“Eh, kenapa buang sampah di tepi dinding? Tong sampah ada di hadapan tu” Tegur penulis kepada seorang teman bangsa arab.
“Tak apa ada yang kutip (merujuk kepada tukang sapu). Dah terbiasa, ramai yang buat” Katanya sambil tersenyum.
“Habis tu kamu tak hafal ayat Quran yang ada menyentuh tentang kebersihan? Inilah padah bila mata hati buta, jauh dari penghayatan” Suara penulis sedikit tinggi sambil menggelengkan kepala.
Di mana puncanya, kalau tangan manusia sendiri yang membinasakan ciptaan warna alam-Nya. Bila sudah jadi trend orang ramai, susah untuk tunjuk baik, apatah lagi mengubah sikap tersebut.
Iman jauh dari hati…
Kalau kita rasa kesedaran dan kebenaran itu ada untuk menjaga alam sekitar, mainkan peranan kita di penjuru masing–masing dalam menyelamatkan alam sekitar. Ia bukan hanya soal penjagaan kebersihan dan tidak membuang sampah di merata–rata, tapi soal lain yang merangkumi keseluruhan pengurusan alam sekitar itu sendiri. termasuk langkah pencegahan yang wajar kita lakukan. namun konflik alam sekitar ini tak pernah selesai dari hari ke hari. Acap kali, bahkan setiap hari kita selalu di hadapkan dengan berita-berita kejayaan tangan-tangan manusia yang memusnahkan alam.
Isu penjagaan alam sekitar sebenarnya menentukan sejauh mana maju sesebuah negara tu. Malaysia masih dalam tahap dunia ketiga dari segi ini. Dan bukankah cara utama menyukat samaada sesebuah negara itu maju adalah melalui tabiat dan mentaliti rakyatnya? Selagi rakyat Malaysia tidak terkehadapan dalam isu alam sekitar (dan juga keselamatan jalan raya, kebebasan bermedia, dan sebagainya), selagi itulah tanah air tidak akan mencapai status negara maju.
Antara negara-negara Eropah, negara yang paling tinggi taraf hidup (Sweden, Norway, Finland, Switzerland, Jerman, Ireland, Iceland) memang mempunyai tahap alam sekitar kelas pertama.
Benarlah kata Saidina Umar ra, Iman itu menaikkan taraf hidup manusia.
Jangan lupa, bahawa antara isu penting yang ingin penulis ketengahkan di dalam artikel kali ini ialah, isu PENJAGAAN ALAM SEKITAR juga adalah isu Islam, sama pentingnya dengan isu-isu yang lain.
SEMPURNA IMAN MENYEMPURNAKAN SYARI-‘AT
Tidak dinafikan negara kita memang pesat membangun dari sudut material, dan sudah menyaingi pembangunan negara-negara maju di seluruh dunia. Bangunan-bangunan pengcakar langit memenuhi setiap ruang bandar di seluruh negara. Namun yang menyedihkan dan menjadi topik utama bicara penulis ini, adalah kesedaran masyarakat kita terhadap penjagaan alam sekitar yang masih di tahap membimbangkan.
Bandar-bandar utama yang menjadi pusat tumpuan pelancong bertaraf dunia masih dibelenggu imej kotor sama ada di persekitaran bandarnya mahupun tabiat segelintir penjaja makanan yang dilihat boleh menjejaskan masa depan sektor pelancongan di negara ini.
Aspek kebersihan di negara ini semakin merosot kerana dicemari dengan persekitaran yang kotor khususnya di kawasan sungai, belakang bangunan dan sistem perparitan. Ini diburukkan lagi dengan tabiat penjaja tepi jalan dan pengusaha restoran yang kurang menitikberatkan kebersihan selain bangunan usang terbiar peninggalan pra-Perang Dunia Kedua.
Dalam menjalani kehidupan seharian, Islam mengambil perhatian yang sangat berat terhadap penjagaan kebersihan dan pemeliharaan alam sekitar kerana ianya berkait rapat dengan kesihatan dan kesejahteraan hidup manusia sejagat khususnya, dan keseluruhan kehidupan lain di bumi ini.
Penjagaan kebersihan membawa kepada kesempurnaan Iman sepertimana yang ditegaskan di dalam hadith baginda s.a.w:
النَّظَافَةُ تَدْعُو اِلَى الْاِءيْمَانِ وَالاِءيْمَانُ مَعَ صَاحِبِهِ فِى الْجَنَّةِ
Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud: “Kebersihan itu dapat mengajak manusia kepada Iman. Dan Iman akan bersama pemiliknya di dalam Syurga” (Hadith Riwayat at-Tabrani)
Di atas dasar itulah tanggungjawab menjaga kebersihan dan kecerian alam persekitaran merupakan satu tuntutan yang tidak dapat dielakkan oleh setiap muslim, sama ada kebersihan tubuh badan, tempat tinggal, makanan, minuman, dan alam sekitar.
