PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Selasa, Ogos 31

Memerdekakan Erti Kemerdekaan







MEMERDEKAKAN Erti Kemerdekaan sebenar. Merdekakan diri-mu daripada badi syaitan laknatullah, nafsu amarah, nafsu lawwamah hingga kamu bisa membuat keputusan di atas penghidupan sendiri. Pantas kamu bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah melayarkan perjuangan merobek kerakusan dunia membulu, masyarakat membebal. Penawarnya sepahit ubat, agar kamu sedar mati sempat bertaubat.

MERDEKA!..

MERDEKA!..

MERDEKA!!!


Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Ogos 30

Lagi Pesanan Buat Kaum Hawa







Wahai Wanita, walaupun kalian diberi pelepasan untuk tidak berpuasa disebabkan Uzur, tapi bukan tiket kalian mempersendakan kemulian Bulan Ramadhan yang dimuliakan. Cukuplah sebelas bulan di luar Ramadhan ada antara kalian masih berbasa-basi melunaskan Qadha' Puasa. Biarpun uzur tapi kalian tahu untuk hormati, makan minum di siang hari beralasan manusia tak nampak tapi Tuhan kepada manusia tidak pernah BUTA.
Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Ogos 29

Mutiara Dari Mahligai Kalam






Petikan status (kata-kata) saya di Facebook, perkongsian harian;

Hidup dalam serba kekurangan membuatkan manusia lebih produksif, dan progresif apabila IMAN berfungsi. Kekurangan tadi tidak pernah mengurangi masa depan yang bermatlamat agar dia bisa selamat. Melaksanakan matlamat bukan mudah, tapi dia sedar jalan susah ini akan menggelakkannya cepat terngandah. Manusia seperti ini hidupnya tidak pernah sia-sia.

Musibah buat yang tidak mahu ambil Muhasabah, tidak ambil sisi Tersirat dari Tersurat, Hikmah di balik Mehnah. Muslimat yang mengenakan TUDUNG hingga menampakkan dada, leher jinjang atau rusa, membiarkan telinga terjuah keluar seperti berbaju tapi membiarkan pusat terpapar sama seperti kalian tidak bertudung, membimbangkan yang bertudung labuh tapi kain terlalu jarang juga mengalami musibah sama, iaitu DOSA.

sekadar muhasabah...

Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Ogos 27

Hilang Intergriti Jangan Undang Mati







SUSAH
mahu betulkan persepsi manusia. Justeru dari cara berfikir yang berbeda tersebut melahirkan pelbagai reaksi yang sering kali digambarkan sebagai cemuhan, sindiran, makian. Susah bukan apa, semuanya bersifat emosional bukan lagi sebuah rasional.

Risau baca sisipan Kosmo Online semalam. Sikap sambil lewa menantijahkan kesan begitu hebat.

Bazar Ramadhan.

Bazar Ramadhan tidak lagi tempat selamat melampiaskan nafsu makan kerana hilang intergriti para penjual. Kadang-kadang bila dalam serba mahu segera, mahu kaya segera, makanan pun jadi segera.. kebersihan tangan, kebersihan ikan, ayam dan udang tidak ambil kira, maka tidak hairanlah kalian telah mengajak kami MATI segera. Minta jauh mati dalam su'ul khatimah walaupun kalian sempat bersyahadah.

Adakah semua ambil kisah?
Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Ogos 26

Melodi Hati Laskar Kehidupan Kanak-Kanak







KETIKA saya masih di bangku pra-sekolah, saya sering terganggu fikiran. Mungkin sahaja kerana pada masa itu, proses untuk menerima segala unsur yang berlaku di persekitaran agak susah diadaptasi dalam bentuk lakonan semula kepada diri sendiri seperti apa yang dilihat.

Saya sedar, di saat teman-teman lain masih seronok melayan masa kanak-kanak mereka, namun saya tidak berpeluang mengikuti secara kerap kerana merasakan diri ini mempunyai tanggungjawab sosial yang perlu diletakkan di hadapan berbanding menghabiskan masa mengumpul koleksi komek karton, bermain play station, menangkap ikan dalam longkang, dan berlari-lari mencari dan menangkap rama-rama.

Saya tidak mengatakan secara total semua itu tidak pernah langsung saya abaikan bersama teman-teman yang lain, tapi tidak seratus-peratus atau at least lima puluh peratus saya habiskan untuk itu.

Tanggungjawab sosial saya maksudkan di sini, adalah sesuai dengan kematangan saya berfikir ketika itu seperti membantu ibu membeli sesuatu barang keperluan di kedai, menguji diri bermuamalat dengan orang lebih tua, menyampaikn sesuatu berita sebagai rencah untuk dikongsikan, dan sebagainya.

Tanggungjawab sosial saya masih kuat di ingatan adalah menangani pertengkaran dua orang teman baik saya. Cerita ini hanya sekadar perkongsian santai bersama para pembaca budiman sekalian, hinggakan saya rasakan peristiwa ini berjaya mengetuk hati untuk menerokai lebih jauh mengenali dunia yang berpuaka ini.

Mereka, kedua-dua teman saya ini merupakan dua sekawan yang rapat. Mereka dilihat begitu baik di mata-mata rakan pelajar yang lain. Mereka datang ke sekolah berjalan seiringan memandangkan jarak rumah mereka hampir dengan sekolah tadika tempat kami belajar ketika itu, sering makan bersama, bahkan bangku duduk dalam kelas pun selalu didekatkan.

Namun satu perkara mereka tidak pernah sebulu, iaitu menyiapkan kerja rumah yang diberikan cikgu, terutama mata pelajaran matematik (ilmu kira-kira). Saya masih ingat cikgu yang setia melayan kerenah kami pada masa itu, ialah Puan Rohani Abdullah. Beliau sedia membantu kami mengenal huruf alphabet dan nombor-nombor sa hingga ribuan, cara menghintung dengan mudah, dan sebagainya.

Lebih mudah untuk cuba saya terangkan di sini, saya akan bezakan antara mereka. Saya meletakkan simbol huruf A dan B mewakili kedua-dua sahabat saya itu.

Si A adalah seorang sahabat yang tidak suka melihat kerja rumah diberikan tidak disiapkan atau ditangguh-tangguhkan, lantas mahu sahabatnya si B turut mempunyai komitmen supaya segera menyiapkan kerja rumah bersama. Si A dibesarkan di dalam keluarga yang cukup mementingkan masa dan tidak suka melengahkan sesuatu pekerjaan. Kalau boleh mahu disiapkan kerja yang ditugaskan pada hari yang sama. Oleh sebab itu, amat wajar sekali tindakan spontan si A sering memarahi atau masam muka dengan sahabat karibnya si B disebabkan hal remeh ini.

Saya tidak mengatakan teman si B tidak suka pada kerja rumah, atau menyiapkan dalam masa segera. Dia tidak pernah dimarahi Puan Rohani kerana kegagalannya menyiapkan kerja rumah mengikut masa yang diberikan. Tetapi teman saya ini mahu melakukan semua ini dengan tenang, dan berhati-hati.

“Kau adalah sahabatku, kenapa setiap kali aku mengajak untuk siapkan homework di sekolah, ada-ada sahaja alasan kamu?” Nada suara si A sedikit tinggi.

“Alasan aku adalah ingin menjaga kebiasaan aku lakukan, ingin tenang, dan tidak terlalu fokus hingga hilang minat pada yang susah” Balas lembut si B pertanyaan si A itu tadi.

Hingga pada suatu masa, saya lihat mereka tidak lagi datang ke sekolah bersama, duduk di bangku yang berdekatan, makan bersama, dan pulang berseiringan. Timbul rasa kurang senang di hati, kenapa dialog dan babak yang sama hampir diulang siar setiap hari, menimbulkan rasa tidak puas hati antara mereka, hingga sanggup tinggalkan perkara yang lebih penting lagi, iaitu nilai persahabatan. Hampir semua daripada kami perasan bangat perbezaan sikap antara mereka.

Pada suatu hari, saya membawa kedua-dua teman karib ini bersiar-siar di taman dengan niat ingin mengembalikan rasa kasih dan sayang mereka antara satu sama lain seperti apa yang dilihat sebelum ini. Menjernihkan keadaan. Sengaja saya mencari waktu paling lama untuk menyatukan mereka, agar mereka dilihat sedikit lupa dengan konflik ini.

Saya tidak terus mengambil tangan mereka untuk berdamai, biarlah saya sedikit bersusah-susah untuk melihat kesedaran itu timbul sendiri di hati-hati mereka. Mereka sendiri yang menghulurkan tangan. Saya hanya ingin menimbulkan kekesanan di hati mereka supaya terngandah.

Saya mulakan langkah pertama dengan bercerita tentang kisah hidup saya yang sedikit susah, tidak seperti mereka. Namun saya tidak pernah menceritakan kekurangan dari sisi itu, tapi kesedaran kami untuk bangkitkan rohani menjadi utuh antara satu sama lain agar tidak lemah di dalam serba kekurangan tadi. Mungkin sahaja ada di antara kita mengalami nasib yang sama, namun kebanyakkan mereka kecundang di tengah-tengah masalah ini.

Saya pasakkan nilai-nilai baik, bangkit bersama dari lamunan yang kelak bisa meruntuhkan hubungan baik antara kami. Semua yang diceritakan hal baik-baik sahaja tentang keluarga saya.

Seterusnya saya mempersilakan antara mereka secara bergilir-gilir menceritakan perihal keluarga mereka. Alhamdulillah, semua menceritakan perihal kebaikan keluarga masing-masing. Ternyata mereka begitu sayangkan keluarga, kalau boleh setiap detik inginkan belaian kasih sayang agar hubungan menjadi semakin utuh hinggakan tidak membiarkan krisis meretakkan tembok kasih sayang yang telah lama terbina.

Selepas itu saya meminta mereka menceritakan perihal kebaikan mereka ketika pernah berjalan seiringan bersama, makan bersama, dan hampir melakukan semua pekerjaan dengan tangan yang memikul beban bersama. Seingat saya, si B yang memulakan hikayat terlebih dahulu, kerana sedikit lembut sikap berbanding si A. Kemudian, diikuti si A dengan penuh perasaan mengembalikan nostalgia mereka bersama.

Ternyata mereka berdua tidak bercanggah, dan bersetuju menceritakan hal-hal yang baik-baik sahaja yang pernah berlaku antara mereka, hatta terlupa kisah buruk. Mereka mula mengukir senyum dan tersedar bahawa persengketaan tidak akan membawa apa-apa faedah bahkan akan mendatang musibah pada sekeping hati.

Tamat...

MEMBINA KEMATANGAN MINDA

Para teman sering bertanya kepada saya bagaimana hendak kekalkan mood dalam keadaan pelbagai, orang lain tidak terkesan sama dengan suasana kita ketika itu atau sebaliknya. Saya dilihat sebagai role model mereka, bagi saya ianya permulaan baik untuk saya melangkah lebih jauh dalam memberi manfaat yang baik-baik. Saya juga manusia biasa dan ada kekurangan sama ada sedar atau tidak.

Begini...

Orang yang beruntung ternyata lebih mengandakan intuisi (sikap dalaman terurus) daripada logik akal. Keputusan-keputusan penting yang dilakukan oleh orang beruntung ternyata sebahagian besar dilakukan di atas dasar bisikan hati nurani (intuisi), ianya lahir daripada hasil bisikan persekitaran. Bisikan persekitaran boleh membantu, tapi final decision umumnya dari perasaan tidak sihat kerana kepelbagaian andaian. Makanya orang beruntung umumnya memiliki metod untuk memperhalusi intuisi mereka, misalnya melalui meditasi yang teratur. Pada kondisi mental yang tenang, dan fikiran yang jernih, intuisi akan lebih mudah diakses dan makin sering digunakan, intuisi kita juga akan makin tajam.

Manusia memiliki kekuatan yang luar biasa untuk menciptakan maha karya. Kekuatan terbesar dalam diri manusia itu terdapat pada pola fikiran sepertimana saya nyatakan sebagai mesej utama di awal perbincangan tadi. Tetapi kita jarang membuktikan kekuatan fikiran tersebut, sebab kita sering terjebak di dalam zon nyaman, kesenangan atau kebiasaan tertentu. Sehingga selamanya tidak dapat mencari kemungkinan yang lebih baik atau perubahan nasib yang bererti.

Justeru itu, carilah matlamat yang lebih tinggi untuk merangsang kekuatan dalam fikiran tersebut. Kerana matlamat atau sasaran baru yang difikirkan itu, akan menggerakkan diri kita untuk melaksanakan sesuatu tindakan. Apalagi, jika kita betul-betul yakin matlamat tersebut bakal berjaya dan tercapai, maka diri kita telah siap siaga menghadapi sebarang tentangan yang ada dan bakal menjelma.

Mudahkan….

Buatlah pilihan terbaik untuk kematangan minda anda, yang pasti itulah identiti diri anda yang sebenar, kelak menjadi cermin kepada masyarakat untuk menilik diri mereka pula.

Teruskan Pembacaan>>>

Rabu, Ogos 25

Wanita Diri-Mu Begitu Berharga








KELMARIN saya menadah telinga mendengar rintihan dan luahan ‘panas’ seorang perempuan muda. Amarahnya sudah tidak tertahan lagi, bagaikan gunung berapi menunggu masa untuk meletus. Katanya, saat ini dan mungkin selama-lamanya tidak akan melupakan peristiwa pahit yang telah tertimpa ke atas dirinya... dipermainkan perasaan oleh seorang lelaki. Gender sebagai seorang lelaki tidak lagi selamat buat kaum adam di luar sana, termasuk saya juga turut dipalit sama dengan kata nama ‘lelaki’ yang dia maksudkan.

“Betulkan ustaz semua lelaki suka mainkan perasaan wanita? Semua lelaki sama sahaja, suka ambil kesempatan” marah makin berapi.

“Mungkin ayat sesuai ‘kebanyakan’ bukan ‘semua’. Kalau begitu saya juga termasuk ‘lelaki’ saudari sebutkan tadi. Bahkan mungkin kepada seorang insan yang telah membenihkan zuriat sebelum saudari boleh melihat dunia ini” saya cetuskan provokasi.

Apa boleh buat kita hanya manusia. Manusia itu lemah, dan tersangat lemah. Sempurnanya manusia kerana kesempurnaan tiada tolok bandingan yang ada pada Dzat Allah Taala.

Saya tidak salahkan sesiapa. Saya lebih cenderung salahkan diri sendiri, kenapa tidak pernah ambil ingat dan berhati-hati. Kepercayaan diberi melebihi harapan yang diharap, akhirnya bila diri keseorangan ditinggalkan, termanggu-manggu di tepi jendela mengenang nasib malang.

“Kenapa orang yang saya kenali selama dua tahun, sanggup buat macam ni? Saya telah berkorban apa sahaja, bantu dia dalam pengajian. Senangnya dia lupakan saya, dan cari perempuan lain” kata-katanya seolah terus ingin membela diri yang salah.

Kenapa kesalahan ini diletakkan di bahu orang lain? Diri tidak pernah muhasabah, kenapa dulu tidak pernah peduli, lantas beringat sebelum kena, dipekenakan. Wahai wanita kalian berhak mempertahankan maruah dan peribadi. Jangan cepat dan mudah percayai kata-kata manis hingga sanggup dinodai. Mudah berbangga, rupa-rupanya ada orang menaruh hati. Mulalah beranggan; “Dalam sejuta perempuan yang ada, aku juga dipilih”

Mahupun dia hanya seorang lelaki soleh atau seorang perempuan solehah di kaca mata kalian, tidak boleh dianggap orang itu telah beriman kerana sahaja penampilan berkopiah, berjanggut sejemput, berserban besar atau bertudung labuh litup. Status seorang USTAZ dan USTAZAH bukan lagi jaminan imannya sentiasa hidup, kerana dia masih mempunyai teman yang sentiasa hidup iaitu NAFSU dan SYAITAN. Hati-hati pada sekeping HATI.

BERFIKIR MELALUI ILMU

Ilmu ada tapi tidak ‘pandai’ memanfaatkan ilmu tersebut, itulah padahnya. Kadang-kadang kaku untuk membuat keputusan matang, tidak matang kita akan dihukum oleh sunnatullah kerana kebanyakan manusia memilih jalan berduri yang disengajakan kelak akan memakan diri. Ilmu diperolehi untuk diamalkan.

Tiada alasan walaupun kalian beralasan bukan datang dari latarbelakang agama, kerana sekarang mudah untuk dapatkan bahan ilmiah, dan bergenri islami... sama ada melalui saluran biasa, mendengar kaset, audio ceramah dan kuliah atau secara formal dengan mengikuti kelas pengajian yang ditawarkan secara langsung.

Lantas kita dituntut beramal dengan ilmu tersebut. Bagaimana? Gunalah akal untuk mencerna ilmu tersebut dalam realiti hidup.

Belajar tanpa berfikir adalah suatu kesia-siaan. Justeru tiada faedah pelajar lulus peperiksaan tetapi tidak menyertai latihan berfikir di sepanjang pembelajaran itu. Beliau lulus dengan hafalan, bukan dengan kefahaman. Tanda kelulusan dengan hafalan dan bukan kefahaman, ialah apabila hafalannya tidak dapat menguruskan realiti. Tafsirannya di awangan, terjemahannya berterbangan. Ideanya sangat tekstual, hingga teks berpisah dari konteks.

Kita pun menyelidiki punca ‘cerdik pandai’ kita ini membelot pada sebuah ilmu. Maka akhirnya kita ketemu jawapan, iaitu para pembikin ilmu ini sedari umur muda hingga meraih sarjana, telah bergelumang dengan satu sistem. Sistem yang mengarahkan kepada satu keupayaan sahaja; ingat dan luah kembali di atas sekeping kertas. Maka ingatan yang tertuang itulah akan dinilai hidup dan jaya seorang manusia.

Justeru kaedah berkurun lama para pensyarah dan profesor bergelumang dengan sistem exam orianted inilah akhirnya membuatkan mereka beriman bahawa pengukur kepandaian seseorang insan adalah dengan ingat dan luahkan kembali. Percaya bahawa seorang manusia yang boleh mengingat dan boleh menjawab soalan yang diberikan seperti yang termaktub dalam silibus berupa manusia yang cerdik dan harus diberikan ‘kepandaian’ kepadanya.

Namun, panas tidak selamanya hingga ke petang. Adakalanya diri ini tumpas juga dengan gelocakan hawa nafsu. Ingat tersebut tidak lagi berupaya menahan asakan bertali arus anasir-anasir daripada luar kotak ‘kepandaian’ kita tadi. Maka lahirlah mereka yang cerdik pandai, intelek agama turut sama bergelumang di dalam kancah sosial tidak sihat. Mana puncanya? Kerana ilmu yang ada tidak pula pernah beriman, hanya menjaga kepentingan peribadi, tidak lebih untuk mendapatkan segulung ijazah.

Ironinya sangat aneh, teramat lurus bendul fikirannya menadah maklumat hingga tahunya yang banyak itu, tidak lagi berhasil membantu diri menjawab soalan kehidupan, di luar kertas peperiksaan. Bahawa belajar tanpa berfikir adalah sia-sia belaka, berfikir tanpa belajar adalah merbahaya.

Hasil kita perolehi, adalah seperti perempuan malang yang ditinggalkan bulat-bulat oleh bekas kekasih di atas. Mudah kesempatan diambil, dirobek.

HATI-HATI

Kita diberi peluang mencipta diari dan perjalanan hidup sendiri. Takdir kita ada selepas azam dan usaha yang kita ikhtiar. Bukannya menyalah takdir bila diri terjebak di dalam arus membulu, kerana kita telah mentakdirkan diri sendiri menjadi seperti itu. Apa gunanya salahkan orang lain disebabkan kecuaian diri sendiri. Paling berkesan pun kita akan berasa lega apabila amarah dilepaskan bertalu-talu, namun kesan parutnya akan terus membekas di jiwa kalian.

Ingatlah wahai wanita. Kalian ada tugasan yang perlu diutamakan baik sebagai srikandi di jalan dakwah mahupun dalam urusan rumahtangga, iaitu sentiasa patuh pada perintah-Nya. Kaum adam juga sama. Carilah hati anda berada di mana ketika dan di saat ini, dan letakkan pada sumur yang sepatutnya, usahlah lagi dibiarkannya bersendirian tanpa iman sebagai teman yang menjaga.

