JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.
ALHAMDULILLAH usai menduduki peperiksaan tahriri (bertulis) semalam, kini hanya tinggal ujian syahfawi pada hujung bulan nanti. Tiga minggu dikerah segala tenaga mental memuntahkan segala pengetahuan berilmu yang tersemat di dada dalam dimensi lakaran pada kertas berjalur biru, di samping sepanjang peperiksaan pula tanpa melalui istirehat berkala dikerah lagi berhadapan cuaca panas maksima 38 darjah celcius. Ujian di atas ujian. Melalui pengalaman tersendiri, dulu di bangku sekolah rendah saya begitu bimbang, stress setiap kali tiba musim peperiksaan. Mungkin, sebab itu juga mengapa pihak sekolah mengadakan kem motivasi di setiap lapangan peperiksaan, bagi memantapkan persedian mental.
“Ustaz nampak lain hari ini... tidak berkopiah dan berbaju t-shirt (lengan pendek, dan berkolar)” seorang teman dari Jerman menegur, sebaik sahaja melihat saya keluar dari dewan peperiksaan.
“Lain yang macam mana tu? Atau nampak makin hensem?” saya tersenyum, bergurau di balik keredaan selepas menghabiskan paper terakhir.
Saya sering bermuhasabah. Ketahui dan sedari sesungguhnya kehidupan itu adalah satu pelajaran, satu pengajaran. Ilmu itu sentiasa terselit-selit di dalam kehidupan kalian. Tiada manusia yang hakikatnya berhenti dari pembelajaran. Saban hari kita akan belajar sesuatu yang baru. Kita belajar, dari buaian hingga nyawa kita ditarik oleh Tuhan Pencipta. Kita belajar setiap masa, dan di mana jua saat kita berada.
Dalam kesibukkan masyarakat menyediakan keperluan asas kehidupan, tidak dinafikan ramai yang mengambil jalan pintas untuk berilmu dan berpengetahuan. Malah pemberi dan penderma ilmu dan pengetahuan juga berusaha keras mencari cara berkesan menyampaikan dan menyebarkannya. Dengan kepalbagaian ragam kehendak dan kemahuan manusia, ilmu bercabang mengikut persekitaran ruang dan waktu berbeda-beda. Bila disedari mengandungi kesalahan diperbetulkan, mengikut selera dan kesesuaian penggunaannya. Semua ini dimungkin berlaku dengan kadar yang pantas kerana adanya media yang berkesan untuk proses pengumpulan dan penyebaran, seperti buku, majalah, journal dan sebagainya.
Beberapa orang yang saya temui di kalangan mereka yang banyak ilmu, tapi hanyalah berunsurkan bacaan bukan pengalaman (beramal). Mereka dilihat menggunakan sebanyak bahan ilmu untuk menyokong fakta dan kajian mereka mengikut hukum ilmu yang telah diperakui logiknya. Di samping itu mereka mencari fakta yang lebih baik bagi mengatasi kelemahan ilmu sedia ada.
Sikap begini seseorang akan asyik mencari ilmu melalui bahan bacaan sehingga lalai untuk melaksanakan amal atau mencipta ilmu yang lebih terkini. Sedangkan melalui amal manusia akan memperolehi ilmu-ilmu yang segar dan terkini, maka akan menjadikan diri lebih matang dan berpengalaman.
Apa yang saya ingin luahkan ialah di kalangan orang yang minat membaca dan mencari ilmu hanya untuk cukup sebagai berpengetahuan am sahaja. Mereka hanya mengingati bahan ilmu itu dalam memori otak sebagai sebuah perpustakaan, sekadar tahu tapi beramal tidak mahu.
Kesan daripada ‘kemajuan’ ilmu yang ada di negara kita. Pelbagai masalah sukar diatasi dan terbuntu dalam memikirkan suatu permasalahan. Ke manakah perginya ahli ilmu? Apabila saya melihat ahli-ahli parliman berbicara disidang dewan rakyat, tidak satu pun saya dengar mereka berbicara sesuatu berlapikkan ilmu, jauh sekali untuk kategorikan sebagai golongan berilmu atau profesional.
Kembali kepada adab menuntut ilmu yang kita ketahui memerlukan kepada banyak proses. Fitrah al-Quran diturunkan secara beransur-ansur sudah jelas menunjukkan kepada tuntutan mempelajari ilmu secara tertib dan tersusun. Diperkuatkan pula dengan hadith Rasulullah s.a.w yang menerangkan maksud al-Quran serta cara melakukan ibadah dengan cara betul, dan berakhlak (beramal) mulia.
Ilmu adalah salah satu amanah. Amanahnya adalah untuk disampaikan dan diamalkan.
SEORANG guru yang hebat bukan sahaja dapat melahirkan pelajarnya yang berjaya di dalam ilmu alat, ilmu akademik malah lebih terhormat apabila berjaya melahirkan seorang pelajar yang hebat akhlak dan tingkah-laku peribadi. Seorang guru yang baik bukan sahaja bergerak atas nama pengajar sahaja, malah atas nama pendidik, pengasuh yang mampu mengawal emosi, menyusun struktur-struktur pembangunan jiwa berperingkat dan seterusnya memperbaiki fikiran mereka agar positif dan bermotivasi dalam kehidupan.
Ramai guru (tidak semua) yang terlepas pandang, hanya melihat satu sudut sahaja, walhal mereka bersetuju soal akhlak didatangkan dalam satu pakej di dalam kerjaya mereka. Apabila hanya melihat potensi kejayaan dalam pencapaian pengajian semata-mata, hingga lupa atau buat-buat buta soal kerohanian. Maka guru yang ‘berjaya’ tadi telah mencicirkan potensi pelajar dari aspek akhlak... maka lahirlah pelajar gengster, perkid, tomboy, menghalalkan hubungan bebas, rem-pit, bohsia, bohjan.
Seolah-olah sudah jadi satu fenomena, setiap sekolah lebih mementingkan koleksi anugerah sekolah cemerlang akademik yang hanya mampu melahirkan pelajar mampu mencapai +A dalam setiap lapangan peperiksaan, tidak pula kisah mumtaz akhlak. Ibu bapa pula melepaskan tanggungjawab sepenuhnya pada guru. Mereka sibuk menilai sekolah yang bestari, tapi rendah memelihara maruah diri.
WAHAI GURU
Jujurnya, saya mohon maaf kerana intro artikel saya lebih menekankan keikhlasan guru dalam menggalas tugas yang diamanahkan. Saya percaya kita selalu membaca artikel, makalah, atau berita di sesuatu website, atau sisipan akhbar mengenai pencapaian guru yang disanjung setiap kali tanggal 16 Mei. Hari Guru seluruh negara. Tapi jarang kita menegur sesetengah guru yang masih diulik mimpi yang panjang, kekadang lupa menerapkan nilai-nilai murni membumi di dalam jiwa para pelajar. Isu ini bukan hal yang kecil, jika tidak Imam al-Ghazali tidak menyebut di dalam kitabnya, ihya’ ulumud ad-din.
Membangunkan manusia untuk menjadi manusia rabbani adalah satu tugasan yang amat sukar dilakukan oleh pihak sekolah mahupun ibu bapa. Justeru itu kaedah yang digunapakai untuk membangunkan seorang manusia itu penting dan yang paling penting adalah pelaksana dan pelaksanaan kaedah itu. Jika methodnya sudah baik dan bagus tetapi pelaksananya tidak dapat mengikut pelan lakar method itu maka tetap sahaja gagal.
Dalam dunia pendidikan, kurikulum dan manhaj adalah sumber terpenting selain mereka yang mengaplikasikan kurikulum tersebut iaitu pendidik dengan cara yang betul.
Jika kurikulum bagus tetapi pendidiknya tiada keikhlasan maka tiadalah keberkatan. Ramai sahaja ibu bapa yang hantar anak-anak ke sekolah agama adalah untuk mendapatkan makanan rohani yang terpimpin, dan berkala. Saya tidak suka membandingkan antara sekolah konvensional, kebangsaan dan agama.. Cuma rasionalnya sekolah agama yang ber-manhaj al-Islami dapat membuka ruang minda dan komunikasi serta menggarapkan ilmu guru dalam diri sekaligus mendapatkan akhlak dan berkat guru, di samping kewibawaan dalam penyampaian ilmu-ilmu alat yang selaras dengan ilmu ibadat.
Pasti kita ber-tadabbur dengan ayat al-Quran satu ini;
Allah Taala berfirman;
Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, keras, dan tidak menderhakai Allah terhadap apa yang diperintahkan-Nya kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan” at-Tahrim (66:6)
MML berwajah baru pada tahun 2009
RANGSANGAN
Apabila saya cuba membawa perbincangan secara signifikasi, ianya telah mengingatkan saya kepada perkembangan dunia pendidikan yang terpengaruh dengan teori psikologi. Dahulu teori bahaviorist mendominasi dan antara pelopornya ialah Skinner. Teori dihasilkan oleh para saintis berasaskan kajian-kajian terhadap binatang. Namun era terdekat ini menampakkan kemunculan teori kognitivist yang lebih bersifat kemanusian.
Perbezaan teori antara behavioris dan kognitivis memberi implikasi dan kesan pada pendidikan. Melalui pendekatan behavioris, para guru perlu menyediakan suasana yang sesuai termasuklah reinforcement supaya pelajar dapat terus memberi tindak-balas pada rangsangan persekitaran dan berlakulah proses pembelajaran. Contoh; para guru boleh merangsang secara praktikal, iaitu pembuktian pada pelajaran yang diajar ketika itu atau mengadakan peta minda bagi memberi laluan pada otak mereka merangsang daya intelek.
Antara amalan yang boleh dilihat sekarang ialah penggredan pelajar mengikut pencapaian mereka dalam kelas berdasarkan tahap intelek para pelajar. Manakala berdasarkan pendekatan kognitivis pula perihal berkaitan pemikiran, kepercayaan dan emosi setiap pelajar yang berbeza tadi diambil berat.
Para guru perlu melihat kepada proses mental yang ditunjukkan oleh perlakuan setiap pelajar di dalam kelas, dan perlu memikirkan bagaimana faktor sosial dan pengajaran memberi kesan kepada kelakuan dan pemikiran para pelajar.
Kognitivist melihat faktor rangsangan juga penting sebagaimana behaviorist tetapi rangsangan seperti hadiah itu perlu melalui proses kognitif pelajar yang berkait rapat pula dengan keperluan, matlamat dan motivasi mereka. Tidak semua pelajar menilai hadiah itu berharga apatah lagi kalaulah mereka dah selalu dapat hadiah. Namun pelajar yang mendapat nombor tercorot dan keputusan SPM yang rendah, mungkin merasakan tiada lagi kepentingan untuk belajar. Setiap pelajar sememangnya mempunyai konsep nilai tersendiri terhadap pembelajaran yang berbeza dengan rakan pelajar yang lain.
Sekiranya di dalam kelas mempunyai maksimun 20 orang sahaja pelajar, guru mempunyai lebih ruang untuk menilai kemajuan dan keperluan setiap pelajar yang berbeza. Apapun kaedah dan teorinya, matlamat pembelajaran adalah untuk mengenalkan dan mendekatkan kita kepada Allah Taala.
Bagaimana?
DAYA TAAKULAN
Menyediakan daya saringan taakulan kepada para pelajar dalam memahami tentang pengurusan tingkah-laku melalui proses merasa daya intelektual. Mereka diajak dari semasa ke semasa menghayati proses kontemplasi (zikir dan fikir) untuk melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Mereka melihat pokok, batu, kereta dan apa sahaja yang ada di sekeliling kehidupan dan memikirkan mengenainya proses kejadiannya hingga sampai kepada Allah.
Proses ini boleh sahaja diterapkan oleh para ibu bapa di rumah agar peningkatan boleh disukat dari semasa ke semasa, di samping menyediakan daya-daya rangsangan yang pelbagai, bersesuaian peringkat umur dan tumbesaran fizikal mahupun mental anak-anak.
Saya ulangi; Seorang guru yang baik bukan sahaja bergerak atas nama pengajar sahaja, malah atas nama pendidik, pengasuh yang mampu mengawal emosi, menyusun struktur-struktur pembangunan jiwa berperingkat dan seterusnya memperbaiki fikiran mereka agar positif dan bermotivasi dalam kehidupan.
PASTI wujud di kalangan para pembaca rasa berdebar-debar menanti tanggal 11 Mac 2010. Bila dah sampai, tinggal beberapa detik lagi, hati dah jadi gelisah, resah. Ketika ini ramai mengambil tindakan berkecuali, tidak banyak cakap, lebih senang dan tenang zip mulut sahaja. Mungkin juga ada di kalangan anak-anak, saudara mara, jiran tetangga, atau ahli keluarga pembaca lain akan menerima slip peperiksaan SPM, dan STAM pada hari ini.
Dia tahu, harapan sudah pun terpikul di bahu, usaha sudah, tapi kali ini benar-benar mengundahkan jiwa, dia cuba memujuk diri, lari dari cengkaman ini. Usahkan calon SPM dan STAM, ibu bapa juga turut terbawa-bawa dengan gelagat sama bila melihat perubahan sikap anak-anak mereka.
Kita dulu bagaimana?
Ada sejarah tersendiri dilakarkan bukan?
Kalau kejayaan disebabkan usaha gigih kalian selama ini, linangan air mata kalian terlalu mahal, sangat manis. Namun kegagalan kalian disebabkan malas, dan kebodohan tindak-tanduk kalian dulu, jangankan ibu bapa, diri sendiri dipersalahkan bahkan air mata mendatangkan mudhorat. Jangan pula ada tidak bertegur sapa, tidak mahu ambil tahu dan sebagainya.
Tiada kejayaan tanpa usaha yang gigih, semua orang mempunyai makna kejayaan yang tersendiri, cara merai tersendiri, rasa kepuasan tersendiri. Kadangkala, bila kita puas selesaikan sesuatu perkara, itu pun dikatakan berjaya. Ya.. melalui kepuasan diri sendiri. Memang besar nikmat Allah Taala berikan kepada kita, nikmat akal, sihat dan sebagainya supaya kita dapat memilih yang baik mahupun sebaliknya.
Jangan pula salahkan takdir, andai diri pincang mentadbir.
Belajar itu tadbir, usaha itu tadbir, tuisyen itu tadbir, latihan tubi itu tadbir, berjaga malam mengadap buku itu pun tadbir, dan semua ini akan mempengaruhi takdir kita. Baik, Kita berjalan berbekalkan dua biji mata celik, tapi itu tidak bermakna kita selamat, kecuali kita ada hati-hati, berhati-hati melihat ke depan, kiri kanan ini adalah tadbir, bimbang ada lubang menghalang, pasti terseliuh kaki, natijah dari hati-hati tadi ada takdir kita.
Usaha dahulu, rasa susah jerih dulu, barulah berserah.
Allah Taala berfirman;
Bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan” ash-sharh (94:5-6)
Redha pula dipenghujung ikhtiar.
Kehidupan itu adalah sekolah kepada diri kita, banyak perkara yang bisa dipelajari dalam hidup ini. kejayaan seseorang itu bukan sekadar terletak pada kesungguhan, tetapi pada kehidupan yang dilalui sehingga menjadikannya seorang yang berjaya.
Kesusahan dan keperitan hidup banyak mendorong seseorang untuk berjaya dalam hidupnya. jika kita kaji balik tentang kejayaan insan-insan hebat di dunia ni, kebanyakan mereka bermula dari keadaan susah menempuh keperitan hidup.
Penting kejayaan kita bukan sebaik-baik kayu pengukur andai kurang berjaya akhlak atau gagal sakhsiah.
Peluang untuk berjaya terbuka kepada sesiapa, tidak kira sesiapa pun kalian. Boleh jadi hanya anak seorang petani, anak nelayan, luaran biasa-biasa, kerana mengukur kejayaan itu perlu pada hati kental, tiada rasa putus asa, kehidupan susah lebih sinonim sebab perjuangan dia bukan sahaja perlu berjaya sebagai pelajar tapi paling penting sebagai manusia, seorang muslim (hamba).
Bila melihat keperitan mereka, apa yang mampu ialah menghulur secebis rasa simpati dan memberi harapan. Jujurnya, mereka sendirilah yang perlu bangkit dan meneruskan perjuangan di kala sisi luaran malap, hidupkan pula obor semangat dalaman.
Segala apa dilakukan manusia mempunyai kesan sampingan yang lebih ketara berbanding kesan yang datang dari makhluk Allah Taala lain. Ini kerana manusia dibekalkan akal untuk berfikir, deria untuk merasa, dan hati untuk mengerti. Baik buruk kelakuan manusia akan tahu juga mana air dan mana api, membedakan antara al-Haq (benar) dan al-Batel (salah). Kedua-duanya tidak akan bercampur. Kepulangan pada fitrah manusia agar jadi baik adalah kemuncak kesempurnaan iman di jiwa.
Kita berhak memilih jalan sendiri.
MASA DEPAN
Bila sudah terjawab semuanya, masing-masing sudah memegang slip peperiksaan, maka bermulalah lembaran baru, iaitu menentukan hala tuju seterusnya. Pasti ramai sedang berpusu-pusu ke bank untuk dapatkan borang UPU, permohonan dibuat secara online, lebih cepat, mudah dan selamat.
Kalau result setakat cukup-cukup makan, pening juga nak hitamkan bidang paling sesuai, jurusan mana lebih secocok. Kalau result hebat-hebat, tiada masalah sebab mereka lebih cenderung untuk bersaing dalam bidang kritikal kerana sudah terbukti mampu. Maka jadilah ada di antara kalian lebih suka memilih apa yang dipilih oleh teman karib, alasan mudah nak studi, senang ambil berat, tak mahu berpisah. Mereka ini akan cepat mengalami sindrom down di bidang bukan medan sebenar dia.
Pilihan sendiri dan pilihan paksa, jauh lebih menggerunkan bila dipaksa.
Kita tidak selama-lama akan bergantung kepada manusia lain, tidak bererti kita langsung menepis bantuan mereka. Kaki kita melangkah, kita putuskan ke mana, tangan kita pegang, kita tentukan mana satu. Kita hanya dibekalkan pengalaman, kata-kata orang lebih tahu mengenal kehidupan sebelum kita mampu celik, mampu pegang, mampu melangkah.
Masa depan anak-anak tidak seharusnya ditentukan oleh keluarga. Peranan keluarga hanya menunjukkan jalan-jalan yang seharusnya dilalui oleh anak-anak. Melalui kaedah ini mungkin anak-anak mempunyai gambaran tentang minat dirinya. Menentukan karier anak akan menjadikan mereka pada suatu hari nanti buntu bila menghadapi kemelut dalam karier mereka.
Tidak dapat meneruskan hala tuju dengan jitu dalam kariernya kerana jiwanya tidak penuh dengan apa yang dilakukan.
Maka jika dia seorang ahli ekonomi, ilmunya tidak dimanfaatkan dalam bidang ekonomi kerana jiwanya bukan jiwa ekonomi. Kalau dia seorang doktor, rawatannya hanya sekadar memberi rawatan, memberi ubat, dan dapat gaji besar. Jika dia imam masjid, maka dia hanya menjadi imam di kala solat sahaja, tidak lebih daripada itu. Mereka akan jadi jumud ketika berhadapan sistem nilai kehidupan.
Jika mereka mempunyai panduan dan bimbingan, mereka akan menjadikan minat dalam diri mereka sebagai option. Kalau mereka seorang pelajar perubatan, tanam sikap supaya benar-benar menjadi seorang doktor, berjiwa dan bernaluri doktor yang merawat bukan sekadar memberi deskripsi ubat. Mereka akan menjadikan minat mereka sebagai aktiviti kedua mereka.
Buatlah pilihan terbaik berdasarkan minat, bukan ikut-ikut teman kelak kalian akan penat. Mudah lesu dalam bidang itu.
Untuk kejayaan menyeluruh, penekanan perlu kepada penserasian atau pengimbangan pada kedua-dua hujung dengan memastikan bukan sahaja pengurusan masa, menghadiri kelas tambahan, latihan tubi, bersengkang mata baca buku tapi keupayaan kita berhubung dengan Maha Pemberi Kejayaan.
MULA DARI REBUNG
Bila kita berbicara tentang sebuah pokok bunga segar, tidak layu, pasti kita tahu kenapa terjadi keadaan sedemikian rupa. Sudah pasti cukup pengairan pada akar, tidak terlindung dari mendapat cahaya, tiada serangga perosak. Maka kita mula sedar, bahawa mendapat hasil seumpama ini bukan jalan mudah, perlu pada perhatian dan pemerhatian. Kita boleh samakan pokok bunga itu tadi adalah anak-anak yang perlu dididik, disuap ilmu, sebagai makanan rohani
Penjaga baik ialah seorang ibu bapa prihatin, melihat kehadapan, masa depan tumbesaran anak-anak mengjangkau jauh ke ufuk timur, mendasar jauh ke bawah perut bumi Ilahi, melambung jauh hingga ke angkasa.
Wahai ibu bapa ketahuilah, kelahiran anak-anak di dunia ini adalah pelajaran baru bagi kalian, ianya satu amanah perlu dipikul. Menjadi ibu dan bapa yang tidak mengherdik anak-anak dengan kata-kata kesat, tidak mendoakan yang bukan-bukan kepada anak. Kata-kata herdikan, akan menjadi doa yang akhirnya membinasakan anak-anak secara tidak sengaja.
Kesian kepada ibu bapa kebal menahan penat bekerja siang malam berpanasan, bersejukan tapi kurang kebal dalam mendidik anak-anak. Ujian barangkali kita nampak di luar sahaja, sebenarnya ujian daripada anak-anak lebih berat ditanggung, masyarakat tidak pernah kering air mulut mempersoalkan keburukan tangan kita daripada kebaikan.
Sumpah seranah terlekat di birai bibir mereka, ngeri pula bila terkenangkan begitu.
Belajar untuk berkata cukup pada apa yang ada, semua itu bukan penghalang untuk mencari kebahagiaan dan keredhaan di sisi Allah Taala. Rahmat Allah Taala jua penentu segala-galanya, jadikan kekurangan ada untuk kita membina kekuatan. Kurang tidak bererti kita lemah, lemahnya kita sebab kita kurang bersedia mencanang hidup ruh islami dalam dunia serba mati ini.
SAYA dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan, pas-pasan. Dari hari ke hari, kami cuba melawan kekurangan ada bagi memastikan kami tidak akan ‘mati’ dalam serba kelemahan, kurang dan lemah sesuatu yang abstrak, jauh perbezaan maknanya.
Hidup dalam serba kekurangan membuat kami lebih efektif dan berdisiplin mendepani masalah sosial, sudut world-view menjadi terancang, keinginan kami untuk berjaya makin luas dan memuncak. Di samping serba kekurangan, kami cuba sebaik mungkin agar tidak bergelumang dalam serba kelemahan, kelak akan memudarkan sebuah mujahadah hingga terjunam ke dasar low-spirit.
