Ketika berusaha untuk mendapat ketenangan hati dengan merancang perjalanan dalam kanvas hidup, tiba-tiba diri diuji dengan tanggapan orang yang mengatakan tindakan ini pelik. Bahkan hanya berbekalkan usaha dari sudut pemikiran untuk mendapat ketenangan hati, tiada siapa yang sudi menemani jalan ini.
Hanya Dia dan kita, bersama kewaspadaan meredah karenah dunia membulu.
Tangannya mungkin tidak banyak menggenggam, tetapi itu bukan syarat untuk menjadi bahagia di kelana sementara ini. Segalanya ditentukan oleh hati. Hati yang beroleh limpahan rahmat, atau sebaliknya.
Hati yang diruntun rasa damba kasih di hamparan perdu penuh kehinaan, mengakui kebesaran-Nya.
Terkadang ramai yang bercakap benar tetapi tidak tepat. Apa yang dikatakannya memang benar, tetapi tidak melihat kesan di sebalik perkataannya itu. Utaian kalimah yang terkeluar dari mulut seorang hamba, tiada penapis yang menghadkan penggunaanya.
Maka pilihlah antara pahala dan dosa.
Ramai tahu hidup di dunia hanya persinggahan, sebagai tempat bercucuk tanam, namun perbuatan jauh tersasar dari pengetahuan tadi, sekadar melepaskan batuk di tangga. Mulut membenarkan, tapi hati jauh tersasar.
Ramai orang asyik memikirkan untuk membesarkan rumah, membeli kereta besar, melabur di bursa saham, ke kelab-kelab malam, dan sebagainya. Namun lupa dan lalai untuk membesarkan kuburnya nanti. Mungkin dunia ‘ana’ yang punya.
Manusia paling bahagia ialah manusia yang paling redha dengan ketentuan yang ditetapkan oleh Pencipta-Nya dan mengingati mati. Kekadang kitat terlupa bahawa, banyak perkara yang tidak boleh dikawal berbanding perkara yang boleh dikawal. Waspada perlu ketika ini.
Berhati-hati pada sekeping hati.
Memang benar hati yang menentukan kita bahagia atau tidak, tetapi bagaimana untuk mendidik hati supaya dapat menerima ketentuan Allah Taala.
Payah dan susah untuk mendidik hati supaya mensyukuri apa yang ada di depan mata. Redha amat mudah untuk diungkapkan tetapi menerimanya tidak semudah yang disangkakan. Mungkinkah Iman yang terlalu tipis menjadikan ia sebegitu rupa.
Anda mengetahui jalan penyelsaian, selepas ditunjuki jalan menuju-Nya. Tiada siapa mampu memberi hidayah. Pemberian hidayah-Nya selepas kita berusaha untuk berubah. Inilah janji-Nya yang pasti.
Hendak seribu daya.
إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوۡمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُواْ مَا بِأَنفُسِہِمۡۗ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri” ar-Ra’d (13:11)
Hayatilah isi kandungan teks-Nya.
Hati pasti akan tenang dan damai menerokai dunia-Nya ini.
Teks adalah teks. Kita tidak boleh membuangnya begitu sahaja. Ia diperlukan kerana kita yakin ia datang dari Allah Taala.
Namun dalam masa yang sama, teks tersebut mempunyai konteksnya yang tersendiri. Marilah melihat teks bersama dengan konteksnya dan bila hendak melakukan penerapan, memuhasabah, atau mengadaptasi dalam kehidupan seharian, maka sesuaikanlah dengan konteks semasa.
Kita perlu bezakan teks dengan kefahaman terhadap teks. Ini kerana, apabila kita memetik sesuatu teks untuk menyokong pendapat kita, kita sebenarnya sedang memberikan kefahaman kita terhadap teks. Kefahaman kita boleh sahaja dipengaruhi oleh emosi dan kebiasaan masyarakat.
Kita perlu berhati-hati dengan situasi ini.
Kalau Islam itu hanya diletakkan pada nama sahaja tapi tidak dibawa dengan benar dan kefahaman yang betul, walau apapun dalil yang menyokongnya, tetap bukan Islam yang sebenar dibawa. Kita bukan bergerak pada nama. Islam tidak tertegak dengan kata-kata berdegar-degar.
Biarlah parti yang dinamakan itu adalah parti cap ayam sekalipun, tetapi kalau yang dibawanya dengan kefahaman yang benar pada Islam pada hakikat kesedaran Islamnya, maka permasalahan integriti dan sikap tidak akan berlaku. Kerana dia memahami bahawa dia membawakan Islam, dan dia memahami bahawa dalam dia bersikap juga harus dengan sikap Islam.
Raihan; Haji Menuju Allah
Moga kesempatan menunaikan haji di tanah haram membuahkan hati yang bersih, bermula dengan episod baru, hati yang tidak pernah mati, melangkah damai dengan penghayatan Islam sebenarnya.
ameen
3 komentar:
'Terkadang ramai yang bercakap benar tetapi tidak tepat. Apa yang dikatakannya memang benar, tetapi tidak melihat kesan di sebalik perkataannya itu'. Sebuah hakikat yang seringkali berlaku di depan mata..
Susahnya nak melihat dan membaca dengan mata hati.
Kadang-kadang, apa yang diperkatakan tidak dilaksanakan.
Hidayah Allah swt memang dah tersedia.Manusia hanya perlu membuat pilihan yang tepat.
InshaAllah, peringatan buat diri.
Dalam mencari kebahagiaan tidaklah kita perlu pergi jauh...ianya terletak pada diri kita sendiri iaitu hati yang bersih yang sentiasa redha dgn ketentuan Allah ...diatas nikmat disyukuri & diatas dugaan kita bersabar.....insyaAllah lahirlah kebahagiaan dalam diri kita...Wallahuallam
Catat Ulasan