Ada orang tidak jumpa hati sendiri. Dia tidak tahu di mana hatinya berada, lalu kemahuan hati sendiri jadi tidak menentu. Oleh itu, banyak kata putus hatinya menyimpang jauh dari kehendak naluri insani yang diterajui oleh agama. Maka disebutkan bahawa tempat kita mencari hati adalah dalam mengingati-Nya, dalam menundukkan diri bersolat di hadapan-Nya, dalam merenung hikmah di sebalik setiap kalam-Nya, dan dalam kita menyediakan diri ke destinasi menuju-Nya. Bahkan alam ini, pengajaran paling sesuai untuk kita mengenali Tauhid.

Kalau tidak jumpa hati di tempat-tempat ini, berdoalah kepada Allah, agar diberi sekeping hati untuk berasa diri sebagai hamba, seorang hamba tidak memiliki apa-apa. Doa itu senjata bagi orang-orang beriman.

Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Ogos 24

Ibrah SAHUR Keberkatan Bangun SUBUH







MEMERITKAN apabila keinginan sering kali menyusahkan hidup kita. Kita masih tercari-cari di mana salah dan silapnya hingga buta menyuluh jalan yang sudah diterangi di hadapan. Begitu juga, apabila manusia diberi kenikmatan sihat dan harta, ramai yang masih lagi buta dihamparan kemewahan dan cergas tapi alpa kepada siapakan dikembalikan rasa mewah dan cerdas tadi. Kalaulah manusia semua bersikap adil pada Tuhan, sudah pasti Tuhan juga akan lebih adil dalam memberi keberkatan pada sebuah keinginan tadi.

“Ustaz, memang susah saya nak bangun subuh.. saya sering berjaga malam hingga subuh semata-mata tidak mahu terlepas waktunya”

“Ustaz ada petua?”

Masalah bangun subuh atau apa sahaja yang memerlukan seseorang mujahadah (berusuha lebih daripada kebiasaan) ialah disiplin. Tiada siapa yang mengubah kita, dan cara kita melainkan kita sendiri. Sudah tentu disiplin tadi akan mengawal segala tindak-tanduk dan gera-geri kita menjadi seperti apa kita mahukan. Soal disiplin tidak datang dengan mudah, ianya perlu pada rangka dan matlamat ingin dicapai, maka barulah di sana ada usaha untuk menggerakkannya.

"Ianya bermula daripada niat kita terlebih dahulu. Kalau saudara menghadapi masalah bangun awal pagi, solat subuh.. maka saudara lebih mengetahui apakah kondisi sepatutnya saudara lakukan, mungkin saudara boleh mengurangi waktu bekerja melibatkan kudrat tubuh badan, belajar sahaja memerlukan kudrat dalaman yang lebih apatah lagi yang memerlukan kekuatan fizikal berlebihan, maka saudara telah memaksa diri membuat sesuatu di luar lingkungan normal kekuatan tubuh badan" ujar saya.

Selain itu, saudara boleh juga amalkan mengambil wudhu' terlebih dahulu sebelum hadirnya niat, doa dan sebagainya.

Semua ini perlu dilihat pada sudut positif, jangan cepat putus asa.

Malang sungguh mereka yang tidak ambil peluang berlatih fizikal dan mental di bulan Ramadhan. Puasa di siang hari adalah jihad paling berkesan, manakala sahur pula melatih kalian mudah bangun SUBUH. Makan awal malam sebelum tidur adalah sama seperti kalian makan SUPPER bukan SAHUR kerana tiada lagi keberkatan kecuali kemudharatan, disebabkan perut makin membuncit. Maka kalian bukan lagi SUPPER tapi SUFFER.

Nabi s.a.w bersabda: "Bersahurlah (makan dan minum), kerana pada sahur ada keberkatan" (Hadith Riwayat Muslim)

Bersahurlah walaupun dengan seteguk air dan sebiji tamar.

Kutiplah pengajaran (ibrah) sepanjang berada di bulan penuh berkat ini, bisa lagikah kita dipertemukannya di bulan Ramadhan akan datang?

Tanyalah Iman sejujurnya.
Teruskan Pembacaan>>>

Sabtu, Ogos 21

R6: Bapa Borek Anak Rintik






Antara sedar atau tidak Kanak-Kanak mempunyai POTENSI tinggi berbanding manusia DEWASA dalam proses MENDENGAR dan MENIRU SIKAP, kerana di sisi lain mereka masih lemah PERTIMBANGAN. Kalau si IBU seorang pemalas untuk bangun masak sahur, TERPAKSA bila dicubit suami atau si BAPA liat solat, TERPAKSA bila si isteri murai... jangan salahkan anak yang bakar mercun, mencebek mulut apabila ibu dan bapanya menjungkilkan mata.

Bolehkah disamakan bapa borek anak rintik, atau bapa kencing berdiri anak kencing berlari?


Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Ogos 17

R5: Peringatan Antara Sedar Atau Tidak







RAMAI sedar bulan Ramadhan bulan dikurniakan pelbagai PAHALA berbanding bulan biasa. Namun antara sedar atau tidak bulan Ramadhan boleh jadi bulan BALA untuk seseorang dapat KENCING MANIS, DARAH TINGGI, SAKIT JANTUNG kerana Nafsu Makan. Bukan TARAWIH menentukan kalian selamat dari NERAKA, tapi SOLAT FARDHU. Susah hendak lihat soff solat Fardhu penuh berbanding solat Tarawih. Islam yang belum Muslim.

Kita mungkin tidak sedar MERCUN sampai satu tahap boleh difatwakan dan diwartakan sebagai HARAM mengikut hukum syariat seperti Zina, dan Arak. Dan orang yang bermain, menjual, dan mengedar Mercun akan memperolehi SAHAM sama seperti peminum arak dan penzina, cuma membedakannya Besar atau Kecil DOSA. Budaya menghalau 'HANTU' begitu popular hingga kesannya ditanggung oleh orang lain. Risikonya kepada diri dan sekitar.

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Ogos 16

R4: Kita Pasti Meninggalkan Dia Kerana DIA







MALAM begitu gelap, langit pula tanpa hiasan bulan dan bintang.

Saya meluruskan kedua-dua belah kaki mengadap pantai nan indah, di kejauhan pula kelihatan lampu menyilau dari rumah api. Sungguh damai, terasa tenang menyelubungi tubuh kecil ini. Sudah lama tidak bercandu sendirian tatkala menikmati indahnya alam ciptaan Ilahi, sudah dua tahun, itupun masih segar di ingatan berlari-lari kecil di Pantai Irama, Bachok.

Rassel Bar, Dumyatt telah melenyapkan kerinduan melata ini.

Sudah dua hari kami di sini, sudah dua hari juga kami menghilangkan tension dari kesibukan dan hiruk-pikuk Bandar Cairo, walaupun terpaksa berbelanja lebih sedikit tapi rasanya berbaloi, berpatutan dengan hidangan keseronokan buat menghabiskan cuti semester yang masih berbaki.

Kalau cuti semester lepas, pada musim semi, kami meronda-ronda ke Dream Park, terletak di pinggir kota Kaherah, kali ini kami buat percaturan tepat untuk keluar dari Kota Metropolitan. Menerokai keindahan di setiap pelusuk sakinah bumi bertuah ini.

“Macam berada di Malaysia pula.. tidak ubah” berkata hati kecil saya.

“Bila pula giliran aku pulang.....” teringat kelibat teman-teman di Cairo International Airport, saat menghantar mereka pulang bercuti minggu lepas.

Angin bayu laut meniup lembut mengusap seluruh tubuh, sesekali mata terpejam dalam lamunan asyik. Kadang-kadang suasana ini telah mengingatkan saya pada kalam Sheikh Sayyid Syaltut al-Azhari, saat dan ketika inilah, jejeran muhasabah elok dilakukan. Ingat balik kronologi peristiwa sepanjang hari ini, baik buruk kita dapat nilai. Muhasabah, antaranya persedian kita menghadapi mati.

Rasa elok bebeno saya bincangkan soal mati kali ini.

AJAL BERTAMU

Mati, maut...

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “...setiap yang bernyawa akan merasakan kematian. (Kemudian) hanyalah kepada Kami kamu dikembalikan” al-Ankabut (29:57)

Kamatian bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti tapi perlu dipersiapkan bagi orang-orang yang beriman kepada Allah dan adanya Hari Perhitungan. Gerimis malam tetap membahagiakan sumur hati yang mendamba kehidupan lebih baik, lebih ahsan di penghidupan di sana, satu tahap lebih tinggi, serasa ingin mengecapi jua dari sekarang. Beruntung anak yang dilahirkan suci, menemui ajal di lipatan kain putih, tiada dosa mencalar kotor, menjadi tetamu Ilahi, disiapkan baginya syurga. Serasa terlagi indah, sesiapa mengerti falsafah hidup, berjuang dan bermujahadah melawan goncangan nafsu, dan husnul khatimah di akhirnya.

Allahu-Rabbi.

Kehidupan dan kematian adalah bukti bahawa adanya Tuhan, iaitu Allah Taala Maha Pencipta lagi Maha Besar. Tuhan menciptakan manusia untuk beribadah dan mengabdi kepada-Nya. Bila tiba masanya, manusia akan diangkat roh dari jasadnya yang disebut dengan kematian. Jika manusia selama mana hidup di dunia patuh dan taat kepada al-Khaliq, maka syurgalah balasannya. Jika manusia selama hidup di dunia kufur dan ingkar terhadap suruhan al-Quran, maka balasan neraka disediakan untuknya.

Bersediakah kita menghadapinya?

Sedia atau tidak, kaya atau miskin, muda atau tua, sihat atau sakit, kanak-kanak atau dewasa, semuanya akan mengalami kematian. Kalau dulu kita dijadikan, diadakan dari tiada kemudian diciptakan ada, sekarang kita bakal menempuh suatu masa tidak akan ada, dan pasti suatu saat lagi akan ada kembali untuk kehidupan abadi, iaitu alam Akhirat.


Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Katakanlah: “Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, maka sesungguhnya kematian itu akan menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (Allah), yang mengetahui yang perkara ghaib dan nyata, lalu Dia beritakan kepada kamu apa yang telah kamu kerjakan” al-Juma-‘ah (62:8)

“Jangan... saya takut mati, mahu hidup lebih lama lagi” rintih seorang ibu tua, terbujur di atas katil hospital kerana diserang kecing manis, darah tinggi.

Kerana kecetekan ilmu dan lupa kita adalah sebagai, hamba bila datang ujian yang kadang-kala amat kecil, tapi tidak selari dengan kemahuan diri, kita merasakan ujian itu amat besar, amat sulit dan amat pahit untuk ditelan, padahal kita lupa ubat yang pahit itu bila ditelan akan menjadi penawar yang amat mujarab.

“Kau ni buta ke? Aku muda lagi la, lambat lagi nak mati... enjoy dulu beb” darah orang muda, panas baran.

Selama hidupnya, dia selalu hidup untuk memenuhi segala keinginannya. Tujuan utama hidup dia ketika di dunia adalah untuk memenuhi hawa nafsunya. Namun, tidak seorang pun dapat membawa harta bendanya ke dalam kuburan. Jenazah dikuburkan hanya dengan dibungkus kain putih diperbuat daripada bahan yang murah, tiada lagi sutera berlilitan di badan.

Modal yang dapat dibawa ketika mati, hanyalah kredit amal soleh sahaja.

Tapi bukan bagi orang beriman, setiap kali melihat saudara sendiri, sahabat handai, jiran tetangga pergi mengadap Tuhan Rabbul-Izzati dahulu, pasti hatinya tidak senang, tidak keruan dibuatnya. Bagaimana hendaknya, bila ajal menjemputnya pula, apakah sudah habis beramal tika hidup, atau banyak masa di sia-siakan. Anak-anak, dan isteri ditatap berkali-kali, setiap kali peringatan sebegini menerjah ke laman nurani, tertumpah segala isi kasih kepada insan paling dicintai.

Siapalah akan melihat, menjaga, memberi makan dan minum, perlindungan kepada anak-anak dan isterinya nanti. Semua ini mulai menghantui dirinya.

Dari satu sudut lain pula, kematian adalah suatu hal yang ditunggu-tunggu sejak kesekian lama. Kerana bahawa dia mempercayai, perjalanan hidup ini penuh ranjau, lebih lama hidup lebih terseksa, kebimbangan jika diberi penghidupan lama di dunia, maka makin bertimbun-timbun dosa dilakukan, segaja atau tidak.


Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Katakanlah: “Lari itu sekali-kali tidaklah berguna bagimu, jika kamu melarikan diri dari kematian atau pembunuhan, dan jika (kamu terhindar dari kematian) kamu tidak juga akan mengecapi kesenangan kecuali sebentar sahaja” al-Ahzab (33:16)

Sudahkah kita siap, bersedia?

HISAB DIRI

Kita diajar oleh guru pada tahun pertama berada di bangku sekolah supaya mengenal abjad, membaca, menulis pelajaran menggunakan mata pena. Kita mula berlatih untuk pandai membaca dan menulis, tiap-tiap hari kita berhadapan perkara sama, hinggalah kita betah membuat seperti apa diarahkan. Setiap kesilapan, kita akan padam, lantas kembali perbetulkan.

Begitu juga manusia, hidup ini untuk belajar, dari belajar kita akan sedar kehendak sebenar fitrah dijadikan manusia. Perlu manusia lain untuk menyokong keperluan peribadi. Tiada siapa berani tabik, angkuh dan merasakan mampu berdiri dengan sendiri, tidak perlu menongkat dan bertongkat seperti angkuhnya Fir-‘aun laknatullah.

Di saat kita belajar ini, kita pasti melakukan picisan demi picisan kesilapan, dosa yang mengundang kemurkaan Pemeriksa ‘kerja rumah’ kita. Dia tidak marah, malah memberi kita peluang, demi peluang, dan peluang lagi supaya kita tahu, Dia adalah ar-Rahman, al-Ghaffar, kelak kepada-Nya jua kertas latihan tadi akan dihantar.

Kalau kita perhatikan alam ini, kehidupan makhluk sejagat mempunyai tujuan sama. Jangan di sangka haiwan yang tidak berakal, tidak pernah mengakui kebesaran Ilahi, tahu ada yang menciptakan, akan terasa satu saat juga bercerai roh dari jasad. Kemudian akan dibangkitkan sebagai sebagai pasir, tanah yang membentangi syurga-syurga Allah.

Allah sedang mengajar dan mendidik kita. Suatu ketika dulu kita juga pernah mengalami perkara yang sama. Namun di teruskan juga menadah, meminta pertolongan Allah. Allah akan terus mengajar dan mendidik kita dengan syarat kita mahu belajar sama ada dari pengalaman yang kita lalui, muhasabah diri, seterusnya mempunyai keinginan belajar ilmu-ilmu Islami. Akhirnya kita akan tahu semuanya adalah untuk kebaikan kita juga.

Kesalahan kita di penghidupan ini, hanya bisa diampun selagi kita diberi kesempatan. Namun selepas tamat masa, tiada lagi peluang kedua, mahupun ketiga. Tinggal lagi pemeriksaan kerja latihan tadi, markah daripadanya akan menentukan kejayaan seseorang. Berjaya, bererti dia akan dilanjutkan hingga ke tempat paling mulia, iaitu syurga. Gagal bererti kita akan sesal, sesal buat selama-lamanya.

Di sinilah kehidupan kita abadi.

Bersedialah dari sekarang, setiap langkah kalian, kita adalah lakaran pada kertas latihan tadi, jika terdapat kepincangan cepat-cepatlah padam, hapuskan dengan taubat nasuha dan istighfar, kemudian kembalilah mencoret kebaikan-kebaikan di atasnya. Dunia inilah medan kita, urna dunia dan urna akhirat tidak sama, buatlah bekalan untuk satu destinasi panjang nanti.

Bersedialah... kita tiada pilihan lain.
Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Ogos 15

R3: Puasa Bisa Mendidik Nafsu-Mu.







Kalaulah satu Bulan puasa tidak MAMPU merawat mereka yang ketagih SEKS, ini kena tanya betul-betul apakah dia berpuasa atau tidak. Kalau benar mereka pesalah ketagih SEKS seperti rokok, saya rasa PERLU DINIKAHKAN daripada memberi status DHARURAH kerana solusi ada tidak terpakai disebabkan dia BERMASALAH daripada pencegahan kehamilan diberikan kerana tetap sahaja janin atau bayi yang bakal dibuang ke LONGKANG.

Apakah rawatan ini boleh diterima?
Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Ogos 13

R2: Tahan Nafsu Walaupun Dalam Ibadah







TAHAN NAFSU Kalian di bulan Ramadhan. Antara penangan Nafsu dan Syaitan, tahukah kalian Nafsu lebih dahsyat dan lebih menonjol, dan lebih terselah pada bulan Ramadhan. Makan kalian bukan lagi kerana sunnah kalau di kanan kiri nasi pamprik, nasi dagang, mee tomyam, mee hon sup, bubur lambok, kuih bahulu, kuih akok, sira pisang, air laici, sampai 'membunuh' diri. Mudah sahaja dapat penyakit KECING MANIS dan DARAH TINGGI masa puasa. Ibadah kita bukan lagi sebuah keikhlasan melainkan mengharapkan balasan pada sebuah kepuasan.
Teruskan Pembacaan>>>

Khamis, Ogos 12

R1: Persiapan Buat Kembara Panjang







SUASANA sambutan Ramadhan kali ini tidak ubah seperti tahun-tahun yang sudah. Bangunan imarah (rumah pangsa) saya duduki dan sekitarnya telah dihiasi lampu neon berwarna-warni, seminggu sebelum raya lagi warga tempatan terutama para pemuda berebut-rebut memasang lampu yang menghiasi bangunan disebut sebagai; zynah. Mungkin suasana ini sudah tidak menarik di pandangan para sahabat kerana saban tahun menjelang Ramadhan perkara sama dilakukan, tapi bagi saya ianya ada kelainan. Kelainan bukan apa, apabila kita pandang sesuatu dengan mata hati walaupun lanskap sama tapi tidak pada suasana di sebaliknya. Hiasan ini lahir pada ketelusan dan ketulusan warga tempatan yang benar-benar menyambut Ramadhan bagaikan berpesta, cukup kreatif dan inovatif melalui bahan terpakai.

Membaca kehidupan manusia, dan menulusi kehidupan mereka tidak ubah musafir di sebuah jalanan jauh, di bawah sinaran cahaya matahari, sepanjang Sahara. Sudah pasti ianya sebuah perjalanan yang memenatkan, jenuh dan memerlukan komitmen (mujahadah) tinggi. Tahukah kalian bahawa hidup ini sebuah perjalanan. Dari kecil lagi kita bertatih, mula membesar dan besar dewasa, matang hingga apa kita lihat sekarang. Namun demikian, sebagai muslim kita mengimani setiap sesuatu yang sam-‘iyaat (ghaibiyaat); tidak pernah kita lalui tapi kita menyakininya. Pengembaraan kita bermula di alam roh lagi, sebelum alam rahim, sebelum datangnya alam dunia seperti kita kecapi sekarang. Berakhir dunia bertandang pula alam kubur (Barzakh), dan akhirnya kita dihimpun di lautan manusia di alam Akhirat, buat perhitungan amal diri.

Kedatangan Ramadhan adalah satu pemulihan, sebuah madrasah untuk kita melatih diri menjadi seorang jagoan ketika bermusafir, jaguh marathon seumur hidup menuju perjalanan panjang ini. Kenangan ketika berada di dalam madrasah ini pasti meninggalkan kesan di hati, pelbagai tawaran disajikan buat pembangunan fizikal dan mental, terapi paling ulung.

Hubungan manusia dan Pencipta-Nya mengharmoniskan keutuhan ikatan berapi.

Setiap amal kebaikan anak Bani Adam pahalanya (dicatat oleh malaikat) kecuali puasa. Sesungguhnya ia adalah untuk-Ku dan Akulah yang memberi pahala puasanya” (Hadith Riwayat Bukhari)

Justeru itu pengembaraan kita nanti adalah penentu antara dua; berjaya atau celaka. Pengembaraan pula bergantung kepada persiapan kita, persiapan paling ampuh ketika di luar kongkongan penghasut dan gangguan luaran kerana pentingnya fokus. Bersihkan hati, pasang niat tinggi untuk menggapai apa yang diingini bukan bercakap di luar kemampuan yang menggerakkan. Mampu sahaja belum cukup, kalau tiada keinginan kerana akhirnya menatijahkan sia-sia.
Teruskan Pembacaan>>>

Selasa, Ogos 10

Ramadhan Kini Mendatangi






BERADA di bulan Ramadhan bagaikan manusia telah dijemput oleh Rahmat Ilahi untuk berada di dunia lain. Dunia ini, buat hati-hati yang bersih dari kotoran dosa noda baik datangnya daripada nafsu sendiri atau sikap yang telah sebati telah berjaya ditanam oleh syaitan sepanjang 11 bulan yang lain. ujiannya ada di mana-mana, nafsu dan mainan syaitan sentiasa melingkari akal dan hati manusia daripada alpa bagi menghayati Ramadhan sepanjang sebulan diperuntukan. Apatah lagi puasa itu sendiri pula adalah antara ujian daripada picisan ujian yang ada, kadang-kadang manusia tidak dilatih sebelum memasuki bulan puasa.

Dunia saya maksudkan ini, ialah umpama madrasah atau sekolah kita untuk memahirkan atau memakarkan kemahiran dan ketahanan bukan sahaja fizikal luaran malah mental dan rohani dalaman. Manusia itu lebih mudah mengikut daripada disuruh. Biarlah dia tahu, bahawa apa yang disuruh kepadanya berkali-kali ke arah kebaikan adalah semata-mata untuk melihatnya menjadi serba baik dalam setiap gerak kerjanya daripada amalan baik-baik. Baik-baik pula yang kita harapkan disaluti redha Ilahi, bukan mencari kebaikan orang lain untuk habuan diri sendiri, maka niat yang dah tidak betul.

Kita pasti mahu sesuatu yang mendatang kebaikan, buka begitu? Mana ada manusia mahukan sesuatu yang malang, atau tidak baik menimpa atau dilakukan kerana segala kebaikan ini akan dijadikan satu semangat hidup. Kenapa tidak? Untuk melakukan kebaikan perlu kepada usaha dan mujahadah yang tinggi. Maka di sana sudah membuatkan kita menjadi serba susah sebelum datangnya nikmat kesenangan iaitu ganjaran. Madrasah Ramadha telah menawarkan pelbagai ganjaran pelbagai, baik daripada serendah-rendah pekerjaan dilakukan hingga sebesar-besar ibadat dipersembahkan.

Pahala di sisi-Nya berlipat kali ganda, saham kita di SANA.

Sepanjang bulan Ramadhan nanti, saya akan sisipkan artikel, rencana berupa tazkirah buat santapan rohani pengunjung laman puteraazhari, kita sama-sama berkongsi agar dapat sama-sama merasai sedap dan nikmat meyambut bulan Ramadhan.

Mulakan dengan niat baik terlebih dahulu sebelum melangkah ke bulan Ramadhan, sebelum kaki kanan kita bersedia melangkah masuk melepasi garisan permulaan menuju ke tempat hari demi hari yang memerlukan kita berusaha menambahkan nilai kekuatan dalaman sebelum sampai ke garisan penamat. Kita pasti teruja berada di bulan penuh Mulia ini.

Kita sama-sama mulakan dengan niat yang betul semua ini hanya kerana Allah Taala, lillahi Taala.

Ahlan Ya Ramadhan Karem.

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Ogos 9

Menjawab Pertanyaan Soal Kahwin Muda

Kredit kepada Ahmad Fadzli Abdul Aziz, (teman satu sekolah) dan isteri.






MEMBENTUK seorang manusia menjadi seorang manusia yang mempunyai ciri-ciri manusiawi bukan sahaja pencapaian akalnya terhenti pada hal-hal duniawi malah menyusuri jauh merentasi ukhrawi. Manusia cerdik bukan pada kemampuan akalnya mencerna sesuatu dengan baik tapi masih mandul penilaian kesan masa hadapan, namun mereka mampu mencerna sesuatu pada akal pada masa sama melalui nilai-nilai murni untuk masa hadapan baik jangka masa pendek atau panjang. Namun terlebih baik lagi, manusia itu dapat menentukan sesuatu perkara mengikut neraca PAHALA dan DOSA.

Sudut pandang kita (world-view) akan menentukan sejauh mana keberkesanan pada masa hadapan. Berjaya atau tidak itu pula perlu melalui satu proses yang lain, namun apa yang kita mahukan di sini tahap dan cara seseorang melihat sesuatu mendasari rukun HIKMAH.

Kita boleh membawa binatang ternakan menuju ke kolam untuk minum, tapi kita tidak boleh memaksa haiwan tersebut supaya minum. Begitu juga manusia, terlebihlah susah kerana banyak alasan daripada melihat kesannya.

Ramai berminat mengemukakan pandangan masing-masing di sebalik status Facebook saya mengenai kahwin muda tapi tergesa-gesa. Kita akan faham apabila sesuatu kerja itu dibuat secara tergesa-gesa maka hasilnya juga tidak lama dan tergesa-gesa juga. Mungkin kita lihat, sudah mampu menyelesaikan masalah zina, dan pembuangan bayi apabila diberi kelonggaran kahwin muda tanpa ada garis panduan jelas dan matlamat jangka panjang, walhal kita terlepas pandang banyak perkara hingga melahirkan masalah lain yang lebih besar. Isunya bukan kahwin muda, tapi soal iman.

Pemeliharaan IMAN.

Pemuliharaan IMAN.

Benar, soal IMAN.

Kita tidak mahu timbulnya fitnah kepada Islam kerana meremehkan perkara biasa tapi mampu mencetuskan hal luar biasa.. bimbang orang bukan islam malah mungkin islam pada nota kaki pengenalan rupa-rupanya cerai ni macam gula-gula. Dan pada masa kita mahukan para muda-mudi tahu apa itu tujuan hidup sebenar-benarnya, apakah sekadar hidup untuk melampiaskan hawa nafsu sahaja atau ada agenda lebih penting lagi.

Pentingnya cara kita melihat tadi, world-view menggunakan mata hati.

Contoh; bagaimana kita memahami dan ber-tadabbur dengan firman Allah Taala;

Bermaksud: “(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia” an-Nuur (24:26)

“Ustaz, susahlah macam ni. Kesianlah wanita-wanita yang dulu nakal, mungkin seorang bekas penzina tapi sudah berubah, bertaubat dan ingin memulakan hidup baru. Apakah dia tidak layak tergolong perempuan baik tadi?”

Biarpun Lelaki baik mahupun wanita baik di pandangan mata, bukannya penilaian baik itu kerana sahaja dia dilahirkan dalam serba baik atau tidak pernah buat salah... tapi pada perwatakan dia yang baik dan senantiasa berada dalam keadaan serba baik dari melakukan kejahatan. Dilahirkan dalam suasana baik belum tentu dia seorang mampu menjadi baik, kerana dia juga manusia biasa. Tapi kebaikan di sini diukur selama mana dia mampu berperwatakan baik pada sifat. Orang tidak baik (watak), bisa jadi akan lebih baik andai dia tahu dan mengerti bahawa hidup perlu serba baik sebagai jaminan kehidupan baik selepasnya.

Isu baik di sini umpama air dan minyak, baiknya air tidak akan selamanya dikotori oleh jahatnya minyak. Untuk dapatkan baik, hendaklah dia terlebih dahulu baik.

Kebaikan di sini ialah pada perwatakan (sifat atau akhlak) walaupun selama hidupnya dianggap manusia jahat, tapi apabila dia mampu berubah kepada baiknya sifat.. maka kejahatan pada nama tadi tidak akan terkesan sama pada baiknya sifat yang ditonjolkan. Tapi baiknya itu perlu berterusan, hingga dia tawar untuk kembali kepada kejahatan.

KAHWIN MUDA ATAU IMAN

Apabila manusia itu adalah manusia, mesti padanya ada nafsu yang sentiasa berperang dengan IMAN. Justeru itu, iman itu kita mahu didikan bukan meraikan nafsu walaupun pada tempat halal iaitu kahwin kerana keberkesannanya itu sangat kecil, selesai merasai kemanisan SEKS kali pertama, mungkin kali kedua, maka si isteri dah jadi boneka.

Tetapi apabila IMAN itu diberi makanan rohani yang cukup, ditarbiyah, diberi kefahaman jelas halal dan haram dalam Islam maka tidak timbul sama ada dia kahwin muda atau tua, tapi kefahamannya terhadap tanggungjawab pada institusi perkahwinan dan keluarga.

Kalaulah perkahwinan itu untuk menyelesaikan hanya satu MASALAH untuk jangka panjang di kalangan MUDA-MUDI yang bermasalah, tidak mustahil masalah tadi akan terus ada selepas Kahwin mereka kerana SOLUSINYA yang ada untuk jangka pendek. Pening QADHI melihat borang cerai bertimbun-timbun di atas meja.

Ibarat kita membina sebuah rumah, pasti kita mahukan rumah yang bukan sahaja baik luaran malah struktur pembinaan yang baik yang mencangkup pelan rumah, bahan-bahan binaan, dan skala ukuran di atas kertas. Bererti world-view kita sekarang melihat sebuah rumah idaman di dalam kotak idea kita sebelum wujudnya sebuah rumah lagi; atau dalam bahasa inggeris disebut sebagai Begin with the End in Mind.

Namun bagaimana pula kita tidak mengambil berat soal Begin with the End in Mind; iaitu bermula dengan langkah pada gambaran akhir dalam minda, pasti kita tidak peduli soal pelan-pelan tadi, bahan binaan, dan ukuran-ukuran kasar di atas kertas kerana kita hanya ingin rumah itu siap sebagai tempat berteduh. Tidak mustahil rumah tersebut hanya bertahan dua hingga tiga tahun sebelum bertemu ajalnya.

Justeru itu, gambaran akhir penting untuk menentukan apakah matlamat yang ingin dicapai, bukan sahaja untuk jangka masa pendek malah menembusi demensi akhirat. Antara Syurga dan Neraka adalah matlamat akhir dalam kehidupan ini, maka kalian berhak menentukan.

Teruskan Pembacaan>>>

Jumaat, Ogos 6

Kahwin Muda Isu Panas







SEKARANG isu kahwin muda hangat dibahaskan di media-media massa, tidak terlepas juga golongan intelek dan awam turut diajak bersama ke kancah wacana sihat bagi menyelesaikan masalah pembuangan bayi di kalangan muda-mudi di LUAR PERKAHWINAN. Cadangan demi cadangan dikemukan, pandangan demi pandangan diluahkan, tidak ketinggalan juga bantahan demi bantahan dicebukan. Di mana common sense golongan tertentu yang melihat masalah ini dari satu sudut atau kepentingan peribadi.

Berkali-kali saya katakan; KAHWIN awal sinonim KAHWIN MUDA tidak salah, tapi yang saya persoalkan KAHWIN TERGESA-GESA. Kahwin bukan sahaja penyelesain pada satu MASALAH, mungkin risiko BOLEH timbul MASALAH LAIN. Kahwin tanpa MATLAMAT jelas tanpa dipersiapkan ILMU RUMAHTANGGA, seorang wanita muda berpotensi bergelar IBU TUNGGAL sebelum usia 30-an.

Dapatkan AKHBAR TABLOID ILUVISLAM keluaran terbaru, saya ada menulis isu ini di sana di bahagian 'pandangan pakar'. Moga perolehi manfaat bersama.

Pandangan saya hanya pandangan, manusia biasa ianya boleh diterima mahupun ditolak kecuali sumber datangnya daripada al-Quran dan Hadith.

Teruskan Pembacaan>>>

Isnin, Ogos 2

Anugerah Taqwa





KALAU belajar banyak-banyak tetapi tiada perubahan pada cara berfikir, mungkin kepentingan ilmu tersebut dicari boleh dipersoalkan. Jangan cepat melatah dek kerana kesilapan sendiri, cuba mainkan peranan mengubah cara meditasi berfikir dengan mengutarakan idea dan ilmu kontemporari sambil disuluh oleh ilmu-ilmu turath. Maka kombinasi antara fizikal, mental dan spiritual, bersama cabaran idea yang semakin tajam, ia tumpah ke corak penulisan.

Di manakah kita sekarang, apakah cukup dengan tidak meninggalkan puasa selama sebulan? Apakah cukup kita dinobatkan sebagai pemenang Piala Taqwa pada Ramadhan akan datang?

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke astas kamu puasa seperti mana telah difardhukan kepada ummat yang terdahulu” al-Baqarah (2:183)

Bukanlah iman itu semata-mata mengetahui erti dan hakikat iman, kerana ramai pula orang yang mengetahui hakikat iman, padahal mereka tidak beriman.

Kita boleh hidup sesuka hati di sini. Makan sahaja apa yang terlintas atau minum sahaja apa yang tercapai, bercampur gaul tanpa batasan dan berkehidupan bagai tiada sempadan. Tetapi padahnya, adalah pada iman dan Islam. Binasanya adalah pada diri dan masa depan. Bukan demikian itu sifat orang muslim, orang mukmin dan orang yang bertakwa. Sedangkan hanya yang bertakwa itulah yang benar-benar di atas petunjuk Allah Taala dan benar-benar beroleh kejayaan.

Teruskan Pembacaan>>>

Ahad, Ogos 1

Dunia Pentas Temuduga Ke Alam Akhirat






KESALAHAN kita di penghidupan ini, hanya bisa diampun selagi kita diberi kesempatan. Namun selepas tamat masa, tiada lagi PELUANG KEDUA, mahupun KETIGA. Tinggal lagi pemeriksaan kerja latihan tadi, MARKAH daripadanya akan menentukan KEJAYAAN seseorang. Berjaya, bererti dia akan dilanjutkan hingga ke tempat paling mulia, iaitu SYURGA. Gagal bererti kita akan sesal, SESAL buat selama-lamanya.

Di sinilah kehidupan kita abadi.

Bersedialah dari sekarang, setiap langkah kalian, kita adalah lakaran pada kertas latihan tadi, jika terdapat kepincangan cepat-cepatlah padam, hapuskan dengan taubat nasuha, dan kembalilah mencoret kebaikan-kebaikan di atasnya. Dunia inilah medan kita, urna dunia dan urna akhirat tidak sama, buatlah bekalan untuk satu destinasi panjang nanti.


Teruskan Pembacaan>>>
 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal