PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Selasa, Mei 11

Hulurkan Tangan Kepada Mereka






ANA harap anta dapat cari dua orang lagi sahabat”

“Jadi anta tidak perlu susah-susah buat semua tu seorang diri” kata Ustaz Mokhtar kepada saya selepas usai mengerjakan solat asar di suatu petang.

“Saya akan cuba ustaz... lagipun, peraturan sekolah sekarang makin ketat. Semua pelajar diwajibkan tinggal di asrama yang disediakan”saya memberi tahu tentang situasi semasa selepas beberapa gagasan baru oleh tuan pengetua yang baru ditugaskan di sekolah saya.

Ana serahkan semua tugas ana sebelum ini kepada anta. Harapan juga, anta dapat galas tugas dengan baik di samping tidak mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar” Ustaz Mokhtar bersungguh-sungguh meniupkan kata-kata semangat kepada saya.

Anta akan merasai suatu cabaran bilamana berada di sini. Bukan semua penduduk di sini tahu agama. Ana sudah 30 tahun tinggal di sini... ana sudah masak dengan perangai mereka. Anta kena banyak bersabar” ujar Ustaz Mokhtar.

“Saya dapat tinggal di sini pun sudah cukup beruntung. Besar sungguh pengorbanan ustaz dan keluarga kepada saya walaupun saya bukan ahli keluarga ustaz. Ujian ada di mana-mana dan bila-bila masa... bagi saya dakwah itu perlu berterusan dan mesti didahului dengan kesulitan” saya cuba memujuk hati yang sedikit segan, dan bercampur malu sesambil mata memerhatikan aras dua Masjid al-Aman yang menjadi tempat tinggal saya sepanjang menggalas tugas sebagai imam muda.

“Makan malam nanti di rumah ana...” Ustaz Mokhtar mengakhiri percakapan pada petang itu, dan meninggalkan kata-kata perangsang untuk saya terus bergerak memancu ke hadapan.

Beliau masih segar diingatan saya, antara mereka yang sentiasa bersedia memberi sokongan moral kepada saya untuk bergerak dalam wadah perjuangan. Beliau juga yang memberi isyarat jelas untuk memilih haluan sendiri tatkala diri ditawarkan dengan pelbagai latarbelakang pengajian terutama dalam bidang kritikal dan profesional. Namun saya telah berdiri di atas kemampuan sendiri dan melihat mengikut kehendak umat sejagat yang perlu dirawat dengan nilai-nilai murni agama.

Walaupun sekitar kawasan perumahan agak baik dan tersusun menggamit setiap mata yang memandang, tidak pula pada suasana penghuninya. Mereka seolah-olah tidak memahami konsep muamalat dan roh hidup berjiran... masing-masing sibuk dengan cara hidup yang dibina di atas helaian kertas yang sudah lapuk. Saya tidak katakan semua bersikap sedemikian, ada sahaja mereka yang menggagahkan mulut untuk mengukir senyuman, namun setakat itu sahaja, kalau ada yang sudi bersembang hanya sekadar tanya khabar lepas tu cabut lari ke dalam rumah.

Saya kena sabar dan banyak belajar untuk menyelami kehidupan mereka. Bukan terjebak dengan kancah portrait mereka, cuma sekadar mencetus mahu untuk mereka terima kehadiran saya dan mengajak mereka secara perlahan-lahan ke arah kebaikan.

“Anak ni, berasal dari mana?”

“Anak mesti pelajar sekolah agama di hadapan restoran makan Kak Jah itukan?”
“Berapa lama ingin tinggal di sini?”

Antara dialog biasa, yang sering dilafazkan setiap kali saya menyapa. Ingat saya masa di kampung, pantang diajak bersembang pasti dijemput ke atas rumah sekurang-kurang merasai penangan kopi kow sambil berbual panjang. Orang bandar pun berasal dari kampung, tapi cara hidup mereka sederhana dahulu ditinggalkan, maklumlah kena ikut arus dan style terkini.

Dari sudut pemerhatian yang berbeza, kita perlu fahami, kadang-kadang ‘tepi kain orang’ pun kena jaga juga bimbang ada bahagian-bahagian tertentu kain yang terkoyak, nanti tidak pasal-pasal dapat malu percuma. Mencari kelemahan seseorang itu lebih mudah berbanding mencari kebaikan, namun kelemahan tersebut cepat sahaja ditampung, dan tidak pernah mengaku salah.

“Alah, bukannya selalu buat macam ni, esok-esok taubatlah”

“Saya masih muda, masih ranggi lagi. Kau walaupun muda tapi hati sudah tua”

Biasanya saya akan melalui suatu corok ketika pulang dari sekolah sebelum sampai ke pintu halaman masjid, terdapat remaja yang tidak bersekolah atau berpakaian sekolah lepak di sebuah pondok kecil. Mesti ada sahaja perkara baru yang dibuat di pondok tu, berkepit lelaki perempuan, hisap rokok, minum minuman keras, dan paling menyedihkan ada di kalangan mereka hilang pertimbangan dan kewarasan sesudah telan (hidu) mati-matian bau tengit gam satu botol. Sekali pandang, rasa marah saya meluat-luat tengok aksi mereka... sesekali rasa tanggunjawab itu ada juga;

“Masakan aku sekolah agama, tahu hukum-hakam, dan selalu bermain-main dengan ilmu agama. Sibuk menelaah hukum, dan terasa bijak dapat menyelesaikan khilaf ulama’. Tetapi aku lupa, untuk apa semua itu? Untuk apa agama ini?”

“Inilah persedian dan cabaran awal untuk aku tempuhi. Apakah aku bisa sabar, atau mudah melatah dengan keadaan menjijikkan ini?”

Inilah medan pertama saya walaupun masih berada di bangku sekolah menengah, sudah menjadi tanggungjawab setiap muslim. Kita akan lebih matang dan kenal mehnah dunia realiti... esok-esok tidak pula culture shock bila dihadapkan gejala sosial lebih dahsyat lagi. Kena ada keyakinan, kita mampu lakukan.

Analoginya mudah. Atlet akan gembira dan tidak sabar untuk berentap di sebarang kejohanan umpamanya olimpik, pastinya persediaan awal sebelum beradu kekuatan dan kemahiran akan dikemas-kini dengan baik. Matlamatnya pingat emas. Tanpa persediaan, perasaan gembira untuk bertanding bercampur baur juga dengan kegusaran akan ditimpa kekalahan. Maka natijahnya hanya akan menghasilkan hampa lantaran tidak yakin pada kekuatan diri sendiri.

Halnya sama dengan usaha untuk mendapatkan anugerah piala atau pingat taqwa dengan usaha kebaikan yang dilakukan. Perlu kepada persediaan dan perancangan, gembira untuk melangkah masuk ke medan tarbiah dalam pakej bentuk ujian ini, juga hadirnya rasa resah gelisah takut-takut gagal meraih kecemerlang. Tiga elemen ini penting, agar ianya menghasilkan momentum terbaik bagi seorang hamba untuk berusaha dan menggandakan usaha sepanjang ujian ini berlangsung.

Meneliti akan perlakuan dan gelagat corak hidup setengah daripada manusia yang menghuni alam ini, mudah kita dapati bahawa ada antara kita yang bertindak seolah-olah tidak akan mati, dan seolah-olah akan hidup buat selama-lamanya. Terdapat antaranya mereka bebas melakukan apa sahaja dan mengikut suka hati, tidak menghiraukan sama ada sesuatu yang dilakukan itu halal atau sebaliknya, baik atau buruk. Hidup mereka seharian seolah-olah beranjakan hawa nafsu dan bermenterikan iblis.

Soal pahala dan dosa, syurga dan neraka, pembalasan di hari akhirat sudah tidak lagi menjadi pertimbangan mereka. Oleh sebab itu mereka dengan sewenang-wenangnya meninggalkan ajaran-ajaran Islam... tidak solat, tidak puasa, tidak membayar zakat. Malah menunaikan fardhu haji ke Makah dianggap sebagai amalan yang sia-sia dan menbazir.

Keadaan ini menjadi semakin meruncing lagi apabila mereka didedahkan dengan cara hidup yang serba moden tanpa ada kawalan. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan telah menyebabkan berlakunya kelahiran anak luar nikah. Penglibatan dengan najis dadah sudah menjadi-jadi. Peristiwa rompak dan samun saban hari terpapar di dada-dada akhbar.

PERANAN IBU BAPA

Saya lebih suka menunding jari ke arah sikap dan cakna (prihatin) dalam ibu bapa memberi didikan utama kepada anak-anak, iaitu tarbiah kelas pertama dalam asas-asas ilmu agama. Puncanya kurangnya pegangan agama Islam. Pendidikan agama tidak begitu dipedulikan oleh pihak ibu bapa kepada anak-anak. Ibu bapa lebih suka menghabiskan duit semata-mata ingin melihat anak mereka berjaya dalam pelajaran... namun apa salahnya kita juga cetuskan rasa ingin melihat kejayaan anak-anak dalam tingkah laku dan disiplin. Sanggup berpanas-panas dan bersesak menghantar anak ke kelas-kelas tuisyen, tapi jarang pula kita lihat ibu bapa bertungkus lumus menghantar anak-anak mereka ke kelas pengajian agama, dan jauh sekali untuk ringankan tulang mengajar anak sendiri tentang kefahaman Islam.

Mereka berasa bangga sekiranya anak mereka mendapat 10 A+ dalam SPM berbanding mumtaz dalam akhlak. Ibu bapa harus merasa risau dan resah sekiranya anak-anak mereka yang telah berjaya dalam setiap lapangan peperiksaan masih belum mampu mendirikan solat, belum mengenal huruf alif.. ba...’, ta’... Mereka sanggup membayar yuran tuisyen beratus-ratus ringgit, tapi tangannya menggeletar untuk menghulurkan sekadar lima ringgit sebulan sebagai ganjaran kepada guru agama yang mengajar membaca al-Quran kepada anak-anaknya di rumah.

Keadaan ini terjadi lantaran banyak sahaja longgokan kemewahan, dan pengaruh terhadap kefahaman kebendaan yang menjeluak banyaknya. Saban hari kita dianjurkan supaya mengejar masa dan hidup dengan berlumba-lumba untuk mengumpul harta. Jika dianalisis sumbangan masa yang kita berikan untuk kerja-kerja akhirat berbanding dengan kerja-kerja dunia, maka satu jawapan yang menyedihkan jelas ketara.

Baik, secara purata setiap orang memerlukan masa sebanyak enam jam sehari untuk tidur, dan bagi seorang pegawai, mereka memerlukan sekurang-kurangnya lapan jam untuk bekerja. Belum lagi masuk masa untuk bersama keluarga, makan, mandi, membaca, berhibur, dan sebagainya, paling kurang kita menggunakan empat jam lagi. Jadi, sehari semalam manusia telah menghabiskan sekurang-kurangnya 18 jam hanya kerana urusan kedunian. Manakala baki enam jam lagi disia-siakan, dan tidak semua saki-baki masa tersebut dipanjangkan untuk beribadat kepada Allah Taala.

Sekiranya seseorang itu diberikan tempoh masa untuk hidup selama 60 tahun, maka yang terluang baginya untuk beribadat ialah 50 tahun, tolak 10 tahun pertama kerana belum sampai baligh lagi. Dalam masa 50 tahun tersebut, dia hanya menggunakan empat jam atau satu perenam saja dari masanya dalam sehari untuk beribadat. Jadi, jumlah masa yang digunakan untuk tempoh masa 50 tahun hidup, hanya lapan tahun setengah sahaja diperuntukkan untuk kerja-kerja akhirat... tidakkah di sana tidak sampai separuh, malah suku dari masa hayat kita?

Cuba kita renungkan sejenak, apakah kita cukup yakin benar-benar perolehi lapan tahun setengah untuk beribadat itu? Dan yakinkah kita dalam masa lapan tahun setengah itu, kita dapat menumpukan seratus peratus perhatian pada amal ibadat mengejar pahala. Mengikut pengalaman, hal tersebut tampak mustahil.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Demi masa.Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Dan mereka yang berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran” al-‘Ashr (103:1-3)

DIA SAUDARA KITA

“Kenapa tidak ada anak-anak muda datang ke masjid?” saya mendapatkan seorang jamaah masjid yang sudah beruban putih, usia antara 60-65 tahun.

“Biasalah ustaz... darah muda ni lebih suka berada di padang bola” jawab beliau.

