PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Motivasi. Papar semua catatan

Khamis, Mac 24

Memaknakan Kejayaan Hakiki






PASTI wujud di kalangan para pembaca rasa berdebar-debar menanti tanggal 23 Mac 2011. Bila dah sampai, tinggal beberapa detik lagi, hati dah jadi gelisah, resah. Ketika ini ramai mengambil tindakan berkecuali, tidak banyak cakap, lebih senang dan tenang zip mulut sahaja. Mungkin juga ada di kalangan anak-anak, saudara mara, jiran tetangga, atau ahli keluarga pembaca lain yang telah menerima slip peperiksaan SPM semalam.

Dia tahu, harapan sudah pun terpikul di bahu, usaha sudah, tapi kali ini benar-benar mengundahkan jiwa, dia cuba memujuk diri, lari dari cengkaman ini. Usahkan calon SPM, ibu bapa juga turut terbawa-bawa dengan gelagat sama bila melihat perubahan sikap anak-anak mereka.

Kita dulu bagaimana?

Ada sejarah tersendiri dilakarkan bukan?

Kalau kejayaan disebabkan usaha gigih kalian selama ini, linangan air mata kalian terlalu mahal, sangat manis. Namun kegagalan kalian disebabkan malas, dan kebodohan tindak-tanduk kalian dulu, jangankan ibu bapa, diri sendiri dipersalahkan bahkan air mata mendatangkan mudhorat. Jangan pula ada tidak bertegur sapa, tidak mahu ambil tahu dan sebagainya.

Tiada kejayaan tanpa usaha yang gigih, semua orang mempunyai makna kejayaan yang tersendiri, cara merai tersendiri, rasa kepuasan tersendiri. Kadangkala, bila kita puas selesaikan sesuatu perkara, itu pun dikatakan berjaya. Ya.. melalui kepuasan diri sendiri. Memang besar nikmat Allah Taala berikan kepada kita, nikmat akal, sihat dan sebagainya supaya kita dapat memilih yang baik mahupun sebaliknya.

Jangan pula salahkan takdir, andai diri pincang mentadbir.

Belajar itu tadbir, usaha itu tadbir, tuisyen itu tadbir, latihan tubi itu tadbir, berjaga malam mengadap buku itu pun tadbir, dan semua ini akan mempengaruhi takdir kita. Baik, Kita berjalan berbekalkan dua biji mata celik, tapi itu tidak bermakna kita selamat, kecuali kita ada hati-hati, berhati-hati melihat ke depan, kiri kanan ini adalah tadbir, bimbang ada lubang menghalang, pasti terseliuh kaki, natijah dari hati-hati tadi ada takdir kita.

Usaha dahulu, rasa susah jerih dulu, barulah berserah.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan” ash-sharh (94:5-6)

Redha pula dipenghujung ikhtiar.

Kehidupan itu adalah sekolah kepada diri kita, banyak perkara yang bisa dipelajari dalam hidup ini. kejayaan seseorang itu bukan sekadar terletak pada kesungguhan, tetapi pada kehidupan yang dilalui sehingga menjadikannya seorang yang berjaya.

Kesusahan dan keperitan hidup banyak mendorong seseorang untuk berjaya dalam hidupnya. jika kita kaji balik tentang kejayaan insan-insan hebat di dunia ni, kebanyakan mereka bermula dari keadaan susah menempuh keperitan hidup.

Penting kejayaan kita bukan sebaik-baik kayu pengukur andai kurang berjaya akhlak atau gagal sakhsiah.

Peluang untuk berjaya terbuka kepada sesiapa, tidak kira sesiapa pun kalian. Boleh jadi hanya anak seorang petani, anak nelayan, luaran biasa-biasa, kerana mengukur kejayaan itu perlu pada hati kental, tiada rasa putus asa, kehidupan susah lebih sinonim sebab perjuangan dia bukan sahaja perlu berjaya sebagai pelajar tapi paling penting sebagai manusia, seorang muslim (hamba).

Bila melihat keperitan mereka, apa yang mampu ialah menghulur secebis rasa simpati dan memberi harapan. Jujurnya, mereka sendirilah yang perlu bangkit dan meneruskan perjuangan di kala sisi luaran malap, hidupkan pula obor semangat dalaman.

Segala apa dilakukan manusia mempunyai kesan sampingan yang lebih ketara berbanding kesan yang datang dari makhluk Allah Taala lain. Ini kerana manusia dibekalkan akal untuk berfikir, deria untuk merasa, dan hati untuk mengerti. Baik buruk kelakuan manusia akan tahu juga mana air dan mana api, membedakan antara al-Haq (benar) dan al-Batel (salah). Kedua-duanya tidak akan bercampur. Kepulangan pada fitrah manusia agar jadi baik adalah kemuncak kesempurnaan iman di jiwa.

Kita berhak memilih jalan sendiri.

MASA DEPAN

Bila sudah terjawab semuanya, masing-masing sudah memegang slip peperiksaan, maka bermulalah lembaran baru, iaitu menentukan hala tuju seterusnya. Pasti ramai sedang berpusu-pusu ke bank untuk dapatkan borang UPU, permohonan dibuat secara online, lebih cepat, mudah dan selamat.

Kalau result setakat cukup-cukup makan, pening juga nak hitamkan bidang paling sesuai, jurusan mana lebih secocok. Kalau result hebat-hebat, tiada masalah sebab mereka lebih cenderung untuk bersaing dalam bidang kritikal kerana sudah terbukti mampu. Maka jadilah ada di antara kalian lebih suka memilih apa yang dipilih oleh teman karib, alasan mudah nak studi, senang ambil berat, tak mahu berpisah. Mereka ini akan cepat mengalami sindrom down di bidang bukan medan sebenar dia.

Pilihan sendiri dan pilihan paksa, jauh lebih menggerunkan bila dipaksa.

Kita tidak selama-lama akan bergantung kepada manusia lain, tidak bererti kita langsung menepis bantuan mereka. Kaki kita melangkah, kita putuskan ke mana, tangan kita pegang, kita tentukan mana satu. Kita hanya dibekalkan pengalaman, kata-kata orang lebih tahu mengenal kehidupan sebelum kita mampu celik, mampu pegang, mampu melangkah.

Masa depan anak-anak tidak seharusnya ditentukan oleh keluarga. Peranan keluarga hanya menunjukkan jalan-jalan yang seharusnya dilalui oleh anak-anak. Melalui kaedah ini mungkin anak-anak mempunyai gambaran tentang minat dirinya. Menentukan karier anak akan menjadikan mereka pada suatu hari nanti buntu bila menghadapi kemelut dalam karier mereka.

Tidak dapat meneruskan hala tuju dengan jitu dalam kariernya kerana jiwanya tidak penuh dengan apa yang dilakukan.

Maka jika dia seorang ahli ekonomi, ilmunya tidak dimanfaatkan dalam bidang ekonomi kerana jiwanya bukan jiwa ekonomi. Kalau dia seorang doktor, rawatannya hanya sekadar memberi rawatan, memberi ubat, dan dapat gaji besar. Jika dia imam masjid, maka dia hanya menjadi imam di kala solat sahaja, tidak lebih daripada itu. Mereka akan jadi jumud ketika berhadapan sistem nilai kehidupan.

Jika mereka mempunyai panduan dan bimbingan, mereka akan menjadikan minat dalam diri mereka sebagai option. Kalau mereka seorang pelajar perubatan, tanam sikap supaya benar-benar menjadi seorang doktor, berjiwa dan bernaluri doktor yang merawat bukan sekadar memberi deskripsi ubat. Mereka akan menjadikan minat mereka sebagai aktiviti kedua mereka.

Buatlah pilihan terbaik berdasarkan minat, bukan ikut-ikut teman kelak kalian akan penat. Mudah lesu dalam bidang itu.

Untuk kejayaan menyeluruh, penekanan perlu kepada penserasian atau pengimbangan pada kedua-dua hujung dengan memastikan bukan sahaja pengurusan masa, menghadiri kelas tambahan, latihan tubi, bersengkang mata baca buku tapi keupayaan kita berhubung dengan Maha Pemberi Kejayaan.

MULA DARI REBUNG

Bila kita berbicara tentang sebuah pokok bunga segar, tidak layu, pasti kita tahu kenapa terjadi keadaan sedemikian rupa. Sudah pasti cukup pengairan pada akar, tidak terlindung dari mendapat cahaya, tiada serangga perosak. Maka kita mula sedar, bahawa mendapat hasil seumpama ini bukan jalan mudah, perlu pada perhatian dan pemerhatian. Kita boleh samakan pokok bunga itu tadi adalah anak-anak yang perlu dididik, disuap ilmu, sebagai makanan rohani

Penjaga baik ialah seorang ibu bapa prihatin, melihat kehadapan, masa depan tumbesaran anak-anak mengjangkau jauh ke ufuk timur, mendasar jauh ke bawah perut bumi Ilahi, melambung jauh hingga ke angkasa.

Wahai ibu bapa ketahuilah, kelahiran anak-anak di dunia ini adalah pelajaran baru bagi kalian, ianya satu amanah perlu dipikul. Menjadi ibu dan bapa yang tidak mengherdik anak-anak dengan kata-kata kesat, tidak mendoakan yang bukan-bukan kepada anak. Kata-kata herdikan, akan menjadi doa yang akhirnya membinasakan anak-anak secara tidak sengaja.

Kesian kepada ibu bapa kebal menahan penat bekerja siang malam berpanasan, bersejukan tapi kurang kebal dalam mendidik anak-anak. Ujian barangkali kita nampak di luar sahaja, sebenarnya ujian daripada anak-anak lebih berat ditanggung, masyarakat tidak pernah kering air mulut mempersoalkan keburukan tangan kita daripada kebaikan.

Sumpah seranah terlekat di birai bibir mereka, ngeri pula bila terkenangkan begitu.

Belajar untuk berkata cukup pada apa yang ada, semua itu bukan penghalang untuk mencari kebahagiaan dan keredhaan di sisi Allah Taala. Rahmat Allah Taala jua penentu segala-galanya, jadikan kekurangan ada untuk kita membina kekuatan. Kurang tidak bererti kita lemah, lemahnya kita sebab kita kurang bersedia mencanang hidup ruh islami dalam dunia serba mati ini.
Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Mac 11

Luahan Anak Muda Sehebat Salahuddin Al-Ayubi

SERING kali kita dihadapkan pelbagai sikap manusia di sekeliling. Bersama dengan sekalung niat yang baik kita mula menapak kaki di bumi. Ketika kita mengharapkan kebaikan juga hadir kerana baiknya perilaku dan tindakan yang dihulurkan, namun lain pula yang menerjah diri. Jarang kebaikan dibalas dengan kebaikan, penindasan pula mengambil tempat. Mujurlah diri tahu dan cepat bertahan kerana apa yang kita lakukan demi sebuah kebaikan, kita hanya memohon kebaikan itu dibalas oleh Allah Taala.

Bagaikan sebalang botol yang kosong yang terdedah kepada persekitaran yang terbuka tanpa diisi dengan perkara yang boleh dimanfaatkan seperti air suci untuk kegunaan ketika wudhu’, dipenuhi dengan tanah subur buat menumbuhkan benih yang ditanam atau diisi dengan akar kayu buat menyembuhkan penyakit badan, maka di setiap inci itulah risiko untuk diisi oleh keburukan amatlah tinggi. Air suci tadi akan tercemar dengan kekotoran bakteria dan kuman kerana tiada penjagaan. Tanah subur pula akan bercampur dengan sisa toksid yang memberi kesan pada sistem tumbesaran, dan tiada lagi akar kayu yang bermujarab apabila tiada keseimbangan pencahayaan dan perudaraan semulajadi.

Begitulah dalam konteks penjagaan hati. Hati manusia ini perlu penjagaan yang berpanjangan dan hendaklah sentiasa diisi dengan kebaikan-kebaikan agar bisa menimbuskan keburukan yang siap siaga untuk menyerang dari setiap sudut. Terasa tawar untuk membuat maksiat kerana nikmat kebaikan tadi sentiasa manis.

Tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas.

Kalis maksiat.

Itulah antara bentuk ujian yang perlu dihadapi.

