KENAPA saya tetiba sahaja rasa cukup hairan dan pelik hari ini, bukan kerana saya terlihat sesuatu yang aneh berlaku di hadapan mata, apatah lagi di bumi bangsa arab ini, tiada sesuatu yang dianggap luar biasa, kecuali dulu mula-mula sampai berlaku sedikit culture shock, mind shock, dan banyak lagi ‘shock’... namun bila dah beberapa minggu perhati, cermati sedalam-dalamnya lebih kurang tempat kita, bezanya mereka cukup berpegang pada solusi agama, walaupun jahat mana sekalipun mereka tahu untuk hormati orang tua, memberi laluan, makan mesti dijemput sama.
Pelik dan aneh sebab terbaca e-mail seorang pengunjung laman puteraazhari. Dia memang cintakan Allah Taala, kasih pada orang tua, cinta akan kebaikan, namun pada masa yang sama beliau juga tidak boleh tinggalkan maksiat, sering juga melakukan kemungkaran, main nombor ekor, bersekedudukan dengan perempuan, dan kadang-kadang liat tunaikan solat.
Mungkin masalah ini telah pun para pembaca budiman terdengar, terbaca bila ada juga manusia mengumpul dua cinta dalam satu-satu masa. Bolehkah?
Mungkin dalam hal ini tidaklah sesusah kita melakukan dua pekerjaan dalam satu masa, seperti siang bekerja sebagai petani manakala malam pula sebagai nelayan. Namun, begitupun mampu tapi kesannya juga tidak bagus, tidak baik untuk kesihatan.. mungkin hari ini, esok dan lusa mampu konsisten tapi bila dah masuk minggu kedua, ketiga baru tahu jerih dan peritnya menumpukan dua perkara dalam satu masa.
Minyak tidak akan selama-lamanya bercampur dengan air, kerana itulah sifat tabi’ kejadian minyak dan air.
Cintakan Tuhan, malah cintakan dosa.
“Mengapa ustaz, saya cinta kebaikan... selalu tolong orang tua, solat tidak pernah tinggal tapi masih lagi cenderung untuk melakukan maksiat” rintih seorang mahasiswi.
“Mengapa.. kenapa...” antara dialog sering diulangsiar... masalahnya sama, masalah hati.
Manusia yang telah lama terdidik dengan pengajian agama, mempunyai asas agama, pernah terdedah pada program-program pembangunan jiwa, bila sahaja dihadapkan dengan pelbagai masalah yang berkaitan hati, mahupun sosial tidak sihat, at least ada juga terdetik di hati mereka rasa sesal dan ingin kembali pada pangkal jalan. Bagaimana pula mereka yang baru ingin mengenal apa itu solat, apa itu puasa, boleh ke couple dan sebagainya tanpa ada bimbingan, agak-agak mereka boleh tahan gelocakan hawa nafsu yang membuas.
Tanpa ada bimbingan dan panduan berkala mereka akan merasa semua itu membuang masa, tak larat, rasa canggung bila tahu lelaki dan perempuan tidak boleh holding hand, say love you before marriage, meninggalkan arak lagilah susah, sama juga rokok.
Cepat berputus harap dari rahmat Allah.
Ingatkah lagi kita pada pesanan Nabi Ya’qub kepada anak-anaknya ketika berdukacita kehilangan dua anak lelakinya yang dicintai Nabi Yussof dan Bunyamin;
Allah Taala berfirman;
Bermaksud: “(Berkata Ya’qub) Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yussof dan saudaranya (Bunyamin) dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir” Yussof (12:87)
Apakah kita sanggup dilabelkan sebagai orang kufur, kerana kita cepat menyalahkan takdir. Puas berdoa, tapi tidak pernah sembuh sakit, tidak pernah kaya, jodoh tidak pernah kesampaian dan sebagainya.
Bukan macam tu...
Memang benar, kebiasaan manusia bila lupa akhirat, kejar dunia berapa ramai yang ingat solat, ingat nak puasa Bulan Ramadhan, mereka tahu itu semua suruhan dalam agama.. sedangkan meninggalkan salah satu rukun Islam dengan sengaja adalah kafir.
Pertama, kita kena lihat diri sendiri kerana masalah bukan pada masalah tapi sebenarnya diri kita bermasalah, orang kata; “ada somethings wrong”
BERUBAH ARAH KEBAIKAN
Bersyukur pada Allah kita ini fitrahnya Islam, yang suci dan bersih dan hari ini bersyukur kita kerana masih Islam. Sememangnya, fitrah manusia yang tidak sempurna, melakukan dosa dan maksiat, mudah tergoda dan macam-macam lagi. Inilah ujian dari Allah untuk menguji tahap keimanan kita. Adakah kita sabar dalam menghadapinya ataupun kita terus mengalah dan berputus asa lantas menjadi hipokrit dengan memaling terus dari jalan menuju redha Allah?
Rasulullah s.a.w ada bersabda;
Bermaksud: “Dugaan itu akan terus menimpa seseorang mu’min dan mu’minah, di dalam diri, anak pinak, dan hartanya sampailah dia bertemu (meninggal dunia) Allah dan dia tidak mengerjakan kesalahan” (Hadith Tirmidzi)
Memang susah merubah sesuatu buruk menjadi baik.
Analoginya mudah, seperti kita mempunyai sebuah kereta. Merosakkan kereta, kemetkan body kereta memang mudah, sangat mudah, dengan sahaja kita langar tiang, atau masukkan air dalam tangki minyak, dalam beberapa minit sahaja kereta pasti dihantar ke workshop. Tapi bila dari rosak tu bila nak pulihkan balik, baru tahu betapa susah, berat sangat nak hulurkan tiga ribu ringgit sebagai upah dan barang yang digantikan.
Dulu sebelum merana, sebelum kena tak mahu beringat. Bila dah terasa susah, baru tahu ingat nak jaga dan sebagainya.
Begitu juga manusia. Kita ada sekeping hati yang perlu dijaga dipelihara. Kalau ‘jantung’ kereta adalah enjin, begitu jua peranan hati pada jasad dan roh manusia.
Pandai melihat kebaikan dalam kesusahan. Di sana hati cepat sampai pada Tuhan. Pandai menilai antara baik dan buruk (jahat). Banyak benda kita bisa buat baik, tapi awas terlalu banyak kita bisa buat jahat.
Tidak dikira jahat hanya kerana kita tengok hiburan yang tiada unsur agama, yang tidak kisah mengenai batas pergaulan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram seperti anugerah skrin, anugerah juara lagu, drama dedah sana sini... kita dikira sebagai tidak baik atau lebih senang dikira sebagai seorang yang jahat. Hati perlu juga ada hobi (hubbi), ada apa yang ‘ia’ suka tapi kenalah bijak menangani.
“Ooo.. kalau buat begini salah di sisi Islam” cepat-cepat mendidik hati.
Kita perlu sedar, wahai hati-hati yang ingin, sedang dan telah berubah ke arah baik dan lebih baik, ketahuilah kita tidak pernah sirna dari silap, ubatnya ialah kebaikan kita lakukan akan menimbus keburukan kita yang lepas. Bagi yang ingin berubah, saya fikir kita haruslah terus menerus niatkan dalam hati kerana Allah dan sentiasa ingat tujuan kita. Bagi yang sedang berubah, istiqomahlah dalam apa jua kebaikan yang sedang dilakukan manakala bagi yang telah berubah, janganlah berhenti di tahap itu sahaja sedangkan perjalanan kita menuju akhirat sana perlukan bekalan yang banyak, jalan menujunya tidak pernah licin, adakalnya becak, berlubang.. maka waspadalah selalu, jangan alpa dengan kesenangan sementara.
Allah Taala melihat dan menilai usaha kita untuk berubah dan menjadi baik.
PERBAHARUI NIAT
Buat kebaikan tidak memerlukan perasaan malu, kalau buat sebaliknya boleh menghilangkan rasa malu. Ini kebaikan, kenalah lebih-lebih lagi. Secara generalnya, kebaikan yang dibuat tidak perlu manusia sebagai pemerhati dan pengkritik. Bukannya temuduga, atau apa...
Dan ketahuilah, Allah Lebih Mengetahui.
Penting kita untuk sentiasa tajdid (perbaharui) niat kita setiap masa, kalau boleh amalkan setiap kali selepas solat. Niat baik kita, seperti mana kita inginkan hidup hari ini lebih baik dari semalam, dan mudah-mudahan esok akan lebih baik dari hari ini (ameen).
Perlu ada mujahadah dan keyakinan dalam diri.
Mudah-mudahan juga, dengan tajdid niat itu akan melenyapkan impian kita untuk bermimpi melakukan maksiat, agar istighfar juga membasahi ketika itu. Ingat Allah, ingat semula niat dan tujuan kita tadi, iaitu jadi lebih baik.
Kita mesti mencapainya.
Sememangnya diri ini ingin melakukan satu perubahan yang agak besar untuk diri sendiri supaya menjadi insan yang lebih bahagia dan tenang. Kita masih dan terus masih mengumpul seribu kekuatan supaya perubahan ini tidak separuh jalan, atau terhenti sebelum bertemu noktah terakhir. Semoga ku beroleh kekuatan untuk menuju ke jalan yang bahagia itu
Maka marilah sama-sama kita isi bekal kita dengan kebaikan yang berlipat kali ganda banyaknya dan sentiasa sematkan dalam jiwa bahawa kebaikan yang kita lakukan hanyalah ikhlas semata-mata kerana Allah Taala dan untuk mencapai redha-Nya sahaja, bukan untuk menjadi riak, sombong dan hipokrit.
Benarlah, Allah Taala bukan sahaja menguji cinta kita kepadanya, namun cinta kita kepada-Nya. Berilah cintamu kepada-Nya sepenuh hati pasti hadir cintanya di balik hamparan kudus cinta-Nya (hidayah).
0 komentar:
Catat Ulasan