Pencapaian terbaik muslim ketika menyambut hari kebesaran Islam, adalah pada penghayatan sebuah ‘pengorbanan’ seperti sambutan Aidil-Adha di seluruh dunia. Hanya melepaskan batuk di tangga.
Umat Islam seluruh dunia bagaikan berpesta meraikan perayaan ini.
Roh Aidil-Adha kekadang berpisah dengan semangat merayakannya.
Kadang-kadang lebih-lebih pula.
Tiada makna dengan mengenakan pakaian serba baru, makanan serba mewah dan mahal, mengambil bahagian dalam penyembelihan haiwan korban, dan sebagainya andai tiada penghayatan ini. Kalaulah manusia faham kehendak agama tanpa keliru antara adat dan ibadat, sudah tentu masing-masing merebut peluang (pahala) ini daripada terbuang.
Mengurangkan kos tenaga pada sia-sia, namun hasil pendapatan lumayan. Ianya ada pada slogan:
“Kami dengar, kami taat”
Allah Taala mencipta akan setiap sesuatu itu ada manfaat dan kena pada keadaan. Kesemuanya saling memerlukan antara satu sama lain. Kaitannya juga unik dan manusia beriman mudah tersentuh mengamatinya.
Maka lihat sahaja alam terbentang ini.
Kerbau besar dan gagah, tetapi sering kegatalan kerana badannya berkutu. Burung gembala kerbau pula tidak pandai memburu makanan, sebaliknya dijadikan Allah gemar pada bersarapan, makan tengah hari dan makan malam dengan hidangan kutu kerbau. Mereka bersinergi untuk saling memberikan keselesaan hidup dan manfaat kepada manusia yang menggunakan kerbau dalam kehidupan.
Malah burung yang kecil itu, dinamakan sebagai gembala kerbau, kerana mungkin peranan sinerginya telah mengekalkan ketenteraman kerbau dari terus gelisah dan turun minyak akibat kegatalan kutu.
Burung itulah gembalanya. Semua orang tahu, apa kesannya jika kerbau itu turun minyak.
Seluruh alam memerlukan antara satu sama lain.
Dalam konteks manusia juga, tiada yang bisa hidup sendiri. Orang kaya sekali pun akan berkehendakan orang bawahan, agar dapat melaksanakan projek dan kerja-kerja yang diusahakannya. Hingga hidup fitrah insani juga, memerlukan tuhan untuk disembah dan ditaati. Kerana di sinilah pergantungan harap mereka di kala berkhalwat atau ditimpa musibah.
Hikmah suatu hal yang subjektif dan perlu ditekuni. Hikmah tidak terletak hanya pada kelembutan. Pasti kebijaksanaan dan pengalaman mampu membantu proses pelaksanaan hikmah dalam apa jua aktiviti.
Hikmah meninggalkan gejala tidak sihat dalam erti pengorbanan, ada juga asas panduan dan cara mengali-manfaatkannya.
Ada pada rawatan.
Dalam usaha untuk meninggalkan gejala yang tidak sihat tersebut, maka mencegahnya terlebih dahulu adalah cara terbaik dari menerima rawatan kemudiannya.
Kesan kotoran degil pada hati belum tentu akan bersih keseluruhannya tanpa kesungguhan mantap lahir dalam diri untuk terus meluturkan kesannya secara kolektif dan berterusan.
Kaedah dan cara mencegah anasir-anasir buruk tersebut dari terus meruncing berleluasa, maka penerapan nilai-nilai murni dalam agama perlu ditanam dan disemadikan ke dasar hati manusia.
Pendidikan dan pentarbiahan di kalangan anak-anak muda perlu digiatkan dari saat ke saat, kerana sudah pasti lenturan pada hatinya cukup mudah dibentuk dan masih dianggap fleksibel.
Peranan dan tanggungjawab generasi muda yang terdidik dengan ilmu pengetahuan amat mustahak di era yang penuh mehnah dan tribulasi dunia yang sukar diduga, dan ianya merupakan pra-syarat ke arah mencapai sebuah keluarga, masyarakat dan negara harmoni.
Ilmu memerlukan elemen akal, alat paling canggih diberikan Allah Taala untuk manusia menjadi khalifah yang berjaya di dunia. Tiada tunduk pada nafsu dan hasutan syaitan.
Mulakanlah dengan didikan Islam sebenar.
Islam telah menyimpulkan dalam akidah bahawa Iman itu adalah keyakinan dalam hati yang terpancar dalam seluruh aspek perbuatan. Apabila perbuatan dan cara berbuat sesuatu tidak diketahui, besar kemungkinan akan lesap daripada jalan syari-‘at Allah Taala. Bagaimana mungkin untuk mengetahui jalan syari-‘at Allah itu jika tidak mengetahui tsaqafah dan pemikiran Islam.
Perlu pada pengorbanan tinggi.
Pengorbanan melawan nafsu.
Pengorbanan meninggalkan maksiat.
Pengorbanan melahirkan Iman.
Tanpa pengorbanan, usaha hanya satu usaha. Mungkin ianya satu tindakan sia-sia bila hasilnya tidak seberapa. Namun bila ‘pengorbanan’ tadi disandarkan dalam gerak usaha tadi, pasti ianya dipandang dari sudut hikmah. Hikmah berlaku, dan cara menangani selepasnya.
Perkahwinan sangat indah tetapi perlu dibina dengan pengertian yang mendalam tentang tanggungjawab dan pengorbanan supaya ia tidak akan menjadi sia-sia. Cinta sahaja tidak cukup.
Hayatilah, fahamilah, dan berkorbanlah.
Moga-moga hikmah haji ini membentuk muslim berjaya dalam urusan dunia dan akhirat yang tiada bertepi.
وَإِنَّ مِن شِيعَتِهِۦ لَإِبۡرَٲهِيمَ …إِذۡ جَآءَ رَبَّهُ ۥ بِقَلۡبٍ۬ سَلِيمٍ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan di antara golongan yang mendokong (seruannya Nuh) itu adalah Ibrahim. Iaitu tatkala beliau mendatangi Tuhannya dengan membawa hati yang sejahtera” al-Saafaat (37:83-84)
Ibunda dan ayahanda, doakan anakda ini di perantaun. Maaf dipinta, berkahi anakda dalam menuntut ilmu. Berkorban mencari ilmu ketika umat manusia makin jahil menungani dunia. Maha suci Allah Tuhan Maha Pengampun dan Memberi Ilmu.
ameen
0 komentar:
Catat Ulasan