Belia harapan agama dan ummah.
Dalam usaha meningkatkan intergriti dan kehormatan Islam serta umatnya, maka kita haruslah bersiap sedia untuk menjadi penggerak utama dalam memacu masyarakat dan memimpin tamadun dunia selaras dengan tuntutan Islam yang menjadikan umat Islam sebagai umat terbaik yang diciptakan oleh Allah Taala.
Tanggungjawab besar golongan peringkat belia pada hari ini ialah untuk menjana pembangunan bangsa, negara dan agama. Peranan belia hari ini bukan tertumpu kepada membina kerjaya di samping melakukan aktiviti-aktiviti untuk memenuhi masa lapang sahaja tatapi sepatutnya turut menyumbang ke arah membangunkan modal insan supaya menjadi satu bangsa yang dihormati dan disegani di persada dunia.
Sheikh Yusof al-Qardhawi berkata:
“Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah daripada kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita pada masa hadapan menjadi sebuah negara yang aman makmur.
بَلْدَةُ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُوْرٌ
Tetapi jika keadaan adalah sebaliknya, maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”
Seorang pemikir dan penyair terkenal Mesir, Ahmad Syauqi pernah bermadah yang bermaksud:
“Sesungguhnya sesuatu bangsa itu kuat dan hebat kerana akhlaknya, jika rosak akhlak itu maka bangsa itu akan lenyap dan hilang”
Peranan dan sumbangan generasi muda Islam membina tamadun Islam memang hebat. Dalam sejarah perkembangan Islam, sejak Islam mula bertapak di Mekah sehingga berkembang ke Madinah, golongan muda seperti Saidina Ali Karamallah Wajhah, Saidina Osman Ibni Affan, Abdul Rahman bin Auf, Ibni Zubair, Ibni Abbas dan ramai lagi para sahabat yang menjadi pelopor kepada suatu kebangkitan dan menjadi penggerak kepada arus perdana perubahan masyarakat.
Mereka selaku sahabat Rasulullah s.a.w sentiasa berjuang dan berjihad dalam menegakkan ajaran Allah Taala di muka bumi ini.
Sejarah juga pernah menyaksikan ketangkasan Usamah bin Ziad yang ketika itu berusia lapan belas tahun memimpin satu bala tentera untuk menyerang kerajaan Rom. Begitu juga dengan kehebatan Muhammad al-Fateh membuka Kota Istanbul, Konstantinopal ketika usia beliau 21 tahun.
Peranan golongan muda juga telah disebut di dalam al-Quran di mana kisah Ashabul Kahfi dijadikan contoh sebagai golongan muda yang bersikap berani mempertahankan akidah daripada seorang raja yang zalim.
نَّحۡنُ نَقُصُّ عَلَيۡكَ نَبَأَهُم بِٱلۡحَقِّۚ إِنَّہُمۡ فِتۡيَةٌ ءَامَنُواْ بِرَبِّهِمۡ وَزِدۡنَـٰهُمۡ هُدً۬ى
وَرَبَطۡنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمۡ إِذۡ قَامُواْ فَقَالُواْ رَبُّنَا رَبُّ ٱلسَّمَـٰوَٲتِ وَٱلۡأَرۡضِ لَن نَّدۡعُوَاْ مِن دُونِهِۦۤ إِلَـٰهً۬اۖ لَّقَدۡ قُلۡنَآ إِذً۬ا شَطَطًا
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Kami ceritakan kepadamu (Wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk. Dan kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain daripada-Nya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran” al-Kahfi (18:13-14)
Dalam arus kemodenan dan kemajuan dunia global pada masa ini, golongan belia mengahadapi cabaran yang sangat hebat. golongan ini bukan sahaja terdedah kepada masalah penyalahgunaan dadah yang semakin meruncing, tetapi mereka juga semakin diresapi dengan budaya hedonisme iaitu suka berfoya-foya dan berhibur dengan keterlaluan, terjebak dengan amalan seks bebas, ketagih rokok, berjudi, meminum arak, dan terdedah kepada bahan-bahan lucah serta banyak lagi masalah sosial yang cukup membimbangkan.
Persoalan besar timbul ialah apakah golongan belia yang mengamalkan gaya hidup tidak sihat, mampu untuk memikul amanah mengurus, mentadbir agama dan dapat mempertahankan serta menjamin kedaulatan negara?
…يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ قُوٓاْ أَنفُسَكُمۡ وَأَهۡلِيكُمۡ نَارً۬ا
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka” at-Tahrim (66:6)
Bilangan belia di Malaysia dianggarkan berjumlah seramai 12 juta orang yang mempunyai pelbagai kebolehan dan kepakaran yang baik.
Dalam usaha mencapai matlamat belia sebagai cermin masa hadapan negara, maka mereka perlu meletakkan diri mereka sebagai pencetus, penggerak dan pembina tamadun Islam yang unggul, dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia.
Sekiranya golongan ini mengambil inisiatif untuk melakukan perubahan ke arah kebaikan maka akan lahirlah generasi cemerlang dan negara terbilang, sekaligus akan menaikkan martabat agama dan kedaulatan Negara ke tahap boleh dibanggakan.
وَلۡتَكُن مِّنكُمۡ أُمَّةٌ۬ يَدۡعُونَ إِلَى ٱلۡخَيۡرِ وَيَأۡمُرُونَ بِٱلۡمَعۡرُوفِ وَيَنۡهَوۡنَ عَنِ ٱلۡمُنكَرِۚ وَأُوْلَـٰٓٮِٕكَ هُمُ ٱلۡمُفۡلِحُونَ
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya” ali-Imran (3:104)
ameen
0 komentar:
Catat Ulasan