KELMARIN saya menadah telinga mendengar rintihan dan luahan ‘panas’ seorang perempuan muda. Amarahnya sudah tidak tertahan lagi, bagaikan gunung berapi menunggu masa untuk meletus. Katanya, saat ini dan mungkin selama-lamanya tidak akan melupakan peristiwa pahit yang telah tertimpa ke atas dirinya... dipermainkan perasaan oleh seorang lelaki. Gender sebagai seorang lelaki tidak lagi selamat buat kaum adam di luar sana, termasuk saya juga turut dipalit sama dengan kata nama ‘lelaki’ yang dia maksudkan.
“Betulkan ustaz semua lelaki suka mainkan perasaan wanita? Semua lelaki sama sahaja, suka ambil kesempatan” marah makin berapi.
“Mungkin ayat sesuai ‘kebanyakan’ bukan ‘semua’. Kalau begitu saya juga termasuk ‘lelaki’ saudari sebutkan tadi. Bahkan mungkin kepada seorang insan yang telah membenihkan zuriat sebelum saudari boleh melihat dunia ini” saya cetuskan provokasi.
Apa boleh buat kita hanya manusia. Manusia itu lemah, dan tersangat lemah. Sempurnanya manusia kerana kesempurnaan tiada tolok bandingan yang ada pada Dzat Allah Taala.
Saya tidak salahkan sesiapa. Saya lebih cenderung salahkan diri sendiri, kenapa tidak pernah ambil ingat dan berhati-hati. Kepercayaan diberi melebihi harapan yang diharap, akhirnya bila diri keseorangan ditinggalkan, termanggu-manggu di tepi jendela mengenang nasib malang.
“Kenapa orang yang saya kenali selama dua tahun, sanggup buat macam ni? Saya telah berkorban apa sahaja, bantu dia dalam pengajian. Senangnya dia lupakan saya, dan cari perempuan lain” kata-katanya seolah terus ingin membela diri yang salah.
Kenapa kesalahan ini diletakkan di bahu orang lain? Diri tidak pernah muhasabah, kenapa dulu tidak pernah peduli, lantas beringat sebelum kena, dipekenakan. Wahai wanita kalian berhak mempertahankan maruah dan peribadi. Jangan cepat dan mudah percayai kata-kata manis hingga sanggup dinodai. Mudah berbangga, rupa-rupanya ada orang menaruh hati. Mulalah beranggan; “Dalam sejuta perempuan yang ada, aku juga dipilih”
Mahupun dia hanya seorang lelaki soleh atau seorang perempuan solehah di kaca mata kalian, tidak boleh dianggap orang itu telah beriman kerana sahaja penampilan berkopiah, berjanggut sejemput, berserban besar atau bertudung labuh litup. Status seorang USTAZ dan USTAZAH bukan lagi jaminan imannya sentiasa hidup, kerana dia masih mempunyai teman yang sentiasa hidup iaitu NAFSU dan SYAITAN. Hati-hati pada sekeping HATI.
BERFIKIR MELALUI ILMU
Ilmu ada tapi tidak ‘pandai’ memanfaatkan ilmu tersebut, itulah padahnya. Kadang-kadang kaku untuk membuat keputusan matang, tidak matang kita akan dihukum oleh sunnatullah kerana kebanyakan manusia memilih jalan berduri yang disengajakan kelak akan memakan diri. Ilmu diperolehi untuk diamalkan.
Tiada alasan walaupun kalian beralasan bukan datang dari latarbelakang agama, kerana sekarang mudah untuk dapatkan bahan ilmiah, dan bergenri islami... sama ada melalui saluran biasa, mendengar kaset, audio ceramah dan kuliah atau secara formal dengan mengikuti kelas pengajian yang ditawarkan secara langsung.
Lantas kita dituntut beramal dengan ilmu tersebut. Bagaimana? Gunalah akal untuk mencerna ilmu tersebut dalam realiti hidup.
Belajar tanpa berfikir adalah suatu kesia-siaan. Justeru tiada faedah pelajar lulus peperiksaan tetapi tidak menyertai latihan berfikir di sepanjang pembelajaran itu. Beliau lulus dengan hafalan, bukan dengan kefahaman. Tanda kelulusan dengan hafalan dan bukan kefahaman, ialah apabila hafalannya tidak dapat menguruskan realiti. Tafsirannya di awangan, terjemahannya berterbangan. Ideanya sangat tekstual, hingga teks berpisah dari konteks.
Kita pun menyelidiki punca ‘cerdik pandai’ kita ini membelot pada sebuah ilmu. Maka akhirnya kita ketemu jawapan, iaitu para pembikin ilmu ini sedari umur muda hingga meraih sarjana, telah bergelumang dengan satu sistem. Sistem yang mengarahkan kepada satu keupayaan sahaja; ingat dan luah kembali di atas sekeping kertas. Maka ingatan yang tertuang itulah akan dinilai hidup dan jaya seorang manusia.
Justeru kaedah berkurun lama para pensyarah dan profesor bergelumang dengan sistem exam orianted inilah akhirnya membuatkan mereka beriman bahawa pengukur kepandaian seseorang insan adalah dengan ingat dan luahkan kembali. Percaya bahawa seorang manusia yang boleh mengingat dan boleh menjawab soalan yang diberikan seperti yang termaktub dalam silibus berupa manusia yang cerdik dan harus diberikan ‘kepandaian’ kepadanya.
Namun, panas tidak selamanya hingga ke petang. Adakalanya diri ini tumpas juga dengan gelocakan hawa nafsu. Ingat tersebut tidak lagi berupaya menahan asakan bertali arus anasir-anasir daripada luar kotak ‘kepandaian’ kita tadi. Maka lahirlah mereka yang cerdik pandai, intelek agama turut sama bergelumang di dalam kancah sosial tidak sihat. Mana puncanya? Kerana ilmu yang ada tidak pula pernah beriman, hanya menjaga kepentingan peribadi, tidak lebih untuk mendapatkan segulung ijazah.
Ironinya sangat aneh, teramat lurus bendul fikirannya menadah maklumat hingga tahunya yang banyak itu, tidak lagi berhasil membantu diri menjawab soalan kehidupan, di luar kertas peperiksaan. Bahawa belajar tanpa berfikir adalah sia-sia belaka, berfikir tanpa belajar adalah merbahaya.
Hasil kita perolehi, adalah seperti perempuan malang yang ditinggalkan bulat-bulat oleh bekas kekasih di atas. Mudah kesempatan diambil, dirobek.
HATI-HATI
Kita diberi peluang mencipta diari dan perjalanan hidup sendiri. Takdir kita ada selepas azam dan usaha yang kita ikhtiar. Bukannya menyalah takdir bila diri terjebak di dalam arus membulu, kerana kita telah mentakdirkan diri sendiri menjadi seperti itu. Apa gunanya salahkan orang lain disebabkan kecuaian diri sendiri. Paling berkesan pun kita akan berasa lega apabila amarah dilepaskan bertalu-talu, namun kesan parutnya akan terus membekas di jiwa kalian.
Ingatlah wahai wanita. Kalian ada tugasan yang perlu diutamakan baik sebagai srikandi di jalan dakwah mahupun dalam urusan rumahtangga, iaitu sentiasa patuh pada perintah-Nya. Kaum adam juga sama. Carilah hati anda berada di mana ketika dan di saat ini, dan letakkan pada sumur yang sepatutnya, usahlah lagi dibiarkannya bersendirian tanpa iman sebagai teman yang menjaga.
Ada orang tidak jumpa hati sendiri. Dia tidak tahu di mana hatinya berada, lalu kemahuan hati sendiri jadi tidak menentu. Oleh itu, banyak kata putus hatinya menyimpang jauh dari kehendak naluri insani yang diterajui oleh agama. Maka disebutkan bahawa tempat kita mencari hati adalah dalam mengingati-Nya, dalam menundukkan diri bersolat di hadapan-Nya, dalam merenung hikmah di sebalik setiap kalam-Nya, dan dalam kita menyediakan diri ke destinasi menuju-Nya. Bahkan alam ini, pengajaran paling sesuai untuk kita mengenali Tauhid.
Kalau tidak jumpa hati di tempat-tempat ini, berdoalah kepada Allah, agar diberi sekeping hati untuk berasa diri sebagai hamba, seorang hamba tidak memiliki apa-apa. Doa itu senjata bagi orang-orang beriman.
5 komentar:
Salam..sangat setuju dengan pendapat yang diberikan..peliharalah wahai kaum wanita kerana dirimu merupkan mutiara yg sangat berharga...
Assalamu'alaikum wbt,
Wahai wanita yang ku sayangi, sesungguhnya musibah yang Allah timpakan pada kita itu tandanya Allah sayang kita. Kita ini sering lengah dan lalai, mudah-mudahan dengan musibah itu kita ingat dan kembali kepada Allah. Musibah juga kifarah pada dosa kita, maka senyumlah dengan musibah yang datang, hadapi dengan perbanyakkan solat, baca al-Quran (dengan tafsir) dan bersabar.
Percayalah dengan firman Allah " sesudah kesulitan itu ada kemudahan" dua kali Allah sebutkan, kenapa? masihkah kita ragu dengan janji Allah. Yakinlah. Ambillah musibah itu sebagai hadiah dan didikan dari Allah dan senyumlah, kamu bertuah kerana Allah pilih kamu dengan musibah itu untuk membawa kamu kembali kepada-Nya. Tidakkah itu kasih sayang Allah pada kita??
muhasabah hati.InsyaAllah.
pilihan ditangan diri sndr...natijah yg diterima bermula dr kesilapan diri...tiada kebahagiaan yg wujud di atas kemurkaan Yang Esa...
a girl should be wise enough to dodge guys. :)
sgt suka catatan ini..teruskan menulis ya akhi.. :)
Catat Ulasan