PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Memaparkan catatan dengan label Kisah Suri Tauladan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah Suri Tauladan. Papar semua catatan

Selasa, Disember 28

Memberi: Kisah CINTA Paling Hebat

Cinta juga perlu memberi. Makin banyak kita memberi bukan bererti mengurangi apa yang kita ada, namun menambah seri pada sebuah kehidupan bermakna kerana dikenang oleh budi...








MEMANG sukar hendak mengajar manusia yang berakal mengenal cinta sejati. Mereka mudah memutar-belitkan kata-kata kerana keinginan nafsu mudah menggelocak melata, mengotori syariat yang tertulis. Manusia tahu dosa dan tahu melakukannya adalah berdosa, tetapi kemahuannya tetap membulu hingga hilang penglihatan mengintai jalan lurus. Seorang perempuan sanggup ditiduri hanya kerana termakan pujuk rayu. Si suami sanggup meninggalkan cinta si isteri demi mengejar cinta wanita di negara seberang. Mereka seolah-olah lemah longlai membuat pertimbangan kerana iman tidak seiringan cinta diberikan.

Berilah peluang kepada saya untuk bicarakan CINTA buat kesekian kalinya. Peranan cinta, jihad cinta, ketulusan cinta yang cuba saya bawakan ini adalah lahir dari nuansa cinta-Nya yang mekar bak bunga-bunga nan indah di musim semi, lain dari lain yang pernah saya puisikan. Setangginya bisa merobek jiwa hamba yang lemah menjadi kuat, keindahannya seperti pelangi selepas hujan yang mengukir warna-warna di atas dada langit, peranannya seperti air yang menghilangkan jiwa raga dari dahaga.

Begitulah cinta bekerja apabila iman memandu, tahu kepada siapa diberikan cinta, kepada siapa harus dipelihara cinta, dan ketika mana layak dihadirkan cinta. Mencintai bererti memberi. Cinta bertandang untuk menuliskan catatan-catatan manis bagi orang yang dicintainya. Cinta datang untuk menghidangkan minuman lazat agar bisa diteguk oleh insan dicintainya.

Seorang pencinta sejati tidak pernah mengerti kata kerja MENERIMA, dia hanya kenal kata kerja MEMBERI. Baginya cinta itu ialah memberi, mendahulukan orang lain dan membelakangi hak sendiri. Memberi apa sahaja agar cinta tulus mulus dapat dirasai oleh insan dicintai, kerana dia tahu di sebalik dia tidak menagih cintanya tapi ianya akan tetap hadir di penghujung babak-babak ikhlas memberi tadi.

Nah... cuba kalian cermati kisah ini baik-baik. Mereka merupakan contoh teladan cinta sejati hingga ke mati yang kita dambakan. Beliau ialah lelaki soleh yang sangat dicintai oleh nabi s.a.w dan para sahabat lainnya. Dia benar-benar seorang yang masak dalam ilmu memberi, lantas bisa dilihat kezuhudannya pada harta milikinya hanya sedikit sahaja ditinggalkan buat bekalan hidupnya yang masih tersisa. Ideanya juga telah memenangkan tentera Islam di peperangan Khandaq. Dialah SALMAN AL-FARISI.

Kisahnya begini, di saat dia merasakan sudah layak baginya untuk menyempurnakan separuh daripada agama. Dia sudah siap untuk melamar seorang gadis solehah dari kaum Ansar, yang selalu meniti di bibir para pria di Kota Madinah. Memperolehi cinta wanita solehah itu ibarat membelai cinta para bidadari di Syurga. Wanita solehah itu telah menambat hatinya untuk menuntun karya-karya indah bak lakaran pelangi... penuh warna dan cinta.

Beliau menjemput sahabat karibnya, Abu Darda’ sebagai teman bicaranya ketika bertemu keluarga wanita solehah itu.

“Subhanallah... alhamdulillah” terpancut kata-kata dari mulut Abu Darda’, tanda ta’ajub dan syukur di atas niat suci temannya itu. Dia begitu teruja kerana dapat membantu temannya dalam hal baik sebegini.

Maka menujulah mereka ke rumah wanita solehah yang menjadi buah mulut para pemuda gagah perkasa di Kota Madinah.

“Saya adalah Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya Salman al-Farisi. Allah Taala telah memuliakannya dengan Islam, dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah s.a.w, hingga Rasulullah menyebut beliau sebagai sebahagian daripada ahli bait-nya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar puteri kalian untuk dipersuntingnya” berkata Abu Darda’ kepada keluarga wanita tersebut. Susunan bahasanya cukup berlapik dan indah.

“Menerima kalian berdua sebagai tetamu, sahabat Rasulullah yang mulia sudah menjadi penghormatan terbesar buat kami. Dan adalah kehormatan lebih besar bagi keluarga kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang utama. Akan tetapi hak untuk memberi kata putus tetap sepenuhnya berada di tangan anakda puteri saya. Saya serahkan kepada puteri kami untuk memperhitungkannya” wali wanita solehah memberi isyarat ke arah hijab, di belakangnya sang puteri menanti dengan segala debar hati.

“silakan tuan...” balas Abu Darda’.

Selepas beberapa minit berlalu, datanglah walinya memberi kata pemutus daripada sang puteri kesayangannya.

