PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Jumaat, Mac 12

Penentu Jalan Kejayaan


PASTI wujud di kalangan para pembaca rasa berdebar-debar menanti tanggal 11 Mac 2010. Bila dah sampai, tinggal beberapa detik lagi, hati dah jadi gelisah, resah. Ketika ini ramai mengambil tindakan berkecuali, tidak banyak cakap, lebih senang dan tenang zip mulut sahaja. Mungkin juga ada di kalangan anak-anak, saudara mara, jiran tetangga, atau ahli keluarga pembaca lain akan menerima slip peperiksaan SPM, dan STAM pada hari ini.

Dia tahu, harapan sudah pun terpikul di bahu, usaha sudah, tapi kali ini benar-benar mengundahkan jiwa, dia cuba memujuk diri, lari dari cengkaman ini. Usahkan calon SPM dan STAM, ibu bapa juga turut terbawa-bawa dengan gelagat sama bila melihat perubahan sikap anak-anak mereka.

Kita dulu bagaimana?

Ada sejarah tersendiri dilakarkan bukan?

Kalau kejayaan disebabkan usaha gigih kalian selama ini, linangan air mata kalian terlalu mahal, sangat manis. Namun kegagalan kalian disebabkan malas, dan kebodohan tindak-tanduk kalian dulu, jangankan ibu bapa, diri sendiri dipersalahkan bahkan air mata mendatangkan mudhorat. Jangan pula ada tidak bertegur sapa, tidak mahu ambil tahu dan sebagainya.

Tiada kejayaan tanpa usaha yang gigih, semua orang mempunyai makna kejayaan yang tersendiri, cara merai tersendiri, rasa kepuasan tersendiri. Kadangkala, bila kita puas selesaikan sesuatu perkara, itu pun dikatakan berjaya. Ya.. melalui kepuasan diri sendiri. Memang besar nikmat Allah Taala berikan kepada kita, nikmat akal, sihat dan sebagainya supaya kita dapat memilih yang baik mahupun sebaliknya.

Jangan pula salahkan takdir, andai diri pincang mentadbir.

Belajar itu tadbir, usaha itu tadbir, tuisyen itu tadbir, latihan tubi itu tadbir, berjaga malam mengadap buku itu pun tadbir, dan semua ini akan mempengaruhi takdir kita. Baik, Kita berjalan berbekalkan dua biji mata celik, tapi itu tidak bermakna kita selamat, kecuali kita ada hati-hati, berhati-hati melihat ke depan, kiri kanan ini adalah tadbir, bimbang ada lubang menghalang, pasti terseliuh kaki, natijah dari hati-hati tadi ada takdir kita.

Usaha dahulu, rasa susah jerih dulu, barulah berserah.

Allah Taala berfirman;

Bermaksud: “Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan, (sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertakan kemudahan” ash-sharh (94:5-6)

Redha pula dipenghujung ikhtiar.

Kehidupan itu adalah sekolah kepada diri kita, banyak perkara yang bisa dipelajari dalam hidup ini. kejayaan seseorang itu bukan sekadar terletak pada kesungguhan, tetapi pada kehidupan yang dilalui sehingga menjadikannya seorang yang berjaya.

Kesusahan dan keperitan hidup banyak mendorong seseorang untuk berjaya dalam hidupnya. jika kita kaji balik tentang kejayaan insan-insan hebat di dunia ni, kebanyakan mereka bermula dari keadaan susah menempuh keperitan hidup.

Penting kejayaan kita bukan sebaik-baik kayu pengukur andai kurang berjaya akhlak atau gagal sakhsiah.

Peluang untuk berjaya terbuka kepada sesiapa, tidak kira sesiapa pun kalian. Boleh jadi hanya anak seorang petani, anak nelayan, luaran biasa-biasa, kerana mengukur kejayaan itu perlu pada hati kental, tiada rasa putus asa, kehidupan susah lebih sinonim sebab perjuangan dia bukan sahaja perlu berjaya sebagai pelajar tapi paling penting sebagai manusia, seorang muslim (hamba).

Bila melihat keperitan mereka, apa yang mampu ialah menghulur secebis rasa simpati dan memberi harapan. Jujurnya, mereka sendirilah yang perlu bangkit dan meneruskan perjuangan di kala sisi luaran malap, hidupkan pula obor semangat dalaman.

Segala apa dilakukan manusia mempunyai kesan sampingan yang lebih ketara berbanding kesan yang datang dari makhluk Allah Taala lain. Ini kerana manusia dibekalkan akal untuk berfikir, deria untuk merasa, dan hati untuk mengerti. Baik buruk kelakuan manusia akan tahu juga mana air dan mana api, membedakan antara al-Haq (benar) dan al-Batel (salah). Kedua-duanya tidak akan bercampur. Kepulangan pada fitrah manusia agar jadi baik adalah kemuncak kesempurnaan iman di jiwa.

Kita berhak memilih jalan sendiri.

MASA DEPAN

Bila sudah terjawab semuanya, masing-masing sudah memegang slip peperiksaan, maka bermulalah lembaran baru, iaitu menentukan hala tuju seterusnya. Pasti ramai sedang berpusu-pusu ke bank untuk dapatkan borang UPU, permohonan dibuat secara online, lebih cepat, mudah dan selamat.

Kalau result setakat cukup-cukup makan, pening juga nak hitamkan bidang paling sesuai, jurusan mana lebih secocok. Kalau result hebat-hebat, tiada masalah sebab mereka lebih cenderung untuk bersaing dalam bidang kritikal kerana sudah terbukti mampu. Maka jadilah ada di antara kalian lebih suka memilih apa yang dipilih oleh teman karib, alasan mudah nak studi, senang ambil berat, tak mahu berpisah. Mereka ini akan cepat mengalami sindrom down di bidang bukan medan sebenar dia.

Pilihan sendiri dan pilihan paksa, jauh lebih menggerunkan bila dipaksa.

Kita tidak selama-lama akan bergantung kepada manusia lain, tidak bererti kita langsung menepis bantuan mereka. Kaki kita melangkah, kita putuskan ke mana, tangan kita pegang, kita tentukan mana satu. Kita hanya dibekalkan pengalaman, kata-kata orang lebih tahu mengenal kehidupan sebelum kita mampu celik, mampu pegang, mampu melangkah.

Masa depan anak-anak tidak seharusnya ditentukan oleh keluarga. Peranan keluarga hanya menunjukkan jalan-jalan yang seharusnya dilalui oleh anak-anak. Melalui kaedah ini mungkin anak-anak mempunyai gambaran tentang minat dirinya. Menentukan karier anak akan menjadikan mereka pada suatu hari nanti buntu bila menghadapi kemelut dalam karier mereka.

Tidak dapat meneruskan hala tuju dengan jitu dalam kariernya kerana jiwanya tidak penuh dengan apa yang dilakukan.

Maka jika dia seorang ahli ekonomi, ilmunya tidak dimanfaatkan dalam bidang ekonomi kerana jiwanya bukan jiwa ekonomi. Kalau dia seorang doktor, rawatannya hanya sekadar memberi rawatan, memberi ubat, dan dapat gaji besar. Jika dia imam masjid, maka dia hanya menjadi imam di kala solat sahaja, tidak lebih daripada itu. Mereka akan jadi jumud ketika berhadapan sistem nilai kehidupan.

Jika mereka mempunyai panduan dan bimbingan, mereka akan menjadikan minat dalam diri mereka sebagai option. Kalau mereka seorang pelajar perubatan, tanam sikap supaya benar-benar menjadi seorang doktor, berjiwa dan bernaluri doktor yang merawat bukan sekadar memberi deskripsi ubat. Mereka akan menjadikan minat mereka sebagai aktiviti kedua mereka.

Buatlah pilihan terbaik berdasarkan minat, bukan ikut-ikut teman kelak kalian akan penat. Mudah lesu dalam bidang itu.

Untuk kejayaan menyeluruh, penekanan perlu kepada penserasian atau pengimbangan pada kedua-dua hujung dengan memastikan bukan sahaja pengurusan masa, menghadiri kelas tambahan, latihan tubi, bersengkang mata baca buku tapi keupayaan kita berhubung dengan Maha Pemberi Kejayaan.

MULA DARI REBUNG

Bila kita berbicara tentang sebuah pokok bunga segar, tidak layu, pasti kita tahu kenapa terjadi keadaan sedemikian rupa. Sudah pasti cukup pengairan pada akar, tidak terlindung dari mendapat cahaya, tiada serangga perosak. Maka kita mula sedar, bahawa mendapat hasil seumpama ini bukan jalan mudah, perlu pada perhatian dan pemerhatian. Kita boleh samakan pokok bunga itu tadi adalah anak-anak yang perlu dididik, disuap ilmu, sebagai makanan rohani

Penjaga baik ialah seorang ibu bapa prihatin, melihat kehadapan, masa depan tumbesaran anak-anak mengjangkau jauh ke ufuk timur, mendasar jauh ke bawah perut bumi Ilahi, melambung jauh hingga ke angkasa.

Wahai ibu bapa ketahuilah, kelahiran anak-anak di dunia ini adalah pelajaran baru bagi kalian, ianya satu amanah perlu dipikul. Menjadi ibu dan bapa yang tidak mengherdik anak-anak dengan kata-kata kesat, tidak mendoakan yang bukan-bukan kepada anak. Kata-kata herdikan, akan menjadi doa yang akhirnya membinasakan anak-anak secara tidak sengaja.

Kesian kepada ibu bapa kebal menahan penat bekerja siang malam berpanasan, bersejukan tapi kurang kebal dalam mendidik anak-anak. Ujian barangkali kita nampak di luar sahaja, sebenarnya ujian daripada anak-anak lebih berat ditanggung, masyarakat tidak pernah kering air mulut mempersoalkan keburukan tangan kita daripada kebaikan.

Sumpah seranah terlekat di birai bibir mereka, ngeri pula bila terkenangkan begitu.

Belajar untuk berkata cukup pada apa yang ada, semua itu bukan penghalang untuk mencari kebahagiaan dan keredhaan di sisi Allah Taala. Rahmat Allah Taala jua penentu segala-galanya, jadikan kekurangan ada untuk kita membina kekuatan. Kurang tidak bererti kita lemah, lemahnya kita sebab kita kurang bersedia mencanang hidup ruh islami dalam dunia serba mati ini.

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal