PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Jumaat, Mac 19

Dia-lah Segala-galanya

BILA berjauhan daripada orang tua ni banyak perkara telah kita tinggalkan, hikmah di balik jauh daripada mereka banyak pula perkara baru kita lakukan sendiri, mungkin inilah digelar hidup berdikari, hikmah anak rantau. Kita diuji setiap masa. Uji rasa lapar lantas tangan bergerak memotong bawang, masak nasi, goreng ayam, hangit kehitaman tidak dipeduli lagi asalkan perut dialas. Diuji kain kotor, kaki melangkah ke kamar mandi, merendam pakaian, basuh, dan sidai sendiri. Diuji kering duit poket pada minggu terakhir, lantas mengajar diri berjimat cermat, menjana pendapatan lebih, belanja apa perlu.

Dah dua tahun setengah saya hidup di bumi asing, asing melihat bangsa arab, asing menapak kaki di atas bentuk muka bumi panas melampau, sejuk melampau, asing menutur bahasa pasar bekas jajahan Firaun, lebih asing berhadapan kerenah kasar warga tempatan. Kalau bukan kerana khazanah ilmu paling masyhur di sini, tiada apa boleh dibanggakan, kalau nak harapkan ramai pelawat asing datang kerana batu-batu ajaib tersusun membentuk piramid sampai satu masa akan jemu juga.

Hari ini, saya rasa bertuah dapat berjumpa seorang sahabat dari Yaman, Habib Abdul Fattah. Pertemuan tidak dirancang telah berputikkan kasih di hati, sebaik usai solat Zohor di Masjid Saidina Hussain. Beliau telah dulu merasai perit sebagai anak rantau, sedari kecil hingga beliau mampu mengenal baris-baris tinta ilmu. Dia mengajar saya erti hidup hingga saya tidak terdaya bangkit bangun mendengar kalam nasihat dari bibir beliau.

Ada masa saya gembira, adakala saya juga berduka. Saya tidak selama-lamanya kebal dari perasaan manusiawi, kerana fitra saya juga dijadikan untuk mewarnai episod perjalanan hidup saya sendiri. Saya juga seperti kalian tahu bergembira, tahu bila berduka.

Kesedihan dialami, saya cuba sembunyikan agar tidak mengundahkan teman-teman lain, saya perlu kuat, sedangkan kegembiraan saya pasti berkongsi bersama mereka, agar mereka jua boleh menumpang fiksi yang sama.


Biasanya bila saya ada masalah, luaran mahupun dalaman, saya akan terus mendapatkan khidmat nasihat guru-guru saya, para murabbi di sini. Mereka tidak sombong untuk turut berada pada situasi saya ketika itu, bagi mereka melalui pengalaman orang lain akan turut mengheret mereka bergelumang, memikirkan masalah sama, seolah-olah mereka berada di situasi tersebut. Kalau dulu ibu dan abah adalah pendamping setia, lembut ibu mengusai rambut, damai abah memeluk kasih meredakan rasa pilu di kamar hati.

Saya percaya kalian juga mempunyai sedutan warna-warni ini. Betulkan?

Tahukah kalian, sebenarnya ilham dikurniakan kepada mereka, mampu memberi nasihat, memberi semangat, di kala kasih sayang kita perlukan adalah datang melalui Allah Taala. Di sana, saya belajar sesuatu dari kalam ulama’, kalaulah kita sedar adalah lebih tenang, lebih syahdu bila kita terus mengadu kesedihan kita ini kepada Tuhan, al-Khaliq. Inilah jawapan pada persoalan saya selama mana berada jauh dari belaian dan pelukan erat ibu dan abah. Melalui Allah, mereka tetap sahaja membelai dan memeluk manja saya di kala kasih didamba.

Alhamdulillah... terima kasih Tuhan.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Demikianlan(kebesaran ALLAH), Dia-lah yang hak, dan apa sahaja yang mereka seru selain Dia, maka itulah kebatilan, dan sesungguhnya Allah itu Maha Tinggi lagi Maha Besar” al-Hajj (22:62)

Sememangnya pergantungan kepada Allah Taala itu adalah satu keperluan kepada jiwa-jiwa hamba yang rabbani. Keyakinan dan kepergantungan kepada-Nya adalah kemanisan dan kenikmatan yang memuncak dalam keimanan, ‘izzah seorang mukmin, muslim akan terselah. Allah Taala itu Maha Pengampun, Dia-lah tempat meluah rasa suka dan duka.

Kebergantungan kepada Allah adalah mutlak.

Rasa pergantungan kepada manusia tidak akan akan sempurna, walaupun kita dah rasa tenang, tidak mustahil akan datang semula. Namun, adanya mereka adalah salah satu cara kita meletakkan sedikit rasa beban yang sedang ditanggung, walaupun kita tahu ianya tidak akan selesaikan masalah, cukuplah sekadar melegakan rasa gundah, dan resah. Seperti juga sifat ubat... ubat hanya mampu menahan rasa sakit, bukan menyembuh penyakit. Tidak mustahil penyakit sama akan berulang kembali.

Silapnya, kadang-kadang bila manusia mengadu kepada Allah Taala akan sesuatu masalah, dia terlalu mengharap bantuan Allah Taala datang segera, di saat itu juga. Kita lupa untuk sabar, tabah seperti 'sabar'-nya Allah Taala mendengar ucapan tahmid di kala kita senang. Kita lupa Allah sedang menguji kita. Bila masalah kecil datang menimpa, kita selalu fikir pasal masalah itu, tertumpu padanya sahaja, sedangkan dengan kita mengerjakan ibadat lahiriyyah mahupun batiniyyah akan menghilangkan masalah tersebut, inilah hubungan seorang hamba yang ikhlas dengan Tuhannya.

Allah Taala adalah segala-galanya. Di saat Dia menurunkan bala, adalah untuk menguji tahap kesabaran, kerana kesempurnaan iman hanya bisa digapai selepas diuji. Akhirnya selepas diuji, kita sabar, Allah juga akan menarik semula ujian tersebut. Dia pemilik suka, Dia juga pemilik duka, Dia pemilik gembira, Dia juga pemilik gundah, maka di hujung adalah doa kepada-Nya tidak putus-putus, agar rahmat Ilahi memenuhi perasaan kita ketika itu.

Dia-lah segala-galanya.

Ibu... terima kasih kerana sudi belai rambut abang dulu. Abang tahu, abang bukan anak yang baik tapi abang cuba juga untuk jadi terbaik buat ibu. Abah.. terima kasih juga memeluk manja di kala abang perlukan kasih. Abah pula tidak ceritakan, saat abah sanggup ikat perut, makan roti keping sahaja di tempat kerja beratus-ratus kilometer dari rumah, semata-mata mahu hantar duit banyak-banyak buat kami di halaman desa, abang tahu daripada teman baik abah. perihal ini. Abah adalah hero abang, kami. Selepas daripada itu, berkat sabar abah dan ibu, kita sedikit beruntung seperti apa kita kecapi sekarang.

"Ya Allah.. kuatkanlah aku menghadapi ujian-Mu di sini, agar aku dapat terus menapak kaki di muka bumi ini, lantas aku jua bercita-cita ingin membelai lembut dan mendakap manja ibu dan abah di hari kepulangan ku nanti"

ameen

1 komentar:

Muffakiratul Mukminah on 19 Mac 2010 pada 4:17 PTG berkata...

Ujian yang datang adalah anugerah tidak terhingga..menjadikan diri menjadi terlalu istimewa di sisi Allah swt tatkala masih tersenyum walaupun dihimpit masalah yang membebankan kerana jiwa yang taqarrub dan redha atas ketentuan Ilahi. Dan yang paling penting adalah kebergantungan kita sebagai hamba kepada Pencipta Allah swt yang kepadanya juga kita kembali. Ujian juga sebenarnya akan lebih mematangkan diri justeru lahir manusia yang mampu menilai setiap gerak lakunya lillahi ta'ala..Wallahu'alam..syukron atas perkongsian yang sangat terisi.

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal