PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Ahad, Mei 16

Pendidikan: Cikgu Ooh Cikgu...

Maahad Muhammadi lil-Banin tempat saya mengenal daya rangsangan intelek secara teratur.






SEORANG guru yang hebat bukan sahaja dapat melahirkan pelajarnya yang berjaya di dalam ilmu alat, ilmu akademik malah lebih terhormat apabila berjaya melahirkan seorang pelajar yang hebat akhlak dan tingkah-laku peribadi. Seorang guru yang baik bukan sahaja bergerak atas nama pengajar sahaja, malah atas nama pendidik, pengasuh yang mampu mengawal emosi, menyusun struktur-struktur pembangunan jiwa berperingkat dan seterusnya memperbaiki fikiran mereka agar positif dan bermotivasi dalam kehidupan.

Ramai guru (tidak semua) yang terlepas pandang, hanya melihat satu sudut sahaja, walhal mereka bersetuju soal akhlak didatangkan dalam satu pakej di dalam kerjaya mereka. Apabila hanya melihat potensi kejayaan dalam pencapaian pengajian semata-mata, hingga lupa atau buat-buat buta soal kerohanian. Maka guru yang ‘berjaya’ tadi telah mencicirkan potensi pelajar dari aspek akhlak... maka lahirlah pelajar gengster, perkid, tomboy, menghalalkan hubungan bebas, rem-pit, bohsia, bohjan.

Seolah-olah sudah jadi satu fenomena, setiap sekolah lebih mementingkan koleksi anugerah sekolah cemerlang akademik yang hanya mampu melahirkan pelajar mampu mencapai +A dalam setiap lapangan peperiksaan, tidak pula kisah mumtaz akhlak. Ibu bapa pula melepaskan tanggungjawab sepenuhnya pada guru. Mereka sibuk menilai sekolah yang bestari, tapi rendah memelihara maruah diri.

WAHAI GURU

Jujurnya, saya mohon maaf kerana intro artikel saya lebih menekankan keikhlasan guru dalam menggalas tugas yang diamanahkan. Saya percaya kita selalu membaca artikel, makalah, atau berita di sesuatu website, atau sisipan akhbar mengenai pencapaian guru yang disanjung setiap kali tanggal 16 Mei. Hari Guru seluruh negara. Tapi jarang kita menegur sesetengah guru yang masih diulik mimpi yang panjang, kekadang lupa menerapkan nilai-nilai murni membumi di dalam jiwa para pelajar. Isu ini bukan hal yang kecil, jika tidak Imam al-Ghazali tidak menyebut di dalam kitabnya, ihya’ ulumud ad-din.

Membangunkan manusia untuk menjadi manusia rabbani adalah satu tugasan yang amat sukar dilakukan oleh pihak sekolah mahupun ibu bapa. Justeru itu kaedah yang digunapakai untuk membangunkan seorang manusia itu penting dan yang paling penting adalah pelaksana dan pelaksanaan kaedah itu. Jika methodnya sudah baik dan bagus tetapi pelaksananya tidak dapat mengikut pelan lakar method itu maka tetap sahaja gagal.

Dalam dunia pendidikan, kurikulum dan manhaj adalah sumber terpenting selain mereka yang mengaplikasikan kurikulum tersebut iaitu pendidik dengan cara yang betul.

Jika kurikulum bagus tetapi pendidiknya tiada keikhlasan maka tiadalah keberkatan. Ramai sahaja ibu bapa yang hantar anak-anak ke sekolah agama adalah untuk mendapatkan makanan rohani yang terpimpin, dan berkala. Saya tidak suka membandingkan antara sekolah konvensional, kebangsaan dan agama.. Cuma rasionalnya sekolah agama yang ber-manhaj al-Islami dapat membuka ruang minda dan komunikasi serta menggarapkan ilmu guru dalam diri sekaligus mendapatkan akhlak dan berkat guru, di samping kewibawaan dalam penyampaian ilmu-ilmu alat yang selaras dengan ilmu ibadat.

Pasti kita ber-tadabbur dengan ayat al-Quran satu ini;

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” at-Tahrim (66:6)


MML berwajah baru pada tahun 2009


RANGSANGAN


Apabila saya cuba membawa perbincangan secara signifikasi, ianya telah mengingatkan saya kepada perkembangan dunia pendidikan yang terpengaruh dengan teori psikologi. Dahulu teori bahaviorist mendominasi dan antara pelopornya ialah Skinner. Teori dihasilkan oleh para saintis berasaskan kajian-kajian terhadap binatang. Namun era terdekat ini menampakkan kemunculan teori kognitivist yang lebih bersifat kemanusian.

Perbezaan teori antara behavioris dan kognitivis memberi implikasi dan kesan pada pendidikan. Melalui pendekatan behavioris, para guru perlu menyediakan suasana yang sesuai termasuklah reinforcement supaya pelajar dapat terus memberi tindak-balas pada rangsangan persekitaran dan berlakulah proses pembelajaran. Contoh; para guru boleh merangsang secara praktikal, iaitu pembuktian pada pelajaran yang diajar ketika itu atau mengadakan peta minda bagi memberi laluan pada otak mereka merangsang daya intelek.

Antara amalan yang boleh dilihat sekarang ialah penggredan pelajar mengikut pencapaian mereka dalam kelas berdasarkan tahap intelek para pelajar. Manakala berdasarkan pendekatan kognitivis pula perihal berkaitan pemikiran, kepercayaan dan emosi setiap pelajar yang berbeza tadi diambil berat.

Para guru perlu melihat kepada proses mental yang ditunjukkan oleh perlakuan setiap pelajar di dalam kelas, dan perlu memikirkan bagaimana faktor sosial dan pengajaran memberi kesan kepada kelakuan dan pemikiran para pelajar.

Kognitivist melihat faktor rangsangan juga penting sebagaimana behaviorist tetapi rangsangan seperti hadiah itu perlu melalui proses kognitif pelajar yang berkait rapat pula dengan keperluan, matlamat dan motivasi mereka. Tidak semua pelajar menilai hadiah itu berharga apatah lagi kalaulah mereka dah selalu dapat hadiah. Namun pelajar yang mendapat nombor tercorot dan keputusan SPM yang rendah, mungkin merasakan tiada lagi kepentingan untuk belajar. Setiap pelajar sememangnya mempunyai konsep nilai tersendiri terhadap pembelajaran yang berbeza dengan rakan pelajar yang lain.

Sekiranya di dalam kelas mempunyai maksimun 20 orang sahaja pelajar, guru mempunyai lebih ruang untuk menilai kemajuan dan keperluan setiap pelajar yang berbeza. Apapun kaedah dan teorinya, matlamat pembelajaran adalah untuk mengenalkan dan mendekatkan kita kepada Allah Taala.

Bagaimana?

DAYA TAAKULAN

Menyediakan daya saringan taakulan kepada para pelajar dalam memahami tentang pengurusan tingkah-laku melalui proses merasa daya intelektual. Mereka diajak dari semasa ke semasa menghayati proses kontemplasi (zikir dan fikir) untuk melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Mereka melihat pokok, batu, kereta dan apa sahaja yang ada di sekeliling kehidupan dan memikirkan mengenainya proses kejadiannya hingga sampai kepada Allah.

Proses ini boleh sahaja diterapkan oleh para ibu bapa di rumah agar peningkatan boleh disukat dari semasa ke semasa, di samping menyediakan daya-daya rangsangan yang pelbagai, bersesuaian peringkat umur dan tumbesaran fizikal mahupun mental anak-anak.

Saya ulangi; Seorang guru yang baik bukan sahaja bergerak atas nama pengajar sahaja, malah atas nama pendidik, pengasuh yang mampu mengawal emosi, menyusun struktur-struktur pembangunan jiwa berperingkat dan seterusnya memperbaiki fikiran mereka agar positif dan bermotivasi dalam kehidupan.

SELAMAT HARI GURU...




0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal