BADAN saya tiba-tiba lemah sebaik sahaja bangun daripada tidur semalam. Ketika itu jarum panjang baru melepasi angka 3, jam 03.19am. Badan panas, kepala saya juga panas. Pada pagi itu saya hanya mampu bergerak melangkah ke masjid berdekatan sahaja, itu pun terpaksa digagahi. Pagi pula tidaklah terlalu dingin memandangkan suhu pada waktu siang makin panas, meningkat dari jam ke jam... suhunya hampir 37’c ketika matahari berada betul-betul di atas kepala.
Semalam saya tidak dapat hadir ke kelas, termasuk kelas pengajian tafsir umum oleh Sheikh Dr. Ali Jumaah hafizullah, Mufti Besar Kerajaan Mesir. Bukan tak mampu, tapi tidak mahu mengambil apa-apa risiko menyebabkan demam makin parah, tambahan pula peperiksaan akhir tahun dah hampir. Mungkin suhu di sini sudah hampir mencapai klimaks, udara rumah juga menjadi panas.. guna kipas terasa panas.
Di Malaysia dulu, saya juga sering sakit kepala dan selesema, biasanya tanda demam nak datang. Saya mungkin antara orang yang susah nak makan ubat, perlu fikir panjang sebelum telan. Kalau ke klinik pula, boleh dihitung dengan jari berapa kerat saya ke sana. Ibulah antara orang yang banyak memaksa saya ke klinik, dia begitu risau dengan keadaan saya.. masakan tidak, kalau demam tu sampai seminggu, selesema entah berapa lama lagi baru sembuh.
Bila dah terbiasa sakit, sengal satu tubuh badan, demam, saya sudah lali dengan sakit itu. Berbekalkan kekuatan itu, saya dapat jalani kehidupan seperti biasa walaupun kepala dan badan saya terasa sakit. Saya yakin kesakitan kita, bukan sahaja memerlukan anti-body dalaman semata-mata, malah lebih penting luaran. Tidaklah sampai memaksa diri hingga lebih mendatangkan mudharat pula. Sekadar boleh mengeluarkan peluh, musim panas lagi membantu kecepatan liang-liang roma merembeskan peluh.
Saya perasan mula-mula dapat simpton nak sakit selepas pulang dari Hayyus Sabe’ tiga hari lepas, setelah usai makan-makan di Restoran Patani meraikan ulangtahun kelahiran saya yang ke-23 bersama-sama teman.
Banyak perkara yang berlegar di kepala saya ketika itu. Bagaimana aku bisa menghadiri kelas dalam keadaan serba sakit, bolehkah aku mengadakan kelas pengajian totarial kepada pelajar-pelajar tahun satu (secara tidak formal), bagaimanakah aku mampu menghabiskan silibus pengajian yang masih tersisa. Semua itu berada dalam dilema, kalau rehat bererti saya terpaksa menangguh semua perancangan yang telah dibuat, perlu ditunda ke hari lain.. sedikit sebanyak menjejaskan tumpuan pada jadual asal yang telah dirangka sebelumnya.
Allahu Rabbi.. Anta matlubi.
Ketika inilah, mulut saya berkumat-kamit bertasbih, bertahmid, bertakbir, beristighfar memohon ke hadrat Allah Taala agar diampunkan dosa-dosa yang sengaja atau tidak sengaja telah saya lakukan.. saya yakin ini juga kafarah daripada-Nya buat sekalian hamba-Nya yang terpilih untuk diuji dengan kesakitan demi kesakitan, antara lain agar kita ingat kepada siapakah kita akan dikembalikan dan tahu kita tidak selama-lamanya sihat.
Allah Taala benar-benar meniupkan keindahan dalam sakit saya. Rupa-rupa Tuhan amat merindui para hamba-Nya yang redha dan tabah menghadapi dugaan sementara ini, tidak cepat melatah di atas apa yang tertimpa.
Ternyata penyakit saya alami ini suatu nikmat yang benar-benar tersirat, perlu dibedah sebelum kita mencapai tahap kesabaran, dalam erti kata lain redha. Banyak saya belajar daripada penyakit saya yang sebentar, berbanding kehidupan sihat saya yang terlalu panjang. Musibah sinonimnya dengan muhasabah. Keperluan untuk kita mencari sinar cahaya di sebalik kedukaan sementara ini. Redha kita, adalah keredhan-Nya.
Saya terus berdoa, agar diberi kesembuhan agar saya dapat terus belajar dari musibah tadi dalam keadaan saya juga perlu redha, dan bersyukur ketika sihat saya. Ingatan kita kepada-Nya di masa sihat tanda pengabdian yang tiada tolak bandingannya. Kita akan sedar, kita hanya seorang hamba yang tiada apa-apa, dan Dia ialah Pencipta yang kaya dengan segala kenikmatan.
Terima kasih Tuhan Rabbul Izzati
2 komentar:
Semoga saudara lekas sembuh dan selamat maju jaya untuk peperiksaan kelak.
-ct laila
~semoga ustaz cepat sembuh..
Catat Ulasan