PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Jumaat, Mei 14

Boleh Ke Perigi Cari Timba?









MERUBAH persepsi manusia bukan mudah, lebih-lebih lagi mereka yang dah lama berpegang pada sesuatu adat hingga terlalu sulit melihatnya dari sudut ibadat, iaitu syariat. Mengajar manusia normal tidak semudah kita membawa seekor lembut untuk meragut rumput di kawasan tanah lapang, tidak dapat tidak segala kefahaman betul mengenai perjalanan syariat islam harus ditanam sedari kecil lagi. Apabila kita ingin perbetulkan kesalahan tadi, maka akan berlakulah kejanggalan yang tidak bertempat, malu-malu kucing kerana katanya tidak pernah dibuat orang, ada juga yang terkejut dan disusuli ketawa sinis.


“Biar betul ustaz, tak kan perempuan yang datang melamar lelaki”


“Ehh.. malulah macam ni ustaz”


“Boleh ke buat seperti tu. Nanti apa kata orang”


Saya tidak risau bagi mereka yang ada rupa, digilai oleh ramai lelaki, tapi bagaimana pula mereka yang sekadar cukup-cukup makan, atau bujang terlajak (andartu).. tidakkah dianggap ‘sial’ atau aib oleh masyarakat. Sudah pasti aib itu bukan sahaja disandang oleh perempuan dara tua sebagai individu, tapi tempiasnya juga terkena kepada keluarganya. Inilah penghalang utama dan satu-satunya 'musibah' bagi perempuan yang hendak melamar lelaki.


Saya pernah menerima banyak persoalan soal jodoh terutama golongan terlajak ini. Kadang-kadang saya melihat salah satu masalah kita ialah sikap, walhal melihat pada kemampuan, kedudukan, pendapatan boleh sahaja memiliki atau lebih senang bisa ‘memancing’ lelaki tapi masih sukar untuk mendapat pasangan. Sikap kita pada suatu ketika dahulu yang mungkin agak memilih, mahu cari yang sepadan atau lebih daripada diri. Mana ada kelas seorang doktor kahwin dengan ustaz, mana padan seorang business women berjaya nikah dengan tukang kebun. Maka kalian telah membawa fitnah kepada agama.


Tidak kurang juga di kalangan ahli gerakan, mencari pasangan antara ahli gerakan, tidak boleh berbeza fikrah atau bukan daripada satu jamaah yang sama. Maka menunggulah dengan penuh hiba si perempuan dalam gerakan tadi jejaka idaman satu jamaah datang menyunting. Kalau ahli gerakan tu berjuta-juta mungkin tiada masalah, tapi kalau sekerat jangan bermimpi di siang hari. Maafkan saya, mungkin sedikit agresif (panas!), cuma saya ingin ubah sedikit persepsi kita kerana syarat sah kahwin dan rukunnya tidak pernah menyebut perkara yang dirumitkan tadi.


Ya.. PERSEPSI


Mengapa untuk sebuah kebaikan dan kemaslahatan hidup dapat dikalahkan oleh persepsi yang kolot ini? Persoalannya kembali kepada sikap individu tersebut, apakah dia lebih mengutamakan persepsi atau kebahagiaan hidup yang sejati? Kita meraih syurga cinta Allah melalui pasangan bukan kerana fikrah kita sama atau sebagainya... sebuah kebahagian, amanah kepada rukun rumahtangga.


Apakah kita terasa jijik bila mana tahu Saidatina Khadijah yang datang melamar baginda yang hanya seorang anak yatim piatu, tiada siapa dan apa-apa di sisi. Kita pula tahu kedudukan Khadijah di sisi masyarakat... seorang yang berkedudukan, hartawan, ahli perniagaan berjaya, dan dihormati oleh kaum Quraisy. Beliau menepis persepsi tidak sihat demi mempersunting lelaki yang di matanya terdapat tanda-tanda kemuliaan dan kematangan peribadi. Nafisah binti Munabih menjadi saksi bukti cinta Khadijah kepada insan al-Amin ini. Siapa kita kalau hendak dibandingkan dengan Khadijah?


“Saya teramat sedih ustaz. Kami dah bertunang, memang dah nak kahwin tiba-tiba putus di tengah jalan” rintih seorang wanita mengenang nasib malangnya.


Malah lebih parah lagi masalah bertunang dan kemudian terputus sebelum diijab-qabulkan ini berlaku berulang kali dan kesannya menimbulkan ketakutan kepada mereka untuk terus bertunang lagi. Ianya lebih ngeri melihat luka sendiri di tangan, luka mungkin hingga pada suatu masa akan sembuh... tapi soal hati dan perasaan boleh bawa mati, silap-silap boleh jadi tidak waras.


IKHTIAR, USAHA


Para ulama’ bersetuju bahawa jodoh ialah salah satu qada’ ketentuan Allah Taala seperti rezeki, ajal seseorang hamba. Semuanya itu termaktub sejak azali lagi. Namun kita tidak boleh berserah bulat-bulat hingga terkulat, apabila sampai satu masa kita telah berputus asa dan mengatakan ini adalah takdir Ilahi. Apakah kita tahu itu ialah takdir Ilahi? Maka sebab kita tidak tahulah kita masih mempunyai satu lagi talian hayat, iaitu ikhtiar.


Benar, sebuah ikhtiar.


Manusia diberi hak seluas-luasnya untuk berusaha dan terus berusaha tanpa mengenal erti putus asa. Kita teringin mahu makan sesuatu yang enak, tapi bolehkah ianya hadir tanpa kita berusaha seperti gigih bekerja, mencari duit yang halal sebelum memiliki makanan yang enak tadi. Maka usaha itulah yang akan menjadi penentu pada ketentuan takdir Ilahi. Kalau tidak, kalian tidak ubah seperti Mat Jenin di era moden.


Tidak menjadi kesalahan apabila melihat pada kemaslahatan perempuan memulakan dahulu, soal jodoh selagi mana ianya tidak menyalahi syara’ maka dihalalkan dalam Islam, bahkan amat digalakkan. Hendaklah difahami jelas-jelas, Islam tidak pernah meletakkan bebanan ke atas bahu lelaki sahaja untuk memulakan terlebih dahulu dalam soal mencari jodoh. Buang jauh-jauh persepsi dangkal terhadap peribahasa Melayu; “Perigi mencari timba” atau “Langkah bendul”, dalam Islam ianya masih terjaga dan tidak mengaibkan.


Berusaha mencari kebaikan dan redha Allah.


Pernah suatu ketika, telah datang kepada Rasulullah s.a.w seorang wanita arab menyatakan hasrat secara terus terang tanpa perantaraan untuk bersuamikan Rasulullah s.a.w. Tapi baginda s.a.w menolak dengan cara baik, di samping di atas simpati baginda s.a.w sendiri yang tolong mencarikan suami buat wanita itu. Dengan kesungguhannya untuk membantu wanita itu Rasulullah telah mencarikan beliau seorang suami dari kalangan para sahabatnya dan mereka kemudian hidup dalam kerukunan rumahtangga yang bahagia.


Bagaimanapun haruslah diingatkan, bahawa wanita yang ingin menggunakan kaedah ini untuk mendekatkan jodohnya kena menyedari hakikat sopan santun dan tidak melampaui batas hukum syara’ yang menjadi benteng terpelihara.


Mereka perlu berwaspada agar tindakan itu tidak menjejaskan maruah dan harga diri di mata masyarakat kita yang berpegang kepada nilai-nilai agama dan adat. Tujuannya mesti jujur dan hendaklah mendekati lelaki dengan niat yang benar-benar untuk dibuat suami. Tidak perlulah bercinta dulu, atau mahu mengenal hati budi masing-masing.. apabila dah serasi, aturlah masjlis perkahwinan secepat mungkin.


BERDOA


Jangan lupa juga untuk bekalkan doa bagi menguatkan usaha kita tadi. Doa adalah senjata ampuh orang mukmin. Mendekatkan jodoh dengan doa adalah amalan para solifus soleh.


Nabi s.a.w pernah bersabda, bermaksud: “Allah tidak akan mengubah qada’ seseorang hamba melainkan kerana doa” (al-Hadith)


Biarlah malu kita tadi bersalut iman, dan bertempat. Perempuan mudah mendapat fitnah ketika bujangnya berbanding apabila telah berumahtangga, mencari sesuatu kebaikan amat dianjurkan di dalam Islam. Jangan salahkan takdir andai kita sendiri silap membuat perhitungan.


Pilihlah. Jika kita mahu ke arah kebaikan dengan usaha yang gigih, maka kalian akan merasai kesan sampingannya yang sementara seperti penat dan hampir berputus asa, tapi kemudiannya kalian akan mendapat kesan kebaikan tadi yang abadi. Jika kalian mahu pada kebaikan tanpa ada usaha mendahuluinya, maka kalian akan merasai kesan sampingannya yang sementara seperti berangan-angan kosong, tapi kemudiannya mendapat kesannya yang dasyat seperti menanggung fitnah dan cakap-cakap orang dari belakang dalam bentuk abadi.


Kata kuncinya ialah BERUSAHA sebelum TAWAKKAL.


5 komentar:

qistina on 14 Mei 2010 pada 3:11 PTG berkata...

post yang menarik. semoga post ini dapat memecahkan benteng adat melayu yang semakin menebal.terlalu banyak perkara yang dilarang adat tanpa ada sebarang sebab yang kukuh. tak salah perigi mencari timba asalkan ianya halal kan. timba pun sudah berkurangan, perlulah perigi bijak mengatur langkah.

tapi dulu saya pun bermentaliti macam ni, but obviously post ini telah mengubah persepsi saya, alhamdulillah dan terima kasih.

yang penting, jangan membuta mengikut adat, perlu berakal, berilmu dan beriman. wallahualam

everjihad on 14 Jun 2010 pada 7:22 PG berkata...

bagi perempuan yang nak melamar tu perlu ada satu benda.

'berani'.

berani melangkah
berani tanggung risiko

tak ramai perempuan yang 'berani' nak membuka langkah.

tapi..

tak mustahil jugak ada perempuan yang memang berani mengambil langkah tersebut.

biarlah kita BERANI kerana yang HAQ

apa2pun, pada perempuan yg sedang memikirkan untuk bertindak, satu benda yg boleh nak ckp,

'you have nothing to lose'.

wallahu'alam
wallahu musta'an.

Tanpa Nama berkata...

yap...tiada salahnya perempuan melamar lelaki...cuma jgnlah pi lamar lelaki yang tak tahu syariat, hanya pegang adat...sampai bila pn lelaki akan tolak...

Tanpa Nama berkata...

ya PERkongsian yg menarik:)

Mohd Firdaus (Hamba Yg Hina) on 20 September 2010 pada 2:40 PG berkata...

"Tidak kurang juga di kalangan ahli gerakan, mencari pasangan antara ahli gerakan, tidak boleh berbeza fikrah atau bukan daripada satu jamaah yang sama. Maka menunggulah dengan penuh hiba si perempuan dalam gerakan tadi jejaka idaman satu jamaah datang menyunting. Kalau ahli gerakan tu berjuta-juta mungkin tiada masalah, tapi kalau sekerat jangan bermimpi di siang hari. Maafkan saya, mungkin sedikit agresif (panas!), cuma saya ingin ubah sedikit persepsi kita kerana syarat sah kahwin dan rukunnya tidak pernah menyebut perkara yang dirumitkan tadi."

Sangat setuju dgn kenyataan di atas...Jangan memandang ahli jemaah/persatuan sahaja yang baek2...

Lagi satu...
untuk kaum hawa...
Tak perlu aggressive sangat..
saya rasa..apa yang dimaksudkan oleh penulis ni adalah..FIRST APPROACH...

Dekati dahulu..
Sselidik latar belakang..
Serasi atau tak..
Kemudian barulah luahkan perasaan..

OK?

Ada correction tuan penulis...
"Mengajar manusia normal tidak semudah kita membawa seekor lembut untuk meragut rumput di kawasan tanah lapang, tidak dapat tidak segala kefahaman betul mengenai perjalanan syariat islam harus ditanam sedari kecil lagi."

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal