PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Khamis, Oktober 22

Dakwah: Indah Ukhuwwah Dalam Tarbiah



Ukhuwwah itu indah, dan luas pengertiannya.

Islam mengajar kepada kita bahawa setinggi-tinggi nilai ukhuwwah adalah pada seseorang itu mengutamakan saudaranya melebihi keutamaan dirinya sendiri.

Kita mahu berukhuwwah dengan orang yang tidak minat berukhuwwah, kita tidak boleh paksa dia. Apa yang kita boleh buat ialah terus bersikap terbuka. Kalau ada halangan, biarlah halangan itu bukan di pihak kita.

Ukhuwwah ini akan datang sendiri, apabila manusia kembali kepada sifatnya sebagai seorang hamba, suburkan jiwa hamba.

إِنَّمَا ٱلۡمُؤۡمِنُونَ إِخۡوَةٌ۬ فَأَصۡلِحُواْ بَيۡنَ أَخَوَيۡكُمۡ‌ۚ وَٱتَّقُواْ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمۡ تُرۡحَمُونَ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara. Maka damaikanlah di antara keduannya yang bersaudara. Dan bertakwalah kamu kepada Allah, moga kamu di kalangan orang yang memperolehi rahmat al-Hujarat (49:10)

Ukhuwwah yang berteraskan ayat: sesungguhnya orang-orang yang beriman itu bersaudara, adalah ukhuwwah yang menghasilkan manusia yang mampu berinteraksi serta berhubung dan memesrakan diri dengan manusia yang lain

Sedangkan taasub berkumpulan itu jauh berbeza. Ia adalah suatu kemesraan yang terhad kepada sesama ahli kumpulan. Mereka mesra sesama mereka tetapi tidak dengan orang yang berada di luar lingkungan kumpulan mereka. Orang lain akan hanya dapat menikmati kemesraan itu jika dia diterima sebagai ahli kumpulan tersebut.

Tiada kemesraan di antara insiders dengan outsiders.

Kita kena faham tujuan kita menjadi ahli kumpulan adalah untuk bergerak di dalam satu kekuatan besar, agar lebih tersusun dan bukannya untuk berukhuwwah khusus dengan ahli kumpulan semata-mata.

Setiap yang beriman adalah bersaudara, maka selagi kita beriman dengan Allah Taala, maka kita adalah bersaudara dalam erti kata tidak mengenal darjat, jawatan, kumpulan, hirarki atau apa-apa.

Apabila kita bersama dalam satu kumpulan, maka selalunya kemesraan itu secara automatiknya akan jadi lebih daripada yang lain kerana kesamaan fikrah, hati dan melakukan sebarang aktiviti tanpa ada pergeseran. Lantas hati mudah cenderung buat baik sesamanya. Namun, ini tidak bermaksud, hubungan yang mesra juga tidak boleh dijalinkan dengan manusia lain.

JANGAN SEMPITKAN UKHUWWAH

Ukhuwwah sesama muslim itu amat luas. Pengalaman di negara orang, kita malah dihargai oleh bangsa lain, lebih dari teman-teman dari negara sendiri. Selama penulis berkelanadi bumi barakah ini, tarbiah memainkan peranan cukup penting. Tarbiah pula, jangan kita sempitkan pengertian sebenar.

Kampus kita membuktikan kebenaran penulis ini. Hanya pelajar yang pro-Islamik sahaja yang menjadi ‘pisang goreng panas’ dan masak dalam hal ehwal agama. Hingga ada yang menyertai lebih dua usrah dari kumpulan berlainan dalam satu-satu masa.

Tetapi bagaimana penumpuan terhadap pelajar yang tidak mempunyai asas Islam? Golongan ini tersisih dari permainan ‘rebutan’ kumpulan-kumpulan di kampus.

Bagaimana dengan dakwah. Bila sibuk mencari kader-kader baru untuk jemaah, terlupa pula mereka untuk melakukan dakwah umum terhadap orang Islam yang tidak minat dengan Islam. Adakah jamaah hanya memikirkan tentang pengkaderan ahli dan soal menyelamatkan diri sendiri bila berada dalam jemaah?

Tidak perlu menuding jari kepada kumpulan lain, cukup soalkan diri kita dalam kumpulan mana sekalipun yang kita berada:

Apa yang aku sudah lakukan demi kepentingan Islam?

Sikap berbangga dengan kebenaran yang dimiliki dan gembira terhadap kelemahan orang lain menjadi punca kepada kelemahan dakwah pada hari ini

Sebuah gerakan dakwah sebenarnya menghina dan menganggap bodoh ahlinya dengan menyekat mereka dari berdialog dan meraikan keluasan input dengan gerakan lain.

Jika gerakan dakwah gagal melahirkan da’ie yang berani mendedahkan diri kepada cabaran pemikiran, maka lupakan sahaja agenda untuk memenangkan Islam. Cukup sekadar meletakkan sasaran menjadikan jemaah masing-masing sebagai alat menjaga diri dari terseleweng, dan bukannya sebuah force untuk memenangkan Islam.

Bak kata lirik lagu Wafiq Azizah, Wahdana. Alangkah indahnya hidup dalam satu kesatuan tanpa melihat siapa kita, dan kedudukan kita.


video


ISLAM, UKHUWWAH DAN TARBIAH

Soal tarbiah merupakan satu pencarian yang kritikal bagi remaja khususnya mahasiswa pada era arus perdana sekarang. Lebih-lebih lagi bila ianya diisukan dengan persoalan jemaah mana yang perlu diberi intima' (pengabunggan diri).

Tarbiah kami lebih mantap, sufi lagi haraki dan mendekati sunnah nabi s.a.w adalah antara dakwaan yang acap kali diulangsiar. Lebih mencuit hati ada yang dengan kenyataan bahawa dakwah mereka lebih ikhwan atau seakan-akan Partai Keadilan Sejahtera (PKS) di Indonesia.

Mengapa sandaran sebegini dijadikan hujah dalam menggalas bebanan khalifah di bumi Allah Taala? Sedang strategi, wasilah dan pendekatan untuk mencuit hati mad'u itu sesuatu yang fleksibel juga bergantung kepada waqie' lokaliti setempat.

Apabila menyentuh persoalan tarbiah ramai yang akan merujuk pandang kepada model Ikhwan Muslimin. Alasannya, mereka terlebih dahulu mengenal asam garam dalam dunia dakwah Islamiah. Hinggakan ramai yang melupakan jalan yang pernah dirintis ulama', pada murabbi, dan kaum muslimin sebelum wujudnya Ikhwan Muslimin di Mesir.

Bagi penulis Ikhwan adalah satu model bukan satu-satunya model yang ada.

Cuba kita teliti pentarbiahan di kalangan ahli tarikat dalam memahmudahkan akhlak, sejarah turut menukilakan bahawa kelompok ini banyak berjasa dalam penyebaran Islam di Eropah satu ketika dahulu. Ianya satu juzuk daripada tarbiah dan tazkiah. Jangan dilupakan didikan para ulama' pondok satu ketika dahulu dalam membentuk murid yang faham, beramal, dan berjasa kepada agama.

Para ulama di zaman kegemilangan ilmu Islam melalui tarbiah dan akhirnya mentarbiah.Mereka punyai method tersendiri dalam mendidik masyarakat menghayati agama. Bagaimana cekalnya mereka melakarkan kecemerlangan dalam sejarah kebangkitan Islam dengan penyuburan ilmu dan amal perlu dicungkil kembali.

Sejarah dulu sebelum kejatuhan khilafah banyak bergantung kepada kesedaran masyarakat daripada majlis-majlis ilmu bersama ulama'. Dengan tersebarnya kefahaman ilmu, kita dapat membaca sendiri sejarah kekuatan ummah yang berjaya dibangkitkan dalam jihad fisbilillah sama ada menentang musuh atau peluasan empayar Islam.

Dakwah tidak hanya bertumpu kepada sekelompok manusia yang sudah dicampak oleh Allah Taala ke dalam hatinya minat kepada Islam. Anda hanya akan syok sendiri berprogram dengan mereka sebegini.

Dalam konteks Malaysia sahaja kita dihadapkan dengan latar mad’u yang pelbagai. Daripada pendokong agama sehinggalah musuhnya, daripada mukmin yang sudah indah Iman dan amalnya sehinggalah muslim yang fajir lagi lemas dalam lautan maksiat, daripada yang memegang kad pengenalan Islam hinggalah yang ingin menukarnya kepada status yang lain, bahkan dakwah kita didepani dengan tanggungjawab memperkenalkan agama kepada hampir separuh penduduk yang belum mengenal syahadah.

Dakwah dan tarbiah sewajibnya dibawa kepada segenap lapis masyarakat yang kenal huruf untuk dibaca sehinggalah yang tidak mampu mengeja.

Kita menzalimi para petani dan nelayan sekiranya dakwah hanya ditumpukan kepada golongan profesional, dan kita menzalimi mereka yang jahil sekiranya hanya berlegar seruan Islam di kalangan mereka yang bijak pandai. Bahkan kita menzalami mereka yang fajir sekiranya hanya seronok bersama mereka yang sudah baik akhlak di ruang legar masjid dan halaqah usrah.

Kalau kita fahami dakwah itu penting bergerak bersama keterikatan ukhuwwah tanpa perlu ta’sub pada mana-mana gerakan dan kumpulan, kita tidak akan tinggalkan sunnah hidup berjuang.

Moga kitalah antara mereka yang mengecapi indahnya ukhuwwah dalam dakwah.

ameen.


1 komentar:

Finaz on 22 Oktober 2009 1:16 PTG berkata...

dengan adanya teknologi skarang ni boleh jugak kita berukhuwah melalui internet..

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal