“Bagaimana cara ustaz mendekati mad’u yang pelbagai karakter” Tanya seorang pelajar di suatu seminar.
“Jujurnya saya begitu takut mendekati golongan bermasalah. Bimbang kita pula terikut rentaknya” Ujar seorang siswi di salah sebuah universiti tempatan.
Tiada siapa yang berani tampil memahami golongan bukan dari kalangan ahli yang sudah punya asas agama. Menjauhkan lagi mereka dari kebenaran, bermula dari mereka suka hiburan pelbagai genre hingga fanatik pada artis.
Carilah kekuatan diri memahami gelagat mereka tanpa perlu terburu-buru menghukum dan memperbodohkan perlakuan mereka.
Masih ramai lagi mad’u di luar sana yang takut-takut untuk mendekati golongan agamawan yang hanya tahu berteori di dalam surau dan menghukum mereka. Alangkah baik kita memandang manusia itu dengan paradigma kasih sayang, maka dengan itu dakwah mampu digiatkan.
Masih ramai lagi yang mengharapkan keterlibatan golongan agamawan untuk mencampuri mereka, tapi dengan pendekatan menyentuh jiwa mereka. Agama dilihat bukan bersifat eksklusif, seolah-olah khas untuk golongan para ustaz sahaja.
Kadang-kadang kita tidak nampak maslahat lagi besar dalam tindakan kita. Ramai manusia menetapkan hukuman dan peraturan tapi bukan cuba untuk memberi kefahaman jelas tentang sesuatu isu. Betul, bila kita melihat mereka melakukan kesilapan, sebagai contoh tidak memakai tudung, kita cepat sahaja menghukum mereka, namun tidak pula pandai menjelaskan kedudukan sebenar secara hikmah.
“Kamu tahu tak, orang tidak menutup aurat itu berdosa. Tak takut api neraka ke?”
“Itulah kecil-kecil tak nak mampus. Besar-besar menyusahkan orang aje”
Namun bila kita lihat suatu isu melibatkan akidah, kita kaku sahaja melihat borang tukar agama bertimbun-timbun di atas meja. Kita terlalu rigid soal akidah dan Iman. Manakala kefahaman yang jelas membentuk akidah yang sejahtera dan Iman yang mantap.
TIDAK MEMILIH MAD’U
Kita begitu alergi dan fobia sangat akan kehidupan para artis sehingga sanggup meninggalkan mereka terkapai-kapai bergelumang dengan maksiat. Sebenarnya kita sendiri menempah tiket terjebak sama dalam kancah maksiat kerana tidak sudi member kefahaman secara proaktif kepada mereka.
وَمَا لَهُم بِهِۦ مِنۡ عِلۡمٍۖ إِن يَتَّبِعُونَ إِلَّا ٱلظَّنَّۖ وَإِنَّ ٱلظَّنَّ لَا يُغۡنِى مِنَ ٱلۡحَقِّ شَيۡـًٔ۬ا
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Mereka hanya mengikut sangkaan, sedangkan sesungguhnya sangkaan itu tidak berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran” an-Najm (53:28)
Gunalah pendekatan lebih baik, berbanding memberi nasihat jarak jauh, mungkin berkesan namun, tapi masih lagi pada skala kecil. Membantu mereka, bukan bererti kita turut serta dengan mereka, tapi untuk membawa mereka ke jalan benar. Awas, jangan sampai kita pula yang terjun mati-mati dalam dunia mereka.
The journey of a thousand miles starts with a single step.
Apa yang penulis nampak, kita kalah melawan media barat. Kita gagal memproduksi produk makanan bersih dan halal untuk menyelamatkan perut-perut dan hati umat Islam. Kita gagal membina budaya yang boleh membantu masyarakat memahami Islam.
Dakwah kita masih berlegar disekitar masjid. Dakwah kita masih terus bersifat menghukum sebelum memberikan kasih sayang. Pendakwah kita masih gagal berkreatif mendidik umat mendekati Islam sebagai cara hidup (life style). Binakan keselesaan untuk mereka mudah mendekati kita. Sebenarnya kita gagal melihat keutamaan dalam berdakwah dan hanya melihat sisi-sisi yang sebenarnya mampu untuk diperbaiki.
Cuba gunakan pendekatan dakwah secara hikmah dan halus. Sesungguhnya cara ini lebih banyak membawa kepada kejayaan kerana ia lebih bertumpu kepada mengubah minda, bukannya melahirkan manusia-manusia hipokrit kerana bimbangkan diri dicerca dalam masyarakat. Semoga kita dapat mengurangkan populasi manusia yang namanya muslim tetapi tiada pemikiran Islam. Muslim tetapi bukan Islam merupakan hal yang kita harus tangani secepat mungkin agar orang bukan Islam dapat memahami Islam yang sebenarnya, Insha-Allah.
RASIONAL BUKAN EMOSIONAL
Penulis boleh menghembus dan menghela nafas lega, apabila ada pendakwah yang memikirkan pendekatan baru, cara berdakwah yang betul mengikut kesesuaian mengikut individu. Cuma, kadang-kadang kita menganggap seseorang itu pelik disebabkan perangai atau pemikiran dia yang berbeza dengan kita. Ada segelintir orang yang kuat agamanya, tapi tidak bercampur dengan orang-orang biasa, malah ada juga yang kuat agamanya dan nampak hebat di luar, tetapi peribadi di rumah sangat berbeza.
Penulis ada soalan cepu emas untuk anda para da’ie di luar sana…
Setiap manusia ada kekurangan dan kelebihan, namun apabila ustaz dan ustazah ada kekurangan. Apakah persepsi kita ketika itu? Apakah kita akan rasa dia tidak layak jadi seorang ustaz atau ustazah? Jadi, haruskah mereka menjadi sempurna atau berusaha menjadi sempurna, atau kita perlu menerima kekurangan mereka?
Memang para pendakwah perlu update cara mendekati mad’u.
Jiwa mad’u dan masalah mad’u perlu kita selami dan fahami. Hati-hati da’ie yang lembut dan hidup akan melembutkan dan menghidupkan pula hati mad’u. Seorang da’ie hendaklah memperhatikan celah-celah kebaikan yang ada pada orang lain, kemudian memupuknya sehingga celah-celah keburukan yang ada padanya terhakis dan bersemangat bangkit berdiri melangkah di jalan Islam.
Ilmu ni tidak diajar dalam silibus pendidikan kebangsaan. Tidak semua mampu nak memberikan persoalan kembali kepada soalan yang ditanya. Jangan disalahkan pendakwah yang tersilap cara tetapi mereka juga perlu didekati bahkan mereka juga adalah madu’e.
Barangkali seminar yang mengajar pendekatan sebegini perlu diperbanyakkan di seluruh dunia untuk membantu para penggerak Islam yang ingin berdakwah.
Bacalah sebanyak mungkin dengan pelbagai genre buku yang ada. Insha-Allah setiap satunya akan menjadi batu bata yang membina diri. Namun, menghadam ilmu Ushul Fiqh boleh penulis kira sebagai salah satu pra-syarat yang penting, kerana ianya mendidik kita kaedah mencantumkan nas dengan realiti.
وَلَا تَقۡفُ مَا لَيۡسَ لَكَ بِهِۦ عِلۡمٌۚ إِنَّ ٱلسَّمۡعَ وَٱلۡبَصَرَ وَٱلۡفُؤَادَ كُلُّ أُوْلَـٰٓٮِٕكَ كَانَ عَنۡهُ مَسۡـُٔولاً۬
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenai akannya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu akan ditanya tentang apa yang dilakukannya” al-Israa’ (17:36)
Ilmu Ushul Fiqh yang penulis belajar di sekolah dahulu banyak membantu diri dalam merasionalkan hukum di sisi minda yang selalu inginkan logikal dalam sesuatu perkara, juga menerangkan sebab di sebalik sesuatu hukum pada rakan-rakan yang bertanya.
Apapun ilmu pasal dakwah ini tidak diajar di sekolah, samada di sekolah kebangsaan ataupun di sekolah agama. Ada satu garisan yang kecil antara dakwah dan mengajar agama. Kebanyakan orang menganggap hanya ustaz sahaja yang boleh berdakwah, padahal Nabi Muhammad s.a.w perintahkan supaya sampaikan ilmu (ad-Diniah) walaupun satu ayat. Dakwah tentang agama memerlukan satu kemahiran yang mantap. Mempengaruh orang lain supaya menerima nur agama, lantas membersihkan kekotoran dan kesannya di dalam hati.
Pendakwah bagaikan tentera yang pergi berperang, ilmu di dada bagaikan senjatanya, tektik peperangan bagaikan modus operandinya, musuh-musuh adalah orang yang hendak didakwahkan.
Jika kita punya senjata yang canggih, namun strategi tidak bagus, kecundang juga akhirnya.
Namun kena ingat tugas dakwah ini ada pada setiap umat Islam. Maka berusahalah kita berdakwah untuk orang-orang di sekeliling kita, dan menjadikan setiap daripada mereka sasaran untuk berkongsi, bukan dibenci.
Kita adalah generasi Ulul Albab yang menggunakan ketajaman akal fikiran dalam setiap tindakan, bukan bersifat dungu, menunggu peluang di hadapan tanpa mahu mencipta peluang, akhirnya diri sendiri kelak terbuang dan kecundang.
Jadilah Ulul Albab Berstyle dan mampu merubah…
0 komentar:
Catat Ulasan