Pada sebelah petang, seperti biasa selepas usai proses pembelajaran di sekolah, penulis akan terus singgah di Musolla untuk solat Zohor. Matahari masih lagi mengoptimum pancaran sinarnya. Derapan kaki yang melakut melangkah menuju ke satu ruang besar, suara-suara anak jelas kedengaran seperti terasa puas dapat lunaskan kewajipan pada hari ini.
Di hadapan penulis kelihatan beberapa kelompok manusia yang membentuk kumpulan sendiri, kira-kira lebih dari tiga kelompok, ada yang merembes air di muka selepas berwudu’, ada yang masih rancak membincangkan sesuatu, ada juga suara hilau ketawa sesekali melepaskan batuk yang tersumbat di dada.
“Bang Rezza, ada sesuatu kami ingin diberitahu” Penulis disapa oleh Hairuddin dari belakang sambil tangan menghentak-hentak udara meleraikan ikatan air.
Sambil senyum penulis berkata:
“Ya, ada apa Hairuddin”
“Pertandingan nasyid peringkat zon akan berlangsung tidak lama lagi, jadi kami perlukan khidmat bang Rezza untuk uruskan kami” Jelas Hairuddin yang kelihatan tercungap-cungap menarik dan menghela nafas.
Dunia seni seperti sudah sinonim dengan penulis. Penulis sejak kecil lagi suka mendengar lagu-lagu berentak Jazz, Balada, dan Etnik Kreatif. Dulu penulis hanya sempat dengar bila dah boring sangat, nak hilangkan stress.
Biasanya juga bila tengah buat kerja, hati pula senang, pasti ada sahaja lagu yang keluar dari mulut berkumandang. Mengingati lagu secara spontan lebih mudah berbanding tangkap-muat mendengar ucapan, ceramah dan berita.
“Baiklah ana cuba bantu, lagipun dah lama ana tidak bersama antum, sesekali kita berkumpul apa salahnya” Penulis terus bersetuju menerima tawaran tersebut.
Penulis dibantu oleh seorang teman seangkatan semasa mengetuai band nasyid dari Mahaad Muhammadi Lelaki (L), Mohd Fathi Yakan. Tugas penulis adalah melatih vocal, menyusun vocal mengikut keupayaan tahap variasi suara yang mampu dilakukan dan menciptakan sebuah lagu untuk dipersembahkan nanti. Biasanya suara akan dibahagikan kepada tiga kategori utama iaitu suara asas (basic/first voice), suara kedua (second voice), dan suara tiga (third voice)
Tugas penulis dan teman agak ringan sedikit kerana tidak perlu bersusah payah mengadakan sesi ujibakat untuk mencari ahli kumpulan yang baru, sudah memadai dengan ahli yang tersedia ada, mereka cukup komited, Cuma tinggal lagi padukan ketiga-tiga kategori ini.
“Ermmm… Kita berkumpul esok, selepas waktu sekolah di Musolla” Tambah penulis.
MULA MENCIPTA LAGU DAN LIRIK
Malam itu juga penulis mengubah sedikit lagu yang telah pun penulis hasilkan hampir setahun lalu, lagu yang diubah agar bersesuaian dengan lirik yang bakal digarap, maksud penulis dari sisi tema yang bertepatan.
Penulis memilih tema ketuhanan. Mencipta lirik lebih mudah berbanding lagu, perlu pada penhayatan lebih. Ilham akan tiba bila seseorang komposer dapat menyepadukan antara dua elemen utama iaitu ekspresi seni merasa (hati) dan kombinasi berfikir dan mendengar.
Fajar Islam:
Fajar Islam telah menyingsing,
menyinari ke seluruh alam,
Membawa rahmat kepada manusia,
jadi panduan kita semua.
Nabi Muhammad Ya Rasulullah,
memimpin umat ke jalan Allah,
zaman silam telah terbukti,
keunggulannya tiada tandingan.
Wahai ulama’ engkaulah cahaya,
menerangi kegelapan manusia,
kerelaanmu membela agama,
jadi warisan hingga ke akhirnya.
Jadikanlah sunnah Rasul sebagai kenderaaan.
Jadikanlah kitabullah sebagai panduan.
Hak cipta terpelihara
NASYID SEBAGAI MEDIUM DAKWAH
Apabila sesuatu hasil karya mahu diangkat sebagai cabang seni, ia mestilah terbit dari disiplin dan dasar yang tertentu. Jika suatu bentuk cara menulis diangkat sebagai seni, maka tulisan itu mestilah mematuhi garis panduan yang tertentu di dalam proses penulisan. Andai suatu bentuk rekaan binaan mahu diangkat sebagai seni, sudah pasti ia direka bina berpandukan kepada ilmu yang mendasari seni berkenaan.
Sebagaimana seorang pendakwah yang menulis perlu belajar selok belok teknik penulisan yang berkesan, atau pendakwah yang berpidato perlu belajar seni pidato yang baik, maka begitulah juga pendakwah yang berdakwah melalui nasyid, mestilah menempuh proses yang sama, menjadikan nasyid sebagai suatu bidang yang ada disiplin tertentu dan bukan hanya didendangkan sesedap rasa.
Nasyid sebagai medium dakwah, maka ia bolehlah diumpamakan sebagai iklan bagi produk yang ingin dipasarkan. Nasyid adalah iklan yang mempromosikan Islam, Allah dan Rasul, agar dekat, dikenali dan diterima oleh masyarakat. Maka, elemen yang perlu ditonjolkan di dalam nasyid itu mestilah subjek dakwah yang mahu disampaikan.
Sebuah iklan komersil boleh dianggap sebagai iklan yang berjaya, jika produk yang diiklankan berjaya terjual dengan baik. Namun, sebuah iklan tetap merupakan iklan yang gagal, jika persembahannya hanya mempopularkan pelakon iklan, tetapi produk yang diiklankan tidak terjual.
Nasyid yang hanya tertumpu kepada penasyid dan lemah dalam pengungkapan dakwahnya, lantas gagal membentuk trend masyarakat untuk seterusnya menerima Allah, Rasul dan Islam dalam kehidupan, adalah nasyid yang gagal mencapai maksud.
Memilih hiburan kini ibarat memilih buku untuk dibaca. Silap pilih hanya mengundang petaka. Hiburan yang baik adalah hiburan yang mendatangkan hala tuju, terarah, berkonsep hanya untuk mendapat redha Allah Taala.
Moga dipelihara diri dari maksud yang tersimpan.
ameen.
0 komentar:
Catat Ulasan