Ilmu merupakan asas yang cukup penting dalam menjalani kehidupan sebagai seorang muslim yang taat akan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya kerana dengan ilmu seseorang dapat mengenali Sang Pencipta dengan lebih dekat dan yakin serta seterusnya dapat meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Taala.
Dengan ilmu seseorang itu dianggap kuat dan gagah untuk mentadbir sesebuah negara mahupun mana-mana organisasi baik berbentuk individu atau berkumpulan, cuma pembawakannya sahaja yang berbeza berdasarkan kreativiti dan tahap penguasaan ilmu tersebut.
Tapi yang jelas tanpa ilmu hidup seseorang itu mungkin terumbang-ambing tanpa arah tuju yang mantap dan jelas, apatah lagi dengan cabaran dunia globalisasi yang amat dahsyat sekarang dan ilmu merupakan benteng yang terakhir untuk menilai baik buruk tindakan kita berdasarkan pengetahuan dan akal yang sihat.
قُلۡ هَلۡ يَسۡتَوِى ٱلَّذِينَ يَعۡلَمُونَ وَٱلَّذِينَ لَا يَعۡلَمُونَۗ
يَرۡفَعِ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ مِنكُمۡ وَٱلَّذِينَ أُوتُواْ ٱلۡعِلۡمَ دَرَجَـٰتٍ۬ۚ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat” al-Mujadalah (58:11)
Kita perlu sedar bahawa penting seseorang itu berilmu apatah lagi bergelar sebagai ad-Da'ie untuk membolehkan kita menyampaikan mesej-mesej dakwah secara berkesan dengan utaian dan ungkapan yang menarik lagi berhikmah supaya dapat mengumpan manusia untuk mengenali Islam dan mentauhidkan diri kepada Allah Taala.
Di sana tidak perlu timbul rasa diskriminasi seseorang untuk menyampaikan ilmu mereka yang dianugerahkan oleh Allah Taala walaupun terdapat di sana perbezaan acuan dan tahap pengetahuan seseorang kerana tugas mereka adalah sama iaitu menyampai dengan menyeru manusia ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran serta beriman kepada Ilahi, seterusnya akan timbul rasa takut kepada Ilahi.
إِنَّمَا يَخۡشَى ٱللَّهَ مِنۡ عِبَادِهِ ٱلۡعُلَمَـٰٓؤُاْۗ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling takut kepada Allah dikalangan hamba-hamba-Nya adalah Ulama'...” Fathir (35:28)
Kita imbau kembali sirah dan sejarah kejadian datuk moyang kita Nabi Adam as. Selepas Allah Taala mencipta Nabi Adam as, perkara utama yang diperintah adalah supaya mengenali kebesaran Allah Taala dengan melihat kejadian ciptaan-Nya dan ianya berkaitan dengan ilmu walaupun pada pemulaannya terdapat keraguan daripada para Malaikat tentang keupayaan manusia (Adam as) menjadi khalifah di bumi dan di langit.
Tetapi setelah Nabi Adam as menonjolkan ilmu-ilmu yang diajar oleh Allah Taala barulah para malaikat sedar ilmu dan pengetahuan Nabi Adam as itu telah mematahkan keraguan mereka tadi.
Begitu juga yang terjadi kepada baginda s.a.w sebelum Nabi menerima watikah perlantikan sebagai seorang Rasul untuk membawa risalah-risalah para Rasul yang terdahulu untuk menyeru golongan kafir Quraisy jahiliah pada masa itu supaya mentauhidkan diri kepada Allah Taala serta mengeluarkan mereka dari kegelapan jahiliah kepada cahaya nur Islam. Nabi telah diajar oleh Malaikat Jibril as dengan ilmu supaya membaca beberapan potongan ayat-ayat al-Quran dari surah al-'Alaq.
ٱقۡرَأۡ بِٱسۡمِ رَبِّكَ ٱلَّذِى خَلَقَ خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ ٱقۡرَأۡ وَرَبُّكَ ٱلۡأَكۡرَمُ
ٱلَّذِى عَلَّمَ بِٱلۡقَلَمِ عَلَّمَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مَا لَمۡ يَعۡلَمۡ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Bacalah dengan nama tuhanmu yang menciptakan. Mencipta manusia dari segumpal darah. Bacalah, dan tuhanmulah Yang Maha Pemurah. Yang mengajar (manusia) dengan perantaraan kalam. Dia yang mengajar kepada manusia apa yang tidak di ketahuinya” al-'Alaq (96:1-5)
Maka jelaslah ilmu memainkan peranan penting dalam menyampaikan seruan dakwah secara berkesan dan kolektif kepada manusia. Belajar merupakan salah satu konsep dalam proses untuk mendapatkan ilmu pengetahuan selain dari mendengar dan ilham daripada Allah Taala baik melalui mimpi mahupun terjaga. Belajar merupakan wadah paling rasional untuk menyampaikan dakwah apatah lagi dalam dunia tanpa sempadan yang menuntut individu bergerak seiring dengan kemajuan dan ketemadunan manusia sejagat.
Namun terpulang kepada kita untuk mencorak strategi yang lebih ampuh bagi menghadapi onak cabaran dan dugaan sebagai seorang pelajar dan pecinta ilmu Allah Taala dan membawa Islam supaya dikenali dan dihormati oleh dunia luar. Orang yang menuntut ilmu merupakan salah satu jihad yang paling besar dan mendapat ganjaran pahala berdasarkan niat seseorang.
Juteru itu, seseorang individu wajib melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan sebelum betul-betul untuk berjinak untuk menyampaikan dakwah (ilmu tersebut) dan ianya perlu selari dan seiring antara ilmu dan dakwah seperti mana yang telah berlaku kepada baginda s.a.w yang mana terus-menerus menerima wahyu (ilmu) semasa baginda berhempas pulas menyampaikan mesej dakwah.
Kita harus sedar kerana ilmu yang kita perolehi adalah pemberian daripada-Nya sama seperti yang telah dikurniakan kepada Nabi Adam as dan baginda Nabi Muhammad s.a.w, maka wajiblah kepada kita menyampaikannya dan sentiasa mensyukurinya, kerana jikalau Allah Taala mahu sebentar sahaja Dia boleh menarik ilmu pemberian-Nya.
Tapia was dengan ilmu juga boleh menelan tuannya, jika hikmah pada ilmu itu tidak dihayati, dan meletakkan kepentingan diri di hadapan tanpa melihat keperluan untuk menyebarkan ilmu secara ikhlas.
Nabi bersabda yang bermaksud: “Azab yang paling pedih yang ditimpakan kepada ummatku adalah mereka yang mempunyai ilmu tetapi tidak memanfaatkannya” (Hadith Riwayar al-Bazar)
ameen
0 komentar:
Catat Ulasan