Benarlah kalam para mujahid fid deen; bahawa untuk memperolehi Syurga Allah, maka kebenaran, kesungguhan, kesabaran dan keredhaan adalah galang ganti kepada mahar yang bakal diterima di akhirat sana.

Sebagai seorang anak, saya kena banyak belajar daripada para ibu dan bapa di luar sana. Saya akan terus mencubit sedikit demi sedikit daripada ibu dan bapa kandung. Mereka saling tidak tumpah seperti para ibu dan bapa dalam lipatan sejarah kemelayuan, kearaban, dan keagamaan, secuma mungkin tahapnya sedikit atau banyak berbeda. Jalannya tetap sama, dan persis kerana adanya mujahadah dalam salutan sabar.

Seorang ibu bernama Hajar senantiasa hidupnya diuji. Bagaikan bakal tertulis di lembaran ingatan sejarah, halaman dalam satu surah menemukan ibu kuat ini suri contoh teladan baik bukan sahaja kepada seorang ibu lain malah kepada mereka yang bakal bergelar bapa. Hidup dalam ujian dan persimpangan kebahagian bukan hanya memerlukan sebelah pihak memberi malah di sebelah pihak yang lain perlu juga memberi dan menerima seadilnya.

Kena saksama.

Seorang ibu dan ayah pasti terpahat di hatinya kelahiran ini, anak ini adalah amanah yang suci dipertanggungjawab ke atas corakan yang bakal dilakarkan nanti. Pena berwarna dibekalkan bersama seberkas tin besar mengandungi pelbagai warna. Di antara warna itu ada yang sama seperti warna-warna yang diberikan kepada solefus soleh yang berjaya membina satu corak agung, ada juga terdapat warna yang pernah digunakan oleh si tangan pendusta, pengkhianat, pengamal rasuah yang juga berjaya membentuk tangan-tangan yang sama seperti mereka. Melainkan sedikit di kalangan mereka yang tersedar bahawa jalan yang dipilihnya itu sangat sukar menembusi diri ke daerah sakinah, kebahagian... lantas anak-anaknya diberi makanan rohani secukupnya, dan menyekat jalan menyusur ke laluan kelam yang pernah diderapinya suatu ketika dahulu.

Seorang bapa bernama Ibrahim disembolikkan sebagai lelaki kuat kerana pergorbanannya. Pergorbanannya bernilai. Manakala nilai moral itu menjadi lambang utuh kepada generasi yang hidup selepasnya. Pengorbanan Nabi SAW banyak bertonikkan kehebatan keempat-empat Nabi yang tergolong di kalangan Rasul Ulu ‘Azmy; Nabi Isa, Nabi Musa, Nabi Ibrahim dan Nabi Nuh. Selain itu kekuatan Nabi Muhammad SAW memahatkannya oleh al-Quran antara mereka ini yang paling penyabar menerima kencaman, dugaan dari umatnya.

Apakah masih ada manusia sekuat mereka ini?

Saidina Ali, Khalid Ibn al-Waleed, Salahuddin al-Ayubi, Sultan Muhammad al-Fateh pula sering dijadikan ikon ideal kepada satria anak muda-mudi berhati waja. Sesuai dengan saya yang masih muda remaja. Perwatakan berani dan gaya yang diterapkan daripada setiap yang baik oleh mereka boleh diadaptasi untuk dibawa dalam kehidupan kita. Tiada siapa yang bisa mengubah cara dan lifestyle seseorang melainkan orang itu sendiri yang mencetuskannya beradasarkan apa yang ingin dia mahukan. Pengaruh mata banyak mengubah kebanyakkan yang berlaku di sekeliling. Secara tidak sedar, rumusan kepala kita juga sering bertandang dari mata yang menjeling dan memerhati. Mentafsirnya secara aman dan baik adalah jaminan keselamatan di hari kemudiannya.

Ramai golongan muda yang tidak faham dan tidak mahu menambah kefahaman mengenai Islam. Tahu yang ada pada mereka tentang Islam kerana setiap kali mengisi borang maklumat peribadi, maka nota kaki kad pengenalan dijadikan sandaran beragama. Berbangga akan Islam hanya sekadar pada pertuturan ketika menamatkan zaman bujang, lafaz sakinah yang tidak lagi berkilauan cahaya kerana yang ada ialah kehendak untuk berpasangan.

Menyandarkannya tidak salah sebagai model, namun ada sepekara yang lebih penting daripada itu, iaitu membangunkan minda muda-mudi menjadi sehebat mereka, diserlahkan pula melalui tindakan, amal luaran.
Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Januari 1

Ke mana Halatuju Kalian 2011?

“Sesungguhnya, setiap amal perbuatan itu mestilah disertai dengan niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang itu apa yang telah menjadi niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itupun kepada Allah dan Rasul-Nya. Dan barangsiapa yang hijrahnya itu untuk harta dunia yang hendak diperolehinya, ataupun untuk seorang wanita yang hendak dikahwininya, maka hijrahnya kepada sesuatu yang dimaksud dalam hijrahnya itu.” (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)








RAMAI di kalangan masyarakat di negara kita cenderung untuk menjadikan tahun baru Masehi sebagai tahun perubahan, tahun terbaik memurnikan azam, dan memasang pelbagai cita-cita untuk digapai. Kelakuan ini akan sama, dan berulang di setiap ketibaan tahun Masehi. Malam pula di sinari cahaya bunga api, mercun sedikit membinggitkan suasana, namun meriah.

Kadang-kadang azam menggunung tadi, lupa pula bukannya akan terjadi sendiri tanpa disusuli oleh tindakan, kelakuan tidak seperti apa yang didambakan. Nah, bagaimana pula tahun baru Hijrah dahulu? Apakah matlamat hanya tinggal matlamat yang tertulis, tiada pembuktian? Tidak mengapalah jika kalian mengatakan untuk membawa bersama azam tahun baru Hijrah dengan tahun baru Masehi, namun bolehkah kita mengakhirinya jika kita sering lupa dan alpa untuk konsisten? Pastinya tidak.

Benar... matlamat, tindakan dan konsisten adalah saling bersangkut-paut.

Ke mana perubahan kita?

Jika kita suka berfantasi, beretorik, omong kosong maka kita tidak jauh bezanya dengan Mat Jenin. Mat Jenin Moden.

Alhamdulillah, saya harus memuji kepada teman-teman yang mempunyai azam. Itupun dah dikira bagus. Namun azam yang kita mahukan ialah azam pada tindakan. Betul, semuanya bermula pada langkah pertama, iaitu niat. Niat tadi hendaklah menapak jauh dalam bentuk pembuktian.

Apabila ada lakaran berupa perancangan, maka kena ada juga pembuktian. Perancangan adalah untuk memudah kita menggerakkan momentum, tahu di mana akan berakhir, ada jalan untuk dituju. Analoginya mudah, seperti kita mahu ke Kuala Lumpur dari Kelantan, sudah pasti kita telah memikirkan jalan mana harus dilalui, paling mudah dan lancar. Pembuktian pula agar kita tidak terus dilamun mimpi-mimpi di siang hari, mimpi ketika berjaga.

Itulah konsisten.

Di sinilah baru berlakunya peningkatan, ada perubahan. Perubahan pula tidak perlu drastik. Kita tahu di mana kita hendak berehat, kita sedar di mana kita kejatuhan, dan kita akan nampak apa yang perlu kita muhasabahkan, kita sedar di mana tahap kita dan upaya yang ada. Dengan perancangan, apabila kita tiba ke titik-titik tertentu, pada babak-babak tertentu, kita akan mampu menaik secara berkadaran terus dengan kehidupan, bukannya turun dan naik dengan mengikut keadaan.

Baginda s.a.w bersabda bermaksud: “Tiada lagi hijrah selepas Pembukaan Makah (Fathu Makkah) melainkan jihad dan niat yang baik” (Hadith Riwayat Bukhari)

Tahun 2011 secara rasmi bermula pada tanggal 1/1/11... dalam meletakkan satu Azam Baru (berupa perubahan atau cita-cita) pasti akan menghadapi KESUKARAN. Pasti akan ada halangan dan cabaran di hadapan. Maka Perubahan dalam PEMIKIRAN perlu kita jalani untuk mengatasi halangan dan cabaran luaran tadi. Kita berubah secara FIZIKAL, tetapi halangan dan cabaran itulah yang melatih kita berubah secara MENTAL atau SPIRITUAL.

Kenapa kita perlu berkata tidak mengapa dengan dosa noda kita lakukan hari ini? Mengapa perlu melepaskan kebaikan kepada orang lain, sedangkan kita merelakan berada dalam cerca dan tiada paradigma? Kenapa kita perlu jatuh dan tunduk pada nafsu sendiri, hingga tidak lagi bisa bangun dan bangkit?

Tanyalah diri kita, diri masing-masing... bagaimana kita mahu terjemahkan ‘kebaikan’ niat tadi dalam aplikasi seharian. Bukannya hari ini niat lain, hari lain niat lain pula. Jangan pula kebaikan yang sedikit namun keburukan terlalu banyak dapat mengaburi pandangan kita pada kebaikan banyak namun tiada dosa. Tiada siapa sangka paradigma mantap boleh merubah Umar Al-Khattab seorang khalifah agung di eranya, merubah Khalid Ibn Al-Waleed menjadi pahlawan disegani, merubah keimanan Bilal Bin Rabah menjadi sekeras batu yang menindihnya. Mereka ini telah dijanjikan tempat yang baik di Hari Akhirat.

Kita, bila lagi?
Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Disember 31

Usia Meningkat Belum Tentu Amal Bertambah

Masa berjalan tidak dikira berapa tahun, berapa bulan, dan berapa hari kita melepasinya, namun penyaksian pada berapa banyak pertambahan amal sebelum masa itu tadi diberhentikan (Mati)









KITA pasti dipertemukan banyak ragam manusia di sekeliling. Dia peduli atau kita tidak mahu ambil tahu sebahagiannya sudah terlerai pada sebuah pilihan yang terletak pada akal yang memandu dan hati yang merasai. Pilihan terbaik ialah berdasarkan ilmu pengetahuan yang terpimpin dan amalan yang diyakini, tetap memilih walaupun pilihan tidak sebulu dengan minat dan fitrah insani, namun pilihan-Nya jua disemat jauh ke dasar.

Manusia di dunia hanya akan diberi dua pilihan sahaja, tiada tiga, tiada empat dan seterusnya, maka bermula dari penghidupan dari awal subuh hingga dimatikan buat sementara di hujung malam akan diberi hak memilih... sama ada berupa pahala mahupun dosa. Sudah pasti pahala dikira ibadat di sisi Allah Taala, manakala sebaliknya dianggap biadab.

Natijah akhir daripada hasil pilihan akan diperhitungkan sebelum dipelawa ke Syurga atau dihumban ke Neraka.

Benar.. kita adalah manusia, seorang manusia yang sifatnya tidak sempurna. Tiada yang sempurna melainkan Dia. Namun manusia masih lagi diberi pinjaman kudrat supaya menjadi lebih baik, dan bercita-cita menjadi lebih sempurna. Hari ini lebih baik daripada semalam, sudah tentu bercita-cita hari esok lebih baik daripada hari ini. Antara lain manusia hari ini jauh dari sikap berlapang dada apabila terpaksa beradu situasi bersama saudara seislam yang lain atau orang lain, kepentingan diri mengatasi sikap tashammuh (bertolak ansur) yang sepatut dihulurkan. Bertolak ansur atau berlapang dada bersalut padanya pengorbanan, mendahulukan orang lain dan sanggup membelakangi kepentingan diri sendiri.

Hati manusia sangat fleksibel, tapi fleksibel yang kita mahukan ialah seperti acuan yang digariskan oleh al-Quran dan as-Sunnah. Kita diajar untuk banyak memberi baik berupa material atau spiritual yang bersifat manfaat yang bisa dipegang oleh si penerima seperti ilmu. Dari hal yang lain pula, Islam juga mengajar penganutnya supaya menerima dengan baik, kerana sampai masa kita pasti menerima dahulu sebelum benar-benar bersedia untuk memberi.

Kenapa menerima?

Pernah kita semua perasan, kenapa tiba-tiba hati kita dirundung sepi tatkala ditimpa pelbagai ujian. Kita rasa lemah, dan kelihatan seakan-akan segala sumber kekuatan sudah tertutup rapat. Ketika inilah manusia seakan-akan orang yang buta walaupun dia mampu melihat segalanya. Ramai yang bertanya kepada saya perihal masalah ini, lantas saya cuba bertanya balik:

“Bagaimana keadaan hati kalian?”

Kita lupa rupa-rupanya kita masih kurang menerima dan teliti dengan apa kita terima. Kita mungkin menerima hal baik-baik tidak kurang juga hal-hal yang tidak baik. Kita langsung tidak mahu bahkan sengaja untuk mengisi kantung hati tadi dengan dzat makanan berkhasiat, santapan kerohanian. Kegersangan pada sumur hati berpunca kita tidak pernah mengisinya dengan makanan berkhasiat tadi, kita hanya ambil tahu soal jasmani, kesihatan luaran sahaja hingga sanggup menghabiskan beribu-ribu sebulan semata-mata penjagaan aspek fizikal sahaja.

Apabila kita ditegur, dan berupa sesuatu manfaat yang bisa ditumpangi, apa salahnya kita terima sebagai suatu pengajaran dan muhasabah di atas kekurangan yang ada sebagai manusia. Hal-hal baik inilah akan menumbuhkan iman di hati, iman umpama cahaya yang menerangi kegelapan sumur hati dari terus mati. Matinya hati kerana si penjaganya tidak reti untuk mengerti, lantas tingkah-laku menjadi kaku tersungkur dari di tepian perjalanan bagi seorang hamba mentaati.

Hati ibarat bekas untuk diisi selepas menerima, kekotoran bekas boleh dikesan bila bahan yang diisi tadi bercampur dengan sesuatu yang cemar. Manusia yang perasan dan prihatin akan cepat-cepat membuang kekotoran tadi dari terus membumi di dalamnya kerana kelak apabila sudah lama mendiami, kita akan rasa seronok dan tidak mustahil akan menjadi kebiasaan untuk kita menerima hal-hal kotor itu.

Jangan sempitkan pula maksud membuang hal-hal buruk tadi, bukan selama-lamanya kita tidak boleh menerima sesuatu yang tidak baik, boleh tapi mesti ada guide-line. Bagaimana pula? Kita jadikan sempadan, peringatan berguna ketika hidup di dunia, bahawasanya kita tahu ini boleh dan yang ini tidak boleh. Adalah sesuatu yang amat cacat bagi seorang manusia, jika dia tidak mengetahui perkara-perkara buruk dalam kehidupannya. Ianya ibarat cermin diri, nilainya terletak pada kesedian kita berlapang dada, tashammuh.

Dengan kelapangan hati inilah kita bersederhana, kita masih boleh berkawan dengan orang yang hisap rokok, kita masih usaha dekati sahabat kita yang melakukan hubungan bebas, kita cuba memahami masalah remaja bermasalah dan sebagainya. Mengetahui dunia mereka bukan bererti kita turut sama, tapi menyelami rentak mereka agar mudah kita melampirkan sebuah penjagaan pada diri dan sebuah petunjuk buat mereka memilih jalan yang benar.

Kita tidak terus mensisihkan mereka tanpa berusaha merawat mereka. Kita tidak terus mengeji, tanpa mencari jalan penyelesaian untuk mereka. Tidak boleh terus menghukum di atas kesalahan, pengbodohan mereka walhal mereka sebenarnya butuhkan bimbingan bukan terus menerus menumbangkan mereka. Inilah uslubud da’wah kita.

Ingatlah, hati ini ibarat bekas, yang mana jika tidak diisi dengan air maka akan diisi oleh pepejal lain. Begitulah hati, jika tidak diisi dengan kebaikan maka akan disi dengan kejahatan. Maka isilah hatimu dengan segala macam jenis kebaikan... dengan zikir, dengan alunan al-Quran, dengan ilmu. Moga disaat itu jua, Allah Taala mencampakkan rasa ketenangan dan mencabut segala rasa kesunyian, kesunyian, kesepian yang bisa menggugat hadirnya iman.

Bersama kita muhasabah...
Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Disember 22

Ustaz, Jelaskan Wanita Baik Untuk Lelaki Baik?

Menjernihkan Kalam Allah yang satu ini: Firman Allah Taala bermaksud: "(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia" an-Nur (24:26)


(Jom sertai saya di Rezza Khanafiah Fan's Club: sila klik di sini)


Assalamu'alaikum WBT ustaz,

Boleh jelaskn tentang; "wanita yang baik untuk lelaki yang baik"?

Ada seorang wanita yang hidupnya penuh dosa dan noda.Pernah melakukan maksiat sehingga ke tahap zina, solat tidak sempurna.Tapi alhamdulillah, selepas itu, wanita tersebut bertaubat, menyesal dan terus meninggalkn maksiat.Adakah dia tidak layak untuk lelaki yang tidak pernah berzina? Dalam kata lain, lelaki yang soleh.Adakah adil? Adakah dia berhak mendapat lelaki yag baik untuk memimpinnya ke jalan benar? Begitu juga dengan lelaki. Seoranglelaki yang pernah melakukan maksiat akhirnya bertaubat dan bertemu wanita solehah. Adakah dia layak?

Saya yakin persoalan sebegini masih ramai yang tidak jelas dan Allah Taala itu Maha Penyayang.

Daripada Saudari Zinnirah



Maklum-balas:



Wa'alaikumussalam WBT.

Biarpun Lelaki baik mahupun wanita baik di pandangan mata, bukannya penilaian baik itu kerana sahaja dia dilahirkan dalam serba baik atau tidak pernah buat salah... tapi pada perwatakan dia yang baik dan senantiasa berada dalam keadaan serba baik dari melakukan kejahatan. Dilahirkan dalam suasana baik belum tentu dia seorang mampu menjadi baik, kerana dia juga manusia biasa. Tapi kebaikan di sini diukur selama mana dia mampu berperwatakan baik pada sifat. Orang tidak baik (watak), bisa jadi akan lebih baik andai dia tahu dan mengerti bahawa hidup perlu serba baik sebagai jaminan kehidupan baik selepasnya.

Isu baik di sini umpama air dan minyak, baiknya air tidak akan selamanya dikotori oleh jahatnya minyak. Untuk dapatkan baik, hendaklah dia terlebih dahulu baik.

Kebaikan di sini ialah pada perwatakan (sifat) walaupun selama hidupnya dianggap manusia jahat, tapi apabila dia mampu berubah kepada baiknya sifat.. maka kejahatan pada nama tadi tidak akan terkesan sama pada baiknya sifat yang ditonjolkan. Tapi baiknya itu perlu berterusan, hingga dia tawar untuk kembali kepada kejahatan.


Maklum-balas Saya Wanita Biasa:


Salam ukhwah saudari zinnirah..

saya turut berminat dengan persoalan yang saudari telah kemukakan.

Saya yakin, seseorang yang telah bertaubat dan kembali ke pangkal jalan, Allah Subhaanahuwa ta'ala tidak akan mensia-siakan perngorbanan nya. Samada diberikan kurnia di dunia ini lagi ataupun di simpan untuk dianugerahkan di akhirat kelak.

Teruskan mujahadah diri, kenali perangkap-perangkap samar si iblis laknatullah. Jika kita berkenalan dengan lelaki baik sekali pun, melalui cara itu juga iblis boleh memasang perangkap nya. Perasaan cinta itu sungguh halus, iblis bisa saja menelusuri denyutan nadi kita sehingga hati sentiasa teringatkan lelaki baik tadi. Kita makin bersemangat untuk beribadah kerana hati sedang bahagia. Adakah semangat itu sama semasa sebelum dan selepas berkenalan dengan lelaki baik?? Jika luarbiasa perasaan semangatnya. Berhati-hatilah kerana tanpa kita sedari, nilai keikhlasan beribadah itu sudah dibeli dengan rasa cinta pada lelaki baik itu, bukan lagi 100% hati yang ingatkan Allah.

(Mungkin tips-tips untuk ubati hati ini Ustaz Rezza boleh beri ulasan lanjut.)

Andai tidak ada yang ingin menerima, tidak megapa. Yang penting hati kita dipenuhi dengan Cinta Illahi dan Rasul-Nya. InsyaAllah. Mujahadah hati kita.


p/s: Jom sertai saya di Rezza Khanafiah Fan's Club: sila klik di sini
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Disember 21

Motivasi: Dia Juga Manusia Biasa

Manusia biasa mampu mencetuskan maha-karya seni kehidupan luar biasa hanya bermula pada niat baik. Kuasa tunjahannya pasti memberi kesan semula-jadi...







PENAT... kita semua penat. Bila penat, sudah pasti tuntutan kerja lebih luas berbanding masa diperuntukkan. Kita berusaha lebih gigih, lebih tekun untuk langsaikan semua tuntutan tadi dengan penuh dedikasi, modus operandi pula ialah ikhlas, lillahi Taala, tidak harapkan balasan, dan buat rasa tanggungjawab. Jauh lebih redha daripada golongan kedua, rajin tapi kurang ikhlas, kerja dibuat bagaikan melepas batuk di tangga, serasa dipaksa, kalau bukan kerana upah,Imbang Penuh sudah pasti pahat tidak bisa bergerak.

Muthu Ravi, seorang petani di sebuah ladang estate. Beliau telah lama mengusaha ladang getah, dari pokok kecil hinggalah matang, semua itu adalah hasil usaha, jerih perih, dan tekun yang tidak pernah kenal erti malas, jenuh, dan paksa. Peluh yang meleleh keluar dari liang-liang kulit, dirembes penuh teruja, cahaya matahari sentiasa membumbung kepala, menagih kudrat. Sudah lebih 20 tahun beliau menabur keringat di atas pemurnian mulia ini, dia sentiasa yakin rezeki baik itu datang daripada Pemilik Rezeki.

Ahmad juga seorang petani, hidup berjiran dengan Muthu Ravi di perumahan kos rendah khas buat para peladang estate. Ahmad juga melaksanakan kerja seperti jiran baiknya itu, berpagi-pagian lagi ke ladang getah. Selepas tahun, demi tahun minat Ahmad pada pertanian makin pudar, hasil pendapatan tidak begitu baik. Mutu kerjanya makin hari, makin malap, ditambah lagi keperluan di pasaran sudah susut, harga getah jatuh mendadak. Tiada lagi sebunjut ikhlas tergalas di bahu, tinggal lagi rasa satu bebanan.

Maka terputuslah harap si Ahmad pada rahmat Allah.

Saya percaya, ramai juga teman di luar sana, adakala sering diserang perasaan, mehnah seperti ini, tapi tidak tahu apa perlu dibuat, dilakukan tatkala tiada lagi sebuah harapan tersisih, lupa pula kepada Tuhan Pemberi Harapan.

JUJUR, IKHLAS

Dunia adalah tempat berusaha mengenal dan mencari keredhaan-Nya, dan segala Qadha’ dan Qadar telah ditentukan melalui Sunnah-Nya, iaitu cara kerja kita, tadbir kita sebelum datangnya takdir. Akhirat pula adalah tempat kita diberikan ganjaran, keputusan dan balasan, atas segala usaha yang kita lakukan.

Apa, kenapa dan bagaimana, yang akan menjadikan kita mencapai klimak kenikmatan di akhirat nan abadi, bukanlah isu utama yang perlu dibincangkan siapa salah dan siapa benar, kerana Sunnah-Nya, bergantung pada cara kerja kita, kelak akan memungkinkan apa sahaja yang dipinta.

Muthu Ravi seorang manusia biasa, Ahmad juga begitu. Membedakan mereka bukan kerana si Muthu Ravi rajin ke kuil, atau si Ahmad malas ke masjid, tapi ikhlas. Usaha, tekun belum tentu lagi seseorang itu ikhlas. Petanda ikhlas tidak terkesan sama dengan suasana, waima keadaan selalu meleset daripada sebuah pengharapan dipinta, tapi ikhlas mengatasi segala-galanya. Tiada rasa cepat mengeluh, jauh sekali mengalah.

