Pernah suatu ketika dahulu penulis buat pertama kali mengendalikan program bersama, antara sekolah penulis dan sebuah sekolah menengah kebangsaan, dan sasarannya di kalangan pelajar menengah rendah bermasalah. Ketika itu penulis masih lagi di tingkatan empat.
Penulis ditugaskan menjadi fasilitator bagi semua modiul yang dirancang. Cari pengalaman pertama, mungkin secara formal.
Berdepan dengan bukan sahaja kerenah pelajar tapi segerabak aliran pemikiran yang tidak berasas. Kenapa penulis berkata demikian? Masakan tidak, mereka ini akan menguji kita dengan idea yang gila-gila, kadang-kadang tidak masuk akal.
Membentuk sakhsiah mungkin mudah tapi untuk mengubah pemikiran seperti ini memerlukan pendekatan yang berbeza, jenuh juga untuk menjawab. Da’ie yang betul-betul bersedia mungkin sedikit tercabar dek kebiasaan yang sering mengundang resah.
“Maaf bang, boleh saya tanya sedikit?” Mencelah seorang peserta.
“Tanyalah, kalau boleh jawab saya jawab” Penulis membetulkan kedudukan badan agar selesa semasa berkomunikasi.
“Saya mungkin antara pelajar yang tidak mempunyai kesempatan untuk mengecapi kehidupan seperti insan lain, Islam hanya pada nama tapi tak pernah buat apa yang disuruh. Apakah masih ada jalan untuk saya kembali ke pangkal jalan?” Peserta itu benar-benar menjeluakkan semua isi hati.
“Awak pernah buat sesuatu yang awak tidak suka, tapi awak terpaksa buat kerana bimbang akan kehilangan sesuatu yang awak perlukan? Contohnya: kita tidak suka matapelajaran Biologi tapi sebab mahu lulus kita paksa juga untuk belajar” Penulis memberi sedikit clue memudahkan dia faham.
“Pernah..” Ujar beliau.
Hikmah adalah sangat sensetif dengan jiwa yang lemah. Tiada bayaran yang setimpal melainkan kesungguhan dalam melawan sifat lemah tadi. Terlalu optimis tidak juga hingga menghilangkan nilai aturan yang sebenar, step by step.
Melawan idea gila-gila yang dicetuskan ini perlu kepada idea segar yang lebih gila, iaitu kena terancang. Jadi pengalaman kita berhadapan dengan situasi ini yang akan melahirkan idea-idea yang dimaksudkan.
Pengalaman itu sendiri bukanlah guru. Pengalaman akan hanya menjadi guru apabila kita memproses pengalaman itu. Dapat dikenalpasti hujung pangkalnya, kelebihannya, kelemahannya dan dirumuskan sebagai panduan.
Adapun panduan itu tidak optimum kecuali apabila ia didokumentasikan. Dokumentasi pengalaman yang penulis harapkan ialah tepat dan jelas. Tepat sahaja, tapi kalau tidak jelas, abstrak, tidak praktikal akan menghilangkan nilai tepat itu tadi.
DAKWAH BUKAN SEKADAR LAKARAN TEORI
Masih ramai lagi mad’u di luar sana yang takut-takut untuk mendekati golongan agamawan yang hanya tahu berteori di dalam surau dan menghukum mereka. Alangkah baik kita memandang manusia itu dengan paradigma kasih sayang, maka dengan itu dakwah mampu digiatkan.
Masih ramai lagi yang mengharapkan keterlibatan golongan agamawan untuk mencampuri mereka, tapi dengan pendekatan menyentuh jiwa mereka. Agama dilihat bukan bersifat eksklusif, seolah-olah khas untuk golongan para ustaz sahaja.
Kadang-kadang kita tidak nampak maslahat lagi besar dalam tindakan kita. Ramai manusia menetapkan hukuman dan peraturan tapi bukan cuba untuk memberi kefahaman jelas tentang sesuatu isu.
Betul, bila kita melihat mereka melakukan kesilapan, sebagai contoh tidak memakai tudung, kita cepat sahaja menghukum mereka, namun tidak pula pandai menjelaskan kedudukan sebenar secara hikmah.
“Kamu tahu tak, orang tidak menutup aurat itu berdosa. Tak takut api neraka ke?”
“Itulah kecil-kecil tak nak mampus. Besar-besar menyusahkan orang sahaja”
Namun bila kita lihat suatu isu melibatkan akidah, kita kaku sahaja melihat borang tukar agama bertimbun-timbun di atas meja. Kita terlalu rigid soal akidah dan Iman. Manakala kefahaman yang jelas membentuk akidah yang sejahtera dan Iman yang mantap.
Kita begitu alergi dan fobia sangat akan kehidupan para artis sehingga sanggup meninggalkan mereka terkapai-kapai bergelumang dengan maksiat. Sebenarnya kita sendiri menempah tiket terjebak sama dalam kancah maksiat kerana tidak sudi memberi kefahaman secara proaktif kepada mereka.
Gunalah pendekatan lebih baik, berbanding memberi nasihat jarak jauh, mungkin berkesan namun, tapi masih lagi pada skala kecil. Membantu mereka, bukan bererti kita turut serta dengan mereka, tapi untuk membawa mereka ke jalan benar. Awas, jangan sampai kita pula yang terjun mati-mati dalam dunia mereka.
The journey of a thousand miles starts with a single step.
Apa yang penulis nampak, kita kalah melawan media barat. Kita gagal memproduksi produk makanan bersih dan halal untuk menyelamatkan perut-perut dan hati umat Islam. Kita gagal membina budaya yang boleh membantu masyarakat memahami Islam.
Dakwah kita masih berlegar disekitar masjid. Dakwah kita masih terus bersifat menghukum sebelum memberikan kasih sayang. Pendakwah kita masih gagal berkreatif mendidik umat mendekati Islam sebagai cara hidup (life style).
Binakan keselesaan untuk mereka mudah mendekati kita. Sebenarnya kita gagal melihat keutamaan dalam berdakwah dan hanya melihat sisi-sisi yang sebenarnya mampu untuk diperbaiki.
Cuba gunakan approach dakwah secara hikmah atau halus. Sesungguhnya cara ini lebih banyak membawa kepada kejayaan kerana ia lebih bertumpu kepada mengubah minda, bukannya melahirkan manusia-manusia hipokrit kerana bimbangkan diri dicerca dalam masyarakat.
Semoga kita dapat mengurangkan populasi manusia yang namanya muslim tetapi tiada pemikiran Islam. Muslim tetapi bukan Islam merupakan hal yang kita harus tangani secepat mungkin agar orang bukan Islam dapat memahami Islam yang sebenarnya, Insha-Allah.
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenai akannya. Sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu akan ditanya tentang apa yang dilakukannya” el Isra (17:36)
Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Mereka hanya mengikut sangkaan, sedangkan sesungguhnya sangkaan itu tidak berfaedah sedikit pun terhadap kebenaran” an Najm (53:28)
p/s: Terima kasih di atas doa kalian. Penulis mengecapi dua nikmat dengan hati penuh syukur, kejayaan dalam imtihan baru-baru ini, dan prospek jangka panjang dengan kelahiran sulung buah tangan pertama penulis, MCDS. Moga menjadi eset berpanjangan.
ameen
0 komentar:
Catat Ulasan