Dua hari lepas penulis berpeluang mengikuti kajian di Wisma Nusantara yang terletak ditengah kesibukan bandar metropolitan, Kaherah. Nama tempat tersebut, ialah Ruba’ah. Inilah kali pertama penulis menjijak kaki di markas pelajar-pelajar Indonesia di Mesir, sebelum ini pernah tapi hanya mampu menjenguk dari luar tingkat bas untuk sampai ke rumah. Kali pertama melalui kawasan itu, terasa juga hairannya sebab ada juga kelompok Melayu di sini, sesekali tertanya juga di dalam hati. Kali ini, peluang yang terhidang tidak mungkin disia-siakan. Jemputan ke majlis tersebut, penulis terima seminggu yang lepas. Pelawaan dari seorang teman satu fakulti, Ustaz Ariya Nirwana.
Pada mulanya penulis rasa berat, kerana butuh pada hari tersebut ingin menyambung visa pelajar. Namun selepas mengambil kira semua kondisi penulis, rasa rugi pula untuk menolak pelawaan tersebut. Bukannya selalu dapat, apatah lagi peluang ini kita boleh menilai sendiri tahap ilmu di kalangan pelajar-pelajar mereka di sini yang menjadi sebutan mulut setiap orang. Buat pertama kalinya, penulis di minta menjadi pemerhati. Itulah ayat terakhir penulis dengar sebelum majlis bermula, entahlah seperti ingin menjemput penulis membentangkan kajian bersama pada pertemuan kesekian kalinya.
Kami pulang malam tu, selepas usai menunaikan solat Fardhu Maghrib. Malam tu, tetap seperti malam-malam yang sudah, sesambil menunggu bas, bebola mata ligat memerhatikan setiap babak yang berlaku di hadapan mata. Masih terasa sejuk menusuk tulang. Banyak manfaat penulis terima pada pertemuan mingguan itu, tidak sia-sia walaupun jauh dan jenuh menunggu bas, at least penulis boleh jadikan sebagai penimbang tara dalam memberi secangkir ilmu kepada mereka yang memelukan. Kekalahan seseorang muslim dalam dambus perjuangan mengali khazanah ilmu pada ketidakpedulian mereka menjaga harta warisan itu sebaiknya, akhirnya mereka tersungkur di lembah yang digali tangan mereka sendiri. Kenapa tidak, mereka inilah yang akan menghuni dasar neraka, gara-gara ilmu yang ditinggalakan, bahkan menggunakannya semata-mata untuk kepentingan diri sendiri.
Sempat penulis sembang dengan Ustaz Ariya, sambil tunggu dewan penuh. Banyak kami bicarakan, terutama fungsi ilmu dalam memartabatkan bangsa. Rumpun bangsa Malaysia mahupun Indonesia, tidak jauh bezanya, boleh katakan hampir sama. Bermula dengan ilmu, lahirnya tamadun-tamadun dunia yang berdiri kukuh tidak ditelan zaman. Berubah hanya pendokong yang silih berganti. Dua perkara penting penulis berjaya gapai. Idea yang dilahirkan untuk mencapai kemantangan sesebuah tamadun, dan kecekalan mengoreksi idea tersebut bagi memanfaatkan ilmu yang diperolehi untuk membangunkan sesebuah tamadun. Satu kupasan tentang keseragaman ideologi selaras dengan masalah kotemporari pada masa ini. Pada hemat penulis kita juga mampu membina tamadun sendiri, atau sekurang-kurangnya mengukuhkan tamadun yang sedia ada. Bagaimana tu?
Kita perlu ada kefahaman perkaitan pemikiran dan masa. Pembaca pemikiran dalam masa dan suasana yang berlainan perlu mengambil ibrah, hikmah dan pengajaran daripada pemikiran dengan memahami konsep anjakan setiap masa yang berlaku. Keanjalan Ilmu ini diperlukan agar kita dapat menolak ekstremisma ilmu sama ada ekstrim liberal, ekstrim radikal mahupun esktrim jumud dan literal. Takutnya masa meninggalkan, dan pemikiran tersebut tidak mampu dirakamkan buat panduan generasi depan.
Idea adalah persoalan teks dan konteks. Memahami dua hal ini telah menjadikan penulis lebih jelas dalam menilai pandangan dan seterusnya dapat menghadam idea yang lebih lestari. Menggunakan konsep pencerahan bagi penulis tidak kurang pentingnya, cukup bermakna kerana memberi ruang untuk idea baru yang lebih kritikal.
