PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Selasa, Mac 8

Cinta Berbuah Manis. Terima Kasih Semua

BEBERAPA kali saya merenung ke arah pantulan cahaya. Menyirap memenuhi sebahagian tubuh saya yang sudah makin membesar dan memberat. Suasana sekitar jauh lebih tenang berbanding bangunan berkotak-kotak di Kota Cairo, selama mana mendiami bumi Mesir sedari tiga tahun lalu. Bukan tidak mampu menyatakan kekaguman sama kepada tanah tumpah darah para anbiya’, para solehin, dan sarjana Islam terulung itu, memang saya selalu terpana dengan kehebatan dan keunggulan ilmu para ilmuwannya, khazanah turun menurun hingga ke generasi hari ini. Namun dari aspek naturalisme, bumi Kelantan jua tetap di hati.

Saya mengimbas kembali, setiap kali saya mencoret kisah cinta berbaur sebuah pengharapan kepada setiap mata yang menyelongkar isinya. Cinta yang saya harapkan pula biarlah hadir dari setiap urna bukan hanya tertumpu kepada soal pasangan hidup kerana semua aspek yang bersangkutan dengan cinta hanya satu sahaja yang kita dambakan ialah sebuah kebahagian. Ya kebahagian.

Cinta kepada diri, untuk membahagiakan. Cinta kepada ibu bapa, untuk membahagiakan. Cinta kepada jiran, untuk kebahagian. Cinta kepada tanah air, untuk kebahagian. Semuanya ini tertumpu kepada perkara sama, iaitu bahagia.

Saya cuba membawa perkara sama dalam konteks untuk membahagiakan sumur hati.

Hati saya sentiasa mengatakan pengabdian utuh seorang hamba pada sebuah cinta hanya hadir selepas melalui jalan yang diredhai oleh Allah Taala. Cinta kita hamburkan ini bukan sahaja berkisar untuk menerima daripada-Nya, malah kita juga perlu bersedia apabila Dia pula menagih sumpah setia cinta dalam mengabdikan diri kepada-Nya setiap masa dan ketika.

Jangan lupakan Dia.

Jangan alpakan syariat (peraturan hidup islami) Dia.

Jangan sesekali melanggar larangan Dia.

Semua ini dianggap cinta paling agung kita kepada Sang Pencipta Cinta. Ingatlah cinta-Nya sentiasa berbalas, dan setiap hamba yang taat itu pasti akan dibalas cintanya berupa pahala ketika di dunia, dan kasih sayang Allah di taman Syurga di akhirat nun di sana.

Bercinta Di Bumi Anbiya’

Sebulan yang lalu saya di bawa melalui beberapa fasa dalam mencari redha Allah Taala sebelum adanya sebuah cinta-Nya kepada setiap hamba yang jujur mencari. Berada dalam situasi gentir dan kritikal di kala bumi anbiya’ dilimpahi ‘deruman’ suara revolusi meruntuhkan tembok kebal yang telah dibina semenjak 30 tahun dahulu oleh rejim Hosni Mubarak, ianya menambahkan lagi rencah cinta saya.

Berapa ramai yang terpaksa berkorban tenaga, material dan masa semata-mata untuk berkongsi apa itu kemanisan iman dalam perjuangan. Tempo obor semangat dicernakan dengan rapi, tersusun dan senada memecahkan kezaliman yang telah lama terpasak jauh ke dasar. Demokrasi dinafikan, hak rakyat untuk hidup di bawah kepimpinan ulama’ ditolak.

Pemuda di setiap pelusuk tanah air melahirkan kekaguman mereka kepada era penguasaan pemikiran Islam modenisasi yang diterajui oleh Imam Hassan Al-Banna. Cetusan idea dan pemikiran yang sama diperbaharui oleh ulama’ tajdidi yang terkenal; Imam Prof Dr Yussof Qardhawi. Suara mereka tenggelam suatu ketika dahulu, kini bersemarak di atas titian padu untuk membangun minda politik yang bersih, lebih jauh untuk melihat bangsa mereka terbela dan dibela.

Rumah sewa yang saya duduki telah dibersihkan daripada politik rejim Hosni sedari 20 tahun dahulu. Mereka cepat melatah dan terasa di atas kezaliman yang tertimpa hasil sokongan mereka sejak 10 tahun sebelumnya tidak tertunai dalam bentuk kebajikan. Mereka betah membela hak. Hosni lebih pentingkan diri sendiri, keluarga dan kroni yang paling rapat dengannya. Mereka kini dan selamanya tidak akan lagi terjerumus ke dalam lubang yang sama. Cukup berhati-hati pada tipu muslihat yang jahat.

Penindasan Israel kepada rakyat Palestin belum cukup kuat memotivasikan golongan ketiga rakyat Mesir. Golongan awam ini lebih tersedar dan terjaga di balik busuknya tangan pemimpin mereka yang mengamalkan korupsi, kronisme, dan asobiah (berpuak-puak) dalam sistem pentadbiran. Kekayaan hasil bumi tidak dibahagi samarata kepada semua rakyat terutama faker miskin yang ramai merempak di negeri sendiri. Pasca peta politik Mesir kini telah pun berubah secara total. Menunggu tangan yang bersih menyelamatkan dan membersihkan kekotoran degil yang masih melekat pada sesetengah pemikiran rakyat yang telah lama ‘dijajah’ oleh rejim Hosni.

Akan ada penyelamat.

Pemimpin revolusi yang membawa arus kehidupan yang lebih selamat.

Kini majoriti rakyat Mesir telah menikmati cinta yang berbuah manis hasil tuaian berkat muafakat mereka selama ini. Mereka bersemangat memulakan kehidupan baru, bernafas di dalam udara segar, menikmati hidangan ‘aisy (sejenis roti arab) dan salatoh (campuran sayuran yang sedikit masimkan) bersama-sama, berjalan sambil melaungkan gelombang revolusi di balik setiap wajah yang ceria. Mereka berlari-lari anak di jalanan. Tiada lagi yang boleh menafikan hak mereka, apatah lagi menyentuhnya. Mereka berhak meraikan kemenangan ini, seolah-olah mereka bersama Rasulullah SAW dan para sahabat yang berjaya membuka Kota Makah 1400 tahun dahulu. Auranya tetap sama.

Bercinta Di Bumi Jeddah

Pertama kali menjejak kaki di bumi kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Niat telah lama dipasang, mengikut perancangan tahun ini saya akan mengerjakan Ibadat Haji di Kota Suci Makah... namun saya telah sampai ke kota suci ini lebih awal daripada apa yang saya jangkakan. Hikmahnya terlalu besar. Apabila saya menyorotinya semula, Tuhan tu Maha Adil buat sekalian hamba-Nya. Diberinya apa yang tidak terduga oleh kita, dan ditarik apa-apa yang menduga sebelum sempat kita menerima.

Bersyukur di atas nikmat kurnian-Nya.

Kami ditempatkan di Madinatul Hujjaj, di Jeddah. Kawasan ini menjadi hak milik sepenuhnya Tabung Haji Malaysia. Urusan penempatan para mahasiswa diatur dengan rapi. Walaupun sedikit penat, saya tetap memuji kepantasan, keselesaan khidmat yang diberikan. Ruangan bilik disediakan juga selesa. Kami diberi makan minum secara berkala. Semua menikmati perkhidmatan yang sama, secuma bekalan air untuk mandi, wudhu’ dan basuhan kadang-kadang kehabisan.

Dikesempatan seminggu berada di Jeddah, saya dipertemukan dengan ramai teman-teman baru yang belajar di bumi kinanah. Sempat juga memberi pengisian sebagai tonik ketika masih ada di kalangan mahasiswa yang berada di dalam ketakutan, keresahan, dan kebimbangan.