Kebersihan alam sekitar melambang keperibadian muslim yang cukup tinggi dan merupakan salah satu cabang ibadah yang dititikberatkan dalam al-Quran dan sabdaan baginda s.a.w.
اِنَّ اللهَ يُحِبُّ التَّوَّابِيْنَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِيْنَ
Allah Taala berfiman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah Menyukai hamban-Nya yang bertaubat, dan menyukai hamba-Nya yang bersih” al-Baqarah (2:222)
Alam sekitar adalah pemberian Allah Taala yang diamanahkan kepada manusia menjaganya di samping dapat mengambil manfaat darinya dari sudut kesihatan dan keindahan pemandangan, yang lainnya mendidik jiwa menjadi tenang. Persekitaran yang indah, selesa dan selamat akan memberi peluang kepada masyarakat menikmati kualiti hidup lebih baik, sihat, produktif, dan berwawasan.
Islam juga mendidik umatnya supaya sentiasa memelihara dan menjaga kebersihan bumi yang kita diami dengan sebaik mungkin demi kesejahteraan makhluk seluruhnya. Kita dilarang membuat kerosakan sesuka hati kerana khuatir akibat buruk itu akan kembali kepada kita semula.
Ingatkah kita pada satu peristiwa tragedi gempa bumi yang sungguh tragis telah berlaku pada tanggal 29 september lepas? Masih segar diingatan kita bila mana tragedi malang tersebut telah meranapkan ratusan rumah dan bangunan yang megah berdiri sebelumnya dan mengorbankan ratusan nyawa yang tidak berdosa.
Apakah ini tiada kaitan dengan keperihatinan kita terhadap alam sekitar?
Apakah tiada rasa tanggungjawab kita untuk muhasabah di atas apa yang ingin disampaikan oleh Tuhan Pencipta melalui tanda-tanda kerosakan ini?
ISU-ISU DALAM QURAN ISU SEJAGAT
Allah Taala menciptakan manusia di atas satu konsep yang cukup penting supaya perjalanan hidup semasa di dunia, dipandu oleh satu sistem yang menjamin masa depan mereka agar tidak terus alpa kerana akan tiba suatu saat kelak, mereka pasti dijemput untuk menerima buku amal catatan dan pembalasan di atas apa yang mereka kerjakan.
Konsep menyembah (dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang) dan bertindak sebagai khalifah di muka bumi merupakan dua agenda penting yang harus dipikul oleh manusia sebagai suatu amanah besar dalam kehidupan yang sementara ini, dan bukan untuk berseronok semata-mata. Bahkan manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini sahaja, tetapi mereka dijadikan untuk kehidupan yang kekal abadi, iaitu di akhirat.
Apabila kita memperkatakan tentang Islam sebagai sistem hidup yang lengkap, sistem itu bukan hanya pada undang-undang. Manusia tidak boleh hidup di dunia ini jika mereka hanya dihidangkan dengan undang-undang.
Manusia perlukan air yang bersih, mereka perlukan udara yang bersih. Di sisi pendidikan yang baik dan undang-undang yang menjaga.
Tidakkah di dalam al-Quran dan as-Sunnah itu penuh dengan arahan memelihara alam sekitar? Tidakkah kita perasan betapa kaedah membina rumah pun, diperincikan oleh Syari-‘at. Ketinggian bangunan jangan sampai menyekat cahaya matahari dari rumah jiran. Bagaimana saluran air longkang patut dialirkan dalam hal penggunaan tanah jiran dan tanah awam?
Semua itu ada di dalam Islam. Dan ia sebahagian daripada Islam sebagai sistem hidup yang diperjuangkan.
Maka perjuangan Islam dan dakwah tidak boleh terhenti setakat leteren terhadap hal-hal yang bersifat konsep dan retorik. Penjagaan alam sekitar mesti diterima sebagai sebahagian daripada dakwah dan jihad di jalan Allah.
Pada penulis, pencemaran alam adalah berkala dengan pencemaran Islam. Jika alam di sekeliling kita terus tercemar, air diniagakan hingga mencetuskan kesusahan, rumah terus kotor dan halaman seperti kediaman Yahudi sebagaimana yang diingatkan oleh baginda s.a.w, maka Islam yang dilaungkan hanyalah retorik yang kosong.
Lebih kuat Iman, lebih kuatlah kita menjaga alam persekitaran.
0 komentar:
Catat Ulasan