Keperibadian Muthu Ravi, dan sifat ikhlas bagaikan sudah mendarah-daging. Ibarat dua insan sedang bercinta, kelautan api diredah bersama, iaitu membawa makna luaran tidak penting apa yang mereka berdua lakukan, yang penting nikmat bersama. Seorang muslim perlu berbangga, kerana dia mempunyai satu Tuhan untuk disembah, tiada dua, mahupun tiga. Kebergantungan kepada Allah Taala itu selepas usaha, tekun adalah tanda ikhlas kita. Paling penting ialah kebersamaan kita dengan Pencipta, sebagaimana ibarat dua insan bercinta tadi, dan perlu diingat tiada kenikmatan di dunia setanding yang di SANA.

Benar, ikhlas...

Akhirat itu dimensinya sangat berbeza dengan kehidupan di dunia. Seolah-olah di akhirat nanti kita membawa keinginan, pemikiran, kemahuan dan nafsu yang sama. Justeru apa yang menimbulkan perbalahan di dunia, mahu diheret juga ke akhirat. Kita lupa pula bahawa Allah itu Tuhan dan kita adalah hamba.

Hamba yang banyak karenah dan sangat berkira.

Sebab itu asas agama ialah mengajak manusia menjadi hamba. Bukan hamba pada sifat luaran, material tapi hamba kepada Allah, hamba Tuhan.

BERSANGKA BAIK

Manusia matang bukan kerana berubah pada aspek luaran, berubah itu hanya sebagai petanda kita sudah tidak lagi budak, tidak lagi kecil, namun kita harus ingat gelaran ‘budak hingusan’ tetap sahaja sebati andai kita tidak pernah matang akal, matang tindakan. Ujian pula adalah satu cara mematangkan cara kita bertindak, mahupun berfikir.

Ramai manusia, lebih-lebih lagi di kalangan orang muslim selalu bersangka buruk dengan takdir tertimpa ke atas dirinya, keluarga. Ujian sebenarnya adalah habuan kalian bila berhadapan pelbagai karenah dunia, ibarat cermin sisi melihat jauh ke belakang tapi matlamat kita memancu laju ke hadapan. Ujian itu adalah medan kita melihat, menilai.

Manusia alpa di persinggahan sementara ini, mereka akan terus hanyut dibawa arus membadai. Ibarat juga, seorang pemandu di kenderaan off-road yang tidak dapat melihat sekeliling, apabila tanah penuh menyeliputi cermin, dia seronok memandu ke sini sana. Melainkan dia mempunyai wiper yang berkesan membersihkan cermin bagi melihat arah pancuannya. Malangnya pembersih roh tidak semudah analogi membersih cermin kereta tadi.

Kalau kita jadi seperti Muthu Ravi, serasa memang ada kesulitan, sukar untuk diungkapkan dan dibicarakan kepada mereka yang tidak merasa. tapi atas hikmah tarbiyah yang dilalui, atas kekebalan hati untuk terima kehendak-Nya dengan redha merupakan satu mujahadah yang menghasilkan pahala, maka hati kita tetap terpujuk, dan tidak akan terpukul sama.

Wahai teman...

Sejauh mana hati kita lunak dengan pujian manusia, atau asyik dengan ujian ketabahan dan kekebalan hati yang Allah Taala beri, kita yakin ada lagi perkara lebih besar yang bakal berlaku dalam hidup ini. Jadi apa sahaja perkara ‘kecil’ yang berlaku, tidak akan memberi kesan yang serius dalam hidup kita, kerana matlamat kita adalah akhirat.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Oleh itu (tetapkanlah akan kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan. Sesungguhnya (sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertakan kemudahan” ash-Sharh (94:5-6)

Jadilah hamba kepada satu Tuhan untuk dipersembahkan keikhlasan beribadat, melakukan kebajikan, bukan kerana untuk membahagiakan ‘tuhan-tuhan’ kecil semata-mata kerana habuan dunia.

Kita akan tewas selama-lamanya sebelum sempat berjuang.

Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Disember 15

Sering Tersasar Kerana Kesalahan Diri

Kita sering hilang mujahadah disaat kita sendiri menagih dan memerlukannya. Kesilapan itu datang daripada kealpaan kita sendiri. Silapnya datang daripada tangan yang memilih dan kaki yang melangkah.





Assalamualaikum ustaz,

Saya mempunyai masalah untuk bangun mengerjakan Solat subuh... liat sangat. Untuk pengetahuan ustaz, saya merupakan seorang pekerja yang belajar secara sambilan. Saya sangat risaukan keadaan diri saya yang tidak berdisiplin untuk bangun Solat Subuh. Menjadi masalahnya, kadang-kadang saya terpaksa berjaga hingga larut malam untuk siapkan tugasan pensyarah sehingga kadang-kadang jam 3 pagi baru tidur. Saya tahu Allah Taala murka pada umatnya yang tidak kerjakan solat sedangkan solat Subuh cuma 2 rakaat, tetapi Subuhlah yang paling berat buat saya.

Sudah pelbagai cara saya usahakan seperti kunci jam, niat dalam hati sebelum tidur, baca doa dan basuh kaki sebelum tidur. Insya-Allah semua dah saya cuba tapi saya masih tak mampu nak bangun. Saya sangat berharap ustaz dapat bagi tunjuk ajar atau ada apa-apa panduan supaya jadikan diri saya ini berdisiplin. Kalau ada doa-doa yang berguna juga saya amat menghargainya.

Terima kasih ya ustaz!


Maklum-balas:


Wa'alaikumussalam WBT.

Masalah bangun subuh atau apa sahaja yang memerlukan seseorang mujahadah (berusuha lebih daripada kebiasaan) ialah disiplin. Tiada siapa yang mengubah kita, dan cara kita melainkan kita sendiri. Sudah tentu disiplin tadi akan mengawal segala tindak-tanduk dan gera-geri kita menjadi seperti apa kita mahukan. Soal disiplin tidak datang dengan mudah, ianya perlu pada rangka dan matlamat ingin dicapai, maka barulah di sana ada usaha untuk menggerakkannya.

Ianya bermula daripada niat kita terlebih dahulu. Kalau saudara menghadapi masalah bangun awal pagi, solat subuh.. maka saudara lebih mengetahui apakah kondisi sepatutnya saudara lakukan, mungkin saudara boleh mengurangi waktu bekerja melibatkan kudrat tubuh badan, belajar sahaja memerlukan kudrat dalaman yang lebih apatah lagi yang memerlukan kekuatan fizikal berlebihan, maka saudara telah memaksa diri membuat sesuatu di luar lingkungan normal kekuatan tubuh badan.

Selain itu, saudara boleh juga amalkan mengambil wudhu' terlebih dahulu sebelum hadirnya niat, baca doa dan sebagainya.

Semua ini perlu dilihat pada sudut positif, jangan cepat putus asa.

Nabi s.a.w pernah bersabda;

Bermaksud: “Sesiapa yang menunaikan solat Subuh, maka ia berada dalam jaminan Allah SWT. Kerana itu, janganlah kamu mencari jaminan Allah Taala dengan sesuatu (selain daripada solat), yang pada waktu kamu mendapatkannya, lebih-lebih lagi ditakuti kamu tergelincir ke dalam api neraka” (Hadis Riwayat Muslim)


Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, November 13

Merubah Diri Di Persinggahan






RAMAI di kalangan sahabat, para pembaca laman puteraazhari masih tercari-cari ‘pulau persinggahan’ sebenar, secocok dengan diri, kehendak diri, naluri iman. Perahu yang dikemudi tidak selama-lama berdaya mengayuh melawan badai mendatang, tapi bila mengenangkan nasib diri nun masih jauh lagi meneropong pulau persinggahan idaman, serasa sudah hilang minat untuk mengayuh. Biarlah mati keseorangan di tengah-tengah samudera bahaya, tenggelam dipukul ombak.

Bekalan makanan di bawa makin susut, tiada lagi bantuan yang masih tersisa,

Saya adalah manusia biasa seperti kalian, butuhkan tunjuk ajar. Seperti saya jelaskan dalam pencerahan artikel semalam, hidup ini adalah antara medan untuk kita belajar, belajar dengan alam, belajar dengan manusia pelbagai, belajar dengan keajaiban ciptaan makhluk Tuhan lain. Kita tidak semuanya bagus, baik, sempurna, dan pantas mengemudi bahtera kehidupan tanpa belajar, dan meminta bantuan orang lain.

Inilah antara ajakan, dakwah baginda Rasulullah s.a.w kepada kaum Quraisy agar mengkaji, belajar, selidik masak-masak tindakan, cara kerja mereka dalam menangani kehidupan berkabilah, berpuak-puak, bukan sahaja terletak pada kekuatan jasmani untuk memerintah tapi kekuatan akal untuk mencerah suluhan iman, siapa benar dan siapa salah, akidah dan sebagainya.

Bagi saya, matlamat saya, impian saya, setiap masalah kalian adalah perjuangan saya. Bersama-sama berdiri di belakang, menyusun semula galur hidup mengikut aturan Islam, perintah syari-‘at. Saya hanya mampu memberi input idea, jalan penyelesaian bagi memudahkan kalian, bagi para sahabat di luar sana merubah strategi baru, dan bersedia memulakan sebuah perjalanan sukar ini. Perhentian kita masih jauh, tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Sekali lagi saya ingatkan, perancangan, rencana sesiapa bisa garap, coret di atas kertas, tapi parancangan saya harapkan ialah keupayaan kita mengeluarkannya dalam realiti hidup kita sebenar, bukan omong-omong kosong. Bermula daripada keupayaan kita menggusulkan idea, bertindak balas melalui tindakan.

Kesilapan pertama dibaiki pada tindakan kedua, ketiga, dan seterusnya hinggalah apa dicari diketemui.

Di mana fungsi utama penggerak?

Sudah pasti akal. Berpadu dengan daya.

Kejayaan yang diraih, atau kegagalan yang menimpa dapat ditelusuri jauh ke dalam diri kalian, arkitek sebenar di sini ialah diri kita sendiri, bukan orang lain. Semua manusia mempunyai diari dan catatan perjalanan sendiri, bagi mereka tanggungjawab adalah beban dan memberi masalah. Padahal, tidak seorang pun tidak pernah merasakan kebebasan setelah berani memikul sesuatu amanah. Amanah kita sekarang ialah terhadap diri dan agama.

Pengalaman lepas, dijadikan cermin sebelum bersedia melangkah ke episod baru.

Pengalaman itu sendiri bukanlah guru. Pengalaman akan hanya menjadi guru apabila kita memproses pengalaman itu. Dapat dikenalpasti hujung pangkalnya, kelebihannya, kelemahannya dan dirumuskan sebagai panduan. Adapun panduan itu tidak optimum kecuali apabila ia didokumentasikan. Dokumentasi pengalaman yang saya harapkan ialah tepat dan jelas. Tepat sahaja, tapi kalau tidak jelas, abstrak, tidak praktikal akan menghilangkan nilai tepat itu tadi.

Jangan ada walaupun sebesar zarah rasa malas, jemu kerana ini sebahagian kudis yang menggangu keselesaan kalian melangkah, tangan akan sentiasa mengusap-usap kudis itu. Maka hilanglah selera untuk maju.

Berusaha lebih gigih.

HIKAYAT ITU

Seorang pemuda terasa lapar, lantas mencari restoran atau kedai-kedai makan buat mengisi perut kosong. Bila sahaja sampai, dia segera menempah hidangan lazat dan banyak, kehendak nafsu makan disebabkan lapar tadi telah menambah naluri makan. Selepas kenyang lahap meratah hidangan, tiba-tiba dia didatangi oleh seorang anak kecil yang membibit seraga kuih-muih, masih elok, dibungkus siap di dalam plastik jernih. Budak itu menawarkan kuih dibimbit kepada pemuda tadi;

“Bang... mahu beli kuih, bang?” kata budak itu penuh sopan, bersalut satu harapan.

Dengan ramah pemuda itu bersuara; “Owh.. tidak dik, abang sudah kenyang”

Usai pemuda itu membayar hidangan yang disatap tadi, pemuda tersebut terus beredar dari restoran.

Anak kecil tadi tidak berputus asa, kerana sudah sehari suntuk dia menjaja, menahan amarah panas matahari memancar. Dia perlu menghabiskan sisa kuih-muih yang masih berbaki, kerana dia tidak sampai hati membuat hati ibunya terluka. Ini adalah kuih-muih buatan ‘air tangan’ ibunya tercinta. Sejak ayahnya meninggal dua tahu lepas, ini sahajalah punca pendapatan mereka anak beranak bagi menampung biayai rumah sewa dan keperluan harian yang kian naik.

Dia bermonolog, mungkin dia berhasil memujuk pemuda itu supaya membeli juga kuih-muih ditangannya ini. Diekorinya pemuda tadi selangkah demi selangkah, hingga dapat memotong derapan langkah kaki pemuda itu. Ditawarkan lagi kuih-muih ibunda tercinta.

“Bang.. mahu beli kuih saya?”

“Maaf dik, abang sudah kenyang, baru sahaja lepas makan” pemuda menolak sambil tersenyum melihat gelagat anak kecil dari tadi.

Anak kecil itu tidak berputus asa, dia fikir mungkin pemuda itu akan membeli juga sebagai ole-ole di bawa pulang ke rumah untuk keluarga, atau sahabat serumah. Dia terus bertekad, ingin habiskan jualan kuih-muih agar bisa menampung modal, di samping mengharapkan keuntungan, ada juga rezeki untuk ibu belanja nanti.

“Bang... kuih ni ibu saya buatkan, pasti abang teruja untuk makan. Bang, mahu beli?” anak kecil terus meraih simpati pemuda tadi supaya membeli juga kuih-muih.

Pemuda dengan rasa kesian, simpati melihat air muka anak kecil itu tiba-tiba berubah, lalu dibuka dompet duit diberi lima ringgit sebagai sedekah tanpa mengambil kuih-muih, ikhlas pemuda itu memberi.

Anak kecil itu mengambil duit diberikan itu dengan penuh takzim, kemudian dia berlari-lari kecil memberi duit itu kepada seorang pengemis yang berada di kaki lima bangunan, tidak jauh dari tempat dia dan pemuda itu berada. Pemuda tersebut rasa bingun, pelik kenapa tiba-tiba duit yang dikasi, diberikan pula kepada orang lain, bukankah dia butuhkan duit.

“Kenapa kamu memberi duit itu kepada orang tua itu?” dahi pemuda itu berkerut, rasa penuh hairan dan tanda tanya.

“Sebenarnya saya tidak mahu kecewakan ibu saya. Kuih ini adalah hasil titik peluh ibu saya buat, dia sanggup berjaga malam bersekang mata di saat saya nyeyak tidur semata-mata ingin membuat kuih ini. Hanya satu sahaja harapan ibu saya, dia ingin kami berusaha selagi kami mampu menjual kesemua kuih ini, bukan menerima duit sebagai sedekah”

“Ibu tidak suka kami mengemis, kudrat kami masih kuat, kami mampu berikhtiar” anak kecil itu bersungguh-sungguh membantu ibunya.

Kata-kata anak kecil itu telah merubah sikap, prinsip hidup pemuda itu. Kuncinya satu berusaha, jangan cepat putus asa. Dia telah belajar sesuatu yang berharga dengan seorang anak kecil, tapi mempunyai jiwa dan perwatakan matang, lebih tua daripada usia. Pemuda itu, dengan penuh rasa tanggungjawab, dia membeli kesemua kuih-muih yang digendong anak kecil tadi.

Dia tahu, andai dia tidak berputus asa, berusaha, dan usaha, pasti dia akan memperolehi kejayaan dalam lapangan kerjayanya sekarang, di samping dapat meningkatkan produktiviti dalam bekerja. Mulai saat itu juga, pemuda itu memasang niat untuk meluaskan perniagaan, walaupun bakal menempah risiko, tapi itu bukan halangan untuk dia berjaya hasil daripada keinginan, usaha, dan tidak kenal erti kalah.

Kalian, kita mempunyai matlamat, cita-cita yang harus digapai. Mulakan dengan usaha tidak pernah jemu, kenali diri, potensi yang ada untuk melihat masa depan lebih gemilang, cemerlang. Kejayaan langkah pertama, menjadi target untuk kejayaan demi kejayaan diraih bagi langkah seterusnya.

Hadapai masalah dengan tenang, sediakan kaedah, rencana, dan perancangan bukan sahaja hebat di atas kertas, tapi hebat menterjemahkan ke dalam realiti kehidupan sebenar.

Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Oktober 30

Berilmu Dan Berpengetahuan





APA itu ilmu?

Bagaimana pula pengetahuan, apakah ianya sebahagian daripada ilmu? Tahu dan berilmu itu pula bagaimana?

Ilmu cukup penting bagi mengawal world-view (sudut pandang persekitaran) seseorang manusia. Pemilihan bahan bacaan juga penting dari sisi pengetahuan ber-ILMU kita mahukan. Membaca ialah salah satu cara seseorang itu menambah pengetahuan. PEMILIHAN bahan bacaan yang tepat, akan menjamin pengetahuan ber-ILMU kerana pengetahuan itu belum tentu ber-ILMU. Pengetahuan ber-ILMU ialah sesuatu yang boleh diambil MANFAAT, ditumpangi dan dapat DIAPLIKASI dalam kehidupan seharian. Membaca Majalah MANGGA, ARENA dan MASTIKA hanya mampu jadi bahan BUALAN kosong di kedai makan, bukan sebuah perbincangan ILMIAH.

Keutamaan berilmu menjadi tujuan paling penting dalam hidup kita. Jangka pendek, menimba ilmu yang selalunya bermula di sekolah rendah adalah untuk berjaya dalam ujian, kerana ujian itu adalah untuk menguji kefahaman kita pada apa yang telah dipelajari. Jangka panjang, belajar adalah untuk kefahaman dan bisa diaplikasi dalam kehidupan.
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Oktober 19

Tarbiyah Sikap Kurangkan Egois Dalam Beribadat







KEHIDUPAN insani memang sentiasa diwarnai, warna-warna ini membentuk laskar pelangi yang pelbagai. Warna kehitaman sinonimnya adalah sifat antagonis yang berlawanan dengan sifat utama, dipalit warna kehitaman di setiap langkah mengukir warna-warna hidup ini sedikit mengundang keresahan di hati bagi setiap manusia yang bertuhan. Dibiarkan usah sesekali, kelak ianya tidak lagi warna yang indah kerana hitam tadi menutup seri warna, tidak mustahil memudarkan hingga hilang asli warna asal.

Kita mempunyai pilihan untuk menjadi orang yang bahagia kerana kita yang mencorak warna tadi. Andai kita memilih untuk menerima kemaafan dan melupakan kesalahan yang dilakukan oleh orang lain, itu petanda kita tidak mahu ianya berlarutan, tergantung hingga hilang rasa bahagia... atau mungkin kita bisa memilih untuk lari daripada masalah tadi dengan cara berdiam diri dan masih tidak melupakannya, maka kita sengaja memilih jalan cerca.

Bagi orang mukmin, dia perlu tahu tidak semua perkara bisa dilakukan tanpa had, persempadanan tindakan kita telah ditentukan oleh syariat (cara hidup islami). Sedarnya kita ialah kita hanya seorang hamba, Dia ialah Penguasa sekalian hamba. Justeru itu, kita sentiasa ingat kepada siapa kita pertontonkan amal dan kebaikan, walaupun sedikit dihargai oleh manusia kerana dia juga seorang hamba tapi kita ingin mencapai anugerah tiada tandingan daripada Pencipta sekalian hamba.

Bermula dengan hidup sederhana, kita diajak mendidik hati supaya tunduk pada kekuasaan Dia yang serba kuat, dan tidak kalah oleh segala kelemahan. Kaya kita bukan susah untuk bersederhana kerana apabila kita menzahirkan kesederhanaan itu sudah pasti mematikan sikap egois. Kelemahan hadir tidak mengira apa jua status anak adam itu... miskin jika tidak ditangani dengan baik supaya adanya kaya budi dan kaya hikmah, sudah pasti jurang untuk jatuh ke lembah kelemahan tunggu saat dikuburkan. Kaya pula apabila egois tadi dibiarkan menguasai diri, mudah sahaja kekayaan tadi melapah sebuah budi, zuhud, pekerti kerana sudah lemah... lemah daripada deria sifat mahmudah.

Konsep penjagaan diri ini meliputi luaran dan dalaman manusiawi. Kita akan lihat, sifir paling mudah sikap luaran akan mengambarkan sikap dalaman seseorang kerana tidak mustahil perihal dalaman yang amat sulit dikerjakan akan berlarutan hasil didikan luaran.

Kita pasti risau, apabila melihat lelaki yang tidak mengambil kisah kebersihan kolar baju dan kolar lengan, begitu juga teramat risau apabila seorang perempuan acuh tidak acuh akan kebersihan tudung yang dipakai. Orang-orang seperti ini lebih berpotensi untuk meninggalkan amalan sunat dalam ibadat... hilang tama’ninah dalam solat, gosok gigi sebelum solat subuh, dan merata air ke seluruh badan ketika mandi wajib. Golongan ini lebih berisiko dijadikan pasangan hidup berbanding mat rempit yang bertahajud di atas jalan, dan minah senget di hulu kampung.

Bunyinya nampak aneh sahaja, bukan? Tapi itulah realiti.

Mungkin sahaja golongan cerewet tentang kebersihan lebih berisiko, kerana mereka bukan sahaja tahu akan tuntutan kebersihan, tapi sinis untuk melaksanakan. Mereka ini lebih liat untuk mendengar nasihat kerana sikap tahu tapi tidak buat tadi menumbuhkan egois di hati... sedangkan golongan kedua, mat rempit dan minah senget yang tidak tahu apa-apa akan mudah mendengar kata apabila menerima teguran baik-baik secara baik.

Contoh paling mudah; kita lihat dan dapati siapa paling liat untuk datang berusrah? Di kalangan ahli yang serba-serbi tahu kononnya, atau mereka yang sedang tercari-cari nur hidayah? Jentik hati tanya iman.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan kepadanya jalan keluar, dan mengurniakan kepadanya rezeki dari arah yang tiada dia sangka-sangkakan” at-Talaq (65:2-3)

Maka kita telah kalah pada satu sikap mazmumah, iaitu ego. Sikap ini akan terus menebal jika tiada racun mematikan akar bahagian punca tumbuh sifat buruk ini. Kita boleh didik diri kita jadi seperti apa kita lihat, baik dan buruk terserah kepada tangan kita memilih dan kaki kita melangkah. Tapi kita harus sentiasa sedar mush-musuh Allah Taala tidak pernah tidur, nafsu dan syaitan akan terus menusuk jarumnya di setiap kelalaian kita. Mereka lebih cepat merebut peluang di setiap ruang yang terhidang.

Bermula daripada sikap sederhana tadi, maka akan lahir sifat zuhud, budi pekerti mulia. Kita akan terus memandu kehidupan, akan terus mencorak warna-warna indah sebelum kita dijemput untuk menuntut hasil keindahan tadi di hadapan Allah Azza Wajalla.
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Oktober 12

Masa Muda Adalah Pengalaman Di Masa Tua







PERJALANAN ini masih jauh untuk sampai ke destinasi matlamat. Senang atau sukar untuk menempuh perjalanan itu sememangnya perlu menempuh fasa yang panjang yang bernama PENGALAMAN. Pendakian ini mungkin sukar untuk direalisasikan kalau sekadar hanya membawa bingkisan ilmu, segulung ijazah bukan ukuran tepat menilai kejayaan seseorang dalam hidup, tapi lebih pada melihat seberkas nilai hidup digunakan sebaik mungkin.

Namun ramai yang mengejar segulung kertas itu, berbanding mencari harga sebuah hidup.

Mungkin kebanyakan yang mengalami sindrom ini di kalangan anak muda.

Anak muda sering digambarkan sebagai produk bernilai bukan sahaja dari aspek agama, sesebuah negara berdaulat juga memerlukan anak muda yang berpotensi dari sudut akhlak peribadi, pekerti baik di samping mempunyai keilmuan tinggi di dada.