Pencerahan ilmu dan akal mungkin sebahagian dari idea perubahan atau pembaharuan kepada sesuatu tamadun. Namun pencerahan tidak bermakna mengambil semua idea yang bersifat kritikal kerana mahu dilihat lebih cerah dari yang lain. Islam juga meletakkan adab dan keadaan sesuatu tempat dan masa, sebagai manhaj pada islah atau dakwah. Boleh juga dikatakan, mungkin pencerahan itu kita mahu namakan sebagai ganti pada istilah dakwah dan Islah.
Dr Hamka pernah berpesan kepada anaknya;
“Sejarah itu tidak berulang, tetapi sifat pelaku sejarah yang berulang”
Sejarah hanya tinggal sejarah dari segi peristiwa, tarikh, masa, dan tempat. Cuma, kita iktibarkan adalah prosesnya sahaja.
Sebenarnya pada penulis, semua mengakui kepentingan sejarah. Cuma tidak pasti kolerasi pengakuan itu akan memastikan tindakan memahami atau menguasai sejarah. Penulis merasakan, kita mempunyai kebebasan untuk bersetuju atau tidak bersetuju soal minat dan tak minat, hambar dan tak hambar tentang sejarah bagi mereka yang memahami sejarah dari awal, bukan mereka yang cuba bercakap tentang sejarah, tapi bukan berdasarkan ilmu dan fakta.
Pergerakan sejarah besar seperti kisah-kisah Nabi dan umatnya diulang siar secara berulang-ulang di dalam el Quran tidak sedikit pun membosankan. Kerana atas dasar keyakinan bahawa kisah-kisah tersebut terus berulang bagi Nabi dan Rasul Terakhir dan wajib dijadikan panduan serta persediaan menghadapi apa-apa yang bakal berlaku semula. Kisah sejarah di dalam el Quran diselang seli dengan pengajaran, iktibar, panduan, pilihan, undang-undang, dan yang paling menarik ialah ganjaran yang hebat di akhirat kelak. Jadi secara tidak langsung minat pada sejarah akan berputik. Justeru, tamadun yang ingin dibikin dapat direalisasikan.
Pengolahan fakta itu bertitik tolak dari ketakutan pengolah kerana atas kekangan atau pun ugutan yang mengentarkan hati sesiapa pun. Penulis bersetuju bahawa kesilapan ini bukanlah kerana kekangan kerajaan, tetapi kalau kita perhalusi mengapa sejarah eropah diolah menarik tetapi bukan sejarah kita.
Karen Armstrong sendiri tidak memilih Islam, tetapi tulisannya telah menjadi sebab ramai orang Barat memeluk Islam. Mereka memanfaatkan tulisan Karen Armstrong kerana beliau mengajar kita berfikir dan berbincang tentang agama tanpa prejudis dan prasangka. Orang dapat berfikir secara sihat. Lain pula sesetengah daripada kita, sangat bersemangat untuk menyampaikan Islam, lantas bercakap siang malam tentang Islam. Tetapi banyak yang dicakapkan, dan banyak yang dilakukan itu, lebih membinasakan dari membantu membangunkan Islam. Inilah antara contoh perbandingan pencerahan akal yang dangkal, dari membuat tindakan seperti yang diolah.
Berdiri Dari Penilaian Peribadi
Kadang-kadang kita juga perlu belajar daripada orang lain, untuk jadi seperti segigih apa mereka usahakan. Penulis suka mengambil pengajaran dari seorang pejuang kemerdekaan India, yang berdiri selepas berdikari.
V.P. Menon adalah seorang tokoh terkemuka di India pada saat negara tersebut sedang berjuang merebut kemerdekannya dari Inggeris selepas Perang Dunia Kedua. Beliau adalah pegawai pribumi yang paling tinggi jawatannya di dalam pemerintan colonial. Beliau jugalah orang yang diberi kepercayaan oleh Lord Mounbatten untuk menyusun konsep terakhir berkaitan perjanjian kemerdekaan negara tersebut. Dibandingkan dengan para pemimpin gerakan kemerdekan India lainnya, Menon memang merupakan seorang yang lain dari yang lain. Tidak memiliki ijazah dari Oxford atau Cambridge yang bisa digantung di dinding pejabat. Beliau juga tidak memiliki kasta atau latarbelakang keluarga yang boleh menyokong keperitannya memperjuangkan kemerdekaan. Namun kecekalannya belajar dari keperitan hidup untuk berjaya dalam hidup menjadi sokongan untuk semua itu.
Sebagai anak sulung dari dua belas bersaudara. Maka pada usia tiga belas tahun Menon terpaksa berhenti dari sekolah dan bekerja. Mula-mula dia bekerja sebagai buruh di Pertambangan Batubara, kemudian di fabrik , kemudian menjadi pedagang dan akhirnya menjadi seorang guru. Dari sanalah kemudiannya beliau menjadi pegawai negeri. Beliau mempunyai integriti keperibadian serta ketrampilan yang luar biasa dalam melakukan pekerjaan secara produktif, baik dengan para pejabat India mahupun Inggeris. Nehru mahupun Mounbatten sama-sama mengakui dan memujinya sebagai orang yang memberikan sumbangan besar bagi kemerdekaan India.
Sejak kejatuhan pemerintahan Kerajaan Islam Uthmaniah secara rasminya kepada rejim yahudi Mustapha Kamal Attartuk pada tahun 1924M sehinggalah kini, bermakna sudah hampir 85 tahun umat Islam kehilangan arah tuju dalam erti kata yang sebenar,dan masih lagi di dalam kerabaan malam yang bersuluh malap mencari jalan pulang.
“Bagaikan hilang tempat berpaut”
Suatu ungkapan bidalan yang cukup sinonim dengan situasi sekarang,sesuai menggambarkan keadaan umat Islam selepas keruntuhan sistem pemerintahan terakhir umat Islam sejak dari zaman pemerintahan agung Baginda Nabi Muhammad saw.
Dalam kejatuhan yang tiada berpehujung, pihak barat telah mengaburi umat Islam dengan pelbagai usaha dan dakyah dalam usaha untuk memesongkan cara berfikir umat Islam, dan yang lebih jauh lagi memesongkan akidah yang tulen dengan menyogok fahaman sekular yang berkonsepkan pemisahan agama dari urusan kehidupan dan pemerintahan. Maka jelaslah, pihak barat telah berjaya memisahkan kebanyakan umat Islam dari mempunyai minat dan kesungguhan di dalam menguasai ilmu-ilmu Islam, sains dan teknologi.
Menghadapi cabaran barat seharusnya menjadi agenda utama umat Islam disamping tidak meninggalkan perkara-perkara penting yang lain.Bersatu di bawah satu matlamat bagi mendaulatkan Islam di bawah satu panji berlatarbelakangkan konsep Islamiah dalam kehidupan. Umat Islam perlu memperkasakan diri mereka dengan kepelbagaian ilmu dan kebolehan terutama yang berkait rapat dengan jalur lebar teknologi, penyiaran, bidang kejuruteraan, sains, biologi, bio-kimia, angkasa lepas (astronomi), dan sebagainya. Tanpa mengalpakan ilmu-ilmu yang lain yang terlebih utama, seperti ilmu-ilmu fardhu ain dan segala macam ilmu dalam agama yang berkaitan Fekah, Tafsir, Hadith, Bahasa Arab, dan sebagainya. Dengan peranan ilmu inilah yang akan menjadi pelita sebagai garis panduan kita menuju Allah Taala.
Kecerdikan Ulama’ Silam Perlu Diwarisi
Kisah ini berlaku di antara Abdullah yang diutuskan oleh Khalifah Harun as Rasyid untuk mempersembahkan sebuah jam mekanikal ciptaan terbaru Negara Islam pada zaman tersebut kepada maharaja Jerman yang bernama Sharlaman di Bandar Aachen yang terletak di bawah jajahan empayar Jerman. Cerita ini telah diriwayatkan sendiri oleh Einhard, ahli sejarah istana Sharlaman yang turut sama menghadiri upacara penganugerahan dan kunjungan kehormat utusan kerajaan Islam Khalifah Harun ar Rasyid ketika itu.
Menurut fakta yang diceritakan sendiri oleh Einhard, keunikan dan kecanggihan jam mekanikal hasil ciptaan terbaru kerajaan Islam ialah kemampuan jam ini mengeluarkan bunyi penggera apabila setiap kali jarum jam ini melalui satu pusingan lengkap 12 jam. Bunyi tersebut adalah berbentuk gema seperti pukulan gong yang mana ianya terjadi dengan jatuhan 12 biji bebola besi yang diletakkan pada 12 lubang yang terdapat di dalam jam tersebut setiap kali tiba pada jam 12. Bebola-bebola besi ini akan jatuh dan menimpa kepingan logam atau tembaga nipis yang terletak di bahagian bawah jam dan mekanisma ini masih berlaku di dalam jam tersebut. Kesemua bebola besi, kepingan logam tembaga nipis dan gerigi jam yang berskala itu dicipta dengan cukup teliti bagi menghasilkan ketepatan waktu dan bunyi penggera. Menarik dari cerita ini, pada masa itu di Eropah masih lagi di zaman kegelapan dan belum lagi mengalami revolusi ilmu pengetahuan sebagaimana yang telah berlaku dengan pesat dalam empayar kerajaan Islam.
Oleh kerana orang-orang Eropah boleh dikatakan terpisah jauh sama sekali dari ilmu kemajuan sains dan teknologi seperti ini, maka apabila sahaja Maharaja Sharlaman yang sedang bersemayam di singgahsana menyaksikan ujikaji jam tersebut, secara tiba-tiba melompat turun dan lari bersembunyi di belakang takhta singgahsana sebaik sahaja mendengar degungan jam tersebut. Pada mulanya beliau menyangka jam itu dipengaruhi syaitan sehingga dapat berbunyi dengan sendiri. Tetapi setelah diberitahu perihal keadaan mekanikal jam tersebut, barulah beliau berani kembali ke singgahsana. Jadi dari cerita ini, maka jelaslah pada zaman tersebut merupakan era kegemilangan Islam yang tiada tandingan dari mana-mana benua, yang dapat mencipta sesuatu yang baru dan tidak terlintas oleh mereka yang tidak terdedah pada ilmu pengetahuan yang lengkap seperti ini.
Lihatlah betapa tabah dan cerdik para cendikiawan dan para ilmuan Islam dalam mencernakan ilmu yang dipelajari untuk dicanang dalam kehidupan seharian, dengan berjaya mencipta pelbagai kemudahan untuk kegunaan manusia pada zaman tersebut. Betapa cekal dan sabar mereka melakukan ulangan serta kajian berterusan sehingga beratus-ratus kali percubaan eksperimen, dan tidak berputus asa walaupun ada kalanya mereka terpaksa menerima hakikat yang sedikit mengecewakan di akhir perjalanan.
Namun bagaimana pula kita melihat kesungguhan mahasiswa pada zaman ini, adakah sama dengan apa yang telah dipertontonkan oleh mereka? Jentik hati tanya Iman.
Justeru itu, semangat dan perjuangan perlulah dimulakan pada saat ini. Terutama dikalangan para ilmuan, di mana mereka tidak perlu alpa,dan leka serta membuang masa dengan hanya berpeluk tubuh bagaikan ‘orang tidur disorongkan bantal’ tanpa perlu berusaha mencari kelainan dalam memahatkan sejarah pada catatan diri sendiri yang bisa menjadi sebutan masyarakat disekeliling. Umat Islam perlulah berhenti menyalahkan orang lain sepanjang hidup mereka. Sikap inilah yang akan melemahkan kekuatan umat Islam itu sendiri serta membatutkan usaha-usaha untuk membangunkan kembali ketamadunan silam. Kerana sikap inilah juga akan mencetuskan perpecahan sesama mereka dengan berlaku perkara-perkara yang merugikan keseluruhan umat Islam. Inilah usaha-usaha yang telah ditabur oleh barat yang dirancang secara terperinci, halus dan rapi untuk melihat Islam terus ketinggalan dan luput dari sejarah kegemilangan terdahulu. Maka hendaklah umat Islam itu berubah secara keseluruhan dan sedar dari lamunan yang berpanjangan, dengan bangkit memberi sumbangan sosial, tenaga, buah fikiran, dan berkorban dalam satu barisan serta menggembleng arah tuju yang sama lagi mantap. Jalan-jalan inilah yang akan menyelamatkan mereka dari terjatuh ke dalam lubang-lubang kehinaan dan kemunduran yang telah diciptakan oleh pihak barat.
ameen