“Maafkan kami di atas apa yang saya akan katakan”

“Kerana kalian tetamu terhormat kami, sahabat baginda s.a.w yang amat dicintainya. Kami hanya mengharap redha Allah bersama kita semua.. sebenarnya puteri saya telah menolak pinangan Salman. Namun jika Abu Darda’ mempunyai hajat yang sama, puteri kami senang menerima pinangannya dengan penuh syukur” kata-kata wali wanita solehah itu tidak sedikit pun mengejutkan Salman al-Farisi malah menyambutnya dengan alunan tahmid yang tidak putus-putus.

Subhanallah... jelaslah wanita solehah itu hanya memilih Abu Darda’ sebagai pasangan hidupnya berbanding hajat asal datang daripada Salman al-Farisi. Bayangkan andai kita berada di posisi Salman al-Farisi, mungkin kita telah menyalahkan diri kerana telah tersilap membawa pendamping, teman bicara. Namun lain pula jawapan Salman al-Farisi;

“Allahu Akbar... Maha Suci Allah telah memilih teman baik saya sebagai pengganti” dengan penuh rasa kebesaran Tuhan menyelinap ruh cinta-Nya memenuhi jiwanya yang kerdil.

“Semua mahar dan nafkah yang telah ku persiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, teman baik ku dunia akhirat. Dan aku akan menjadi saksi pernikahan bersejarah kalian!” air mata kasih dan syukur membening suasana redup di suatu petang itu.

Itulah jawapannya... reaksinya telah melukiskan dia ialah seorang pencinta sejati... sejatinya dia bukan kerana dia sahabat nabi s.a.w yang utama tetapi rahmat kasih sayang Ilahi menemani sekeping hati kecil miliknya untuk terus MEMBERI.

Salman al-Farisi benar-benar mengajar kita sebagai seorang hamba kepada satu Tuhan yang berhak disembah tentang keutamaan dalam memberi, tidak menagih simpati untuk menerima. Dia hanya tahu satu pekerjaan besar lagi mulia sahaja, iaitu MEMBERI. Memberi tidak bererti mengurangi apa yang ada, tapi bersyukur dengan apa yang dimilki... tidak haloba dengan apa yang tiada.

Kalian bagaimana?
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Jun 29

Baraah Teladan Yang Dipinggirkan






ENGKAU kilauan Islam, nur suluhan silam. Engkau dilahirkan dalam sebuah kepayahan sebelum takdir membenarkan kebahagian dalam dangkapan mutiara Kalam Ilahi. Ibumu berperang membesarkan amanah tunggal sesekali diri jua diusik penyakit ketumbuhan pada bahagian perut tahap kritikal, namun si ibu redha dan cekal kerana amanah ini tidak akan dibiarkan musnah dan punah ditelan mainan dunia.

Baraah dibesarkan dalam keluarga yang penyayang. Dia sempat melihat dan mengenal kedua ibu bapanya dicintai.

Wahai teman, ada sesuatu ingin saya sampaikan dalam artikel kali ini, ianya hanya sebuah kisah teladan. Kisah benar ini saya perolehi daripada seorang teman serumah, ahlul bayt; Ustaz Tridiwiyanto ketika kami sama-sama menikmati hidangan makan malam. Sambil mulut menatap lauk-pauk menu dari Jawa Timur, telinga pula menangkap kemas setiap bait kalam seorang anak kecil datang dari corong speaker komputer. Di saat itu juga, hati saya jatuh cinta pada kelunakan suara kanak kecil itu, air mata bah di birai mata.

Ustaz Tri yang perasan air muka saya, cepat-cepat mematikan lamunan kecil. Beliau memberi tahu serba sedikit latarbelakang Baraah si anak kecil.

Baraah merupakan anak kelahiran tempatan, Mesir yang berusia 10 tahun. Keistimewaan anak ini ialah dikurniakan daya ingatan kuat kerana dalam masa 3 tahun sahaja beliau mampu menghafal dan mengingati 30 juzu’, satu al-Quran. Baris ke baris, ayat ke ayat, surah ke surah dihadam satu persatu dan tajwid tiada cacat cela. Ibu dan bapanya merupakan tulang belakang bakat ini digilap dan digunakan sebaik mungkin.

Bayangkan, bagaimana pula keadaan anak-anak seusia Baraah ketika ini. Bagaimana peranan yang telah dimainkan oleh para ibu bapa. Mungkin ramai yang menghabiskan masa menonton rancangan televisyen kegemaran seperti Spongbob, Bugs bunny, dan Power Rangers. Mungkin ramai kanak-kanak seusianya lebih suka bermain PSP, mengumpul koleksi permainan. Dalam hal ini anak-anak tidak salah kerana mereka memang macam itu, mudah terikut-ikut... tapi malangnya kerana si ibu bapa anak-anak ini kurang peka, tanggungjawab diserahkan kepada orang gaji, akhirnya anak-anak memilih jalannya sendiri tanpa perhatian oleh ibu dan bapanya.

Namun sedikit berbeza apa yang dilalui oleh Baraah. Dia sejak dari kecil lagi disogok oleh kedua ibu bapanya dengan Kalam Wahyu, setiap inci detik masa dihabiskan untuk menelaah dan membedah isi kandungan al-Quran. Walaupun hidup mereka tidaklah terlalu kaya, tapi mereka lebih selesa hidup bersederhana seperti jiran-jirannya yang lain.

Pada suatu petang ibu Baraah sempat berpesan kepada puterinya yang satu ini tatkala dirinya merasakan sudah sampai masa kehidupan beliau di dunia akan berakhir, bersiap-siap untuk perjalanan panjang sesudahnya. Ibunya berkata;

“Duhai anakku Baraah, sudah sampai waktunya aku meninggalkan kamu pergi buat sementara waktu cuma. Harapanku agar kamu benar-benar menjadi anak solehah. Solehahnya kamu kerana kelebihanmu memahami Kalam Allah, dan diulang setiap masa hingga kamu sanggup jadikannya sebagai makanan harianmu, teman di sisimu, dan kekasih yang kamu rindui. Kerana aku pasti Dia maha adil untuk pertemukan kita di alam abadi nanti”

Disebabkan kondisi ibunya makin parah. Ibunya terpaksa berpisah tanggungjawab sebagai seorang ibu kepada Baraah dan isteri kepada suaminya kerana terpaksa ditahan di hospital atas sebab penyakitnya di tahap kronik. Hampir setiap hari, selepas pulang dari madrasah ad-diniyah, Baraah akan menjenguk ibunya di hospital, dan perkara sama yang dibuat oleh Baraah ialah memperdengar bacaan suci al-Quran di hadapan ibunya dan di setiap kali itu jua air mata ibunya menitis, tanda syukur dan puas di atas kurnian permata seperti si Baraah.

Suatu hari pihak hospital menghubungi bapanya supaya datang ke hospital kerana isterinya sudah tidak sedarkan diri. Dalam serba kekalutan, ayahnya bergegas mengambil Baraah di madrasah untuk sama-sama menuju ke hospital, tapi tidak pula si ayah memberitahu perkara sebenarnya bimbang Baraah merasa kesedihan di atas kondisi kritikal ibunya. Namun apa yang diberitahu, kemungkinan ibunya sudah sampai masa untuk pulang beristirehat di rumah. Baraah sedikit tenang.

“Baraah anakku.. kamu tinggal di dalam kereta sahaja, biar ayah sahaja menjemput ibumu” suara ayahnya tersekat-sekat, air mukanya nampak resah.

Ketika dalam keadaan kekalutan, ayahnya cepat-cepat keluar dari kereta dan menuju ke pintu utama hospital. Tidak sempat dia berjaya melintasi jalan di hadapan hospital, tiba-tiba kereta yang laju datang dari arah sisi. Ayahnya dilanggar dan tidak sedarkan diri. Mata Baraah terpina-pina melihat detik mencemaskan itu betul-betul berlaku di hadapannya. Kemudian pihak hospital mengesahkan kematian ayahnya. Ketika itu, apalah sangat perasaan si anak kecil seperti Baraah melainkan menangis teresak-esak sedih di pangkuan jenazah ayahnya.

Tidak sampai satu jam pula, si Baraah menerima berita hiba yang kedua bahawa ibunya pula mengikut jejak langkah ayahnya bertemu Allah Taala. Bertambahlah kesedihan Baraah, tiada lagi insan yang sudi menemaninya di kala sunyi, tiada lagi mereka yang selama ini banyak memberi sumber kekuatan.

Kemudian, tidak berapa lama beliau dijaga oleh saudara arwah ibu dan bapanya. Baraah pula dikesan penyakit yang sama seperti dialami oleh arwah ibunya, ketumbuhan di bahagian perut. Tiada kerisauan yang terpancar di rauk wajahnya, sentiasa tenang saat dikhabarkan berita sedih ini. Inilah jawapan Baraah selepas diajukan khabar oleh saudara-saudara arwah ibu dan bapanya perihal natijah pemeriksaan kesihatan ke atasnya;

Alhamdulillah.. saya bersyukur kerana ini merupakan ‘hadiah’ Tuhan tidak terhingga kepada saya untuk bertemu kedua ibu bapa saya di Syurga. Saya tidak sabar untuk ketemui mereka” beliau tersenyum, kata-katanya telah mengejutkan para hadirin yang berjaya mendengar luahan isi hatinya.

Kesimpulan...

Kita boleh bandingkan kanak-kanak di sekeliling kita dengan sikap matang yang sudah tertanam dalam diri Baraah, kanak-kanak yang baru ingin mengenal dunia. Salahnya tingkah-laku dan perangai kanak-kanak bukan di atas kehendaknya, tapi ketidak-matangan ibu bapa yang membesarkan, menyuap ‘makanan’ untuk tumbesaran rohaninya. Kita tidak mahu keadaan tragis menimpa seperti dialami oleh arwah Safiyah Humairah di atas sifat ‘kebinatangan’ penjaganya, sikap mandul ibunya. Dunia lebih melihat sikap si ibu bapa, berbanding kelakuan buruk si anak kerana sudah pasti puncanya hadir daripada sebelah ibu dan bapa.

Kita mahukan lahirnya anak-anak lebih daripada dua, tiga bahkan puluhan anak-anak seperti Baraah. Kalian, kitalah yang menggalas pertanggungjawaban berat ini. Tunggulah saat ketibaannya, ianya pasti memahatkan nama-nama insani soleh mahupun solehah di atas amanah suci ini di tiang-tiang teguh di dalam Syurga.

ameen


p/s: ikuti video klip satu rancangan tadarrus al-Quran di sebuah saluran televisyen timur tengah yang menyaksikan salah seorang pemanggilnya ialah Baraah (sila klik)
Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Mei 8

Memberi: Kisah Cinta Luar Biasa





MEMANG sukar hendak mengajar manusia yang berakal mengenal cinta sejati. Mereka mudah memutar-belitkan kata-kata kerana keinginan nafsu mudah menggelocak melata, mengotori syariat yang tertulis. Manusia tahu dosa dan tahu melakukannya adalah berdosa, tetapi kemahuannya tetap membulu hingga hilang penglihatan mengintai jalan lurus. Seorang perempuan sanggup ditiduri hanya kerana termakan pujuk rayu. Si suami sanggup meninggalkan cinta si isteri demi mengejar cinta wanita di negara seberang. Mereka seolah-olah lemah longlai membuat pertimbangan kerana iman tidak seiringan cinta diberikan.

Berilah peluang kepada saya untuk bicarakan CINTA buat kesekian kalinya. Peranan cinta, jihad cinta, ketulusan cinta yang cuba saya bawakan ini adalah lahir dari nuansa cinta-Nya yang mekar bak bunga-bunga nan indah di musim semi, lain dari lain yang pernah saya puisikan. Setangginya bisa merobek jiwa hamba yang lemah menjadi kuat, keindahannya seperti pelangi selepas hujan yang mengukir warna-warna di atas dada langit, peranannya seperti air yang menghilangkan jiwa raga dari dahaga.

Begitulah cinta bekerja apabila iman memandu, tahu kepada siapa diberikan cinta, kepada siapa harus dipelihara cinta, dan ketika mana layak dihadirkan cinta. Mencintai bererti memberi. Cinta bertandang untuk menuliskan catatan-catatan manis bagi orang yang dicintainya. Cinta datang untuk menghidangkan minuman lazat agar bisa diteguk oleh insan dicintainya.

Seorang pencinta sejati tidak pernah mengerti kata kerja MENERIMA, dia hanya kenal kata kerja MEMBERI. Baginya cinta itu ialah memberi, mendahulukan orang lain dan membelakangi hak sendiri. Memberi apa sahaja agar cinta tulus mulus dapat dirasai oleh insan dicintai, kerana dia tahu di sebalik dia tidak menagih cintanya tapi ianya akan tetap hadir di penghujung babak-babak ikhlas memberi tadi.

Nah... cuba kalian cermati kisah ini baik-baik. Mereka merupakan contoh teladan cinta sejati hingga ke mati yang kita dambakan. Beliau ialah lelaki soleh yang sangat dicintai oleh nabi s.a.w dan para sahabat lainnya. Dia benar-benar seorang yang masak dalam ilmu memberi, lantas bisa dilihat kezuhudannya pada harta milikinya hanya sedikit sahaja ditinggalkan buat bekalan hidupnya yang masih tersisa. Ideanya juga telah memenangkan tentera Islam di peperangan Khandaq. Dialah SALMAN AL-FARISI.

Kisahnya begini, di saat dia merasakan sudah layak baginya untuk menyempurnakan separuh daripada agama. Dia sudah siap untuk melamar seorang gadis solehah dari kaum Ansar, yang selalu meniti di bibir para pria di Kota Madinah. Memperolehi cinta wanita solehah itu ibarat membelai cinta para bidadari di Syurga. Wanita solehah itu telah menambat hatinya untuk menuntun karya-karya indah bak lakaran pelangi... penuh warna dan cinta.

Beliau menjemput sahabat karibnya, Abu Darda’ sebagai teman bicaranya ketika bertemu keluarga wanita solehah itu.

Subhanallah... alhamdulillah” terpancut kata-kata dari mulut Abu Darda’, tanda ta’ajub dan syukur di atas niat suci temannya itu. Dia begitu teruja kerana dapat membantu temannya dalam hal baik sebegini.

Maka menujulah mereka ke rumah wanita solehah yang menjadi buah mulut para pemuda gagah perkasa di Kota Madinah.

“Saya adalah Abu Darda’ dan ini adalah saudara saya Salman al-Farisi. Allah Taala telah memuliakannya dengan Islam, dan dia juga telah memuliakan Islam dengan amal dan jihadnya. Dia memiliki kedudukan yang utama di sisi Rasulullah s.a.w, hingga Rasulullah menyebut beliau sebagai sebahagian daripada ahli bait-nya. Saya datang untuk mewakili saudara saya ini melamar puteri kalian untuk dipersuntingnya” berkata Abu Darda’ kepada keluarga wanita tersebut. Susunan bahasanya cukup berlapik dan indah.

“Menerima kalian berdua sebagai tetamu, sahabat Rasulullah yang mulia sudah menjadi penghormatan terbesar buat kami. Dan adalah kehormatan lebih besar bagi keluarga kami bermenantukan seorang sahabat Rasulullah s.a.w yang utama. Akan tetapi hak untuk memberi kata putus tetap sepenuhnya berada di tangan anakda puteri saya. Saya serahkan kepada puteri kami untuk memperhitungkannya” wali wanita solehah memberi isyarat ke arah hijab, di belakangnya sang puteri menanti dengan segala debar hati.

“silakan tuan...” balas Abu Darda’.

Selepas beberapa minit berlalu, datanglah walinya memberi kata pemutus daripada sang puteri kesayangannya.

“Maafkan kami di atas apa yang saya akan katakan”

“Kerana kalian tetamu terhormat kami, sahabat baginda s.a.w yang amat dicintainya. Kami hanya mengharap redha Allah bersama kita semua.. sebenarnya puteri saya telah menolak pinangan Salman. Namun jika Abu Darda’ mempunyai hajat yang sama, puteri kami senang menerima pinangannya dengan penuh syukur” kata-kata wali wanita solehah itu tidak sedikit pun mengejutkan Salman al-Farisi malah menyambutnya dengan alunan tahmid yang tidak putus-putus.

Subhanallah... jelaslah wanita solehah itu hanya memilih Abu Darda’ sebagai pasangan hidupnya berbanding hajat asal datang daripada Salman al-Farisi. Bayangkan andai kita berada di posisi Salman al-Farisi, mungkin kita telah menyalahkan diri kerana telah tersilap membawa pendamping, teman bicara. Namun lain pula jawapan Salman al-Farisi;

Allahu Akbar... Maha Suci Allah telah memilih teman baik saya sebagai pengganti” dengan penuh rasa kebesaran Tuhan menyelinap ruh cinta-Nya memenuhi jiwanya yang kerdil.

“Semua mahar dan nafkah yang telah ku persiapkan ini akan aku serahkan pada Abu Darda’, teman baik ku dunia akhirat. Dan aku akan menjadi saksi pernikahan bersejarah kalian!” air mata kasih dan syukur membening suasana redup di suatu petang itu.

Itulah jawapannya... reaksinya telah melukiskan dia ialah seorang pencinta sejati... sejatinya dia bukan kerana dia sahabat nabi s.a.w yang utama tetapi rahmat kasih sayang Ilahi menemani sekeping hati kecil miliknya untuk terus MEMBERI.

Salman al-Farisi benar-benar mengajar kita sebagai seorang hamba kepada satu Tuhan yang berhak disembah tentang keutamaan dalam memberi, tidak menagih simpati untuk menerima. Dia hanya tahu satu pekerjaan besar lagi mulia sahaja, iaitu MEMBERI. Memberi tidak bererti mengurangi apa yang ada, tapi bersyukur dengan apa yang dimilki... tidak haloba dengan apa yang tiada.

Kalian bagaimana?


Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Februari 26

Kerana Dia Cinta Agung Ku






KEHENINGAN malam itu, tidak seperti malam-malam yang sudah. Desiran angin yang membawa butiran pepasir mula tinggi melambung melepasi hujung dedaun pokok tamar. Seluruh penduduk Makah sunyi di jalanan. Kedai-kedai jualan mulai ditutup, dikemas. Masing-masing mencari haluan, sambil kaki merentak tanah menyelusuri denai pulang.

Kehidupan bangsa Arab Quraisy seperti melalui hari-hari biasa, sangat taksub pada kabilah-kabilah. Abu Tolib, pemimpin besar dikagumi dan dihormati.

Tiba-tiba api nyalaan Majusi beratus-ratus tahun lama telah mulai malap, dan seolah-olah mengakhiri hayat panjang yang telah menjadi sembahan dan pujaan. Kekaguman mereka pada api sudah terpadam, sebaik sahaja padam api sembahan. Bumi Makah di sirami cahaya di setiap penjuru bangunan. Ka’bah yang menjadi pusat pertemuan besar kabilah-kabilah dari seluruh pelusuk kepulauan arab turut dihujani cahaya.

Di satu corok bangunan kecil, kelihatan Aminah ditemani beberapa wanita lain menanti saat kelahiran sulung, petanda-petanda insan agung ini telah membuka mata bangsa arab. Inilah petanda lahirnya seorang utusan yang telah lama tercatat dalam al-Kitab (Injil). Pencarian selama ini seakan-akan sudah berakhir.

Insan ini bernama Ahmad, Muhammad Bin Abdullah.

Menjiwai Maulid-Rasul bukan sahaja terhenti pada sambutan seluruh negara, bukan pada perarakan sebagai simbolik hijrah baginda, bukan juga pada cuti umum setiap kali tanggal 12 Rabi-‘ul awal, tapi pada penghayatan sepenuh pada sunnah ditinggalkan, dijadikan pakaian dalam kehidupan seharian. Tiada guna mengenakan pakaian serba cantik, kemas hanya semata-mata hadirnya tanggal keramat itu, tidak salah, namun apa disuruh baginda s.a.w ditinggalkan, malah tega melanggar batas-batas dilarang.

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَلَا تُبۡطِلُوٓاْ أَعۡمَـٰلَكُمۡ

Allah Taala berfirman, bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kepada Rasul Allah dan janganlah kamu batalkan amal-amal kamu Muhammad (47:33)

Tidakkah sia-sia belaka.

Setiap hari kita diajar selawat dalam solat, kita juga diperdengarkan tentang keakuan utusan mulia ini melalui corong-corong menara masjid di seluruh pelusuk dunia. Hikmah tersembunyi agar dicermati, didalami, dihayati. Cinta kepada baginda bererti cinta akan sunnah baginda, cinta kepada baginda bererti cinta akan perjuangan dakwah baginda, kerana cinta kepada baginda para malaikat dan Allah melimpahkan rahmat menggunung kepada setiap hamba-Nya.

PERBAHARUI CINTA

Hujan makin lebat sedari petang lagi. Kaki melangkah dengan cepat, sambil bebola mata memerhati jalan basah becak di sana sini. Ramai warga tempatan mencari tempat berteduh sebelum meneruskan perjalanan masing-masing, ada yang bersama keluarga masih setia menunggu bas, ada yang membimbit barang agak banyak, berpeluk tubuh menahan rasa sejuk. Pengawal pintu utama Babul Futuh masih berjaga, mengawal kenderaan keluar masuk ke Share’ Hussain.

Walaupun ahli-bait menegah saya keluar rumah sore semalam, niat saya tidak dapat ditegah lagi, saya tetap berkeras mahu keluar ke Masjid al-Azhar menghadiri kelas Sheikh Sayyid Syaltut al-Azhari. Kelas sheikh biasanya selepas usai solat maghrib langsung diadakan, tapi semalam saya agak kelewatan kerana terpaksa memasak, sediakan juadah berbuka. Ada dengar juga cakap-cakap orang Mesir, ini pertama kali hujan lebat dalam sejarah. Semua perkhidmatan pengakutan awam tergendala beberapa jam, ramai berpusu-pusu meninggalkan terminal bas, kecuali metro bawah tanah beroperasi 24 jam sehari.

Rupa-rupanya kelas sheikh dibatalkan selepas diberitahu seorang teman, saya masih basah kuyup sesekali merentak air hujan meleleh di dahi. Hari sebelumnya juga begitu, hujan tapi masih diadakan majlis Maulid-Rasul di Masjid Saidina Hussain. Serasa ruh perjuangan baginda tersemat kemas di setiap sanubari jamaah masjid pada malam tersebut. Harapan juga, ruh perjuangan baginda dapat diteruskan oleh kalam sheikh pada malam ini, tapi itulah kita hanya mampu merancang, perancangan Allah jua tiada siapa tahu.

Bila berbicara perihal utusan agung ini, kita pasti diajak supaya mengoreksi diri, nilai sendiri kehendak baginda sudah dilaksana, atau masih berbasah-basi mengamalkan sunnah, hanya dari satu sudut sahaja diamalkan, itupun secara kebetulan selepas tiada pilihan lain. Rasulullah s.a.w telah menggagaskan satu aturan hidup manusia melalui Wahyu Kalam Ilahi dan cara baginda s.a.w melalui sunnah.

وَمَآ ءَاتَٮٰكُمُ ٱلرَّسُولُ فَخُذُوهُ وَمَا نَہَٮٰكُمۡ عَنۡهُ فَٱنتَهُواْ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ‌ۖ إِنَّ ٱللَّهَ شَدِيدُ ٱلۡعِقَابِ

Allah Taala berfirman, bermaksud: ...apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah (s.a.w) kepada kamu maka terimalah serta amalkan dan apa jua yang dilarang-Nya kamu melakukannya maka patuhilah larangan-Nya dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah amatlah berat azab seksa-Nya (bagi orang-orang yang melanggar perintahNya) al-Hasyr (59:7)

Sesungguhnya pada semua para Rasul pada mereka terdapat contoh teladan dan sempadan yang terbaik, untuk kita laksanakan setiap hari dalam kehidupan kita. Para Rasul menjadi rahmat kepada seluruh alam (semua makhluk) ini. Kegagalan manusia menterjemah kenyataan ini menjadikan mereka berpecah, dan membawa kemunduran kepada umat dimuliakan di sisi Allah Taala.

عنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ أُمَّتِي يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ إِلَّا مَنْ أَبَى قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَنْ يَأْبَى قَالَ مَنْ أَطَاعَنِي دَخَلَ الْجَنَّةَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ أَبَى

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bermaksud: Setiap umatku pasti akan masuk syurga, kecuali yang enggan. Para sahabat bertanya; “Ya Rasulallah, siapa yang enggan?” Baginda s.a.w menjawab; “Mereka yang mentaatiku akan masuk syurga, dan yang menentangku (sunnah) maka dia enggan masuk syurga (al-Hadith)

Islam adalah agama membawa matlamat cinta.

Saya cuba mendidik diri untuk tidak menumpukan itu sebagai fokus utama walaupun secara hakikatnya, kerana cintalah Islam itu berkembang. Kerana para sahabat cintakan Rasul dan agama dengan tidak menolak cintakan Allah, Islam terus tersebar. Kita percaya Rasul adalah utusan Allah, kerana kita seorang muslim, seorang muslim wajib beriman kepada para Rasul, dan Muhammad salah seorang daripada mereka. Mulut mengakui tapi hati, jauh sekali.

Buktikan cinta kalian kepada baginda.

Seseorang yang mengaku mencintai Rasul s.a.w. sudah tentu tidak segan melaksanakan tanggungjawab sebagai penyambung risalah baginda. Bagaimana seorang ibu yang menyintai anaknya, sanggup berkorban apa sahaja, membuat apa sahaja demi anaknya. Mengerang kesakitan ketika melahirkan seakan-akan hilang tatkala mendengar suara tangis si kecil di sisi, dikucup berkali hingga bergelinang air mata ibu. Air mata kesakitan bertukar menjadi air mata kegembiraan, air mata kasih. Si ibu sanggup bersengkang mata tanpa menghiraukan keletihan, ditepis rasa lesu untuk kesejahteraan anaknya.

Bagaimana pula sikap orang yang mengaku cintakan Rasulullah?

Sebenarnya, kita adalah hipokrit paling besar, cakap tidak serupa bikin, sering-kali mendabik dada mengaku cintakan Rasul, cintakan perjuangan Rasul, cintakan sunnah Rasul, tetapi sebenarnya kita penghina ajaran baginda. Ramai daripada kita adalah kaki rasuah, kaki rompak harta negara, kaki riba dan makan duit haram daripada sumber judi dan arak, tetapi ironinya juga sangat aneh pada sambutan Maulid-Rasul, kita terhegeh-hegeh menjerit, melaung memberitahu dunia bahawa kita cintakan Rasul.

المَرْءُ مَعَ مَنْ أَحَبَّ

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bermaksud: Seseorang itu bersama orang yang dia cintai (Muttafaqun ‘alaih)

MUHASABAH

Bertanyalah kepada diri secara jujur, apakah sudah kita mencintai Rasulullah s.a.w, bukan sahaja manis di bibir tapi di hati, dibuktikan melalui anggota, dengan mengerjakan amalan sunnah ditinggalkan baginda. Kalau bercinta pun sampai sanggup habiskan beratus-ratus ringgit untuk top-up, apa salahnya kita habiskan masa secuma lima minit untuk berselawat, kalian tidak akan terasa rugi bahkan rasa cinta kalian kepada Rasul pasti kian berputik.

Inilah cinta agung kita, kerana kita cintakan (taat) Allah Taala. Tidak berkurang sedikit pun, kerana Allah ada berpesan untuk itu duhai umat Muhammad;

قُلْ إِنْ كُنْتُمْ تُحِبُّونَ اللَّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمْ اللَّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

Allah Taala berfirman, bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani Ali-Imran (3:33)

Dia adalah cinta agungku, dan cinta agung kalian juga.


Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Jun 14

Laskar Hidup Zaman Kanak-Kanak

Ketika penulis masih di bangku pra-sekolah, penulis sering terganggu fikiran. Mungkin sahaja kerana pada masa itu, proses untuk menerima segala unsur yang berlaku di persekitaran agak susah diadaptasi dalam bentuk lakon semula kepada diri sendiri seperti apa yang dilihat.

Penulis sedar, di saat teman-teman lain masih seronok melayan masa kanak-kanak mereka, namun penulis tidak berpeluang mengikuti secara kerap kerana merasakan diri ini mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu diletakkan di hadapan berbanding menghabiskan masa mengumpul koleksi komek karton, bermain play station, menangkap ikan dalam longkang, dan berlari-lari mencari dan menangkap rama-rama.

Penulis tidak mengatakan secara total semua itu tidak pernah langsung penulis abaikan bersama teman-teman yang lain, tapi tidak seratus-peratus atau at least lima puluh peratus penulis habiskan untuk itu.

Tanggungjawab sosial penulis maksudkan di sini, adalah sesuai dengan kematangan penulis berfikir ketika itu seperti membantu ibu membeli sesuatu barang keperluan di kedai, menguji diri bermuamalat dengan orang lebih tua, menyampaikn sesuatu berita sebagai rencah untuk dikongsikan, dan sebagainya.

Tanggungjawab sosial pertama penulis masih kuat ingat adalah menangani pertengkaran dua orang teman baik penulis. Cerita ini hanya sekadar perkongsian santai bersama para pembaca budiman sekalian, hinggakan penulis rasakan peristiwa ini berjaya mengetuk hati untuk menerokai lebih jauh mengenali dunia yang berpuaka ini.

Mereka, kedua-dua teman penulis ini merupakan dua sekawan yang rapat. Mereka dilihat begitu baik di mata-mata rakan pelajar yang lain. Mereka datang ke sekolah berjalan seiringan, memandangkan jarak rumah mereka hampir dengan sekolah tadika tempat kami belajar ketika itu, sering makan bersama, bahkan bangku duduk dalam kelas pun selalu didekatkan.

Namun satu perkara mereka tidak pernah sebulu, iaitu menyiapkan kerja rumah yang diberikan cikgu, terutama mata pelajaran mate. Penulis masih ingat cikgu yang setia melayan kerenah kami pada masa itu, ialah Pn. Rohani Abdullah. Beliau sedia membantu kami mengenal huruf alphabet dan nombor-nombor sa hingga ribuan, cara menghintung dengan mudah, dan sebagainya.

Lebih mudah untuk cuba penulis terangkan di sini, penulis akan bezakan antara mereka. Penulis meletakkan simbol huruf A dan B mewakili kedua-dua sahabat penulis itu.

Si A adalah seorang sahabat yang tidak suka melihat kerja rumah tidak disiapkan atau ditangguh-tangguhkan, lantas mahu sahabatnya si B turut mempunyai komitmen supaya segera menyiapkan kerja rumah bersama. Si A dibesarkan di dalam keluarga yang cukup mementingkan masa dan tidak suka melengahkan sesuatu pekerjaan. Kalau boleh mahu disiapkan kerja yang ditugaskan pada hari yang sama. Oleh sebab itu, amat wajar sekali tindakan spontan si A sering memarahi atau masam muka dengan sahabat karibnya si B disebabkan hal remeh ini.

Penulis tidak mengatakan teman si B tidak suka pada kerja rumah, atau menyiapkan dalam masa segera. Dia tidak pernah dimarahi Pn. Rohani kerana kegagalannya menyiapkan kerja rumah mengikut masa yang diberikan. Tetapi teman penulis ini mahu melakukan semua ini dengan tenang, dan berhati-hati.

“Kau adalah sahabatku, kenapa setiap kali aku mengajak untuk siapkan homework di sekolah, ada-ada sahaja alasan kamu?” Nada suara si A sedikit tinggi.

“Alasan aku adalah ingin menjaga kebiasaan aku lakukan, ingin tenang, dan tidak terlalu fokus hingga hilang minat pada yang susah” Balas lembut si B pertanyaan si A itu tadi.

Hingga pada suatu masa, penulis lihat mereka tidak lagi datang ke sekolah bersama, duduk di bangku yang berdekatan, makan bersama, dan pulang berseiringan. Timbul rasa kurang senang di hati, kenapa diaolog dan babak yang sama hampir diulang siar setiap hari, menimbulkan rasa tidak puas hati antara mereka, hingga sanggup tinggalkan perkara yang lebih penting lagi, iaitu nilai persahabatan. Hampir semua daripada kami perasan bangat, perbezaan sikap antara mereka.




Pada suatu hari, penulis membawa kedua-dua teman karib ini bersiar-siar di taman, dengan niat ingin mengembalikan rasa kasih dan sayang mereka antara satu sama lain seperti apa yang dilihat sebelum ini. Menjernihkan keadaan. Sengaja penulis mencari waktu paling lama untuk menyatukan mereka, agar mereka dilihat sedikit lupa dengan konflik ini.

Penulis tidak terus mengambil tangan mereka untuk berdamai, biarlah penulis sedikit bersusah-susah untuk melihat kesedaran itu timbul di hati-hati mereka. Mereka sendiri yang menghulurkan tangan. Penulis hanya ingin menimbulkan kekesanan di hati mereka supaya terngandah.

Penulis mulakan langkah pertama, dengan bercerita tentang kisah hidup penulis yang sedikit susah, tidak seperti mereka. Namun penulis, tidak pernah menceritakan kekurangan dari sisi itu, tapi kesedaran kami untuk bangkitkan rohani menjadi utuh antara satu sama lain, mungkin sahaja ada di antara kita mengalami nasib yang sama, namun kebanyakkan mereka kecundang ditengah-tengah masalah ini.

Penulis pasakkan nilai-nilai baik, bangkit bersama dari lamunan yang kelak bisa meruntuhkan hubungan baik antara kami. Semua yang diceritakan hal baik-baik sahaja tentang keluarga penulis.

Seterusnya penulis mempersilakan antara mereka secara bergilir-gilir menceritakan perihal keluarga mereka. Alhamdulillah, semua menceritakan perihal kebaikan keluarga masing-masing, ternyata mereka begitu sayangkan kelurga, kalau boleh setiap detik inginkan belaian kasih sayang agar hubungan menjadi semakin utuh, hinggakan tidak membiarkan krisis meretakkan tembok kasih sayang yang telah lama terbina.

Selepas itu penulis meminta mereka menceritakan perihal kebaikan mereka ketika pernah berjalan seiringan bersama, makan bersama, dan hampir melakukan semua pekerjaan dengan tangan yang memikul beban bersama. Seingat penulis, si B yang memulakan hikayat terlebih dahulu, kerana sedikit lembut sikap berbanding si A. Kemudian, diikuti si B dengan penuh perasaan mengembalikan nostalgia mereka bersama.

Ternyata mereka berdua tampak bersetuju menceritakan hal-hal yang baik-baik sahaja yang pernah berlaku antara mereka, hingga terlupa kisah buruk. Mereka mula mengukir senyum dan tersedar, bahawa persengketaan tidak akan membawa apa-apa faedah bahkan akan mendatang musibah pada sekeping hati.

Habis cerita sebagai renungan sahaja….

Membina Kematangan Minda

Orang yang beruntung ternyata lebih mengandakan intuisi (sikap dalaman terurus) daripada logik akal. Keputusan-keputusan penting yang dilakukan oleh orang beruntung ternyata sebagian besar dilakukan atas dasar bisikan hati nurani (intuisi) daripada hasil bisikan persekitaran. Bisikan persekitaran boleh membantu, tapi final decision umumnya dari bad feeling kerana kepelbagaian andaian. Makanya orang beruntung umumnya memiliki method untuk mempertajam intuisi mereka, misalnya melalui meditasi yang teratur. Pada kondisi mental yang tenang, dan fikiran yang jernih, intuisi akan lebih mudah diakses. Dan makin sering digunakan, intuisi kita juga akan semakin tajam.

Manusia memiliki kekuatan yang luar biasa untuk menciptakan maha karya. Kekuatan terbesar dalam diri manusia itu terdapat pada pola fikiran sepertimana penulis nyatakan sebagai mesej utama di awal perbincangan tadi. Tetapi kita jarang membuktikan kekuatan fikiran tersebut, sebab kita sering terjebak di dalam zon nyaman, kesenangan atau kebiasaan tertentu. Sehingga selamanya tidak dapat mencari kemungkinan yang lebih baik atau perubahan nasib yang bererti.

Justeru itu, carilah matlamat yang lebih tinggi untuk merangsang kekuatan dalam fikiran tersebut. Kerana matlamat atau sasaran baru yang difikirkan itu, akan menggerakkan diri kita untuk melaksanakan sesuatu tindakan. Apalagi, jika kita betul-betul yakin matlamat tersebut bakal berjaya dan tercapai, maka diri kita telah siap siaga menghadapi sebarang tentangan yang ada dan bakal menjelma.

Mudahkan….

Buatlah pilihan terbaik untuk kematangan minda anda, yang pasti itulah identiti diri anda yang sebenar, kelak menjadi cermin kepada masyarakat untuk menilik diri mereka pula.



Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal