PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Sabtu, Mac 20

Taqwa Menetas Jiwa Hamba

SAYA menyegerakan proses memunggah lembaran berita demi berita di halaman Harian Metro, Utusan Malaysia, Berita Harian, dan Harakahdaily. Pagi ini ada latihan bola sepak bersama teman-teman team Barsa (singkatan Babus-She’riyah). Sudah jadi rutin harian saya, ujaran maklumat di dada akhbar disimpan sebagai data pada gugusan pengetahuan. Mengumit mulut basah menghabiskan pelbagai arkib, pelbagai isu dan judul.

Kepala sarat dengan pengetahuan, pengetahuan apa sekali pun, akan menggugah akal dari mengakses maklumat yang tidak sihat, tiada pencerahan, tiada pencambahan ilmu. Pengetahuan belum tentu merupakan sejejer ilmu yang bermanfaat, tapi ilmu adalah induk pengetahuan. Kita boleh sahaja baca majalah hiburan, mengetahui dunia glamour artis, ada pengetahuan tapi tidak berupa ilmu.

Ilmu ialah sesuatu yang boleh ditumpangi keberkesanannya dalam hidup. Bisa diguna, bisa diaplikasikan. Tapi ingat, aplikasi yang saya harapkan ialah urna pengetahuan yang membimbing, bukan menumbang. Boleh ditumpang faedahnya. Cabang ilmu pula banyak. Inilah modal kita bila bertemu Tuhan kelak.

Ilmu juga seni.

Perlu ada bakat, minat, latihan, dan kemahiran mengendalikannya.

Dari pengamatan mata minda saya, negara kita sudah menjangkau kemajuan dalam pelbagai sektor, sudah setanding negara-negara maju dunia yang lain, semuanya membangun. Terbaru pengumuman Perdana Menteri hak pembangunan Kampung Baru dengan bajet sebanyak RM2 bilion.

Persoalan saya, apakah pembangunan material yang sering terhidang di depan mata setanding juga proses pembagunan spiritual masyarakatnya, modal insan. Kalau dibuat perbandingan sihat berita-berita di kesemua akhbar, risau pula dibuatnya, dada rasa sesak menghela dan menarik nafas. Kenapa? Pembangunan aspek sosial teramat rendah, terus merundum, silibus di sekolah hanya catatan pada helaian minit mesyuarat sahaja. Tiada plan tindakan susulan. Solusi dibuat bagi mengelaburi mata pihak penentang, agar amanah terpikul sebagai kerajaan sudah dilaksanakan, seperti membuang duit ke tanah.

Gumpalan emosi berbaur hampa, saya sedih teramat sangat meratapi gejala sosial makin meruncing di tanah air.

DUNIA DIKEJAR, AKHIRAT DISISIH

Bila manusia hidup hanya berkiblatkan dunia semata-mata, nescaya tiada keinginan menghidu saham Akhirat. Tidak puas melahap nikmat yang tiada kekal lama, sibuk dengan urusan pejabat, sibuk menguruskan perniagaan, saham, berfoya-foya di kelab malam, semua ini tidak menjamin kebahagian sebenar yang dicari. Memenuhi tuntutan dunia semata-mata akan menghilangkan sifat qana-ah (sederhana) dalam diri, rasa tidak puas dan cukup dengan apa yang ada.

Kesibukan yang melampau.

Urusan akhirat adalah sampingan bila ada kematian, maka diadakan majlis tahlil, baca Quran. Urusan akhirat bila tibanya sambutan hari raya, majlis sambutan maulidul-rasul peringkat jabatan dan sebagainya. Tiada majlis dan sambutan ini, maka terputuslah tali hubungan dengan Sang Pencipta, tiada jugalah connection ila-Allah.

Impian duniawi menjadi pengisian di setiap petak diari. Diari awal Muharram tercatat destinasi pelancongan lima bintang, sibuk mengemas pakaian sebelum meninggalkan rumah, diri dah terlupa kerana telah meninggalkan roh Ma-‘al Hijrah. Diari bulan Ramadhan dipenuhi dengan hanya undangan berbuka puasa sahaja, puasa atau tidak lain kisah, mana ada orang lain tahu. Diari pada tanggal 12 Zulhijjah hanya terisi dengan kursus-kursus tertentu, walaupun seruan mengerjakan haji sudah sampai masanya.

“Biarlah dulu... masih kuat lagi, tahun depan boleh ke sana”

Tapi malangnya bila ke Mekah atas tiket mengejar title ‘Haji’ semata-mata selepas puas dengan segala gelaran di dunia, niat tiba-tiba berubah serta-merta tatkala kaki berjaya melepasi pemeriksaan imigresen, kotak fikiran sudah terbayang ole-ole apa yang perlu dibawa pulang, niat melencong untuk melancong.

Hati makin malap, seiring malapnya pelita hidayah.

Allah Taala berfriman;

Bermaksud: “Maka datanglah sesudah mereka generasi (jahat) yang mewarisi Taurat, mereka yang mengambil harta benda dunia yang rendah ini, seraya berkata: “Kami akan diberi ampun...” al-A’raf (7:169)

Mereka kira kesenangan dikecapi akan menjamin kebahagian di Akhirat. Berkali-kali juga saya katakan kesenangan adalah anugerah tidak terhingga daripada Allah Taala, dan tidak dikurniakan kepada orang lain.

Maka, syukurlah!

Tapi, di sebalik kesenangan, kemewahan, kekayaan tersalut bersamanya ujian, baik berupa nikmat sementara yang akan ditarik semula, atau akan terus diberi kekayaan hingga lupa untuk ber-tahmid, tasbih, dan takbir syukur, hingga ber-‘tuhan’-kan harta semata-mata. Kehidupan selamat ialah, jauh dari faqer dan terlalu kaya, berpada-pada di samping berterusan mentaati suruhan Allah Taala.

Bila bersedekah pula kerana mahu nama, kena ada liputan meluas daripada pihak media. Dengan sejumlah chek beratus-ratus ribu dipamerkan pada lampiran kecil akhbar, atau terus di muka utama bila berhasil menyumbang dana sebanyak jutaan ringgit. Riya’, mahupun ikhlas terpulang pada diri sendiri, tapi ramai mata-mata yang melihatnya sebagai bencana dan ancaman kepada si pemberi.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut dan menyakitinya (perasaan si penerima), seperti (rosak pahala amal sedekah) orang yang membelanjakan hartanya kerana hendak menunjuk-nunjuk kepada manusia (riya’)...” al-Baqarah (2:264)

Tidak alpa dengan kekayaan sementara, mesti ada pengisian kekayaan minda dan dada (budi). Tidak terlalu lalai memikirkan untuk keluar dari kepompong kemiskinan, bekerja siang malam hingga lupa tanggungjawab kepada Allah Taala, dan tidak terasa walaupun sekelumit sesal di atas penghidupan ini. Berdoa, tapi tetap sama miskin. Jangan salah sangka, teruskan usaha, jangan putus asa.

Tiada lagi air mata sesalan. Semuanya dah cukup, mahu apa lagi!

Rasulullah s.a.w ada bersabda dalam Hadith soheh, bermaksud: “Ada dua mata yang tidak akan disentuh api neraka. Iaitu mata yang menangis kerana takut kepada Allah dan mata yang terus menerus berjalan (jihad) di jalan Allah” (Hadith Riwayat Tirmidzi)

Berapa keratkah dua ‘mata’ yang dimaksudkan ini wujud di dunia sekarang?

JENDELA KEBAHAGIAN HAKIKI

Buatlah perbandingan, antara manusia-manusia di hadapan kalian.

Insan kerdil yang berasa tidak pernah cukup dengan apa yang ada, akan terus menghambakan dirinya kepada Allah Taala dengan sebenar-benarnya. kebahagian dan kesedihan semuanya berserah kepada Allah sahaja. Sesungguhnya manusia ini penuh dengan sifat-sifat kekurangan, cukup dengan apa yang ada.

Insan megah dengan kebahagian, tidak pernah berasa cukup jika hatinya kosong dan jauh dari Allah Taala. Kepalanya sudah di-setting untuk menerima input sahaja, output dimatikan.

Kita sekarang hanya tinggal kemalasan dan alasan untuk berubah, jauh sekali untuk mengubah. Walaupun masih ada segelintir insan yang benar-benar mengamalkan ajaran-Nya dan menjadi hamba-Nya. Namun masih lagi ramai yang tercari-cari, tergapai-gapai, terkapai-kapai di awangan gelap, di manakah destinasi hendak didarati, mengenali Islam dalam erti maksud yang sebenar bila menjadi hamba.

Susahkah berubah?

Payahkah?

Tinggal lagi mahu atau tidak, sedangkan tahu sudah kejap digalas pada sayap sebelum terjumpa daratan iman, dan takwa. Kita mampu untuk berusaha dengan baik, dan lebih baik lagi dalam menjadi hamba.

Sang hamba perlu pada dua jiwa. Jiwa Sufi, dan jiwa Jundiy (melawan). Jiwa Sufi, supaya dapat sentiasa menikmati, mengoreksi diri agar kembali pada Ilahi dengan utaian zikir dan tasbih. Jiwa Jundiy (melawan) agar mampu berdiri, berlari dan beraksi agar menyentuh hati-hati agar tidak mati dan bisa mengawal duniawi. Letakkan dunia di bawah tapak kaki (kekuasaan) kita bersama roh Islami.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bermaksud: “Sesungguhnya Allah, bilamana Dia mengasihi sesuatu kaum, maka akan diuji (menilai tahap iman mereka)” (Hadith Riwayat Ibn Majah)

Untuk membuktikan bahawa dia benar-benar berada di atas kebenaran yang hakiki. Tidaklah ujian itu, sekadar menguji keimanan.

For What?

Supaya kita tahu dalam jerih ada kemanisan, dalam perih ada keasyikan. Keluarkan hikmahnya dari kotak ujian, hamburkan kepada diri sendiri sebagai guide-line, panduan, serta pedoman hidup.

So, apalagi. Jom, berubah dan mengubah!

Jelas jiwa hamba hanya menetas pada taqwa lahir dan batin kepada Ilahi.

Aku memilih Islam dan dilahirkan fitrah sebagai Muslim. Islam agamaku, sebagai cara hidupku. Ya Allah, serlahkan niatku ini. Kau tunjukkanlah aku Nur Hidayah-Mu, supaya aku terus menerus berada di jalan-Mu.

ameen

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal