BEBERAPA hari lepas, kepala saya agak pusing, rasa seperti nak pecah, ditambah lagi dengan keadaan cuaca dingin makin membisa. Kalau pagi seperti berada dalam peti ais. Hanya Tuhan yang tahu kehendak hati ini, mahu sahaja ditamatkan. Tisu di tangan pula sering-kali merembes hingus yang sedia keluar.
Perlu menghabiskan dua kertas lagi untuk melengkapkan fasa writing test bagi semester ini. Moga ditetapkan hati sentiasa menjadi hamba-Nya sebenar.
Saya perlu berhadapan dua situasi yang memeritkan minggu ini, melunaskan tanggungjawab sebagai pelajar di helaian kertas berjalur biru, dan menyambung semula visa pelajar yang akan berakhir dua hari lagi.
“YA Allah... berilah daku kekuatan” bisik hati kecil saya.
Sedih bila melihat umat Islam sendiri yang malas mencari ilmu sedangkan hidup ini terlalu singkat dan terlalu banyak perkara yang perlu kita lakukn sebagai khalifatullah, hamba Allah dan da’ie ila-Allah. Kita sering alpa, lalai, lupa, dan terus menerus leka di samudera buatan tangan manusia ini. Arusnya sungguh deras, mampu menyondol mereka yang masih bermain-main di tepian, mahu mencuba.
Ramai ‘mati lemas’.
Too many things to do, but there’s only too little time... common sense!
MATA HATI
Andainya mereka tahu bahawa betapa liciknya perancangan musuh-musuh Islam untuk melemahkan mereka. Islam akan menang suatu hari nanti, tapi tanpa usaha dari umat Islam sendiri, mampukah kita berjaya?
Apa jua pekerjaan sering kita lakukan setiap sesuatu sama ada baik dan buruk kita akan tetap diuji oleh-Nya supaya kita sebagai umat yang diberi perasaan, emosi dan akal dapat merasai, meluahkan isi hati dan berfikir sendiri akan kehadiran Allah Taala dalam setiap gerak hati kita untuk menjadikan diri ini lebih beriman dan juga memperingati diri supaya ingatkan yang Maha Satu.
Kadang-kadang mata manusia kabur, teramat kabur... nampak tapi buat-buat tidak nampak, lihat tapi ‘buta’. Akibat kehendak nafsu lebih terang dan jelas diletakkan di hadapan daripada kehendak iman yang tersembunyi, kerana mengejar kebahagian ‘palsu’ diutamakan hingga meninggalkan kebahagian disebalik keperihan. Kadang-kadang manusia tahu kesilapan silam, tahu perit badan menanggung, tapi manusia tetap manusia bukan malaikat, memberi seribu alasan di penjuru hati belum bersedia melangkah setapak ke arah kebaikan.
Memang benarlah, jarang manusia yang mengingati atau mengenang kejahatan, kekurangannya daripada ramai yang mengingati jasa baik dan perbuatan baiknya. Mengingati sesuatu keburukan diri memberi kita rasa insaf dan sesal kerana pernah buat sesuatu yang Allah tidak suka. Tiada apa yang lebih buruk daripada perkara yang Allah Taala tidak suka.
Membuat perancangan menjadi hamba Allah perlu menyusun jadual yang selaras dengan undang-undang Islam (syari-‘atullah), di samping memberi ketaatan pada undang-undang manusia selagi mana ianya masih menjaga syari-‘at Allah seperti yang telah Islam garis-pandukan. Allah Taala telah menciptakan siang untuk bekerja, mencari rezeki (ibadat jasadiah) dan malam pula adalah untuk berehat (ibadat rohaniah).
ٱللَّهُ ٱلَّذِى جَعَلَ لَكُمُ ٱلَّيۡلَ لِتَسۡكُنُواْ فِيهِ وَٱلنَّهَارَ مُبۡصِرًاۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَذُو فَضۡلٍ عَلَى ٱلنَّاسِ وَلَـٰكِنَّ أَڪۡثَرَ ٱلنَّاسِ لَا يَشۡكُرُونَ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Allah menjadikan malam itu untuk kamu berehat di dalamnya, dan siang itu terang benderang (untuk kamu berusaha). Sesungguhnya Allah sentiasa melimpahkan nikmat-Nya kepada manusia seluruhnya, akan tetapi banyak manusia tidak bersyukur” al-Ghafir (40:61)
Maka, gunakanlah masa yang masih tersisa dengan sebaiknya.
MUHASABAH
Hidup ini adalah ujian.
Harap kita dah buka mata dua pasang ini, mata melihat ke hadapan dan ‘mata hati’ yang bias mengerti sesuatu tersirat dibalik tersurat.
Ibarat kita sebagai petani muda (orang muda dan darah muda) yang sedang bertani untuk bekalan masa hadapan yang kekal. Kadang-kadang kita lupa, alpa rupa-rupanya kita hanya seorang ‘petani’... atau mungkin kerana kita terlalu memandang rendah career sebagai ‘petani’ hingga sanggup buat-buat lupa.
Sungguh terkesan di hati kita kerana di saat ini, musibah yang menimpa membuat hati tidak keruan walaupun tetap yakinkan diri bahawa kita ada Allah Taala. Namun sesekali bila iman diuji, terasa beratnya ujian..
Kesusahan adalah ujian, jangan lupa kesenangan juga terlebih ujian.
Kita perlu sedar dari lamunan sedih, kita tahu berkali-kali dipalit kecewa, kecewa dalam pelajaran, kecewa dalam mendamba kasih kekasih hati, kecewa dalam rumahtangga, kecewa dalam urusan pejabat... ini bukan bermakna Dia tiada, tidak menemani kita di saat ini. Dia menunggu masa dan ketika untuk memberi kita bahagia. Persoalkan diri, adakah kita turut mengingati, memandang Allah ketika saat cerca ini, kalau tidak, jangan salahkan Allah kerana tidak pula ‘memandang’ kalian.
Mudah-mudahan memberi kekuatan dan mengetuk hati yang masih terlena.
0 komentar:
Catat Ulasan