Kata kunci ‘mahu’ dan ‘memberi’ adalah sinonim dengan golongan da’ie. Mahu, hanya kerana tidak jenuh menggali ilmu pengetahuan sebagai panduan diri dan mad’u. Manakala memberi adalah proses normal selepas memiliki secara ‘pinjam’ ini.
Acap-kali saya berpencak keseorangan tanpa ada ‘kawan’ menemani jalan berduri ini. Menyampai, memberi, memanfaat sudah tiada kepedulian lagi.
Membuat dua hal dalam satu masa disalah-ertikan, bahkan akan menimbulkan fitnah andai tersilap langkah. Kejayaan mengendalikannya adalah kemuncak pada satu kepercayaan abadi.
Kelompok ini disegani, diikuti.
Contoh:
Mahasiswa yang bergerak aktif dalam persatuan, sudah pasti berdepan ranjau sedikit berbeza berbanding latarbelakang hanya sebagai penuntut ilmu. ‘Memaksa’ diri menguji dua hal dalam satu-satu masa. Andai gagal adalah jalan akhir, maka tidak mustahil fitnah juga mengiringi.
Maka keseimbangan perlu diperkemaskan.
Isu saya dua tiga hari ini seputar masa depan. Memilih antara menuntut ilmu dan menulis.
“Ustaz, saya kurang yakin untuk menulis. Bimbang tidak sempat belajar”
Ini satu kesilapan.
Menuntut ilmu dan menulis adalah dari proses yang sama. Kita menulis bukan hanya dari idea kosong, sudah pasti daripada ilmu diperolehi. Tinggal lagi kesempatan kita mengolah ilmu itu sesuai dengan fenomena semasa, dan bijak membahagikan masa.
Masa juga penting. Ruangan kosong kena dimanfaatkan.
Menulis dapat menajamkan cara kita berfikir secara matang untuk memperolehi idea bernas.
MAHU, MEMBERI
Kemahuan berkongsi sesuatu ilmu mengatasi rasa jemu pada menekuni bahan ilmu.
Memberi tanpa timbul karenah birokrasi ‘malas’.
Kemampuan memberi adalah proses ilmunisasi belajar berpanjangan, dan terhindar dari sikap berpuas hati dengan apa yang ada. Berpegang pada falsafah hidup memberi agar dapat dirasa sudah memadai.
Menulis, membaca sebahagian daripadanya.
Membaca dengan ‘perasaan’ berbeza dari membaca dengan ‘akal’. Menungani perasaan akan menghalakan ‘harap’ pada apa yang kita suka atau mahu, sementara sebaliknya dengan akal akan menyediakan diri untuk tahu.
Tidak hairanlah hasil membaca dengan perasaan selalunya menghasil pemilihan bahan yang dibaca lebih kerap dari membaca dengan akal rational. Timbul kecenderungan suka dan tidak suka, kerana asasnya kemahuan kita banyak dipengaruhi nafsu.
Membaca untuk tahu, tidak terjejas dengan perasaan semata-mata. Keperluan untuk tahu mangatasi mahu, dan keterbukaan menerima sesuatu yang baru, yang belum dipersepsikan oleh pemikiran kita, lebih besar kerana ketiadaan unsur mahukan yang kita mahu.
Apa yang kita tidak suka hari ni tidak semestinya kita tidak suka juga pada hari esoknya. Dan apa yang kita suka hari ini tidak semestinya kita akan suka juga hari kemudian. Inilah lumrah dan fitrah kita sebagai manusia, ada nafsu dan naluri.
Akan timbul juga kesedaran dalam diri, segala masalah dimasak berdasarkan ilmu dan pengalaman diperolehi. Pandangan juga akan berbeza sebelum dan selepas terpalit dari kesedaran tersebut.
Pengalaman dan ilmu melahirkan kesedaran.
Dedahkan minda berketrampilan dan beretika.
Apabila menulis untuk memberi dengan apa yang kita mampu melalui apa yang kita lalui, selalunya akan menghadapi cabaran begini.
Contoh:
seorang suami, kita menulis untuk memberi dari sudut pandangan kita, dan sebagai isteri, mungkin kita turut memberi melalui sudut pandangan kita. Hanya mereka yang menerima dengan mata hati serta menyelami realiti di sebalik setiap perkongsian itu akan mengerti.
Ini berkait rapat soal pandangan (worldview) terpimpin.
UJIAN MANTAPKAN IMAN
Saya padankan semua ini, adalah sekelumit daripada ujian-Nya yang menguji.
Pandangan sisi kebaikan, saya maksimakan sebaik mungkin.
Kalau kita imbau semula sirah nabi, kisah kehidupan rumahtangga baginda diabadikan semata-mata untuk dijadikan teladan kita. Kaedah penyelesaian berdasarkan ilmu dan petunjuk wahyu, tidak bermakna Nabi s.a.w membuka pekung di dada.
Jangan persoalkan andai kebaikan kita dapat.
Redha (Iman) menerima, tidak pula pasrah (kosong).
Ujian merupakan sunnatullah yang telah ditetapkan kepada hamba-hamba yang mengaku beriman. Iman tidak dibuktikan dengan hanya kata-kata atau tulisan yang berbaur agama mahupun jihad luaran. Iman dibuktikan kesabaran di atas ujian yang menimpa. Oleh itu, barulah diketahui sama ada seseorang itu ikhlas atau hanya dalam kepura-puraan.
Bagi mewujudkan satu perasaan memberi yang ikhlas, perlu hapuskan perasaan memiliki. Apa yang kita dapat di dunia ini bukannya bertukar hak milik daripada Allah Taala kepada kita, tetapi hanya diamanahkan kepada kita untuk ditadbir dengan baik.
Andai manusia tiada jiwa sebagai seorang hamba, akan wujud satu jiwa memiliki. Dari sudut norma manusia, memang kebiasaan seseorang itu ada perasaan memiliki. Pengajarannya sebenar hidup ini, ialah membentuk diri untuk menghilangkan jiwa memiliki itu dengan jiwa hamba.
Berserah diri kepada Tuhan.
Setiap ujian yang datang, disambut dengan positif dan kita menjadi lebih baik, maka itu tandanya ujian itu adalah kasih dan sayang Allah Taala kepada kita. Tetapi jika kita didatangi ‘ujian’ yang sama berulang-ulang kali dan tiada peningkatan diri yang berlaku, itu mungkin bukan kasih dan sayang Allah, tetapi kebodohan kita yang ‘disengat’ di tempat yang sama berkali-kali.
Terlintas juga, kenapa orang-orang yang sentiasa berusaha ke arah kebaikan serta dipandang beriman seringkali berdepan dengan pelbagai risiko, kesusahan dan halangan. Rupa-rupanya Allah Taala hendak menjatuhkan rasa ketuanan dalam diri supaya kita sedar hanya seorang hamba, tidak memiliki apa-apa pun.
Bicara Allah Taala juga datang dalam bentuk ujian.
Betapa besarnya kezaliman yang dilakukan ke atas diri sendiri seandainya pemberian hanya mendambakan suatu ganjaran. Mungkin timbul rasa ‘penat’ dalam diri. Namun rasa ingin mengecapi ganjaran atau dibalas dengan sesuatu yang baik datang dengan sendirinya.
Mungkin dari pengaruh kehidupan yang dilalui.
0 komentar:
Catat Ulasan