Berita demi berita kami terima dari Mesir, sama ada secara langsung daripada pihak wakil persatuan pelajar yang tidak pulang mahupun melalui saluran berita Al-Jazeera. Berita itu kami dengar, kami perhatikan, kami membuat kesimpulan. Bibik-bibik untuk menunjukkan keadaan akan reda tidak berputik, malah hari demi hari rusuhan makin parah. Pertembungan dua puak yang menyokong, pro-kerajaan dan pro-pembangkang saling berantakan.

Khabar menggembirakan kami terima ketika kaki kami berjaya melepasi pemeriksaan Imigresen di Lapangan Terbang Jeddah, lewat jam 2100pm waktu tempatan. Perletakkan jawatan Presiden Hosni Mubarak dari kabinet. Berita ini disambut dengan sorakan gemuruh suara tranformasi. Anak-anak muda lari berteriakan, melompat-lompat. Air muka menggambarkan sesuatu yang bererti dalam catatan diari mereka.

Kami melangkah keluar dari bumi Jeddah dengan sinar harapan baru. Sinar harapan terpancar dari Jabar Nur, Sinai memenuhi setiap lapangnya bumi di tanah jajahan Firaun suatu ketika dahulu. Kini Firaun telah lama berkubur, diikuti kezaliman pemerintah yang mengikut jejak Firaun hingga sekarang akan turut sama menggali kubur, mati dalam lautan rakyat.

Rakyat menang.

Demokrasi bersih dijulang.




Bercinta Di Bumi Malaysia


Bagaikan dilahirkan semula ke dunia. Kehadiran saya buat pertama kali di bumi Malaysia selepas hampir empat tahun berkelana di bumi Mesir disambut dengan meriah, linangan air mata tidak dapat dibendung mengalir dari kelopak mata mengiringi pertemuan syahdu itu. Ibulah antara insan yang paling lama berada dalam pelukan saya. Ditahan tapi tak tertahan, akhirnya saya juga mengalah pada sebuah kerinduan. Hampir empat tahun bercinta tanpa melihat kelibat diri, cinta itu dibina hari ke hari, berbeda apabila sudah berpeluang untuk memegang susuk tubuh, memeluk erat. Intonasi bahasa badan sangat menyenangkan untuk melahirkan cinta yang berputik agar berbuah matang.

Kini saya merasainya semula.

Kampung halaman menggamit mata dan hati sanubari. Banyak yang berubah dalam tempoh masa ditinggalkan. Penduduk tetap sama, ada yang masih sama dan ada yang sedikit berubah. Sunnatullah juga mengatakan yang hidup akan pergi, yang dilahirkan akan membesar panjang. Revolusi itu berlaku dengan cepat dan pantas. Dan kelakarnya, adik bongsu saya yang telah sekian lama ditinggalkan, tidak pernah menatap wajahnya selepas ditinggalkan hinggalah dapat melihatnya semula ketika bertemu, jauh menggelirukan kotak pengetahuan saya tentang dirinya sedari mula saya berpisah dengannya.

Peluang yang ada, masa yang diberikan saya gunakan sebaik mungkin. Sekarang sudah tiga minggu saya berada di bumi Kelantan. Sesekali ada juga jemputan luar dari Kelantan menjenggah kotak masuk e-mail, panggilan telefon, dan sms membuatkan saya terharu dan bersemangat untuk terus berada di jalan ini, jalan dakwah, jalan yang ditinggalkan oleh para Rasul dan anbiya’.

Bagi saya menjadi seorang yang baik perlu bermula dari asasnya. Perlu pertama menjadi hamba Allah yang baik, yang akhirnya melahirkan akhlak yang baik. Lantas akan menjadikan seseorang itu menjadi serba baik dalam apa jua tindakan dan amal, jadi anak soleh, suami dan isteri mithali, pekerja yang amanah dan berdedikasi. Sesungguhnya akhlak itu adalah dari dalam diri seseorang. Islam itu cara hidup kita.

Hingga kini saya dapat mengecapi cinta berhari-hari dan selalu dekat dengan ahli keluarga yang lain. Saya pasti akan memaksimakannya buat belakan sebelum saya menyambung cinta ini di perantauan untuk satu tempoh masa yang lama.

Cinta-ku kini berbuah manis.

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal