Melakonkan watak manusia pelbagai, bagai menyediakan sebuah kebun kehidupan. Di sana proses membatas, menanam, mengairi, dan membaja telah menjadi rutin harian kepada si petani (pelakon), sudah tentu kegiatan itu dilakukan setiap hari, saban waktu dan ketika.
Bukan mudah untuk menuai hasilnya dalam erti kata sebenar. Kita harus benar-benar memerhati, menjaga dan menghabiskan sebahagian sisa hidup pada kebun demi memungut hasil lumayan pada tahap maksima.
Tidak kurang pula ada yang sanggup keluar tika dini hari meredah kedinginan sukma alam, dan pulang di kesenjaan petang, tatkala siang mula merebahkan badan silih berganti malam. Keletihan tiada tara tidak pernah terasa kerana terlindung kepuasan di lubuk hati mendalam.
Permulaan langkah tercipta pada satu kebaikan perlu dikitar berkali-kali, tidak pula terhenti dipertengahan.
Jangan terperangkap dalam ilusi kesempurnaan sebelum hasil dituai. Berilah dan teruslah memberi. Insha-Allah, akan terpinggir juga akhirnya rasa benci, jemu, dan letih oleh karenah, kekurangan atau keburukan hasil tangan. Telah menjadi lumrah manusiawi, tiada yang sempurna.
Ingatlah selalu, terlalu banyak sebab untuk menyintai, berbanding sebab untuk membenci.
Bila erti kepuasan sebenar ditauladani dan ditekuni dari masa ke semasa, maka lahirlah rasa cinta berputik mekar di sanubari. Menjadi idaman setiap makhluk untuk menakluki perasaan tersebut, di hamparan sebuah kedamaian, ketenangan. Hati teruja menikmati keindahannya. Inilah sebuah kebun cinta duniawi.
Inilah rahsia kesuburan kebun cinta.
Bahangnya turut dirasai makhluk lain. Dapat berteduh di bawah rimbun daun-daunnya dan akan dapat pula merasakan keenakan buah-buahnya. Orang yang penuh dengan rasa cinta umpama bunga yang harum. Ia sentiasa menyebarkan keharumannya.
Susulilah Iman dengan perbuatan yang baik. Inilah racun yang membunuh serangga perosak. Penyubur bagi kebun-kebun idaman.
Raihlah dari segala kebaikan seri pada-Nya.
RAIHLAH CINTA-NYA UTAMA
Perjuangan itu pahit, kerana Syurga itu manis.
Kecintaan kepada Allah Taala terlalu mahal. Bayangkan untuk mendapat cinta seorang wanita yang rupawan, jejaka yang hartawan, putera yang bangsawan, itupun sudah terlalu sukar, maka apatah lagi untuk mendapat cinta Allah Dzat yang Maha Agung dan Maha Sempurna ini.
Hanya dengan mengaku lemah di hadapan Allah kita akan memperolehi kekuatan. Hanya dengan mengaku miskin di hadapan Allah kita akan dikayakan-Nya.
Tegasnya, hanya dengan merasai segala sifat kehambaan barulah kita akan mendapat kekuatan, kemuliaan dan kelebihan dalam mengharungi hidup yang penuh onak dan cabaran ini.
Tiada kesukaran, tiada ganjaran. Cuma perlu pada kesabaran dan kebijaksanaan.
Batu permata, intan, emas, dan berlian di sisi manusia teramat bernilai harganya. Memilikinya umpama raja yang menguasai. Tiada siapa berani menolak andai ditawar. Namun semua ini perlu pada usaha yang berpanjangan. Tiada kenal erti penah dan lelah.
Begitulah jua dengan cinta Allah yang hakikatnya jauh lebih tinggi nilainya daripada intan atau permata. Justeru, pasti ada ‘harga’ atau mahar yang mahal terpaksa dibayar untuk mendapatkannya.
Cinta Allah Taala yang begitu agung dan suci, pasti ada tagihannya.
Jalan mencintai Allah Taala tidak semudah yang disangkakan. Sudah adat resam, setiap yang mahal itu, teramat sukar mendapatkannya. Perlu pada usaha mendapatkannya dan mujahadah mempertahankannya.
Mereka sesungguhnya merasa bahagia dalam mengharungi penderitaan, merasa mulia dengan mengorbankan nyawa. Ini semua mudah buat mereka kerana Allah telah melembutkan hati-hati mereka.
Untuk mendapat cinta Allah kita perlu berkorban. Cinta dan pengorbanan sudah sinonim dan tidak sekali-kali dapat dipisahkan. Kita perlu membayar harga cinta itu dengan segala yang ada pada kita. Ianya terletak pada pundak kesetian hati di sebalik pengorbanan sepersis ikrar yang pernah terhambur ketika di alam roh dulu.
وَأَشۡہَدَهُمۡ عَلَىٰٓ أَنفُسِہِمۡ أَلَسۡتُ بِرَبِّكُمۡۖ قَالُواْ بَلَىٰۛ شَهِدۡنَآۛ...
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi…” al-‘Araf (7:172)
Menangislah, selagi air mata tidak kering dari kelompak mata memohon keampunan di atas setiap perlakuan, raihlah cinta-Nya yang hakiki. Jangan jadikan air mata sebagai bukti penyesalan di hari tiada maknanya lagi.
Terimalah cinta hambamu ini Ya Allah…!
HARGA CINTA MANUSIA
Dunia akan menyediakan jalan kepada orang yang mempunyai tujuan. Orang yang sudah mempunyai tujuan, umpama air yang sedang mengalir, tidak payah ditunjukkan ke arah mana hendak mengalir, segala terarah seperti dicerna.
Cinta dengan adanya tujuan, adalah pelengkap kesempurnaan cinta manusia.
Cinta manusia tanpa arah panduan dan tujuan walau bagaimana setia sekalipun, kekadang mengecewakan diri.
Untuk tenang menghadapi keadaan itu, jangan rasa dimiliki dan memiliki kalau bukan pada hak. Cinta suami kepada isteri, cinta ibu bapa kepada anak-anak dan sebaliknya, dan cinta hamba kepada Penciptanya.
Andai timbul juga cinta manusia di taman larangan, cuba atasi secara lembut. Jangan pula cuba untuk bercinta walau mempunyai ‘perasaan’ cinta.
Beritahu secara ikhlas. Jika segala-galanya wajar dan sesuai, usahakan ikatan yang sah secepatnya. Jika tidak mampu melawan arus, bermujahadahlah, berpuasa dan terus berdoa.
Insha-Allah, wanita yang baik untuk lelaki yang baik. Jadi membajai cinta sebelum perkahwinan, ialah dengan berdoa dan berusaha menjadi isteri atau suami yang baik.
Apa persediaannya?
Tentulah ilmu, tarbiah dan kematangan serta keperluan fizikal dan material di tahap yang sederhana.
Cintailah cita-cita. Itu yang paling ideal. Tetapi jika cinta sudah bertandang, dan perkahwinan tidak dapat dielakkan, seiringkanlah cinta itu dengan cita-cita. Insha-Allah, kalau tepat dan kena pada pencaturannya akan datang kuasa luar biasa cinta yang tiada tandingannya.
Cita-cita akan dapat diraih dengan kekuatan luar biasa cinta.
Inilah tanda pengabdian seorang hamba. Pengabdian adalah umpama ‘hadiah’ yang kita ingin berikan kepada Allah Taala sebagai bukti cinta kita. Di saat ini jua cinta Allah akan berkunjung tiba.
Moga inilah ‘hadiah’ ternilai kita kepada-Nya walaupun papa di pandangan lahiriah.
ameen
3 komentar:
salam..membaca falsafah tentang berteduh ini, mengingatkan saya karya Faisal Tehrani, Tunggu Teduh Dulu.
mohon share erh..sbgai renungan buatku di blogku...
Catat Ulasan