“Saya tengok rumah-rumah jarak lima kaki sahaja dari kawasan masjid. Tapi tidak ramai yang sahut seruan azan” saya sedikit mengeluh, sambil menggelengkan kepala.

Sudah hampir seminggu saya memikul tanggungjawab sebagai imam muda di Masjid al-Aman, sebuah masjid yang terpencil terletak di kawasan pusat bandar Kota Bharu. Boleh dikatakan kawasan tersebut majoriti kaum Cina, tapi masih ramai juga bangsa Melayu yang sekitar kawasan masjid. Tidak pasti kesibukan apakah yang membuatkan mereka begitu berat untuk membesarkan langkah ke masjid, tempat paling selamat dan suci. Ada juga ringankan tulang untuk datang namun berapa kerat sahaja, boleh dibilang dengan jari.

Bagaimana pula kita hendak sedarkan mereka yang tidak pernah berpaling ke jalan kebenaran ini? Sesak dada saya memikirkan.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat (perolehi) rahmat” al-Hujarat (49:10)

Bukan senang menjadi muslim, walaupun di bumi Islam sendiri terutama kalau tiada rakan seislam lain yang sudi bersama. Bukan senang untuk mengubah suasana. Hanyalah perlu menjaga iman sebaik mungkin. Setakat mana? Sejauh mana boleh menjaga iman? Cuba harungi sendiri berada di tempat orang Islam yang meminggirkan Islam seorang diri dan selama bertahun-tahun. Mampukah? Bagaimana pula nasib teman-teman yang berada di bumi asing, mungkin cabaran seperti melawan ombak deras tsunami. Kuat benar cabarannya.

Kitalah yang patut mengubah suasana. Bukan suasana yang mengubah kita. Jadilah seperti ikan, walau di lautan mana pun diletakkan, tetap tidak terkesan dengan keadaan yang ada. Tidak kecut dan tidak pula menjadi masin. Kadang-kadang kita juga kena belajar daripada Ikan. Bukan jadi Ikan, tapi resmi ikan.

Teringat dulu kenangan seorang teman di Indonesia. Melihat jatuh bangunnya mahasiswa di sana tatkala krisis melanda masyarakat Indonesia... krisis kemiskinan, mata wang jatuh, rakyat perlu makanan, maksiat pula bermaharajalela. Sedang pelajar-pelajar kita di sana bagaikan sang penguasa, ringgit agak tinggi, tidak sedikit mereka tahu erti bersyukur malah lebih keparat dari barat.

Namun lain pula kita hidup di Malaysia. Selalu juga jadi sebutan, rakyat kita bukan tidak cukup makanan, bahkan mati kerana terlebih makan. Kadang-kadang, ada juga kebenarannya sebab kerana kemewahan nikmat makanan yang sedia ada, kita kadang-kadang mudah lupa dan alpa. Kemewahan tersebut tidak pula menjamin sebuah kemewahan iman di dada. Sepatutnya kita perlu susah untuk berfikir untuk tingkatkan iman, bukannya sibuk untuk menambahkan kantung perut.

Mungkin rakyat di negara kita perlu disajikan dengan makanan rohani yang lebih bersistematik. Kena ada juga piramid makanan rohani. Bukan saja hanya di Kelantan... seorang Tuan Guru dapat membaja kata-kata nasihat, mungkin seluruh negara. Mesti pada suatu hari nanti lahirnya majlis-majlis ilmu, yang bukan sahaja dikemudikan oleh golongan ulama’, malah golongan cerdik pandai dari semua bidang, yang boleh berhadapan dan bercakap kepada hadirin. Golongan profesional juga dapat memacu kemeriahan majlis-majlis ilmu.

TEGUHKAN IMAN

“Ustaz cakap senang la, tapi ana yang merasai semua ini”

“Tidak ada cara lain ke ustaz, selain menunggu rahmat Tuhan turun”

Mahu berubah perlu pada anjakan paradigma dalam diri, bukan pergantungan sepenuhnya pada pola mood dan kemampuan mencapainya. Mungkin boleh, tetapi perlu pada masa yang agak lama untuk merealisasikannya. Orang yang mengantuk disorongkan bantal, perumpamaan ini lebih sesuai untuk menggambarkan situasi hidup masyarakat sekarang yang sudah disogok dengan kesenangan, maka amat payah sekali menerima kesusahan walaupun sedikit.

Mulakan dahulu dengan rombakan akal dan kefahaman. Rasulullah s.a.w tidak melatih sahabat berlaku lasak. Tetapi input kepercayaan yang teguh, menjadikan mereka lebih lasak dari mana-mana pencapaian sejarah manusia. Seorang wanita pun boleh jadi besi dengan sentuhan yang menjunam ke hati. Tanya sahaja Sumayyah, wanita syahidah pertama, kekuatan apakah yang membolehkan beliau memilih syahid?

Itu dalam sejarah. Kita boleh mengeluh jika generasi manusia ini makin kemudian makin ‘manja’. Khususnya di zaman generasi yang sangat bebas berfikir ini. Tetapi itulah realitinya. Nak dimarah pun, generasi hari ini adalah begitu. Mereka mungkin lemah fizikal, tetapi mereka berani dan ganas fikiran. Keberanian berfikir yang ada pada generasi muda hari ini, tidak membolehkan mereka memaafkan pembodohan secara mudah. Perbuatan mendoktrin dan memaksa idea hanyalah manifestasi kedangkalan penganjur ilmuan yang gagal memahami bagaimana manusia berubah dan boleh diubahkan.

Teringat saya kepada seorang guru sejarah semasa tingkatan lima dahulu, dia mesti bercerita terlebih dahulu sebagai motivasi sebelum mengajar. Mungkin kerana masa subjek sejarah di sebelah tengah hari, ramai yang sudah lama bermimpi, curi-curi tidur waktu belajar. Cerita ini tiada bersangkut paut dengan sesiapa, ambillah pengajaran dari sisi kebaikan. Ceritanya begini;

Kisah seorang ayah yang menjelang ajalnya di hadapan sang isteri berpesan dua hal kepada dua anak lelakinya; iaitu pertama, jangan ada di kalangan kamu menagih hutang kepada orang yang berhutang daripadamu, dan kedua, jika pergi berniaga jangan sampai muka kamu terkena sinar matahari. Maka beberapa tahun setelah ayahnya meninggal, didapati anak yang sulung bertambah kaya sedangkan anak yang bongsu menjadi semakin miskin.

Pada suatu hari sang ibu menanyakan hal itu kepada mereka.

Jawab anak yang bongsu: “Hal ini kerana saya mengikuti pesanan arwah ayah. Ayah berpesan bahawa saya tidak boleh menagih hutang kepada orang yang berhutang kepadaku, akibatnya modalku susut kerana orang yang berhutang kepadaku tidak membayar sementara saya tidak boleh menagih daripadanya”

“Juga ayah berpesan supaya kalau saya pergi atau pulang ke rumah dari berniaga tidak boleh terkena sinaran cahaya matahari. Akibatnya saya harus naik kereta, padahal sebetulnya saya bisa berjalan kaki saja, tetapi kerana pesan ayah itu, jadi belanja duit poket saya untuk beli minyak bertambah banyak”

Kepada anak yang sulung yang bertambah kaya, sang ibu pun bertanya hal yang sama.

Jawab anak sulung: “Ini semua adalah kerana saya mentaati pesanan ayah. Kerana ayah berpesan supaya saya tidak menagih kepada orang yang berhutang kepada saya, maka saya tidak pernah menghutangkan sehingga dengan demikian modal tidak susut”

“Juga ayah berpesan agar supaya jika saya berangkat untuk berniaga atau pulang dari berniaga, tidak boleh terkena sinaran cahaya matahari, maka saya berangkat untuk berniaga sebelum matahari terbit dan pulang sesudah matahari terbenam. Kerana saya membuka kedai sebelum kedai lain dibuka, dan ditutup lewat sesudah semua kedai yang lain tutup.”

“Sehingga kerana kebiasaan itu, orang menjadi tahu dan kedaiku menjadi laris kerana mempunyai jam kerja lebih berbanding para pekedai biasa”

Kisah di atas menunjukkan bagaimana sebuah wasiat atau kenyataan ditanggani dengan persepsi yang berbeza. Jika kita melihat dengan pandangan positif dan betul, maka segala kesulitan di hadapan sebenarnya adalah sebuah perjalanan membuat kita bakal menempuh kejayaan. Tetapi kita bisa juga terhanyut dengan adanya kesulitan kerana terjerat dengan perangkap yang dipasang sendiri, pilihan berada di tangan anda.

SELEPAS SEMINGGU

Alhamdulillah... di hadapan masjid terdapat seorang kakak yang berasal dari Kemboja. Telah bersuami dan mempunyai empat orang anak. Saya dan suaminya juga rapat, dan salah seorang jamaah tetap masjid. Kami selalu bersembang setiap petang, itupun kalau beliau tidak keluar berniaga. Banyak buah tangan saya perolehi. Teringat saya, satu cerita kakak tu sekadar perkongsian.

Mengikut sejarah daripada ayahanda kakak tu, mereka (arwah mak, dua abang dan dua kakak beliau) datang ke sini atas saranan arwah datuknya, yang amat menitiberatkan pendidikan dan pembangunan nilai Islam dalam mendidik anak-anak. Masa itu kira-kira hampir 30 tahun dulu, negara Kemboja dikuasai komunis yang memang tidak menyenangi Islam.

Di awalnya, keluarga kakak tersebut memamg tidak diterima masyarakat setempat, particularly orang Melayu. Tapi orang Cina melayan keluarganya dengan sangat baik. Bila sudah berada di sekolah menengah, ada cikgu yang nasionalismanya tinggi tidak sekadar memandang malah melayan mereka adik beradik di situ sebagai orang luar yang tidak pernah diundang.

Tambah kakak lagi. Masa kecil-kecil dulu, dia marah juga kerana rasa tak patut orang Islam layan macam ni. Tapi dari sudut positifnya, dia sangat bersungguh-bersungguh belajar kerana nak tunjuk kepada manusia yang mereka mampu menyesuaikan diri. Akhirnya, mereka semua mampu bertahan dan sangat menghargai apa yang terjadi sekarang.

Moralnya, walaupun mereka bukanlah berasal dari warga tempatan, tapi mereka begitu tinggi iman dalam menempa kejayaan di bumi asing. Bukan senang membina sebuah tapak pada tanah yang cukup asing dengan darah daging. Semanagat waja mereka perlu ditauladani, bukan merempat di kandang sendiri, dan rasa terhina dek kerana tangan-tangan yang membusutkan jiwa sendiri dalam kelalaian.

Dari segi sosial, awal-awal dulu memang saya rasakan susah untuk bergaul dengan penduduk setempat yang lain, kerana mereka kurang tahu gaya hidup (syariat) Islam. Bila tidak turut sama berjoging dengan mereka pada hari Jumaat, ada sedikit rasa prejudis terhadap saya. Tetapi, saya cuba untuk bersosial dengan cara yang lain, contohnya keluar shopping bersama-sama atau ke restauran dan ambil peluang ini untuk menjelaskan kepada mereka situasi saya yang sebenar dan serba sedikit tentang roh Islam. Hamdalah, selepas saat itu, hubungan kami semakin baik.

Pada pandangan saya kalau suasana memerlukan supaya penghayatan Islam itu wujud, tidak kisah lelaki atau perempuan yang mulakan dahulu. Jangan pedulikan suara-suara sumbang kalau niat kita nak hidupkan Islam. Mungkin pada masa yang sama, kena sama gesa lelaki yang mungkin ada tapi tidak nampak untuk sama-sama turut serta dalam penghayatan penting ini.

Kebimbangan saya ialah cabaran yang ditempuh oleh umat Islam dan negara ini semakin banyak, beragam dan kompleks. Tetapi kenapa pembangunan modal insan yang digembar-gemburkan selama ini hanya sedap di mulut sahaja tanpa ada pelaksanaan yang berperingkat, dan tindakan susulan selepasnya? Gagal melahirkan barisan da’ie, aktivis, pemimpin, penulis, penceramah dan pemikir yang setanding dengan cabaran kontemporari umat Islam dan dunia keilmuan sejagat.

Nabi pernah bersabda, bermaksud: “Kamu tidak akan masuk syurga hingga beriman, dan tidaklah kamu beriman hingga saling mencintai (kerana Allah). Apakah kamu mahu jika aku tunjukkan pada satu perkara jika kamu kerjakan perkara itu, maka kamu akan saling mencintai? Sebarkanlah salam antara kamu” (Hadith Riwayat Muslim)


0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal