ENGKAU kilauan Islam, nur suluhan silam. Engkau dilahirkan dalam sebuah kepayahan sebelum takdir membenarkan kebahagian dalam dangkapan mutiara Kalam Ilahi. Ibumu berperang membesarkan amanah tunggal sesekali diri jua diusik penyakit ketumbuhan pada bahagian perut tahap kritikal, namun si ibu redha dan cekal kerana amanah ini tidak akan dibiarkan musnah dan punah ditelan mainan dunia.
Baraah dibesarkan dalam keluarga yang penyayang. Dia sempat melihat dan mengenal kedua ibu bapanya dicintai.
Wahai teman, ada sesuatu ingin saya sampaikan dalam artikel kali ini, ianya hanya sebuah kisah teladan. Kisah benar ini saya perolehi daripada seorang teman serumah, ahlul bayt; Ustaz Tridiwiyanto ketika kami sama-sama menikmati hidangan makan malam. Sambil mulut menatap lauk-pauk menu dari Jawa Timur, telinga pula menangkap kemas setiap bait kalam seorang anak kecil datang dari corong speaker komputer. Di saat itu juga, hati saya jatuh cinta pada kelunakan suara kanak kecil itu, air mata bah di birai mata.
Ustaz Tri yang perasan air muka saya, cepat-cepat mematikan lamunan kecil. Beliau memberi tahu serba sedikit latarbelakang Baraah si anak kecil.
Baraah merupakan anak kelahiran tempatan, Mesir yang berusia 10 tahun. Keistimewaan anak ini ialah dikurniakan daya ingatan kuat kerana dalam masa 3 tahun sahaja beliau mampu menghafal dan mengingati 30 juzu’, satu al-Quran. Baris ke baris, ayat ke ayat, surah ke surah dihadam satu persatu dan tajwid tiada cacat cela. Ibu dan bapanya merupakan tulang belakang bakat ini digilap dan digunakan sebaik mungkin.
Bayangkan, bagaimana pula keadaan anak-anak seusia Baraah ketika ini. Bagaimana peranan yang telah dimainkan oleh para ibu bapa. Mungkin ramai yang menghabiskan masa menonton rancangan televisyen kegemaran seperti Spongbob, Bugs bunny, dan Power Rangers. Mungkin ramai kanak-kanak seusianya lebih suka bermain PSP, mengumpul koleksi permainan. Dalam hal ini anak-anak tidak salah kerana mereka memang macam itu, mudah terikut-ikut... tapi malangnya kerana si ibu bapa anak-anak ini kurang peka, tanggungjawab diserahkan kepada orang gaji, akhirnya anak-anak memilih jalannya sendiri tanpa perhatian oleh ibu dan bapanya.
Namun sedikit berbeza apa yang dilalui oleh Baraah. Dia sejak dari kecil lagi disogok oleh kedua ibu bapanya dengan Kalam Wahyu, setiap inci detik masa dihabiskan untuk menelaah dan membedah isi kandungan al-Quran. Walaupun hidup mereka tidaklah terlalu kaya, tapi mereka lebih selesa hidup bersederhana seperti jiran-jirannya yang lain.
Pada suatu petang ibu Baraah sempat berpesan kepada puterinya yang satu ini tatkala dirinya merasakan sudah sampai masa kehidupan beliau di dunia akan berakhir, bersiap-siap untuk perjalanan panjang sesudahnya. Ibunya berkata;
“Duhai anakku Baraah, sudah sampai waktunya aku meninggalkan kamu pergi buat sementara waktu cuma. Harapanku agar kamu benar-benar menjadi anak solehah. Solehahnya kamu kerana kelebihanmu memahami Kalam Allah, dan diulang setiap masa hingga kamu sanggup jadikannya sebagai makanan harianmu, teman di sisimu, dan kekasih yang kamu rindui. Kerana aku pasti Dia maha adil untuk pertemukan kita di alam abadi nanti”
Disebabkan kondisi ibunya makin parah. Ibunya terpaksa berpisah tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada Baraah dan isteri kepada suaminya kerana terpaksa ditahan di hospital atas sebab penyakitnya di tahap kronik. Hampir setiap hari, selepas pulang dari madrasah ad-diniyah, Baraah akan menjenguk ibunya di hospital, dan perkara sama yang dibuat oleh Baraah ialah memperdengar bacaan suci al-Quran di hadapan ibunya dan di setiap kali itu jua air mata ibunya menitis, tanda syukur dan puas di atas kurnian permata seperti si Baraah.
Suatu hari pihak hospital menghubungi bapanya supaya datang ke hospital kerana isterinya sudah tidak sedarkan diri. Dalam serba kekalutan, ayahnya bergegas mengambil Baraah di madrasah untuk sama-sama menuju ke hospital, tapi tidak pula si ayah memberitahu perkara sebenarnya bimbang Baraah merasa kesedihan di atas kondisi kritikal ibunya. Namun apa yang diberitahu, kemungkinan ibunya sudah sampai masa untuk pulang beristirehat di rumah. Baraah sedikit tenang.
“Baraah anakku.. kamu tinggal di dalam kereta sahaja, biar ayah sahaja menjemput ibumu” suara ayahnya tersekat-sekat, air mukanya nampak resah.
Ketika dalam keadaan kekalutan, ayahnya cepat-cepat keluar dari kereta dan menuju ke pintu utama hospital. Tidak sempat dia berjaya melintasi jalan di hadapan hospital, tiba-tiba kereta yang laju datang dari arah sisi. Ayahnya dilanggar dan tidak sedarkan diri. Mata Baraah terpina-pina melihat detik mencemaskan itu betul-betul berlaku di hadapannya. Kemudian pihak hospital mengesahkan kematian ayahnya. Ketika itu, apalah sangat perasaan si anak kecil seperti Baraah melainkan menangis teresak-esak sedih di pangkuan jenazah ayahnya.
Tidak sampai satu jam pula, si Baraah menerima berita hiba yang kedua bahawa ibunya pula mengikut jejak langkah ayahnya bertemu Allah Taala. Bertambahlah kesedihan Baraah, tiada lagi insan yang sudi menemaninya di kala sunyi, tiada lagi mereka yang selama ini banyak memberi sumber kekuatan.
Kemudian, tidak berapa lama beliau dijaga oleh saudara arwah ibu dan bapanya. Baraah pula dikesan penyakit yang sama seperti dialami oleh arwah ibunya, ketumbuhan di bahagian perut. Tiada kerisauan yang terpancar di rauk wajahnya, sentiasa tenang saat dikhabarkan berita sedih ini. Inilah jawapan Baraah selepas diajukan khabar oleh saudara-saudara arwah ibu dan bapanya perihal natijah pemeriksaan kesihatan ke atasnya;
“Alhamdulillah.. saya bersyukur kerana ini merupakan ‘hadiah’ Tuhan tidak terhingga kepada saya untuk bertemu kedua ibu bapa saya di Syurga. Saya tidak sabar untuk ketemui mereka” beliau tersenyum, kata-katanya telah mengejutkan para hadirin yang berjaya mendengar luahan isi hatinya.
Kesimpulan...
Kita boleh bandingkan kanak-kanak di sekeliling kita dengan sikap matang yang sudah tertanam dalam diri Baraah, kanak-kanak yang baru ingin mengenal dunia. Salahnya tingkah-laku dan perangai kanak-kanak bukan di atas kehendaknya, tapi ketidak-matangan ibu bapa yang membesarkan, menyuap ‘makanan’ untuk tumbesaran rohaninya. Kita tidak mahu keadaan tragis menimpa seperti dialami oleh arwah Safiyah Humairah di atas sifat ‘kebinatangan’ penjaganya, sikap mandul ibunya. Dunia lebih melihat sikap si ibu bapa, berbanding kelakuan buruk si anak kerana sudah pasti puncanya hadir daripada sebelah ibu dan bapa.
Kita mahukan lahirnya anak-anak lebih daripada dua, tiga bahkan puluhan anak-anak seperti Baraah. Kalian, kitalah yang menggalas pertanggungjawaban berat ini. Tunggulah saat ketibaannya, ianya pasti memahatkan nama-nama insani soleh mahupun solehah di atas amanah suci ini di tiang-tiang teguh di dalam Syurga.
ameen
p/s: ikuti video klip satu rancangan tadarrus al-Quran di sebuah saluran televisyen timur tengah yang menyaksikan salah seorang pemanggilnya ialah Baraah (sila klik)
2 komentar:
Satu kisah yang mampu menggugurkan air mata bagi orang yang sedang teraba-raba mencari matlamat hidup..
Benar apa yang diperkatakan oleh saudara Ibn Selanjuuri. Matlamat kita pada hidup ialah senantiasa menjadi hamba kepada satu Tuhan, kerana Dia sahaja berhak kita menggembirakan. Bukannya kerana 'tuhan-tuhan' kecil kerana sahaja kita mahukan kebahagian dan sanjungan daripada mereka.
Jazakallahu khairan al-Jaza'
Catat Ulasan