Hari ini saya belajar sesuatu yang cukup berharga daripada murabbi, Al-‘Alamah Al-Faqeh Sheikh Dr Ali Jumaah Al-Azhari menggali khazanah di telaga bernama ilmu, lantas ilmu tersebut mampu melahirkan manusia yang tawadhu’. Tawadhu’ ini kemuncak tertinggi untuk membentuk manusia baik akhlak, dan menyuluh perjalanan yang masih jauh.

Mengajar manusia normal, aqel baligh bukan mudah seperti kita mengajar monyet panjat pokok kelapa. Makin berilmu seseorang-andai tidak dipandu oleh iman, sikap sombong, takbur, ego makin menjadi-jadi. Ada ilmu, tapi diguna pada jalan salah dan berkepentingan peribadi. Maka kefahaman yang jelas pada ilmu-ilmu perlu dihadam oleh setiap manusia.

Perlu pada Al-Hikmah.

Benar, kebijaksanaan.

Fahamilah, di antara pejalanan hidup yang masih panjang buatlah sesuatu yang boleh dimanfaatkan, ianya suatu pengalaman yang sangat berguna. Jangan sia-siakan semangat kemudaan kalain, kerana apabila tibanya tua bukan sahaja susah, payah membuat kebajikan, malah mengumpul pengalaman di kesenjaan usia akan meninggalkan masa berharga bersama orang tersayang. Ilmu membentuk manusia bersarjana, berintelek. Manakala masa dan pengalaman yang dicari bakal membekaskan kebijaksanaan pada sebuah tindakan.

Menempuh dan menyaksikan pelbagai kitar usia manusia dan belajar daripadanya adalah pengalaman tiada tolok bandingan. Banyak peristiwa yang berlaku dan percubaan demi percubaan yang pernah diambil di sepanjang perjalanan hidup telah pun sampai kepada natijahnya. Natijah akhir ini akan mematangkan setiap daripada kita membuat sesuatu keputusan hidup, ilmu juga pasti memandu bersama.

Apa lagi kita mahukan dalam hidup? Kalau bukanlah seberkas keredhaan-Nya sebelum dimakamkan.


Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, September 21

Kehidupan Insani Memerlukan Motivasi









MOTIVASI ialah melihat sesuatu jauh kehadapan dan menjenguk sesuatu tinggi melangit. Buah akalnya berupa api semangat, meredah susah untuk senang kemudian, sama ada dia berani atau langsung tidak dia tidak terkesan kerana matlamatnya hanya satu, iaitu mencapai apa yang diimpikan. Muhasabah pula, mencari gali hikmah di sebalik mehnah, mengeluarkan isi tersirat di sebalik tersurat... kebaikannya diteladani dan keburukan ada disempadani. Orang mukmin akan memanfaatkan kedua-dua M ini untuk mencetus sumber inspirasi dan aspirasi dalam hidup.

Motivasi dan muhasabah penting. Jadikan liku-liku hidup sebagai seorang hamba serba kurang untuk keluar daripada kepompong lemah. Ketika ini muhasabah diperlukan... bentuk kesusahan dunia moden bukan lagi seperti peritnya Bilal bin Rabah menanggung sesak dada dihempap batu besar di padang pasir panas terik, motivasinya pada lantunan kalimah “Ahad (Esa).. Ahad!!”. Jerihnya kita pada hari ini bukan lagi seperti disula kepada Sumayyah, bukan juga direbus panas-panas seperti tukang sikat Firaun, Mashitah... motivasi mereka ada pada Kalimah Tauhid, tiada tuhan berhak disembah selain Allah, Muhammad pula utusan Allah.

Mungkin sudah jodoh saya dengan takdir-Nya yang tersirat. Hikmahnya baru saya kecapi saat saya menulis post ini. Cukup halus Allah Taala menusuk jarum tarbiah ke hati, ketika saya benar-benar memerlukan tonik semangat di ambang peperiksaan makin hampir. Minggu lepas usai saya mengajar pelajar tahun satu dari Indonesia dalam madah Tauhid; Madkhal li Dirasati al-‘Aqidah al-Islamiyyah. Di sana diselitkan punca kekuatan Kalimah Tauhid, seperti sifat Allah 20 dan perbahasannya. Rupa-rupanya ada sesuatu mengetuk jiwa saya, bukan sahaja mengajak saya faham maksud Wujud, Qadem, Baqo’ dan beberapa lagi sifat Allah, lain malah sungguh mengajar saya menjadi manusia beriman.

Kita mesti tetap muslim, dan mukmin dalam apa jua keadaan.. senang kita ialah muslim dan mukmin, susah kita mesti muslim dan mukmin. Kita beriman, iman kita pada hukum-hakam, iman kita pada ajaran baginda, iman kita pada dasar-dasar Islam, rukun-rukun tersandung di dalam pengajarannya. Malah kita kena lebih beriman bila berhadapan pilihan antara iman dan kufur (syirik berat atau ringan). Mudah menutur kalimah syahadah syarat sebagai beriman, tapi lebih mudah kita diserang perkara yang bisa membatalkan iman kita. Islam bukan sahaja pada kalimah tapi pada ibadat.

Jangan sesekali masa senang kita, menjadi istidraj hingga kita terus alpa dan lupa kepada Maha Pemberi kesenangan itu. Dia tidak menagih simpati dibalas semula apa kita kecapi, harta-Nya tidak pernah berkurang, Dia tidak rugi apa-apa. Dia mahukan kita dekat pada-Nya, sentiasa menjadi hamba bersyukur. Jangan sesekali pula masa susah kita dihujani masalah kewangan, kesempitan hidup menjadi penyebab kita makin jauh pada Maha Kaya. Kayanya kita tidak berhenti pada nikmat harta, tapi pahala menggunung.

KITA ADA ALLAH

Dah berkali-kali saya ingatkan, manusia lemah bukan diukur berapa kali dia diserang kemiskinan, kepapaan tapi kemalasan dia bangkit dicelah-celah kemiskinan dan kebodohan dia ditipu berkali-kali oleh harta yang banyak. Ujian-Nya ada di mana-mana, tinggal lagi kita bijak mendepaninya atau tidak.

Ada bersikap pesimis, mustahil boleh bangkit di antara kesempitan hidup... menggangap diri betapa realistik, melihat sesuatu terpacak di depan mata. Kononnya iman perkara abstrak, susah hendak mengimiginasi. Mengamalkan Islam di dunia serba canggih, bukan sahaja berperang abstraknya iman, malah idealogi dan serangan minda dari Barat. Seolah-olah Islam tidak lagi relevan diamalkan dalam kehidupan.

Kita tidak memilih strategi ‘hantuk kepala’ yakni berdepan dengan kejahatan secara membabi-buta. Kita memilih untuk ‘biarkan... biarkan’ hingga serami kejahatan terus melekat di hati, kekotoran makin lama makin degil, dia ‘biarkan.. biarkan’ sampai satu masa cahaya nur hidayah Tuhan susah menyelinap masuk, kerana ditutupi oleh dinding malap.

Benarkah mustahil?

Kalau kita berjaya membina aset kekayaan hasil daripada bijak kita mengurus tadbir syarikat, perniagaan di pasaran tempatan mahupun antarabangsa, kenapa tidak pada iman kita? Membangun pasca iman seiring membangunnya kemewahan material. Kenapa kita tidak pernah muhasabah, dan melihat kejayaan orang lain membangunkan hidup, agar bisa lari daripada kesempitan hidup, miskin harta, di samping sedar satu lagi pembangunan penting, ruh (iman). Jalan ini tidak mustahil bagi mereka yang faham dan membangkitkan kesungguhan dalam jiwa mereka, seterusnya sering mengulang-ulang kebenaran ini di dalam percakapan mereka, akhirnya menterjemahkan semua itu dalam tindak tanduk amalan mereka.

Manusia seperti Abu Bakar, Umar, Hanzalah (asadullah), Khalid ibn al-Walid berjaya membuktikan. Peranan sirah juga penting, melihat mereka terdahulu lebih dahsyat cara serangan tapi mereka hanya berTUHANkan satu Tuhan, iaitu Allah. Begitu juga Imam Hassan al-Banna, Imam al-Qutb, Fathi Yakan, Dato' Fadzil Noor yang sempat hidup satu era dengan kita.

Kita hanya tinggal kemasalan dan seribu alasan.

Kita ada Allah untuk serahkan segala amal perbuatan kita. Dia akan menilai baik buruknya, dan akhirnya ke mana kita diletakkan sama ada dialu-alukan atau dipalu-palukan.




IMAN DAN BAHAGIA

Buatlah perbandingan, antara manusia-manusia di hadapan kalian sebagai cermin harga diri bernilai. Sudah tentu cermin yang baik dapat mengesan diri sesudah muhasabah... laskar tindakan diperhalusi selepas tahu dan mahu.

Insan kerdil yang berasa tidak pernah cukup dengan apa yang ada, akan terus menghambakan dirinya kepada Allah Taala dengan sebenar-benarnya. Kebahagian dan kesedihan semuanya berserah kepada Allah Taala. Sesungguhnya manusia ini penuh dengan sifat-sifat kekurangan, cukup dengan apa yang ada.

Insan megah dengan kebahagian, tidak pernah berasa cukup jika hatinya kosong dan jauh dari Allah Taala. Kepalanya sudah di-setting untuk menerima in-put sahaja, out-put dimatikan. Kita sekarang hanya tinggal kemalasan dan alasan untuk berubah, jauh sekali untuk mengubah. Walaupun masih ada segelintir insan yang benar-benar mengamalkan ajaran-Nya dan menjadi hamba-Nya. Namun masih lagi ramai yang tercari-cari, tergapai-gapai, terkapai-kapai di awangan gelap, di manakah destinasi hendak didarati... mengenali Islam dalam erti maksud yang sebenar bila menjadi hamba.

Susahkah berubah?

Payahkah?

Tinggal lagi mahu atau tidak, sedangkan tahu sudah kejap digalas pada sayap sebelum terjumpa daratan Iman, dan takwa. Kita mampu untuk berusaha dengan baik, dan lebih baik lagi dalam menjadi hamba.

Sang hamba perlu pada dua jiwa. Jiwa Sufi, dan jiwa Jundiy (melawan). Jiwa Sufi, supaya dapat sentiasa menikmati, mengoreksi diri agar kembali pada Ilahi dengan utaian zikir dan tasbih. Jiwa Jundiy (melawan) agar mampu berdiri, berlari dan beraksi agar menyentuh hati-hati agar tidak mati dan bisa mengawal duniawi. Letakkan dunia di bawah tapak kaki (kekuasaan) kita bersama roh Islami.

Rasulullah s.a.w ada bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya Allah, bilamana Dia mengasihi sesuatu kaum, maka akan diuji (menilai tahap iman mereka) kaum tersebut” (Hadith Riwayat Ibn Majah)

Untuk membuktikan bahawa dia benar-benar berada di atas kebenaran yang hakiki. Tidaklah ujian itu, sekadar menguji keimanan. Untuk apa? Supaya kita tahu dalam jerih ada kemanisan, dalam perih ada keasyikan. Keluarkan hikmahnya dari kotak ujian, hamburkan kepada diri sendiri sebagai guide-line, panduan, serta pedoman hidup.

Bila bersandar kepada Allah Taala, seolah-olah memperolehi satu kekuatan untuk menempuhinya. Kerana adanya perasaan yakin bahawa Allah Taala sentiasa ada bersama. Dia Yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat. Betapa Allah amat mengasihi hamba-hambaNya ‘memandang’-Nya sebelum Dia lebih-lebih lagi akan terus ‘memandang’ kita.

Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, September 7

Dia Takdir-mu Di Syurga







HATI manusia sangat fleksibel, tersentuh, mudah bimbang tatkala takdir tidak sebulu dengan fitrah, tatkala diserang malapetaka di luar dugaan resah bukan kepalang, akal separa waras. Bila keinginan diharapkan menemani, datang pula bebanan menghantui. Kenapa, mengapa, apa berlegar, berputar ligat membunuh daya mampu dan mahu. Mampu, dalam erti kata berpecak silat menentang badai, dan mahu, berubah.

Berkali-kali kita diingatkan, manusia tidak sirna dari dugaan, sering diduga dan menduga. Tabi-‘e alam, memang kita memerlukan antara satu sama lain, tiada siapa bisa mendabik dada dia boleh hidup tanpa perlu kepada manusia lain, hatta hartawan sendiri masih memerlukan khidmat orang bawahan, mengaji mengurus dan sebagainya. Justeru itu, masalah akan ada di mana-mana tanpa dipinta, cuma kita disarankan agar berhati-hati, sedia, sabar, dan belajar dari masalah tersebut.

Jodoh, adalah hal berkaitan dengan fitrah, mahu tidak mahu setiap daripada kita pasti dipaksa bergelumang meredah mehnah, suka duka, jerih perih sebelum bahagia dalam rumahtangga direalitikan. Manusia tidak selama-lama akan kebal, pasti ada satu saat dia akan tunduk, jatuh. Oleh kerana itu, Islam mengajar agar kita tidak sombong untuk belajar daripada alam, pengalaman, sirah buat pendinding kalis kecewa, sengsara, dan lara. Kita kan kian tenang dalam damai ketika mencari cinta Ilahi nan abadi.

Kita mesti selalu jadi baik, agar yang baik juga Allah Taala jodohkan untuk kita. Cinta yang dicari baik, tetapi cinta yang ditemui lebih baik lagi. Keluarga ibarat sebuah negara, suami ialah seorang pemimpin menerajui sebuah kerajaan besar, tidak boleh dipandang enteng. Berjaya atau tidak seorang suami itu dilihat berjaya atau tidak anak buah di bawah jagaannya.

Perkahwinan yang sempurna bukanlah sentiasa sempurna, melainkan ketidak-sempurnaan yang ditangani dengan kemahuan pada agama, syariat aturan daripada al-Quran dan as-Sunnah. Tiada apa yang sempurna dalam dunia ini kerana ini hanyalah dunia. Tidak penting di mana kita bermula, tetapi lebih penting di mana kita akan berakhir.

“Kali ini sudah dua kali peluang saya berikan, tapi abang masih tidak mahu berubah...” rintih seorang isteri bila mana tahu si suami main kayu tiga.

Kadangkala kita terlalu mengharap sesuatu yang ideal sehingga kita terlepas pandang dengan segala kebaikan yang ada pada pasangan di depan mata, hingga kita cuba membandingkan dengan insan lain.

Salah kita juga, dulu bercinta bagaikan hilang waras manusia normal, bibir hanya berbicara kebaikan pasangan sahaja, memuji kecantikan pasangan. Bila dah akad, pasti kebaikan juga diharapkan, namun panas tidak selalu sampai ke petang, bila ada step tersilap, maka mulalah persoalkan ini dan itu.

Cabaran hidup berkeluarga tidak seindah yang diimpikan, khabar tidak seindah rupa. Tidak boleh menjadi idealistik. Banyak tanggungjawab harus dipikul, banyak keseronokan masa bujang yang terpaksa dikorbankan, karenah anak-anak yang bisa menggugat kesabaran. Bila dah berumahtangga suami isteri bukan sahaja berkongsi satu bilik, satu katil, satu almari, tapi juga satu rasa, satu tanggungjawab. Bebanan kewangan diatasi, dikoreksi bersama. Kalau suami hanya mampu makan mee goreng, isteri juga mee goreng, kalau suami mampu membiayai bil elektrik dan air, apa salah si isteri pula melunaskan bil telefon.

Di sini, cinta akan mekar berputik, kekurangan ada di sebelah pasangan dilengkapkan pasangan lain. Usia perkahwinan juga akan melalui pra-matang, maka dalam tempoh demikian, terlalu banyak agenda perlu dirangkumkan, apa patut didahulukan, dan mana patut dikemudiankan.

SEBELUM KAHWIN

Berusaha menjadi terbaik untuk mendapat yang terbaik, bukan menilai orang lain baik tapi diri sendiri tiada usaha menjadi baik. Maka segalanya dilakukan dengan usaha dan niat yang ikhlas, niat baik akan dipertemukan dengan takdir-Nya yang baik-baik. Kebaikan kita dinilai oleh masa, kalau umur dah berginjak 20-25 tahun, tapi masih bermain PSP, baca majalah mangga, belek komik bersiri, bukankah teramat jauh untuk jadi baik.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “...perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat)” an-Nur (24:26)

Benar kita boleh berlakon, depan orang cerah perut ibu mengandung, tapi sampai bila, tembelang kalian pasti dapat dihidu, bila dah kahwin semua itu sudah tiada lagi, kembali pada perwatakan sebelumnya.

Kalian berhak memasang cita-cita, memiliki isteri mampu menjaga pakaian dan makan minum, mendamba isteri rajin bertadarrus al-Quran dan bertahajjud malam, isteri rajin dalam kerja-kerja dakwah, mengimpikan isteri melahirkan zuriat soleh dan solehah, menginginkan isteri berkongsi suka dan duka, kalian boleh buat demikian, tapi sanggupkah kalian juga menjadi seperti apa seorang isteri harapkan, menemani di kala tahajjud, menyediakan pakaian dan makan minum, menjadi pemimpin baik buat dirinya dan anak-anak yang soleh dan solehah.

Mereka bertadabbur, dan memahami kalam Allah satu ini;

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan...” an-Nisaa’ (4:34)

Menetapkan niat untuk menjadi lelaki yang baik untuk keluarganya serta hasrat untuk melahirkan generasi baru yang membawa ad-Deen merupakan usaha yang murni. Sudah tentu usaha sedemikian memerlukan keteguhan dan kecekalan serta usaha yang berterusan sambil memohon pertolongan Ilahi. Niat yang baik akan menatijahkan hasil yang baik.

Seorang lelaki menyukai perempuan yang mempunyai sedikit sentuhan maskulin manakala perempuan yang akan menjadi isteri juga menyukai lelaki yang mempunyai sentuhan feminin.

Ringkasnya, suami akan suka isteri yang boleh berdikari menyelesaikan beberapa tugasan atau kerja-kerja yang selama ini dilakukan oleh suami, manakala isteri juga menyukai suaminya sekali sekala buat kerja rumah dan memasak untuk keluarga. Ada kalanya suami memerlukan isteri membantunya dalam menyelesaikan kerja-kerja yang selama ini suami yang lakukan, adakalanya si isteri memerlukan suami untuk ringan tulang dalam hal berkaitan house-chores.

Tiadalah itu satu harapan yang melangit, melainkan rasa ingin merealisasikan sesuatu yang sudah berkurangan dalam kehidupan insan hari ini. Rasulullah s.a.w dalam kesibukannya berdakwah dan menjadi penghulu ummat juga mampu memenuhi hak-hak keluarganya, dan membina satu keluarga Islami yang bahagia, maka kita juga berusaha untuk menjadi seperti baginda.

Saya tidak setuju kalian bercinta sebelum kahwin. Cinta tidak salah, tapi masalah besar adalah orang bercinta, salah meletakkan harga sebuah cinta. Kalau sudah rasa tidak mampu, maka jauhilah maksiat cinta.

Kebanyakan orang bercinta terbawa-bawa dengan khayalan cinta sehingga bersikap terlalu romantik. Bila berbual, banyak control macho sehingga tidak berani bercakap jujur dalam hal-hal tertentu. Bila bercakap, banyak tipu dari memberitahu perkara yang sebenar. Bila merancang, banyak manis dari yang pahit. Bila berjanji banyak hipokrit dari realistik. Ini lumrah orang bercinta. Kerana itu, elakkan mengenali pasangan terlalu intim sebelum berkahwin. Dibimbangi, kalian terkejut selepas berkahwin.

Sanggupkah kalian bercinta?

SELEPAS KAHWIN

Kehidupan adalah realiti yang memotretkan pelbagai palitan warna emosi, suka duka sebagai diari dibaca, dicermati pada hari muka, hal baik-baik sudah pasti diulang dan diperbaiki dari semasa ke semasa.

Kehidupan adalah lautan yang dipenuhi gelombang, taufan dan goncangan, membawa pelbagai cuaca, sudah pasti memberi kesan membekas di hati manusia. Hati manusia ibarat sebuah sampan kecil yang dipaksa berlayar dalam lautan luas. Mahu atau tidak, manusia perlu benar-benar memahami, belajar dari lautan kehidupan sebaik sahaja mereka membuka mata, dan bersedia memulakan pelayaran. Suri teladan para pelayar sudah ada di hadapan kalian, tinggal lagi kalian memilih cara mereka atau membentuk kaedah pelayaran tersendiri berdasarkan pengalaman mereka.

Pelayar terbaik, tidak lain dan bukan adalah baginda s.a.w.

Cinta itu bukan alasan utama untuk dapat bahagia, kerana ramai juga bercerai kerana cinta.

Ramai orang bercinta bagai hilang ingatan, tapi bercerai berai juga. Ramai yang kahwin suka sama suka, tapi rumahtangga kecoh. Ini bukan soal cinta atau suka. Ini soal sejauh mana kebergantungan suami isteri pada Allah Taala dalam setiap urusan, Sejauh mana mereka sepakat dalam mencari berkat dalam rumahtangga. Dengan kehendak Allah sahaja, rumahtangga akan berjaya dan bahagia. Pohonlah kebaikan pada-Nya, serta terus menerus menjadi baik.

Andai ombak kuat melanda bahtera, jangan disangka tiada harapan dapat berlabuh dengan selamat. Ingatlah semakin kita diuji, itu tandanya kasih sayang Allah Taala kepada kita dan Dia tidak akan membebankan hamba-Nya melainkan sesuai dengan apa yang daya kekuatan.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya” al-Baqarah (2:286)

Makin banyak kita diuji, makin dekat kita kepada-Nya dan semakin matang dan penuh hikmah kita menyelesaikan sebarang masalah dengan kaedah terbaik, dipersetujui bersama.

Bersabarlah para isteri dengan suami yang kebanyakannya akan diam dalam membatu, dan bersabarlah para suami dengan leteran dan bebelan para isteri yang adakalanya untuk menyedarkan anda. Dialah satu-satunya insan yang terbaik untuk diri kalian, bukan kedua, bukan ketiga. Berusahalah melengkapi kekurangan antara satu sama lain dengan segala kelebihan dan kebaikan pada diri masing-masing. Bukannya untuk meruntuhkan masjid yang dibina dan memisahkan ikatan yang terjalin. Carilah salah sendiri kenapa tidak mencari yang kurang baik tapi bisa diasuh menjadi baik.

Rumahtangga bahagia, bukan bahagia cukup material dan keperluan jasmani bahkan keperluan rohani. Maka bercintalah kalian sepuas-puasnya, kerana kalian adalah halal bagi pasangan. Setiap hembusan cinta kalian, pasti berbuahkan pahala di kebun cinta Ilahi di taman syurga nanti. Bukankah ironinya sangat aneh, bercinta sebelum kahwin lebih hebat berbanding bercinta selepas akad, jelas sekali kalian hipokrit.

Kenapa perlu mengembalikan cinta?

Saya merasakan setiap manusia itu entitled dan deserved untuk hidup dalam tenang dan bahagia. Hidup tanpa cinta ibarat burung yang terbang dalam sangkar. Selagi ada ruang untuk bercinta, maka sirami dan bajailah cinta itu. Cinta selepas Ijab dan Qabul, sesungguhnya mampu untuk diluahkan dan masih ada untuk dihadiahkan bersama.

Selepas kahwin anda tetap sebagai nakhoda. Nakhoda kepada para kelasi di bawah tanggungan anda. Baik buruk kesudahan perjalanan mereka berada di tangan kalian. Prinsip dan paradigma yang utuh sahaja akan selamat mengemudi badai dunia.
Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, September 1

Melihat Dari Dimensi Luar








SALAH kaedah dan cara bagaimana kita mahu betulkan persepsi berkenaan masalah sinikal, bisa memberi kesan mendalam di sebalik kefahaman yang masih tertutup di bawah tudung saji... jika tersalah mentadbir dalam kehidupan, terutama golongan awam.

Saya antara orang yang menjadi mangsa keadaan. Bila ada yang bertanya serius mesti jawapan diinginkan dalam keadaan terdesak, marah, dan sangat gelisah... ianya antara dua sama ada situasi itu dialami diri sendiri atau kenalan terdekat. Sungguh tidak sopan apabila pertanyaan pula tidak beralaskan peribadi muslim, bukan sahaja tidak dapat jawapan, malah habuan dosa berjalan selagi murka merintih di hati pihak ditanya.

Mahu BERUBAH perlu pada anjakan PARADIGMA dalam diri, bukan pergantungan sepenuhnya pada pola MOOD dan MAMPU mencapainya. Orang yang mengantuk disorongkan bantal, perumpamaan ini lebih sesuai untuk menggambarkan situasi hidup masyarakat sekarang yang sudah disogok dengan kesenangan, maka amat payah sekali menerima kesusahan walaupun sedikit.

ANAK MERDEKA selepas 53 tahun.


Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Ogos 24

Ibrah SAHUR Keberkatan Bangun SUBUH







MEMERITKAN apabila keinginan sering kali menyusahkan hidup kita. Kita masih tercari-cari di mana salah dan silapnya hingga buta menyuluh jalan yang sudah diterangi di hadapan. Begitu juga, apabila manusia diberi kenikmatan sihat dan harta, ramai yang masih lagi buta dihamparan kemewahan dan cergas tapi alpa kepada siapakan dikembalikan rasa mewah dan cerdas tadi. Kalaulah manusia semua bersikap adil pada Tuhan, sudah pasti Tuhan juga akan lebih adil dalam memberi keberkatan pada sebuah keinginan tadi.

“Ustaz, memang susah saya nak bangun subuh.. saya sering berjaga malam hingga subuh semata-mata tidak mahu terlepas waktunya”

“Ustaz ada petua?”

Masalah bangun subuh atau apa sahaja yang memerlukan seseorang mujahadah (berusuha lebih daripada kebiasaan) ialah disiplin. Tiada siapa yang mengubah kita, dan cara kita melainkan kita sendiri. Sudah tentu disiplin tadi akan mengawal segala tindak-tanduk dan gera-geri kita menjadi seperti apa kita mahukan. Soal disiplin tidak datang dengan mudah, ianya perlu pada rangka dan matlamat ingin dicapai, maka barulah di sana ada usaha untuk menggerakkannya.

"Ianya bermula daripada niat kita terlebih dahulu. Kalau saudara menghadapi masalah bangun awal pagi, solat subuh.. maka saudara lebih mengetahui apakah kondisi sepatutnya saudara lakukan, mungkin saudara boleh mengurangi waktu bekerja melibatkan kudrat tubuh badan, belajar sahaja memerlukan kudrat dalaman yang lebih apatah lagi yang memerlukan kekuatan fizikal berlebihan, maka saudara telah memaksa diri membuat sesuatu di luar lingkungan normal kekuatan tubuh badan" ujar saya.

Selain itu, saudara boleh juga amalkan mengambil wudhu' terlebih dahulu sebelum hadirnya niat, doa dan sebagainya.

Semua ini perlu dilihat pada sudut positif, jangan cepat putus asa.

Malang sungguh mereka yang tidak ambil peluang berlatih fizikal dan mental di bulan Ramadhan. Puasa di siang hari adalah jihad paling berkesan, manakala sahur pula melatih kalian mudah bangun SUBUH. Makan awal malam sebelum tidur adalah sama seperti kalian makan SUPPER bukan SAHUR kerana tiada lagi keberkatan kecuali kemudharatan, disebabkan perut makin membuncit. Maka kalian bukan lagi SUPPER tapi SUFFER.

Nabi s.a.w bersabda: "Bersahurlah (makan dan minum), kerana pada sahur ada keberkatan" (Hadith Riwayat Muslim)

Bersahurlah walaupun dengan seteguk air dan sebiji tamar.

Kutiplah pengajaran (ibrah) sepanjang berada di bulan penuh berkat ini, bisa lagikah kita dipertemukannya di bulan Ramadhan akan datang?

Tanyalah Iman sejujurnya.
Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Julai 29

Kerana Kasih-Nya Tidak Mengapa Bukan Kasih-nya







KALIAN usah bimbang hanya kerana miskin HARTA, tapi masih kaya KATA-KATA. Di dunia ini hanya dua perrkara sahaja bisa kita minta daripada seseorang, sama ada kalian KAYA meminta pada si MISKIN, mahupun sebaliknya iaitu; minta NASIHAT, dan mohon DOA. Kedua-dua kata kerja tersebut perlu ditambah imbuhan 'di', kerana ada erti KEIKHLASAN.

Pesoalan jodoh amat kerap ditanya sejak akhir-akhir ini. Dua hari lepas daripada seorang perempuan yang sudah sampai peringkat ‘andartu’ tapi masih tidak ketemui pasangan. Menolak bukan, apatah lagi untuk menerima tiada sesiapa pun sudi memberi. Ibarat menunggu si kumbang menghisap madu, tapi kelopak bebunga sudah pun hilang seri dimamah ulat dan panas percikan matahari.

Kenapa perlu khuatir, saya tenangkan dia;

BERKAHWIN itu IBADAH. USAHA untuk berkahwin juga IBADAH. Muktamad di akhir kesimpulan hidup bukanlah status KAHWIN atau BUJANG, tetapi hidup dalam ibadah. Kerana itu tujuan DIA mencipta kita. KAHWIN adalah satu peringkat hidup untuk menambah FUNGSI dalam kehidupan. Tanpa berkahwin, kehidupan masih sebuah kehidupan dan tanggungjawab kita adalah untuk berterusan MENTAATI-NYA di DALAM atau di LUAR perkahwinan

Kadang-kadang manusia LUPA. Tidak kira kalian PEREMPUAN apatah lagi LELAKI masih dikurniakan kudrat. Antara KUDRAT dan MALU jangan disalah-ertikan, MALU dan SEGAN jauh perbezaannya pula. JODOH bukan sahaja MENANTI, tapi lebih pada USAHA BERKUALITI.

USAHA BERKUALITI itu bukan menatijahkan sesuatu PASTI. Mendapatkannya adalah bonus selepas ada USAHA tadi. Namun, lebih keutamaan kita mendapatkan KEPUASAN dalam memberi sesuatu terbaik, dan manisnya sebuah KEJAYAAN.

Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Julai 24

Mungkin Kalian Ada Terlepas Pandang







KERANA pentingnya PERHATIAN dan PEMERHATIAN terpimpin. Wanita mahupun Lelaki yang mempunyai masalah pelek lidah, tidak boleh terus MENGHUKUM mereka TIDAK SOLEHAH atau TIDAK SOLEH hanya kerana mereka menyebut BETINA, JANTAN (menunjukkan kepada manusia), JEMPUT KEKOH (sila makan). Kerana tiada perhatian dan pemerhatian tadi, kalian akan anggap ianya KASAR walaupun ditutur secara LEMBUT.

Berbalik soal penggunaan BAHASA betul. Walaupun anda merupakan anak JATI kelahiran negeri, jangan sampai menyusahkan orang lain untuk memahami TUTUR KATA kalian. Hanya kerana anda berasal dari KELANTAN, salah menyebut dalam bahasa betul WAD KECEMASAN jadi "Keci-Masam"... kalian mudah diperli dan disindir, malah ditertawakan kerana mana ada WAD KECING MASAM, yang ada wad KECING MANIS. Moral; latih lidah biasakan bertutur bahasa ibunda. Kebiasaannya banyak timbul di kalangan pelajar kampus dan universiti.

Mereka bijak pandai, tapi bila masuk soal kemahiran komunikasi hampir 50% terbawa-bawa bahasa lahjah ibunda masing-masing.


Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Julai 13

Kerana Kalian Tidak Pandang TADBIR





MELIHAT kejayaan seseorang atau tidak bukan pada sekalung sijil atau ijazah yang diterima atau kegagalannya. Bukan juga pada harta bertimbun-timbun. Tidak juga pada saham melambung tinggi. Namun pada sebuah penghidupan sebagai seorang hamba. Mampukah manusia sekarang berdiri sebaris manusia agung yang pernah dilahirkan dahulu? Mampukah manusia sekarang melalui saat-saat dipenjara oleh dunia demi sebuah kebebasan di akhirat? Keseronokan dunia sudah makin menumbuh, tiap-tiap masa manusia tidak pernah puas dengan apa yang ada. Bayangkan bagaimana keadaan imam-imam hebat dalam perjuangan Islam terdahulu apabila dilahirkan semula di dunia era serba mencabar? Mereka mungkin ‘mati akal’ melihat gelagat manusia sekarang.

Hanya kepada Allah Taala kita berserah segala apa yang berlaku, kerana kita hanya sebagai seorang manusia biasa yang tidak mempunyai apa-apa, kerana adanya apa-apa pada diri kita disebabkan Kekuasaan ada pada Allah Taala.

Apabila merentasi kehidupan insani, kita memerlukan manusia lain untuk mencapai segala apa kita inginkan. Keperluan kita walaupun datang daripada hajat sendiri, namun orang lain juga perlu kita dahului sebelum sampai pada hajat yang didambakan bermula daripada sekecil-kecil urusan peribadi hinggalah sebesar-besar urusan negara. Panas belum tentu sampai ke petang, kerana adanya ribut, petir sambar menyambar petanda hujan bakal mencelah. Antara manusia-manusia yang berurusan tadi, adakala dalam keadaan seperti mana kita mahukan. Hanya timbul masalah picisan sama ada daripada kita mahupun dia yang juga manusia biasa, maka timbul kecelaruan mood yang tiba-tiba merubah cara bekerja kita.

Mulalah manusia yang lemah iman, tidak panjang akal, dan mudah makan hati menyalahkan orang lain, marah sana marah sini dan paling menyedihkan takdir Tuhan pula dipersoalkan. TAKDIR Tuhan tidak pula menemani di saat dia perlukan, padahal dia tidak pula perasan di saat gembira dan ceria tidak pula berterima kasih pada Tuhan.

Ketahuilah selain TAKDIR yang sering kita lihat, kita ada satu lagi pilihan yang menentukan natijah akhir; iaitu TADBIR. Kaedah kita mengatur kehidupan, atau lebih dikenali life planning akan ‘mempengaruhi’ TAKDIR Tuhan di balik pengetahuan kita yang terbatas. Hingga ada juga manusia yang dilahirkan dalam serba kekuarangan, tanpa ada usaha untuk keluar dari kekurangan tersebut sering-kali bertindak di luar perbatasan syara’.

Dalami Ilmu Rumahtangga TADBIR, Kursus Perkahwinan TADBIR, Rancang Kewangan Keluarga TADBIR, Belajar House Chores TADBIR, Hantar Anak ke Nursery TADBIR, Memberi tidak Menagih TADBIR, Loving and Caring TADBIR. Andai kalian cuai dalam TADBIR diri dan bahtera rumahtangga tadi, usahlah TAKDIR Tuhan dipersoalkan. Nyahkan sikap itu.

Qadha’ dan Qadar adalah ketentuan daripada Maha Esa. Kita merancang, tapi Allah Taala akan menetukan soal jodoh, maut, dan rezeki kita. Berkali-kali saya pesan dulu, tidak penting di mana kita bermula tapi ke mana kita berakhir. Perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi, umpama membawa sebuah kapal yang penuh dengan pengisian barang-barang dagangan untuk dilayari di tengah-tengah lautan. Ingat! Laut pula tidak pernah sunyi dari ombak, pelayaran tetap diteruskan, tinggal lagi kebijaksanaan komunikasi antara nakhoda, dan para kelasi.

Belajar itu TADBIR, Usaha itu TADBIR, Tuisyen itu TADBIR, Latihan Tubi itu TADBIR, Berjaga Malam mengadap buku itu pun TADBIR, dan semua ini akan mempengaruhi TAKDIR kita. Baik, Kita berjalan berbekalkan dua biji mata celik, tapi itu tidak bermakna kita selamat, kecuali kita ada hati-hati.. berhati-hati melihat ke depan, kiri dan kanan ini adalah TADBIR bimbang ada lubang menghalang pasti terseliuh kaki, maka natijah dari hati-hati tadi ada TAKDIR kita.

Seiringkan Tadbir pada sebuah takdir yang menjadi natijah akhir.

Bermula daripada sekarang, mulakan episod baru. Kuatkan iman di hati, pasti hidup kita sentiasa di bawah naungan Ilahi.

Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal