PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Selasa, Februari 23

Kurang Tidak Bererti Lemah






SAYA dibesarkan dalam keluarga serba kekurangan, pas-pasan. Dari hari ke hari, kami cuba melawan kekurangan ada bagi memastikan kami tidak akan ‘mati’ dalam serba kelemahan, kurang dan lemah sesuatu yang abstrak, jauh perbezaan maknanya.

Hidup dalam serba kekurangan membuat kami lebih efektif dan berdisiplin mendepani masalah sosial, sudut world-view menjadi terancang, keinginan kami untuk berjaya makin luas dan memuncak. Di samping serba kekurangan, kami cuba sebaik mungkin agar tidak bergelumang dalam serba kelemahan, kelak akan memudarkan sebuah mujahadah hingga terjunam ke dasar low-spirit.

Ibu tidak pernah kecewakan anak-anak ibu. Ibu akan cuba berikan terbaik buat anak-anak ibu, dan tidak mengurangi keperluan jasmani dan rohani. Usahlah kalian miskin jiwa hanya kerana kita miskin harta ibu menanam kata-kata semangat dalam ruh jiwa kami.

Bijak ibu dan abah mengurus kehidupan kami, hingga hari ini, selepas hampir satu dekad kami keluar dari pembelengguan serba kekurangan, tetap kami disuap agar usah alpa, usah lupa bahawa kehidupan baik adalah berterusan berada dalam sikap ‘serba kekurangan, hingga tidak mengurangi desus ruang-ruang untuk berjaya, bukan hanya sekali, dua kali, bahkan berkali-kali. Semua ini ada dalam satu pakej, iaitu sabar, kreatif, dan tekun.

Ya, ilmu.

Semua ini akan membentuk pencapaian dalam ilmu pada tahap tertinggi, hasilnya juga luar biasa. Ilmu adalah sebekas pengetahuan berjaya memimpin diri menjadi serba baik, bermanfaat, dan melateralkan kaedah thinking di luar kotak, mengjangkau jauh ke hadapan. Tidak pernah kurang dengan kelemahan yang ada.

Nikmat kesenangan, kekayaan tidak semua orang boleh mengecapi, tapi ilmu dan segunung pengetahuan sesiapa sahaja, miskin, sederhana, kaya bisa mengecapi, merasai manis menuntut ilmu, cuma hanya kemampuan sahaja membataskan seseorang itu merasai tahap penguasaan ilmu pelbagai.

قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَ‌ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُوْلُواْ ٱلۡأَلۡبَـٰبِ

Allah Taala berfirman, bermaksud: Katakanlah adakah sama orang-orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu? Sesungguhnya mereka yang mendapat peringatan dan petunjuk hanyalah di kalangan hambanya yang berilmu dan bijaksana adz-Dzumar (39:9)

Tiada penafian pada sebujur nafsu yang tidak terasuh molek akan membunuh cara fikir yang lateral. Analoginya mudah;

Perhatikan ini, ada orang miskin tidurnya nyaman sekali meskipun beratapkan rumbia atau langit Tuhan. Ada pula orang kaya tidurnya resah sekali meski beratapkan syiling buatan moden dan baik sekali.

Perhatikan ini lagi, ada orang miskin makan kenyang sekali meskipun ikan kering. Ada pula orang kaya makan lauknya banyak sekali tetapi tidak pernah puas hati.

Jangan sempitkan istilah, kerana kesannya juga cukup mendalam.

Dalam zaman moden ini pengertian ilmu telah disempitkan dan dimodenkan kepada pengetahuan maklumat dan kemahiran sahaja. Dalam pengertian barat moden, ilmu hanyalah merujuk kepada pengenalan atau persepsi yang jelas tentang fakta. Fakta pula merujuk kepada perkara-perkara yang boleh ditanggapi oleh pancaindera zahir dan bersifat empiris.

Kalau kita membaca sejarah, maka kita akan melihat bahawa agama, seni, ilmu pengetahuan dan teknologi itu saling berkaitan dan saling mendukung dalam perkembangan sebuah peradaban manusia. Teknologi tidak tumbuh di ruang hampa, ia tumbuh dalam interaksinya dengan ilmu pengetahuan, seni dan agama. Demikian juga halnya dengan ilmu pengetahuan, seni atau agama itu sendiri masing-masing tumbuh dalam interaksinya satu sama lain.

Moral, etika, delusi dan kreativiti manusia juga saling berkaitan dan saling dukung-mendukung dalam perkembangan sebuah peradaban. Kreativiti tidak tumbuh di ruang hampa, ia tumbuh dalam interaksinya dengan moral, etika dan delusi. Demikian juga halnya dengan moral, etika atau delusi masing-masing tumbuh dalam interaksinya satu sama lain.

Intelektual adalah seseorang yang menaruh dan memberi perhatian yang tulus, mendalam dan luas terhadap masalah-masalah sosial budaya masyarakat di mana dia berada. Para sarjana dan ilmuwan belum tentu dinobatkan sebagai ahli intelek andai kepakaran dan ilmunya itu tidak boleh digunapakai atau at least dirasai oleh manusia lain.

RAIKAN ILMU

Setiap cabang ilmu sememangnya ada pintu dan tertib yang harus dilalui untuk sampai ke peringkat tertinggi. Untuk memahami ilmu Islam itu, sememangnya memerlukan pendekatan yang betul. Baru pandai merangkak, jangan pula terus berangan mahu berlari. Pandai untuk bertatih dari bawah, jangan pula memandulkan cita-cita untuk terus maju, cuma perhatikan kelayakan yang ada sebelum terjun masuk.

Apabila saya menyebut kenalah batas dan belajarlah membataskan diri. Saya tidak bermaksud yang ilmu syari-‘ah atau apa-apa ilmu di dunia ini hanya layak untuk orang tertentu sahaja. Tetapi ia adalah seperti papan tanda di jalanraya, agar kita memandu mengikut kesesuaian sekitar kita dan jenis kereta yang kita pandu. Jalan memang jalan Islam, tetapi bukan semua lencongan boleh speed sampai 100km/h.

Bukan semua naik Ferrari. Ramai yang hanya memandu Kelisa, maka berusahalah wahai pemandu Kelisa agar sampai ke tahap boleh memandu Ferrari. Caranya bekerja keras di kelas pengajian, bukan memandu Kelisa seperti Ferrari, lalu berangan-angan mencari mati.

Isu sunni dan syi-‘ah bukan isu baru. Perbezaan salaf khalaf bukan isu baru. Semuanya dah establish zaman berzaman. Semuanya sudah ada metod sendiri. Maka isu-isu ini tidak boleh dipersalahkan sebagai punca kita jadi keliru.

Tapi isu-isu ini dulu isu orang mengaji, isu orang nak belajar memasak ilmu. Tapi ia telah diturun taraf menjadi isu orang ramai. Macam isu tol dan rasuah pemimpin negara. Produk sistem pendidikan pula semakin melahirkan golongan yang hanya mampu cemerlang dalam silibus sekolah, bukan kepada isu ummah.

Islam telah menghimpun antara agama dan ilmu. Tidak ada sebarang penentangan antara agama dan ilmu kerana dalam Islam, agama itu sendiri adalah ilmu dan ilmu adalah agama. Ilmu menurut perspektif Islam dikenali sebagai sifat, proses dan hasil. Manakala istilah ilmu dalam Islam merangkumi pelbagai perkara iaitu al-Quran, syari-‘ah, sunnah, iman, ilmu kerohanian, hikmah, makrifat, pemikiran, sains dan pendidikan.

Menuntut ilmu pula ada disiplin tersendiri. Janganlah pula kita ingin belajar tentang ilmu permotoran, sibuk nak belajar dengan pakar perpaipan.

Tidakkah salah tu?

Jikalau mahu mendalami ilmu tentang setiap organ manusia (anatomi) untuk seterusnya jadi surgeon perlu kepada satu disiplin yang khusus dan panjang serta tak mungkin boleh dikuasai dengan hanya melayari internet, takkan lah mahu mendalami segala kata-kata Allah dan Rasul-Nya yang begitu luas maksudnya (jawami’ al-kalim) tidak perlu kepada disiplin yang khusus dan tersusun, dan boleh terus jadi pakar bedah al-Quran dan Hadith dengan hanya melayari internet dan membaca artikel atau belajar secara sambil-sambil.

Bukankah diawal-awal lagi kita dah lakukan kesalahan.

BETULKAN NIAT

Ada antara kita yang bercakap tentang kerisauan terhadap sikap siswa-siswi Pengajian Islam sedia ada terhadap ilmu. Tentang sikap belajar hanya untuk peperiksaan, malas, ponteng, meniru, dan tidak thiqah. Namun terdapat satu faktor yang mungkin nampak remeh tetapi agak menggusarkan, iaitu sikap tidak yakin terhadap kemampuan diri untuk meletakkan diri sebaris dengan ulama’ tersohor.

Keutamaan kita pada ilmu agama yang Allah Taala turunkan dah semakin susut. kita tidak merasai miracle al-Quran sebab banyak sungguh ilmu-ilmu agama yang ditulis oleh pelbagai latarbelakang manusia. Kita makin jauh dari Quran dan kitab-kitab yang muktabar.

Kita tidak meletakkan prioriti pada pendidikan agama, terutamanya dalam membentuk tauhid dalam diri, tiada penekanan dalam fasa pendidikan sekolah rendah, pembelajaran asas Fardhu ‘Ain hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Apa yang terlintas di fikiran lebih pada mengutamakan ilmu untuk mendapat pekerjaan, hilang nilai-nilai moral dan value ilmu. Pelajar-pelajar di universiti pun kebanyakannya belajar untuk lulus peperiksaan, tanpa menguji kualiti ilmu dan menghisab diri, namun terlebih malang gagal untuk memperbaiki kemampuan berfikir.

Saya rasa, memang masanya kita bermuhasabah, berbincang, mengusahakan, dan memohon pihak yang ada authority untuk kembalikan nilai-nilai ini. eloklah kita balik kepada ajaran al-Quran dan kitab-kitab dasar agar miracle dan rahsia (roh) al-Quran itu dapat kita rasai semula dalam semua bidang. Jangan jadi seperti;

“Semut Mati Dalam Balang Gula”

suatu metafora yang amat tepat dalam merumuskan situasi ini, bahawa umat binasa bukan sahaja kerana kekurangan ilmu, bahkan mati dalam lambakan ilmu.

Sungguh menggerunkan.

MUHASABAH

Banyak isu yang mencelarukan minda dengan masalah ummah masa kini. Tenggelam punca, dan tidak dapat pastikan di manakah kedudukan kita sekarang. Saya sedikit tertekan kerana tidak tahu bagaimana hendak menyumbang buah fikiran dan tenaga untuk menyelesaikan masalah-masalah ini.

Mungkin atas semangat dan dasar untuk melihat Islam itu kembali ke persada kegemilangan juga menjadikan Islam bukannya untuk orang agama sahaja. Mereka mempelajari Islam dan memberi pandangan berdasarkan Hadith dan al-Quran tanpa terlebih dahulu mengetahui disiplin-disiplin dan metadologi di sebalik miracle al-Quran dan terbitnya Hadith tersebut. Maka bila kita fahami betul-betul, di sinilah kita akan merasakan kekurangan dan kelemahan yang ada berbanding ilmu-ilmu yang diciptakan oleh Allah Taala. Allah Taala tidak pernah gagal memandang kita, melainkan apa yang kita telah sia-sia daripada memandang-Nya.

Pengajian Islam juga perlu direlevankan dengan kehendak semasa. Selain mempunyai asas yang kukuh, pelajar pengajian Islam perlu kemahiran nilai tambah (value added skills) untuk memastikan ilmu yang dipelajari relevan dengan tuntutan massa. Mungkin juga perlu kajian semula (re-evaluation) terhadap isi kandungan (content) dan cara (approach) pengajian Islam.

Saya juga memerhatikan bahawa terdapat penuntut ilmu (tholib al-‘ilm) yang kadang-kala tergesa-gesa dan over-reactive berbanding para guru mereka yang seterusnya menyumbang kepada cacar merba, dan syok sendiri.

Usaha dan tumpuan kita hanya untuk mencari kemenangan di pihak kita tetapi sepatutnya usaha kita untuk mencari keredhaan Allah Taala. Malanglah kita usia yang sedikit apatah lagi di akhir zaman ini masa yang ada berlalu dengan pantas sekali, kita sibuk dengan perkara yang bukan matlamat kita.

Biarkan si luncai dengan labu-labunya, kita sebagai at-tholib, da’ie, intelek (ulul albab) dan khalifah di muka bumi tetap sahaja berjalan menuju keredhaan-Nya. Barulah ekspresi menang dan menang akan bersama kita.

ameen


0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal