PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Khamis, Oktober 1

Ingatlah ! Allah Sedang Berkomunikasi



Hati penulis tiba-tiba resah menatap akhbar di semua laman berita, hampir semua berita yang sama dilaporkan. Apakah suatu bala atau peringatan daripada Tuhan? Tidak cukupkah menjadi bebanan pada akal untuk mengesan amarah Allah Taala di sebalik apa yang berlaku itu.

Adakah peristiwa ini bakal menjadi episod yang bermusim? Seperti yang pernah berlaku sebelum ini? Setiap kejadian dan tragedi yang berlaku saban hari, manusia jarang sekali mengambil iktibar. Bersungguh-sungguh mencari ‘salah siapa’, dan ‘apa puncanya’ tidak akan ke mana.

Jangan pula musim ini berakhir menyebabkan kita lalai sehingga bakal berlaku tragedi yang sama. Apapun, itu sebahagian petanda usia bumi makin senja. Tragedi seakan gempa bumi juga berlaku d mana-mana.

Hakikatnya semua yang berlaku mempunya hikmah di sebaliknya. Namun manusia yang kadang-kadang terlupa untuk kembali kepada fitrah semulajadi, lupa untuk berpaling kepada Pencipta. Semua ini adalah inzar daripada Tuhan Maha Esa untuk sama-sama kita kembali merenung dan berfikir.

Jangan bersenang dulu, kalau pasti nyawa kita sentiasa dipantau untuk dimatikan.

Ingat walaupun sesaat.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Dia (Allah) menundukkan (memudahkan) bagi kamu apa yang ada di langit dan apa yang ada di bumi (sebagai kurnia) daripadaNya. Sesungguhnya pada yang demikian itu terdapat tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir al-Jaasiah (45:13)

Sebagai orang yang beriman, kita sentiasa dianjurkan supaya memerhatikan keajaiban alam ciptaan Allah Taala dan hikmah di sebalik sesuatu kejadian yang menimpa dengan mata hati.

Apabila berlaku bencana besar pada alam ini, pemusatan fikiran kita bukan hanya kepada banyak mana kemalangan jiwa atau kerugian harta benda yang terlibat, malah pada sebab musabab yang membawa kepada bencana tersebut. Kita mungkin terfikir apakah bencana ini merupakan fenomena alam semulajadi atau ianya suatu bala yang ditimpakan ke atas manusia?

Ilmu manusia tentang rahsia alam amat terbatas. Melalui bantuan peralatan yang canggih mungkin kita mampu mengesan kelajuan angin, pergerakan awan, getaran bumi, ketinggian ombak dan lain-lain fenomena lagi. Namun, manusia tidak mampu menjadi ahli nujum kenapa angin bergerak pada kelajuan tertentu, kenapa bumi bergetar pada skala tertentu atau kenapa ombak bergelombang pada ketinggian tertentu. Persoalan kenapa ini tidak mungkin dapat dijawab kerana ia adalah urusan Allah Taala.

PERINGATAN BUAT YANG BERAKAL

Allah Taala mengutus al-Quran untuk dibaca, diteliti, diambil pengajaran dan dilaksanakan. Kisah-kisah di dalam al-Quran ada menceritakan tentang beberapa kaum atau umat nabi-nabi yang terdahulu ditimpa bencana yang dahsyat sehingga ada yang terus berkubur bersama-sama tamadun yang mereka bina.

Kesan-kesan peninggalan yang wujud sehingga hari ini menjadi bukti kebenaran kisah di dalam al-Quran itu. Kaum Nuh di sekitar Iraq dan Mesir musnah dalam banjir dan ribut taufan. Kaum Luth di Sadum musnah setelah diterbalikkan bumi dan bertukar menjadi Laut Mati. Kaum Tsamud mati di dalam kota-kota yang dipahat di dalam bukit-bukit batu akibat bayu pembunuh yang dikirim oleh Allah Taala kepada mereka.

Bencana itu pula berlaku di hampir semua negara bermula dari China di utara hingga ke Australia di Selatan, di negara yang didiami umat Islam atau negara yang majoritinya bukan Islam.

Allah Taala tidak menyegerakan balasan ke atas kejahatan yang dilakukan oleh umat Muhammad. Balasan itu ditangguh atau diringankan supaya manusia sedar dan bertaubat. Adakalanya bala itu datang dalam bentuk kekurangan rezeki setelah mengalami kemarau, banjir atau penyakit tanaman, rasa takut dan gelisah, malapetaka seperti kebakaran, tanah runtuh, kemalangan jalan raya dan sebagainya.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu at-Taghabun (64:11)

FENOMENA ALAM BUKTI SUNNAHTULLAH

Bumi merupakan suatu planet yang amat kecil dalam alam raya yang dijadikan oleh AllahTaala. Di sana terdapat berjuta-juta bintang, bulan dan planet-planet lain yang sentiasa berputar dan berpusing mengikut putaran dan pusingan yang telah ditetapkan oleh Allah Taala. Jika disifatkan bumi ini suatu benda yang hidup, sudah pasti setiap yang hidup akan mengalami proses penyesuaian diri dengan persekitaran untuk mewujudkan keseimbangan yang menjadi syarat kelangsungan dan ketahanan.

Setiap pusingan dan putaran itu tentulah memberi kesan kepada kehidupan. Jika pusingan bulan mengelilingi bumi dan peredaran bumi mengelilingi matahari boleh mengakibatkan pasang surut paras laut, gerhana bulan dan bintang dan lain-lain fenomena lagi, maka sudah tentulah peredaran seluruh bintang-bintang itu akan memberi kesan kepada keseimbangan alam ini. Di atas asas ini, maka fenomena yang terjadi kepada bumi ini tentulah mempunyai hubungkait dengan alam di luar bumi, cuma manusia tidak dapat mengesannya.

Semua pergerakan dan proses peyesuaian ini berada di bawah kuasa Allah Taala yang mencipta makhluk dengan fitrahnya sekali. Sepertimana makhluk-makhluk yang lain, bumi mempunyai sistem atau sunnah (perjalanan) hidup yang telah ditentukan oleh AllahTaala.

Jika makhluk lain mengalami proses kelahiran, pembesaran, kematangan dan akhirnya kematian, maka bumi juga mengalami proses yang sama dengan caranya yang tersendiri.

Sungguhpun kita lihat secara zahirnya bumi tidak bergerak atau membesar, namun ia mengalami proses hakisan, luluhan, perubahan kepada struktur batu batan terutamanya semasa letusan gunung berapi atau gempa bumi berlaku dan kemendapan. Keadaan-keadaan ini memang telah ditetapkan oleh Allah Taala dan tidak berlaku dengan sendirinya.

Perbuatan manusia-manusia yang rakus dan tidak bertanggungjawab turut menyumbang kepada wujudnya keadaan yang tidak selesa kepada kehidupan masa kini. Pada masa sekarang, kita merasa bahang kepanasan apabila hutan-hutan ditebang, bukit bukau digondol, sumber air dan udara dicemari dan sebagainya.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Telah timbul kebinasaan (kerosakan) di daratan dan di lautan angkara tangan-tangan (kerja-kerja jahat) manusia sebagai suatu balasan terhadap apa yang mereka telah lakukan,supaya mereka kembali pada jalan yang benar ar-Ruum (30:41)

AMBIL PENGAJARAN

Allah Taala menciptakan manusia di atas satu konsep yang cukup penting supaya perjalanan hidup semasa di dunia, dipandu oleh satu sistem yang menjamin masa depan mereka agar tidak terus alpa kerana akan tiba suatu saat kelak, mereka pasti dijemput untuk menerima buku amal catatan dan pembalasan di atas apa yang mereka kerjakan.

Konsep menyembah (dengan melakukan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang) dan bertindak sebagai khalifah di muka bumi merupakan dua agenda penting yang harus dipikul oleh manusia sebagai suatu amanah besar dalam kehidupan yang sementara ini, dan bukan untuk berseronok semata-mata. Bahkan manusia tidak dijadikan hanya untuk hidup di dunia yang kecil dan binasa ini sahaja, tetapi mereka dijadikan untuk kehidupan yang kekal abadi, iaitu di akhirat.

Muhasabah lebih baik ketika ini, dari mencari punca kejadian dan meratapi sedih di atas musibah. Moga dipelihara kita dari musibah berpanjangan sebelum sempat kita kembali kepada-Nya.

ameen

2 komentar:

MASKOR@ROSNANI ZAKARIA on 1 Oktober 2009 pada 12:55 PTG berkata...

salam alaik ya ustaz..artikel yang menarik yang mampu mengetuk pintu hati supaya berfikir dan bermuhasabah diri sendiri bahawa dunia ini ada penamatnya dan akhirnya. semoga semuanya terpelihara dan selamat dari mendapat kemurkaan Allah.
p/s:minta izin untuk salin artikel ini. jazakillah ya ustaz..

ibn radziah on 1 Oktober 2009 pada 3:50 PTG berkata...

salamullahi 'alaik.

ameen, mudah-mudahan kita semua tergolong di kalangan mereka yang taat dan berhati-hati sebelum mati.

silakan...

saya harap zuzack828 mengalami masalah eror type yang asal ingin tulis jazakallah (ganti nama kedua bagi lelaki) bukan jazakillah (ganti nama kedua bagi perempuan).

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal