman seperti kediaman Yahudi sebagaimana yang diingatkan oleh baginda s.a.w, maka Islam yang dilaungkan hanyalah retorik yang kosong.
TERLETAK PADA IMAN
Saya tidak akan sekali-kali memisahkan kepentingan teori dari kepentingan amal. Beramal tanpa teori dan buku, akan terdedah kepada kesilapan yang dungu dari pembetulan. Teori dan buku tanpa amal akan terdedah kepada kedunguan kerana asyik dengan perbuatan nak membetulkan.
Saya terbaca satu artikel karangan Edward d. Bono di sebuah laman website. Manusia kadang-kadang berpuas hati dengan hanya mengetahui tajuk (hal pokok) sahaja, tanpa mengalami sendiri suasananya. Sebagai contoh hujan, bila ditanya mengapa basah? Maka dijawab seorang lagi kerana hujan. Jarang manusia yang suka bertanya bagaimanakah terjadinya hujan itu kepada orang yang basah? Bolehkah saya jadikannya sebagai analogi? Ada segelintir yang begitu seronok dengan nama-nama ilmu tetapi gagal dari sudut aplikasinya.
Untuk tidak mengulangi kesilapan terdahulu, pembacaan dan penelitian perlu diadakan sebelum perlaksanaannya. Justeru itu, perancangan ini berjalan dengan lancar. Ia ibarat muhasabah kepada diri, orang mukmin sukar jatuh kali kedua ke dalam lubang yang sama. Teori dan praktikalnya juga amat penting. Seimbangkan kedua-duanya, insha-Allah ada sesuatu yang baik daripadnya.
Akhlak luhur membentuk modal insan.
Membinakan seorang insan yang soleh jauh lebih sukar dari membina sebuah bangunan yang hebat. Pembinaan bangunan terjamin lancar dan berjaya jika cukup kepakaran dan dananya. Pembinaan manusia belum pasti berjaya dengan kepakaran paling hebat dan kewangan yang melimpah-ruah, bahkan mungkin memberi kemudharatan. Mendidik seorang anak memerlukan perhatian, ketekunan, kesabaran dan kesungguhan yang tinggi oleh insan bernama ibu dan bapa. Memang ianya sukar dan meletihkan. Kalau tidak kerana limpahan naluri kasih sayang yang Allah semai di hati si ibu dan si bapa, mungkin tiada ibu dan bapa yang sedia menjaga dan mendidik anak, maka cukuplah sekadar melahirkan.. dan dibuang di mana-mana dirasakan perlu, di tepi tong sampah, di atas tangga-tangga masjid, di tepi kaki-kaki lima bangunan. Pilihan mudah di tangan manusia. Tapi bukan mereka mahukan itu, tapi sebuah keredhaan Ilahi selepas mampu menjaga amanah pemberian-Nya.
Jika dilihat senario kehidupan masyarakat kita pada hari ini, sungguh menyedihkan. Keruntuhan akhlak yang amat membimbangkan. Anak-anak muda sekarang sudah luntur adab sopannya, di mana pada masa dahulu kita merupakan bangsa memiliki kesopanan yang tinggi. Hinggakan jika nak bergaduh pun ada pokok pangkalnya kenapa, dan mengapa bergaduh. Kepada siapa hendak dipesalahkan. Samseng jalan raya, sudah melampau-lampau. Jika pergi ke sesetengah kaunter pertanyaan di pejabat kerajaan, layan macam tak layan... jika silap hari bulan kena marah pula. Jika menaiki bas atau komuter, dah tidak tahu memberi pertolongan kepada yang memerlukan. Di sekolah, murid-murid bercakap dengan guru tiada berlapik, main ‘hentam keromo’. Tidak kurang juga dengan guru-guru yang mengajar terjerit-jerit macam tarzan.
Ramai yang bercakap tentang Islam, dan berimej Islam tetapi tidak sama dengan akhlak yang dituntut di dalam Islam. Berkopiah sana sini, bertudung labuh tapi masih memfitnah, memaki hamun, mengumpat, mengeji, menghina, cakap besar, bangga diri, sombong dan macam-macam lagi. Tak semua saya maksudkan, namun ada segelintir daripada kalangan mereka belajar akhlak, tetapi diri tidak berakhlak. Saya cukup kagum dengan masyarakat Barat yang tahu tentang erti etika, sangat menghormati antara satu sama lain... bahkan tetamu (sebagai pelajar) atau pelancong yang datang benar-benar dilayan hingga cair hati kita.
Isu akhlak sering diperkatakan namun jarang dihayati, masyarakat kita kekadang kerap menuding jari apabila isu akhlak Melayu Muslim diperkatakan. Kritikan dan pelbagai tohmahan sering diberikan, tanpa orang yang menuding jari itu cuba untuk membantu, at least menyatakan kaedah atau jalan penyelesaian. Orang kita kerap mengambil langkah berdakwah dengan hati, pendekatan selemah-lemah iman.
Kebanyakan orang-orang kita hari ini, meletakkan nilai dan ruang moral masyarakat kita semakin meruncing. Kita suka mengkritik apa yang kita tak suka dan memuji serta menyanjung apa yang kita lihat suka dan baik di pandangan mata. Kita gagal mengkaji dan memperbaiki nilai yang tidak baik ini, kerana orang Melayu suka mengikut dengan budaya lain, selain menghayati nilai yang ditinggalkan para oleh anbiya’ dan ulama’ kita terdahulu, atas alasan itu semua ketinggalan zaman. Islam, adat dan budaya meninggalkan kita dengan seribu satu kebaikan. Kaya kita sebenarnya, kerana status sebagai Melayu Muslim. Tapi kita miskinkan diri kita dengan sikap kita yang masih lagi kebudak-budakan.
Menghargai kemodenan Barat mencemuh nilai budaya bangsa, perlu juga diperhatikan. Bukan tidak boleh, tapi biarlah ada pengubahsuaian dalam adat-adat ketimuran kita. Jika tidak, hasilnya Melayu Muslim hilang maruah dan identiti... hinggakan bangsa dan agama lain menindas kita sebagai bangsa dan agama yang rendah martabat dan nilainya.
Dalam ibadah kita, sebenarnya terkandung banyak nilai-nilai akhlak yang ditanam secara halus seperti ibadah solat. Kalau kita perhatikan, di sana kita diajar setiap hari lima waktu supaya belajar menepati masa, berterima kasih, tawadhu’, tidak kotor, tenang dan tidak gelabah, fokus, dan menolong orang lain (doa). Maksud saya, sebenarnya jika ibadah yang kita lakukan bukan sekadar ritual, tapi kita memahami setiap gerak-geri kita, maka akan terlatihlah akhlak dalam ibadat, bukan sahaja menunggu ibadat solat sahaja, namun pelbagai lagi dari ibadah biasa-biasa yang boleh menjadi luar biasa.
Justeru itu, orang-orang yang soleh sangat tenang dan akhlaknya dipuji. Perbezaan saya nampak, kita dengan orang Barat ialah mereka dilatih melalui budaya tetapi kita dilatih melalui ibadat. Mana yang lebih baik? Mesti kita, tapi kita terlalu lemah melalui sisi tersirat daripada tersurat.
Ibadat itu proses, tetapi output padanya (akhlak mulia) yang tidak nampak. Segala nilai akhlak yang dinyatakan di atas hanya sekadar menunaikan rukun solat sahaja, tetapi malangnya di luar solat tabiat kita serta-merta berubah. Jadi, itulah yang memerlukan latihan. Di antara fahaman dan amalan juga terdapat perbezaan yang ketara. Kalau bukan untuk lulus peperiksaan, segala hafalan dan bacaan mengenai sifat mahmudah akan dilupakan, dialpakan dari melakukan segala amalan akhlak yang mulia itu.
TANDUS AKHLAK
Kalut melihat majoriti masyarakat kita yang tandus akhlak. Saya pernah berhadapan dengan satu situasi, menumpang kereta rakan yang umurnya dua tahun lebih muda. Sewaktu turun dari kereta, saya telah ucapkan terima kasih. Jawapan yang saya terima,
“Hai, dah terlebih sivik ke? Dah sampai turun aje la”
Hal ini walaupun nampak bersahaja, mungkin bersalut gurauan tetapi terkesan di hati. Bayangkan pula hal-hal yang lebih besar dan lebih rumit. Majoriti masyarakat hari ini akhlaknya tidak selari dengan ilmu yang mereka ada. Kadang-kadang berakhlak di hadapan orang yang tidak berakhlak, ada waktunya memberi tekanan kuat kepada diri saya.
Kesian pula lihat adik-adik kita yang mengikuti Akademi Fantasia. Niat mereka bagus sebab hendak bantu keluarga, belajar muzik. Namun, lebih kesian sebenarnya generasi muda ramai yang tidak memahami Islam dan jauh dari sakhsiah Islamiah, serta menghalalkan pergaulan bebas. Itulah kecelaruan yang berlaku masa kini. Begitu juga dengan artikel Sisters In Islam (SIS) yang mengutamakan pakaian takwa di dalam hati, dari memakai tudung yang menutup aurat. Patutlah kenapa Rasulullah s.a.w ada menyatakan bahawa orang yang paling dekat dengan baginda di Akhirat nanti adalah orang yang paling baik akhlaknya.
Sikap sesetengah masyarakat Barat boleh diteladani, mematuhi segala etika dan undang-undang yang diwartakan demi kemaslahatan umum. Penerimaan mereka cukup baik, tiada masalah walaupun rasa cerewet pada permulaan, namun hasilnya mereka bisa menikmati kesenangan dan kesejahteraan. Mematuhi undang-undang jalan raya menjadi keutamaan, pemandu atau pengguna jalan raya akan menjaga keselamatan masing-masing, hatta mereka ini akan memberi laluan kepada pejalan kaki untuk menggunakan hak jalan raya. Maka kalau mereka memandu, pasti berhenti di lintasan zebra. Pejalan kaki adalah raja, nak melintas cuma pastikan kenderaan tidak terlalu laju sahaja, selepas itu lintas dan pastinya kenderaan pelbagai jenis akan berhenti untuk memberi laluan, tiada pekikan suara hon di sana sini tanda protes.
Di Malaysia agaknya menunggu ke malam sahajalah baru jalan lengang. Maka dibina jejantas berjuta-juta harganya untuk memudahkan golongan ini, kerana apa? Bimbang jika dibiarkan melintas jalan akan ada berlakunya kemalangan sebab kenderaan semuanya laju-laju. Sekadar perbandingan akhlak dan disiplin masyarakat yang jelas terasa. Kita sering mengelak mengajarkan akhlak kerana malu kita sendiri yang membuat silap. Akhirnya semua diserahkan pada common sense masing-masing. Soal akhlak dan disiplin bukan dipelajari dalam buku sahaja, ianya mesti dipratikkan dan bisa terkesan daripada orang di sekeliling.
Teringat masa sekolah rendah dulu-dulu, cikgu kata tidak boleh buang sampah merata-rata. Nanti menyusahkan orang lain. Simpan sampah tu di dalam kocek, jangan buang selagi tidak jumpa tong sampah. Alhamdulillah, bermula dari situ kami cuba amalkan apa yang cikgu pesan. Tapi terkejut dan sedih juga, bila lihat di luar sekolah, ramai sahaja yang tidak dengar pesan cikgu rupanya. Lagi sedih, bila yang tidak dengar cakap cikgu tu, terdiri daripada ibu dan ayah budak.
Bab akhlak disentuh dalam ilmu tasawwuf. Kerana itu, Imam al-Ghazali bersusah payah mengarang kitab-kitab yang berkaitan dalaman manusiawi (hati) agar umat manusia kembali kepada ad-deen yang sebenar. Tapi sayang, kitab Imam al-Ghazali tidak pernah dijadikan sebagai silibus di sekolah-sekolah dan universiti. Paling kurang pakai untuk diri sendiri. Kitab yang mudah dihadam seperti komek, cepat pula dibaca, dihadam.
Bagi yang sudah bergelar seorang ibu dan mempunyai anak yang ramai dan bekerjaya, cabaran untuk memastikan akhlak diri terpelihara dan anak-anak mencontohinya terasa begitu hebat dan perlu menyahut cabaran psikologi (hisiyyah) ini, dan perlu berperang dengan media-media yang berleluasa tanpa ada tonjolan nilai-nilai akhlak terpuji. Mengadakan usrah keluarga dan pembacaan sirah rasul, para sahabat dan para ulama’ silam perlu diberi penekanan daripada ibu bapa.
Kekadang menjadikan anak-anak ini terkejut dan tidak tahu macam manalah in the real world untuk diamalkan, sebab sudah susah hendak jumpa amalan akhlak mulia ni. Kalau ikutkan, patutnya ada revamp dalam pengurusan Kementerian Penerangan pada media di tanah air, skrip drama, siaran radio dan televisyen mahupun iklan. Malah tuturbahasa dan gelak ketawa pengacara perlu ada tapisan oleh badan tertentu sebelum disiarkan, sebab dari semua inilah generasi kita menirunya.
Kiasan ‘Pokok berbuah’ memang kena pada menerangkan ketiga-tiga (iman, amal, dan ehsan) rukun yang membentuk Islam. Memang hasil yang dipelukan ialah buah yang lebat dan berkualiti tinggi. Tidak ada makna kita menanam pokok sekiranya ia tidak mengeluarkan hasil, kalau buah yang diharapkan, maka buahlah yang sepatutnya menjaga hasil dan kalau daun yang diharapkan (seperti sayur) maka kita mengharapkan sayur yang menghijau yang dapat membantu dalam menjaga kesihatan manusia. Tetapi ada juga pokok yang kita tidak harapkan buahnya atau daunnya, tetapi batang kayunya, untuk bermacam kegunaan bahan binaan, tidak kurangnya sebagai kayu api. Ini perlu kepada usaha yang menyeluruh.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah berpesan; “Kami tidak beri ikan untuk kamu makan, tapi kami beri kamu kail untuk kamu cari makan”
MUHASABAH: CERITA HATI
Bening hati melihat kebesaran Allah Taala, melihat ciptaan kejadian makhluk yang teramat unik. Alam terbentang luas tanpa hadir rasa pertelingkahan pada sebuah sunnahtullah, semua akur pada takdir dengan memberi ikrar taat setia. Setiap saat dan detik memperagakan aksi tersendiri, seolah-olah telah lama menekuni sebuah skrip dan dialog drama, tiada rasa kaku dan kekok padanya tika beraksi di hadapan layar dunia, cukup indah.
Alangkah indahnya jika setiap saat dalam hidup kita dapat dilalui dengan perasaan bahawa diri ini, sering diperhatikan. Melindungi diri daripada melakukan kesilapan yang kelak akan dipertanggungjawakan di hadapan Tuhan. Utaian manik luhurnya akhlak menghiasi diri seperti bintang-bintang menghiasi cakerawala. Namun, mesti lebih indah, kalau setiap masa dan ketika kita diperhatikan dan dapat memerhatikan Allah Taala.
Terlalu banyak cabaran dalam hidup ini. Kadang-kadang tanpa kita sedari, kita lupa dan alpa, bahawa Allah Taala juga yang sebenarnya memberikan halangan itu, supaya kita check balik, dan perbaiki kelemahan diri. Kita bersetuju, setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Menekuni hikmah, serta bersedia belajar sesuatu selepas itu, kewajaran yang tiada taranya. Kita bersedia untuk berubah dan mengubah keadaan. Tidak akan berlaku buat kali seterusnya.
Babak Pertama
Anda sedang berjual di sebuah gerai di Pasar Tani. Ramai orang melintas gerai anda, menoleh dan terus berlalu tanpa membelek, apatah lagi membeli. Tiba-tiba datang seorang ke gerai anda dan dia berkata;
“saya tak suka barang awak sebab cara awak susun memeningkan saya”
Anda mungkin terkelat-kelat muka, tetapi anda faham komen tersebut, dan boleh mengambilnya sebagai pengajaran dan cabaran untuk meningkat maju.
Tetapi bagaimana kalau ketika anda sibuk melayan pelanggan. Tiba-tiba datang seseorang ke gerai anda dan terus berkata;
“saya tak suka barang-barang awak”
Kemudian dia terus pergi meninggalkan anda terkulat-kulat keseorangan. Apakah yang akan terjadi kepada diri anda ketika itu? Rasa ingin berubah kerana orang tidak suka mungkin tidak kesampaian, kerana diri tidak pernah tahu, dan mengerti di manakah kelemahan yang dimaksudkan tadi.
Walau dalam keadaan apa sekalipun, jangan biasakan diri untuk mematikan idea orang lain tanpa memberi alternatif kepada idea tersebut. Beradabkan lebih baik, dan tidak punya masalah.
Babak Kedua
Bagaimana dengan seorang insan yang bekerja sepanjang hari, hingga hampir tiada kerja yang perlu dilakukan. Oleh kerana tidak suka membuang masa, beliau lebih gemar habiskan masa dengan melayari internet. Hanya menunggu telefon berdering, dan satu dua pekerjaan yang dilakukan setiap hari. Sekiranya ada tugasan pasti akan dibereskan sebaik mungkin.
Setiap kali ada kursus dan sebagainya, beliau tidak pernah claim perjalanan, overtime dan sebagainya. Ini adalah untuk recharge semula dengan apa yang dipakainya semasa di pejabat. Beliau cuba untuk tidak menggunakan telefon pejabat, sebaliknya. Namun hati manusia sering berbolak-balik, sesekali terbabas juga gunakan telefon pejabat untuk menelefon ke pejabat kerajaan atas tujuan peribadi.
Itulah, dalam beringat kita pun kadang-kadang memang terbabas atau membabaskan diri. Ada juga terfikir untuk kerja sendiri supaya hasil yang diperolehi adalah bersih dan lumayan. Terbabas dalam konteks menjaga kepentingan bersama, tidak menjadi suatu masalah, tapi andai untuk menjaga kepentingan peribadi, kena-kena beringat sedikit. Kalau baik tidak mengapa, namun kita sering mengundang hal-hal sebaliknya.
Kesimpulan
Namun ingat, sekali anda terbabas leka melakukan maksiat, CCTV Allah Taala tidak pernah sirna atau leka seperti anda dari terus memerhati gelagat buruk kalian. Matlamat menghalalkan cara, bukan itu caranya.
Indahnya hidup kita bersama Ilahi, namun andai kalian tahu kerana kita hanya manusia.. tiada siapa lagi kita perlu menjaga kalau bukan menyempurnakan hak Allah Taala di atas kurnian penghidupan ini. Ingatlah! Kerana Engkau Hanya Manusia.
2 komentar:
salam..
syukran ustaz di ats ilmu yang dikongsi..
betul..'cctv' Allah ada di mana-mana..aplikasikn konsep ihsan dlm diri kita..
moga dapat terus berusaha mncari redha Allah..
insyaAllah..
Salam,
mohon izin untuk save image wanita tua solat di atas, smoga diperbolehkan
wassalam :)
Catat Ulasan