PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Isnin, Februari 22

Bercinta Pun Melalui Ilahi






KAKI saya sedikit terseliuh, tangan memicit-micit lembut buku lali. Saya membuka beg perlahan-lahan, mencapai kitab yang baru di beli di kedai kepunyaan seorang ammu (Pak Cik) di sebelah Masjid al-Azhar.

Aduhhh... penatnya hari ni tisu merembes peluh yang keluar dari liang roma dahi.

Buku cetakan pada tahun 1998 masih berbalut baik, habuk masih kelihatan, tangan mengusap-usap, mulut menghembus manja setiap penjuru kitab. Saya mencermati halaman demi halaman, halaman kandungan disediakan dihadam, sambil bahu menongkat di tiang masjid. Mata berkaca-kaca menatapi hidangan pada bahagian mukaddimah.

Ukhwatul Muslim Fil-Islam.

Pagi tadi sempat saya bersembang dengan seorang teman dari Indonesia, Ustadz Adroesy, dibesarkan di Makah sedari kecil, tapi tidak boleh berbahasa Indonesia. Tanpa dirancang pertemuan tersebut, meleret-leret panjang hingga ke Zohor. Beliau cukup peka, prihatin dengan nasib rakyat Palestin, berhujah seperti mengalahkan ahli pidato di parlimen. Saya cuba mencelah, dan berkongsi pendapat peribadi. Katanya umat Islam di seluruh dunia masih berbasah-basi dalam menentang kekejaman zionis, acuh tidak acuh membantu pertahankan hak pribumi mereka.

Semua kita adalah bersaudara, berukhuwwah, mempunyai hubungan. Bererti kita juga mempunyai hak ke atas saudara kita lain, mana mungkin setiap permasalah hukum seputar masalah muamalat tidak pernah menyentuh perihal hubungan sesama manusia, hatta dalam bab munakahat hubungan antara pihak pasangan, ahli keluarga, saudara-mara juga disentuhkan, apa kurangnya masalah jinayat adanya Qadhi, penjenayah, pihak berkuasa dan sebagainya, ini juga bentuk hubungan.

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

Allah Taala berfirman, bermaksud:Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan bertakwalah kepada Allah, supaya kamu mendapat rahmat al-Hujurat (49:10)

Jangan kita lupa, bab ibadat juga apa kurangnya, hubungan antara hamba dan Rabb disebut, menjaga pertalian secara hisiyyun (batin, qalb), dalaman dipertautkan tanda pengabdian, taat kita pada setiap suruhan, serta larangan. Kita rasa bertanggungjawab, rasa prihatin, turut pilu dengan kepiluan saudara lain, turut meletakkan diri di setiap masalah saudara lain, inilah tanda hubungan kita, ukhuwwah kita dengan Pencipta Ukhuwwah, al-Khaliq. Kita sanggup berlapar, andai saudara lain berada dalam kebulur, kita sanggup buat apa sahaja.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda; Perumpamaan orang-orang beriman dalam kecintaan, kelembutan dan kasih sayang di antara mereka ibarat satu tubuh. Jika salah satu anggota sakit, maka seluruh anggota turut merasakannya (dengan tetap berjaga dan demam) (Hadith Imam Muslim dan Imam Ahmad)

Inilah ruh ukhuwwah yang sebenar.

BERHUBUNG MELALUI ALLAH

Adakalanya kita silap, kita begitu asyik berukhuwwah, sibuk berusrah tapi kita jarang hisab, sebenarnya semua gerak geri kita ini adalah melalui Allah Taala. Kalau kita benar-benar ikhlas, kita pasti mendahulukan hak Allah, bahawa apa sahaja kita lakukan dalam menyuburkan hubungan sesama manusia adalah kerana Allah, hak Allah. Jika kita dalami, selami pasti setiap perhubungan ini pasti melekat hingga ke hulu hati, susah senang sanggup ditelan bersama, sakit sama dirasai, gembira sama dikongsi, sedih sama diredakan, dipujukkan.

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ

Allah Taala berfirman, bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam, ajaran al-Quran) dan janganlah kamu bercerai-berai... Ali-Imran (3:103)

Kita juga berukhuwwah dengan Allah.

Bagaimana kita mengistilahkan maksud ukhuwwah itu sendiri?

Cuba selami beberapa takdir menimpa kita, takdir manusia di sekeliling, takdir alam terbentang luas, sama ada kita suka atau duka mulut kita tidak terkesan melabuhkan tanda ingatan, terima kasih, takwa, bimbang, biarlah berlalu seperti mengalir air sungai ke muara membawa muatan sampah, bahan pepejal bersama. Kita dikurniakan akal, mata, mulut adalah dipinta berfungsi sebaik mungkin, akui kebesaran Ilahi. Kerana kasih, dia turunkan hujan untuk kita bersyukur nikmat besar, kesan daripada hujan menumbuhi tanaman, Dia juga menurunkan bahana gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapai untuk kita redha, dan tetap sahaja bersyukur kebaikan daripadanya kerana kesan cukup mendalam, kita akan sentiasa akui keimanan kepada Dzat Maha Besar.

Inilah jua keterikatan kita sebagai hamba dengan al-Khaliq, hanya melalui perantaraan kalam alam, Dia berbicara dengan kita, berkomunikasi dengan hamba-Nya, ukhuwwah Ilahi sentiasa tersingkap di balik tabir gempa bumi, tsunami, letusan gunung berapi, susah hidup, dan sebagainya. Alam ini sedang berbicara, hakikatnya datang daripada Allah Taala. Jagalah ukhuwwah ini, bimbang kita tidak berkesempatan lagi.

Bacalah kalam Ilahi, di sana padat denga kisah mengenai alam, hubungan manusia dan Pencipta melalui alam.

كِتَبُ اللهِ هُوَ حَبْلُ اللهِ الْمَمْدُوْدُ مِنَ السِّمَآءِ اِلَى اْلاَرْضِ

Rasulullah s.a.w pernah bersabda, bermaksud: Kitab Allah (al-Quran) ia adalah tali Allah yang mengikat (menghubung) dari langit ke bumi (Hadith Abu Sa-‘ed)

Allah Taala melengkapi para hamba-Nya banyak kelebihan berbanding makhluk Allah lain, iaitu perasaan. Perasaan marah, tenang, sabar, kasih dan benci. Perasaan cinta, kasih sayang antara suami isteri, ibu bapa dan anak-anak, kepada saudara mara, kaum kerabat, dan negara. Tautan ukhuwwah dan rasa kasih sayang didirikan atas rasa keimanan kerana Allah adalah disebabkan kepercayaan dan rasa ketundukan kita kepada Allah Taala, talian hubungan dengan Allah tetap utuh. Rasa keimanan ialah rasa kepercayaan kepada Allah. Kepercayaan yang kuat bahawa dia wujud dan kita berkasih sayang dan marah atas kerana-Nya.

BERCINTA MELALUI ALLAH

Manusia yang diciptakan oleh Allah adalah sama sahaja, membedakan antara mereka adalah takwa (taqwa), mengapainya adalah melalui usaha dan ikhtiar kita untuk menjadi terbaik. Bila ada usaha untuk membangunkan diri, biiznillah akan dipermudah jalan ke arah-Nya. Saya yakin bila kita berada di bawah, kita perlu yakin bahawa hidup ini msih memerlukan kita untuk melakar cebisan pengorbanan, maka lahirlah cinta.

Cinta adalah pengorbanan, kepercayaan.

Saya yakin lagi percaya tak ramai rakyat Malaysia yang memahami isu Palestin. Sejarahnya yang tiada dalam helaian buku teks sekolah, pastinya menyebabkan kita kurang sensitif. Mungkin masih ramai umat Islam yang tidak mampu menjawab siapakah Yahudi dan Isreal, mengapa perlu kita tentang mereka dan mengapa perlu bumi Palestin dipertahankan, cubalah tanyakan sesiapa sahaja berdekatan anda untuk nafikan dakwaan ini.

Berapa ramai yang hanya memandang berita Palestin tidak lebih daripada hanya sebuah berita, berapa ramai tahu mengenai Shabra dan Shatil juga intifada? Pastinya ada, tetapi pastinya hanya sedikit daripada yang banyak.

Untuk turun berjihad di bumi Palestin sama sekali kita tidak mampu, sekadar mendakwa ‘aku mampu’ dengan mulut hanyalah tidak lebih daripada menipu diri sendiri. Jadi mengapa tidak kita usahakan agar masyarakat Islam dan dunia memahami isu ini dengan pemahaman yang jelas, bukan fahaman yang dibentuk oleh Yahudi dan ejen-ejen sekular.

Kalau kita tahu, dan mahu cukuplah kerana ukhuwwah, persaudaraan kita. Jauh bumi Palestin pada pandangan mata tapi dekat pada ‘pandangan’ hati, berbeda adab, bahasa, dan bangsa tapi kita berhubung kerana cinta pada agama, iman, saudara seIslam. Doakan mereka sejahtera, menyalurkan bantuan material, terus istiqamah memboikot barangan keluaran Yahudi. Sekali kita peduli, seratus kali Allah Taala peduli kita.

Indah sungguh berukhuwwah andai tersalut bersama iman, terpahat melalui cinta hubungan sesama muslim, kerana cinta kita tidak terasa luka sengsara, kerana cinta kita dilamun asmara beribadat tahap maksima, serasa hilang dunia dari ingatan, kerana cinta disalurkan melalui redha Ilahi. Semangat tepu bisa bertukar menjadi mampu.

Benarlah, kita bercinta pun melalui Ilahi.



0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal