LIMA hari lepas saya terima rintihan, luahan daripada seorang ibu tunggal beranak enam. Jerih bila mengenang diri ditinggalkan suami ketika sarat mengandung, berstatus janda ketika berusia 40 tahun. Apabila pula saya terkenang pada sisa perjuangan masih belum selesai, masih dalam musim ‘angkat senjata’, susah untuk saya mencerah idea untuk menulis, blog dibiarkan bersawang. Satu topik perbincangan yang menarik juga.
Bagi saya, seorang perempuan muda yang belum matang, belum masak soal rumahtangga lebih berisiko untuk tergolong antara ibu tunggal. Berkahwin atas dasar suka sama suka, melihat hanya manisnya perkahwinan di malam pertama, di minggu pertama, dan mungkin bertahan sampai bulan pertama... hilang pula deria untuk menghidu kesusahan bakal menjelma di kemudian hari.
Mungkin golongan ibu tunggal ini tiada masalah untuk terus menyambung hidup, menyara keperluan diri sendiri sebab masih ada kudrat, masih ada seri pada wajah. Tapi masalah yang dihidangkan dengan kelambakan ibu tunggal, ditinggalkan ketika di kesenjaan uisa. Terkapai-kapai di sisi para mujahid dan mujahidah yang perlu dibesarkan, ditarbiahkan, disekolahkan. Kesian tiada tempat untuk mengadu masalah, tiada tempat bergantung nafkah.
Pancaroba ada di mana-mana.
ISU LAMA
Fenomena ibu tunggal bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat kita. Kita didedahkan kepada bilangan ibu tunggal yang begitu ramai. Walaupun kini angka tersebut diragui, yang nyata, bilangan ibu tunggal meningkat dari sehari ke sehari. Fenomena ibu tunggal ini tidak hanya memberi kesan kepada wanita yang berbabit, tetapi juga kepada anak-anak yang di bawah jagaannya. Sewajarnya mereka ini perlu dibantu.
Maka keperluan pada kebajikan kepada golongan ini juga termuat dalam senarai mereka wajib diberi pertolongan dari segi kewangan, keperluan sara hidup. Lahir pula Persatuan-persatuan ibu tunggal, baik di peringkat negeri mahupun pusat.
Seorang ibu tunggal, sama ada mereka bersedia atau masih dibuai mimpi, pasti mereka dibuai ‘mimpi ngeri’.. tiada lagi mimpi indah-indah. Golongan iini menghadapi pelbagai masalah meliputi masalah stigma, konflik peranan, ekonomi, emosi, hubungan sosial bersama masyarakat, karenah anak-anak.
Mereka paling takut dengan masyarakat di sekeliling. Ramai mata-mata melihat golongan ini secara sinis, bergelar janda seolah-olah seperti disengajakan.
MELIHAT KE DEPAN
Para wanita yang dara...
Kalian mempunyai ruang cukup luas untuk mengelak di awal-awal masalah yang bakal timbul selepas kahwin. Persiapan ilmu rumahtangga perlu didalami, secara langsung dengan mengikuti mana-mana kelas khusus untuk bakal isteri, mahupun tidak langsung dengan membaca, mendengar bahan-bahan ilmiah secara individu. Mengemudi bahtera perkahwinan bererti kita perlu bersedia membelah badai apa jua bakal dihidangkan. Bahtera yang kukuh bukan bahtera yang diperbuat daripada kayu bermutu tinggi, tapi asas pada sebuah ilmu yang diteladani hingga masak.
Jangan nak sibuk berkepit di sana-sini, kononya nikmat bercinta. Bila kahwin nanti, hilang segala-galanya daripada cakap-cakap manis hingga usap-usap ‘manis’.
Pengajaran besar yang ingin saya sampaikan ialah, janganlah ditanya macam mana nak uruskan hubungan di luar perkahwinan mengikut cara Islam, kerana ia sudah offside daripada syariat Allah. Bila benda sudah salah, pusing macam mana pun, ada sahaja yang tidak kena. Walaupun dalam bahasa kaunseling kita akan cuba untuk beri jalan keluar, penyelesaian hakiki ialah, pilih antara dua, NIKAH atau PISAH.
Para isteri...
Usahlah kalian mencari kelemahan pasangan. Teguhkan diri... baik kalian mahupun dia, pasti mahukan kebahagian biarpun banyak kepincangan terselah di hari-hari pertama, minggu-minggu pertama, dan bulan-bulan pertama. Kepincangan jika diambil dari sisi baik, terlalu banyak hikmah yang Allah Taala ingin tunjukkan. Hanya golongan sabar sahaja bisa mengeluarkan hikmah daripada mehnah itu. Jangan cepat mengelabah, tapi hulurkan sebuah muhasabah.
Para suami...
Tundukkan ego kalian. Biarpun kalian berdiri di sebalik kuasa talaq dan poligami, kalian tetap sahaja dibatasi oleh syariat Allah Taala. Tidak boleh bertindak di luar batasan tabi’e dan syariat kerana kelak kalian bakal mengundang malapetaka, bukan sahaja pada diri malah pada zuriat sendiri.
Masyarakat...
Peluang anda untuk membuat satu kebajikan tambahan. World-view perlu di-setting dan senantiasa diperbetulkan. Mereka juga manusia, manusia yang tidak pernah sempurna. Membimbing mereka, memberi tunjuk ajar, mengurangkan bebenan satu amalan yang harus dikekalkan.
Apakah kita mahu keadaan yang sama berlaku di Malaysia? Memang, jodoh pertemuan ajal maut adalah di tangan Tuhan, tetapi apakah tidak mungkin, sekiranya kita meletakkan rasa tanggungjawab yang lebih dalam diri semua pihak, baik para suami dan isteri, keluarga mereka dan masyarakat, keadaan tidak menjadi seburuk ini. Sekiranya perceraian berlaku sekalipun, para suami yang menyedari tentang tanggungjawabnya, tidak akan mengabaikan anak-anaknya.
Dengan rasa tanggungjawab ini juga, bekas suami, masyarakat perlu memastikan mereka, nasib mereka terus dibela.
0 komentar:
Catat Ulasan