PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Jumaat, Oktober 9

Permulaan Pada Kisah Cinta



BERAPA banyak lagi beras yang tinggal? Akhirnya arwah atuk mengagahkan sukma untuk bertanya juga, mungkin untuk menyedapkan suasana redup yang terkulai sesal dan kecewa di suatu petang itu.

Tinggal tiga cupak besar lagi ayah. Cukup untuk dua hari lagi, insha-Allah Ibu pula menjawab, menyapa lembut pertanyaan arwah atuk yang sedikit faham di sebalik ronaan mata arwah yang semakin mengecil.

Lima orang adik beradik masih sekolah, tinggal ibu dan kakak sulung yang sudah tamat sekolah menengah. Ibu bertekad untuk tidak menyambung pengajian, berkorban tenaga demi sesuap nasi. Biarlah adik-adik yang lain bersekolah.

Jangan risau nak, ayah tahu di mana perlu cari sumber rezeki. Tengok adik-adik yang lain, ayah mahu keluar sekejap Hujan mula menampakkan jantan, turun bersama sambaran petir yang meraum lantang membunuh roh jahat.

Inilah kali pertama penulis tersedar dari lamunan yang jauh, belajar dari kehidupan, ingin menjadi seorang anak dan hamba yang sentiasa bersyukur di atas nikmat kurnian Ilahi. Ibu selalu ingatkan anak-anaknya dengan sebuah cerita lama, diulangsiar setiap masa bilamana kami berkumpul santai. Kenapa ibu tidak pernah jemu untuk bercerita? Bahkan menjadi seorang pujangga yang sarat dengan hikayat, bersemangat memberi faham, dan peringatan tika hidup di sebuah puaka yang telah banyak menelan manusia, hanyut bersama dosa noda.

Mata mana yang sanggup melihat orang tersayang bersusah payah membanting tulang empat kerat, demi melihat keluarga kenyang, ceria, dan tiada pula menangis hiba meratapi kehidupan yang susah ini. Menangis bukan jawapan yang jelas, bukan bayaran setimpal pada sebunjut tenaga yang menjadi galang pengganti pada hayat yang terus menyambung. Namun itulah lukisan alam, hidup hari ke sehari membilang angka, esok yang indah umpama mimpi. Bebunga yang baru berputik, berguguran setiap detik.

Kini arwah atuk sudah tiada, yang ada adalah semangat beliau, kejujuran beliau, kegigihan beliau buat santapan generasi terkemudian. Setiap bait kata-kata arwah cukup menyengat, dan menikam hati.

Banyak air mata terkadang dibuang, mengenang yang telah pergi. Tetapi bila dikaji sejarahnya dulu masa insan yang ditangisi itu ada, menangis dia bercakap dan menasihati kita tentang bagaimana nak menjalani kehidupan sempurna, tapi tidak pula dipedulikan. Bila jasad sudah pergi, dan diri pula berhempas pulas hidup bersendirian, mula bergelinangan air mata, tambah-tambah lagi bila pergi ke pusara. Kesedihannya tidak tergambar untuk memperbaiki keadaan, hanya kelangsungan kebiasaan yang tidak mengundang kebaikan.

Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amal kebaikan kecuali; mereka yang meninggalkan ilmu bermanfaat, sedekah (kebajikan) jariah, dan anak soleh yang mendoakan akannya (Hadith Riwayat Muslim)

Rohnya sentiasa hidup, dan masih boleh mengingatkan dan menasihatkan kita, kalau benar-benar kita bersungguh menambah ilmu mengenainya. Bukanlah tidak kasi ingat, tetapi ingatlah yang faham bahawa kita adalah roh, sudah pasti tidak tergamak untuk menangis, kerana yang pergi hanya sebujur jasad. Hanya kerana kepincangan ilmu, roh kita dan roh arwah tidak pandai berkomunikasi. Jangan hanya pandai baca jasad al-Quran, namun cubalah hayati rohnya.

Merasa sedih yang dialami apabila kehilangan orang yang paling kita sayang adalah ingatan pada lakaran sebuah diari, apatah lagi jika waktu itu kita masih baru bertatih untuk megenal sebuah kehidupan, akan menjadi ingatan sentiasa. Memori silam mengajar kita erti kekuatan untuk meneruskan sisa hidup dan mencipta ruang indah dalam kanvas kehidupan.

EPILOG SEBUAH KISAH HIDUP

Ketika penulis sempat hidup bersama arwah atuk, selepas sedikit beruntung dari sebuah kisah yang dicoretkan di atas. Arwah atuk selalu membawa penulis ke sawah dan ladang setiap petang, sambil mulut atuk berkumat-kamit bercerita, penulis diletakkan di atas belakang kerbau yang sedang bergerak membajak sawah, memecahkan tanah-tanah menjadi kecil. Setiap kali bercerita, mesti ada suatu kesimpulan pendek buat penulis pegang, penulis akan tersentak dan mengangguk faham.

Bermandi peluh dan berkeringat setiap hari demi sesuap nasi sudah menjadi lumrah. Sebuah pengorbanan daripada seorang ayah dan ibu tanpa syarat. Hasil pendapatan inilah mereka membeli pakaian anak-anak, kelengkapan barang-barang dapur, baiki rumah yang sudah usang, belanja anak-anak di sekolah dan sebagainya. Tapi anak-anak sekarang, banyak habiskan duit ibu bapa dengan mudah tanpa cuba untuk bersusah payah memikirkan keadaan mereka mencari duit. Bukan orang lain pun, ibu bapa sendiri.

Sawah ini sudah lama, peninggalan daripada arwah ayah atuk. Dari yang satu inilah, atuk besarkan ibu, dan keluarga. Atuk tidak pernah putus asa

Nanti abang (panggilan penulis dalam keluarga) pula mewarisinya. Atuk tak mahu abang jadi macam atuk, tapi semangat atuk Arwah atuk bernada optimis, sambil mengusap-usap lembut pipi penulis yang sedikit kotor.

Kehidupan penulis sekeluarga sedikit beruntung berbanding teman-teman di luar sana, mungkin ada tetapi tidak semua, hanya sebilangan kecil sahaja. Hidup kami walaupun tidak berada tetapi kami tetap sahaja berusaha untuk menjadi berada ‘budi’ dan ‘bahasa’ ditengah-tengah konflik tersebut, seterusnya kebahagian menyusul tanpa dipinta. Dari dulu lagi ibu dan abah tidak pernah menyogok kami dengan kemewahan material dalam berbelanja dan sebagainya, cukup untuk keperluan, namun tegar memberi kami kefahaman tentang erti hidup yang senantiasa ditanam jauh ke dasar.

Beruntung bukan apa, kami akan sentiasa mencari jalan untuk keluar dari kepompong miskin jiwa, kerana ianya kelak bisa membunuh dan meruntuhkan sebuah ‘budi’ dan ‘bahasa’ yang telah siap dibina, dan seterusnya juga kebahagian yang menjadi idaman setiap yang berakal, hanya tinggal nama sahaja.

Stigma pemikiran yang kolot harus diubah. Bagi anda yang telah berjaya berdiri di belakang sebuah keluarga yang telah lama merasai kesenangan hidup. Jangan jadikannya sesuatu yang bisa melemahkan kekuatan dan jati diri anda. Kesenangan adalah suatu rahmat yang tidak lagi anda perlu bersusah payah mencarinya, tetapi mekanisma untuk membangunkan kematangan minda anda menjadi ‘sekaya’ apa yang anda miliki perlu juga diletakkan di dalam senarai matlamat dan perancangan hidup, mungkin yang pertama di antara utama.

Bukan satu alasan di sebalik kemewahan tersebut, merasa kekok untuk belajar di saluran biasa, atau secara tidak formal. Tidak kekok untuk ke masjid, dan tidak kekok untuk belajar dengan orang masjid, atau bergaul bersama mereka yang telah lama mengalami erti hidup berdikari dan jatuh bangun sebuah kehidupan yang berpuaka ini.

Kenangan bertatih sendiri, membuatkan hati lebih menangis, terkenang segalanya. Namun ketentuan Allah Taala menjadikan kita lebih gagah bila tiada apa-apa untuk kita pegang sewaktu bertatih. Akhirnya Allah Taala kuatkan kita untuk berlari. Maka teruskan berlari sehingga hayat yang dipinjam ini kembali kepada Tuan empunya.

Namun, bolehkah kita memberi jaminan kepada generasi anak-anak muda sekarang. Apakah mereka boleh membezakan antara permata dan kaca? Apakah mereka akan mengenang sebuah budi, atau tidak pernah mengerti? Kalau ada, mereka ini adalah di antara manusia yang masih beruntung.

Namun tidak mustahil kalau kita sudah sebulat tekad, ingin betul-betul mentarbiah dan mendidik anak-anak dalam keluarga menjadi generasi Ulul Albab. Mereka akan sentiasa ingat dan akan mencorak sebuah potrait untuk tatapan generasi seterusnya, inilah yang kita perlu usahakan.

RUNTUHKAN TEMBOK EGO

Penulis tertarik dengan satu iklan tentang laptop. Iklan tersebut menunjukkan seorang lelaki geekhead yang sedang dating di taman bersama teman wanitanya sambil menggunakan laptop. Apa yang kelakar, lelaki itu langsung tidak mengendahkan teman wanitanya kerana sangat asyik dengan laptop tersebut. Apatah lagi kita membayangkan wanita tersebut adalah sebuah nasihat, atau kenangan hidup yang lampau. Apakah mereka akan juga cuba mencari fikir?

Walaupun sekadar sebuah iklan, hakikat ianya berlaku di dunia realiti. Di Korea, remaja menghabiskan lapan belas jam di depan komputer atau internet, sehinggakan kerajaan Korea terpaksa menganjurkan satu program seakan-akan kempen untuk menangani gejala tidak sihat ini.

Kita juga pasti mengetahui dan ingat satu iklan Petronas berkenaan kemerdekaan. Dua warga tua yang lama terpisah, seorang Melayu dan seorang lagi Cina yang tanpa dirancang bertemu di hospital. Kedua-duanya rancak berborak kisah lama, tapi sebaliknya apa berlaku kepada cucu mereka? Masing-masing asyik bermain handphone. Rambut sahaja sama, masing-masing buat kerja sendiri.

Moralnya, manusia lebih tertarik dengan hasil kerja Allah Taala melalui tangan makhluk daripada hasil kerja Allah Taala dengan Tangan Allah Taala. Hubungan sosial sesama manusia juga secara psikologi dapat membawa ketenangan. Bukankah manusia hasil kerja Allah Taala? Namun tidak mustahil juga, jika hasil tangan manusia ini sering dialpakan, maka jadilah macam dua situasi tadi. Tidak ada semangat setiakawan, tidak pernah ambil peduli.

Perjalanan kita di dunia, dari tiada kepada ada, dibentuk oleh tenaga yang Maha Kuasa. Potensi terbaik dibekalkan bersama, merudum ke buruk pun ada juga, terpulang pada diri untuk pilih yang mana, melebihi malaikat ataupun seterunya. Cerita kehidupan menarik dasarnya. Melihat ke belakang sejauh mana perjalanan, sambil gagah melangkah ke hadapan secerah cahaya. Bila disempit akal fikirannya, jadilah katak bersama tempurungnya. Ingatkan amalan sudah sempurna, rupa-rupanya masih jauh dari garisan penamat.

Kadang-kadang kesibukan boleh menerkam tanpa disedari. Kadang-kadang juga kelapangan mampu memberi serangan dalam diam. Jika mudah luluh semangat, carilah semangat dengan baca Kalam-Nya.

Kita sebagai manusia yang sering lalai dan alpa seharusnya sentiasa diberi peringatan selalu. Sekiranya tiada siapa yang mampu mengingatkan, adakah kita mampu menjalankan tanggungjawab sebagai insan yang ‘mengingatkan’ itu?

Penulis percaya, setiap detik dan saat kita luangkan untuk mengembling tenaga demi melihat Islam menjadi agama satu, tidak dipersendakan oleh manusia lain, akan memperolehi ganjaran yang setimpal di sisi Allah Taala.

Ya Allah, kami insan lemah. Kami ingin belajar untuk mentaati setiap perintah-Mu. Kami belajar untuk menjadi hamba-Mu yang soleh dan solehah. Kami seringkali jatuh dan bangun, jatuh dan bangun lagi, dan lagi. Semoga kami terus dipimpin oleh-Mu. Duhai Tuhan Maha Esa…

Ameen.



0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal