PENGUMUMAN PENTING

JJom tambah saya sebagai rakan anda di akaun pemuka facebook baru saya, Rezza Khanafiah II. Segala pertanyaan masalah agama dan motivasi, perkongsian, rencah kehidupan sebagai pengganti laman blog ini. Banyak perkongsian di sana.

Terima Kasih (^_^)

Para Pengikut

Isnin, Ogos 10

Tazkirah : Iman Penyubur Kehidupan

Iman merupakan nikmat Allah Taala yang tidak ternilai dalam kehidupan manusia. Tinggi atau rendahnya martabat manusia di sisi Allah Taala akan ditentukan oleh tahap keimanan yang ada dalam diri seseorang. Sesiapa yang paling tinggi dan sempurna Imannya, maka dia yang paling mulia di sisi Allah Taala.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya semulia-mulia kamu disisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya diantara kamu (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah amat mengetahui lagi mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu) el Hujurat (49:13)

Iman merupakan pegangan atau kepercayaan dan keyakinan di dalam hati yang tidak berbelah bagi terhadap Allah Taala serta tidak mengandungi sedikit pun perasaan syak dan ragu-ragu.

Ketakwaan dan keyakinan yang teguh akan memberi kesan yang positif bagi kehidupan manusia terutama dalam soal beribadat, mengawal tingkah laku, hubungan pergaulan sesama manusia dan sebagainya. Oleh yang demikian, sebagai ukuran sama ada kita benar-benar beriman atau sebaliknya.

IMAN PENYULUH AKHLAK PERIBADI

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah yang apabila disebut nama Allh (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada tuhan mereka jualah mereka berserah el Anfal (8:2)

Berdasarkan ayat di atas mulai dari ayat dua hingga empat, terdapat lima kunci penentu yang menjelaskan bahawa seseorang itu dianggap bebar-benar beriman kepada Allah Taala iaitu :

1) Apabila disebut nama Allah akan merasa gementar hati-hati mereka.

2) Apabila dibaca ayat-ayat Allah semakin bertambah Iman mereka.

3) Sentiasa berserah diri kepada Allah Taala pada setiap waktu.

4) Sentiasa menjaga solatnya dan taat kepada semua perintah Allah Taala.

5) Apabila dikurniakan rezeki oleh Allah Taala maka dibelanjakan ke jalan yang diredhai Allah Taala.

UJIAN MANTAPKAN IMAN

Sesungguhnya dalam kehidupan ini kita tidak dapat lari dari menghadapi ujian dan cubaan dari Allah Taala terutamanya dalam usaha mencari kesenangan dan kebahagian hidup. Oleh kerana itu, adalah tidak tepat sangkaan sesetengah manusia yang beranggapan bahawa hidup ini hanya untuk bersenang-bersenang, bermewah-mewahan dan bersuka ria semata-mata atau sebaliknya menganggap hidup ini penuh dengan penderitaan, dukacita dan segala macam musibah.

Oleh itu, kita seharusnya faham bahawa semua kejadian ini pada hakikatnya adalah lumrah hidup kita sebagai manusia dan ianya merupakan Sunnah Allah Taala bagi mereka yang beriman akan mengambil kesempatan ini untuk melakukan segala amalan dan kebajikan sebanyak-banyaknya. Ianya tidak akan dilepaskan begitu sahaja dengan menjadikan ujian sebagai dorongan untuk beriman kepada Allah Taala bukan sebaliknya.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Apakah Manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata kami beriman sedangkan mereka belum diuji dengan sesuatu percubaan, dan demi sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka dengan ujian yang demikian nyatalah apa yang diketahui oleh Allah tentang orang-orang yang beriman dan nyata pula apa yang diketahui tentang orang-orang yang berdusta el Ankabut (29:2 – 3)

Ayat ini dengan jelas memberikan pengertian yang cukup bermakna kepada kita semua, bahawa hubungan manusia dengan kehidupan sememangnya sangat berkait rapat dengan ujian dan cubaan. Disamping itu, ayat ini juga menjelaskan bahawa seseorang manusia itu tidak cukup dan tidak memadai dengan membuat pengakuan lisan sahaja, dengan mengakui:

kami telah beriman kepada Allah

sedangkan mereka belum diuji. Kerana setiap ujian dan cubaan dari Allah Taala merupakan penanda penentu untuk mengetahui siapakah yang benar-benar beriman kepada-Nya, dan siapakah pula yang hanya membuat pengakuan lisan sahaja, sedangkan pada hakikatnya mereka berdusta kepada Allah Taala.

UJIAN PENENTU TAHAP IMAN HAMBA

Selain itu, kita juga perlu sedar bahawa ujian dan dugaan daripada Allah Taala itu bukan hanya dalam bentuk kesusahan atau dalam bentuk penderitaan atau kesakitan dan sebagainya. Kerana sesungguhnya terdapat ujian lain dari Allah Taala kepada manusia yang berupa ujian dengan harta kekayaan, kemewahan, sanjungan, penghormatan pangkat.

Allah Taala berfirman yang bermaksud: Setiap diri akan merasa kematian dan kami ujikan sekalian kamu dengan keburukan dan kebaikan sebagai satu percubaan dan kepada kamilah kamu sekalian akan kembali el Anbia’ (21: 35)

Sebenarkan ujian yang berbentuk kesusahan, penderitaan dan kesakitan merupakan ujian yang ringan kerana maksud dari ujian itu adalah semata-mata untuk menguji sejauh mana kesabaran kita menerima Qodha’ dan Qadar daripada Allah Taala, sebaliknya ujian melalui nikmat kesenangan dan kekayaan serta pangkat kebesaran pula merupakan ujian yang berat kerana ramai umat Islam yang gagal dalam ujian tersebut. Ini disebabkan apabila mereka dikurniakan kekayaan dan kedudukan oleh Allah Taala mereka gagal dan lupa kepada amanah dan tanggungjawabnya sebagai seorang muslim yang diciptakan oleh Allah Taala untuk mengabdikan diri kepada-Nya.

KESIMPULAN

Marilah sama-sama kita menamamkan ikrar keimanan yang sebenar-benarnya kepada Allah s.w.t. dan hendaklah kita menyedari betapa rugi seandainya kita mengabaikan soal keimanan kepada Allah Taala. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa:

  1. Mengukuh dan memantapkan keimanan kepada Allah s.w.t. agar ia tidak menurun keparas yang akan membahayakan hidup kita di dunia dan di akhirat.
  2. Mengakui bahawa kehidupan di dunia ini semenangnya tidak dapat lari dari ujian dan dugaan dari Allah s.w.t. yang merupakan sunnah Allah.
  3. Hendaklah berserah diri kepada Allah s.w.t. setiap masa dan membelanjakan rezeki yang dikurniakan kejalan yang diredhai serta tidak melakukan pembaziran.
  4. Hendaklah menerima setiap ujian dan dugaan dengan penuh kesabaran dan ketabahan sebagai hamba Allah yang pasrah dengan ketentuan takdir-Nya

0 komentar:

Catat Ulasan

 

LAMAN WACANA MINDA

PENGUNJUNG SEMASA

Egypt Top Blogs
Topblogs @ iLuvislam

BANTUAN DANA SYAQAH

LALU LINTAS SEMASA

BUKU TERBARU

Dapatkan segera di BKAN masing-masing, dan DPM di seluruh Mesir...

Minda Dewasa Copyright © 2009 Gadget Blog is Designed by Ipietoon Sponsored by Online Business Journal