Hari terakhir peperiksaan.
Kaki melangkah penuh satria. Kelibat teman-teman dari Rusia, dan Jerman kelihatan berkumpul di ruang-legar dewan. Riak wajah masing-masing nampak tenang dan ceria. Puas, melepaskan segala yang meruak di liang-liang kepala sepanjang tiga minggu menyimpan maklumat penting untuk dilakarkan pada kertas berjalur biru.
Puas.... Alhamdulillah.
Berjalan-jalan melalui celah-celah bangunan using. Kelambakan rumah kedai yang dibangunkan berhampiran antara satu bangunan dengan bangunan lain memusingkan lagi pandangan berpinar-pinar, sesambil memerhatikan gelagat bangsa dan bumi yang pernah dimuliakan oleh Allah Taala suatu masa dahulu.
Tiang-tiang lama dirutuhkan, dibina tiang baru.
Perlakuan sama dirakam setiap hari, sepanjang musin peperiksaan yang menduga pada setiap sudut, pada kesabaran, pada kesedian dan pada kemampuan.
Melihat karenah bangsa arab sudah lali dibuatnya, kekadang saya naik meluat, hikmah tersirat sebalik diutuskan Rasul adalah untuk mendidik hati supaya jadi lembut, hormat orang lain, jangan ada khianat, jujur dalam timbangan, dan segala kebaikan melembutkan hati yang telah ‘mati’ budi.
Roh kebaikan melemahkan roh hitam.
Alhamdulillah, satu coretan kenangan yang mengusik jiwa dan menggoncangkan iman untuk berusaha sedaya upaya mengambil iktibar dari setiap saat yang kita lalui.
Satu coretan keindahan yang membuatkan kita semua belajar untuk bukan sahaja tahu, tetapi berusaha memahami sedalam-dalamnya dan menghayati dengan sebenar-benarnya makna sebuah perjalanan yang diredhai Allah Taala.
Sememangnya, mempelajari dengan alam sangat indah dan mahal.
Terlalu mahal.
Tiada apa yang bisa menggantikan perjalanan hidup ini selepas terangkat roh bertamu dipersimpangan antara kebahagian dan keseksaan. Sangat tidak terkira nilainya dan tidak mampu diucap oleh kata-kata. Hanya hati yang tulus ikhlas mengerti segalanya.
“Belajarlah dari alam dan ambillah pengajaran”
Kata-kata ahli tasawwuf sentiasa jadi ubat dalam pahit bila mengenangkan sisa-sisa perjuangan belum habis ini. Carilah Tuhan yang Satu, daripada terus menjadi hamba kepada tuhan-tuhan palsu. Sungguh hina terpalit selepas sedar, berubah tiada halangan, namun kerugian kelmarin pasti dikenang yang bisa menjadi duri dalam daging.
Teramat sakit.
KUNCI IKHLAS
Manusia sihat yang makan vitamin, tubuhnya akan terus sihat, dan mungkin lebih sihat. Manusia sakit yang makan vitamin, apa jenis vitamin sekalipun, sakitnya tidak akan hilang kecuali dia menjumpai PENAWAR.
Penawarnya cuma satu, iaitu IKLAS.
Orang yang ikhlas, akan tenang dan senang dalam melaksanakan sesuatu, kerana dia mempunyai hanya ada satu ‘hati’ untuk dijaga dan diberi perhatian, iaitu Allah Taala.
Orang yang tidak ikhlas, akan gelisah dan resah dalam hampir setiap tindakan, kerana dia mempunyai banyak hati untuk dijaga dan diberi perhatian, insan-insan di sekeliling dia yang pelbagai ragam dan kemahuan.
Memang takkan mampu nak puaskan hati semua namun, sekurang-kurangnya kita tahu yang mana lebih utama, kehendak kita, kehendak manusia, atau kehendak Dia.
Kata-kata 'cukup' yangg kadang-kadang terlahir di dalam hati ketika beramal ibadat sebenarnya hanyalah hasutan syaitan. Kemudiannya akan mengheret kita kembali ke situasi jiwa yang kosong dan sia-sia.
Kita terkadang pernah mengalami situasi ini, dan pasti ada. Tapi lama kelamaan, kemudian tersedar. Rasa marah yang tidak terkata, tanda sesal teramat sangat. Ada yang berbisik di dalam hati;
“Ini cuma hasutan syaitan...”
Kita sendiri selalu berfikir, apakah ada jalan yang terbaik untuk tidak mengatakan ‘cukup’ dalam mengerjakan amal ibadat. Terkadang kita tidak sedar, secara perlahan-lahan syaitan sedang mengheret kita ke arah jiwa yang kosong dan sia-sia kembali. Naudzubillah.
Tapi sedikit sebanyak, bila kita lebih menumpukan masa santai kita untuk berada di tempat-tempat ilmu, atau menempatkan hati pada layar ilmu, mendengar audio kupasan agama, laman-laman ilmiah, apatah lagi diri sendiri turut terbabit untuk menyumbang idea, berkongsi ilmu dari terus terlopong masa terbuang begitu sahaja.
Ikhlaskanlah diri kepada-Nya.
KINI KEMBALI
Kini saya merasakan menulis bukan sahaja sebagai memenuhi masa lapang, mengembangkan bakat atau melempiaskan minat pada menulis, bahkan sudah menjadi satu amanah kepada saya untuk ‘memberi’ dan ‘berkongsi’, kerana pasti setiap masa akan ada pengunjung yang setia menanti-nanti buah tangan terbaru buat mengeyangkan minda yang kosong.
Jazakumullahu al-khair al-jaza’...
Walaupun fenomena sekarang cukup berbeza, kerana kebanyakan (bukan semua) orang menulis hanya untuk mencari untung, melihat hasil sementara daripada manfaat berpanjangan. Kembali pada nawaitu masing-masing. Kita akan dapat apa yang mahu, apa yang dicari.
Ilmu tidak akan luput ditelan zaman, seperti terhakis sri wajah dimamah usia, seperti pudarnya warna tatkala dicarit hujan dan panas. Inilah yang dibuktikan oleh para sarjana dan ilmuwan Islam sejak berabad lama dahulu, walaupun jasad sudah menjadi debu-debu dihiris bumi, namun karya-karya yang ditinggalkan, masih digunakan hingga kini.
Mereka inilah sumber inspirasi ‘memberi’. Medan perjuangan cukup luas.
Doakan saya agar dapat terus menerus memimpin hati-hati yang dahagakan ilmu, lantas ‘berhati-hati’ dari ‘mati’ memilih jalan sunnah yang ditinggalkan, agar tercetus jiwa hamba yang men‘taati’.
Mudah-mudahan kita semua tahu dan mengerti.
ameen
2 komentar:
amiin...
-moga kita semua dalam redha Allah.amiin.
Insya-Allah.. Bitaufiq Wannajah.. Amennn..
Catat Ulasan