“Ibu tidak pernah kecewakan anak-anak ibu. Ibu akan cuba berikan terbaik buat anak-anak ibu, dan tidak mengurangi keperluan jasmani dan rohani. Usahlah kalian miskin jiwa hanya kerana kita miskin harta” ibu menanam kata-kata semangat dalam ruh jiwa kami.
Bijak ibu dan abah mengurus kehidupan kami, hingga hari ini, selepas hampir satu dekad kami keluar dari pembelengguan serba kekurangan, tetap kami disuap agar usah alpa, usah lupa bahawa kehidupan baik adalah berterusan berada dalam sikap ‘serba kekurangan, hingga tidak mengurangi desus ruang-ruang untuk berjaya, bukan hanya sekali, dua kali, bahkan berkali-kali. Semua ini ada dalam satu pakej, iaitu sabar, kreatif, dan tekun.
Ya, ilmu.
Semua ini akan membentuk pencapaian dalam ilmu pada tahap tertinggi, hasilnya juga luar biasa. Ilmu adalah sebekas pengetahuan berjaya memimpin diri menjadi serba baik, bermanfaat, dan melateralkan kaedah thinking di luar kotak, mengjangkau jauh ke hadapan. Tidak pernah kurang dengan kelemahan yang ada.
Nikmat kesenangan, kekayaan tidak semua orang boleh mengecapi, tapi ilmu dan segunung pengetahuan sesiapa sahaja, miskin, sederhana, kaya bisa mengecapi, merasai manis menuntut ilmu, cuma hanya kemampuan sahaja membataskan seseorang itu merasai tahap penguasaan ilmu pelbagai.
Allah Taala berfirman, bermaksud: “Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana” adz-Dzumar (39:9)
Tiada penafian pada sebujur nafsu yang tidak terasuh molek akan membunuh cara fikir yang lateral. Analoginya mudah;
Perhatikan ini, ada orang miskin tidurnya nyaman sekali meskipun beratapkan rumbia atau langit Tuhan. Ada pula orang kaya tidurnya resah sekali meski beratapkan syiling buatan moden dan baik sekali.
Perhatikan ini lagi, ada orang miskin makan kenyang sekali meskipun ikan kering. Ada pula orang kaya makan lauknya banyak sekali tetapi tidak pernah puas hati.
Jangan sempitkan istilah, kerana kesannya juga cukup mendalam.
Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris.
Kalau kita membaca sejarah, maka kita akan melihat bahawa agama, seni, ilmu pengetahuan dan teknologi itu saling berkaitan dan saling mendukung dalam perkembangan sebuah peradaban manusia. Teknologi tidak tumbuh di ruang hampa, ia tumbuh dalam interaksinya dengan ilmu pengetahuan, seni dan agama. Demikian juga halnya dengan ilmu pengetahuan, seni atau agama itu sendiri masing-masing tumbuh dalam interaksinya satu sama lain.
Moral, etika, delusi dan kreativiti manusia juga saling berkaitan dan saling dukung-mendukung dalam perkembangan sebuah peradaban. Kreativiti tidak tumbuh di ruang hampa, ia tumbuh dalam interaksinya dengan moral, etika dan delusi. Demikian juga halnya dengan moral, etika atau delusi masing-masing tumbuh dalam interaksinya satu sama lain.
Intelektual adalah seseorang yang menaruh dan memberi perhatian yang tulus, mendalam dan luas terhadap masalah-masalah sosial budaya masyarakat di mana dia berada. Para sarjana dan ilmuwan belum tentu dinobatkan sebagai ahli intelek andai kepakaran dan ilmunya itu tidak boleh digunapakai atau at least dirasai oleh manusia lain.
RAIKAN ILMU
Setiap cabang ilmu sememangnya ada pintu dan tertib yang harus dilalui untuk sampai ke peringkat tertinggi. Untuk memahami ilmu Islam itu, sememangnya memerlukan pendekatan yang betul. Baru pandai merangkak, jangan pula terus berangan mahu berlari. Pandai untuk bertatih dari bawah, jangan pula memandulkan cita-cita untuk terus maju, cuma perhatikan kelayakan yang ada sebelum terjun masuk.
Apabila saya menyebut kenalah batas dan belajarlah membataskan diri. Saya tidak bermaksud yang ilmusyari-‘ah atau apa-apa ilmu di dunia ini hanya layak untuk orang tertentu sahaja. Tetapi ia adalah seperti papan tanda di jalanraya, agar kita memandu mengikut kesesuaian sekitar kita dan jenis kereta yang kita pandu. Jalan memang jalan Islam, tetapi bukan semua lencongan boleh speed sampai 100km/h.
Bukan semua naik Ferrari. Ramai yang hanya memandu Kelisa, maka berusahalah wahai pemandu Kelisa agar sampai ke tahap boleh memandu Ferrari. Caranya bekerja keras di kelas pengajian, bukan memandu Kelisa seperti Ferrari, lalu berangan-angan mencari mati.
Isu sunni dan syi-‘ah bukan isu baru. Perbezaan salaf khalaf bukan isu baru. Semuanya dah establish zaman berzaman. Semuanya sudah ada metod sendiri. Maka isu-isu ini tidak boleh dipersalahkan sebagai punca kita jadi keliru.
Tapi isu-isu ini dulu isu orang mengaji, isu orang nak belajar memasak ilmu. Tapi ia telah diturun taraf menjadi isu orang ramai. Macam isu tol dan rasuah pemimpin negara. Produk sistem pendidikan pula semakin melahirkan golongan yang hanya mampu cemerlang dalam silibus sekolah, bukan kepada isu ummah.
Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syari-‘ah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.
Menuntut ilmu pula ada disiplin tersendiri. Janganlah pula kita ingin belajar tentang ilmu permotoran, sibuk nak belajar dengan pakar perpaipan.
Tidakkah salah tu?
Jikalau mahu mendalami ilmu tentang setiap organ manusia (anatomi) untuk seterusnya jadi surgeon perlu kepada satu disiplin yang khusus dan panjang serta tak mungkin boleh dikuasai dengan hanya melayari internet, takkan lah mahu mendalami segala kata-kata Allah dan Rasul-Nya yang begitu luas maksudnya (jawami’ al-kalim) tidak perlu kepada disiplin yang khusus dan tersusun, dan boleh terus jadi pakar bedah al-Quran dan Hadith dengan hanya melayari internet dan membaca artikel atau belajar secara sambil-sambil.
Bukankah diawal-awal lagi kita dah lakukan kesalahan.
BETULKAN NIAT
Ada antara kita yang bercakap tentang kerisauan terhadap sikap siswa-siswi Pengajian Islam sedia ada terhadap ilmu. Tentang sikap belajar hanya untuk peperiksaan, malas, ponteng, meniru, dan tidak thiqah. Namun terdapat satu faktor yang mungkin nampak remeh tetapi agak menggusarkan, iaitu sikap tidak yakin terhadap kemampuan diri untuk meletakkan diri sebaris dengan ulama’ tersohor.
Keutamaan kita pada ilmu agama yang Allah Taala turunkan dah semakin susut. kita tidak merasai miracle al-Quran sebab banyak sungguh ilmu-ilmu agama yang ditulis oleh pelbagai latarbelakang manusia. Kita makin jauh dari Quran dan kitab-kitab yang muktabar.
Kita tidak meletakkan prioriti pada pendidikan agama, terutamanya dalam membentuk tauhid dalam diri, tiada penekanan dalam fasa pendidikan sekolah rendah, pembelajaran asas Fardhu ‘Ain hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.
Apa yang terlintas di fikiran lebih pada mengutamakan ilmu untuk mendapat pekerjaan, hilang nilai-nilai moral dan value ilmu. Pelajar-pelajar di universiti pun kebanyakannya belajar untuk lulus peperiksaan, tanpa menguji kualiti ilmu dan menghisab diri, namun terlebih malang gagal untuk memperbaiki kemampuan berfikir.
Saya rasa, memang masanya kita bermuhasabah, berbincang, mengusahakan, dan memohon pihak yang ada authority untuk kembalikan nilai-nilai ini. eloklah kita balik kepada ajaran al-Quran dan kitab-kitab dasar agar miracle dan rahsia (roh) al-Quran itu dapat kita rasai semula dalam semua bidang. Jangan jadi seperti;
“Semut Mati Dalam Balang Gula”
suatu metafora yang amat tepat dalam merumuskan situasi ini, bahawa umat binasa bukan sahaja kerana kekurangan ilmu, bahkan mati dalam lambakan ilmu.
Sungguh menggerunkan.
MUHASABAH
Banyak isu yang mencelarukan minda dengan masalah ummah masa kini. Tenggelam punca, dan tidak dapat pastikan di manakah kedudukan kita sekarang. Saya sedikit tertekan kerana tidak tahu bagaimana hendak menyumbang buah fikiran dan tenaga untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.
Mungkin atas semangat dan dasar untuk melihat Islam itu kembali ke persada kegemilangan juga menjadikan Islam bukannya untuk orang agama sahaja. Mereka mempelajari Islam dan memberi pandangan berdasarkan Hadith dan al-Quran tanpa terlebih dahulu mengetahui disiplin-disiplin dan metadologi di sebalik miracle al-Quran dan terbitnya Hadith tersebut. Maka bila kita fahami betul-betul, di sinilah kita akan merasakan kekurangan dan kelemahan yang ada berbanding ilmu-ilmu yang diciptakan oleh Allah Taala. Allah Taala tidak pernah gagal memandang kita, melainkan apa yang kita telah sia-sia daripada memandang-Nya.
Pengajian Islam juga perlu direlevankan dengan kehendak semasa. Selain mempunyai asas yang kukuh, pelajar pengajian Islam perlu kemahiran nilai tambah (value added skills) untuk memastikan ilmu yang dipelajari relevan dengan tuntutan massa. Mungkin juga perlu kajian semula (re-evaluation) terhadap isi kandungan (content) dan cara (approach) pengajian Islam.
Saya juga memerhatikan bahawa terdapat penuntut ilmu (tholib al-‘ilm) yang kadang-kala tergesa-gesa dan over-reactive berbanding para guru mereka yang seterusnya menyumbang kepada cacar merba, dan syok sendiri.
Usaha dan tumpuan kita hanya untuk mencari kemenangan di pihak kita tetapi sepatutnya usaha kita untuk mencari keredhaan Allah Taala. Malanglah kita usia yang sedikit apatah lagi di akhir zaman ini masa yang ada berlalu dengan pantas sekali, kita sibuk dengan perkara yang bukan matlamat kita.
Biarkan si luncai dengan labu-labunya, kita sebagai at-tholib, da’ie, intelek (ulul albab) dan khalifah di muka bumi tetap sahaja berjalan menuju keredhaan-Nya. Barulah ekspresi menang dan menang akan bersama kita.
Kata kunci ‘mahu’ dan ‘memberi’ adalah sinonim dengan golongan da’ie. Mahu, hanya kerana tidak jenuh menggali ilmu pengetahuan sebagai panduan diri dan mad’u. Manakala memberi adalah proses normal selepas memiliki secara ‘pinjam’ ini.
Acap-kali saya berpencak keseorangan tanpa ada ‘kawan’ menemani jalan berduri ini. Menyampai, memberi, memanfaat sudah tiada kepedulian lagi.
Membuat dua hal dalam satu masa disalah-ertikan, bahkan akan menimbulkan fitnah andai tersilap langkah. Kejayaan mengendalikannya adalah kemuncak pada satu kepercayaan abadi.
Kelompok ini disegani, diikuti.
Contoh:
Mahasiswa yang bergerak aktif dalam persatuan, sudah pasti berdepan ranjau sedikit berbeza berbanding latarbelakang hanya sebagai penuntut ilmu. ‘Memaksa’ diri menguji dua hal dalam satu-satu masa. Andai gagal adalah jalan akhir, maka tidak mustahil fitnah juga mengiringi.
Maka keseimbangan perlu diperkemaskan.
Isu saya dua tiga hari ini seputar masa depan. Memilih antara menuntut ilmu dan menulis.
“Ustaz, saya kurang yakin untuk menulis. Bimbang tidak sempat belajar”
Ini satu kesilapan.
Menuntut ilmu dan menulis adalah dari proses yang sama. Kita menulis bukan hanya dari idea kosong, sudah pasti daripada ilmu diperolehi. Tinggal lagi kesempatan kita mengolah ilmu itu sesuai dengan fenomena semasa, dan bijak membahagikan masa.
Masa juga penting. Ruangan kosong kena dimanfaatkan.
Menulis dapat menajamkan cara kita berfikir secara matang untuk memperolehi idea bernas.
MAHU, MEMBERI
Kemahuan berkongsi sesuatu ilmu mengatasi rasa jemu pada menekuni bahan ilmu.
Memberi tanpa timbul karenah birokrasi ‘malas’.
Kemampuan memberi adalah proses ilmunisasi belajar berpanjangan, dan terhindar dari sikap berpuas hati dengan apa yang ada. Berpegang pada falsafah hidup memberi agar dapat dirasa sudah memadai.
Menulis, membaca sebahagian daripadanya.
Membaca dengan ‘perasaan’ berbeza dari membaca dengan ‘akal’. Menungani perasaan akan menghalakan ‘harap’ pada apa yang kita suka atau mahu, sementara sebaliknya dengan akal akan menyediakan diri untuk tahu.
Tidak hairanlah hasil membaca dengan perasaan selalunya menghasil pemilihan bahan yang dibaca lebih kerap dari membaca dengan akal rational. Timbul kecenderungan suka dan tidak suka, kerana asasnya kemahuan kita banyak dipengaruhi nafsu.
Membaca untuk tahu, tidak terjejas dengan perasaan semata-mata. Keperluan untuk tahu mangatasi mahu, dan keterbukaan menerima sesuatu yang baru, yang belum dipersepsikan oleh pemikiran kita, lebih besar kerana ketiadaan unsur mahukan yang kita mahu.
Apa yang kita tidak suka hari ni tidak semestinya kita tidak suka juga pada hari esoknya. Dan apa yang kita suka hari ini tidak semestinya kita akan suka juga hari kemudian. Inilah lumrah dan fitrah kita sebagai manusia, ada nafsu dan naluri.
Akan timbul juga kesedaran dalam diri, segala masalah dimasak berdasarkan ilmu dan pengalaman diperolehi. Pandangan juga akan berbeza sebelum dan selepas terpalit dari kesedaran tersebut.
Pengalaman dan ilmu melahirkan kesedaran.
Dedahkan minda berketrampilan dan beretika.
Apabila menulis untuk memberi dengan apa yang kita mampu melalui apa yang kita lalui, selalunya akan menghadapi cabaran begini.
Contoh:
seorang suami, kita menulis untuk memberi dari sudut pandangan kita, dan sebagai isteri, mungkin kita turut memberi melalui sudut pandangan kita. Hanya mereka yang menerima dengan mata hati serta menyelami realiti di sebalik setiap perkongsian itu akan mengerti.
Ini berkait rapat soal pandangan (worldview) terpimpin.
UJIAN MANTAPKAN IMAN
Saya padankan semua ini, adalah sekelumit daripada ujian-Nya yang menguji.
Pandangan sisi kebaikan, saya maksimakan sebaik mungkin.
Kalau kita imbau semula sirah nabi, kisah kehidupan rumahtangga baginda diabadikan semata-mata untuk dijadikan teladan kita. Kaedah penyelesaian berdasarkan ilmu dan petunjuk wahyu, tidak bermakna Nabi s.a.w membuka pekung di dada.
Jangan persoalkan andai kebaikan kita dapat.
Redha (Iman) menerima, tidak pula pasrah (kosong).
Ujian merupakan sunnatullah yang telah ditetapkan kepada hamba-hamba yang mengaku beriman. Iman tidak dibuktikan dengan hanya kata-kata atau tulisan yang berbaur agama mahupun jihad luaran. Iman dibuktikan kesabaran di atas ujian yang menimpa. Oleh itu, barulah diketahui sama ada seseorang itu ikhlas atau hanya dalam kepura-puraan.
Bagi mewujudkan satu perasaan memberi yang ikhlas, perlu hapuskan perasaan memiliki. Apa yang kita dapat di dunia ini bukannya bertukar hak milik daripada Allah Taala kepada kita, tetapi hanya diamanahkan kepada kita untuk ditadbir dengan baik.
Andai manusia tiada jiwa sebagai seorang hamba, akan wujud satu jiwa memiliki. Dari sudut norma manusia, memang kebiasaan seseorang itu ada perasaan memiliki. Pengajarannya sebenar hidup ini, ialah membentuk diri untuk menghilangkan jiwa memiliki itu dengan jiwa hamba.
Berserah diri kepada Tuhan.
Setiap ujian yang datang, disambut dengan positif dan kita menjadi lebih baik, maka itu tandanya ujian itu adalah kasih dan sayang Allah Taala kepada kita. Tetapi jika kita didatangi ‘ujian’ yang sama berulang-ulang kali dan tiada peningkatan diri yang berlaku, itu mungkin bukan kasih dan sayang Allah, tetapi kebodohan kita yang ‘disengat’ di tempat yang sama berkali-kali.
Terlintas juga, kenapa orang-orang yang sentiasa berusaha ke arah kebaikan serta dipandang beriman seringkali berdepan dengan pelbagai risiko, kesusahan dan halangan. Rupa-rupanya Allah Taala hendak menjatuhkan rasa ketuanan dalam diri supaya kita sedar hanya seorang hamba, tidak memiliki apa-apa pun.
Bicara Allah Taala juga datang dalam bentuk ujian.
Betapa besarnya kezaliman yang dilakukan ke atas diri sendiri seandainya pemberian hanya mendambakan suatu ganjaran. Mungkin timbul rasa ‘penat’ dalam diri. Namun rasa ingin mengecapi ganjaran atau dibalas dengan sesuatu yang baik datang dengan sendirinya.
Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah. Bekas pelajar SMU (A) Maahad Muhammadi lil-Banin (MML). Menuntut di Fakulti Syariah dan Perundangan di Universiti al-Azhar, Kaherah. Sebarang undangan (penceramah, panelis forum, dan pembentang seminar), bolehlah hubungi beliau melalui:
: Alamat e-mail atau ID: putra_sufie[at]yahoo[dot]com. : Nombor telefon: +20117894979
Bangkit semua umat Islam. Mereka saudara kita. Jangan biarkan bumi mereka terus di-'perkosa' tanpa had. Hulurkan bantuan kemanusian, jangan berhenti berdoa.
Khaibar-khaibar ya yahud, jaisyu Muhammad saufa ya'ud!!!
Nama Buku; Menjadi Hamba Allah Penulis: Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah Nama Pena: Rezza Khanafiah Genre: Motivasi Ketuhanan Jumlah Bab: 26 Halaman: 192 (tidak termasuk kulit buku) Warna Umum Kulit Buku: Hijau Laut Terbitan: Must Read SDN BHD Harga Pasaran: RM19.90 (Semenanjung) & RM22.90 (Sabah dan Sarawak)
BUKU BERTEDUH DI KEBUN CINTA VERSI MALAYSIA [Maklumat & Pengisian]-Klik Pada Gambar
MELAKAR PELANGI CINTA
"Perkara yang merisaukan seorang perempuan dara yang solehah dan mungkin seorang lelaki teruna yang soleh, apabila menghadiri kursus perkahwinan pasti ada bahagian SEKS yang dilucahkan. Biasanya terjadi kepada golongan yang sudah terbiasa menggunakan kata nama SEKS dalam setiap ucapan, senda gurau, dan maki-hamun. Lebih parah apabila akhbar tempatan turut sama melucahkan SEKS. SEKS sudah menjadi ADAT, bukan lagi suatu IBADAT..."
MPC & BDKC
Nama buku: Melakar Pelangi Cinta (MPC) Penulis: Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah @ Rezza Khanafiah Genre: Motivasi Dakwah (Sinergi Iman) Jumlah bab/artikel: 24 Halaman: 260 Saiz: 14cm x 21cm Terbitan: Janub Saina' Harga: LE27 Terbit: Julai 2010 (telah terbit)
Tempahan boleh dibuat bersama buku Berteduh Di Kebun Cinta; e-mailkan kepada Ustaz Muhammad Zulkifli Ibn Abdul Ghani: shabab9119[at]yahoo[dot]com atau boleh hubungi (sms) ke talian: +20110480695.
Nama buku: Berteduh Di Kebun Cinta Penulis: Tuan Mohd Rezza Tuan Mohd Khanafiah @ Rezza Khanafiah Genre: Motivasi Cinta, Kekeluargaan, dan Dakwah Jumlah bab/artikel: 37 Halaman: 232 Saiz: 13.5cm x 20cm Terbitan: Janub Saina' Harga: LE25 Terbit: April 2010
Dapatkan Segera!!!
BERTEDUH DI KEBUN CINTA
"Kalau bukan kerana limpahan naluri KASIH SAYANG Allah Taala semai di setiap hati ibu bapa, mungkin tiada ibu mahupun bapa yang sudi menjaga, menyusu, membesar dan mendidik anak-anak mereka. Maka cukuplah sekadar melahirkan dan akhirnya ke tong sampah, ke tangga masjid, ke kaki lima bangunan... seperti dilema yang dihadapi oleh IBU MUDA yang menjadi bidan tidak bertauliah hiba menimang cahaya mata tanpa suami 'sah' di sisi agama..."
Jual Saham Proton : Bisnes atau Politik?
-
Saya agak terkejut apabila berita penjualan keseluruhan saham Proton kepada
pelabur luar diwar-warkan di media pada minggu lalu. Adakah ini sebahagian
s...
Laman Page Dan FB Saya
-
Salam kepada semua pembaca.
Setelah sekian lama tidak menjenguk sesawang ini, suka untuk saya maklumkan
tentang Facebook yang menjadi medan saya sekarang ...
IKHLAS
-
Orang yang IKHLAS, akan tenang dan senang dalam melaksanakan sesuatu
perkara, kerana dia mempunyai hanya ada satu ‘hati’ untuk dijaga dan diberi
perhatian...
Entry baru, masih belum terlambat
-
bismillahirrahmanirrahim alhamdulilllah. syukur saya masih ingat password
blog guruohguru ini. ini merupakan permulaan. saya mahu mulakan sesuatu
yang baru...
Debat .. Islamikkah Ia ?
-
Sudah lama saya tidak menulis di dalam laman ini. Ya, bukan sudah tapi
sangat lama. Menulis perlukan tumpuan.Jika ingin menulis tentang resepi
masakan pun...
Novel Terakhir...
-
*"Novel terbaru yang baru siap setebal 299 muka bertajuk ‘MANDALA DUNIA KE
DUA’ mujur menjadi peneman. Untuk edit kali ke 8 dan terakhir dapat juga
dil...