PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Selasa, Mac 16

Pulihkan CINTA Kalian

“HANIS pulang lewat hari ini, ada banyak kerja di pejabat. Hanis minta maaf sebab terpaksa pulang lewat, dan lambat sediakan juadah makan malam buat abang..” suara ikhlas si isteri meredakan suasana, tatkala si suami juga penat bekerja menanti kepulangan permaisuri ke pangkuan.

“Hanis buatlah kerja tu, itu amanah hanis dengan Allah... amanah hanis dengan majikan, lagipun abang dah biasa macam ni masa-masa bujang dulu” si suami pula menyapa lembut, terus menempa ke hati si isteri mendamaikan petang seakan-akan kelam. Bebanan kian terasa, tatkala pernikahan baru mencecah usia tiga bulan, inai pun masih merah di jari.

Dia juga tahu amanah mahupun tanggungjawab itu harus dipikul, bukan dilepaskan atau dibiarkan. Orang normal akan tahu bebanan sebagai pasangan suami isteri itu bukan mudah selepas mereka berada sendiri di alam tersebut. Dulu memang tiada perancangan pun dalam buku catatan sebelum kahwin, yang ada hanya jumlah hantaran, bajet kenduri, kad jemputan, lokasi kahwin, mak andam, sewa kanopi, rahsia malam pertama, tanpa tersentuh apatah lagi menyentuh soal tanggungjawab, sedangkan perkahwinan itu amanah, katanya cukup kursus pra-perkahwinan.

Aduh...

Mulut memang mudah menutur, apakah akan sepersis perilaku?

Kita mudah menghadam nota-nota cinta di dalam drama bersiri, telenovela latin, di helaian buku-buku novel atau cerpen, tapi adakala benar juga bila sampai pada babak rumahtangga mithali, rumahtangga kecoh, rumahtangga hancur ianya berlalu bagaikan air, tidak ada muhasabah, air mata bercucuran kerana terlalu emosi menonton drama kegemaran, tapi kita lupa pada saat itu jua kita akan dan pasti mendepani keadaan sama dengan pasangan masing-masing kelak.

Kita jiwa hamba, jiwa kita kecil dan mudah tersentuh bila perasaan tidak sebulu dengan fitrah, di mana fitrah manusia normal senang hanyut kalau tiada iman sebagai pendinding. Kebal kita bukan kerana kuat, atau sihat tubuh badan, tapi kuat iman menahan asakan bak jarum menusuk halus di setiap penjuru. Kadang-kadang bila pernikahan terbina bukan lagi kerana cinta kepada Ilahi, maka tumbuhlah tunas lalang-lalang menghalang cahaya cinta Ilahi dari terus menerjah ke sumur hati.

Mulalah timbul bibit-bibit di hati mahu berpisah, baik hidup membujang daripada terus dilayan seperti ini. Kita juga lupa bila dah kahwin tiada lagi perfume melekat di badan seperti mula-mula seronok bercinta dulu, yang tinggal hanya bau hangit ketiak si isteri penat pulang kerja. Kini barulah tahu tembelang sebenar pasangan, si suami bangun lewat subuh, si isteri balik lewat malam tanpa izin.

Memang susah mencari seorang adam yang terfikir untuk berkahwin supaya seorang wanita halal baginya itu mengarah jalan menuju ke Syurga. Kita cuma terfikir kehidupan dunia sahaja, bila terdedah soal kahwin hanya berupa material luaran sahaja, tiada lagi pertimbangan rohani. Tiada lagi soal kebahagiaan si dia, kebebasan si dia, mengerti soal dia. Isteri pula berupa alat untuk melepaskan tempias nafsu menggelocak.

Kalian bukan sahaja hipokrit dengan pasangan, malah bersikap munafiq dengan Allah.

Kita mengharapkan dia baik, bagus, tapi tahukah kalian, dia juga teramat menagih kebaikan kita, tanggungjawab kita kepada institusi perkahwinan seperti ikrar kita dulu. Di mana janji-janji manis kalian dulu?

Benar…

Qadha’ dan Qadar adalah ketentuan daripada Maha Esa. Kita merancang, tapi Allah Taala akan menetukan soal jodoh, maut, dan rezeki kita. Berkali-kali saya pesan dulu, tidak penting di mana kita bermula tapi ke mana kita berakhir. Perkahwinan memerlukan komitmen yang tinggi, umpama mengemudi sebuah kapal yang penuh dengan pengisian barang-barang dagangan untuk di layari di tengah-tengah lautan, ia adalah tanggungjawab. Ingat! Laut pula tidak pernah sunyi dari ombak, pelayaran tetap diteruskan, tinggal lagi kebijaksanaan komunikasi antara nakhoda, dan para kelasi.

Seiringkan perjalanan tadbir, dan takdir.



Buku Berteduh Di Kebun Cinta


KENAPA MOTIVASI CINTA?


Bila mengenang balik kenapa saya beriya-iya menulis buku terbaru saya ini; Berteduh Di Kebun Cinta. Bukan mencari populariti, bukan niat saya nak jadikan buku ini best seller, ianya cuma satu anugerah tidak terhingga andai diberi peluang. Namun jauh di sudut hati saya ketika itu, adalah ingin melihat masyarakat kita terdidik dengan nilai kerohanian tinggi, agar muda-mudi remaja kenali diri, suami isteri mengerti, lantas melahirkan institusi keluarga bahagia. Hari ke hari memang kita sering dihadapkan masalah politik tanah air, tapi kita jangan lupa, saban hari, tiap-tiap hari kita juga dihidangkan masalah keruntuhan akhlak, masalah pergaulan bebas, sosial di sana sini, tiada lagi rasa malu asalkan nafsu serakah dapat dipuaskan.

Bayangkan perempuan sudah hilang dara pada usia 13 tahun, ketagihan hubungan seksual, bercinta hingga ke dalam kain, sanggup dibawa kekasih dicintai ke seberang, ini baru kes berjaya didedahkan di dada-dada akhbar tempatan, saya yakin masih banyak lagi berlaku di luar sana, bukan berganda, bahkan berganda-ganda.

Sedih hati, rasa geram pun ada.

Jujurnya, saya cuba untuk menyentuh golongan ini secara lembut, baik remaja, suami isteri, mahupun keluarga mengerti di sebalik kalam cinta diluah, dipatri antara kalian. Jangan lupa ramai juga di kalangan mereka berlatarbelakangkan agama, berkopiah macam pak lebai, bertudung litup, tapi masih gagal bila berhadapan krisis hati, soal cinta. Benteng iman perlu diperkuatkan dari rebung lagi, ajar anak-anak, didik mereka kenal cinta dan Pencipta Cinta.

Cinta adalah sesuatu sering kita bicarakan, cuma cara dan kaedah kita bercinta sahaja berbeda, perlu pada penghayatan mendalam. Cinta kita mahukan adalah bersalut redha Ilahi, cinta kita kepada pasangan kerana cinta kita kepada Ilahi, usahlah pula kalian halalkan cinta sebelum kahwin kerana ianya penuh noda. Berilah cinta kalian sepenuhnya kepada pasangan, si isteri pula usahlah pinta (talak) apa yang ada pada si suami sahaja.

Buatlah sesuatu atas dasar mencari redha Allah Taala, walaupun perlakuan tidak semudah tutur kata. Perjuangan itu memang memenatkan, kadangkala mengundang rasa putus asa. Ketahuilah, penat itulah bakal melahirkan ‘izzah seseorang hamba, dan ketabahan tiada nilai di sisi Allah Taala.

Duhai isteri... belajarlah untuk menjadi sekuat Siti Hajar, seteguh Siti Fatimah bila berhadapan hidup serba kurang, tapi cinta mereka kerana dan kepada Allah tidak pernah kurang. Inilah mahar kalian perlu dibayar demi meraih kekuatan cinta abadi dan iman yang kukuh. Segala-galanya kerana Allah, lillahi Taala.

Benarlah kata orang; Allah Taala bukan sahaja menguji cinta kita kepadanya tapi cinta kita kepada-Nya. Pulihkan cinta kalian kepada-Nya, demi cinta kalian kepadanya.


1 komentar:

Rezza Khanafiah on 16 Mac 2010 pada 3:04 PG berkata...

p/s: Tempahan masih diterima sebelum pelancaran kerana terhad 1000 unit sahaja, bimbang tiada lagi tersisa kemudian nanti.

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal