“HANIS pulang lewat hari ini, ada banyak kerja di pejabat. Hanis minta maaf sebab terpaksa pulang lewat, dan lambat sediakan juadah makan malam buat abang..” suara ikhlas si isteri meredakan suasana, tatkala si suami juga penat bekerja menanti kepulangan permaisuri ke pangkuan.
“Hanis buatlah kerja tu, itu amanah hanis dengan Allah... amanah hanis dengan majikan, lagipun abang dah biasa macam ni masa-masa bujang dulu” si suami pula menyapa lembut, terus menerpa ke hati mendamaikan sebuah petang. Bebanan kian terasa, tatkala usia pernikahan belum sampai tiga bulan, inai masih merah di jari.
Dia juga tahu amanah mahupun tanggungjawab itu harus dipikul, bukan dilepaskan atau dibiarkan. Orang normal akan tahu bebanan sebagai pasangan suami isteri itu bukan mudah selepas mereka berada sendiri di alam tersebut, dulu memang tiada perancangan pun dalam buku catatan sebelum kahwin, yang ada hanya jumlah hantaran, bajet kenduri, kad jemputan, lokasi kahwin, mak andam, sewa kanopi, rahsia malam pertama tanpa tersentuh apatah lagi menyentuh soal tanggungjawab, sedangkan perkahwinan itu amanah.
Mulut memang mudah menutur, apakah akan sepersis perilaku?
Kita mudah menghadam nota-nota cinta di dalam drama bersiri, telenovela latin, di helaian buku-buku novel atau cerpen, tapi adakala benar juga bila sampai pada babak rumahtangga mithali, rumahtangga kecoh, rumahtangga hancur ianya berlalu bagaikan air, tidak ada muhasabah, air mata bercucuran kerana terlalu emosi, tapi kita lupa pada saat itu jua kita akan dan pasti mendepani keadaan sama dengan pasangan masing-masing.
Kita jiwa hamba, jiwa kita kecil dan mudah tersentuh bila perasaan tidak sebulu dengan fitrah, di mana fitrah manusia normal senang hanyut kalau tiada iman sebagai pendinding. Kebal kita bukan kerana kuat, atau sihat tubuh badan, tapi kuat iman menahan asakan bak jarum menusuk halus di setiap penjuru. Kadang-kadang bila pernikahan terbina bukan lagi kerana cinta kepada Ilahi, maka tumbuhlah tunas lalang-lalang menghalang cahaya cinta Ilahi dari terus menerjah ke sumur.
Mulalah timbul bibit-bibit di hati mahu berpisah, baik hidup membujang daripada terus dilayan seperti ini. Kita juga lupa bila dah kahwin tiada lagi perfume melekat di badan seperti mula-mula seronok bercinta dulu, yang tinggal hanya bau hangit ketiak si isteri penat pulang kerja. Kini barulah tahu tembelang sebenar pasangan, si suami bangun lewat subuh, si isteri balik lewat malam tanpa izin.
Memang susah mencari seorang adam yang terfikir untuk berkahwin supaya seorang hawa halal baginya itu mengarah jalan menuju ke Syurga. Kita cuma terfikir kehidupan dunia sahaja, bila terdedah soal kahwin hanya berupa material luaran cuma, tiada lagi pertimbangan rohani. Tiada lagi soal kebahagiaan si dia, kebebasan si dia, mengerti soal dia. Isteri pula berupa alat untuk melampiaskan hawa nafsu seks menggelocak.
Kalian bukan sahaja hipokrit terhadap pasangan masing-masing, malah bersikap munafiq dengan Allah Taala.
Kita mengharapkan dia baik, bagus, tapi tahukah juga kalian dia juga teramat menagih kebaikan kita, tanggungjawab kita kepada institusi perkahwinan seperti ikrar kita dahulu... di mana janji-janji manis kalian?
Benar…
Qadha’ dan Qadar adalah ketentuan daripada Maha Esa. Kita merancang, tapi Allah Taala akan menetukan soal jodoh, maut, dan rezeki kita. Berkali-kali saya pesan dulu, tidak penting di mana kita bermula tapi ke mana kita berakhir. Perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi, umpama membawa sebuah kapal yang penuh dengan pengisian barang-barang dagangan untuk dilayari di tengah-tengah lautan. Ingat! Laut pula tidak pernah sunyi dari ombak, pelayaran tetap diteruskan, tinggal lagi kebijaksanaan komunikasi antara nakhoda, dan para kelasi.
Seiringkan perjalanan tadbir, dan takdir.
RISAU DIBUATNYA
Bila mengenang balik kenapa saya beriya-iya menulis buku terbaru saya ini; Berteduh Di Kebun Cinta. Bukan mencari populariti, bukan niat saya nak jadikan buku ini bestseller, ianya cuma satu anugerah tidak terhingga. Namun jauh di sudut hati saya ketika itu, adalah ingin melihat muda-mudi remaja kenali diri, suami isteri mengerti, dan melahirkan institusi keluarga bahagia. Hari ke hari memang kita sering dihadapkan masalah politik tanah air, tapi kita jangan lupa, saban hari, tiap-tiap hari kita juga dihidangkan masalah keruntuhan akhlak, masalah pergaulan bebas, sosial di sana sini, tiada lagi rasa malu asalkan nafsu serakah dapat dipuaskan.
Bayangkan perempuan sudah hilang dara pada usia 13 tahun, ketagih hubungan seksual, bercinta hingga ke dalam kain, sanggup dibawa kekasih dicintai ke seberang, ini baru kes berjaya didedahkan di dada-dada akhbar tempatan, saya yakin masih banyak lagi berlaku di luar sana, bukan berganda, bahkan berganda-ganda. Sedih hati, rasa geram pun ada.
Jujurnya, saya cuba untuk menyentuh golongan ini secara lembut, baik remaja, suami isteri, mahupun keluarga mengerti di sebalik kalam cinta diluah, dipatri antara kalian. Jangan lupa ramai juga di kalangan mereka berlatarbelakangkan agama, berkopiah macam pak lebai, bertudung litup, tapi masih gagal bila berhadapan krisis hati, soal cinta. Benteng iman perlu diperkuatkan dari rebung lagi, ajar anak-anak, didik mereka kenal cinta dan Pencipta Cinta.
Cinta adalah sesuatu sering kita bicarakan, cuma cara dan kaedah kita bercinta sahaja berbeda, perlu pada penghayatan mendalam. Cinta kita mahukan adalah bersalut redha Ilahi, cinta kita kepada pasangan kerana cinta kita kepada Ilahi, usahlah pula kalian halalkan cinta sebelum kahwin kerana ianya penuh noda. Berilah cinta kalian sepenuhnya kepada pasangan, si siteri pula usahlah pinta (talaq) apa yang hanya ada pada si suami sahaja.
Buatlah sesuatu atas dasar mencari redha Allah Taala, walau perlakuan tidak semudah tutur kata. Perjuangan itu memang memenatkan, kadangkala mengundang rasa berputus asa. Ketahuilah, penat itulah bakal melahirkan ‘izzah seseorang hamba, dan ketabahan tiada nilai di sisi Allah Taala.
Belajarlah untuk menjadi sekuat Siti Hajar, seteguh Siti Fatimah bila berhadapan hidup serba kurang, tapi cinta mereka kerana dan kepada Allah tidak pernah kurang. Inilah mahar kalian perlu dibayar demi meraih kekuatan cinta abadi dan iman yang kukuh. Segala-galanya kerana Allah, lillahi Taala.
Benarlah kata orang, Allah Taala bukan sahaja menguji cinta kita kepadanya tapi cinta kita kepada-Nya.
KAHWIN SUSAH
Saya akan bersikap jujur setiap kali disapa, diusik oleh teman-teman bila ditanya tentang membina bayt-muslim. Sudah tentu saya seperti kalian, punya hati dan perasaan, normal sifat dan anggota, berkeinginan sempurna ibadat selepas ijab dan qabul. Kehidupan sebenar saya pada setiap langkah kaki menuju, berhentinya langkah saya bererti saya sedang menyusun langkah baru agar tidak terus mati hingga bertamu destinasi berikutnya.
Bila orang bujang berkumpul pasti tidak lepas daripada 'ngomol-ngomol' pasal bayt-muslim, ada mengusik teman-teman yang belum berumahtangga. Tapi disempitkan tujuan kahwin hanya untuk kekang nafsu, elak zina akan jadi lain pula. Perkahwinan bukan penyelesaian pada sesuatu perkara, tapi mungkin permulaan kepada satu masalah kalau tak kena gaya.
Masalah sama saya sering hadapi ialah kesukaran berbincang dengan anak muda yang sempurna BALIGH, namun malangnya kurang AQIL, masih terdodoi dalam buaian. Bermodalkan alasan cliche yang amat mudah:
"Biasa la ustaz... mahu enjoy puas-puas, hidup remaja cuma sekali"
maka tiada alasan kalau mahu berkeras untuk kahwin muda kerana kekang nafsu, bimbang hilang rasa tanggungjawab.
Sedaya mungkin, saya masih tidak begitu bertegas dengan ibu bapa tentang isu ini, masih mengharapkan pada terzahirnya hikmah yang membantu saya membuat keputusan tepat. Cuma kadang-kadang bermonolog sendiri:
“Kebahagiaan itu sebenarnya di mana?”
Bayt-Muslim bukan sekadar suatu kenyataan bila terzahir maksud melalui rundingan ahli lalu membentuk kelompok komunikasi mencari satu keputusan bersama, namun ianya lahir daripada segenap perancangan benar akan setiap ketentuan itu adalah hadir daripada susun atur taqdir Tuhan. Bila tiba masa kita mengharapkan Dia pada satu rasa, Dia juga akan menilai keikhlasan kita sebelum membenarkan rasa itu tercipta sebagai satu natijah akhir.
Berkahwin tidak semudah tutur kata, tanpa berfikir masak-masak banyak akan mengundang masalah. Tapi tidak selayaknya kita berputus asa sebelum berjuang, berpecak dahulu di luar gelanggang selepas dihadapkan dengan pelbagai mehnah orang yang sudah berpecak di dalam gelanggang. Kesabaran perlu tinggi dalam menempuh cabaran-cabaran selepas berumahtangga yang tergesa-gesa. Kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan tetapi keluarga pasangan.
Berkahwin ketika masih di alam kuliah, kalian bukan sahaja diajak menghadam silibus-silibus, kitab-kitab pengajian bahkan ilmu-ilmu rumahtangga selepas terpatri ikatan. Kita pasti tidak mahu, kahwin adalah jalan terakhir untuk melunaskan nafsu serakah, isteri bagai pakaian, digunakan bila perlu, dibuang bila puas.
Saya agak tidak bersetuju dengan dengan sesetengah remaja yang kepingin untuk kahwin awal, tetapi hanya beralasankan idea yang sangat rapuh. Kalau hanya memandang kahwin dengan sebelah mata, kebarangkalian penceraian untuk berlaku selepas perkahwinan adalah besar. Oleh itu, sediakan diri secukup-cukupnya sebelum melangkah ke alam perkahwinan, jika benar redha Allah Taala yang kita cari.
Kelebihan kita kerana akal... melalui pemerhatian dan pengalaman boleh dijadikan modul lengkap untuk mereka yang tercari-cari jawapannya... kecuali mereka yang terlalu robotik dan tidak boleh berfikir sendiri dengan baik.
Perempuan solehah tidak pernah sunyi dari kebimbangan, mengenang diri dengan siapa bakal disatukan. Betapa sedihnya ulu hati kerana saat diri sudah sampai jodoh, tiada pula wali yang mengijabkan lantaran ajal bapanya sudah sampai terlebih dahulu sebelum jodohnya. Mujahadahnya adalah cekal, doa dan berserah pada Qadha' dan Qadar agar perjalanan bahtera dibina cekal hingga ke Syurga.
Wahai insan bernama lelaki, suami hargailah pengorbanan si isteri. Taatnya tidak pernah berbelah bahagi, kerana risiko tetap sahaja di pihak lelaki yang terselindung di sebalik ‘kuasa’ talaq dan poligami.
SURI TELADAN
Nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud: “Sebaik-baik kamu adalah kamu yang terbaik kepada keluarganya, dan aku adalah orang yang paling berbuat baik untuk keluargaku!” (Hadith Riwayat Tirmidzi)
Berbuat baiklah kepada setiap insan dan sesama manusia tidak kiralah siapa kita dan ianya sepatutnya dilatih seawal peringkat institusi keluarga lagi. Di dalam setiap kualiti yang boleh diukur pada jati diri seorang muslim, manusia yang dianggap terbaik oleh seorang Nabi, utusan Allah, adalah manusia mukmin yang berlaku baik kepada keluarganya.
Kebaikan adalah lawan setiap kejahatan, keburukan, atau kekurangan. Baik dalam erti kata sabar, ikhlas dan redha dalam menangani segala masalah atau dugaan yang mendatang dalam melayari kehidupan yang fana ini.
Setiap perkara yang terjadi di dalam kehidupan ini adalah atas ketentuan-Nya bagi menguji kesabaran dan keikhlasan kita kepada tujuan hidup utama sebelum mati. Mati bererti berhenti, berhenti dari menikmati dan mengecapi kehidupan sebagai hamba-Nya yang sentiasa diuji.
Manusia yang sekeras batu pun hatinya, pasti akan lentur lembut dengan kebaikan. Batu yang mengalir padanya air walaupun setitis demi setitis akan terhakis sedikit demi sedikit sifat kerasnya. Jangan batu dibalas batu, nanti berkecai jadinya. Sebaliknya yang harus ada adalah sifat sabar.
Isteri dan anak adalah amanah yang harus dipelihara dengan baik. Kesilapan dan kekurangan mereka hendaklah dipantau. Hubungan yang kukuh di antara imam dan makmum membolehkan proses membetulkan antara satu sama lain dilakukan dengan baik oleh imam. Begitulah perihalnya dengan bapa atau suami dengan isteri dan anaknya.
Mulakan kewajipan membetul itu dengan membina hubungan terlebih dahulu. Sebagaimana jamaah menolak untuk dipimpin oleh imam yang dibenci, begitu jugalah isteri dan anak akan menolak nasihat dari seorang lelaki ‘asing’ bernama suami dan ayah. Tugas mendidik, mengurus rumahtangga, dan menyiapkan rohani anak-anak bukan sahaja terletak pada bahu si isteri sahaja, tetapi suami yang lebih daya kekuatan berbanding perempuan. Ramai lelaki terlepas pandang perkara ini kerana alasan sibuk.
Bila kita tengok zaman sebelum 70-an atau 80-an, memang kebanyakan wanita adalah suri rumah sepenuh masa. Kaum lelaki merupakan satu-satunya sumber kewangan keluarga. Masa itu mungkin susah benar untuk kita hendak mendengar suami menolong membuat kerja rumah apatah lagi untuk ke dapur.
Namun keadaan telah berubah di atas faktor pendidikan, sosio-ekonomi dan politik, wanita telah terjun ke bidang pekerjaan masing-masing. Malah ada di antara mereka yang menerajui sumber kewangan keluarga. Namun begitu, wanita tetap setia dengan kerja rumah dan dapur. Para suami masih lagi dianggap sebagai pembantu isteri di rumah dan bukannya isteri yang membantu suami.
Adakah memang fitrah wanita itu dijadikan untuk menguruskan rumah, memasak, menyidai kain dan sebagainya? Manakala lelaki pula hanya diciptakan untuk bekerja atau cari nafkah keluarga semata-mata?
Dari zaman Nabawiyyah lagi wanita sudah menjadi usahawan yang berjaya, berperang bersama lelaki di medan perang dan menjadi ahli ilmu dan periwayat hadith. Oleh itu, tidak tepat untuk mengatakan kaum hawa telah berevolusi untuk mampu melakukan apa yang tidak mampu dilakukan sebelum ini. Soal kemampuan dan pencapaian wanita dalam masyarakat harus dilihat dan dibincangkan berdasarkan latar masa dan sejarah masyarakat ketika itu.
Dalam konteks di Malaysia, bukankah dari dulu lagi lelaki dan wanita sudah bekerja bersama-sama di sawah padi dan bendang. Ibu-ibu juga menjadi pendidik dengan mengajar anak-anak agama dan mengaji. Semua ini sesuai dengan keadaan sosio-ekonomi masyarakat waktu dahulu berdasarkan pertanian dan unit-unit sosial yang tertumpu di kampung dan luar bandar.
Tidak timbul polemik pada zaman itu tentang wanita yang merasakan hidup mereka ditekan... peluang bagi mengembangkan potensi diri mereka disekat. Struktur sosial yang sedia ada cukup mencapai tujuan sosial dan permintaan ekonomi waktu itu.
Zaman telah berubah, dan wanita hari ini memainkan peranan yang berbeza dalam sebuah negara yang demokratik dan mengamalkan sistem ekonomi kapitalis. Seharusnya tidak timbul masalah tentang penyertaan wanita dalam kemajuan masyarakat kerana hak-hak mereka dalam pendidikan, pemilikan harta dan hak di sisi undang-undang semuanya dijamin dan dipertahankan oleh Islam.
Masalah dan polemik yang timbul selalunya berkisar tentang sejauh mana penyertaan wanita dalam ekonomi memberi kesan kepada keluarga dan anak-anak, bagaimana wanita membahagikan masa antara kerjaya dan anak-anak di rumah, dan sebagainya. Terpulang kepada wanita itu untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan ini.
BUDAYA TIDAK SIHAT
Dulu teramat susah melihat kes-kes kritikal berlaku di dalam masyarakat. Kenapa tidak... teramat susah melihat anak muda- mudi keluar malam, budaya hedonisma belum membumi di akal, tiada rancangan-rancangan televisyen dan realiti merosakkan, masih terpelihara adat dan adab-adab kemelayuan... kalau ada, hal ini pasti ditentang habis-habisan hingga ke akar umbi. Masih segar diingatan para warga emas keindahan hidup masa lampau, terkadang golongan ‘lama’ ini seakan-akan terkena kejutan pula melihat aneka budaya, sosial yang kian meruncing.
Kalau diperhatikan di media, banyak kisah tentang masalah sosial, jenayah dan perkara-perkara negatif yang dilaporkan saban hari... paling menyedihkan kes buang bayi sejak akhir-akhir ini makin menunjuk belang. Geram.. sedih pun ada. Dulu ramai bercita-cita untuk memiliki kondominium tapi 'macam langit dan bumi', akhirnya cita-cita mereka hanya setakat memiliki kondom sahaja.
Berita-berita di dada akhbar makin menonjolkan kisah-kisah sensasi, dedah sini, dedah sana, semuanya menguji pemikiran kita golongan yang mampu berfikir, membimbangkan bisa meracuni pemikiran bersih anak-anak kecil yang sedang bertatih untuk membaca. Tajuk muka depan sahaja sudah cukup membuatkan anak bertanya banyak soalan yang menakutkan ibu bapa. Risau bila menaiki teksi, kita dapat mengesan apa isu-isu yang dibincangkan antara pemandu teksi dan penumpang setiap hari.
Zina sana.. zina sini.
Saya telah menerima banyak luahan ‘sesal’ daripada para wanita yang telah terjebak ke kancah hubungan haram. Telah ditebuk teman lelaki.. mudah sahaja perilaku tewas oleh pujukan rayu suara menggetis. Bagaimana wanita lemah ini memandang kebaikan yang ditabur lelaki.. belanja makan, shopping, makan angin hingga tergadai maruah. Terlalu mudah membayar ganti apa yang telah diberi. Kalian telah silap, silapnya pula hanya mengundang saat sesalan paling mencabar.. trauma, fobia pula melingkari bak tali terkusut, hilang punca.
SUBURKAN IMAN
Hidup ini memang sentiasa diwarnai oleh kegembiraan dan kedukaan... setiap pengalaman yang kita lalui sentiasa mengajar kita untuk menjadi insan yang lebih matang dan berfikiran terbuka. Jika hidup ini diniatkan semata-mata kerana Allah Taala pasti setiap kedukaan itu bisa ditangani dengan hati yang redha dan ikhlas. Kadangkala ujian yang Allah Taala timpakan itu mempunyai rahsia dan hikmah tersembunyi yang kita sendiri tidak ketahui…. mungkin selepas itu kita merasakan kehidupan ini begitu indah kerana ia sentiasa diwarnai dan perkara yang mencantikkan lakaran kehidupan itu ialah iman, keikhlasan dan hidup kerana Allah Taala.
Hubungan bebas.
Masalah utama sebenarnya ialah kurang penelitian kepada perincian semasa pendidikanan diberikan kepada para remaja, disebabkan yang mengajar juga tidak terdedah kepada pembelajaran secara terperinci, malah memandang sambil lewa tanpa mengambil iktibar mengikut acuan Islam.
Pendidikan bermula di rumah... oleh ibu bapa.
Tambahan lagi apabila pelajaran mengenal Tuhan hanya berlaku diperingkat kenal nama sifat dan perbuatan, tanpa ada usaha untuk memperincikan cara kerja Tuhan. Tiada yang baik, malahan yang buruk belaku di luar kekuasaan dan pengetahuan Tuhan. Tuhan tidak akan pandang kita seperti mana kita tidak berusaha untuk memandang cara kerja Allah Taala. Cara kerja ini ialah praktikal yang terselit dicelah-celah kalam Ilahi. Sirah di dalam al-Quran suatu yang benar-benar berlaku dan terbukti akan keberkesanannya.
Cuba praktikkan.
Bagi yang imannya tidak lemah, banyak tauladan dan sempadan yang boleh diperolehi daripada al-Quran, walau tahap mana perincian diberikan atau tidak, semuanya menjadi ilmu pengetahuan yang berguna. Ilmu yang disangka tidak bermanfaat itu tidak berguna, sedangkan ada keperluannya pada masyarakat. Ilmu adalah sesuatu yang boleh ditumpangi, pengetahuan yang bermanfaat, namun bila ia merupakan pengetahuan tidak manfaat bukanlah sesuatu yang sia-sia tapi mungkin keberkesanan atau aplikasinya sukar dilakukan pada masa itu.
BIAH SOLEHAH
Ruh manusia dan persekitaran ada kaitan antara satu sama lain, dalam erti kata dalam proses merubah keadaan seseorang, mempengaruhi keperibadian. Biah di sekitar memainkan peranan cukup dominan dalam putaran mood dan emosi manusia dalam satu-satu masa, seterusnya boleh mengesani tindakan manusia, perubahan, mahupun respon pada sesuatu dilihat atau dirasai melalui deria pada ketika itu.
Biah terbesar adalah mungkin faktor bentuk muka bumi (geografi), kalau dilihat di sebelah Timur Selatan, dan Tenggara, suasana manusia lebih lembut berbanding sebelah Timur Tengah. Antara lain adalah sosial-ekonomi lebih baik dan tersusun sama ada secara langsung atau tidak, sudah pasti bermula dari kandungan ibu lagi. Sinonim sebuah masyarakat dibentuk bila wujud kelompok keluarga terdiri daripada ibu, bapa, dan anak-anak, peranan sama terjadi pada jiran-jiran, dan komuniti bangsa keseluruhan.
Biah baik akan membentuk manusia serupa padanya, namun biah buruk sangat digeruni kerana tiada siapa selamat untuk jadi lebih baik. Bermula daripada teman-teman digauli serta masyarakat menganggotai.
Kita akan terlebih risau bila orang kita kasihi berubah secara mendadak, tiada siapa boleh beri jaminan akan selamat walaupun mempunyai keperibadian mulia, bila bercampur dengan cat, maka warna cat tersebut akan melekat, bila terjun ke lumpur, maka tempias dan sifat ada pada lumpur akan terkena sama baik bau mahupun warna, kecuali mereka kuat mujahadah, pandai jaga febrik pakaian daripada luntur dan terkesan sama.
Saya tekankan di sini dari sudut dalaman, sakhsiyyah.
“Ustaz... risau akak lihat anak-anak dah tak macam dulu. Sekarang solat pun kena suruh”
“Aduh... penat sungguh ikut rentak bangsa arab ni, mereka lebih aggresif. Tak tahu beradab langsung”
Pernah saya beritahu, anak-anak lebih terdedah pada suasana pada apa dilalui oleh mereka di masa dan tempat itu juga. Mereka tidak pernah pincang meniru sikap dari mendengar cakap. Contoh paling mudah, kalau di hari-hari dilalui mereka sering mengalami revolusi kerana sikap teman-teman mereka sering melakukan perkara sama, seperti berbohong kerana mahu rasa selamat dari menjadi mangsa keadaan.
Sebahagian besar anak-anak terpanggil untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Ramai teman-teman berbohong, memberi pelbagai alasan bila kerja sekolah tidak siap walaupun berpunca dari sikap kemalasan. Dari situ keadaan itu telah mendidik mereka untuk menerima satu proses pengajian baru dalam kotak minda mereka, iaitu berbohong untuk selamat.
Perasaan takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong. Takut dimarahi ibu atau takut kebebasan yang diberikan akan dirampas. Ketakutan yang rasional atau tidak juga boleh memberi kesan pembohongan serupa. Sebab apa yang diimpikan oleh anak-anak hanyalah perlindungan sementara daripada hukuman, jika tiada tindakan susulah pasti akan menjadi kebiasaan diterima.
Dilema yang dihadapi oleh ibu bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong?
Faktor keluarga. Selepas kelahiran bayi, keluarga yang terdiri daripada ibu bapa dan yang lain adalah faktor lebih penting daripada yang disebutkan.
Kajian psikologi kanak-kanak memperlihatkan betapa besarnya kesan keluarga. Sifat suka meniru pada kanak-kanak adalah jalan awal yang terpenting dalam proses pembelajaran pada peringkat kanak-kanak.
Jika jalan ini dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh keluarga dalam mendidik dan membentuk akhlak kanak-kanak, sudah pasti akan memberikan hasil yang amat berkesan, malah pembentukan pada peringkat ini akan terukir pada jiwa yang kesannya akan dirasai ketika dewasa kelak.
Dari keluarga, kanak-kanak akan mempelajari hubungan masyarakat paling awal, seperti menghormati dan mematuhi kepada yang lebih tua, menyayangi lebih kecil, menghargai pendapat orang lain dan membantu yang lemah. Bermula dari keluarga juga kanak-kanak mempelajari adat resam yang baik dan asas agamanya, bahkan mempelajari perkara yang betul lagi bermanfaat dan meninggalkan yang salah.
Biah adalah teknikal yang boleh diubah, ditarbiah. Maka di sana terpulang kepada pihak penjaga, berwajib mengubah suasana atau mengikat kemas mutiara-mutiara dijaga, dipelihara daripada dikotori oleh tangan-tangan berbau najis, walaupun tidak nampak tapi baunya juga tetap melekat. Bekas hitam sudah tentu membekas hitam, tinggal lagi diri mempunyai anti-hitam dari terus dipalit kehitaman.
Nabi s.a.w pernah bersabda, bermaksud: “Setiap anak itu dilahirkan atas fitrah, maka kedua-dua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi” (Hadith Riwayat Bukhari)
MAINKAN PERANAN
Maka hendaknya, bila ibu bapa mengambil berat anak buah di bawah jagaan masing-masing, maka akan lahir perasaan belas antara tetangga. Bila melihat anak jiran tersasar dari syariat, terasa satu bebanan yang terpikul, lantas dinasihati seperti anak sendiri.
Semua kena main peranan.. ada rasa tanggungjawab.
Teringat satu ketika dahulu masyarakat begitu prihatin untuk ‘menjaga tepi kain orang’. Kalau ada anak muda di kampung berperangai tak senonoh, melalok di tepi jalan, akan ada orang kampung yang tampil menegur… sekarang, ditegur akan dibalas dengan kata-kata kesat, maki hamun.. ditambah lagi dengan ibu bapa yang ditegur membela perbuatan anaknya.
Kebimbangan pada gejala sosial sekarang, adalah salah satu proses pembelajaran. Bukan apa, ilmu yang kita perolehi melalui cikgu, pensyarah, buku-buku, hanya dapat diaplikasikan bila kita bijak bermain dengan kehidupan. Berjaya membawa kehidupan mengikut jalan diredhai-Nya adalah proses ilmu, mencari jalan penyelesain dengan sentiasa berfikir juga adalah proses mematangkan ilmu.
Rasa bimbang…
Tanpa berselindung hari ini, kita dengan mudah dipijak oleh segala taburan gejala sosial yang dicipta golongan Yahudi dan Nasrani. Mencipta lubang najis buat mereka yang menyatakan sokongan tidak mengapa memusingkan kepala 360 darjah di pusat-pusat hiburan sampai subuh, berpeluk dua jantina yang hangat bercinta, menikmati minuman keras, bohsia-bojan, dan banyak lagi aneka pilihan tajaan mereka.
Kalau kita perhatikan, perancangan halus mereka ini begitu subtle dan terancang, langsung pun kita tidak sedar. Pernah tidak terfikir, bagaimana seseorang itu boleh tunduk patuh mengikut budaya mereka, sejengkal, sehasta, malah sehingga kita bersanggupan untuk masuk ke 'lubang biawak'? Analogi lubang biawak yang dibawakan oleh Rasulullah s.a.w adalah cukup tepat dan menarik.
Analoginya, jika sekarang ini kita merasakan seolah-olah adalah mustahil untuk kita masuk ke lubang biawak;
“Ah, tak mungkinlah”
“Siapa la yang bodoh sangat nak masuk ke lubang biawak” dan sebagainya,
Dengan perancangan dari mereka Yahudi dan Nasrani, tidak mustahil, mungkin sepuluh tahun akan datang tindakan masuk lubang biawak yang dianggap jijik dan tidak mungkin oleh kita sekarang ini, akan menjadi kebiasaan.
Contoh yang paling mudah, isu gay dan lesbian di negara kita sekarang ini. Separuh abad tahun dahulu, isu ini begitu terpencil di dalam masyarakat kita. Sesiapa mengaku terlibat sosial najis itu, alamatnya kena kejar dengan emak dan ayah keliling kampung. Betapa jijik dan anti masyarakat ketika itu mengenai isu gay dan lesbian, dan seumpamanya.
Tapi sekarang? Gay dan lesbian sudah diterima dalam komuniti masyarakat, dan dianggap biasa malah siap berani menuntut hak lagi. Dalam kalangan kita sudah semakin ramai yang berani 'masuk lubang biawak'.
Banyak lagi isu-isu lain yang dahulunya kita anggap jijik, kini sudah menjadi kebiasaan. Bertukar-tukar pasangan seks, seks sebelum nikah. Semakin banyak ditunjukkan dalam cerita-cerita Barat, dan kini kian menular dalam masyarakat kita. Terpekik melolong ketika berhibur, budaya di clubbing dan berdisko, sikap mengabaikan ibu bapa selepas dewasa, sikap mementingkan keduniaan serta seribu satu lagi akhlak yang ditunjukkan, diterima dan diserap oleh masyarakat kita sedikit demi sedikit tanpa perhintungan baik buruk perlakuan tersebut.
Seperti dadah overdose yang meracun. Dalam masa yang terdekat, ia membawa hedonisma, euphoria, dan seribu satu macam lagi keseronokan dan kepuasan. Dalam masa yang sederhana, ia menjadi ketagihan, menyebabkan masyarakat terus-menerus mencandunya. Namun dalam masa yang panjang, dadah tersebut merosakkan sistem kita, memupuskan zuriat-zuriat kita, dan menjadikan kita lemah dan tidak berupaya lagi menghasilkan penentangan. Paling dahsyat ‘dadah akhlak' yang semakin meruncing, tidak kenal pokok pangkal, main bedal sahaja. Tidak ada rasa hormat pada golongan tua, dan belas kasih pada golongan muda. Menjadi hero yang singkat, publisiti sementara yang membawa kebinasaan pada diri.
Kita sekarang menganggap pasangan hidup bersama sebelum berkahwin adalah sesuatu yang taboo dalam masyarakat, di luar norma adat dan budaya, dan tidak sepatutnya berlaku. Percaya atau tidak, dengan perancangan dari puak Yahudi dan Nasrani itu, perkara ini boleh mendarah-daging jika tiada vaksin untuk mencegah dari awal-awal lagi, atau racun terus dari terus menular kepada generasi kemudiannya.
Kesannya cukup hebat. Hilang perasaan malu, tidak mahu mengambil peduli masalah, terhakis nilai-nilai murni dan sebagainya. Melihat senario ini di Malaysia suatu ketika dahulu, hari pertama Gaza dibom. Berita hanya menunjukkan sedikit sedutan berkaitan Gaza dan selepas itu terus disambung dengan kemeriahan perkahwinan seorang artis popular, dihidang dengan program-program melalaikan... semuanya menjadi kelu dan buta peduli.
Cukuplah apa yang berlaku hari ini, jangan tambahkan parahnya, parut tetap juga akan kelihatan.
Mungkin ini sebabnya warga emas sekarang bagaikan terkejut mengulangkaji perangai muda-mudi masa kini di luar kotak diari mereka 30-40 tahun dahulu. Mereka bimbang FITRAH (cinta, hubungan bebas) yang disemai oleh golongan ini bertukar menjadi FITNAH.
4 komentar:
salam..saya setuju denagn entri yang kamu tulis.dan sememangnya itulah hakikat dan realiti yang jadi masa kini..
i like...mohon nak share dgn teman2 =)
InsyaAllah...semoga rumahtangga yang ustaz impikan menjadi kenyataan seperti yang dinukilkan... Pasti bertuah pendamping dan penyeri rumahtangga ustaz kelak
Para pembaca budiman, atau sesiapa sahaja yang mengunjungi laman puteraazhari dibenarkan untuk menerbit mana-mana artikel penulis untuk disiarkan sebagai bahan bacaan, perkongsian, komersial atau diletakkan di mana-mana weblog mahupun website, tapi dengan syarat disertakan juga link atau alamat sumber diambil agar mudah rujukan pada kesalahan fakta dan sebagainya. Mudah-mudahan ganjaran pahala di sisi-Nya dalam menyebarkan jaringan dakwah ini ke serata tempat (ameen)
Silakan fidahchomel... moga bermanfaat.
Catat Ulasan